Tuesday, 17 December 2013

BIAR AKU MENCINTAIMU [6]


“Ya Allah, ya Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah ya Tuhan kami, ampunilah dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami dari kecil...” Sebak suara Qiuzi mengirim doa pada Yang Maha Esa.
            Tubir mata Naira terasa panas pabila mengaminkan bacaan doa yang diketuai oleh Qiuzi itu. Acapkali dia mendoakan kesejahteraan ibu bapanya. Acapkali dia mendoakan kemaafan untuk semua dosa-dosa ibu bapanya.
Namun acapkali juga dia terlupa dan terleka untuk pergi berjumpa dengan keduanya. Memohon ampun dan khilaf kerana menanam kebencian pada ibu bapa sendiri.
            “Ya Allah, akhirikanlah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.”
            Kali ini gugur mutiara kacanya. Andai kata Tuhan ambil nyawanya sebentar lagi, redhakah ibu bapanya pada dirinya?
            “Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahkanlah kepada kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.”
            Allah. Jangan kau pesongkan hatiku. Jangan kau pulangkan daku ke jalan semalam. Ya Tuhan, tak terhitung dosanya ini.
            “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat dan perliharakanlah kami daripada azab neraka.” Terus Qiuzi raup muka.
            Amin Ya Rabbal Alamin. Doa-doa Qiuzi itu diaminkan oleh seluruh makmum. Naira tekapkan tapak tangan di raut wajah. Cepat dikesat permata yang tumpah tadi.
            Pertama kali dia mengerjakan solat subuh sajadah. Tak ada beza dari solat subuh biasa cuma diselitkan dengan sujud tilawah sahaja. Itupun diterang secara lembut oleh Qiuzi sebelum mengetuai jemaah solat.
Sungguh, rasa tenang mengalir di ruang hati.
            Disalam Puan Kamsah yang berada di sebelahnya. Beruntungnya keluarga ini. Pagi-pagi sudah meriah dihiasi dengan solat subuh secara berjemaah. Bagai gembira menyambut hari untuk dipeluangkan sekali lagi menumpang di dunia.
            Terkenangkan Villa papanya. Penuh dengan perhiasan mewah. Tapi kemeriahan seperti ini langsung sunyi.
            Pukul sebelas pun rumah itu masih sunyi. Yang kedengaran cuma dengkuran halus. Kalau bising pun, bising kerana kekecohan mereka bergaduh adik beradik. Terasa kerdilnya dirinya jika hendak dibandingkan dengan keluarga Mariam.
            “Kau okay tak Naira?”
            “Okay.” Senyuman hambar ditayang. Sejadah-sejadah mula dikutip.
            “Biar je dekat situ. Sekejap lagi saya kutip.” Tegur Qiuzi.
            “Tak apa. Bukan susah pun.” Anak mata dihala memandang wajah tenang Qiuzi. Dia nampak sesorang di balik wajah Qiuzi itu. Seorang yang dia rindu. Rindu yang tak pernah kenal erti surut.
            “Terima kasih sebab tolong jagakan Dewi semalam.” Sejadah yang dikutip dihulur pada Qiuzi.
            “Kan saya cakap saya tak terima huluran kasih isteri orang.” Dia senyum pendek.
            “Isteri orang?” Mariam di sebelah dah tayang muka pelik.
            “Eh.. pukul berapa Dewi tidur?” Cepat je Naira cantas. Biarlah, dia tak mahu Qiuzi tahu yang dia sebenarnya masih single.
            “Tak adalah lama sangat... sekejap je dia nangis. Lepas tu dengan saya-saya tertidur sebelah dia.”
            Naira mengangguk. Ialah, pagi tadi waktu bangun hendak menunaikan solat subuh, dia lihat Qiuzi sudah terbaring di sebelah Dewi kecil.
            “Okaylah. Saya nak tolong mak cik sediakan sarapan. Jom Yam...” Terus ditarik Mariam yang berdiri di sebelah Qiuzi. Minah mulut laser ni kena dialihkan.
            “Qiuzi ingat kau isteri orang ke?” Tanya Mariam sambil cabut telekung dan ditukar kepada tudung sarung pula.
            Naira angguk. Tangan ligat melipat telekung dan disangkut ke birai penyidai.
            “Kenapa?”
            “Penting ke dia tahu aku ni single ke tak?” Soalan berbalas soalan.
            “Mestilah. Sebab kalau dia tahu kau single, for sure dia akan suruh mak saudara aku tu meminang kau sekarang jugak.” Mariam kembali muncul bersama hipotesisnya.
            “Kau ni kan, betullah mulut kau ni nak kena sapu. Banyak sangat sampah sarap!” Dicubit bibir comel Mariam itu. Macam manalah dia boleh ada spesis kawan macam gini?
            “Hei, Qiuzi tu sepupu aku. Aku dah kenal dia dari kecik lagi tau. Dia bukan jenis ramah dengan perempuan pun... Tapi dengan kau dia baik semacam! Aku agak dia sukakan kau.”
            “Nonsens!”
            “Yalah... kebetulan sekarang dia memang tengah survey calon bini.”
            “Aku tak layak untuk dia Yam.”
Baru dua hari kenal Qiuzi, dia dah dapat agak Qiuzi lelaki jenis macam mana. Tengoklah macam mana dia imamkan solat subuh tadi, naik meremang bulu roma mendengar bacaan solat yang lancar dan tersusun. Perangai pun sopan. Rajin pun rajin. Jauh sangat kalau nak dibandingkan dengan dirinya.
            “Kenapa? Sebab dia tak kaya?”
            “Boleh tak jangan prejudis dengan aku? Hei, kalau aku pandang harta, tak adanya aku terkejar-kejarkan si Amril tu dulu.”
            Mariam sengih. Dia tahu. Tadi saje nak tempah marah Naira.
            “Tengok tuh, dah buat salah lepas tu tersengih?” Tombol pintu dipulas. Kalau layan Mariam, tak tertolonglah orang dekat dapur tuh.
            “Kau ingat tak macam mana kau boleh sukakan Amril?”
            Soalan itu menghentikan langkah kaki Naira yang hendak keluar. Dia angkat bahu. Entah. Dia pun tak ingat sejak bila dia mula sukakan Amril?
            “Lepas dia jadi Imam masa kita orientasi. Kau cakap, kau jatuh suka pada suara dia. Sibuk kau tanya student lelaki yang lain. Lepas tu sanggup kau cari siapa Amril dan kau terus kejar dia... Kau cakap, kau nak lelaki macam tu untuk Imamkan solat kau. Imamkan keluarga kau. Kau lupa?”
            Jatuh rahang Naira. Sungguh, dia langsung tak ingat semua tu.
            “So?” Apa yang Mariam cuba nak sampaikan?
            “Qiuzi boleh buat benda yang sama Naira..dan aku rasa dia boleh buat lebih baik. So, why not kalau kau bagi dia peluang?”
            Argghh... hantu sampuk mana pulak yang merasuk Mariam sampai nak kenen-kenenkan orang ni?
            “Lagipun, kan ke kau jugak yang cakap nak ada family sendiri. Nak ada tempat untuk kau menumpang harap. Nak ada keluarga yang meriah... Nak bina keluarga bahagia. Kan ke ini semua impian kau?” Serang Mariam bertubi-tubi.
            “Yam... kau ni.... betul-betul dah gila?” Apa kes pulak Mariam boleh recall semua perkara pasal dia?
            “Sebenarnya mak Qiuzi yang suruh aku carikan calon isteri untuk dia. Jadi, bila dah ada depan mata, aku bentanglah keras cadangan.”
            Jatuh rahang Naira.
            “I can smell something... Jangan cakap....”
            “Ya.... aku ajak kau balik ni sebab nak kenalkan kau pada Qiuzi.” Okay, Mariam dah pasti yang lepas ni mesti dia kena sembur! Tapi paling koman pun kena sembur dengan air liur. Bukan dengan M16 pun.
            “What? Come again?”
            Jantung dah masuk gear nak melompat ni.
            “Aku-nak-jodohkan-kau-dengan-Qiuzi!” Sepatah-sepatah Mariam sebut.
            Errk... aci tak kalau dia nak tumbuk Mariam sekarang? Huh!
***
            “Aku-nak-jodohkan-kau-dengan-Qiuzi.”
Berlegar-legar ayat tersebut di dalam tempurung fikiran Naira. Jembalang manalah yang sampuk otak Mariam ni sampai hasilkan idea yang langsung tak relevan ni?
            Sayur yang dipotong itu diibaratkan seperti wajah Mariam. Haih, geram betul! Rasa macam nak cincang-cincang je mulut Mariam yang overdose rajin nak kenen-kenenkan dia dengan Qiuzi.
            “Sudahlah tu... Banyak dah sayur tu Naira.” Tegur seorang mak cik  yang turut berada di dapur.
            Naira lempar senyum pada mak Qiuzi. Kalau dia tampar mak cik ni mesti mak cik tak berniat dah nak bermenantukan dia kan?
            Okay. Sungguh otaknya tak waras dah. Istighfar Naira.... istighfar...
            “Naira pandai masak?” tanya Puan Kamsah pula.
            Laju je kepala digelengkan. Karang dia suruh masak mee hoon goreng sekuali besar ni, memang naya jeh!
            “Kalau kat rumah tu, Yam yang rajin masak.” Kalau ada Mariam ni, mesti makhluk Allah tu sengih lebar sebab dia naikkan saham Mariam.
            “Yam tu memang rajin masak.. Tapi bab mengemas ni dialah ratu pemalasnya.” Haihlah, mak manalah yang tak kenal perangai anak sendiri.
            “Tak apalah.. Nanti ada keluarga sendiri, tahulah derang nak urusnya. Tak gitu Naira?”
            Naira sengih menerima ayat Puan Kamilah. Ayat mak Qiuzi ni kenapa ‘hidup’ sangat. Nak tonyoh pada dia ke apa?
            Punggungnya diangkat. Tak betah membiarkan wajahnya terus dijamah Puan Kamilah yang rajin tersenyum itu. “Naira tolong panaskan kuali ya...” Rasa kekok cuba dihalau.
            “Eh Naira...” Belum sempat ditegur Puan Kamilah, jeritan Naira sudah bergema di ruang dapur.
            “Aduhh.....”
            Puan Kamilah terus menghampiri Naira. “Lah... ni periuk panas. Mak cik panaskan lauk kenduri semalam.” Jari jemari Naira yang melepuh dipegang.
            Naira ketap bibir. Dia nak alih periuk ni sebab nak letak kuali. Itulah, pandai-pandai lagi nak tunjuk raji. Bukan tak boleh fikir yang periuk atas dapur mestilah panas! Kan dah kena! Berbakul-bakul bebelan dihadiahkan pada diri sendiri.
            “Ish... kena bawak pergi klinik nih.”
            “Tak apalah mak cik. Sikit je.” Tubir mata dah panas. Datang dah perangai anak manja.
            “Mana boleh.. ni semua jari terkena periuk panas nih!”
            Puan Kamilah mencapai susu dan disapu di jemari Naira yang melecur. Terkesima Naira dibuatnya. Terkenangkan ibu sendiri. Dia sendiri lupa bila kali terakhir dia berjumpa dengan mamanya?
            Dan pertemuan terakhir mereka disulami dengan bibit-bibit yang tidak indah untuk dikenang.
            “Sakit sangat ke?” Tegur Puan Kamilah yang dapat mengesan tubir mata Naira yang berkaca.
            Kepala digeleng tanda tidak. Air mata yang mengalir ini adalah harga sebuah kenangan yang tidak dijumpai bersama mamanya.
            Sejak mama berkahwin dengan lelaki muda, dia sendiri terputus hubungan. Rasa malu dan segan andai manusia di sekelilingnya tahu yang si ibu gatal memikat cinta lelaki muda.
            ‘Kenapalah mama dan papa tak normal macam ibu bapa orang lain?’ Naira mula tarik nafas. Kemas kinikan perasaan yang mula tak teratur. Tak baik persoalkan kejadian tuhan Naira.
            “Qiu...” Puan Kamilah menjerit memanggil anak terunanya.
            “Eh... saya okay mak cik. Sikit je..”
            “Apa ibu?” Si jejaka sudah muncul di muka pintu dapur.
            “Tolong bawakkan Naira ke klinik. Tangan dia terkena periuk panas.” Tanpa menghiraukan penolakan Naira, si ibu sudah mengeluarkan arahan pada Qiuzi.
            “Tak apa. Nanti saya pergi dengan Mariam je...”
Bila tahu isu ‘behind the scene’ tentang kisah nak kenen-kenen tu, Naira jadi tak selesa nak menegur Qiuzi.
            “Tak apalah. Yam boleh tolong jagakan Dewi. Mari saya bawakkan... Jangan risau, saya bawak adik perempuan saya untuk teman.” Dia faham kondisi Naira sebagai isteri orang. Dia pun tak cukup gila nak berdua-duaan dengan Naira.
            Naira masuk ke dalam bilik untuk mengambil beg tangan. Terperangkap pulak dengan teguran Mariam.
            “Eh, kenapa dengan tangan kau!” Nyata dia agak terkejut melihat tangan Naira. Teruk jugak tuh!
            “Jangan tegur aku. Aku kan boikot cakap dengan kau!” Sindir-menyindir tu amalan kebiasaan mereka bila bergaduh.
            Mariam lepas nafas. “Janganlah marah aku...” Suara ala-ala mintak belas ehsan dah keluar.
            “Tolong jagakan Dewi. Aku nak pergi klinik kejap.”
Beg tangan dicapai. Memang susah nak guna tangan yang dalam keadaan sakit ini. Mujur dia sudah siap mengenakan palazo dan baju lengan panjang. Jadi tak payah susah-susah nak bersiap lagi.
            “Pergi dengan siapa?”
            “Qiu....”
            “Ohh...” Dalam versi tak nak dan marah-marah pun, tetap tak tolak Qiuzi ya?
Suara Mariam itu memang nada yang mintak kena bunuh! Buat hati Naira bengkak sahaja.
            “Kau memang nak kena bunuh ya Yam?”
            Mariam ketawa tapi dalam keadaan perlahan kerana bimbang mengejutkan Dewi pula.
            “Kak, abang panggil suruh cepat.” Muncul Qariah dari balik pintu.
            Naira pusing dan memandang ke arah Mariam. “Jaga Dewi...”
            “Iya... Aku tak akan jual Dewi. Kalau aku jual pun, aku jual ke...” Mariam simpan ayat bila menangkap jelingan maut dari Naira.
            “Diam sebelum aku cop mulut kau dengan periuk panas...” Yang sorang ni memang kuat membakar sangat!
            Naira keluar rumah dengan hati terbakar, makin dimarah makin panjang pulak sengihan Mariam. Memang dasar kawan derhaka betul!
            “Eh, naik kereta saya je...” Kunci kereta dihulurkan tapi tidak disambut.
            “Tak apalah. Kereta saya je lagi pun saya dah panaskan enjin.”
            Malas berbalah, Naira menurut. Sebenarnya bimbang menyusahkan Qiuzi.
            Dari balik cermin, Qiuzi memandang wajah Naira yang muncung. Sementara nak tunggu Qairiah masuk kereta, dia berbasa basi dulu dengan Naira. “Naira, dah mintak izin suami awak dah?”
            Dahi Naira berlapis. Suami? Oh... hampir terlupa pulak yang dia berstatus isteri orang di mata Qiuzi.
            “Maaf ya... saya bukan nak jadi ustaz atau membebel. Tapi awak tahu tak, sekirangya seorang wanita sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat pada suaminya, maka dia boleh memasuki Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. Jadi, jangan terlepas merebut peluang tu.”
            Naira sengih pendek. Kelat-kelat masam je gayanya.
            “Saya dah mesej dia tadi. Dia dah tahu.” Tipu Naira. Apalah nasibnya kalau Qiuzi ingat yang dia sebenarnya masih single?
            “Okay.”
Qiuzi memulakan pemanduan selepsa Qairiah masuk ke dalam perut kereta. Ketika memandu, matanya rajin menjeling ke belakang. Terfikir-fikir sendiri. Macam mana Naira menghantar mesej dalam keadaan jari jemarinya yang melecur itu? Malah air muka Naira nampak macam ada masalah je. Dia ada masalah dengan suami dia ke apa?
            ‘Dah aku ni kenapa? Kenapa bini orang ni jugak yang masuk dalam kordinat fikiran aku nih?’
            Sesampainya di klinik, terus Naira mengambil nombor giliran. Qairiah pula membantu Naira menulis kad perubatan. Jari pula dah rasa berdenyut-denyut.
            “Awak rindu dekat suami awak ke?”
            “Hah!” Naira tayang muka pelik. Tak faham dengan konsep soalan Qiuzi itu.
            “Yalah...Rindu suami awak sampai terangkat periuk panas.”
            “Tak adalah... Saya ni yang careless...”
            Sepi mula merantai mereka.
            “Lama lagi turn ni..” Qiuzi perhatikan skrin digital di hadapannya.
            Naira yang memejamkan mata di sebelah dikerling. Pasti Naira lapar kerana tidak sempat menjamah sebarang makanan lagi.
            “Abang keluar kejap dik...” Pesanan dihantar pada Qairiah pabila melihat Naira diam.
            Qiuzi kembali dengan seplastik kecil makanan dan minuman buat alas perut.
            “Mana Qai?” Terpaksa buka mulut bertanya bila tidak dapat mengesan kelibat si adik.
            “Toilet.”
            “Nah..” Air tin soya yang sudah dibuka itu dihulurkan pada Naira.
            Naira ingin menolak tapi tekaknya benar-benar terasa kering. Dari pagi tidak menjamah sebarang minuman. Terkial-kial dia cuba memegang tin air. Bimbang terkena jemarinya yang melecur.
Qiuzi yang melihat mula menyalahkan diri sendiri. ‘Apalah bengong sangat aku ni. Kan ke jari dia melecur. Kena air tin yang sejuk tu, mestilah pedih!’
Terus Qiuzi mencapai air tin dari tangan Naira dan menyuakan straw minuman pada mulut Naira. Nampak riak wajah Naira sedikit terkejut.
            “Maaf... Saya cuma nak tolong awak.”
            Oh Tuhan, janganlah Naira berfikir yang bukan-bukan tentang dirinya.
            Untuk menjaga air muka Qiuzi, ninuman itu disedut perlahan. Nampak beberapa mata memandang pelakuan mereka. Mamat ni kenapalah baik tahap overdos!
Mata Naira terpandangkan roti di dalam plastik pembelian Qiuzi. Ada roti? Huargghh lapar. Dia ni dah lah spesis cepat kena gastrik! Tapi tak kan nak suruh Qiuzi suap pulak.
            “Sweetnya lelaki tu.. agaknya tu isteri dia ke adik dia?” Terdengar bisikan halus dari arah belakang.
            “Sweet kan? Aku harap tu adik dia! Boleh lah aku taste market! Dah lah handsome.” Sambut si kawan pula.
            Muka Naira dah merona kemerahan. Janganlah Qiuzi dengar apa yang dia dengar nih! Mamat ni pun boleh tahan berani nak suap bini orang.
 “Saya rasa seperti diperhatikan.” Qiuzi keluarkan statement perasan.
“Perasan!” Komen Naira spontan diiringi tawa kecil.
            “Awak boleh tolong saya?” Tanya Qiuzi separa berbisik.
            “Tolong apa?”
            “Tolong naikkan saham saya.” Wajah itu sudah diserang senyuman nakal.
            “Hah?”
            “Boleh ke tidak?” Tanya Qiuzi lagi.
            “Macam mana?” Nak tahu jugak, cara macam mana nak tingkatkan saham si Qiuzi nih.
            “Saya suap roti ni, awak tolong makan ya?”
            “Hah!” Dah macam orang tak betul dah duk ber‘hah’ ‘hah’ dari tadi.
            “Bukan apa, saya nak tingkatkan kadar peratusan lelaki sweet kat Malaysia nih! Lagipun, manalah tahu kalau-kalau nanti perempuan kat belakang ni tinggalkan nombor telefon ke kan? Saya jugak yang untung.”
Roti gardinia itu dicubit dan disua pada Naira. Kalau dia tak buat macam ni, dia tahu yang Naira tak akan terima suapan dia. Perut Naira perlu dialas. Sungguh, dia bukan gatal nak membirah dengan isteri orang. Kalau sesiapa pun ditempat Naira, dia akan melakukan perkara yang sama.
            “Adik... cepat... abang suap nih!” Pancing Qiuzi. Kuat pulak tuh. Nak tak nak terpaksa Naira sambut suapan Qiuzi itu walaupun dihambat rasa segan yang menggunung.
            Diam-diam Naira tarik senyum. Haihlah Qiuzi.
Tadi versi alim-alim.
Lepas tu ada versi prihatin sweet-sweet.
Ni versi nakal-nakal pulak?
Dia ni ada berapa versi hah?
            Sewaktu nama Naira dipanggil, Qariah mula mendapatkan abangnya. Dari jauh lagi sudah diperhatikan Naira dan Qiuzi.
            “Ehem... kemain nampak!”
            “Jangan salah faham ya. Abang cuma tolong dia sebab tangan dia melepuh. Itu sahaja.”
            “Oh.. kalau betul-betul pun apa salahnya. Tak salah pun kalau abang jatuh suka pada Kak Naira. Lagipun, merasa jugaklah Qai dapat kakak ipar yang cun!”
            “Ish.. gila ke? Bini orang tuh!”
            “Hah! Sejak bila pulak Kak Naira tu kahwin?”
            Kejap. Qiuzi toleh ke arah adiknya. “Apa maksud Qai ni? Kak Naira tak kahwin lagi ke?”
            “Kenapa? Dia dah kahwin ke?”
            Qiuzi tepuk dahi. Eh budak ni. Orang tanya dia, dia tanya kita balik. Sebenarnya Naira ni dah kahwin ke belum? Kalau belum, kenapa mengaku dah kahwin?
            Nampak gayanya Naira ni bukan sahaja ada sindrom unik dan pelik tapi.... misteri! Ya. Misteri.


p/s: agak2 kantoi ke tidak... heh... bab ni saje je x letak amril... biar diulit watak qiuzi.. kononnn.. nway enjoyzzz n hope so like it... 

Monday, 9 December 2013

BIAR AKU MENCINTAIMU [5]


       Cawan-cawan yang sudah digunakan dikutip. Meja yang kotor dilap. Kerja-kerjanya terhenti pabila Mariam menjerit memanggil namanya.
            “Qiu... tangkap gambar family!”
            Ish anak dara sorang ni. Ingat cantik sangat buat perangai tak siap tuh. Tuala kotor disangkut ke bahu.
            “Kan bagus kalau pergi cuit aku bisik lembut-lembut. Awak tu anak dara.” Rasanya dah acap kali teguran ini diberi. Sepupunya seorang ni memang tahap gengster. Suka nak melawan.
            Mariam sengih tak bersalah.
            “Aku nak cepat. Busy tahu tak?”
            “Alasan.”
            Mariam buat muka. “Dah jangan nak mula. Kita nak bergambar family ni.”
            Qiuzi meneruskan langkah ke depan. Sekali lagi matanya menjamah wanita yang sedang mendukung si kecil itu. Kenapa matanya payah sangat nak dialihkan?
            “Pelamin kat sini Qiu..” Dah macam manalah dia tak menjerit. Qiuzi ni banyak sangat tolnya.
            “Siapa perempuan tu?” Bisik Qiuzi di telinga Mariam.
            “Perempuan mana?” Mulut berbual sambil mata dihala ke arah kamera.
            “Yang dukung baby tu.” Tak tertahan rasa hati nak mengenali wanita itu. Air mukanya tenang.
            “Oh... member aku. Kenapa?” Dah sejak bila pulak Qiuzi ni berminat nak kenal dengan perempuan. Bukankah hidupnya hanya bertemankan spanar dan enjin kereta sahaja.
            “Tak pernah tengok. Sebab tu tanya. Erk, suami dia mana?” Nak jugak dia tahu, lelaki versi macam mana yang mampu memiliki wanita secantik teman Mariam ini.
            Belum sempat Mariam menjawab, si kakak yang berada di atas pelamin memanggil Naira.
            “Naira, kenapa tercegat kat situ je. Marilah bergambar sekali.”
            Wajah Naira terkebil-kebil. Takut nak menyertai keluarga Mariam yang meriah.
            “Tak apalah kak... lagipun Dewi asyik meragam je.”
            Tak diarah oleh sesiapa, Qiuzi turun dari pelamin. Tangan disua untuk mengambil bayi yang dipanggil Dewi itu.
            “Pergilah bergambar. Biar saya dukungkan Dewi.”
            Erk.
            “Pergilah...” Tanpa izin si ibu, tubuh si kecil dicapai.
            “Naira cepat..” Jerit Mariam. Mulut dah tersengih-sengih. Ada yang tak kena dengan Qiuzi nih. Sah mamat ni dah kena sampuk!
            “Siapa mamat tu?” Soalan versi sama tapi datang dari dua orang yang berbeza.
            “Sepupu aku. Kenapa, berminat ke?”
            “Ish.. ke situ pulak kau ni. Tadi dia tolong aku. Baik orangnya.” Puji Naira ikhlas. Dari tadi tak lokek membantu.
            “Memang baik. Dia tengah cari calon isteri tu. Kau nak isi kekosongan ke?” Seloroh Mariam sengaja. Tak salah pun kan kalau nak kenenkan Naira dan Qiuzi.
            “Kau ni... melalut je.”
            “Apa yang mengarutnya. Tak salahkan kalau kau nak kahwin. Lagipun Dewi perlukan kasih sayang seorang ayah.” Mereka berdua turun dari pelamin.
            “Ril kan ada. Aku percaya dia boleh jadi daddy yang baik untuk Dewi.” Setakat ni dia puji Amril. Tak pernah sekali pun mengabaikan tanggungjawab pada Dewi. Cuma kebelakangan ini sahaja lelaki itu dijamah kesibukan.
            “Ril memang boleh bagi kasih sayang dia pada Dewi kecik. Habis tu kau macam mana? Kau pun perlukan kasih sayang seorang lelaki. Mungkin dah sampai seru kau buka hati kau untuk orang lain pulak.”
            “Kau ni, belajar tak habis lagi sibuk fikir pasal kahwin kan?”
            Anak mata meliar mencari kelibat Qiuzi. Ceramah Mariam boleh buat otak Naira berkedut.
            “Yam... tolong mak cari barang kejap.” Puan Kasmah datang menarik anak gadisnya.
            Naira narik nafas lega. Sendat emosi nak berbalah dengan Mariam.
Kakinya melangkah ke ruang tengah rumah. Mata menangkap kelibat sepupu Mariam yang sedang mendodoikan Dewi. Lembut sahaja alunan zikrullah itu menyelinapkan rasa tenang.
            “Dah tidur?”
            “Eh.. sorry... Tempat tadi penuh sangat. Agaknya anak awak rasa tak selesa. Tu yang merengek tu.”
            “Dari malam semalam dia asyik meragam. Mungkin tak biasa dengan suasana dekat sini.” Naira cuba menghalau rasa kekok antara mereka.
            “Suami awak mana?” Qiuzi cuba menahan gelodak hatinya dari bertanya namun perasaannya kuat untuk mengenali lelaki bertuah itu.
            Air muka Naira berubah sedikit. Nampak gayanya sepupu Mariam ini belum mengetahui kisah sebenar. Serasanya semalam Mariam ada bercerita pada ahli keluarga yang lain.
            “Dia tak datang sekali?” Tanya Qiuzi bila melihat wanita dihadapannya sedikit termanggu-manggu.
            “Tak.” Tak terasa pula hendak mengaku yang Dewi ini anak angkatnya.
            “Hmm.. mungkin jugak anak awak rindukan ayah dia.” Anak kecil biasanya memang macam gitu. Terkesan jika kerinduan pada orang yang dia sayang.
            “Mungkin jugaklah...” Hari ni langsung tak update apa-apa pada Amril. Matilah kalau lelaki itu mengamuk! Bukan dia tak mahu tapi line memang macam mintak jadi arwah. Lembab ya Rabbi.
            “Walaupun awak tak tanya, tapi saya nak beritahu yang nama saya Qiuzi. Dan walaupun mungkin awak tak mahu jawab, saya tetap nak tanya nama awak apa?”
            Segaris senyuman lahir di pipinya. Sopannya lelaki ni. Dah lama tak jumpa stok-stok lelaki sopan nih. “Nama saya Naira. Naira Ilyani. Anak saya tu nama Dewi. Dewi Ilyani.”
            “Sedap nama. Sesedap mata memandang.” Kenapa mulut dia ringan sangat nak memuji perempuan ni?
            Naira sengih. Oh Qiuzi ni. Mulut manis bergula. Ramai agaknya perempuan kat luar sana yang kena potong kaki dengar ayat manis versi macam gini.
            “Belajar sama-sama dengan Yam ke?” Tanya Qiuzi lagi.
            Naira menggangguk. Kasihan pula melihat Qiuzi yang nampak lenguh itu.
            “Untungnya.” Beruntung sungguh lelaki yang memperisterikan wanita seperti Naira Ilyani ini. Dah dia ni kenapa? Bini orang ni weh? Rasa nak tumbuk diri sendiri sebab tetiba bertukar birah.
            “Apa yang untung?” Tak faham maksud kata-kata Qiuzi itu.
            “Maksud ‘untung’ saya tu sebab awak muda-muda lagi dah kahwin. Ada anak pulak tuh. Bagi saya perempuan macam tu dah sempurna. Ada pelajaran, ada keluarga.... kagum sekejap sebab saya tahu bukan semua perempuan mampu buat macam tu. Sesetengah orang kan tak percaya pada kemampuan diri sendiri untuk kendalikan keluarga dan pelajaran dalam masa yang sama.”
            Naira diam. Dia tak lah sehebat itu. Dia masih belajar menjadi mummy yang baik buat Dewi. Tugasnya lebih ringan sebab dia sebenarnya tak ada suami untuk dijaga. Jadilah boleh lebihkan fokus pada Dewi dan study. Itupun kucar lana lagi jadual hidupnya.
            “Mesti suami awak memahami awak kan? Dan mesti dia seorang yang hebat sebab boleh buat awak percaya pada diri awak sendiri untuk berkahwin dan belajar dalam waktu yang sama.”
            Makin menjadi-jadi pulak pujian Qiuzi ni. Rasa menyesal pulak tak bercakap benar tadi.
            “Sebenarnya....” Baru je Naira nak bukak mulut, nama Qiuzi dilaung kuat.
            “Okay,  I got to go. Dayang-dayang istana dah memanggil. Kenduri kendara ni jelah peluang derang nak perah semua kudrat saya ni..” Seloroh Qiuzi lalu menyuakan Dewi pada ibunya semula.
            “Terima kasih....”
            “Maaf... tak boleh terima.”
            “Erk, kenapa pulak?”
            “Mana boleh terima kasih isteri orang. Mahu suami awak kejar saya guna parang!” Sejurus itu, terus lelaki itu meninggalkan Naira sendirian.
            Naira gigit bibir. Mamat nilah. Boleh tahan jugak melawak ya?
            “Ehem-ehem....” Tanpa berpaling pun, Naira dah tahu pemilik empunya suara.
            “Kau kenapa?”
            “Tengoklah muka aku ni Naira...” Wajahnya disua dihadapan mata Naira.
            “Apa yang peliknya? Tak ada berubah jadi Siti Nurhaliza pun.. Nealofa pun tidak.. Muka kau macam muka kaulah!” Sindrom lawak kampus dah merasuk.
            “Ish kau ni.. Ke situ pulak. Aku tunjuk jerawat aku ni hah.”
            Jerawat di pipi sebelah kanan Mariam itu dipandang. “Kau ni kenapa? Sebelum ni tak pernah kisah pun pasal jerawat?”
            Mariam simpan senyum. “Kau tahu tak? Jerawat ni tak dijemput tapi tetap datang. Bila dihalau, tambah ramai pulak dia punya geng! Derang ni tak malu ke menumpang dekat tempat orang eh? Tak beradab langsung.”
            Naira ketawa. Apa punya falsampahlah yang Mariam reka tu.
            “Tapi kan... aku rasa jerawat ni sama je dengan definasi cinta.”
            Tepukkan Naira pada punggung Dewi kecil mula bertukar perlahan. Ada yang tak kena dengan ayat Mariam itu.
            “Cinta tu pun walau tak dijemput, ia tetap datang. Bila dihalau, makin menjadi-jadi pulak keinginannya. Tapi cinta wajarlah kalau nak menumpang dekat hati orang. Kira tak biadaplah. Cuma kadang-kadang tuan punya hati yang tak beradab tolak perasaan cinta tu.”
            “Hei tenuk, apa yang kau merepek hah?”
            “Tenuk kau panggil aku?” Mariam cekak pinggang.
            “Dah tu merepek sangat.. aku panggilah tenuk!”
            “Kejap....” Mariam tahan tangannya sendiri. Mukanya terkebil berfikir. “Apa kaitan tenuk dengan merepek?”
            Muka Mariam nyata blergh habis.
            “Perumpamaan aku kan.. Jadi ikut suka akulah. Dah dah. Diam! Anak aku nak tidur ni.” Akhirnya dapat jugak dia larikan Mariam dengan sindrom-sindrom falsafah dia yang merapu mintak penyapu tuh.
            Bukan Naira tak tahu yang Mariam tu mesti nak mengusik dia dengan si Qiuzi. Cukuplah.... buat masa ini dia tidak mahu terikat perasaan dengan sesiapa pun. Lagipun, Qiuzi kan ingat dia dah kahwin?
***
            Telefon dicapai. Ada panggilan yang dijawab dari Naira semalam. Dah dua hari dia tak mendengar sebarang berita dari Naira tentang Dewi.
            Skrin telefon disentuh. Nombor Naira didial.
            “Assalamualaikum Ril...” Suara orang disana macam tak cukup nafas. Buat larian dua round ke macam mana?
            "Naira, kau kalau jadi PA, mesti kena buang kerja." Belum pun Naira siapakan jentera pertahanan, terus Amril bagi das tembakan. 
"Ril, sebelum kau smash aku, jawab salam dulu...” Sempat jugak Naira bagi ayat perli.
“Waalaikumusalam. So sekarang boleh smash dah?”
Sorry Ril.. sorry sangat. Aku bukan tak mahu call kau tapi line kat sini macam haram! Sikit punya arwah lagi tenat dan nazak." Sungguh-sungguh Naira yakinkan Amril.
Hei, ingat dia buat hikayat ke? Memang line susah nak dapat. Nak kata cerok sangat tak jugak. Tapi dasar line telefon kat sini memang tak beradap. Tak hormat tetamu langsung. Ini pun kena bercakap dekat luar rumah.
"Naira, behave with your words... Kau tu mak orang." 
Apa bendalah minah ni. Nak kalut sangat kenapa?
Bibirnya tarik sengih. Lega dengar suara Amril yang suam-suam kuku. Tak menggelegak nak telan orang.
"Sorry... Tapi malam semalam aku ada call kau tapi kau tak pick up phone.” Bukan salah dia sepenuhnyalah kan kalau Amril yang tak angkat telefon.
"Hmm.. mungkin aku tengah kerja kot."
Amril pejam mata. Ini pun dia baru balik dari kerja. Terpaksa gantikan shift Yusof yang terpaksa cuti kecemasan. Amril raut wajah. Jambang dah meliar merata tempat. Sibuk berkerja sampai lupa nak belek diri sendiri. Biarlah berjambang pun, bukan ada orang kisah.
"Kerja?"
Cepat Amril tersedar. 
"Maksud aku ada kerja.... ada kerja..." Oh tidak. Naira tak boleh tahu yang dia buat kerja part time. Tak-Boleh!
“Oh…”
“Dewi okay?”
“Okay… Cuma meragam sikit. Mungkin rindukan daddy dia.” Cerita Naira ringkas.
“Aku pun rindu dekat dia.” Hampir dua minggu tak bertemu dengan Dewi. Bukan tidak mahu tapi kengkangan waktu menghalang.
“Rindu konon… Padahal dah berapa lama kau tak jumpa Dewi? Ni Dewi dah tanya dah, kau ada awek lain ke selain dia? Asyik busy je memanjang!” Kot-kotlah Amril duk kalut dating, itu yang tak terjumpa Dewi tu.
“Dewi yang tanya ke ataupun mummy Dewi?” Sempat pula Amril hantar soalan berbau usikan.
Naira dah masuk gear pelik. Sejak bila pulak Amril pandai bergurau mesra-mesra begini?
“Mummy tak kisah pun daddy nak dating, tapi janganlah sampai lupa anak.... Kalau Dewi dah merajuk nanti, susah nak pujuk ya.”
“Kalau Dewi susah nak pujuk, mummy dia tolonglah pujuk on behalf daddy...” Saran Amril pula.
“Tak kuasa dan tahap tak rajin nak memujuk on behalf kau tu. Sekarang tak apalah, dia kecik lagi. Dah besar nanti, barulah kau tahu susahnya ada anak perempuan ni.”
“Mummy dia kan tak kuat merajuk. Dewi pun mestilah macam gitu.” Ya, dia puji tahap mental Naira. Gadis itu mana reti nak merajuk bagai. Dihentam, dicerca, paling koman dia menjawab balik. Merajuk bawak diri tu tak pernahlah pulak.
“Kau ni puji aku ke apa?” Meremang pulak bulu roma dengar ayat baik-baik Amril nih.
“Dah tu, kau jugak yang suruh aku tanamkan sindrom ‘ayat baik-baik’ kan? Ke kau nak kena maki?” Betullah perempuan ni banyak songeh.
Bibir Naira menarik senyum. Dia jentik hati ini dengan usikan. Tapi kesannya macam kena tampar! Mungkin sebab dia tahu lelaki ini bukan untuk dirinya.
            “Suara kau macam penat sangat. Hari ni kan hari cuti Ril, banyakkan berehat.”
            “Naira...” Seru Amril dengan mata terpejam.
            “Yaaa...” Panjang pula sahutannya.
“Suara kau sedap tapi kalau kau tak membebel, lagi sedap.”
            Ciss!
            Naira ketap bibir. “Menyampahlah cakap dengan kau ni.”
            “Aku pun menyampah cakap dengan diri sendiri.”
            Amril ni mesti tengah mamai. “Dah lah Ril, pergi tidur. Dah lewat.”
            “Okay. Sampaikan peluk cium aku dekat Dewi ya? Nite.. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.” Talian talian terus diputuskan. Pabila di pintu rumah, dia terserempak pula dengan Qiuzi yang mungkin baru selesai mengemas bahagian beranda.
            “Baru lepas bergayut dengan cik abang ke?”
            Naira sekadar tersenyum. Rahsia yang satu tu tak terbongkar lagi. Malas pulak nak bukak cerita tu. “Awak tak siap mengemas lagi? Dah pukul berapa ni. Pergilah tidur.”
            “Kejap lagi saya tidurlah. Awak tu yang kena pergi tidur. Selamat malam.”
            Qiuzi membuka laluan untuk Naira lalu. Tak tahu kenapa, dia suka tengok wajah Naira. Wajah itu bagai disimbah sinaran cahaya. Tapi bila didekati, hanya kabus kusam yang melingkari air wajah itu.
Wanita ini..... unik dalam pelik!
***
            Badannya dibawa ke kanan. Kemudian ke kiri. Rasa tak kena lagi jadi dia bangun. Jam ditilik. Sudah menginjak tiga pagi rupanya. Kalau tersedar waktu sebegini, baiklah dia bertahajud.
            Diperhatikan sepupu lelakinya yang tidur bergelimpangan di bahagian ruang tamu  ini. Biasalah, kenduri memang macam ginilah fesyennya. Mata merayap ruang kosong untuk menunaikan solat. Sesudah solat dan berwitir, terdengar tangisan dari dalam bilik.
            Lama dia memandang ke arah pintu bilik yang menempatkan Mariam, Naira dan si kecil Dewi.
            Hampir lima minit berlalu dan tangisan Dewi masih lagi kedengaran. Jadi Qiuzi bangun. Pintu bilik itu diketuk.
            Mariam dan Naira saling berpandangan. Siapa pulak yang ketuk pintu bilik mereka malam-malam ni. Kalau mak dia, mesti tak payah ketuk. Terus terjah. Mungkin... Qiuzi?
            Cepat Naira capai tuala dan dililit ke kepala. Pintu bilik ditarik sedikit. Mata yang masih terpisat itu menangkap susuk tubuh Qiuzi yang berkopiah putih.
            “Kenapa Dewi nangis?”
            “Tak tahulah.” Adoi, apa punya mummylah bagi skop jawapan tak tahu.
            “Boleh saya dukung dia?”
            Mariam dan Naira saling berpandangan. Tanpa menunggu persetujuan Naira, laju je Mariam menghulurkan Dewi pada Qiuzi. Serius dia penat dan mengantuk. Ada orang offer nak jaga Dewi, laju je dia bertindak. Macam manalah nak jaga anak sendiri nanti?
            “Ish... tak payahlah Yam. Menyusahkan Qiuzi je...” Dewi kecil cuba diambil tapi cepat je dilarikan oleh Qiuzi.
“Korang pergi tidur... Biar saya je yang tidurkan Dewi. Ini arahan mandatori.”
Dari pintu bilik, dia tengok Qiuzi sedang mendodoikan Dewi dengan alunan zikrullah seperti siang tadi. Suaranya, boleh memuka emosi dan rohani.
            “Dah dua malam dia meragam macam gini. Sebelum ni tak pernah pulak.”
            Mariam angguk. Dia sedia maklum. Dia kan duduk bersama dengan Naira jugak. Dia pun sama-sama tolong besarkan Dewi. “Mungkin.... Dewi meragam sambil buat survey kot!”
            “Survey?”
            “Survey calon suami untuk mummy dia!”

            Erk!! 


p/s: lama jugak x update kan.. maaf andai x best di merata-rata tempat.. almaklum, otak masuk air banjir sikit..hahaa.. do enjoyz n do komen.. =)

nway thanks pada doa2 kalian waktu sy ditimpa banjir.. Alhamdulilah, bersyukur dengan segala ujian n dugaan yang Allah kirim...