Suasana hening menyelubungi kawasan tanah perkuburan ini.
Farafeesa setia berada di sisi Faraneesha. Tidak sesesat pun dia meninggalkan
kakaknya itu sendirian. Sapu tangan yang berada di tangan Faraneesha itu sudah
lejun menakung air mata. Sepanjang bacaan talkin, Faraneesha lelah menahan
tangis. Farafeesa sendiri sudah kelu hendak berbuat apa lagi.
Air mata
itu memang tidak boleh ditahan. Tapi boleh ditepis. Namun semakin ditepis,
semakin banyak ia membasahi pipi. Mata Faraneesha sudah bengkak benar. Dia
risau jika kakaknya jatuh sakit pula.
Manakala Umi dan Hanis juga sebegitu rupa. Tidak henti-henti melawan
rasa sedih yang berkunjung.
Umi dan
Hanis bangun dari duduk tika ingin menyiram kubur. Erat mereka berpelukan
berdua. Kasihannya... pasti berat untuk Umi dan Hanis lalui semua ini. Lantaran
Luqmanlah satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Umi pula sudah lebih 4
tahun kehilangan suami. Pemergian Luqman pasti akan dirasai. Hilanglah sudah
tempat untuk dijadikan harapan, punah segala angan dan harapan, lesap sudah
kasih yang selalu dijadikan hamparan... menjadikan diri serba kehilangan.
Apabila
tiba giliran Faraneesha, tangannya terketar-ketar memegang jag air. Cepat-cepat
Farafeesa membantu. Sama-sama berpaut dan mencurahkan air ke atas tanah kubur.
Tangisan Faraneesha juga ikut turut jatuh. Jatuh menitis di tanah kubur.
Faraneesa
sudah tidak tertahan lagi. Esakan kecilnya sudah mula kedengaran di cuping telinga
Farafeesa. Bahunya sudah terhenjut-henjut sendiri. Cuba mengawal tingkah dan
perasaan. Matanya sudah tidak larat untuk dibuka lagi. Alam ini seakan-akan
berpusing. Tangan mula terhala ke arah kepalanya. Dan akhirnya, kelam yang
menjadi sapaan matanya.
Kecoh
tanah perkuburan ini apabila Faraneesha pengsan. Hampir sahaja menyembah tanah
namun sempat dipaut oleh Farafeesa.
“Ya
Allah... kenapa boleh jadi macam ni?” Encik Najib sudah mula mendapatkan anak
sulungnya itu. Terkejut dibuatnya! Namun dia akui yang Faraneesha memang
sensitif orangnya. Kehilangan Luqman pasti memberi kesan yang mendalam dalam
hidup Faraneesha.
“Neesha...”
Ditepuk perlahan pipi Faraneesha. Takut melihat keadaan
Faraneesha sebegini rupa. ‘Ya Allah, kuatkan hatinya... Aku mohon bantuanMu..’
Rintih Farafeesa. Siapa yang tidak sedih melihat kakaknya seperti ini.
Adik-adiknya semua sudah mengalirkan air mata. Semua menangis di sisi
Faraneesha.
“Dia
pengsan nih... Sudah-sudah... jangan menangis di sini. Kita papah kakak bawa
balik rumah.” Arah Encik Najib dengan suara yang tegas.
“Jangan
nangis... Kita kena kuat demi kakak... Cepat tolong angah angkat kakak...”
Arahan dikeluarkan terhadap adik-adiknya yang sedang mengerumun Faraneesha itu.
Semua sudah mula mengelap air mata. Terbasuh sedikit mendengar kata-kata dari
angah mereka.
Iman,
Fatin, Farhana, Fathia dan Iqbal, semuanya membantu mengangkat kakak mereka.
Farafeesa diserang rasa sedih bila melihat adik-adiknya sanggup menangis di
sisi Faraneesha. Malah mereka kuatkan diri untuk bertahan semata-mata kerana
kakak sulung mereka itu. Iman yang masih berusia lapan tahun itu pun ingin
membantu. Walaupun hanya memegang bahagian kaki, itu sudah cukup bererti bagi
Farafeesa.
‘Jika
ditakdirkan aku meninggal... Aku berharap agar Neesha tidak selemah ini..
Kerana aku bimbang jika adik-adik tidak menjumpai kekuatan meraka lagi. Aku
tidak mahu mereka tersungkur ke lembah kesedihan... Tapi kehilanganku nanti,
pasti tidak akan memberi kesan dalam hidup mereka. Aku bukan anak kesayangan...
apatah lagi kakak kesayangan... Aku bukan kesayangan sesiapa pun....’ Luluh
sahaja bicara hatinya.
Farafeesa
mengarahkan agar Iqbal sahaja yang memandu sedangkan dia akan menemani
Faraneesha di bahagian belakang. Iman terus masuk ke tempat sebelah pemandu
manakala adik-adiknya yang lain menaiki kereta abah sahaja.
Tiba di
rumah, Puan Azah kaget melihat anak sulungnya yang dipapah oleh anak-anaknya
yang lain. Puan Azah tidak mengikuti hingga ke kubur kerana menjaga rumah
Luqman tadi.
“Ya
Allah... macam mana boleh jadi macam ni?” Kelam kabut ibu dibuatnya.
“Kakak
pengsan dekat kubur tadi...” Terang Iman petah.
“Macam
manalah tak pengsan. Daripada semalam tak makan apa-apa. Manalah badan tu nak
berdaya. Tambah pulak dengan rasa sedih. Hah, mudahlah antibodi tu menyerang.”
Bebel Puan Azah sambil membetulkan selimut milik anaknya itu. Farafeesa hanya
melihat sahaja kasih sayang diterjemahkan oleh ibu terhadap kakaknya.
“Akak tu
tengah sedih.. awak janganlah tembahkan pulak kesedihan dia..” Tegur Encik
Najib. Puan Azah hanya menjeling. Tidak menghiraukan kata-kata suaminya itu.
“Panas
badan budak ni...” Puan Azah mengomel sendiri apabila tangannya dijatuhkan ke
dahi milik Faraneesha. Sungguh, hati Farafeesa agak tersentuh. Dia sudah lupa,
bila kali terakhir ibu menyentuh
dahinya. Memegang kepalanya... apatah lagi hendak mengusap.
“Feesa,
kamu pergi masak bubur.. ayam dalam peti tu kamu buat ayam goreng kunyit..
Neesha suka makan kalau dia tengah tak sihat.” Arah ibu tanpa sedikit pun
berpaling.
Tanpa
banyak soal, Farafeesa hanya menurut sahaja. Dia tahu ibu cukup pening melihat
keadaan Faraneesha. Dia tidak mahu terus menerus menambahkan rasa pening ibunya
itu. Bila Puan Azah pening nanti, Farafeesa jugalah yang akan dimarahinya.
Nanti Faraneesha yang mendengar akan bertambah-tambah sedih.
Selesai
memasak dia terus menghidangkan makanan di atas dulang. Ingin dibawa ke dalam
bilik. Namun belum sempat dia sampai ke pintu bilik, ibunya menghampirinya.
Mata Puan Azah sedikit mengecil tika melihat makanan yang terhidang.
“Kalau
makan ayam goreng kau ni, orang yang sakit tu boleh mati tau.. tak masak lagi
ni.. Haish, dah umur 24 tahun tapi memasak pun tak lulus lagi!” Perli Puan Azah
sambil mengelengkan kepalanya.
“Dah
masaklah.. Lagipun, Neesha suka makan yang macam ni... dia tak suka makan ayam
yang terlalu garing...” Dia tidak mahu menjawab tapi kenapa entah kenapa
mulutnya ringan sahaja menuturkan ayat. Mungkin kerana dia sedar yang dia sering
mencuri perhatian dari ibunya melalui kemarahan ibunya.
“Sebab
tu aku malas nak cakap dengan kau, aku cakap sikit, kau sibuk nak menjawab.”
Farafeesa sudah lali mendengar ayat itu. Sudah tidak memberi kesan apa-apa
pada jiwanya.
“Ibu,
angah, kakak dah bangun...!” Puan Azah tidak menunggu lama, terus dia mengambil
dulang yang berada di tangan Farafeesa lantas berlalu masuk ke dalam bilik.
Farafeesa pun turut mengambil langkah. Namun tersekat di muka pintu sahaja.
“Ish..
tak mahu ngangis-nangis dah... Neesha kena kuat.. Kalau tak macam mana nak jaga
Umi dengan Hanis.. Dia orang perlukan Neesha.. Kita orang pun perlukan Neesha..
Yang pergi, tetap pergi.. Tapi yang hidup kena teruskan hidup.. Nak menangis
boleh, tapi jangan sampai menyeksa diri...” Puan Azah mengelap sedikit permata
yang menghiasi wajah anaknya. Jelas sungguh sikap keibuan miliknya. Kasih yang
tidak berbelah bahagi terhadap Faraneesha.
“Akak
rasa kehilangan sangat bu...” Adu Faraneesha sambil menangis lagi. Adik-adiknya
ikut turut mengalirkan air mata. Menemani kesedihan yang dirasai oleh kakaknya
itu. Farafeesa sedar yang hubungan adik-beradiknya dengan Luqman tersangatlah
rapat. Luqman itu memang seorang lelaki yang baik. Dia sendiri tidak pernah
ketemu lelaki sebaik Luqman. Perginya lelaki itu, memang tiada galang ganti.
‘Namun, pemergianku nanti adakah akan ditangis?’
“Orang
yang baik tak akan disimpan lama-lama dimuka bumi ini.. Sekuat mana pun kasih
sayang akak pada dia, itu semua tak mampu untuk melawan kasih sayang Allah..
Redhakan hati kakak dan doakan arwah agar ditempatkan dikalangan orang beriman..”
Giliran Encik Najib pula yang memujuk. Menghilangkan lara jiwa milik anak
sulungnya itu.
“Dah,
jangan sedih-sedih... makan sikit...” Puan Azah mengelap sedikit air matanya.
Dia pun ikut turut merasa kehilangan. Terkilan kerana Luqman tidak sempat menjadi
menantunya. Sedih kerana dia ikut turut merasakan perasaan Puan Maimun yang
kehilangan seorang anak. Namun takdir ketentuan tidak boleh dihalang oleh
sesiapa pun!
“Biar
Fatin suapkan kakak ya...”
Cepat sahaja tangan Fatin mencapai mangkuk bubur di atas
dulang. Dia mengambil sedikit ayam goreng kunyit dan digaul ke dalam bubur.
Lantas sudu tersebut disuakan terhadap kakaknya itu. ‘Kasihan kakak.. mesti
kakak rindukan abang Luqman.’
“Akak
tak ada seleralah...” Faraneesha menolak perlahan. Tekaknya betul-betul tidak
boleh menerima sebarang makanan. Hendak menelan air liur sendiri pun dia tidak
mampu. Apatah lagi hendak menelan makanan yang terhidang walaupun ayam goreng
kunyit itu memang menjadi kegemarannya.
“Cubalah
makan... sedap tau..” Konon hendak menceritakan kesedapan makanan tersebut,
Fatin menyuap ke dalam mulutnya sendiri.
“Eh
Fatin ni, dia pulak yang makan.. Buntat tu buntat jugaklah... semua makanan dia
nak bedal!” Usik Iqbal selamba. Terus mereka tergelak bersama-sama. Mereka tahu
yang Fatin memang alah dengan perkataan ‘buntat’ itu. Ialah, antara mereka
adik-beradik, Fatinlah yang paling gemuk walaupun usianya baru sahaja mencecah
tingkatan dua.
“Ngee...
suka hati je panggil orang buntat!” Fatin bengang! Walaupun marah-marah, dia
tetap menyuapkan makanan ke dalam mulut. Bukan ke dalam mulut kakaknya tapi ke
dalam mulutnya sendiri. Mereka semua tergelak besar. Malah Faraneesha juga
sudah boleh tersenyum sama manakala Farafeesa hanya memandang dari arah pintu
apabila semua ahli keluarganya berkumpul untuk memujuk hati kakak kembarnya
itu.
Ahli
keluarganya hanya berada di depan mata sahaja. Namun kasih ini terlangkau
terlalu jauh. Jauh dari gapaian tangannya.
Dia bukan menyendiri, tapi dia mengambarkan tentang
ketiadaannya nanti. Keluarga ini tetap akan sempurna jika mereka kehilangan
dirinya nanti. Keluarga ini tetap akan mampu ketawa dan tersenyum menyambut
permergiannya nanti. Kehilangannya tidak akan membawa apa-apa erti dan makna
dalam kehidupan mereka.
Farafeesa
menjarakkan diri dan bersandar di tepi dinding. Mencari ruang untuk berfikir
sendiri. Mujur sahaja kepalanya tidak terlalu pening hari ini. Jika tidak,
pasti dia susah untuk menjaga Faraneesha nanti.
‘Ya
Allah.. terima kasih kerana mengurniakan kesihatan kepada diriku.. Sesungguhnya,
aku khilaf tanpa bantuanMu..’ Dicekalkan hati. Ditabahkan rasa. Ditambahkan
semangat buat penguat jiwa!
“Angah....”
Farafeesa berpaling bila bajunya ditarik oleh adiknya. Terkesima seketika
melihat Iman sedang menangis. Terus Farafeesa duduk mencangkung. Mengadap
adiknya itu.
“Kenapa
Iman menangis?” Diseka air mata yang bermaharajalela di pipi Iman. Bulu mata
adik lelakinya ini kelihatan lebih lentik selepas menangis.
“Kenapa
angah menangis?”
Kali ini
giliran Farafeesa pula yang tercengang. Tidak faham dengan kata-kata adiknya.
‘Aku menangis?’ Lantas dibawa tapak tangan ke pipinya. Entah masa bila pipinya
basah dek air mata. Kenapa dia tidak sedar yang dia sedang menangis?
‘Ya
Allah, adakah perasaan miliku sudah beku kerana langsung tidak menyedari
permata yang berteraburan di pipi ini?’ Farafeesa tertanya-tanya sendiri.
Mungkinkah yang hatinya tersentuh melihat layanan yang tidak berbelah bahagi
dari ahli keluarga untuk memujuk Faraneesha sedangkan dia terpinggir sendiri di
hujung dunia?
“Angah jangan
sedih-sedih tau... Iman sayang angah!” Dipeluk kakaknya seerat mungkin.
Farafeesa memejamkan mata sambil membalas pelukan adiknya itu. Terasa seperti
kekuatannya mampir tanpa dipinta. Betul kata orang, kasih sayang itu adalah
ubat yang paling mujarab! Kasih sayang yang tinggi dapat melawan rasa sakit
yang mengunung!
“Angah
pun sayang adik tau!” Ucap Farafeesa sedikit sebak. Terharu dengan adik
bongsunya itu. Di sisa penghujung nyawanya ini, dia hanya teringin hendak
menyulam kasih bersama ahli keluarganya. Lain-lain perkara, sudah tidak menjadi
hal bagi dirinya. Sudah malas hendak mengambil kira perkara yang remeh-temeh
yang hanya akan menambahkan bebanan perasasaan.
“Angah
jangan tinggalkan adik macam abang Luqman tinggalkan adik tau!” Tersentak Farafeesa
dibuatnya apabila mendengar ayat yang diucap apabila adiknya. Terus dia meleraikan pelukan. Air matanya bergenang di
tubir mata. Menunggu masa untuk jatuh sahaja. Perasaannya sekarang bagaikan
sedang digilis trelar!!!
Keperitannya,
hanya Allah sahaja yang tahu!
Sejurus
selepas itu, Iman terus keluar bermain. Meninggalkan dia terkulat sendiri
menahan rasa. Sesak rasanya hati ini. Mengelegak seperti gulai yang sedang
berada di atas dapur.
“Assalamualaikum...”
Suara salam itu menghilangkan lamunan panjang milik Farafeesa. Dia menghalakan
pandangan ke arah ruang tamu. Dia mula mencapai tudung yang sudah tersangkut di
tepi dinding.
“Walaikum....”
Belum habis dijawab salamnya, matanya terpaut pada satu wajah yang sudah lama
tidak diketemu.
“Kot ya
pun terkejut... Habiskanlah jawab salam tu dulu.....” Lelaki itu sudah
tersenyum-senyum tapi sungguh Farafeesa rasa hendak ditumbuk wajah itu. Kenapa
lelaki itu muncul sekarang???
P/S: siapakah gerangan lelaki itu?? hehee
wah..menarik.. unsur saspen la plak.. haha.. smbg lg.. ngeee...
ReplyDeletesedih...huhuhu
ReplyDeletetp best sgt! :D
sapa laki tu?? jeng3...
sambung cepat... ^_^
nk lagi.. nk lagi..!!
ReplyDeletekwn baik feesa ke??
ReplyDeletenak ezrakhil kawin dgn feesa...skurang2nya feesa bahagia sblum dia pergi.
ReplyDelete