BAB 21
“Macam mana dengan laporan saya doktor. Sakit biasa je
kan?” Tanya Farafeesa. Hari ini dia keputusan pemeriksaannya akan keluar. Pelik
juga dia dengan kemerahan yang berada di pipinya dan sakit kepala yang sering
melanda.
“Berat untuk saya menuturkan.” Kata-kata doktor pun dah
saspen.
Farafeesa hanya mampu menelan air liur yang terasa kelat
itu. Dari suara Doktor Hidayah itu, Farafeesa sudah dapat mengagak. Akan ada
sesuatu yang akan bakal merubah nasibnya nanti.
“Saya sakit apa Doktor?”
Perlahan-lahan, persoalan itu keluar dari mulutnya. Berat
untuk lidahnya bergerak untuk menuturkan soalan. Namun berat lagi hati yang
bakal memikulnya. Beberapa kali Doktor Hidayah memandang pesakitnya itu.
“Doktor, beritahu je... saya boleh terima.” Farafeesha
mula mengetap bibir. Berat untuk Doktor mengungkapkannya, berat lagi bahu yang
menanggung.
“Dari pemeriksaan yang dijalankan, awak menghidap
panyakit Systemic Lupus Erythematosusatau atau singkatannya dipanggil SLE.”
Farafeesha mula menutup mulutnya dengan telapak tangan.
Dapat dirasakan yang kelopak matanya sedikit panas. Air mata mula bergenang di
tubir mata. Menunggu masa untuk jatuh menyapa pipi.
Terpana dia seketika.
‘Ya Allah, adakah ini adalah dugaanMu atau ini adalah
bala dariMu?’ Farafeesa mula ambil sikap sedar diri. Dia tidak berhak
mempersoalkan apa-apa sekalipun.
“Awak tak apa-apa?”
Doktor Hidayah dapat mengesan kecelaruan fikiran
pesakitnya tika ini. Ini bukan pertama kali dia melihat kondisi seperti ini.
Sudah acap kali. Bahkan dirasakan, Farafeesa lebih tenang mendengar
kenyataannya tadi.
Kebanyakan orang sebenarnya pasti akan terus menangis dan
meraung sekuat hati. Tapi gadis ini hanya tergaman sahaja. Tiada tanda-tanda
yang gadis itu akan menangis.
“Teruk ke Doktor?”Setelah diambil nafas berulang kali,
barulah dia berupaya mengeluarkan pertanyaan.
“SLE ialah penyakit kronik autoimun di mana antibodi dalam
tubuh pesakit yang sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tiba-tiba
berubah dengan menyerang sel badan atau organ manusia. Dalam kata lain, ia satu
gangguan sistem imun membabitkan sistem imun itu sendiri melawan
bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.
Penyakit ini menyerang
individu secara tiba-tiba dan masa ia menyerang tidak diketahui. Ia mempunyai
spektrum yang luas di mana ada pesakit yang mendapat penyakit SLE ringan dan
ada yang memperoleh serangan sangat serius.”
Jelas Doktor Hidayah panjang lebar. Namun dia perasan
yang jiwa Farafeesa seakan-akan terbang melayang. Jasadnya berada di
hadapannya. Namun rahsia hatinya, siapa yang tahu.
“Saya akan sembuh kan?”
Entah kenapa, soalan itu lahir dari mulutnya. Farafeesa dapat merasakan yang jiwanya lemah
dalam menanggung ujian Allah kali ini. Farafeesa sangat akui yang dia terlalu
lemah.... Namun setelah difikir-fikir, sejak bila dirinya kuat?
‘Aku tak pernah berdaya dalam apa juga perkara
sekalipun!’ Rasa sedih mula menimpa-nimpa membelah jiwa.
“Terus terang, kajian menunjukkan bahawa penyakit ini
tidak boleh disembuhkan. Namun masih boleh dikawal dengan pengambilan ubat
secara berterusan. Dalam hal ini, awak perlu kuat Feesa.. Sebab kalau awak
lemah, penyakit ini akan mudah menyerang antibodi awak sendiri.”
Farafeesa tunduk merenung jauh. Entah apa yang
difikirannya, dia sendiri tidak tahu. Semuanya seakan-akan bertebangan ditiup
angin.
‘Ya Allah, tolong tiupkan semangat kepadaku.. untuk aku
melangkah dengan diiringi oleh kekuatan... Pinjamkan aku kekuatan Ya Allah...’
Farafeesa teramat mengharapkan belas ehsan dari Yang Maha Pencipta.
“Ada kebarangkalian untuk membawa maut?” Dirinya sendiri
tidak dapat mengelak dari bertanya soalan yang tidak-tidak.
Mata mereka saling beradu. Mencari kepastian yang pasti
akan terjadi. Kepastian yang yang menuntur kekuatannya untuk terus melangkah.
Doktor Hidayah menarik nafas sedikit. Mencari ruang untuk
cuba memberikan peluang kepada pesakitnya sendiri bernafas di bumi Allah ini.
“Sejujurnya, penyakit ini memang boleh membawa maut kerana SLE berupaya
menyebabkan kegagalan fungsi organ atau serangan SLE itu sendiri terlalu kuat
dan dinamakan krisis lupus. Antibodi juga boleh memecahkan sel-sel darah merah
dan menyebabkan pesakit kurang darah merah. Ia boleh menyerang kulit dan ia
boleh menyerang sendi, buah pinggang, jantung, paru-paru, saraf dan otak.”
Sejurus mendengar pengkhabaran dari Doktor, Farafeesa
mula bersandar lemah ke kerusi. Entah kenapa, dia mula terfikirkan keluarganya
di rumah. Mula terfikirkan kembarnya itu. Memikirkan tanggungjawabnya yang
masih belum dilunaskan dengan sempurna. Semua ini mampu membuatkan air matanya
kabur.
‘Bertahanlah wahai hati. Bersabarlah wahai
jiwa...Bersatulah wahai sanubari..’
Farafeesa cuba mengelipkan matanya beberapa kali. Dengan
cara itu, pasti air mata tidak jadi hendak mengalir. Jika air mata itu hendak
mengalir sekalipun, dia akan pastikan yang tiada sesiapa yang akan melihat
permata jernih ini.
Mungkin air mata itu bukan tanda lemah, tapi Farafeesa
tetap tidak suka menzahirkan permata itu dengan kesedihan. Dia sedaya upaya
cuba untuk menangkan pendiriannya. Walaupun sebenarnya, dia sudah sedia kalah
dari sejak mula.
“Saya akan sarankan beberapa jenis ubat yang perlu awak
ambil. Sebarang perubahan bilangan ubat akan ditentukan oleh saya. Jangan sesekali membuat keputusan sendiri
untuk berhenti atau mengurangkan bilangan ubat apabila rasa sudah baik sedikit.”
Doktor Hidayah terus menulis sesuatu di atas buku rekod
kesihatan milik Farafeesa. Farafeesa mula merenung kembali masa silam. Mencari
silapnya yang bersepah dimana-dimana.
Mungkin inilah masanya untuk dia memperbetulkan kembali
hubungannya dengan Allah. Mencantumkan kembali hubungan silaturahim dengan
ibunya yang keretakan itu. Banyak perkara sudah mula mendapat tempat di fikiran
Farafeesa.
Dia perlu terus menyimpan duit untuk adik-adiknya.
Sekarang dia akan terus berkerja keras untuk menyimpan duit untuk bekalan buat
keluarganya. Jika dia tiada satu hari nanti, mungkin duit yang ada mampu
meringankan beban ibu dan abah.
Usah pernah disalahkan takdir yang melanda. Farafeesa
kembali merenung kembali sejarah silam. Dia akui yang dirinya tidak mampu untuk
mengubah masa silam. Tapi dengan izin Allah, dia teramat teringin untuk
merangka masa depan. Semuanya untuk keluarganya.
Dia tidak akan berputus asa. Dia tidak akan berputus
harap pada Allah. Itu tekadnya. Moga Allah bersamanya untuk setiap langkah
perjalananya nanti.
“Nanti nurse akan beritahu tarikh appointment yang
seterusnya. Ubat jangan lupa makan. Penyakit ni memang amat bergantung pada
ubat. Bersabarlah Feesa... Allah menguji manusia itu berdasarkan kemampuan
seseorang itu.”
Nasihat Doktor Hidayah itu Farafeesa sambut dengan
senyuman. Bukankah senyuman itu tanda kerelaan hati menempuh ujian Ilahi.
“Terima kasih doktor.”
Baru sahaja Farafeesa bangun, namun suara Doktor Hidayah
membantutkan niatnya.
“Feesa, saya tak pernah anggap pesakit itu sebagai orang
luar. Saya anggap dia macam kawan saya sendiri. Sebab masa merawat pesakitlah
waktu saya berteman dan berkawan. Kalau tak, asyik sibuk memanjang dengan tugas
yang tak pernah selesai. Kalau ada apa-apa masalah, jangan segan-segan minta
tolong dengan saya ya.”
Entah kenapa, Doktor Hidayah terpanggil untuk menjadi
sahabat pada Farafeesa. Air muka gadis itu penuh dengan rasa tabah mengharungi
semua ini.
“Terima kasih Doktor... Bangga pula ada kawan dalam
bidang kedoktoran.” Sempat pula dia mengusik Doktor Hidayah. Entah kenapa,
kata-kata Doktor Hidayah seperti dapat mengurangkan bebanan yang sudah mula rasa
tidak tertanggung.
‘Segala yang berlaku, pasti ada hikmah. Pasti...’
Bab 22
“Asal
muka kau monyok je weh?” Sergahan Faraneesha itu tidak langsung dapat
mengejutkan Farafeesa dari mimpi ngerinya. Bagaimana ya dia hendak menerima
hakikat yang hidupnya akan berakhir secepat ini.
“Weh,
aku cakap dengan kau ni? Kau apasal? Nak kata gaduh dengan pakwe, tak ada
pakwe, nak kata gaduh dengan suami, lagilah jauh menyimpangnya. Single-single
lagi dah buat muka ketat. Dah ada laki nanti tak tahulah macam mana.” Bebelan
Faraneesha itu langsung tidak apat menyembuhkan kesedihan kembarnya itu.
“Helo,
kau ni dah pekak ke atau dah buta. Aku dok bebel dari tadi, sikit pun kau tak
layan.” Kali ini, nada suara Faraneesha sudah mula meninggi. Sakit hati melayan
adiknya yang sakit jiwa.
Farafeesa
mengeluh sedikit. Namun kedengaran sungguh berat.
“Aku tak
ada mood ni. Jangan kacau boleh tak?” Terdiam Faraneesha dibuatnya. Entah
apalah yang menganggu saraf permikiran Farafeesa ini.
“Nak
kacau jugak.” Sakat Faraneesha sengaja. Ketika dia sedang bengang atau marah,
pasti Farafeesa akan menganggunya. Kini tiba masanya pula ingin membalas
dendam.
“Kau ni
kenapa? Kang kalau aku marah kang kau nangis pulak. Dah tak ada kerja lain ke?
Keluarlah!”
Dia
bukan bimbang jika kemarahanya tumpah pada Faraneesha. Tapi dia bimbang andai
air mata yang sudah mula bertakung ini akan tumpah membasahi pipi. Berhadapan
dengan Faraneesha membuatkan kekuatan yang dikumpul dari tadi hilang begitu
sahaja.
“Helo,
yang kau tak pasal-pasal mengamuk ni kenapa? Cubalah belajar bersabar sikit.
Ini tidak, cepat sangat nak melenting. Tak ada pasal aku nak keluar, ini pun
bilik aku jugak. Kau siapa nak halau orang.” Sudah lama rasanya mereka tidak
bergaduh sebegini rupa.
“Serabutlah
kau ni.” Dibalingnya bantal ke arah Faraneesha. Bengangnya tidak terkira
rasanya. Sedangkan dia sedaya upaya mengawal rasa hati yang menangis.
‘Cukuplah
sekadar di hati.. Cukuplah sekadar di jiwa... jangan terluah dek fizikalku Ya
Allah..’
“Otak
kau tu yang serabut. Nak mengata aku pulak.” Balas Faraneesha berani.
“Yang
kau memekak ni kenapa. Kalau nak duduk dalam bilik ni, tutup mulut tu. Telinga
yang Allah bagi kat aku ni bukan untuk dengar kau membebel.”
“Mulut
yang Allah bagi kat aku ni bukanmya untuk ditutup. Fungsinya ialah untuk
bercakap. So, aku hanya gunakan kelebihan yang Allah bagi pada manusia je.
Salah ke?” Naik darah Farafeesa dibuatnya.
Mula-mula
sekadar ingin memainkan emosi milik Farafeesa. Alih-alih emosinya pula yang
bercelaru. Aishh...
“Ini amaran
aku yang terakhir, sekali lagi kau bercakap, nahas kau aku kerjakan.” Muka
Farafeesa sudah kemerahan kerana menanggung marah yang tidak terkira banyaknya.
Sumpah rasa hendak menangis!
Sudahlah
dia mengetahui satu hakikat yang bagai tidak boleh diterima oleh akal
fikirannya, Faraneesha pula asyik mencari pasal dengannya. Dia bukanlah seorang
serikandi Islam yang dibekalkan dengan kesabaran yang menggunung. Dia hanya
manusia biasa yang dikurniakan perasaan marah, sedih, kecewa dan banyak lagi.
“Eleh, tak
takutlah. Pirahhhhh!!!!”
Farafeesa
sudah berdiri dari pembaringannya. Tangannya sudah dikepal dengan sekuat hati.
Faraneesha mula menelan air liur. Tidak pernah membayangkan yang Farafeesa
bakal bertindak sebegini rupa. Nampaknya, dia bergurau memang tidak kena masa.
“Apahal
korang berdua ni? Satu lorong boleh dengan suara korang bergaduh.” Puan Azah
muncul disebalik pintu. Nyaring sungguh suaranya.
Farafeesa
buat muka. Bengang pastinya. Dan selepas ini, dia sangat pasti yang ibunya
pasti akan membela Faraneesha. Buah hati pengarang jantungnya. Merangkap anak
kesayanganlah katakan.
Farafeesa
mendegus kasar!
“Feesa,
kamu tak ada kerja lain ke selain dari cari gaduh hah?” Tengok, sememangnya semua
ini sudah berada dalam percaturannya.
“Siapa
yang ganggu siapa sekarang?” Jawab Farafeesa keras.
Ya, selepas ini ibunya boleh berbahagia dengan
pemergiannya nanti. Nanti, ibu tak payah peningkan kepalanya dengan karenah
anaknya yang berbagai ini. Mungkin inilah hikmahnya. ‘Pemergianku ini pasti
dinanti-nanti oleh Ibu.’
“Bila
aku cakap sikit menjawab. Tak reti langsung nak hormat orang tua.”
‘Bebellah
lagi ibu. Nanti ibu tak akan memebebel dah kat angah ni. Nanti bila angah dah
pergi, memang senanglah hati ibu kan?’ Ya Allah... hatinya melarang dari terus berfikir
yang tidak-tidak. Tapi emosinya juga seperti manusia biasa. Dia tidak punya
kekuatan luar biasa untuk menghadapi semua ini.
“Ibu,
dahlah. Neesha yang salah. Neesha kacau dia.” Tidak sanggup rasanya untuk
melihat Farafeesa dimarahi sedemikian rupa. Memang ini semua berpunca dari
salahnya. Salah kerana mencari pasal dengan mood Farafeesa yang bercelaru itu.
“Kalau
tak nak kena kacau, pergi duduk dekat gua nuh. Hah, masa tu jangan sibuk nak
mencari keluarga pulak. Hiduplah kamus orang-sorang dengan dunia kamu tuh.’
Sesudah
itu, Puan Azah berlalu keluar. Meninggalkan si kembar sendirian. Muka Farafeesa
sudah merah menahan marah dan tangis. Faraneesha hanya mempu mengigit bibir.
Tidak tahu hendak berkata apa lagi.
“Puaslah
hati kau sekarang kan?” Jerkah Farafeesa.
Namun bibirnya diketap sedikit. Mengawal intonasi suara
dan agar tidak terlalu kuat hingga boleh mengundang kedatangan ibuna semula.
Entah kenapa, Farafeesa terasa hendak berdoa agar ajal
cepat-cepat menjemput dirinya. Senang sikit hati orang disekelilingnya ini. Namun
cepat-cepat dia sedar diri. Mengapa dengan mudah emosi mengawal akal fikiranku.
‘Ya Allah.. Ampunkan dosaku!’
“Aku
bergurau je. Kau tu yang ambik serius sangat. Kau ingat aku suka ke bergaduh
dengan kau.” Jawab Faraneesha perlahan.
“Yalah.
Balik-balik aku jugaklah yang salah. Kaulah manusia yang paling berguna dan
perfect dalam dunia ni.” Hambur Farafeesa lantang.
‘Mungkin sedikit kebencian harus ditinggalkan sebagai
kesan di dalam hati Neesha. Nanti bila aku pergi, dia tak akan terasa sangat
kehilangan aku.’
Sejurus
kemudian, Farafeesa menyembamkan mukanya ke dalam bantal. Malas ,mahu terus
bertikam lidah dengan kembarnya itu.
Faraneesha
menyesal kerana membangkitkan kemarahan ibu pada adiknya itu. Bukan niatnya
untuk mencari gaduh. Dia hanya cuba ingin menceriakan Farafeesa sebagaimana
gadis itu tidak pernah gagal dalam mengembalikan hatinya yang rawan tika
bersedih.
Seringkali
dia akan mengelak jika berlaku pertempuran di antara mereka berdua. Kerana dia
tahu, jika mereka terus bertikam lidah dan bermasam muka, yang terlebih terluka
ialah Farafeesa kerana ibu pastinya akan membela dirinya walaupun kesalahan itu
bermula dari dirinya.
‘Maaf
Feesa, aku sentiasa menjadi kakak yang tak berguna pada kau.’ Matanya mula
kabur dek genangan air mata yang mula bertakung. Dia memang sensitif orangnya.
Apatah lagi hal yang melibatkan Farafeesa, lagilah hatinya cepat tersentuh.
BAB 23
“Sejak
akhir-akhir ni saya nampak muka awak macam tak bermaya je? Ada apa-apa masalah
ke?”
Farafeesa
hanya menunduk sedikit. Tidak langsung punya niat untuk menjawab pertanyaan
bosnya itu.
“Feesa..
I’m talking to you. Jangan buat saya rasa macam cakap dengan tunggul.”
Tersentak sedikit Farafeesa dibuatnya apabila mendengar suara Ezrakil yang agak
meninggi itu.
“Sorry
bos. Saya okay je.”
Ezrakil
rasa tidak sedap hati melihat bidadari hatinya itu. Entah apalah masalah gadis
itu sehingga dapat meragut segala keceriaan dan sifat banyak cakap gadis itu.
“Bos dah
siap sign dah?”
Melihat
Ezrakil hanya memandangnya kosong, Farafeesa melahirkan pertanyaan. Dia tidak
mahu terus berlama-lama di dalam bilik bosnya ini. Sesak rasanya kepala
otaknya.
“Apa
sebenarnya masalah awak ni?” Keras Ezrakil bertanya.
“Bos,
kalau saya ada masalah pun, ada menyusahkan bos ke?” Hah, tak pasal-pasal pulak
bos yang terkena tempias kemarahannya. Seketika, terus dia tersedar dari
kealpaannya kerana terlepas laku.
‘Nasib kaulah
bos.. suka sangat cari pasal kenapa?’
“Kalau
ada masalah sekali pun, jangan pandai-pandai nak menimbulkan masalah saya
pulak. Ni apa hal ni? Cop terbalik, resolution banyak yang salah. Spelling
salah eja. Kerja macam budak tak sekolah ni kenapa?”
Bukan
niatnya untuk memarahi bidadari hatinya itu. Tapi Farafeesa benar-benar
kelihatan tidak berdaya. Adakah mungkin gadis itu tension dengan lambakan kerja
di office ataupun masalah dirumahnya? Persoalan ini hanya Farafeesa sahaja yang
dapat menjawabnya.
“Saya
mintak maaf bos. Biar saya buat semula.” Dia memang malas hendak bertekak
dengan sesiapa pun. Tapi makin dia cuba menghindari perbalahan, makin kuat
pulak ujian yang mendatang. Jangan sampai office ini terbalik kerana terkejut
dengan kemarahannya nanti.
“Awak
dah tak ada kerja sampai buat satu kerja banyak-banyak kali. Ingat Feesa, saya
bukan bayar gaji buta dekat awak. Kita ni profesional, jadi buat kerja macam
orang profesional. Jangan bawak masalah masuk dalam tempat kerja. Kalau tak
macam nilah jadinya.”
Kalau
ikutkan hatinya yang agak membara itu, hendak sahaja diluku-luku kepala Ezrakil
itu. Suka hati bercakap sampai lupa hendak menjaga hati dan perasaan orang
lain. Cukuplah dia seorang sahaja yang tak berperasaan. Jangalah nak melibatkan
orang lain pulak.
“Awak
dengar tak apa yang saya cakap ni Feesa?” Apa kenalah dengan Farafeesa ini? Bingung
dia memikirkan bidadari hatinya ini.
“Saya
dengar bos. Sound bos tu memang dah cukup kuat dah.” Memang berani sungguh dia
bertikam lidah dengan bosnya sendiri.
“Habis
tu, tunggu apa lagi. Pergilah betulkan.” Dia cuba mengeraskan nada suaranya
walaupun dihalang keras oleh hatinya sendiri. Kusut dia melihat Farafeesa yang
terus mencapai semua fail dan berlalu keluar.
Farafeesa
yang ada masalah, dia pulak yang pening sebegini rupa? Entah-entah gadis itu
merasa tension kerana layanannya? Kasar sangat ke? Nampak sangat ke? Arghhhh,
kusut rambutnya dibuatnya apabila tangannya tidak henti-henti dari menguak
rambutnya.
Lantas
ditekan interkom memanggil Atiq masuk. Sungguh dia tidak boleh menghadapi
keadaan seperti ini.
“Ada apa
Encik Akil panggil saya?” Sudahlah muka Farafeesa kelat semacam, masuk dalam
pun sama jugak. Dia orang ni bergaduh ke? Sebab apa? Entah-entah dia orang ni
bercinta senyap-senyap kot? Begitu banyak spekulasi daaaa...
“Kenapa
dengan Farafeesa tu? Kerja dia banyak tak betul sejak akhir-akhir ni.” Tanpa
kenyataan dari Ezrakil pun, Atiq sudah pun mengetahuinya. Dia sendiri menjadi
saksi betapa tidak terurusnya Farafeesa ketika ini. Entah apalah masalahnya.
Jika ditanya, hanya kebisuan yang hadir sebagai jawapan.
“Saya
sendiri tak tahu bos.”
Ezrakil
mengeluh perlahan. Hatinya digaru rasa bimbang. Sudahlah muka Farafeesa sudah
mahal dengan senyuman malah mulutnya juga sudah seperti ada jongkong emas.
Payah benar untuk mendengar suara bidadari hatinya itu.
Atiq
tersenyum di dalam hati dikala melihat perlakuan bosnya yang jauh menyimpang
dari perangai asalnya. Sepertinya, Ezrakil kelihatan sungguh serabut.
Mungkin akibat dipanah cinta oleh rakan
sekerjanya itu.
‘Hebat
jugak penangan si Feesa ni.’
“Dia ada
masalah kewangan ke?” Entah kenapa, soalan itu tiba-tiba terpancul keluar dari
mulutnya. Atiq hanya mampu mengeleng. Tanda dia tidak punya jawapan kepada
soalan majikannya itu.
‘Ambik
berat jugak bos ni kat Feesa. Nasib badanlah Feesa. Mujur badan kau tak berat
je. Kalau tak jenuh si Ezrakil nak mengangkatnya. Hehehe..’
“Awak
boleh tolong saya.” Kali ini dibetulkan sedikit postur duduknya. Mukanya
kedepan sedikit.
“Tolong
apa bos?”
“Tolong
siasat kenapa Feesa jadi macam ni.” Tak tertelan rasanya air liur mendengar
pengakuan majikannya itu.
‘Muka
aku ni ada gaya macam James Bond ke? Ada ke patut dia suruh aku yang tengah
bunting ni menyiasat. Ish, mahu terberanak aku nanti.’
“Eerr,
saya cuba tolong mana yang saya tahu eh.” Atiq memilih jawapan yang selamat.
Kalau ditolak karang, ada pulak kena potong gaji nanti.
“Saya
mintak tolong sangat dengan awak Atiq. Lagipun, awak sorang je yang rapat
dengan Feesa dalam office ni.” Tanpa sedikit pun rasa malu, Ezrakil terus
merayu hingga membuatkan Atiq serba salah sendiri.
“Saya
cuba semampu saya bos. Err tapi boleh saya tanya sesuatu?” Dalam takut bin
berani dia melahirkan pertanyaan.
“Teruskan.”
“Bos
tanya-tanya ni sebab bos suka dekat Feesa ke?” Gulp. Tak tertelan rasanya air
liurnya. Bagai tersekat di anak tekak. Seperti ada polis trafic yang
menyekatnya.
“Saya
bukan apa Atiq, saya tak nak pekerja saya bermasalah dengan masalah yang sama.
Kalau kita boleh tolong untuk settlekan, apa salahnya kan.”
Dia cuba
control kelakuan, riak wajah dan macam-macam lagilah agar tidak dikesan oleh
Atiq.
“Memang
beruntung Feesa sebab dapat bos yang prihatin macam Encik Akil ni.” Dalam
diam-diam, dia memerli majikannya itu.
“Eh,
bukan dia je. Semua pekerja saya pun beruntung tau. Termasuklah awak Atiq.
Kalau saya ni tak berperikemanusiaan, mesti saya tak suruh awak buat kerja
dalam office je walaupun kerja hantar documen ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia
sepatutnya dilakukan oleh awak. Tapi saya suruh Feesa kan. Sebab, awak tu bawa
budak.”
Atiq
tersenyum malu sendiri. Dia tahu yang majikannya itu amat mengambil berat hal
ehwal pekerjanya. Ezrakil menjaga pekerjanya lebih baik dari Dato Effendi
dahulu. Firma ini berjaya diterajui oleh Ezrakil dengan caranya yang
tersendiri.
“Saya
tahu bos. Hmm, kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu ya.”
“Jangan
lupa tau dengan apa yang saya suruh tu.”
“InsyaAllah
tak lupa. Lainlah kalau saya hilang ingatan. Hehehe.” Atiq sekarang pun bukan
main lagi suka menjawab. Ini semua mesti hasil didikan si Farafeesa. Hmm,
Farafeesa lagi.
‘Feesa,
boleh tak awak duduk diam-diam dalam kepala otak saya ni. Ini tidak, asyik
menyerarabutkan je adalah. Sudahlah hati saya awak dah curi, jadi tolonglah
saya sikit sayang oit.’
Ah
sudah. Ezrakil sudah diserang sakit jiwa. Jiwa kacau kerana dipanah cinta si
Farafeesa. Bidadari hatinya.
BAB 24
Tudung
Faraneesha sedikit beralun tika angin pantai mula menyapa dengan penuh
kelembutan. Terasa senang melepak di tepi pantai ini sambil menghadap laut.
Perkara biasa yang mampu membuatkan hari-hari biasa menjadi indah.
“Neesha,
awak bahagia tak?” Berkerut dahi Fafaneesha mendengar soalan tunangnya itu.
Masa hendak bertanya lagi sedangkan kegembiraan memang sudah terpacar di
wajahnya. Terus dia berpaling ke arah Luqman.
“Tak
cukup nak digambarkan dengan kata-kata sebanyak mana kebahagiaan yang saya rasa
sekarang Luqman. Neesha bersyukur pada Allah sebab dia meminjamkan kebahagian
yang terlalu besar untuk Feesa yang terlalu kerdil ini.” Luah Faranesha ikhlas. Luqman hanya sekadar
tersenyum. Menghargai ucapan dari tunangnya itu.
“Macam
mana eh jika ditakdirkan Allah, tiba-tiba kebahagiaan kita ni disentap pergi?”
Faraneesha mengerutkan dahinya. Yang pasti dia pelik menyambut huluran soalan
dari Luqman.
“Uish,
tak nak fikirlah yang bukan-bukan. Kenapa nak fikir sesuatu yang bukan kerja
kita. Benda-benda macam ni boleh menyongsangkan Iman tau.”
“Hmm,
jom kita tanya soalan pelik-pelik nak?” Usul Luqman semangat. Dahinya berkerut
lagi apabila menyambut kata-kata Luqman itu.
“Soalan
apa?”
“Okay,
biar Man yang tanya dulu eh?” Berdebar-debar Faraneesha dibuatnya. Muka Luqman
kali ini serius benar.
“Andai
ditakdirkan Man pergi dulu, apa Neesha nak buat?”
“Apa ni,
tanya soalan macam ni. Tak naklah.” Bagai diragut jantungnya tika Luqman
bertanyakan soalan maut itu. Dia berpaling ke arah lautan yang terbentang.
Kenapa hatinya tiba-tiba rasa tidak enak ya?
‘Ish.. Lempang jugak budak ni karang... Ini bukan soalan
pelik? Ini soalan menyakitkan hati!’
“Lah,
jawablah. Nama pun soalan pelik-pelik.” Tersenyum sahaja Luqman ini. Sedang soalan
yang ditanya itu bagai belati tajam yang menghunus tangkai jantungnya.
“Neesha
nak nangis empat puluh hari empat puluh malam.” Spontan jawapan itu keluar dari
mulutnya. Ya, apa lagi yang boleh dia lakukan selain dari menangis. Allah sudah
menarik pergi segala nikmat hidup berpasangan, jadi apa lagi yang tinggal
untuknya.
“Uish,
ada pulak macam tu?” Ternyata, dia tidak menyukai jawapan tunangnya itu.
“Habis
tu, what should I do Luqman? Bukan senang nak terima hakikat yang awak tak ada
dalam hidup saya.” Perlahan-lahan ayat itu singgah di cuping telinga Luqman.
Namun tidak sedikit pun dia memandang Luqman. Dia tidak berani.
“Carilah
peganti saya...”
Faraneesha
segera berpaling menghadap Luqman. Matanya mencerlung. Tubir matanya
seakan-akan mula terasa panas.
“Senang
je awak cakap kan?” Faraneesha sudah mula kebengangan.
“Kalau
cakap senang, nanti senanglah jadinya.” Ujar Luqman. Masih dalam mood bergurau.
Padahal Faraneesha sudah terasa seperti hendak pengsan.
“Hahaha...
Kelakarnya....” Perli Faraneesha serius.
Selama
tiga tahun menyemai kasih, boleh bilang dengan jari berapa kali mereka bermasam
muka. Ini kerana layanan Luqman tidak pernah berkurang atau melebihi had yang
sepatutnya dia dapat.
Kesabaran
dan ketenangan lelaki itu sering mendidik Faraneesha agar menjadi lebih
bersabar dalam mengharungi pancaroba dunia ini. Benar kata orang tua, jika kita
mendapat pasangan yang baik, kebaikan pasangan kita akan meresap dalam diri
kita. Malah kita ingin menjadi lebih baik dalam semua perkara kerana gandingan
kita itu tersangatlah baik.
“Betullah
saya cakap kan, awak kena cari peganti saya. Sebab penungguan awak tu tak akan
ada penghujungnya. Apa yang awak kumpul dengan saya ni mungkin akan menjadi
sebuah kenangan untuk awak simpan di masa depan.
Dan
menangis tak akan dapat pulangkan sesuatu yang awak hilang Neesha. Tapi doa
boleh dikirimkan buat insan yang telah pergi tu.”
Tergeleng-geleng
kepala Faraneesha mendengar kata-kata Luqman yang sungguh perit untuk ditelan.
Semuanya bagai tersekat dikerongkongnya.
Lantas
dia bangun dari duduk dan mula melangkah menyusuri pantai. Dia terasa
benar-benar ingin menangis bercampur sakit hati kerana Luqman sejak akhir-akhir
ini sering berkata yang tidak-tidak.
“Tengok
tu, suka tinggalkan saya. Nanti bila saya tinggalkan awak, hah baru awak rasa
air laut tu dalam ke tak.” Masih lagi bergurau hingga Faraneesha sesak nafas
dibuatnya.
“Apa
masalah awak ni?”
“Tak ada
apa-apa masalah pun.”
“Awak
memang suka sakitkan hati saya kan?”
“Mana
ada. Hati awak kan pada saya. Saya jaga elok-elok je tau.”
Merah
muka Faraneesha menahan tangis dan akhirnya, matanya yang sedari tadi kabur
kini sudah mula memuntahkan air mata. Dia mula teresak sendiri.
“Hei,
jangan menangislah. Saya bergurau jelah.” Cemas Luqman dibuatnya. Menyesal pula
kerana membuat tunangnya itu menangis ditepi pantai ini.
“Cakap
jelah yang awak dah tak ada perasaan pada saya. Habis cerita. Tak payahlah nak
bangkit cerita pasal matilah, itulah, inilah. Kalau dah tak sayang, just terus
terang je. Saya boleh terima Luqman. Tapi jangan cakap macam ni. Saya boleh
sakit jiwa jawab setiap pertanyaan awak yang bagai boleh mencabut nyawa saya
Luqman.”
Faraneesha
meluahkan keluh resahnya dengan linangan air mata yang tidak henti-henti
mengalir. Luqman dibelasah rasa serba salah yang bukan sedikit. Entah kenapa,
soalan itu sebenarnya keluar spontan dari mulutnya. Hatinya bagai ingin tahu
sekali apa jawapan tunangnya itu.
“Neesha,
awak nampak tak langit yang kat hujung pantai tu?” Soal Luqman tiba-tiba.
“Apa
kena-mengena langit tu dengan cerita kita sekarang?” Keras pertanyaannya. Bengang
sungguh dia dengan Luqman. Ketika dia sedang menangis pun, lelaki itu masih ada
masa bercerita tentang langit. Apa kes dengan Luqman ni?
“Alah,
jawab jelah sayang.” Dengan senyuman manis, Luqman memujuk dengan sabar.
“Nampak.
Saya belum buta lagi.” Agak kasar sedikit bahasanya. Namun Luqman mengerti
kerana kemarahan Faraneesha berpunca dari dirinya.
“Awak
nampak tak laut yang terbentang luas ni?” Tanya Luqman lagi.
“Apa ni
Luqman. Saya nak baliklah.” Bosan dia melayan keranah Luqman yang berbagai ini.
Tadi cerita pasal mati, lepas tu cerita pasal langit dan sekarang cerita pasal
laut pulak. Hah, lepas ni cerita pasal ikan-ikan kat dasar laut pulak. Eee,
macam belajar geografi pulak. Subjek yang paling dibenci ketika disekolah
menengah dahulu.
“Sayang,
jawab jelah.” Masih setia memujuk dengan lembut.
“Nampak
sayang... Laut, langit, matahari, pasir, kapal kat hujung tu, semua saya
nampak.” Luqman ketawa kecil melihat reaksi tunangnya yang seakan-akan sedang
merajuk itu. Suara Faraneesha halus memperli dirinya.
“Okay,
memang Neesha nampak laut dengan langit tu tapi Neesha nampak tak yang dia
orang tengah berpacaran di hujung tu?” Berkerut dahi Faraneesha mendengar
penerangan Luqman itu.
“Merepeklah.”
Protes Faraneesha. Entah dari buku cerita manalah Luqman mencedok kisah kasih
ini.
“Itulah
awak tak tahu. Kita sering dihidangkan dengan kisah kesetiaan ombak dengan
pantai sedangkan langit dengan laut pun bercinta jugak tau. Kalau awak nak
tahu, awan selalu jelous dengan percintaan langit dan laut. Sebab tu
kadang-kadang awan duduk di tengah-tengah antara mereka untuk menghalang
percintaan mereka.”
Faraneesha
yang pada mulanya rasa ingin tergelak, kini
mula memberikan fokus untuk terus mendengar cerita Luqman yang tidak
pernah didengari dari mana-mana lagi.
“Dan
langit pun menangis bila percintaannya dihalang oleh awan. Tapi tangisan langit
tak sia-sia sebab angin yang sedang bertiup itu mendengar rintihan hati langit.
Dan angin pun menebarkan sayapnya dan terus menhalau awan yang tadinya menjadi
penghalang di antara laut dan langit.
Dan
akhirnya, mereka pun terus bercinta hinggalah sekarang. Kalau kita dapat tengok
kat hujung kaki langit tu, kat situlah mereka berdua berpacaran tau.” Semangat
Luqman terus bercerita tentang kisah percintaan langit dan laut.
“So apa
motifnya?”
Tersenyum
Luqman mendengar soalan Faraneesha yang sudah boleh diagak itu.
“Motifnya
setiap perhubungan itu pasti akan dilanda badai. Tak kiralah macam mana
beratnya ujian tu, kita mestilah terima dengan hari yang rela. Kerana kerelaan
hati itulah tanda menerima takdir ilahi ni.
Dan jika
ditakdirkan jika kita berpisah satu hari nanti,
ingatlah bahawa ada kenangan yang masih boleh disimpan namun kita tetap
tidak boleh hidup dalam kenangan. Biarlah kenangan itu dititip kemas dalam
kotak ingatan tapi hidup tetap perlu diteruskan.”
“Gaya
awak cakap macam nak berpisah dengan saya.” Keluh Faraneesha kesedihan.
“Hanya
Allah yang tahu betapa dalamnya lautan kasih buat awak Neesha. Saya anggap awak
sebagai anugerah dan amanah dari Allah untuk saya. Saya tak janji untuk berada
di samping awak untuk seumur hidup awak tapi sepanjang hidup saya ni, saya
memang hanya pernah dan pandai menyintai awak. Bukan perempuan lain.
Rasa
sayang yang kita rasa sekarang bukanlah satu jaminan kebahagiaan untuk hari
esok. Mungkin jugak kasih sayang ini adalah pembunuh untuk terus alpa dengan
segala nikmat dunia ni. Jadi cinta dan sayang sebenar hanyalah pada Allah
tetapi disandarkan pada seorang manusia. Kerana jika kita hilang kekasih di
dunia ini, kita masih punya kekasih yang kekal abadi. Yang akan mendengar
segala keluh resah milik kita.”
Peringatan
dari Luqman itu Faraneesha menyisip kemas dalam kepala otaknya. Dia tersenyum
sedikit. Tanda dia menerima kata-kata Luqman itu. Memang mati itu sesuatu yang
pasti. Dan memang sakit jika kehilangan insan yang tersayang. Bukan sahaja bagi
dirinya malah bagi seluruh makhluk Allah di muka bumi ini.
“Terima
kasih kerana mengingatkan saya.” Faraneesha mula mengelap air mata yang tumpah.
“Memang kita dah bertunang, tapi itu tidak bermakna kita
akan kahwin. Kalau kita dah kahwin pun, itu tak bermakna jodoh itu akan
berkekalan sampai hujung hayat kita. Kalau ditakdirkan jodoh kita terhenti di
sini, saya tak mahu awak tutup pintu hati awak dari sesiapa pun. Saya nak awak
simpan saya sebagai kenangan tapi saya tak mahu awak hidup dalam kenangan.
Kalau ditakdirkan yang bukan saya yang bahagiakan awak, saya terima takdir
Allah itu. Dan saya harap awak pun macam tu.” Sambung Luqman lagi. Bertambah
serius nada suaranya. Mereka saling bertatapan.
Susah!!!
Itulah satu perkataan yang Faraneesha rasa sekarang.
Bagaimana hendak menerima jika ditakdirkan yang satu hari nanti dia akan
kehilangan kasih Luqman. ‘Tak nak fikir... tak nak fikir... tak nak fikir...’
Faraneesha sudah tidak mahu menyambung kata. Bimbang nanti Luqman akan berkata
yang tidak-tidak lagi.
Luqman
sekadar tersenyum sahaja memandang Faraneesha. Dia tidak pernah berjumpa dengan
gadis seperti Faraneesha. Gadis yang unik dalam serba serbi. Kerana itu
kasihnya terlimpah padanya. Alhamdulilah, Allah mengurniakan seorang wanita
yang baik untuk menjadi ratu dan ibu kepada anak-anaknya nanti. Moga Faraneesha
akan membantunya menjaga dan mendidik anak-anak yang semakin terdedah dengan
dunia tanpa sempadan ini.
“Boleh
saya tanya sikit?” Tanya Faraneesha tiba-tiba.
“Apa
dia?”
“Laut tu
lelaki ke perempuan?”
Berkerut
dahi Luqman mencari-cari jawapan kepada persoalan tunangnya itu.
“Hmm,
entahlah. Dia orang ada jantina ke?” Usik Luqman nakal dan akhirnya mereka
melepaskan tawa bersama. Riang sungguh rasa hati apabila cinta menyelimut jiwa.
Moga kebahagiaan ini kekal ke hujung nyawa. Amin...
BAB 25
Farafeesa
berlalu tanpa sedikit pun semangat. Apa yang dia rasa sekrang ialah ingin
menangis, menangis dan menangis. Namun yang pelik, air matanya sedikit pun
tidak mahu jatuh ke pipi. Ianya hanya sekadar tersimpan kemas di tubir mata.
Berada
di hospital ini membuatkan jiwa Farafeesa sepi tanpa rasa bahagia. Apatah lagi
selepas mendengar penerangan dari doktor yang merawatnya tadi. Penyakit SLE
yang dihidapinya makin serius dan sudah merebak ke seluruh anggota badannya.
Dari
kejauhan, matanya jatuh pada seorang pemuda yang pernah bertembung dengannya
beberapa kali. Sudah agak lama dia tidak bertembung dengan suami palsunya itu.
Nazreen
yang sedang duduk itu kemudiannya rebah ke tanah sambil tangan kananya tidak
lepas dari memegang dadanya. Farafeesa yang melihat itu terus berlari.
Menghampiri Nazreen sambil menjerit ke arah jururawat yang berada tidak jauh
dari tempat Nazreen rebah.
Farafeesa
mula tidak senang melihat keadaan Nazreen itu. Memang mereka tidak pernah
mengenali diantara satu sama lain dengan tersangat baik namun kesakitan Nazreen
sedikit sebanyak mengusik perasaannya.
Penyakit
apakah yang dihidapi oleh Nazreen sehingga dia rebah di taman hospital? Dan
baju pesakit yang dipakai oleh Nazreen itu menguatkan lagi andaian Farafeesa
yang lelaki itu memang sakit. Tapi persoalannya sakit apa?
“Feesa,
apa kau buat kat sini?” Suara itu mengejutkan Farafeesa dari lamunan. Pantas
dia berdiri dan bersalam dengan Atiq.
“Aku
tunggu Nazreen.” Terang Farafeesa agak gugup. Bagaimana jika Atiq bertanya
tentang kehadirannya di hospital ini? Apa jawapan yang harus diberi.
“Sebenarnya
kau dengan abang ada apa-apa ke?” Sejak hari itu dia ingin sekali mengetahui
hubungan Farafeesa dengan abang iparnya itu. Namun tidak pernah ada masa dan
waktu yang sesuai untuk melahirkan pertanyaan.
“Kita
orang berjumpa secara tak sengaja. Berkawan pun tak. Bermusuh pun tak, apatah
lagi bercinta Tiq.”
Kata-kata
Farafeesa itu sedikit sebanyak melegakan Atiq. Dia tidak mahu jika ahli
keluarganya menuduh Farafeesa yang menjadi orang ketiga dalam hubungan Nazreen
dan Misya yang berantakan semenjak dua menjak ini. Kedinginan Nazreen dan sikap
keras kepala Misya itu makin mengeruhkan lagi hubungan mereka berdua.
“Jangan
salah faham. Aku cuma tanya je.” Agak kelesuan sedikit wajah sahabatnya itu.
Mungkin kerana baru pulang dari pejabat dan terus bertandang ke hospital ini.
“Sebenarnya
apa penyakit abang ipar kau tu?” Dia teringin benar untuk tahu.
“Hepatisis
C.”
“Hah, ya
ke? Macam tak gaya orang sakit pun. Bandar dia sasa kot. Cuma tadi masa dia
pengsan, memang nampak cengkung.”
“Sakit
dia memang dah makin teruk. Sekarang cuma perlu tunggu penderma hati je. Tapi
tulah, bukan senang nak jumpa penderma. Seribu orang menanti penderma hati tapi
yang menderma tu sorang je.” Keluh Atiq perlahan.
“Semua
ahli keluarga tengah risau sekarang. Apatah lagi keadan Abang Ayien dah
kritikal sangat. Hanya tunggu masa sahaja. Aku berdoa agar ada seorang yang
akan sudi menderma hati kepada abang Ayien nanti.” Kata-kata Atiq bermain di
telinganya.
Entah
mengapa, tergenang air mata di tubir matanya. Apabila mengenangkan yang keadaan
Nazreen tidak ubah seperti keadaan dirinya juga. Adakah ahli keluarganya nanti
akan turut risau jika dia berada di tempat Nazreen sekarang?
Ataupun
mereka sebenarnya senang hati. Lebih-lebih lagi ibu. Mungkin ibu akan lebih
senang tanpa kehadiran dirinya di dunia ini. Ibu akan lebih senang apabila
melihat sekujur tubuhnya terbaring di katil hospital. Mungkin ibu lebih senang
menerima pengkhabaran tentang penyakit yang dihidapinya.
Hampir-hampir
sahaja permata jernih itu mendarat di tubir mata. Entah kenapa dia tidak dapat
menahan daripada jatuh menyembah pipi. Tanpa Atiq sedari, cepat-cepat dia
menyapu air mata yang menitis perlahan itu. Segera diceriakan kembali wajahnya.
Tidak mahu jika Atiq mula berfikir yang tidak-tidak.
“InsyaAllah,
pasti akan ada seorang yang baik hatinya. Yang akan mendermakan hatinya kepada
Nazreen nanti.”
Tiba-tiba dia tercengang mendengar kata-katanya sendiri.
‘Kenapa tidak aku sahaja yang menderma? Bukankah aku tidak dapat hidup lama
lagi? Kalau memang aku tak dapat hidup lama, mungkin aku dapat menyumbang untuk
kehidupan orang lain. Ya Allah, adakah ini sebenarnya laluan yang Kau ingin
tunjukkan kepadaku?’ Idea itu berlegar-legar di ruang fikiran.
Dia perlu lakukan sesuatu... Ya perlu.!!!
Terus
dia bangun dari duduk dengan agak tergesa-gesa. Sehingga mengejutkan Atiq yang
sedari tadi asyik mengelamun.
“Kau nak
balik dah ke?”
Jika tadi dia melihat muka Farafeesa sedikit pun tidak
bermaya. Malah hanya kesepian bermaharajalela di ruangan wajah itu. Namun kini
entah kenapa wajahnya disinari dengan cahaya senyuman. Sesuatu yang Atiq
sendiri tidak dapat mengagaknya.
“Aku ada
kerja sikit. Aku pergi dulu.” Terus dia berpaling dah memulakan langkah. Namun
tiba-tiba mati tanpa diduga. Segera dia berpaling. Berjalan kembali ke arah
Atiq yang agak terpinga-pinga memandang dirinya yang mungkin berkelakuan agak
pelik.
“Aku
doakan agar kau dan ahli keluarga kau kuat untuk hadapi semua ini.” Digengam
erat tangan Atiq. Bagai hendak terputus urat saraf Atiq dibuatnya. Dalam pada
masa yang sama, dia mula mengumpul kekuatan milik sendiri untuk menghadapi hari
esok.
***
“Saya
hargai usaha awak untuk menderma itu Feesa... tapi maaf.. sebab awak tak boleh
menderma...”
Farafeesa
kembali menyandar ke belakang kerusi. Seketika tadi dia terlalu gembira.
Gembira menahan perasaan apabila memikirkan yang dia boleh melakukan satu
amalan kebaikan.
“Kenapa?
Kenapa susah sangat saya nak buat baik?”
Entah kenapa dia boleh mengeluh. Namun cepat-cepat
dikejutkan hati. Agar tidak terus hanyut dengan kelekaan. Agar tidak
menambahkan dosa yang sudah sedia banyak.
Hidayah tersenyum sedikit sambil memandang Farafeesa.
Mujur sahaja dia sedang berada dalam waktu rehat. Bolehlah dia menemani
Farafeesa sambil menjawab pertanyaan yang bermain di benak Farafeesa.
“Saya tak mengalakkan awak menderma sebab awak mengidap
SLE.. dimana akan ada satu ketika nanti, kemungkinan virus akan menyerang organ
dalaman awak sendiri. Jika menderma, awak mungkin akan mengalami kompilasi
Feesa. Dan pihak hospital tidak membenarkan pembedahan dilakukan jika akan
menyebabkan kompilasi terhadap penderma itu sendiri.”
Jelas Doktor Hidayah lagi. Muka Farafeesa kelat sahaja.
Tidak secerah ketika berjumpa dengannya tadi.
“Feesa, ada banyak lagi jalan menuju ke arah kebaikan..
Lakukan perkara yang awak mampu Feesa.. Jangan paksa diri nanti memakan diri.”
Lembut Doktor Hidayah menasihati sahabat barunya itu. Dia senang berkawan
dengan Farafeesa. Dia senang menemani Farafeesa. Gadis itu agak unik pada
pandangannya.
“Tapi saya takut tak punya banyak masa lagi Dayah....”
Jauh Farafeesa termenung. Mungkin mencari kekuatan yang hampir hilang.
“Feesa, awak masih boleh sembuh... Sesuatu penyakit itu
akan ada penawarnya. Yang penting, diri awak sendiri kena kuat. Baru awak boleh
hadapi semua ini.”
“Entah kenapa, saya berharap agar saya cepat pergi...”
“Feesa....” Doktor Hidayah menyeru nama Farafeesa. Dia
tidak suka jika Farafeesa bercakap yang tidak-tidak.
Muka Doktor Hidayah tegang sahaja. Tiba-tiba Farafeesa
menghamburkan tawa. Terasa lucu melihat sahabat barunya itu. Sepertinya mereka
sudah kenal lama.
“Awak sayang saya?” Entah kenapa, terasa seperti tertanya
soalan bodoh sahaja. Tapi dia teringin berkongsi sesuatu dengan Doktor Hidayah.
“Mestilah sayang... awak kan kawan saya.” Doktor Hidayah
melayan Farafeesa seperti anak kecil.
“Tapi kita kan baru kenal?”
“Persahabatan yang baik bukan diukur pada jangka masa
perkenalan mereka. Tapi terukur pada kekuatan kasih sayang mereka.” Doktor
Hidayah masih setia menjawab sambil tersenyum. Bagaikan memujuk kekasih hati
sendiri pula.
“Tapi... saya tak pasti kalau ibu sayang pada saya atau
tidak...” Perlahan-lahan Doktor Hidayah berpaling pada sahabatnya itu. Nada
serak sedikit.
“Feesa....”
“Sebab tu saya harap nanti bila saya pergi, saya tak akan
menyusahkan ibu lagi...” Entah kenapa, Farafeesa dihurung rasa sebak. Mungkin
kerana dia jarang meluahkan perasaaan dengan sesiapa pun. Jadi kerana mereka
sahabat baru, dia senang meluahkan rasa hati yang selama ini tersimpan kemas.
“Feesa....” Dipaut bahu Farafeesa. “Jangan fikir
bukan-bukan ya...” Dia mengelap permata milik Farafeesa. Entah kenapa,
keperitan Farafeesa bagai meresap jauh ke dalam sanubarinya.
“Kalau ditakdirkan saya meninggal, saya berharap dapat
mati di pangkuan dia.. saya...” Farafeesa sudah tidak dapat meneruskan
kata-kata. Air matanya laju mengalir. Terhenjut-henjut dia menangis di bahu
Doktor Hidayah.
“Feesa, lepaskan semuanya ya.... lepaskan....” Pujuk
Doktor Hidayah. Dia pun ikut turut menangis. Hatinya tersangat terusik
mendengar luahan hati Farafeesa.
“Saya janji, saya tak akan menangis dah....” Farafeesa
berjanji pada dirinya sendiri. Biarlah ini kali yang terakhir dia menangis.
Selepas ini, dia akan mempersiapkan segalanya. Persiapan dari segi fizikal dan
rohani.
‘Ya ALLAH,
berikan taqwa kepada jiwa ini dan sucikan hatiku kerana Engkaulah sebaik-baik
yang mensucikannya. Engkau pencipta dan pelindung hatiku...Ya ALLAH,
perbaikilah hubungan antara aku dan ibu, rukunkan hati kami, tunjuki kami jalan
keselamatan dan selamatkanlah kami dari kegelapan.’
aduh sedih nyer...smpai tersumbt hidung kuat mnangis....
ReplyDeleteaish,,,, jangan nangis2...
ReplyDeletesayu hati sy dengar..
sedihnyer entry ni...idung saya pun tersumbat sbb nangis,,ni kpala pun dh sakit..knpa sedih sgt...
ReplyDeleteWaa!!! Entry yang berjaya wat akk nangis! Keep it up, gurl!
ReplyDeleteishhh... ni entry dah masuk zone sedih ler pulak... adoiiii
ReplyDelete