Wednesday 27 November 2013

BIAR AKU MENCINTAIMU [4]

“Jangan bercakap macam kau tu sempurna sangat Ril.” Luah Naira menolak pintu kereta. Tak boleh rasanya tengok muka Amril. Sabar dia dah terhakis.
            “Aku tegur kau sebab kau tu mummy Dewi... Kalau kau tak jaga Dewi, aku pun tak kisah langsung kalau perangai kau nak tunggang terbalik pun.” Dia cuba mengawal nada suaranya. Agar tidak terlalu kuat hingga terkesan dek Dewi kecil.
            Dia menolak pintu bahagiannya dan mendapatkan Naira yang nampak marah benar itu.
            “Kau jugak pernah cakap dekat aku kan, kita tak boleh nak ulangi kesilapan yang sama. Ingat tak kau berkeras nak teruskan pernikahan aku dengan Dewi walau ditentang hebat oleh mak aku. Lepas Dewi meninggal, kau pesan supaya sayang dia... kau pesan supaya jangan belakangkan mak aku lagi. Walaupun mak aku tak suka pilihan aku tapi aku tetap kena hormat dia. Tetap tak boleh belakangkan dia. Kau ingat tak?”
            Muka Naira terkebil-kebil memandangnya.
            “Tapi kau perasan tak apa yang kau cakap sekarang bertentangan dengan apa yang kau buat?” Soal Amril keras.
            Naira diam dan berlalu masuk ke dalam rumah. Amril lepas nafas sambil menggeleng. Bahagian belakang kereta dibuka dan dikeluarkan stroller.
            “Terima kasih hantar Dewi ke klinik.” Ucap Naira yang muncul di balik  muka pintu. Mulut lontar ucapan terima kasih tapi muka tayang cop mohor tak ikhlas.
            Amril lepas nafas lagi. Dia tahu yang dia dah gunakan bahasa terlalu kasar tadi. Tapi sungguhlah... Dia tak pernah reti nak atur ayat lembut bila bercakap dengan Naira. Mungkin dari dahulu dia terbiasa bercakap kasar dengan Naira.
            “Aku tahu aku kasar tegur kau tadi... tapi aku tegur untuk kebaikan.”
            Naira sandarkan tubuhnya di balik pintu. Diam lagi. Mungkin mogok untuk bercakap dengan dirinya.
            “Naira.... aku faham kau pernah terluka. Tapi aku tak mahu Dewi dibesarkan dalam situasi yang ada kebencian. Aku tak mahu luka tu berjangkit pada Dewi. Emosi kau, kecelaruan jiwa kau akan terkena tempias pada Dewi. Kau tak boleh benci keluarga kau sendiri. Cuba bayangkan Dewi membesar dan tengok kau bergaduh dengan keluarga kau? Apa tafsiran dia pada mummy dia sendiri?”
            Air mata gadis itu jatuh di pipinya.
            “Aku bukan malaikat yang tak dikurniakan rasa marah Ril.” Luah Naira berat. Bercakap bermodalkan air liur tu memang mudah.
            “Memang kau bukan malaikat tapi kau khalifah.”
Naira menrengus. “Kau tak payah nak perli-perli aku boleh tak?”
Ek eleh minah ni. Ke situ pulak fikirnya.
“Perli apa pulak? Kau tahu tak setiap umat manusia ni dunia ni adalah khalifah di muka bumi Allah ni. Malah malaikat sendiri pun tak boleh jadi khalifah dekat muka bumi ni.”
            “Tapi aku tak mampu jadi macam tu.” Luah Naira jujur.
            Amril senyum walau dia tahu Naira tidak melihatnya.
“Allah tahu kudrat manusia tu terbatas Naira tapi Dia tetap memilih manusia yang penuh cela ini kalau nak dibandingkan dengan malaikat yang selalu memuji dan bertasbih pada Dia. Semua ini terjadi atas kehendak Allah yang tidak terbatas.”
            Kata-kata lembut itu menerjah ruang fikiran Naira. Mungkin inilah sisi yang arwah Dewi selalu nampak dalam diri Amril. Seorang lelaki yang tegas tapi dalam masa yang sama, penuh isinya.
            Macam durian, sisi luarannya tajam dan menyakitkan tapi isi dalamnya manis dan enak. Sebelum membuka kulit durian itu, mungkin jari kita akan terluka dan hanya tangan yang bertuah sahaja dapat memperolehi isinya.
            “Khalifah tu amanah. Aku tak nafikan yang amanah tu berat. Khalifah tu jugak ‘wakil Allah’ untuk mengelola hidup manusia yang lain. Macam kita... dijadikan wakil untuk membesarkan Dewi kecik. Jadi seharusnya kita tunjukkan tauladan yang baik untuk dia kan. Aku tahu Dewi kecik lagi tapi macam aku cakap tadi... aku tak mahu kau terbawa dengan kebiasaan kebencian tu. Lagipun benci akan membuatkan kita penat.”
            Ya. Benci itu beban yang tidak tertanggung dek manusia.
            Naira raup muka yang basah. Terasa hina lagi berdosa.
            Lupakah dia pada dugaan yang ditanggung oleh arwah Dewi? Dewi dirogol berpunca dari silap abangnya sendiri. Tapi adakah Dewi membenci abangnya? Jawapannya adalah tidak. Malah doa untuk si abang langsung tak pernah putus. Kenapalah dia tak boleh nak ikut tauladan dari baik hati Dewi.
            Tuhan dah tunjuk contoh depan mata tapi kenapa otak masih bebal nak delivered?
            “Jangan buat keluarga kau terus salah faham. Terangkan pada derang keadaan sebenarnya. Ini kau berdolak dalik. Jangan tambahkan lagi kesulitan. Jangan kusutkan lagi keadaan. Siapa tahu yang Dewi kecik boleh menumpang manja dengan keluarga kau?”
            Amril harap yang Dewi ada atuk nenek. Nak harapkan mak dan ayahnya, memang kirim salamlah.
            “Mungkin kedatangan abang kau tadi nak perbetulkan keadaan. Tapi sebab stereng hati kau tak sabar, kemalangan  yang kecik akan jadi lebih besar. Luka yang sikit akan menjadi lebih parah. Mungkin yang tua tu tak semuanya betul tapi kita yang muda ni kenalah bawak bersabar lebih sikit.” Nasihat Amril lagi.
            Walaupun bibir Naira beku dari sebarang suara namun otaknya sedang menghadam kata-kata Amril yang banyak betulnya itu.
            “Ril...” suara serak itu menampan pendengaran.
            “Hmm...”
            “Lepas ni janganlah garang-garang sangat tegur aku. Sejak pegang title mummy ni, aku dah makin sensitif tau!”
            “Tengoklah dulu macam mana. Aku tak janji. Mulut aku ni bukan reti nak guna standard piawaian yang kau cakap tuh.”
Sepanjang hidupnya, dia hanya pandai berlembut dengan arwah Dewi sahaja. Kalau berlembut dengan orang lain, macam nak pegang title arwah je gayanya!
            Sedikit sebanyak, sakit di hati Naira sudah kembali kebah.
            “Dah lah... aku balik dulu. Lama-lama karang ada pulak kena tangkap basah dengan kau!”
Walaupun sekadar duduk di luar rumah, tapi tak elok buat sesuatu yang mengundang fitnah.
            “Okay ah tu... Lagipun Dewi perlukan Daddy dia.” Gurau Naira bila tengok mood Amril macam okay je.
            “Tak mahu aku ada bini cengeng macam kau. Kena smash sikit nak banjir bagai.”
            Naira ketawa. Langsung tak terasa. “Ini banjir kilat. Cepat surut.” Sambung Naira tak mahu kalah.          

***
            Mata yang mengantuk cuba ditahan. Stok diperiksa dengan teliti sebelum dicatit di atas kertas yang disediakan. Jam tangan ditilik. Sudah menghampiri dua pagi.
            Untuk menghilangkan kantuk, telefon bimbit dikeluarkan. Gambar-gambar comel Dewi kecil diamati. Arghh... bagai terbang segala penat. Bagai mati semua gundah. Laju menekan skrin telefon, terpamir pula wajah Naira yang sedang tersenyum bersama Dewi.
            Satu keluhan dilepaskan. Sejak dua tiga hari ini, dia terpaksa menolak keinginan hati dari berjumpa dengan Dewi walau separuh jiwa dia rindukan Dewi kecik.
            “Tengok gambar awek ke?” Tanya Yusof yang baru masuk ke dalam stor.
            “Banyaklah kau punya awek.”
Kedatangan Yusof itu menjelaskan yang shiffnya sudah berakhir. Arggh... tak sabar nak balik tidur. Tapi ada beberapa assignment yang belum disiapkan. Nampaknya kena stay up lagilah malam ni.
            “Kau tak penat ke buat part time macam gini?” Tanya Yusof hendak tahu. Dia tahu Amril belajar jurusan kejuruteraan mekanikal di salam sebuah universiti awam. Kalau tengok gaya, tak nampak pun yang Amril jenis tak cukup duit.
            “Penat memanglah penat tapi tetap kena buat.”
            “Tapi kalau kau tak kerja, hidup kau bukan susah sangat kan?”
Kalau nak dibandingkan dengan kehidupan dia yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, hidup Amril lebih tersusun dan terjamin. Kalau susah, tak kanlah Amril boleh pakai Satria GTI?
            “Tak salah kalau kerja lebih untuk pendapatan yang lebih baik kan?” Sengaja tak dibalas soalan Yusof itu. Biarlah, kisah hidup dia biar dia sendiri sahaja yang simpan.
            Balik ke rumah, si Daus masih belum tidur rupanya.
            “Esok kelas pukul lapan Ril.” Daus mengingatkan.
            “Aku tahulah.”
            “Ril, kau dah makan belum?”
            Amril ketawa. “Yang kau tanya stok soalan bini-bini ni kenapa? Boring ah..”
            “Aku ambik berat hal kau. Tak mahulah kau sakit pulak nanti. Jangan dikejarkan sangat duit tu.”
            Macam malam-malan sebelumnya, Amril tayang muka tak bersalah. “Dah lah.. aku nak naik. Nak siapkan assignment.”
            Masuk dalam bilik, dihempaskan tubuh di atas katil. Argh... lega gila! Mata dipejam seketika. Menghalau rasa penat. Sudah hampir sebulan dia buat kerja part time ini. Rasanya dia dah boleh kawal waktu kerja dan belajarnya.
            Setiap hari dia akan kerja dari pukul  tujuh malam sehingga dua pagi di Seven Eleven berhampiran rumahnya. Mujur dia kenal dengan taukey seven eleven itu. Kalau tidak memang tak dapatlah shiff macam gitu.
            Setakat ini hanya Daus sahaja yang mengetahui dia buat part time. Naira adalah orang yang paling tidak boleh diberitahu. Amaran keras bin notis ugut bunuh telah diberi pada Daus.
            Walaupun waktunya bersama Dewi kecik akan jadi lebih terhad, tapi at least dia dapat menyumbangkan sesuatu pada pembesaran Dewi.
            Dia jadi segan. Setiap kali membeli barang keperluan Dewi, pasti Naira akan mengeluarkan perbelanjaan. Dia sedia maklum akan kemampuan Naira tapi dia tak boleh lepas tangan begitu sahaja.
            Sudahlah Naira menggunakan kudratnya membesarkan Dewi. Duit pun tak kan nak harapkan Naira jugak?
            Memang dia boleh gunakan duit elaun yang diberikan oleh emaknya. Tapi hati Amril keras melarang. Dia mahu Dewi rasa rezeki dari titik peluhnya sendiri.
Dengan malas, Amril mecapai tuala. Dia perlu mandi untuk lebih segar sebelum bergelut dengan assignment sekejap lagi.
***
            Sudah beberapa kali Naira menangkap Amril tidur di dalam library ini. Jam ditilik. Amril perlu dikejutkan memandangkan sebentar lagi lelaki itu mempunyai kelas. Jadual kelas Amril memang sudah berada di kepalanya.
            “Ril bangun.” Gerak Naira perlahan.
            Tahu sangat dengan port kesukaan Amril di hujung library berdekatan dengan rak buku itu.
            “Lima minit.” Suara mamai sudah kedengaran.
            Naira simpul senyum. Comel je jawapan. Dia duduk bersandar ke dinding. Diperhatikan wajah Amril yang sedang tidur itu.
            Mamat nilah kalau tersenyum, senyuman dia boleh mengalihkan dunia Naira. 
        Cepat Naira tersedar. Kalau Amril tahu ni, mahu dia kena starlight atas kepala.
           “Ril... lima minit dah berlalu.” Naira gerak Amril lagi.
Kenapa sejak dua tigak menjak ni si Amril macam tak cukup tidur sahaja? Berjimba ke kelab malam ke apa? Ish.. nauzubillah. Dia kenal Amril. Dia bukan jenis lelaki kaki kelab.
            Amril menggarukan kepalanya pabila menangkap kelibat Naira.
            “Kenapa kau ada kat sini?”
            “Nak kejut kaulah. Kau ada kelas pukul sebelas kan?”
            “Hmm...” Mata yang berat kembali dipejamkan.
            “Ril bangunlah... Pergi kelas. Jangan berani nak memonteng ya. Aku tak nak Dewi ada daddy yang suka ponteng-ponteng kelas.” Mulut mula memberi ugutan. Selama ni Amril je yang pandai buat macam gitu.
            “Semaklah kau ni.” Dalam keadaan marah-marah, Amril bangun membetulkan urat pinggang yang lenguh. Kesian gila siapa yang akan kahwin dengan Naira nanti. Kuat membebel.
            “Nanti aku report kat Dewi yang kau cakap aku semak!”
            Amril merengus. Datang dah perangai biul perempuan ni.
            “Ril, cuti semester ni aku nak bawa Dewi balik rumah Yam tau.”
            Langkah kaki Amril terhenti. “Kenapa kau ni suka balik rumah orang hah? Pergi balik rumah sendiri.”
            Naira gigit bibir. Lepas bergaduh dengan Naim tempoh hari, dia tak berani lagi nak tunjuk muka. Berilah dia ruang kumpul kekuatan dahulu. Nanti bila dia dah ready, dia baliklah jumpa keluarganya.
            “Alah... kan kakak Yam nak kahwin. Dia ajak aku join sekali tolong apa-apa yang patut.” Pujuk sungguh-sungguh macam nak mintak izin suami.
            Amril terdiam seketika. “Habis tu kalau kau sibuk menolong, siapa nak jaga Dewi?”
            “Hmm.. itu kau jangan risau. Nanti pandailah Dewi jaga diri sendiri nanti.”
            Terbeliak besar mata Amril menangkap kata-kata Naira. Gila ke apa? Ada ke nak suruh bayi berumur tiga bulan itu menjaga diri sendiri.
            Naira ketawa. Taktik nak buat Amril segar sudah menjadi. “Releks lah Ril. Buat kerja bukannya sampai tak jaga Dewi. Boleh ya? Aku bertolak jumaat ni.”
            “Dekat mana?” Hati berat nak izinkan tapi dia sedar yang dia tak boleh mengongkong hidup Naira.
            “Kuantan.”
            “Kau drive ke?” Soalan polis pencen dah keluar.
            “Aah. Jangan risau, nanti aku gilir-gilir dengan Yam.”
            Lama juga Amril berfikir.
            “Hmm.. okay. Tapi pastikan setiap hari kau update kat aku pasal Dewi.” Warning Amril siap-siap.
            “Yes sir!” Ujar Naira sambil buat tabik hormat tanda patuh.
            Baru diteruskan beberapa langkah, Amril berpatah semula mendapatkan Naira. Dompetnya dikeluarkan. Kad ATM dihulur pada Naira. Lupa pula yang dia sudah membuka akaun khas untuk kegunaan Naira nanti. Semua duit gajinya langsung tidak disentuh.
            “Erk.. apa ni?”
            “Ambillah buat belanja.”
            “Nafkah zahir ke apa ni?”
            “Kenapa? Kau nak nafkah versi batin sekali ke?”
            Berubah air muka Naira menyambut soalan Amril. Sengih tak bersalah dia layangkan. Amril ni buat lawak ke apa? Tapi muka serius Ya Rabbi.
            “Tak payahlah... aku ada duit.” Dihulur kembali kad ATM itu pada Amril.
            “Boleh tak kau jangan banyak songeh sangat? Aku bagi tu ambik jelah. Lagipun bukan untuk kau tapi untuk Dewi. Guna buat belanja dia. Beli susu, pampers, baju or apa-apalah. Jangan guna duit kau dah.”
            Naira jadi serba salah. Dia sedia maklum yang Amril belum berkerja. Tak perlulah sampai begini sekali.
            “Baik kau simpan kad tu sekarang sebelum aku sumbat masuk mulut kau!” Ugut Amril serius bila Naira masih kelihatan termanggu-manggu memegang kad tersebut.
            Naira merengus. Dia nilah... kalau kata hitam memang hitam. Jangan mimpilah nak jadi putih. Tapi tak apa. ‘Ambil je naira, buat sedapkan hati dia. Tapi tak payah usik kad tu.’
            “Kalau aku check kad tu tak luak, siap kau aku kerjakan!” Jari terlunjuk dihala ke muka Naira. Tanda dia serius dengan kata-katanya.
            Erk... mamat ni macam tahu-tahu je. Ada pakai ilmu hitam ke apa ni? Tak apa, nanti kalau kantoi cakaplah tak tahu nombor pin.
            “Pasword dia birthday Dewi.”
            Sekali lagi mata Naira terbeliak. Amril ni biar betul? Apasal boleh baca semua yang tersirat di dalam hatinya?
***
Cuaca agak panas di kampung. Ditenggelami pula dengan lautan manusia yang ramai. Biasalah kenduri di kampung, memang meriah. Semua orang pasti akan duduk mengadap pelamin. Jamu mata melihat pengantin.
Dewi sudah mula merengek. Tak selesa gamaknya. Naira bangun. Memberi peluang kepada orang lain untuk duduk di hadapan pengantin.
Kakinya melangkah ke pelusuk rumah Mariam. Daripada rengekkan, tangisan Dewi sudah nyaring kedengaran. Kali ini Naira pasti yang Dewi bukan sahaja tidak selesa tetapi sudah melewati tahap lapar.
“Kejap sayang.. mummy bancuh susu.” Ditinggalkan Dewi yang menangis itu di atas tilamnya. Nak mintak tolong Mariam, dia sibuk menguruskan majlis kakaknya.
Tangkas kerjanya. Tak mahu Dewi ternanti-nanti. Tapi yang pelik, tangisan Dewi sudah tidak kedengaran lagi.
Patutlah tak nangis. Rupanya seronok kena dukung. Diperhatikan seorang lelaki yang sedang mengagah Dewi di pangkuanya. Tak nampak kekok langsung.
“Menyusahkan awak je...” Teguran itu membuatkan lelaki itu berpaling.
“Anak awak?”
Naira mengangguk.
“Maaf.. Tadi dia menangis jadi saya dukung sekejap.” Kepala ditundukkan. Tak mahu dibilang kurang ajar rembat anak orang.
“Tak apa. Terima kasih.” Dewi dipulangkan semula ke pangkuannya.
Berada berdekatan dengan ibu anak kecil itu buat Qiuzi berdebar. Matanya ralit menjamah wajah wanita dihadapannya.
“Comel anak awak.” Puji Qiuzi. ‘Secomel awak...’ sambungan itu hanya sekadar di dalam hati. Tak mahu ditafsir sebagai birah pulak mengurat bini orang.
Tapi alahai... kenapalah perempuan yang comel, yang cantik.. selalunya sudah dimiliki oleh orang lain. Tak ada ke stok perempuan begitu untuk dirinya?
Merasa aura bahang di sudut rumah itu, Qiuzi mula masuk ke dalam bilik.
“Amboi... lapar betul anak mummy ni.” Bibir tersenyum pabila melihat Dewi rakus mengisap susu. Penat bermain gamaknya. Ialah, daripada malam tadi lagi semua ahli keluarga Mariam suka melayan karenah Dewi.
Surat khabar di bucu meja dicapai. Dikipaskan Dewi yang mula berpeluh. Budak kecik ini bukan tahan panas sangat.
Namun kibasan di tangan terhenti tatkala melihat seorang lelaki meletakkan kipas betul-betul dihadapan dia dan Dewi.
“Kena tak angin?” Tanya Qiuzi sekadar meminta kepastian sambil membetulkan posisi kipas yang sudah terpasang.
Lambat-lambat Naira mengangguk. Terkejut sebenarnya dengan bantuan lelaki tadi.
“Kesian anak awak kepanasan.” Qiuzi tidak tahu siapa wanita yang dibantunya ketika ini. Tapi yang pasti, dia tak boleh kalau tengok perempuan susah.
“Terima kasih.” 
Baiknya dia. Siapa lelaki ni? Selama dua hari dia disini, tak pernah pulak dia nampak.

p/s: say hai to Qiuzi... =) so... lepas ni boleh siapkan banner masing2 keh... hahaha...  enjoyz


Sunday 24 November 2013

BIAR AKU MENCINTAIMU [3]

Dah dua minggu Amril tak datang menjenguk Dewi. Naira pulak yang naik hairan. Kalau dahulu, sanggup meredah hujan untuk melihat keadaan Dewi. Hanya semalam Amril menghantar whatsapp menyuruh dia menghantar gambar Dewi yang terkini.
            “Nah air...” Naira menyambut huluran Mug daripada Mariam itu.
            “Dewi dah tidur?”
            Hanya anggukan yang dihantar sebagai tanda jawapan.
            “Kau fikir apa?” Tengok jenis air muka pun Mariam tahu Naira tengah runsing fikirkan sesuatu. Pasal Dewi ke?
            “Amril.”
Naira tahu, tak ada guna kalau pendam perasaan seorang diri. Kalau boleh luah, apa salahnya berkongsi rasa.
            “Kenapa dengan dia?”
Lately ni dia macam dah lain.”
“Lain yang macam mana?” Nak difaham jugak konsep lain tu. Makin caring dan loving ke atau makin annoying.
“Dia macam makin jauh. Asyik mengelak dari jumpa aku.” Terfikir-fikir Naira jadinya. Dia ada buat salah ke?
            Mariam ketawa kecil. “Macamlah kau tak biasa dengan perangai angin monhsun tropika dia tuh.”
            Betul sangatlah apa yang Mariam beritahu tu. Kejap tawar. Kejap manis. Kejap masin. Tapi dua bulan ni dia dah terbiasa dengan layanan baik Amril. Jadi hilang Amril sedikit sebanyak buat dia tak tentu arah.
            ‘Kenapalah biul aku tak habis-habis lagi. Dah sah-sah yang Amril tu bukannya laki aku... bukan boyfriend pun... tapi fikiran tetap mengular nak fikirkan dia jugak.’
            “Kau masih sayangkan dia?” Tanya Mariam sambil menghirup kopi panas yang masih berasap.
            Diam.
            Otak ligat memikirkan jawapan tapi mulut Naira beku dari bersuara.
            Mariam senyum tipis. Berbeza betul Naira Ilyani yang dahulu dan Naira Ilyani yang sekarang. Kalau dulu, pantang tak betul, terus soalan direct ditanya. Hak dia perlu dipertahankan. Soal tak puas hati terus dikeudarakan walaupun bakal menyirap kemarahan orang lain.
            Tapi sekarang.. Naira Ilyani dihadapannya kelihatan sudah pandai disimbah dengan rasa sabar. Kagum sebab bukan semudah itu hendak mengawal kehendak diri yang sering membuta-tuli itu.
            “Tak payahlah jawab. Aku dah tahu jawapan kau.” Bahu si kawan diusap.
            “Mungkin kita pernah rasa tentang cinta yang takdirnya bukan untuk kita.” Bait-bait lagu I love you nyanyian Najwa Latif itu menyapa gegendang telinga Naira.
            “Biar aku.. mencintaimu biar tiada siapa yang tahu.” Sambung Naira ceria. Ikut turut menyanyi.
            “Mungkin aku pernah cintakan dia Yam.. Tapi perasaan dulu dengan sekarang tak sama. Dulu, rasa tu cenderung untuk memiliki. Tapi sekarang rasa tu tak ubah macam sesuatu yang menyenangkan. Ialah, aku anggap dia kawan dan daddy kepada Dewi je... Aku hormat perasaan dia pada arwah Dewi. Mungkin satu hari nanti perasaan aku pada dia akan expired dan aku harap sangat benda tu akan berlaku.”
            “Perasaan sayang ni ada tarikh luput ke?” Soal Mariam ketawa.
            “Mestilah ada. Kalau tak ada, tak kanlah wujud istilah cerai berai macam mak dengan ayah aku tuh.”
            Masuk part mak ayah Naira, terus Mariam tak berani nak berlebihan bersuara. Bimbang akan menokok tambah isi cerita dan melukakan perasaan ‘anak mangsa penceraian’ macam Naira Ilyani.
            “Mereka pernah seiring sejalan... tapi sampai satu tempoh tu, laluan mereka dah tak sehala. Kenapa agaknya?” Tanya Naira lebih pada diri sendiri.
            “Mungkin jodoh tak panjang..”         
            “Jawapan tu klise sangat!”
            “Dah tu kau nak jawapan macam mana Naira oit?”
            “Aku rasa derang ibu bapa yang pentingkan diri sendiri. Fikir bahagia derang je. Pernah tak waima sekali je dia fikirkan tentang anak-anak yang akan menanggung akibatnya?” Jauh Naira mengelamun memandang ke depan.
Tak sedar, topik ini telah dipandu dengan terlalu jauh. Jauh menyelak satu persatu kenangan silam.
            Mariam tahu dia tak boleh membebel berlebih-lebih. Sebab dia tak ada di tempat Naira. Dia tak tahu berat mana bebanan yang dipikul oleh Naira. Tapi itu tak bermakna dia kena tinggal diam dan membenarkan semua telahan salah sangka Naira pada ibu bapanya.
            “Mungkin ada sebab semua tu berlaku. Dari hidup tak bersefahaman, baik mereka berpisah kan? Ialah... mestilah penat kalau setiap hari ada je benda yang nak digaduhkan. Ada je benda yang tak puas hati. Dari anak-anak dibesarkan dalam situasi yang kacau bilau macam tu, baiklah mak ayah kau berpisah.”
            “Tapi kenapa derang tak cuba perbaiki?” Soal Naira diserang emosi. Dia masih kecil sewaktu ibu bapanya bercerai. Baru berumur sepuluh tahun. Selepas itu, terus dihantar untuk tinggal di asrama.
            Baru je darjah empat. Apa yang budak darjah empat tahu untuk mengurus diri?
            “Payah Naira... Payah.”
            Mariam tarik nafas sebelum menyambung. “Kau ingat, pinggan kalau dah pecah boleh kembali seperti sedia kala ke? Boleh guna letak nasi ke? Silap hari bulan nasi yang letak tu bergaul pula dengan serpihan kaya. Kalau makan nasi tu, mungkin boleh bawak maut. Jadi sama jugaklah dengan istilah cerai ni. Mungkin derang ada bentuk-bentuk  kelukaan yang dah tak boleh diubati. Ubat yang ada hanyalah berpisah....” Jeda seketika sebelum menyambung. “Naira, ini semua percaturan takdir, adalah tu hikmah yang Allah simpankan untuk tagih sabar kita.”
            Kata-kata Mariam yang lembut itu sedikit sebanyak berjaya menyusun emosi Naira yang berselerak.
            “Sorry... tiba-tiba emosional.”
            “It’s okay. It’s okay to be not okay Naira. Lagipun, mak mak ni memang mudah sentap sikit.”
            Naira ketawa. “Cara kau cakap macamlah aku tengah mengandung!”
            “Jangan ingat ibu mengandung je yang sensitif. Semua ibu tak kira ibu angkat ke, ibu tiri ke, ibu saudara ke mesti mengalami sindrom-sindrom sensitif tuh.” Sebenarnya sindrom sensitif tu sindrom perempuan.
            Naira menganggukkan kepalanya. “Oh... kalau ibu jari macam mana?”
            “Hah... jangan sampai ibu jari kaki aku singgah dalam mulut kau Naira....” Gurauan kasar Mariam itu terus mengundang tawa mereka berdua.
            “Yam... kenapalah kau ni perempuan? Kalau kau lelaki, dah lama aku ajak kahwin.” Terus dipeluk Mariam ketat-ketat. Di saat dia sendirian, tuhan telah mengirimkan dia seorang sahabat yang tiada gantinya.
“Dah sudah.. Datang dah sindrom gatal dia. Betulkan otak kau tu sikit. Jangan sampai aku seterika otak kau yang berkedut tuh.”
Namun di dalam gurau, pelukan temannya itu tetap dibalas mesra. Sampai bila-bila pun dia akan cuba bantu Naira semampu yang boleh.
***
            Hari ini Dewi genap tiga bulan. Awal-awal pagi Naira sudah menghantar whatsapp kepada Amril. Diberitahu yang Naira perlu dibawa ke klinik untuk dicucuk. Jika tidak diberitahu nanti, bimbang dimarahi pula. Amril bukan boleh kira.
           
            Aku ikut. Dlm pkul 9 aku ambik kau. ~ Amril.

            X ada kelas ke? ~ Naira

            Umah kau ada saletip x? ~ Amril
            Ada. Nak buat apa? ~ Naira

            Nak saletip mulut kau yg bnyk tnya tuh! ~ Amril

            Naira ketap bibir. Tak pasal-pasal je kena perli sedas. Datanglah tu angin puting beliung nak mengamuk je. Akhirnya Naira malas hendak membalas. Baik dia bersiap supaya tak membuatkan Amril tertunggu pula. Karang makin melalut pula angin kus-kusnya itu.
            Sedang elok dia mengenakan tudung, loceng rumah berbunyi. Cepat sahaja mendekati pintu. Tak mahu Amril tertunggu.
            Tapi bila pintu terkuak, bukan  bayang Amril yang muncul tetapi wajah abangnya. Ketat. Serius. Langsung tak mesra.
            Tak mampu ditutup rasa terkejutnya. “Abang...” Lebih setahun rasanya tak jumpa abang sendiri.
            Mata Naim tidak berganjak dari memandang adiknya. Naira sudah bertudung. Manis dan sopan.
            “Nak keluar ke?”
            Naira sekadar mengangguk. Hendak dihulur tangan untuk bersalam. Tapi bimbang... bimbang jika tidak disambut nanti.
            Tanpa dipelawa, Naim masuk ke dalam rumah. Matanya mula menangkap kelibat si kecil yang sedang duduk di dalam stroller. Maknanya betullah kata peguam yang adiknya itu hendak mengambil anak angkat.
            Memang inilah motif yang membawa kedatangannya ke sini.
            “Anak siapa ni?” Soalan dingin menerjah peluput telinga. Berpura-pura tidak mengetahuinya.
            “Anak angkat Naira.” Jawab Naira tak tunggu lama.
            “Atas keizinan siapa Naira ambik anak angkat? Buat sesuatu tu langsung tak pernah reti nak berbincang dengan keluarga dulu?” Suara Naim bagai halilintar menjamah langit. Perit!
            Naira tarik senyum pendek. Menarik lengan rapat ke tubuh. “Naira ada keluarga ke?”
            Air wajah Naim sedikit berubah. Dah diagak penerimaan Naira pada kedatangannya ini.
            “Kenapa cakap macam tu? Suka ke kalau kami semua ni mati? Macam tu?”
            Kalau tak kerana suruhan papa, dia pun tak tergerak nak datang ke sini. Mereka tak pernah bermesra dengan baik. Bukan tak mencuba tapi boleh jadi mereka tak pernah ada kesempatan duduk bersama berbual-bual macam keluarga yang lain. Dari kecil mereka dah diajar hidup secara terpisah.  
            Jadi bila sesekali berjumpa, pasti rasa kekok yang akan menjadi temannya.
            “Kalau abang datang semata-mata nak cari gaduh, maaf. Naira tak berminat nak layan.” Dia dah penat menanam rajuk. Rajuk bila tak diperdulikan. Macam hina sangat bila mengemis kasih sayang dari keluarga sendiri.
            Naim tarik nafas. Sebelum balik, dia perlukan jawapan dahulu.
            “Anak siapa yang Naira ambil jadi anak angkat tu?”
            “Anak kawan.”
            “Anak kawan ke anak luar nikah Naira?” Tebak Naim sedas. Betul ke bayi itu anak angkat adiknya? Sejak bila si adik berminat pada anak kecil?
            Naira dah mula berapi dengan keceluparan mulut si abang. “Kalau anak luar nikah Naira kenapa? Abang malu? Abang nak buang budak ni macam keluarga abang tu buang Naira dulu?”
            Pang!
            Tak sempat ditahan, tangan Naim laju melempang pipi adiknya. Kenapa mulut tu celupar sangat?
            “Jangan kurang ajar sangat boleh tak?”
            Naira ketawa sinis lagi.
            “Memang Naira anak tanpa didikan ibu bapa. Jadi wajarlah kalau Naira kurang ajar kan?” Soalan berbalas soalan.
            Naim gamam di situ. Nampaknya Naira benar-benar terluka.
            “Naira...”
Dia faham apa yang dilalui oleh Naira. Kerana dia sendiri telah melalui frasa itu. Frasa ditinggalkan dan tidak dipedulikan. Seharusnya dia tahu yang si adik hanya mendambakan kasih sayang dan perhatian dari keluarga.
Dia marah kerana adiknya seakan-akan tidak mengerti bahawa mereka sebenarnya menjadi mangsa keadaan yang sama.
            “Okay. Sekarang puas dapat lempang Naira? Kalau dah puas bolehlah balik.” Suaranya senada. Berpura-pura tidak beremosi walau peritnya tamparan itu merobek tangkai hatinya.
            Berkali-kali diingatkan dirinya agar tidak menumpahkan air mata di hadapan Naim.
            Sangkanya kedatangan si abang hendak memperbetulkan keadaan yang tidak pernah betul ini. Rupa-rupanya... hubungan mereka sekeluarga nampaknya tak akan pernah ada kesudahan yang baik.
            Berat untuk Naim melangkah keluar dari rumah ini. Masalah yang papa suruh siasat pun belum selesai lagi. Salah dia sebab tak menahan sabar tadi. Salah dia sebab sekali lagi mencipta jurang antara mereka.
            Kemunculan seorang lelaki di muka pintu membuatkan Naim tak sedap hati.
            Tajam Naim memandang Amril.
            Amril pula silih berganti memandang Naira dan Naim.
            “Cakap dengan abang betul-betul Naira! Siapa mak bapak budak tu?”
“Kenapa abang nak tahu sangat? Naira tak pernah kacau hidup abang kan?” Nafas Naira turun naik mengawal marah.
“Abang peduli sebab abang tahu yang Naira terlalu naif untuk jadi seorang ibu. Hidup Naira sendiri tunggang langgang. Inikan pulak nak uruskan budak sekecil tu. Abang tak kira, abang nak Naira pulangkan semula budak tu. Abang tak mahu ada masalah di kemudian hari nanti.” Suara Naim dah capai frequensi serius.
            Naira gigit bibir. Tak sanggup andai Dewi diserah kepada orang lain. Dan tak akan semudah itu dia mengikut.
            “Kalau Naira cakap yang budak tu anak Naira. Abang nak buat apa?”
            Bukan air muka Naim sahaja yang berubah. Riak wajah Amril juga sudah tidak sekata. Bingung! Apa yang sedang berlaku antara Naira dan lelaki ini?
            “Astarfirullahalazim... Kenapa Naira sanggup buat perkara terkutuk tu? Kenapa contengkan arang di muka keluarga kita.”
            Sekali lagi Naira ketawa. Ketawa yang dibuat-dibuat. “Keluarga kita? Selama ni Naira tak rasa yang Naira ada keluarga?”
            Naim mendengus. “Naira, stop being pathetic!”
            “Kalau bukan pathetic apa bang? Apa? Hidup yang penuh warna warni ke? Hidup yang penuh harmoni. Macam gitu?”
            Masing-masing cuba melontarkan larva kemarahan. Amril terpanggil untuk berusara. Bimbang terdengar dek jiran tertangga. Dia kenal Naira. Gadis itu tak terlalu bijak untuk mengawal sabar.
            “Bang... rasanya better abang balik dulu. Nanti...”
            Belum pun sempat Amril menyudahkan ayatnya, si abang sudah memotong. “Kau diam! Kau siapa? Kau tu orang luar!” Posisi anak mata berubah memandang lelaki yang datang ke rumah adiknya ini.
            “No! Abang silap. He is part of my life.. Susah senang Naira, at least dia ada. Dia ada diwaktu orang lain tak ada. Dia ada di waktu abang tak ada.” Tekan Naira tegas.
            Naim lepas nafas. Tak percayanya dia dengar semua ni dari mulut Naira. Degil!
            “Ikut suka Nairalah. Kalau ada apa-apa jangan cari abang.” Tutur Naim bengang.
            Naira nak menjerit melarang Naim dari terus pergi. Dia nak salam dan peluk si abang. Dia nak rasa yang dia tak keseorang sekarang. Naira tahu, pasti peguam si ayah sudah memberitahu papanya perihal proses pengambilan anak angkat yang ingin dia lakukan.
            “Kau okay?” Bukan dia tak nampak situasi tegang itu tadi. Tapi malas nak busybody. Dia pun nampak Naira kena pelempang tadi.
            “Kita gerak sekarang.” Terus Naira melangkah ke dalam rumah. Mengambil Dewi dan keperluan yang lain. Wajah Amril sikit pun tidak dipandangnnya.
Malu.
Segan.
Entah apalah yang Amril fikir bila melihat kemelut keluarganya yang pincang.
***
            Balik dari klinik, Dewi sedikit merengek dan meragam. Mungkin tidak selesa bila disuntik tadi. Ditepuk punggung si kecil memujuk untuk lena.
            Amril yang memandu mengerling sedikit ke sebelah. Nampak yang Naira gelisah semacam. Pasti fikiran gadis itu kacau bilau. Sebenarnya dia tak pernah tahu pun yang Naira ada masalah keluarga. Sangkanya, hidup Naira sempurna dilimpahi kemewahan.
            Dia tahu Naira anak tokoh hartawan yang terkemuka. Tapi dia hanya tahu isi luarannya sahaja.
            “Kau tahu kenapa Dewi merengek?” Tanya Amril memecah kesunyian.
            Naira diam. Tak tahu nak jawab apa.
            “Sebab dia dapat rasa emosi mummy dia tak stabil.” Tutur Amril tanpa disuruh. Naira hanya mampu panggung kepala.
            “Kalau macam ginilah perangai kau, kau pun tak yakin yang kau boleh besarkan Dewi kecik.”
            Kata-kata Amril yang seterusnya itu memang membakar kesabaran Naira.
            “Perangai apa pulak?” Tanya Naira kasar. Geram dengan tuduhan melulu Amril itu.
            “Tak kan kau tak kenal perangai kau sendiri?”
            Kali ini, Naira rasa dia macam dah tak boleh tahan sabar. Mamat sebelah ni kalau bercakap, memang nak nampak bagus je. Macamlah perangai dia tu bagus sangat!
“Kenapalah kau sering nampak buruk aku? Cela aku? Tak kan tak ada satu pun perkara baik yang boleh discan kat mata kau tu Ril.” Mata dah berkaca. Tunggu nak pecah berderai sahaja.
“Ini yang bosan cakap dengan perempuan ni. Sikit-sikit dan berdrama air mata.” Amril bercakap dengan diri sendiri. Mata masih tekun memandang ke jalan raya.
            “Aku tak ada mood nak bergaduh Ril.” Pandangan mata dilempar ke luar tingkap.
            “Siapa ajak kau bergaduh?”
            “Kalau bukan bergaduh apa? Berkasih sayang?”
Dia mula dihentak tanda soal. Memang mereka tak pernah serupa. Tapi itu tidak bermakna mereka tak boleh membina keserasian.
            Namun bila jadi macam gini, dia mula sedar. Mereka memang tak pernah sehaluan. Tak pernah...
            Amril sengih tipis. “Itulah yang kau tak faham... Sayang tu bukan dilemparkan dengan ayat manis semata. Kadang-kadang dia digaul dengan kemarahan. Sebab tu orang cakap marah tu tanda sayang.”
            Pemanduannya terhenti di hadapan rumah Naira.
            “Kalau betul kau nak jaga Dewi, tolong ubah perangai kau tu!” Tekan Amril serius.

            Rahang Naira jatuh. Agak-agak boleh tak dia nak tumbuk Amril sekarang jugak? Demi tuhan, dia memang nak tumbuk mulut celupar Amril itu.

p/s: thanks baca. hope enjoyz walaupun ni bukan cerita sweet2... ngeeee...