Bab 6
Mereka
memilih untuk makan di tepi pantai kali ini. Sudah
lama tidak merasa angin pantai yang lembut menampar wajah.
“Keluarga saya akan hantar rombongan merisik dalam waktu
terdekat ni.” Ujar Luqman setelah pelayan selesai mengambil pesanan.
“Serius?”
Entah kenapa. Ada debaran yang berkunjung. Ada resah yang bagai tiada
penghujung. Dia diserang gementar yang tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata.
“Ada pulak main-main.”
Diselitkan tawa dalam katanya. Faraneesa
melarikan pandangan ke arah pantai.
“Kenapa
ni? Awak tak suka ke?” Dia dapat membaca riak yang terlukis di wajah kekasih
hatinya itu. Bagai ada yang tidak kena sahaja.
“Tak ada apa-apa.” Kalau boleh, dia
tidak mahu Luqman berfikir yang dia sengaja mencipta alasan.
“Hei, cuba cerita.” Lembut suaranya
memujuk.
“Okay. Sejujurnya saya takut.” Luah
Faraneesa perlahan.
“Takut apa?” Berkerut dahinya
mencari jawapan kepada kata-kata Faraneesha itu.
“Saya anak sulung dari tujuh orang adik beradik. Dan
sekarang, saya dan Feesa yang menyara keluarga memandangkan abah tak bekerja
sebab sakit dan ibu pula hanya ambil upah mengasuh anak orang.
Saya
takut kalau kita kahwin awal, saya tak boleh nak sara keluarga saya. Saya takut
kalau Feesa rasa terbeban seorang diri. Saya tak nak dikatakan cuba melepaskan
tanggungjawab. Saya kan anak sulung.” Luqman tersenyum mendengar omelan
Faraneesha. Dia sudah dapat menangkap maksud yang tersirat.
“Awak
tahu, sifat yang penuh tanggungjawab inilah yang membuatkan saya jatuh hati
pada awak.” Luah Luqman dengan senyuman yang tidak lekang dari wajahnya.
“Kalau
kita kahwin nanti, saya tak akan pernah larang awak untuk menunaikan
tanggungjawab awak pada keluarga awak. Malah saya sama-sama nak kongsi beban
yang awak tanggung tu Neesha. Supaya bila awak penat dan merasa letih dengan
percaturan takdir ni, awak ada saya untuk meleraikan segala kekusutan yang awak
rasa.
Bila
saya berkahwin dengan awak nanti, keluarga awak pun akan jadi keluarga saya
jugak. Jadi awak fikir, saya akan benarkan keluarga saya menanggung kesusahan
sendiri? Semua jawapan tu ada pada awak Neesha.”
Faraneesha
tersenyum panjang. Matanya kabur dengan permata jernih. Sungguh, dia teramat
bersyukur kerana Allah mengurniakan seorang lelaki yang sanggup bersusah payah
bersamanya.
“Terima
kasih Luqman.” Ucapnya ikhlas. Seikhlas hatinya menerima kehadiran lelaki itu
yang sentiasa mendapat tempat dihatinya.
“Saya
dah lama terima kasih awak Neesha. Saya bersyukur sangat kerana dipertemukan
dengan wanita seperti awak. Yang saya tak akan jumpa walau saya mengembara
serata dunia sekalipun.” Memang Luqman sentiasa mewah dengan pujian.
“Pujian
tu terlampau tinggi untuk gadis serendah saya.” Sempat lagi dia mengenakan
Luqman.
“Tak apa
kalau rendah. Awak boleh pakai kasut tinggi.” Balas Luqman dengan tawa yang
sangat menyenangkan telinga yang mendengar.
Perbualan
mereka tergendala sedikit apabila pelayan menghantar makanan yang telah dipesan.
“Neesha,
kalau awak kan, awak nak berapa orang anak?” Merona muka Faraneesa menyambut
soalan Luqman yang memang sangat tidak dijangka itu.
“Hmm,
terpulang kepada yang memberi.” Maksud kata-katanya ialah, terpulang pada
penciptaNya. Sesungguhnya, dia malas untuk meletakan sandaran yang
berlampiaskan angan-angan semata-mata.
“Kalau
boleh saya nak anak perempuan ramai. Sebab muka anak perempuan mesti ikut macam
mama dia. Wajah yang tak akan pernah puas untuk saya tengok.” Faraneesha sangat
bersyukur dengan limpahan kasih yang Luqman berikan.
“Yalah tu. Entah-entah nanti, tak
sampai setahun kahwin, awak dah mula jemu dengan saya.” Tingkah Faraneesha
sengaja. Dia menantikan balasan kata dari Luqman.
“Memang bosan itu tak akan lari dari
manusia yang lemah ni Neesha. Tapi senjata umat Islam ialah doa. Doa itulah
yang akan dapat mengukuhkan hubungan kita Neesha. Saya akan sentiasa berdoa
supaya Allah akan sentiasa mencambahkan kasih sayang diantara kita agar Allah
memelihara kita dari rasa bosan atau perkara-perkara yang akan menganggu-gugat
hubungan kita. Bila kita dah berdoa, kita perlu tawakal. Segala ketetapan telah
pun ditetapkan. Dan perkara yang akhir yang boleh kita lakukan ialah redha.”
Kata-kata Luqman itu telah meresap terus ke pangkal
hatinya. ‘Ya Allah, aku sangat bersyukur dengan kurniaanMu ini. Kau telah
mengurniakan kepadaku limpah kurnia yang tidak terhitung harganya.’
‘Kehadiranmu
sentiasa menyentuh kalbuku. Tika aku dijamah kealpaan, ada kau yang akan
sentiasa bisikan kata-kata keinsafan agar diri ini tidak terleka dengan lakonan
dunia. Kau akan berikan aku kekuatan bila ujian datang bertandang. Dan bila aku
hilang keyakinan akibat goyah dengan bisikan syaitan, kau akan hadir untuk
memberi harapan.
Kehadiranmu
sentiasa mendamaikan hati yang sering keresahan ini. Namun adakah aku dapat
mencurahkan kasih seperti mana kau tidak pernah kering menyubur cinta kita? Aku
berdoa agar kasih ini tidak akan pudar dimamah masa.’
Menitis
airmatanya tanda terharu dan bersyukur dengan nikmat Allah ini. ‘Impianku kini
ialah untuk mendapatkan rahmat darimu Tuhan. Moga cintaku ini mendapat redha
dariMu Ya Allah.’
“Hei,
kenapa menangis ni?” Tegur Luqman. Dia tidak senang jika permata jernih itu
mengisi ruang di wajah kekasihnya itu.
“Tak ada
apa-apa.” Dia tersenyum manis. Ingin membuang kerisauan didalam hati Luqman.
Bab 7
Ezarakil
masuk pejabat itu tanpa senyuman yang menghiasi wajahnya. Sedikit pun dia tidak
memadang apatah lagi menegur Farafeesa. Hal ini membuatkan Farafeesa kelu
sendiri. Buntu dia dengan sikap bosnya yang merajuk seperti anak kecil itu.
“Nampaknya
mood bos tak okay sangat hari ni kan.”
Atiq melahirkan rasa hatinya. Bagai hendak tembus pintu pejabat bosnya ditilik
oleh Atiq.
“Harap-harap dia minumlah air yang
aku buat tu.” Dia telah membancuh air kesukaan bosnya itu dan diletakkan diatas
meja. Dia betul-betul kekeringan idea untuk memujuk lelaki itu. Al-maklumlah, dia bukan jenis orang yang banyak
pengalaman dalam bab ini.
“Kau dah
jampi-jampi belum.” Mengekek Atiq dengan tawa. Farafeesa buat muka bengang.
Malas hendak melayan rakan sepejabatnya itu.
“Kau
ingat aku ni bomoh ke?” Dia sudah mula hendak fokus dengan kerja-kerja yang
bertambun menantinya itu.
Mata Ezrakil terjatuh pada segelas air Nescafe yang
berada diatas mejanya itu. Bibirnya mengulumkan senyuman membaca kata-kata yang
menghiasi sekeping kertas kecil itu.
Bos, saya betul-betul
mintak maaf…
Jangan marah saya lagi eh… =)
Jemput minum air yang tersedap di dunia ni…
Yang bos tak akan jumpa kat mana-mana pun…
Pandai gadis itu mengambil hatinya. Hendak kata dia benar-benar marah dengan Farafeesa, tak
juga. Dia sebenarnya sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Sedikit
sebanyak, gadis itu telah berjaya mencuri perhatiannya.
Hatinya
bagai rapuh menerima kunjungan seorang wanita kali ini. Tidak seperti biasa,
hatinya kali ini bagai diusik rasa yang tidak pernah dirasai selama ini. Cinta
atau nafsu yang sedang bermaharajalela di sanubarinya kini? Nafsu yang ingin
memiliki seorang gadis cantik.
Ah,
kusut kepala otaknya memikirkan tentang seorang wanita yang bernama Naila
Farafeesa. Lantas ditekan interkomnya menyuruh gadis itu masuk.
Tidak
sampai seminit, gadis itu sudah mula menapak ke dalam pejabatnya. Mukanya
sengaja diseriuskan. Tidak sedikit pun dijamah dengan senyuman seperti biasa.
“Ada apa
bos?” Dia memberanikan diri untuk bertanya apabila tidak mendapat sebarang
reaksi dari Ezrakil.
“Apa
ni?” Ditujukan gelas yang berisi Nescafe itu ke arah Farafeesa.
“Air
untuk boslah.”
Farafeesa
sedikit pun tidak suka bila Ezrakil buat muka serius seperti itu. Tak hensem
langsung. Hilang terus rupa kacaknya yang sentiasa menjadi sebutan pekerja yang
lain. ‘Pekerja lain ya, buat aku.’
“Selama
ni tak pernah buat pun. Kenapa tiba-tiba pulak?
Entah-entah awak ada letak ubat guna-guna tak?” Serkap Ezrakil kasar. Farafeesa
sudah mula naik bengang. ‘Nak main tarik tali dengan aku ya? Kau silap
oranglah.’
“Bos, ini dah melampau. Bos ingat
bos kacak sangat ke sampai orang nak buat guna-guna? Lagipun buat apa dapat
suami macam bos ni.” Tidak padan dengan seorang pekerja. Ada hati betul nak melawan.
“Saya tak cakap pun guna-guna untuk
jadi suami.” Gulp. Farafeesa dapat merasakan yang mukanya merona kemerahan dek
kata-kata bosnya itu. Kalau ikutkan hatinya itu, ingin sahaja diluku kepala
bosnya yang ting tong itu.
‘Ala pak, macam mana aku boleh terlepas cakap
ni? Adoyai… Rasa macam nak sorok muka di bawah meja je.’
Senyuman yang sedari tadi cuba
disembunyikan, bagai tidak dapat lagi menyorokkan diri. Lantas ianya terlihat
jelas di wajah Ezrakil. Ingin sahaja dia merakamkan wajah Farafeesa saat ini.
Comel sungguh!
“Awak ada niat nak jadi isteri saya
ke?” Disibukkan diri dengan menyemak fail-fail di atas mejanya sedangkan itu
hanya sebagai taktik untuk terus menyakat Farafeesa.
“Eh, mana.. ada…” Tergagap dia
menjawabnya. ‘Yalah, aku memang tak pernah ada niat pun nak jadi isteri dia
tau.’
“By the way, saya nak awak ikut saya
pergi meeting petang ni. Saya tak akan terima sebarang bantahan.” Arahan ini
berkuat kuasa serta merta.
“Eee, suka mengarah.” Omel Farafeesa
tidak berpuas hati. Namun suaranya
itu amat jelas di pendengaran Ezrakil.
“Dah
memang saya ni bos. Memanglah suka mengarah. Awak sebagai pekerja, mana boleh
bangkang arahan bos.” Farafeesa hanya mampu tersengih mendengar bebelan bosnya
itu.
“Ada apa-apa lagi Feesa?”
Farafeesa sudah malas hendak menjawab. Makin dia menjawab, makin mendatangkan
seribu satu masalah. Jadi, berdiam diri mungkin jalan yang lebih baik.
Farafeesa keluar dari bilik Ezrakil dengan hati yang
sebal. Tapi sedikit sebanyak, dia rasa lega sedikit. Kerana sekurang-kurangnya,
dia tahu bahawa Ezrakil tidak lagi menyimpan rasa marah terhadapnya.
Sepemergian
Farafeesa, bibir Ezrakil mewah dengan senyuman. Dia memejamkan matanya sekejap.
Melepaskan rasa yang tidak enak untuk disimpan. Memang
berbahagia bagi mereka yang telah menemui cinta teragung. Bagaimana pula dengan
dirinya? Dapatkah dia menemui sebuah cinta yang hakiki?
Hatinya sudah mula mengayam rindu
buat Farafeesa. Tapi apa yang paling penting sekarang ialah dia perlulah
percaya pada dirinya sendiri. Dia perlu tahu apa yang sedang berada
digengamannya sebelum kata putus diambil untuk mendaki cinta Farafeesa.
Bab
8
Usai meeting bersama Syarikat Gagah
Perkasa, Ezrakil menerima perlawaan Tuan Hamidi untuk makan bersama-sama.
Farafeesa mula naik menyampah dengan
perangai anak Tuan Hamidi yang tidak lepas dari memandangnya dengan pandangan
yang dia sendiri tidak boleh mentafsirkannya.
Duduk bersebelahan dengan Ezrakil membuatkan dirinya
terpaksa bertentangan dengan Danish. ‘Sekali lagi kau pandang aku macam tu, aku
ketuk kepala kau.’ Namun nyata ayat itu hanya sekadar didalam hati. Nak mampus
kalau buat betul-betul.
Farafeesa
cuba
untuk memberi perhatian kepada Ezrakil dan Tuan Hamidi yang rancak berborak
tentang topik yang dia sendiri tidak dapat mengenal pastinya.
Tiba-tiba dia dapat merasakan yang
kakinya telah dikuis oleh seseorang. Cepat-cepat ditarik kakinya kebelakang.
‘Hei, ni dah melampau. Bos, tolonglah saya.’ Dikerling sedikit ke arah Ezrakil.
Memohon bantuan.
Namun Ezrakil tetap buat bodoh. Tak
faham atau buat-buat tak faham, dia sendiri gagal untuk mentafsirkannya.
“Dah lama ke Feesa kerja dengan
Akil?” Mulut Danish ringan bertanyakan soalan.
“Adalah dalam dua tahun.” Jawab
Farafeesa nak tak nak.
“Oh, lama jugaklah ya. Tapi tak pernah jumpa pun kan.” Farafeesa hanya tersenyum
hambar. Tanda tidak mahu meneruskan perbualan.
“Feesa,
habiskanlah makanan tu.” Baru kini Ezrakil
hendak memberi perhatian kepadanya.
“Dah kenyang.” Macam mana nak makan dengan selesa kalau
mata mamat kat depan di macam buaya nak sambar mangsa.
“Okaylah
Tuan Midi, nanti ada masa kita jumpa lagi ya.” Ucap Ezrakil sambil bersalaman
dengan Tuan Hamidi. Farafeesa hanya mampu tersenyum ke arah Tuan Hamidi yang memang
baik hati itu. Tidaklah gatal seperti anaknya itu.
“You beruntung Kil sebab dapat
assistant yang cantik macam Feesa ni.” Walaupun sedang bersalaman dengan
Ezrakil namun matanya masih ralit memandang ke arah Farafeesa. Membuatkan gadis
itu langsung tidak selesa.
Dikerling sedikit matanya ke arah
Farafeesa yang berada di sebelahnya. Dia tahu yang Farafeesa tidak suka dengan
keadaan yang menghimpitnya kali ini.
“Oh... Dia memang cantik. Suami dia
pun suruh aku jaga bini dia ni baik-baik.” Sengaja dia menuturkannya. Dia
lebih-lebih lagi tidak suka dengan cara Danish memandang Farafeesa.
“Hah, You dah kahwin Feesa?”
Terkejut beruk Danish dibuatnya. Bukan Danish sahaja, Farafeesa juga ikut turut
terkejut mendengar ayat yang terbit dari mulut Ezrakil itu.
“Aah… Dah setahun dah.” Mujurlah
sempat nak cover. Ezrakil hanya terseyum melihat riak muka Danish yang berubah
itu. Faham benar dia dengan Danish yang bersikap kasanova itu.
Akhirnya, Danish hanya memandang
dari jauh kelibat Ezrakil dan Farafeesa yang hilang di dalam perut kereta.
“Bos ni, memandai je cakap saya dah kahwin. Jatuhlah
saham saya nanti.” Rungut Farafeesa sengaja. Sebenarnya,
dia ingin mencari motif yang sebenar. Apa kepentingan penipuannya sebentar
tadi.
Ezrakil tidak menjawab malah hanya
tersenyum. Dia sudah pun memulakan pemanduan. Tidak dipedulikan akan pertanyaan
Farafeesa sebentar tadi.
“Bos, saya cakap dengan bos ni?”
Bengang betul Farafeesa. ‘Karang
kalau pekak betul-betul nanti. Baru padan muka. Muka yang hensem tu pun orang
dah tak pandang sebab dah pekak. Kih kih kih.’
“Alah,
saya pun tahu yang awak tak senang bila Danish pandang awak macam tu kan. So,
saya tolonglah mana yang patut.”
“Tapi tak patutlah kata yang dah
kahwin. Saya ni pakwe pun tak ada tau. Okay jugak kalau Danish tu nak mengorat saya. Dia pun hensem kan.” Sengaja
dia membakar bosnya itu.
“Ada
banyak lagi orang yang boleh awak cari. Setakat
Danish tu tak payahlah.” Sakit hatinya bila Farafeesa memuji lelaki lain
dihadapannya.
“Kenapa bos? Bos jelous eh?” Sakat Farafeesa berani. ‘Ish budak ni,
tak malu langsung.’ Desis hati Ezrakil.
“Kenapa pulak saya nak jelous. Tak
ada maknanya.” Bergetar juga
suaranya menjawab persoalan Farafeesa kali ini. Susah juga kalau suka dengan
perempuan yang terlampau open minded ni.
Farafeesa
gelak di dalam hati. Senang dapat mengenakan bosnya itu. Merona muka bosnya itu
tika malu-malu sebegini.
“Tak apa
bos. Kalau saya diberi kesempatan untuk memilih, confirm saya pilih boslah.”
Sengaja dia menambahkan perisa dalam gurauannya.
Ezrakil
menjeling sedikit ke arah gadis yang sedang duduk di sebelahnya itu.
Kebiasaannya, tidak pernah ada seorang pun pekerjanya yang berani bergurau
dengannya sedemikian rupa. Namun Farafeesa ini main redah je. Kadang-kadang dia
terlupa yang dia sedang berhadapan dengan bosnya sendiri.
“Hmm,
kenapa kamu cakap macam tu pulak. Bukan ke awak
cakap Danish tu hensem.” Ingin tahu juga dia tentang rasa hati gadis
itu.Manalah tahu yang mereka berdua itu sebenarnya mendendangkan irama yang
sama. Inilah masanya untuk menyelongkar rasa hati gadis itu.
“Hmm, hensem. Rupa yang kacak itu
memang adakalanya menjadi idaman semua orang wanita kat dalam dunia ni. Tapi
sampai bila nak bersandar pada rupa yang hensem tapi perangai, masyaAllah,
sangat hampeh.
Lebih baik memilih yang tak berapa
nak hensem tapi memiliki kualiti yang sangat bagus untuk dibanggakan. Hehehe…”
‘Apalah yang menjadi resepi keceriaan gadis ini agaknya?’ Fikir Ezrakil.
“Awak ni sebenarnya macam ni kan. Dalam
memuji, awak mengutuk saya kan.
Awak ingat saya tak perasan ke.” Ezrakil ketawa sedikit sambil mengelengkan
kepalanya.
“Lah, bos perasan ke? Ala pak, kenapa bos
boleh tahu ni. Cepat pick up jugak bos ni eh.” Farafeesa menambahkan lagi gula
dalam setiap gurauan mereka.
“Eh, tadi awak cakap pasal single kan, betul ke awak ni
single lagi. Entah-entah sengaja nak mempermainkan saya kan.” Hatinya sudah berbunga-bunga riang
diwarnai rasa kasih yang tidak terbelah bagi cantiknya. Sengaja dilambatkan
pemanduan. Dia memohon agar dilambatkan waktu agar saat ini dapat dilakar kemas
di kotak ingatannya.
“Betullah bos. Kalau bos nak, bos boleh isi borang kosong
dulu. Nanti saya akan cuba
pertimbangkan.” Ish Farafeesa ni, ada hati hendak mempertimbangkan bosnya?
Sesungguhnya, anda sungguh perasan ya.
“Alah, dengan saya pun awak nak
berkira ke? Isi-isi borang ni lecehlah Feesa.” Sengaja dia melayan sikap ceria
milik Farafeesa itu.
“Alah bos, kalau bos tak tulis
borang, macam mana saya nak tahu bos letak berapa duit hantaran, jadi saya tak
boleh nak compare dengan yang lain.” Ezrakil sangat senang dengan kecerian
Farafeesa itu. Sikap itulah yang telah berubah dirinya seratus peratus. Tanpa
dia sendiri menyedarinya.
“Bunyinya macam ramai je kan.” Kalaulah betul apa
yang diujarkan oleh Farafeesa itu, maknanya dia perlu mengambil langkah yang
lebih effective untuk mengambil hati Farafeesa. Dari gaya wanita itu, sebenarnya sudah terpamir di
wajahnya yang hati wanita ini agak liat sedikit untuk seorang lelaki.
“Eh, mestilah ramai. Sebab dari sekolah rendah lagi saya
dah kumpul borang ni.” Entah kenapa, dia sangat senang bila dapat mengenakan
bosnya itu. Sebenarnya dia dapat membuat kesimpulan yang apa yang sering
dikatakan oleh budak-budak office adalah salah sama sekali.
Kata
orang, Ezrakil ini susah benar untuk tersenyum. Namun tika mereka bersama, muka
lelaki itu memang tidak lekang dari senyuman. Kecualilah ketika lelaki itu
sedang merajuk dengannya. Seperti hari yang lepas.
Kata
orang lagi, Ezrakil ini kedekut orangnya. Namun tidaklah terlampau keterlaluan
sifat kedekutnya. Tika mereka makan atau minum bersama, lelaki itu yang
mengeluarkan duitnya sendiri. Tidak seperti kata-kata staf di pejabat.
Apa lagi
ya kata orang, Farafeesa sedang mengambil masa untuk mengingati semula. Al
maklumlah, sesuatu perkara jika tak diupdate kembali dalam masa tujuh hari,
benda itu akan hilang dari kotak ingatan manusia ini.
“So,
saya ada peluang tak ni.” Farafeesa tidak pasti sama ada Ezrakil serius dengan
kata-katanya atau hanya sekadar ingin bercanda. Farafeesa sendiri tidak ingin
ambil serius kerana dia kenal dengan persis seorang lelaki seperti Ezrakil ini.
“Peluang dan ruang sentiasa terbuka
untuk semua orang bos. Tapi tulah, saya kena buat audition dulu sama ada nak
pastikan sama ada calon tu betul-betul layak atau hanya sekadar taik-taik ayam
je.”
Tanpa mereka sedari, pemanduan
Ezrakil itu sudah tiba ke destinasinya. Terasa sekejap betul tika waktunya
bersama dengan Farafeesa. Kali ini dia sudah pasti yang gadis itu sudah
benar-benar telah menganggu gugat ketenteramannya.
Dia mula pasti akan kehendak hatinya
ini. Bersama dengan gadis ini membuatkan hari-harinya diwarnai warna yang tidak
pernah digambarkan sebelum ini. Benarlah kata lirik lagu Siti Nurhaliza itu,
cintalah yang memungkinkan segalanya…
Bab
9
Faraneesha sedang mencari kunci kereta di
dalam beg bimbitnya. Entah kemanalah benda alah itu menghilang.
Namun tiba-tiba bahunya berlanggar
dengan bahu milik seorang pemuda. Dan tiba-tiba pemuda itu rebah ke lantai.
Faraneesha terkejut sendiri.
“Encik, encik tak apa-apa?” Tanya
Faraneesha pelik. ‘Tak kan
langgar sikit pun dah jatuh kot?’
Pemuda itu merengkok memegang
bahagian dadanya. ‘Ya Allah, kenapa ni?’ Faraneesha mula kalut melihatnya. Dia
memang tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti ini.
“Encik, encik sakit apa ni?”
Bibirnya laju mengeluarkan soalan sedangkan dia tahu yang pemuda itu tidak
berupaya langsung untuk menjawab persoalannya.
Tiba-tiba dia perasan yang tangan
pemuda itu ingin mencapai briefcasenya. Terkial-kial tangan itu ingin membuka
begnya itu. Tanpa berfikir panjang, Faraneesha terus mencapai beg tersebut dan
mencari-cari kalau-kalau ada ubat yang dicari oleh pemuda tersebut.
Apabila tangannya telah memegang
sebotol ubat yang dia sendiri tidak pasti ubat apa, dia terus mengeluarkan dan
terus membantu pemuda itu untuk memasukkan ke dalam mulutnya.
“Tolong! Tolong!” Jerit Faraneesha
apabila pemuda itu mula tidak sedarkan diri selepas menelan ubat. Dia baru
terfikir untuk menjerit meminta tolong. Kalut sungguh rasanya.
Namun hampa kerana tidak ada seorang
pun yang lalu lalang di kawasan itu. Faraneesha buntu sendiri. Apa yang perlu
dilakukan sekarang? Dia hanya seorang wanita yang sedikit pun tidak berdaya
untuk mengangkat lelaki yang kelihatan sungguh gagah ini.
“Kenapa ni cik?” Ya Allah,
Faraneesha melafazkan rasa syukur setelah Allah mengutuskan seseorang untuk
membantunya dikala kesusahan ini.
“Saya tak tahu. Lelaki ni tiba-tiba
saja pengsan.” Adu Faraneesha. Lelaki itu meletakkan tangannya dileher pemuda
tersebut dan berfikir sejenak.
“Kita kena bawa lelaki ini ke
hospital.” Arah Lelaki itu sambil mula ingin mengangkat pemuda yang pengsan
sebentar tadi. Faraneesha juga ikut turut membantu.
“Saya rasa saya tak boleh drivelah.”
Entah kenapa, dia rasa gugup sangat. Dia berharap sangat
agar lelaki itu sudi membantunya.
“Oh,
biar saya je yang drive.” Akhirnya kunci kereta pun bertukar tangan. Faraneesha
tidak duduk diam jadinya. Sekejap pandang ke tempat duduk belakang. Bimbang
sungguh jika berlaku sesuatu ke atas lelaki yang tidak dikenalinya itu.
Sesampainya
di hospital, pemuda itu dikerjakan ke wad kecemasan. Faraneesha melafaskan rasa
syukur kepada penciptaNya. Moga Allah memberikan lelaki itu kesempatan untuk
terus hidup di dunia ini.
“Saya
terpaksa pergi.” Pohon lelaki yang membantunya sebentar tadi.
“Oh,
terima kasih banyak-banyak. Awak nak saya hantar
awak semula ke?” Rasanya wajar untuk membalas kebaikan lelaki ini yang sudi
membantunya tadi. Walau dia juga tidak mengenali lelaki yang pengsan itu, namun
dia mengambil sikap bertanggungjawab memandangkan lelaki itu memerlukan
pertolongan.
“Eh, tak apa. Saya boleh ambil
teksi. Lagipun dia lebih
memerlukan awak.” Tercengang Faraneesha mendengar jawapan yang keluar dari
mulut lelaki itu.
Baru
sahaja dia ingin menjawab kembali, lelaki itu telah pun melangkah
meninggalkannya. Faraneesha pelik sendiri.
‘Eh,
nama orang tu pun aku tak tanya tadi.’ Dia baru tersedar dan tersenyum sendiri.
Entah bilalah perangai kelam kabutnya
itu akan hilang. Kalau ada Luqman dikala ini, pasti lelaki itu akan
tersenyum melihat sifatnya yang satu ini.
‘Tapi
saya suka bila awak kelam kabut. Awak nampak menarik sangat tau.’ Kata-kata
seperti itu pernah keluar dari mulut Luqman satu ketika dulu. Entahlah, semua
perkara melibatkan Luqman akan tersimpan kemas di sudut benaknya.
Tiba-tiba ada seorang jururawat yang
mendekatinya. Pasti ingin bertanyakan tentang perihal lelaki tersebut.
“Cik ni ahli keluarga Encik Nazreen
ke?”
“Eer, sebenarnya saya tak kenal pun
dengan lelaki tu. Tadi saya terlanggar dia dan terus dia terjatuh. Hmm,
sebenarnya apa penyakit dia?” Ingin tahu juga apa sebenarnya penyakit pemuda
itu.
“Kami sendiri tak dapat kenal pasti
lagi penyakit Encik Nazreen itu. Tapi, macam penyakit hati.” Terkejut
Faraneesha mendengarnya.
“Kasihannya.” Tanpa sedar, ayat itu
telah keluar dari mulutnya sendiri. Kelihatannya jururawat itu tersenyum
sedikit.
“Zaman sekarang, macam-macam
penyakit boleh dapat. Penyakit hati
ni pun bukan tengok peringkat umur sangat. Sesiapa pun punya kebarangkalian untuk
dijangkiti.” Terang Jururawat itu sedikit.
Akhirnya,
Faraneesha mengambil inisiatif untuk pulang sahaja. Namun sempat juga
dititipkan nombor telefonnya kepada jururawat tersebut jika ada masalah yang
akan timbul nanti. Risau juga dia dengan keadaan seperti ini. Al-maklumlah, dia
tidak pernah berhadapan dengan insiden seperti ini.
Apa yang boleh dia lakukan sekarang ialah
menitipkan doa agar lelaki itu diselamatkan dari sebarang malapetaka. Dan moga
keluarga lelaki itu diberikan kehebatan yang maha kuat untuk mengharungi semua
ini.
Dia
sendiri tidak dapat membayangkan jika dia terpaksa berhadapan dengan situasi
seperti ini. Mampukah dia untuk kehilangan seseorang yang dia sangat sayangi di
dunia ini?
Faraneesha
sedar yang dunia ini hanyalah pinjaman. Untuk menguji keimanan seorang hamba
dan tempat untuk mengumpul saham untuk bekalan akhiran nanti. Kerana
akhirat yang akan menentukan balasan
syurga ataupun neraka.
Bab 10
Hujung
minggu ini, mereka sekeluarga pulang ke rumah ibu saudaranya yang mengadakan
kenduri kahwin anaknya. Sepupunya Akma akan berkahwin setelah beberapa tahun
bermadu kasih.
“Aku
rasa takutlah.” Entah untuk yang keberapa kali ayat itu keluar dari mulut Akma.
Faraneesha memalingkan wajahnya ke arah Farafeesa yang sedang khusyuk
meletakkan inai di jemari Akma.
“Aku
tampar jugak kau ni. Tak habis-habis dengan takut.” Marah Farafeesa. Kutuk
mengutuk sudah menjadi kebiasaan mereka dalam mengeratkan lagi hubungan mereka.
“Ish
budak ni. Tak habis-habis nak menampar orang.” Faraneesha konon-kononnya sedang
memarahi Farafeesa namun jangan cepat terpedaya. Faraneesha ini paling takutkan
Farafeesa sebenarnya. Hehehe.
Ayat itu
sudah menjadi trademark Farafeesa rasanya. Yang adakalanya senang diajuk oleh
adik-adiknya yang memang terkenal dengan perangai mereka yang nakal.
“Entah,
aku tengah takut ni, kau boleh nak tampar aku lagi Feesa. Kejam betul kau ni
kan.” Farafeesa hanya menyambut kata-kata Akma dengan tawa kecil. Dia senang
jika dapat mengenakan sepupunya itu.
“Dah
yang kau over sangat tu kenapa? Kau nak kahwin, bukan nak pergi berperang.”
Faraneesha mengelengkan kepalanya mendengar omelan kembarnya itu. Memang
Farafeesa ini terkenal dengan sikap tidak berperasaannya itu. Tapi janganlah
tunjuk sangat. Sengaja ingin membuatkan Akma lebih gemuruh.
“Kahwin
ni lebih dasyat dari perang tau. Sebab kau akan berperang dengan perasaan
manusia yang kadang-kadang kau tak akan pernah faham.” Bidas Akma pula.
Farafeesa tidak akan pernah untuk faham perasaannya ini kerana gadis itu
bercinta pun tidak pernah.
“Lah,
kau mestilah dah faham benar dengan perangai Farid tu. Apa yang kau nak
takutkan sangat.” Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Farafeesa ini.
“Memanglah
dah faham. Tapi manusia akan berubah mengikut peredaran masa. Masa bercinta
lain situasinya. Masa dah kahwin lain pulak.” Terangkat keningnya cuba memahami
maksud tersirat kata-kata sepupunya itu.
“Masa
bercinta terikat dengan cinta. Tapi
bila dah kahwin pulak, terikat dengan tanggungjawab. Bila kita sedar yang
tanggungjawab kita bakal bertambah, itu yang membuatkan kita takut. Takut
kalau-kalau kita gagal nak melayari bahtera perkahwinan dengan sebaik mungkin.”
Faraneesha
mula memberikan penerangan setelah melihat muka Farafeesa yang jelas tidak
faham dengan situasi yang dialami oleh Akma. Namun pelik kerana sebuah senyuman
pula yang lahir dari Farafeesa.
“Kema,
apa yang kau nak takutkan sangat. Kita ni manusia,
jadi jangan cuba
nak ambil kerja Allah. Segalanya pastilah sudah tersurat. Apa yang kita perlu
lalukan ialah bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
Perasaan takut tu memang wajar sebab
kalau kita tak rasa takut, macam mana perasaan berani tu nak hadir. Kalau
tanggungjawab itu kita ambil dengan rela hati, pasti ianya akan terasa ringan
sekali. Cuba
kalau kita ambil dengan berat hati, pastilah rasa berat hati itu akan
memberatkan lagi tanggungjawab tu.”
Wah, macam bagus je syarahan
Farafeesa ini. Akma hanya
tersenyum sahaja. Memang kata-kata Farafeesa itu ada benarnya. Jika bersama
dengan si kembar ini, pasti mereka dapat menghilangkan segala resah yang selama
ini menjadi teman setia.
“Thanks
korang. Kalau korang tak ada, aku tak tahulah macam mana. Mesti kelam kabut
gila.” Luah Akma ikhlas. Mak longnya itu memang sangat beruntung kerana
dikurniakan sepasang kembar yang sentiasa akan membantunya. Mungkin hilang
terus lelah tika mengandungkan si kembar ini.
“Tulah,
kau kena pandai bersyukur sikit.” Selamba sahaja
ayat Farafeesa itu. Adakalanya memang rasa hendak marah dengan perangai
Farafeesa yang adakalanya suka bercakap tanpa berfikir itu namun perangai lepas
lakunya itu yang menceriakan orang-orang disekelilingnya.
“Aku sentiasa bersyukurlah. Hmm, kau bila pulak Neesha?” Soalan
cepu emas itu ditujukan kepada Faraneesha. Akma sudah sedia maklum tentang hubungannya dengan
Luqman.
“Secepat
yang mungkin.” Terbeliak mata Farafeesa mendengarnya. ‘Uish, gatal jugak kakak
aku ni.’
“Tak
sabar nampak.” Sakat Akma dengan tawa hingga tidak sedar yang pergerakannya
membuatkan Farafeesa sukar untuk meletakkan inai di jari jemari bakal pengantin
itu.
“Woi,
duduk diam-diamlah. Kang tak cantik kang.” Sempat lagi dia melahirkan ugutan.
Akma dan Faraneesha saling bertukar senyuman. Mula takut dengan ugutan
Farafeesa yang garang itu.
“Kau ni
garang sangatlah Feesa. Macam manalah kau dengan pakwe kau nanti eh?” Ini topic
yang paling tidak digemari oleh Farafeesa. Dia bukanlah ganas sangat. Cuma
tidak lembut seperti Faraneesha je.
“Memang
tiap-tiap harilah kena belasah.” Serentak dengan itu, tawa menghiasi bilik penganti
itu. Farafeesa mendengus keras.
“Kah kah
kah. Kelakar sangat weh.” Ajuk Farafeesa dengan muka serius. Malas dia hendak
melayan karenah mereka berdua. Kot ya pun dilamun cinta, tak payahlah nak
jebakkan orang lain dengan topik cinta juga.
“Kau ni
jual mahal sangatlah. Nanti jadi andartu baru tahu.” Entah bila lagi dia akan
bersenda gurau seperti ini lagi. Mungkin inilah kali terakhir dia melepak
bersama-sama dengan si kembar. Kerana nanti dia pasti sudah terikat dengan
gelaran isteri orang.
“Disebabkan
esok hari bahagia kau, jadi aku malaslah nak menghapuskan kebahagiaan kau.
Kalau kau rasa bahagia dengan mengutuk aku, teruskanlah. Aku tak akan sesekali
menghapuskan kebahagiaan orang lain.”
Kalau
orang luar dengar, pasti mereka mengangap yang Farafeesa terasa hati dengan apa
yang telah dituturkan oleh Akma sebentar tadi. Tapi sebenarnya, kata-kata itu
sudah biasa diungkap oleh gadis itu. Jadi Akma dan Faraneesha sendiri sudah
tidak hairan dengan ayat pasrah itu.
“Kau ni
baik Feesa. Aku pasti ada seorang lelaki yang baik untuk kau. Macam Luqman.”
Kata-kata Akma itu membuatkan ingatan Faraneesha terus melayang mengingati
Luqman. Betapa lelaki itu memang sangat baik. Setiap perkara tentang lelaki itu
pasti akan mendapat tempat dihatinya.
“Tulah,
kalau Luqman tu ada kembar kan senang. Tak lah aku susah-susah sangat nak
cari.” Sudah acapkali telinganya mendengar pujian tentang kebaikan Luqman. Tapi
dia sendiri tidak menafikan yang bakal abang iparnya itu memang sangat baik.
Dan
Faraneesha sangat beruntung kerana dikurniakan bakal suami yang insyaAllah akan
menjadi pembimbing didunia walhal di akhirat kelak.
Tentang
nasib yang bakal menimpa dirinya, dia sendiri tidak pernah memikirkan dengan
lebih dalam. Apa yang ada didalam kepala otaknya ialah ingin mencari duit untuk
menampung keluarganya.
Jika
Faraneesha sudah menemui jalan bahagianya, dia tidak akan sesekali menghalang.
Kerana jika dilepaskan kebahagiaan itu, dia tidak mungkin akan temui yang lebih
baik lagi. Sedangkan dirinya masih lagi tercari-cari seorang lelaki yang bakal
menakluki segenap ruang hatinya. Jadi, biarlah didahului keluarganya yang pasti
memerlukan kudratnya.
Kerana
itu ditangguhkan dulu soal hati ini. Lagipun dia malas untuk memikirkan semua
ini. Makin fikir, makin rungsing jadinya. Jadi tidak payahlah disemakkan
kepalanya dengan perkara yang tidak patut ini.
“Eh,
mana Neesha?” Kerana terlalu asyik berangan, dia tidak sedar yang kembarnya itu
sudah hilang dari pandangan mata.
“Bergayut
telefon dengan Luqman.” Jawab Akma sedangkan matanya sudah pun ditutup. Mungkin
penat apabila terpaksa mengawal pergerakan tangan dan kakinya itu.
Farafeesa
sendiri sudah merasakan kepenatan setelah seharian melakukan kerja untuk hari
besar esok. Namun apabila dia melihat rumah mak saudaranya yang meriah dengan
usikan dan keriuhan kanak-kanak, kepenatannya mula beransur hilang.
Lagipun
bukan selalu mereka dapat berkumpul sebegini. Jika tak waktu kenduri, mungkin
pada hari raya. Jika tidak, masing-masing akan membuat haluan masing-masing.
Hingga adakalanya lupa untuk bertanya khabar adik-beradik sendiri.
konfius betul laa.. farafeesa faraneesa.. kena baca dua kali nak konfemkan sapa yg cakap..
ReplyDeletetau x pe...
Deletehehehe... mcm nak kenal dengan lebih rapat je lagi ngn feesa sengal tuh... hehe sengal ke dia tu? pepun menarik ar cter ni bler dah edit jadi pendek. relek sikit otak saya...
ReplyDelete