Tuesday 31 July 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI


ALHAMDULILAH... berkat kasih sayangNya.. akhirnya novel CUSL (baby sulung) akhirnya akan menjengah di pasaran pada pertengahan bulan Ogos nanti.. rasa macam nak pengsan masa tengok cover.. so cute kannn... masa penulis dia jugak.. (sila jangan nangis baca statement nihhh)... besar harapan saya agar CUSL mampu diterima oleh semua pihak... ambillah kebaikan dalam cerita tersebut.. dan kekurangan itu saya akan jadikan batu loncatan untuk berkarya dengan lebih  baik untuk masa akan datang..  so, saya sertakan sedikit blurp CUSL... tapi ni versi x edit lah.. hope boleh mendatangkan rasa keterujaan untuk memiliki CUSL.. hehe..



Naila Farafeesa terkenal dengan sikapnya yang kuat menjawab manakala Ezrakil pula majikan yang kuat membuli. Seorang keras kepala dan seorang keras hati. Tapi siapa sangka, dalam mereka bercakaran, di situlah cinta mula bercambah. 

“Bos, macam ni ke cara bos nak tunjukkan rasa sayang bos pada saya?? Kalau macam ni caranya, memang sia-sialah bos... sebab orang yang keras kepala dan orang yang keras hati ni memang tak ada penyudah yang bahagia.” Naila Farafeesa.

“Awak nak bukti apa lagi.... sebab tak cium or tak peluk awak, sebab tu awak rasa saya tak sayangkan awak? Macam tu? Hei, saya boleh bagilah semua tu... tapi dengan syarat awak kena jadi seorang yang halal di sisi agama untuk saya.. Masa tu, bukan saja peluk cium, lebih dari tu pun saya boleh bagi...” Ezrakil Effendy.

Akhirnya Farafeesa akur. Cintanya memang untuk Ezrakil. Namun kerana penyakit berbahaya yang dihidapinya, cinta ini terpaksa ditolak ke tepi. Farafeesa tekad menjodohkan Ezrakil bersama kakak kembarnya yang baru kehilangan tunang. Namun mampukah cinta itu diganti tempat duduknya?

“Kau ingat kau siapa Feesa? Kau nak kau ambik! Kalau tak nak, kau pas dekat orang lain! Kau ingat kau Tuhan ke?” Naila Faraneesha

Mendidih tahap kesabaran Faraneesha tatkala menyedari akan taktik adik kembarnya. Kemunculan seorang lelaki yang persis arwah tunangnya pula mula menyingkap sehelai demi sehelai kenangan yang pernah terukir cantik. Faraneesha terhimpit lagi.

“Neesha...hati ni.. terlalu rasakan cinta awak. Kenapa awak perlu menidakkan perasaan awak sendiri? Awak tak penat ke main lari-lari macam ni? Ataupun awak memang suka saya terkontang-kanting sendiri tanpa jawapan yang pasti! Dan awak tahu tak sesuatu? Bila awak memutuskan untuk menolak cinta saya,.... semua itu hanya akan lebih melukakan hati awak sendiri!” Nazreen.

Mampukah Ezrakil memenuhi permintaan terakhir Farafeesa kala gadis itu bertarung dengan maut? Adakah Faraneesha akan menerima amanat dari adiknya? Bagaimana pula dengan kemunculan Nazreen yang membawa seribu satu rahsia? Mati itu sesuatu yang pasti namun mahal benarkah harga sebuah bahagia buat Farafeesa sebelum dia kembali ke sisiNya? Mereka penat dalam mengejar rasa cinta bagi memastikan cinta itu hidup walaupun untuk sedetik lagi…


Pada sesiapa yang nak order direct dari saya, boleh join group penulisan Seindah Biasa.. Harga semenanjung RM 28 n Sabah/Sarawak: RM31... tapi kalau order dengan saya, akan dapat diskaun RM3.. Jadi hanya perlu bayar RM25 including postage... 

JOM JOIN GROUP SEINDAH BIASA..

Saturday 14 July 2012

Sahaja Aku MenyintaiMu



Mungkinkah kasih mereka ternokhtah di sini….
Kekuatan yang mula hilang dilayangkan angin itu mula ditagih melalui bisikan zikir yang sedari tadi masih belum jemu dari membasahi bibir. Air mata masih lagi membeku di bening mata. Menanti masa untuk menerjah ruang wajah. Bukan dia ingin berlakon kuat! Tapi kerana dia sendiri tidak mampu untuk menangis andai inilah takdir yang telah dipersiapkan oleh Dia terhadap dirinya sendiri. Mungkin jua ini semua adalah balasan dari khilaf semalam.
“Aku tak pernah sangka yang semua ini akan terjadi dalam hidup aku…” Daim menguak rambutnya kasar. Hilang terus wajah tenangnya yang selama ini terpancar di ruang wajah. Tenggelam terus senyuman manisnya yang sering menyapa mesra. Dan yang paling mengguris hati, terkubur terus panggilan manis yang sentiasa meniti di bibir itu. Yang ada hanyalah sebuah kebencian yang seakan-akan tidak menemui penghujungnya.
“Abang….” Sekali lagi Jazmeen memberanikan diri untuk bersuara. Dia ingin membetulkan keadaan yang sudah mula pincang. Tapi untuk apa? Mampukah dia mencantumkan kembali deraian kaca yang sudah pecah?
“Jangan kau berani panggil aku abang….. Aku jijik! Aku jijik!!!” Panas peluput telinga Jazmeen tika menyambut tengkingan suaminya walaupun ini bukanlah kali yang pertama.
“Meen boleh terangkan keadaan yang sebenar bang… Boleh tak dengar dulu penjelasan Meen?” Tidak salah rasanya jika dia ingin terus mencuba walau dia sudah dapat mengagak akan nasib yang bakal menimpanya nanti. Adakah suaminya itu akan menceraikan dirinya?
‘Ya Allah, adakah seberat ini ujian kepada diriku?’ Seketika dia tergamam dimamah rasa. Namun cepat-cepat dibetulkan letak duduk akal fikirannya. Mula mengimbangi rasa hati yang mula terumbang ambing. Bukankah dia sudah bersedia untuk menerima apa jua cubaan? Kenapa dia perlu takut? Jika dia kehilangan seorang suami, bukankah dia punya Allah…
 Namun mampukah jiwanya ini terus melangkah dengan bahagia tanpa pemilik tulang rusuk kirinya itu? Mungkin inilah cobaan dan dugaan untuk menguji percintaan mereka. Untuk menguji kasih sayang antara suami dan isteri. Mungkin Iman suaminya belum cukup kental untuk mengatasinya. Jadi dia sebagai seroang isteri harus lebih teguh dan kukuh.. Untuk menangkis godaan syaitan yang pasti akan melaksanakan tugasnya yang kejam.
Perlahan-lahan kaki Jazmeen melangkah mendekat ke arah suaminya yang sedang sibuk mengemaskan segala pakaiannya. Air mata yang mula menitiskan embunya, terus diseka pergi. Tidak mahu air mata itu terus membasuh kekuatannya yang mula menciput.
“Abang…” Tangan Jazmeen mula mencapai lengan Daim namun kasar sahaja ditepis oleh si suami.
“Aku cakap jangan sentuh, jangan sentuhlah! Kau tak faham ke yang aku jijik dengan kau!” Tengking Daim sepenuh hati. Dia tidak faham bagaimana wanita ini masih begitu tebal mukanya. Walaupun tembelangnya sudah pecah, namun Jazmeen masih lagi ingin cuba menegakkan benang yang basah! Perempuan seperti ini memang selayaknya dicampak ke dalam blander agar terus dikisar halus.
Selama ini dia berbangga beristerikan Jazmeen… Jazmeen yang mampu mengoda imannnya, Jazmeen yang mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah, Jazmeen yang mampu membetulkan kesalahannya, Jazmeen yang disayangi oleh semua orang.. Tapi saat kebenaran sudah tersingkap, hatinya terus tidak mampu menerima isterinya ini.
Perlahan-lahan pungggungnya dilabuhkan di birai katil. Muka yang keruh itu diraup berulang kali. Nafas yang mendesah itu makin menyalurkan kelukaan hati yang mendalam. Saat ini, dia seakan-akan tidak mampu berfikir lagi. Jiwanya berteraburan mencari tempat berteduh. Terus lupa pada segala ilmu agama yang pernah dipelajarinya dahulu. Padanlah isterinya itu sanggup menerima lelaki tidak sempurna seperti dirinya, rupa-rupanya, Jazmeen pun dua kali lima sama jugak! Kotor, jijik, dan hina! Tapi isterinya itu nyata seorang perempuan yang hipokrit! Dia benci pada orang yang pandai bermuka-muka.
“Berilah peluang untuk Meen berterus terang bang… Tak kan tak ada ruang untuk Meen perbetulkan salah Meen?” Pohon Jazmeen sambil terduduk di atas lantai. Tanganya mencari lutut milik si suami. Biarlah direndahkan dirinya, direndahkan jiwanya dalam menampung kekhilafan semalam. Daim berhak untuk membencinya? Namun tak kan rasa cinta semalam terus tertimbus dek rasa benci yang baru bercambah?
“Okay… sebelum kau nak cerita apa-apa dekat aku, aku nak tanya dengan kau dulu… Betul ke apa yang aku dengar dari mulut Jo tadi? Betul atau tak?” Keras sahaja pertanyaan Daim. Membuatkan Jazmeen terpaku sendiri.
Perlahan-lahan ditundukkan kepalanya. Bibirnya diketap perlahan. Tidak tahu jawapan yang bagaimana yang harus dipersembahkan buat suaminya. Tangan kanan dan kiri mula bermain sesame sendiri. Melagukan rasa gundah yang bersarang di pelusuk hati.
“Aku bukan tunggul Jazmeen! Jawablah soalan aku tadi?” Seakan-akan bergegar rumah banglo setingkat ini tika menyambut tengkingan dari Daim. Sebelum ini, lelaki ini tidak pernah berpelakuan sebegini rupa. Adakah ini belang yang disembunyikan oleh suaminya dalam tempoh enam bulan ini?
Dia ingin bersuara namun suaranya seakan-akan tersekat di kerongkong. Langsung melahirkan kebisuan yang menemani mereka. Dengan berat hati, kepalanya dianggukkan perlahan. Terus terdengar keluhan dari mulut Daim. Jazmeen tahu yang suaminya kecewa. Ya... dia pun terlalu kecewa dengan dirinya sendiri.
Daim dapat merasa yang kepalanya dihempap dengan batu tatkala matanya menyambut anggukan perlahan dari si isteri. Tangan yang kasar itu mula digenggam kuat. Giginya dikancing ketat. Hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Dia sentiasa berharap yang dia memperolehi seorang isteri yang tidak pernah ditebuk tupai namun kini dia memiliki seorang isteri yang tercela maruahnya. Jadi, apa lagi yang tinggal untuk dirinya sebagai seorang suami?
“Aku rasa, aku tak perlu lagi untuk simpan perempuan macam kau….” Perlahan-lahan ayat itu terluncur keluar dari mulutnya.
Tangan kanan Jazmeen sudah mula mendarat di mulutnya. Air matanya sudah jatuh membasahi pipi. Tidak peduli lagi akan segala tafsiran milik si suami yang mungkin sedang mengetawakan dirinya yang selama ini sentiasa dianggap kuat jiwa dan rohaninya.
“Aku…”
“Jangan!” Halang Jazmeen sambil terus berdiri. Lima jarinya terhala ke hadapan. Menahan ayat itu keluar secara rasmi dari bibir Daim. Biarlah itu semua hanya sekadar terpamir di ruang hati. Janganlah diungkapkan untuk menjadi tatapan halwa telinga yang sudah pasti akan membuatkan hati ini bernanah menyambutnya.
“Buat apa lagi aku nak simpan perempuan macam kau?” Tanya Daim sambil ikut turut berdiri. Sebenarnya dia juga agak terkejut apabila mendengar bantahan dari si isteri tadi. Saat ini, dia benar-benar keliru. Antara tutuan hati dan kehendak fikiran… Dia terperangkap lagi bila iman di hati tidak disusun dengan sempurna. Mudah goyah terhuyung-hayang lantas membusuk apabila dugaan dan badai datang menjentik.
Jazmeen sudah mula teresak-esak. Dalam diam, dia terkilan kerana suaminya langsung tidak mahu mendengar penjelasannya. Malah terus menjatuhkan kesalahan ke atas dirinya. Lalu, apa lagi yang hak yang tinggal sedangkan dia sedikit pun tidak punya hak untuk bersuara? Dia tahu yang Daim masih berada dalam keadaan terkejut, namun mahal benarkah harga sebuah ruang dan peluang untuk wanita sepertinya membela diri?
“Kenapa kau halang aku? Aku tak nak simpan perempuan yang ternoda macam kau!” Perlahan sahaja suara Daim. Namun kata-kata si suami itu seperti belati yang menghunus tangkai hati milik seorang isteri. Terus mati tanpa mampu untuk bernafas lagi.
“Abang…. Jangan lepaskan saya…” Mungkin ayat ini sahaja yang mampu menghalang Daim dari meneruskan niatnya. Dia percaya bahawa keadaan ini boleh diperbetulkan. Keretakan kasih ini masih boleh diselamatkan andai dugaan ini bersulamkan rasa sabar sambil bertawakal kepada Allah. Dia sedar yang suaminya masih belum kuat untuk diuji sebegini rupa. Jadi dia harus terus bertabah… kerana Jazmeen percaya bahawa rasa sakit ini pasti akan kebah.
“Habis tu, kau sanggup digantung tak bertali?” Duga Daim sedikit tidak percaya. Apa yang nyata, dia tidak dapat membenarkan yang mana satu kebenaran, yang mana satu kejahilan. Jika dia tidak dengar dengan telingannya sendiri, pasti dia langsung tidak akan mampu mempercayainya. Malah, pengakuan Jazmeen melalui anggukan tadi pun sudah membuktikan lagi kebenarannya. Rupanya, Islam yang menyelubungi diri Jazmeen adalah bersikaf sementara sahaja. Malah mungkin merupakan sebuah pembohongan. Tapi persoalannya, untuk apa dia dibohongi sebegini rupa?
“Saya tahu abang sendiri masih keliru… Biar kita sama-sama ambil masa untuk berfikir. Jangan diturutkan hati bang… Lagipun soal cerai, tak boleh dibawa main. Bagaimana abang mengambil saya sebagai isteri diringi dengan dua orang saksi, saya berharap agar abang dapat melakukan perkara yang sama andai perpisahan ini yang abang pinta. Tapi kalau abang menentukan bahawa hukuman gantung tak bertali itu sesuai untuk menghukum saya, itu semua terpulang kepada abang. Saya tak mampu nak menghalang….” Bait-bait kata Jazmeen yang lembut itu menjerut hati Daim yang kian terjerut.
Kusut, serabut, terluka, semuanya bagai digaul dengan sebati. Kebaikan Jazmeen seolah-lah membunuh langkah Daim untuk meneruskan niatnya. ‘Jadi, apa yang perlu aku buat sekarang?’
Jazmeen cuba untuk tersenyum walaupun senyumannya nyata pahit dan kelat. Namun demi segugus rasa cintanya yang tidak berhenti untuk menyintai seorang suami, digagahkan jua sekeping hatinya yang kembali bernanah. Bukan salah suaminya jika suaminya itu membenci. Semua yang berlaku adalah kerana dosa yang masih bersisa. Waktu gelap yang ditinggalkan rupanya akan sentiasa menghantui pinggir hidupnya. Dia telah lama belajar untuk redha. Kerana redha itu adalah keikhlasan hati untuk menerima ujian Ilahi.
“Maafkan aku Meen…”
Mereka saling bertatapan dalam kebisuan. Namun tidak lama kerana Daim cepat sahaja melarikan wajahnya. Dia bimbang jika mata isterinya yang penuh rasa cinta itu akan menghalang perjalanannya. Lalu, langkah diatur kemas ke muka pintu meninggalkan si isteri yang menanggung bebanan semalam.
Saat menghantar pemergian Daim melalui ekor mata, Jazmeen sudah terjelupuk di lantai rumah. Melayang terus ucapan indah yang selama ini menampar mesra hari-harinya. Terbenam sudah asmara yang menjadi saksi siang dan malam. Hilang sudah tiupan angin Syurga yang membelit jiwa Jazmeen.
            ‘Ya Allah... aku menghimpun kekuata.. Merebut makna kata darimu.. Aku sedar bahawa ujian adalah kota bahagia yang bakal berdiri megah jika aku tahan diuji.. Biarlah masa berbisik sesama mereka tatkala memperlihatkan kebodohan diriku apabila berhadapan dengan seorang suami.. kerana yang nyata, sisa cinta ini hanya miliknya...’
            Jazmeen sedar bahawa hidup ini punya waktu.. Kasih yang dipersia itu bukanlah kemahuannya. Namun kehendak takdir sudah tersurat sebegini rupa. Andai kata Daim terus membisu hingga ke akhirnya, perpisahan ini pasti akan terjadi...
Sakit, perih, menusuk hatiku
Saat kamu ucap kata itu
Ku hanya bias menitiskan air mata
Jatuh rasanya langit ini

Apa salahku
Sampai kau tega tinggalkan ku
Padahal aku telah berikan segalanya
Belum cukupkah dirimu
Rasakan cinta tulus ku
Selama ini hidupku hanya untuk kamu

Benarkah salahku
Ku terlalu mencintaimu
Hingga kau buat aku terlarut kedalam
Mungkinku tak bisa hidup
Tanpa kamu di sisiku
Ku yakin bisa melewati
Tapi berat sayang…
***
Kisah mereka bermula di sini…
            Aina Jazmeen... Dia gadis biasa yang tak banyak bicara. Dia punya cerita tersendiri yang hanya menjadi milik sendiri. Tidak lansung diketahui oleh siapapun. Kadang-kadang nampak begitu pendiam. Namun terselit ketegasan dalam tutur katanya. Terpamer senyuman cantik di wajah yang mempunyai lesung pipit itu. Hobinya hanya membaca atau mendengar ceramah daripada ustaz Azhar ataupun ustaz kacak bergaya iaitu ustaz Don Danial.
            Tanpa disedari Jazmeen, si ibu begitu ralit memerhati dirinya yang sedang ditemani dengan kitab tafsir Al-quran itu. Sungguh, Puan Maimom begitu bangga memperolehi anak seperti Jazmeen yang langsung tidak banyak karenah. Dari kecil lagi, Jazmeen begitu senang berdikari tanpa menyusahkan sesiapa pun. Sopannya sikap Jazmeen sering meniti di bibir teman-temannya. Namun dia sedikit bimbang kerana Jazmeen masih sendiri walaupun usianya sudah mencecah dua puluh lapan tahun. Sudah tiba masanya si anak itu mempunyai keluarga sendiri.
            Namun bagaimana Jazmeen ingin berkahwin jika hidupnya bermula pada waktu pagi untuk ke tempat kerja. Kemudian petangnnya terus balik melepak di rumah sambil ditemani buku-buku agama ataupun sesekali anaknya itu membaca novel untuk mengisi masa lapang. Pada malamnya pula, anaknya itu setia menemaninya di dapur. Berbual serba ringkas ataupun saling bertukar resepi. Langsung tidak wujud kehidupan sosial di dunia luar.
            Bukanlah si ibu ini hendak mengajar anaknya agar bersosial di kelab malam, tapi mungkin cukup jika sekadar ingin berjimba-jimba di pusat membeli belah bersama rakan-rakan. Namun jika ditanya kenapa asyik terperuk di rumah, anak daranya itu hanya akan tersenyum simpul sahaja. Meneruskan pembacaan yang terganggu. Jazmeen hanya akan ketawa besar tika melayan karenah anak saudaranya sesekali berkunjung di hujung minggu. Lantas, semua ini membimbangkan hati tuanya. Kadang-kadang dia rasa Jazmeen seolah-olah hidup tanpa emosi yang stabil. Bagaikan bukan manusia yang normal.
            “Apa yang awak keluhkan tu...” Tegur si suami yang baru selesai membaca surat khabar. Pagi-pagi di hujung minggu ini, apa lagilah yang boleh dibuat. Kebetulan pula cucu tidak datang bertandang.. Lagilah terkulat-kulat dia dibuatnya.
            “Fikirkan pasal Jazmeen tulah...”
            “Fikir pasal Meen? Apa yang awak nak risaukan sangat? Dia duduk depan mata awak... Bukanlah berpelesan di kelab malam ataupun disko. Daripada awak risaukan dia, baik risaukan anak bujang bongsu awak yang duk asyik keluar malam tu jeh...” Encik Hasan melayangkan rasa peliknya. Kadang-kadang dia tidak faham dengan perempuan. Budak yang baik pun nak dirisaukan lagi! Budak yang duk sibuk-sibuk keluar, tidak pula dirisau?
            “Ish abang nih... ke situ pulak. Saya risau.. Dia tu dah umur dua puluh lapan... Tapi tak kahwin-kahwin lagi... Hidupnya hanya ada kita je. Nak bercakap pun susah, inikan pula nak mencari calon suami. Saya tak mahulah Meen jadi anak dara tua!” Perlahan sedikit suaranya. Bimbang pula jika ditangkap oleh si anak yang sedang tekun menelaah di gazebo yang berada di taman langskap itu.
            “Entah-entah dia dah ada pakwe kot... Kita je yang tak tahu. Ialah, anak awak tu kan perahsia orangnya.” Tambah Encik Hasan membuat kesimpulan sendiri. Entahlah, sukar untuk ditebak perangai Jazmeen ini. Senyapnya itu tanda berfikir ke, atau tanpa mengenangkan kisah lampau? Dulu hidup anak gadisnya itu hanya untuk belajar. Tapi bila tiba saat bekerja, hidup anaknya itu hanya untuk bekerja. Tidakkah Jazmeen pernah terfikir untuk berkeluarga?
            Puan Maimon mengeluh perlahan. Bingung memikirkan kesudahan cerita Jazmeen ini. Encik Hasan yang melihat terus membetulkan duduknya. Mulutnya didekatkan sedikit ke telinga isteri. “Apa kata kalau kita carikan calon untuk Meen?” Cadangan Encik Hasan itu membuatkan Puan Maimon melopong.
            “Ish... merepeklah.. Abang ingat ni zaman dulu-dulu ke yang mak bapak jodohkan... Tak mahulah saya.... Lagipun buat-buatnya anak kita tu menderita, tak ke naya?” Tiba-tiba fikiran pesimis pula yang membelenggu fikiran si ibu.
            “Awak ni... cubalah fikir positif sikit.. Kita yang nak cari calon, kita carilah calon yang betul-betul sesuai untuk Meen..”
            “Meen setuju ke nanti?” Protes Puan Maimon lagi.
            “Lah... itulah guna mulut... Awak pergilah tanya...” Arah Encik Hasan beria-ria.
            “Eh... saya pulak! Kenapa bukan abang?” Bantah Puan Maimon lagi. Balik-balik tugas berat ini telah diserahkan kepada si ibu. Macamlah si ayah tak boleh tanya.
            “Ialah... awak kan perempuan. Senang kalau nak bercakap dengan perempuan. Saya ni lelaki. Kalau Jazmeen tu lelaki, memang dah lama saya cakap...” Usul Encik Hasan mengelat.
            “Tak ada kena mengena langsung... Tapi hmm.. mana kita nak cekau calon suaminya?” Tanya Puan Maimon terfikir-fikir. Bersungguh-sungguh nak bercakap dengan Jazmeen, macamlah dah ada calon untuk dibuat menantu.
            “Hmm.. awak surveylah anak kawan-kawan kelab menjahit awak tuh? Nanti saya survey anak-anak kenalan saya jugak. Tengoklah mana-mana yang sesuai untuk dibuat menantu.”  Bersungguh-sungguh pula rasanya hati ini untuk mencari calon suami untuk Jazmeen. Dia tidak mengharapkan yang kaya atau rupa yang handsome, cukuplah kalau menantunya nanti dapat menerima Jazmeen seadanya. Menjaga anaknya dengan baik.
            “Survey? Abang ingat ni nak cari daging dekat supermarket ke?” Pening melayan karenah si suami yang seorang ini. Kalau bercakap tu, main fikir sipi-sipi sahaja.
            “Alah... lebih kurang samalah tuh.. tapi tak serupa jeh..” Jawab Encik Hasan melawak.
“Hmm.. agak-agaknya nak cari yang lagu mana ya?” Puan Maimon mula tertanya-tanya sendiri. Membayangkan ciri-ciri seorang lelaki yang sesuai untuk Jazmeen.
“Alah... cari yang handsome ala-ala Remy Ishak pun jadilah...” Terjenggil mata Puan Maimon menyambut kata-kata suaminya. ‘Ada ke patut si mamat bangla pam shell tu dikatakan handsome! Tak ada citarasa langsung!’ Encik Hasan boleh ketawa besar. Naik menyampah Puan Maimon dibuatnya apabila dipermainkan oleh suaminya. Makin tua, makin menjadi-jadi pulak lawaknya. Malas untuk melayan, Puan Maimon terus ke intipati cerita. Jadi misinya sekarang ialah, mencari calon jodoh untuk Aina Jazmeen.
***
            Daim mula tidak senang duduk apabila menyambut arahan daripada mamanya tadi. Kahwin ikut pilihan keluarga? Oh... zaman tok kaduk manalah yang mak bapaknya hidup tika ini. Hidupnya hanya untuk enjoy enjoy dan enjoy.. Tidak terlintas langsung di fikirannya untuk serius dalam rumahtangga.
            “Ma... tolonglah.. Daim muda lagi kot...” Ialah, dia baru sahaja berumur dua puluh enam tahun! Awal gila nak kahwin. Dengan pilihan keluarga pulak tu? Memang tak lah kan... Janganlah mama mengugut dirinya dengan harta sudahlah.. Eh, apa ingat ni hidup macam dalam novel ke? Novel fantasi kegilaan rakan-rakan perempuan seperjuangan di kampus dulu.Cinta kontraklah.. kahwin kontraklah.... Namun apa yang pasti, perkahwinan ini akan dia tentang habis-habisan.
            “Daim... dua puluh enam tu tak cukup besar ke? Lagipun sampai bila nak macam ni.. Keluar lewat malam.. Balik pagi-pagi buta... Sampai bila nak hidup tak terurus macam ni? Mama rasa, kahwin je jalan untuk Daim serius dalam kehidupan ni.. Hidup ni kena ada tanggungjawab. Bukan main langgar sesuka hati je.” Bebel Puan Zakiah. Bibirnya sudah penat melontarkan kata-kata nasihat buat anak sulungnya itu. Hidup langsung tidak terurus. Belajar sahaja tinggi-tinggi tapi bab kehidupan, anaknya itu memang totally lost.
            “Apa ma nih... semua yang Daim buat tak kena dekat depan mama. Boleh tak bagi ruang untuk Daim pilih jalan hidup Daim sendiri? Kalaupun Daim nak kahwin, Daim nak kahwin dengan pilihan Daim sendiri!” Punggungnya mula diangkat. Terasa seperti duduk di atas bara api apabila berhadapan dengan bebelan mamanya yang tidak pernah berkesudahan.
            “Calon Daim? Daim nak kahwin dengan perempuan seksi-seksi yang selalu Daim berkepit tuh.. Oh.. tolonglah pilih perempuan yang bertamadun sikit untuk jadi menantu mama.. Mama tak minta banyak, mama nak kamu tengok dulu calon mama tuh.. Kalau kamu tak berkenan, mama tak paksa. Kamu hanya perlu tengok je dia. Sekurang-kurangnya jaga air muka mama yang dah berjanji dengan kawan mama tuh...” Ujar Puan Zakiah sedikit merayu. Susah betul hendak menjinakkan singa kelaparan ini. Semuanya kena ikut kepala dia! Mahu sahaja Puan Zakiah sembelih buat masak singgang!
            Memang sudah dari awal lagi dia terlalu pasti yang Daim akan menolak. Tapi apabila mengenangkan Aina Jazmeen yang sopan santun itu, suaranya laju sahaja menyatakan persetujuan untuk memberi peluang kepada Daim berkenalan dengan Jazmeen. Anaknya ini terlalu sukar untuk dikawal, mungkin dengan berkahwin nanti, semuanya akan berubah? Siapa tahu ketentuan Allah...
            “Yang mama pandai-pandai berjanji tu kenapa?” Daim mendengus kasar. Dia tahu yang Puan Zakiah sengaja hendak meletakkan dia dalam keadaan tersepit. Dalam banyak-banyak perkara, perkara seperti inilah yang tidak pernah dia jangka akan berlaku dalam hidupnya. Diatur perkahwinan melalu ibu bapa.. Oh, tolonglah....
            “Mama ingat kamu setuju.. Alah... bolehlah... bolehkan? Daim kan sayang mama...” Pujuk Puan Zakiah sungguh-sungguh. Nak harapkan suaminya memujuk, memang suaminya itu awal-awal lagi dah cuci tangan. Tak mahu terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung. Sebab Encik Azmil kenal benar dengan perangai tak semenggah anaknya itu.
            “Yalah-yalah... Kali ni je tau! Lepas ni, mama jangan ada niat nak jodoh-jodohkan Daim dengan mana-mana perempuan pun!” Keras nada amaran suara Daim. Muka dan suaranya serius sahaja. Memaknakan tiap butir bicaranya.
            “Lah... memanglah ni kali pertama dan terakhir... Sebab mama confirm yang Daim akan terpaut pada Jazmeen...” Sakat Puan Zakiah sengaja. Tapi dia benar-benar berharap yang doanya akan dimakbulkan Allah. Sudah tiba masanya Daim menghentikan segala tabiat buruknya dahulu. Memang Daim tidaklah sejahat mana, mungkin hanya tergolong dalam kategori nakal-nakal sahaja. Namun yang nakal itulah yang akan membuahkan rasa hati untuk mencuba perkara yang lebih terkutuk. Syaitan ada di mana-mana. Dan dia sudah bertekad untuk menyesatkan manusia. Jadi Puan Zakiah tidak mahu jika Daim tergolong sama walaupun sedar yang tahap keimanan Daim memang longgar di sana-sini.
            “Okay.. tak ada masalah pun nak kahwin...” Daim ikut turut menyambung jenaka milik mamanya tadi. Selebihnya dia hanya ingin menduga si ibu sahaja.
            “Hah, betul nih?” Muka Puan Zakiah sudah mempamerkan reaksi teruja. Mulut dan matanya terus dibulatkan.
            “Ya... kahwin jelah kan.. Kalau tak serasi, cerai... Apa susah kan??” Usai melemparkan kata yang sudah pasti membuatkan mamanya terkejut, Daim terus mencapai kunci kereta yang berada di meja kopi. Dia ingin keluar dari kesesakan otak berada di rumah. Apa yang mamanya hendak dia buat, dia akan buat... Tapi itu tidak bermakna dia akan bersetuju untuk berkahwin dengan jodoh pilihan mamanya itu.
            Kata-kata Daim tadi membuatkan jiwa Puan Zakiah terhenyak sendiri. Perlahan-lahan punggungnya melabuhkan duduk di sofa merah itu. Entah kenapa dia rasa tidak sedap hati apabila mendengar kata-kata anaknya. Adakah benar perancangannya ini? Dia hendak mencari kebaikan buat si Daim.. Moga Daim mencari hidayah yang terlangkau jauh dek gapaian tangan. Tapi adakah Aina Jazmeen akan bahagia bersama Daim? Mampukah dia menyatukan dua insan yang terlalu beza latar belakangnya? Entah kenapa.... dia terasa seperti mahu menarik kembali lamarannya itu.
***
            Cawan dan piring yang berada di dalam kabinet mula dikeluarkan. Perlahan-lahan cawan-cawan tersebut dilap sedikit. Bimbang berhabuk walaupun memang acap kali diguna pakai.  Entah kenapa, hatinya sedikit tidak keruan untuk menyambut tetamu sebentar lagi. Mungkin berdebar tatkala menanti kunjungan bakal suami yang akan mengemudi hidupnya nanti.
            “Meen.... Meen okay?” Dilurut perlahan bahu anak gadisnya itu. Hati tuanya risau melihat keadaan Jazmeen yang terus membisu setelah hajat untuk menjodohkan Jazmeen dengan anak kenalan kelab menjahitnya itu disampaikan.
            “Meen okay... Mak jangan risau..” Segaris senyuman paling manis Jazmeen hadiahkan buat si ibu yang sedang dilanda kegawatan perasaan.
            “Ini hanya perkenalan je... Meen berhak untuk menolak. Mak tak akan marah.” Ujar Puan Maimon sungguh-sungguh. Bimbang jika dituduh sebagai ibu bapa yang memaksa anak-anak. Dia sedar yang dia mempunyai anak yang baik, tapi itu tidak bermakna yang dia akan mengetepikan soal hati dan perasaan Jazmeen.
            “Mak...Meen sedar yang soal jodoh tu bukan berada di tangan manusia. Tapi jodoh yang baik adalah daripada tangan yang baik. Meen percaya pada calon yang mak pilih. Sebab tangan nilah yang membesarkan Meen.  Lagipun, mak dan ayah tak akan memperjudikan nasib anak sendiri kan... Meen redha...”
            Mendengar pada bait patah kata-kata anaknya, Puan Maimon mula diserang rasa bersalah. Sepatutnya dia tidak perlu mencampur urusan pemilihan Jazmeen. Dari dahulu Jazmeen tidak pernah menolak, jadi mana mungkin yang Jazmeen akan menolak permintaannya yang satu ini.
            “Meen memang anak yang baik. Mak beruntung dianugerahkan anak seperti Meen..” Ditarik anaknya ke dalam pelukan erat. Jazmeen ikut turut membalas sambil tersenyum hambar. Jazmeen sendiri sebenarnya masih samar-samar dalam mengenalpasti kebaikan keputusannya ini. Usai diberitahu tentang pemilihan jodoh itu, terus dia menjatuhkan rasa hina di atas hamparan sejadah. Memohon dan mengharapkan bantuan dariNya. Ketenangan hati ini sedikit sebanyak membantu dia untuk menerima calon jodoh buatnya itu. Lagipula, lebih baik begini. Biarlah mereka saling belajar mengenali selepas berkahwin nanti.
            “Mak pun baik.. Jadi Meen tak mampu untuk lukakan hati dan permintaan mak. Percayalah, apa yang membuatkan mak dan ayah bahagia, itulah yang akan membahagiakan Meen..” Kelopak mata Jazmeen panas menghantuk rasa sedih. Memecahkan dinding-dinding ketenangan yang selama ini disimpan kemas.
            “Tetamu dah datang tuh... Bolehlah sambung drama dekat depan pulak.” Encik Hasan yang memerhati sedari tadi, mula menyampuk. Sungguh, dia bangga mempunyai anak seperti Jazmeen. Sejuk hatinya melihat Jazmeen membesar dengan didikan yang tidak kurang sedikit pun.
            “Apalah abang nih... Tak habis-habis nak buat lawak...” Air mata yang merebes tadi, Puan Maimon seka dengan jemarinya. “Jom Meen.. Kita ke depan... Angkat dulang minuman tu sekali.” Arah Puan Maimon cepat-cepat. Berharap agar Allah mempermudahkan segalanya.
            Jazmeen menarik nafas sedikit. Dengan ucapan bismillah, dulang cawan itu diangkat. Membawa langkah ke ruang tamu bersama detak-detik hati yang bergendang hebat.
***
            “Jaga diri.. Jaga kelakuan... Jaga maruah mama dan papa.. Kalau Daim tak suka sekalipun, jangan sesekali menjatuhkan maruah orang!” Pesan mamanya tadi berlegar hangat di benak Daim. Dia tidak begitu bodoh lagi untuk menjatuhkan maruah milik keluarganya. Cuma apa yang membingungkan dirinya, mama ada memberitahu yang gadis yang bakal menjadi isterinya tua dua tahun dari dirinya. ‘Dah lah jodoh kena paksa, bagi yang tua merenyot pulak tuh..’ Bisik hati Daim. Otaknya masih lagi terkejut dengan tindakan drastik mama dan papanya ini.
Kepala yang tidak gatal itu digaru perlahan. Melihat kedua ibu bapanya berbual mesra sambil bertukar salam, Daim mula termanggu sendiri. Bingung untuk menyampuk kata. Terlebih sampuk karang, ada jugak yang kena hempuk. Namun matanya mula terpanggil untuk memandang seorang wanita berjubah hitam yang s edang melangkah ke arah mereka.
Spontan Daim mencebik di dalam hati. Langsung out of service! Fesyen kuno bukan main lagi. Pakai jubah tuh? Entah orang Arab mana yang sesat kat Malaysia nih.. Kalau pakai dress labuh tu boleh terima dek otak lagi.
Namun saat matanya terpandangan raut wajah wanita yang bakal bergelar isterinya itu, terus bibirnya melopong. Memang tak cantik macam ratu cantik. Tapi sekali mata ini memandang, raut wajah itu terus memakukan matanya. Melarang dari beralih untuk sedikit pun. Wajahnya bagai mempunyai aura yang tersembunyi. Bagaikan telah mengalihkan dunia indahnya tadi.
Puan Maimon dan Puan Zakiah tersenyum sesama sendiri apabila menyambut reaksi Daim yang nyata terkejut itu. Mereka benar-benar berharap agar Jodoh ini akan bersulamkan cinta lantas mengimarahkan alam perkahwinan yang terlalu besar maknanya.
“Oit... ada tengok anak dara orang macam tuh!” Puan Zakiah mencuit sedikit peha anaknya itu. Bukan main melopong lagi... Hari tu sampai tegang-tegang urat bertekat tak mahu terima pilihan keluarga.
            Tiba-tiba Daim bangun dari duduknya. Matanya memang tidak langsung beralih dari memandang gadis itu. Entah kenapa hatinya berdegup di luar kebiasaanya. Bukan tak pernah tengok perempuan cantik, tapi hatinya bagai mengelupur keperitan. Semua yang berada di situ mula menumpukan perhatian terhadap Daim. Termasuklah Jazmeen yang sedikit terpinga-pinga.
            Puan ZakiaH dan Encik Bakri sudah berpandangan sesama sendiri. Bimbang jika Daim bertukar menjadi Shrek yang menggila. Anak lelaki mereka itu bukan boleh kira sangat. Tidak putus-putus Puan Zakiah memanjatkan doa. Berharap agar Daim masih waras untuk menjaga maruah keluarga mereka.
            “Mak cik... Pak cik... Kalau tak keberatan, saya nak bercakap dengan Jazmeen sekejap!” Pinta Daim perlahan sambil menunduk hormat. Encik Hasan dan Puan Maimon mula bertukar senyum. Nampak agak seperti tidak penyabar. Namun anak muda sekarang apalah yang nak dihairankan sangat. Dekat dalam rumah mereka ni pun ada contoh terdekat.. Semuannya nak cepat! Tak menyempat sungguh!
            “Boleh... apa salahnya... Kan Meen?” Sempat juga Puan Maimon mengerling sambil memohon keizinan daripada Jazmeen. Perasaan Jazmeen adalah perkara yang paling diutamakan. Langsung tidak mahu memaksa sehingga membuatkan Jazmeen rasa terpaksa. Lagipula, memang perlu untuk mereka saling berbual. Bukan untuk menggalakkan maksiat. Namun sekadar untuk bertukar bicara. Merelakan erti sebuah langkah yang ingin ke depan.
            Jazmeen hanya sekadar mengangguk dan tersenyum sedikit. Namun tidak langsung menghalakan pandangan ke arah lelaki itu. Tiba-tiba hatinya rasa lain macam. Mungkin lelaki itu sebenarnya tidak bersetuju dengan perkahwinan yang diatur ini.
            “Pergilah berbual dekat gazebo depan tuh..” Arah Encik Hasan sambil tersenyum mesra. Sekali pandang, anak rakan isterinya itu memang boleh menarik perhatian dirinya. Dengan rupa yang handsome, bicara yang sedikit menyenangkan, mungkin lelaki itu mampu beriringan bersama Jazmeen untuk mengelola sebuah kehidupan baru.
            Daim hanya tersenyum sedikit lantas terus ke gazebo yang dia nampak ketika hendak masuk ke dalam rumah ini tadi. Ditinggalkan wanita itu kebelakang. Kepala yang tidak gatal itu digaru perlahan. Kenapa sekarang Daim rasa yang hatinya berbolak balik? Kenapa dia rasa seperti tidak mahu melepaskan seraut wajah itu? Bukankah kelmarin dia begitu menidakkan perkahwinan yang diatur ini? Kenapa dia rasa terkeliru kali ini?
            “Assalamualaikum...” Salam yang dihulur membuatkan Daim berpaling ke belakang. Cukup lunak.. cukup sederhana dan cukup menggamit rasa.
            “Waalaikumusalam...” Jawab Daim perlahan. Sesaat... dua saat... tiga saat... mereka diserang kesunyian. Apabila menyedari yang gadis itu tidak akan memulakan perbualan, Daim mula terpanggil untuk bersuara.
            “Kenapa awak terima?” Dikerling ke arah gadis yang bernama Aina Jazmeen itu. Ya... gadis ini kelihatan sempurna untuk dijadikan seorang isteri. Namun dia pula adalah seorang lelaki yang bukan datang dari kategori yang ‘baik-baik’. Ilmu agamanya masih pincang dan retak. Mampukah mereka disatukan dalam erti kata sebuah perkahwinan?
            “Sebab awak adalah pilihan mak dan ayah saya...” Jawab Jazmeen menunduk. Wajahnya tenang sahaja namun hanya Allah yang tahu getaran yang melanda rasa hatinya.
            “Awak cakap macam orang yang tak ada pendirian...” Tegur Daim sinis. Kebiasaannya, dia dikelilingi dengan wanita yang penuh berkarisma. Wanita moden yang suka memprotes dan mempertahankan hak mereka. Bukan wanita yang mengangguk dalam semua perkara seperi gadis yang duduk di gazebo ini. Yang menurut walaupun hati mungkin tidak merelakan.
            “Setiap pendirian manusia itu perlu ada batasnya.. Setiap pendirian itu harus diiringi dengan iman dan taqwa. Kita tak boleh nak pertahankan apa yang dilarang oleh Allah.. Kalau sudah terang lagi bersuluh yang pendirian itu dilarang agama, kita langsung tak punya hak untuk mempertahankannya.. Mengikut pilihan keluarga, tak bermakna saya tak punya pendirian. Cuma saya mengambil kira soal kebahagian orang tua saya. Membahagiakan kedua ibu bapa adalah tanggungjawab seorang anak dan insyaAllah akan ada bahagia untuk saya pula.” Jazmeen menerangkan secara mudah dalam konsep pendirian hidupnya.
            “Tapi adakah hati awak rela?” Duga Daim lagi.
“Allah pasti akan gerakkan hati kita bila perkara itu berlalu ke arah kebaikkan. Malah Dia akan memudahkan segala kesukaran yang bertandang di hati. Bila saya tanyakan kebimbangan saya pada Dia, Dia menghadiahkan ketenangan dalam hati saya. Jadi, apa perlunya saya menidakkan perkara yang mendatangkan kebaikan kepada diri saya? Lagipun... Saya percaya bahawa mak dan ayah saya tak akan memilih seseorang yang tak bertanggungjawab untuk menjadi suami saya.”
            Ketenangan Jazmeen tika menjawab soalan  seakan-akan memukul benteng keimanan milik Daim. Dia terkedu sendiri. Bait kata yang penuh rasa cinta pada agamanya. Penuh pengharapan pada Yang Maha Esa. Dia pula kosong! Langsung tidak punya apa-apa yang boleh membuktikan dia orang yang mampu untuk membimbing seorang isteri.
            “Errk... awak tanya pada Dia? Dia tu siapa?” Tanya Daim tidak faham.
            “Pada Allah...” Jawapan Jazmeen membuatkan Daim kembali melopong.
            “Macam mana Allah boleh jawab soalan awak?” Persoalan Daim yang agak kelam kabut itu membuatkan Aina Jazmeen tersenyum. Lelaki itu begitu jujur dalam melahirkan ketidakpastiannya. Menyerlahkan keimanannya yang senipis kulit bawang.
            “Saya bertanya melalui solat istiharah....” Jazmeen mula kenal akan keperibadian bakal suaminya.Ternyata lelaki ini memang lemah perihal agama. Namun Jazmeen kekal melarang otaknya dari memikirkan perkara yang tidak-tidak tentang Daim. Semua orang layak untuk meninggalkan masa silam dan mula belajar untuk memperbetulkan masa hadapan. Daim juga tidak terkecuali.
            Berkerut dahi Daim menyambut kata-kata Jazmeen itu. Bibirnya digigit perlahan. Otaknya mula menjana perkataan istiharah itu. Rasa macam selalu dengar? Mungkin dari mulut rakan-rakan yang syok alim waktu di kampus dahulu. Rasanya macam solat untuk orang yang keliru untuk memilih jodoh... Mungkin lebih kurang begitulah maknanya. Untuk bertanya pada Jazmeen, terasa malu pula. Sudahlah tadi memang dah menempah malu kerana tertanya soalan yang langsung memperlihatkan kebodohan diri sendiri.
            Seketika Daim terfikir sendiri. Mahukah perempuan seperti Jazmeen menerima lelaki yang peluh khilaf dan daif seperti dirinya ini? Tidakkah wanita seperti Jazmeen mengharapkan seseorang yang lebih baik dan lebih sempurna?
            “Apa yang membuat awak keliru Daim? Apa yang membuatkan awak ragu?” Tanya Jazmeen tidak tertahan apabila melihat Daim agak gelisah. Mungkin lelaki ini tidak mampu untuk menerima pilihan keluarga ini. Dan jika itu yang berlaku, Jazmeen langsung tidak mampu untuk memaksa.
            “Saya lelaki yang daif ilmu agama Jazmeen. Saya tak layak untuk memiliki isteri sebaik awak. Saya akui yang saya bukan orang baik. Saya adalah pemusnah agama saya sendiri. Mampu ke orang macam awak terima saya? Mampu ke keluarga awak terima saya? Saya datang sini hari ni pun sebab nak jaga air muka mama... Mama kata saya berhak menolak kalau saya tak mahu... Tapi bila berdepan dengan awak, kenapa saya keliru?” Daripada berdiri, dia sudah mula terduduk di sebelah Jazmeen. Namun masih menjaga jarak demi menghormati Jazmeen. Mukanya diraut beberapa kali. Hatinya mula mendesah dan kembali meribut. Kenapa dengan dirinya ini.
            Apabila tidak mendapat sebarang respon daripada Jazmeen, dia mula menoleh ke arah gadis itu. Namun Jazmeen hanya tersenyum. Mungkin tersenyum untuk menyambut kedaifan ilmu agamanya.
            “Kenapa awak senyum?” Tanya Daim tanpa ditahan. Terasa diri sedang diperlekehkan.
            “Saya senyum sebab saya rasa awak adalah manusia yang paling jujur yang pernah saya kenal. Kenapa awak mengaku awak jahat sedangkan saya nampak kebaikkan awak sebagai seorang anak. Awak masih lagi berusaha untuk menjaga maruah keluarga awak. Ini membuktikan yang awak belum jadi orang yang terlalu jahat...”
            Daim melopong. Tidak tahu sama ada itu memang satu pujian ataupun perlian daripada gadis itu. “ Saya memang teruk.... Saya memang jahat... Lagipun bukan ke lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.. Tapi saya ni jahat.. Saya tak sesuai untuk perempuan baik macam awak nih...” Keluh Daim lagi.
            “Orang yang jahat boleh jadi baik Daim.. Hendak menjadi baik adalah satu sifat yang baik walaupun belum tentu akan menjadi yang terbaik. Keinginan menjadi baik itu adalah terbitan dari rasa kesedaran diri akibat bisikan keimanan di hati. Untuk merealisasikannya, ialah dengan menyulusuri jalan-jalan terbaik yang pernah ditempuhi oleh orang-orang yang baik. Berusaha menjadi baik itu sudah mendapat ganjaran yang baik dari Allah apatah lagi andai dapat menghindari diri dari melakukan keburukan. Sesungguhnya yang berada di sisi Allah hanyalah yang terbaik…” Tenang sahaja ayat-ayat itu menampar peluput telinga Daim. Entah kenapa, hatinya bagai tergolek sendiri kepada Jazmeen. Tanpa dipinta ataupun dirayu. Dia sendiri yang menyerahkan diri.
            Bagi Jazmeen… semua orang layak diberikan peluang. Dia juga pernah tersasar satu ketika dahulu. Mujur sahaja dia sudah terbangun dari kealpaan. Mengingatkan dosa kelmarin, itu makin berkobar hatinya untuk memberi peluang kepada Daim.
            “Adakah saya akan diterima jika nak berubah?” Tanya Daim sambil cuba merenung ke hadapan. Rasa tidak berani untuk menoleh ke belakang. Menyaksikan noda-noda yang belum mampu terpadam.
            “Keampunan Allah itu mengatasi segalanya Daim…” Jazmeen kembali memberikan peringatan terhadap Daim.
            “Saya bodoh walaupun dulu saya pernah belajar… Saya jahil ilmu agama sebab tak mengamalkannya… tapi saya nak berubah.. Boleh tak awak pimpin saya Jazmeen..??” Ini memang betul-betul terbalik. Tak pernah-pernah seorang lelaki meminta seorang perempuan membimbing seorang lelaki. Rasa macam orang yang paling tak berguna pun ada. Daim sendiri tidak pasti apa yang tidak kena dengan dirinya ini? Adakah dia telah dipukau dengan kecantikan Jazmeen lantas mengalih hatinya untuk berubah ataupun ini hidayah daripada Allah.
            Jazmeen hanya sekadar tersenyum. Tidak mampu menabur sebarang janji. Lantaran dia bukanlah hamba yang terbaik. Dia juga masih belajar memperbaiki dirnya. “Daim… kita sama-sama berusaha mencuba yang terbaik ya.. untuk mencari redha Allah..” Akhirnya ayat itu keluar dari mulut Jazmeen. Wajahnya dikalih ke arah lain. Tidak membenarnya menjadi tatapan Daim lagi. Daim tersenyum cuma. Tapi separuh hatinya lega dengan keputusan tidak diduga ini.
Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Adakalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan tika aku
Diuji dengan dugaan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakana rahmatNya mengatasi segala
***
            Dua minggu lagi perkahwinan mereka akan dilangsungkan. Namun ada banyak perkara yang belum selesai lagi. Tengah hari tadi, hampir-hampir dia hendak bergaduh dengan Jazmeen gara-gara sikap terlalu menjaga-menjaga gadis itu. Pemilihan baju, tak mahu yang ketat-ketat. Ya.. itu Daim boleh terima sangat. Sedar akan diri Jazmeen yang terlalu menjaga auratnya. Malah Jazmeen siap sound lagi mak andam itu.. Walaupun nada suaranya kekal perlahan dan lembut, namun Daim rasa tidak berkenan.
            “Kak, untuk tukang make up, saya nak peremupuan ya..” Mohon Jazmeen perlahan. Kali ini Daim hanya mengerling dari tepi. Memilih untuk menjadi pemerhati.
            “Dik..boleh memanglah boleh.. Tapi akak prefer lelaki.. sebab depa punya sentuhan lagi cantik dan lagi kebabo tau…” Terang mak andam itu semangat.
            “Tak apalah… lagipun saya nak make up yang sederhana je. Cukup kalau nampak menarik. Tak perlu nak lebih-lebih. Bulu mata pun saya tak mahu pakai…” Bagi Jazmeen, adalah perlu untuk dia menerangkan segalanya di awal waktu. Bimbang nanti akan berlakunya salah faham dikemudian hari.
            “Sayanglah dik…. Kahwin ni sekali seumur hidup je tau.. Biarlah meriah sikit.” Pujuk mak andam itu lagi.
            Jazmeen hanya sekadar tersenyum sahaja. Tidak guna untuk terus bertikam lidah. Seharusnya mak andam ini menghormati permintaan dari pelanggannya. Mereka datang kali ni pun untuk membetulkan fitting baju yang agak ketat sedikit dengan badannya.
            “Apa salahnya kalau awak nampak cantik untuk satu hari tu Meen…” Tegur Daim apabila mak andam berlalu ke belakang. Daim mula mengambil tempat di sebelah bakal isterinya. Kadang-kadang dia rasa yang Jazmeen seorang yang tak ada citarasa. Semuanya nak nampak simple. Cincin nak simple, perkahwinan yang simple, baju yang simple, semuanya pun nak sederhana. Entah apalah yang istetimewanya tentang sederhana.
            “Saya nak cari perkahwinan yang baraqah.. bukan perkahwinan yang mengejar glamour..” Jawab Jazmeen perlahan. Dia bukan memilih untuk menjadi cerewet. Cuma dia memilih untuk setia menjaga batasan yang telah digariskan. Tak perlu untuk menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan sesuatu yang halal.
            “Saya tak cakap pun nak wedding yang glamour, tapi saya harap awak boleh terima kalau mak andam nak make up.. lagipun, saya boleh tunjuk pada kawan-kawan kecantikan isteri saya. Beritahu mereka bertapa bertuahnya saya untuk memperisterikan awak..” Pujuk Daim lagi.
            “Daim... kecantikan seorang isteri hanyalah milik seorang suami. Bukan untuk dipamirkan pada lelaki lain.” Jawapan ringkas Jazmeen itu benar-benar membuatkan Daim terdiam dan terhenyak sendiri. Tak pasal-pasal dia membentangkan kejahilan milik sendiri. Kepala yang tidak gatal itu digaru perlahan. Puan Maimon dan Puan Zakiah yang berada di satu sudut di dalam butik mula dikerling perlahan. Mujur sahaja tidak didengari oleh bakal mertuanya. Kalau tak sah-sah tempah malu sahaja. Inilah akibatnya kalau manusia suka berfikir lepas bercakap.
            “Hmm... satu lagi, saya nak photographer perempuan..” Permintaan Jazmeen itu membuatkan Daim melopong. Kenapalah aneh sangat perempuan ini? Betul ke mereka ingin berkongsi bahtera perkahwinan bersama-sama? Mampukah dia mengikut segalanya dengan sempurna?
            “Saya ada kawan photographer... Tapi dia lelaki. Kita guna dia jelah... Lagipun apa bezanya?” Sekali lagi Daim mempersoalkan perbezaannya. Adakah Jazmeen yang terlebih fikir ataupun dirinya yang langsung tidak berfikir?
            “Macam yang saya cakap tadi... Kecantikan seorang isteri hanya milik seorang suami. Adalah perlu untuk saya menjaga maruah seorang suami..” Tenang sahaja Jazmeen menjawab.
            “Saya betul-betul tak faham dengan awak nih... Terlalu banyak perkara yang tak boleh. Bukan ke Islam itu mudah dan menyenangkan...” Bentak Daim sambil mengelengkan kepalanya. Keraguan mula datang mengaru hati. Membuatkan duduknya tak senang sahaja. Memanglah kalau lepas ni tak serasi boleh cerai, tapi mamanya awal-awal lagi dah sound baik punya. ’Kalau ada hati nak cerai, langkah mayat mama dulu!’ Ugut Puan Zakiah serius. Tapi kini, Daim mula rasa hendak naik gila melayannya. ‘Mampu ke aku untuk berubah?’
            “Saya bukan nak demand macam-macam. Tapi sesungguhnya hak seorang isteri itu hanyalah milik suami...Saya harapkan perkahwinan yang diberkati, yang bahagia, yang boleh kekal hingga ke akhir hayat saya. Bukan sebuah perkahwinan yang gilang gemilang tetapi nanti akan hilang redha dan rahmat dari Allah. Mungkin kita tengok perkara ni macam remeh tapi cuba bayangkan... macam mana kita nak dapatkan sebuah perkahwinan yang diredhai Allah andai kita melakukan perkara yang dilarang di majlis perkahwinan kita sendiri. Kita cemarkan dengan perkara yang Allah tak suka....” Pujuk Jazmeen perlahan. Dia sedar yang bukan mudah untuk memahamkan Daim tika ini. Lagipula, Daim memang seorang yang berfikiran moden yang sangat ke depan. Mungkin dia langung tidak terfikirkan  semua ini.
            ‘Bertahanlah Daim... Keraguan pasti akan bertandang tika hatimu ingin jatuh sujud menyembah Allah. Tapi andai kau tahu manisnya dugaan ini, pasti kau akan sentiasa berharap agar Allah menguji keimananmu. Diuji dengan dugaan dan cubaan yang sememangnya berada di dalam kesanggupan manusia untuk mengharunginya. Percayalah Daim, Allah menguji kerana DIA percaya kepada dirimu lebih dari dirimu mempercayai kewibawaanmu sendiri.’
            Jazmeen berharap agar Daim dapat memperkukuhkan rasa hatinya. Bukan mudah hendak berubah. Semua ini memerlukan istiqamah yang kuat. Mungkin mudah untuk seorang suami membimbing seorang isteri yang jahil. Namun tidak mudah bagi seorang isteri memperbetulkan perjalanan seorang suami. Kerana seorang isteri itu tersangkut pada rasa hormat dan keegoan seorang suami yang bergelar lelaki.
            Telefon yang berlagu di telefon bimbit Daim membangunkan lamunannya. Lantas dibuka mesej yang masuk
Saya tahu semua ini tidak mudah.... namun awak harus mencuba tanpa beralah... saya percaya awak mampu.. =)
            Mesej daripada Jazmeen itu Daim tenung lama. Telefonnya kembali dicampakkan ke atas tilam. Tidak berniat untuk membalasnya. Mukanya diraut beberapa kali. Rupa-rupanya, bukan mudah untuk berubah. Diuji dengan perkara sekecil ini pun, imannya mula rasa goyah. Mampukah dirinya berubah menjadi baik?
            Tangannya terus gatal mencapai buku-buku agama pemberian Jazmeen. Diselak helaian demi helaian. Mencari topik yang mampu membuka mindanya yang sempit dikala ini. Tiba-tiba matanya terpaku dengan suatu ayat. Perlahan-lahan, dia mula membaca bait-bait kata dari buku tersebut.

Mengikut hadis sahih, “Tidak akan berlaku kiamat sebelum tidak turun 30 dajjal.” Apabila mendengarkan kata-kata nabi itu, Saidatina Aisyah terus menangis seperti orang yang diserang histeria. Terlalu takut ketika datangnya fitnah dajjal.
Namun Nabi terus menenangkan isterinya itu dengan berkata “Kalau dajjal itu muncul, aku akan berdepan dengannya. Aku akan menjadi pelindungmu ketika datangnya fitnah dajjal.” Kesimpulan dari cerita di atas ialah, mampukan seorang lelaki itu melindungi si isteri dari fitnah dajjal nanti?Dan mampukah seorang isteri mencari pelindungnya?

            Terus terjatuh buku yang sedang dipegang oleh Daim tadi. Lututnya terus menjadi terketar-ketar. Hatinya diserang debar yang mengila. Lantas dia cuba beristigfar untuk menenangkan hati yang mula gerun mengenangkan dosa-dosa yang masih belum mampu dibasuh. Untuk membimbing diri sendiri pun, dia masih dikejar lelah. Inikan pula hendak memimpin seorang isteri.
            Dicapai satu lagi buku  yang mengetengahkan cara-cara untuk solat dengan lebih ‘takmaninah..’ Dibaca satu demi satu bacaan dengan suara yang tergagap. Ya Allah... mampukah dia berubah ke arah kebaikan? Mulut akan terus mempersoalkan kemampuan seorang manusia. Namun jiwa perlu kuat agar tidak goyah. Dia perlu mencuba untuk mempersiapkan diri menjadi suami yang terbaik buat Jazmeen.
Terima kasih kerana percayakan kemampuan saya... InsyaAllah, saya tak akan sesekali mengalah.. =)
            Usai menaip mesej itu di skrin telefon, butang send mula ditekan. Orang yang tak pandai tak bermakna mereka bodoh. Kerana orang yang bodoh ialah orang yang tidak mahu mengubah masa depannya untuk beralih ke arah lebih baik. Dan Daim tidak mahu tergolong dalam kategori lelaki yang bodoh. Hidup ini harus diperjuangkan...
***
            Hampir terbeliak mata Hamdan apabila melihat Daim  yang baru keluar dari surau pejabat. Rasa dunia seperti benar-benar terbalik.
            “Kau biar betul Daim.... Kau tak salah masuk tempat kan?” Daim berpaling apabila menerima teguran daripada rakan sepejabatnya itu. Seulas senyuman nipis mula dihulurkan.
            “Kenapa? Surau ni tempat yang salah ke?” Duga Daim sambil cuba beriak tenang walaupun dalam hati turut merasa malu. Sepanjang tiga tahun bekerja, inilah kali pertama dia bersolat zuhur di pejabat sendiri. Sebelum ini, semua waktu dilanggar dengan penuh kebanggaan. Langsung terlupa pada dosa yang makin menggunung tinggi. Tapi alhamdulilah.. waktu jahiliahnya telah berakhir. Dan Daim berdoa agar Allah sentiasa membekalkan rasa istiqamah untuk bertahan untuk di hamparan ini.
            “Erkk.. kau tidur dalam surau ya?” Tebak Hamdan lagi tidak berpuas hati. Memang dia perasan akan perubahan Daim sejak dua tiga menjak ini. Tidak lagi mahu keluar malam. Tidak mahu lagi melepak-lepak bersama-sama gadis-gadis cantik seperti kebiasaan. Memang dia ada dengar cerita yang Daim hendak berkahwin, tapi Hamdan fikir berkahwin bukanlah satu halangan untuk Daim terus meliarkan diri? Tapi adakah benar gosip-gosip panas rakan sepejabat yang mengatakan Daim telah berubah?
            “Aku solat zuhur...” Satu keluhan mula dilepaskan. Bukan tanda malu pada Hamdan tetapi malu kepada Allah. Sudah terlalu lama cinta yang hakiki itu dilupakan. Masih adakah tempat dia di sisiNya?
            Hamdan mula ketawa lepas. “Errk... kau ingat lagi cara-cara solat Daim?” Perli Hamdan sengaja. Boleh ke orang seperti Daim nak berubah? Ke ini hanyalah lakonan sementara sahaja?
            “Alhamdulilah... Mungkin makin lupa tapi aku tak mahu terus lupa. Kau pulak, kau ingat tak kau tu agama apa? Mana tahu kot-kot dah lupa...” Duga Daim pula sambil menjongketkan sedikit keningnya. Panas hatinya kerana diperli-perli oleh Hamdan. ‘Kot ya pun tak join sekaki, supportlah sikit orang nak berubah. Bilalah mentaliti orang melayu ni nak beralih arah sikit... Semua jenis fikir ke belakang...’ Dengus hati Daim. Sakit hatinya.
            “Wohoooo.... aku tahulah kau nak berubah. Tak payahlah nak perli-perli.” Hamdan mula meluahkan rasa hatinya. Mahu sahaja dia tercekik mendengar soalan Daim tadi.
            “Aku tak perli... Kau tu yang perli-perli aku dulu. Aku nak berubah... Kalau kau tak nak jadi malaikat yang membantu aku, sekurang-kurangnya kau janganlah jadi syaitan yang nak menghasut aku. Aku akui, aku ni tak kuat iman... Tapi aku tengah cuba nak mantapkan keimanan aku.” Kali ini, sekali lagi Hamdan melopong. Terkejut mak jemah!
            “Jangan salah faham bro.. Aku bukan perli... Aku cuma nak test mentaliti kau kejap.. Jangan risau bro, aku support kau nak berubah. Nanti bila aku nak kahwin nanti, bolehlah aku mintak ilmu dari kau pulak. Tak gitu.” Daim tersenyum sahaja mendengar kata-kata Hamdan. Dia memang tidak layak untuk menasihati Hamdan secara berlebihan. Dia sedar yang paksaaan tak akan membawa apa-apa perubahan. Apa yang pasti, Daim hanya mampu berdoa agar Hamdan akan turut merasai perasaan sepertinya sekarang. Moga-moga ada hidayah untuk sahabatnya itu.
            “Jangan tunggu kahwin baru nak berubah... Sebab takut kau mati sebelum kahwin.” Gurau Daim sengaja. Manalah tahu kalau-kalau organ dalaman Hamdan terkejut dan terus ingin berubah sepertinya juga. Tapi Hamdan tersengih sahaja. Takut hendak membalas kata. Takut terkena batang hidung sendiri.
***
            Hajar menjeling ke arah Jazmeen yang sedang khusyuk membelek majalah solusi di hadapannya. Wajah itu masih tenang tanpa riak. Tapi hatinya pula yang gerun memikirkan penerimaan Jazmeen dengan jodoh pilihan keluarganya itu.
            “Meen... kau dah fikir masak-masak ke?” Tanya Hajar untuk yang kesekian kalinya.
            “Masak apa? Gulai, kari, asam pedas...” Belum pun Jazmeen menyudahkan ayat, bahunya telah ditumbuk perlahan oleh Hajar. Sahabat baiknya ketika di Kolej dahulu.
            “Main-mainlah kau nih...” Marah Hajar bengang. Boleh pulak Jazmeen buat lawak bangla di saat dia sedang serius menghuraikan hujah.
            “Aku dah fikir masak-masak Hajar.. Dah tahap rentung pun... Kau tu, silalah terima keputusan hidup aku nih... Dan supportlah sikit...” Pujuk Jazmeen sambil menolak ke tepi majalah SOLUSI yang sedari tadi menjadi habuan pembacaannya. Dia tahu Hajar mengiginkan yang terbaik buat dirinya... Tapi dia malas mendambakan sesuatu yang baik jika dia sendiri pun bukan dari kalangan orang-orang yang baik.
            “Aku bukan tak nak support... Tapi aku tak puas hati.. Mamat tu teruk gila Meen... Aku kenal dia.. Dia tu dah lah kaki disko, kaki perempuan... entah kaki jembalang apa lagi yang kita tak tahu. Kau deserved lelaki yang lebih baik Meen...tapi bukan mamat tuh..” Hajar teramat beremosi tika membentangkan hujahnya. Nafasnya turun naik. Kawalan di minda juga berkurangan tatkala menyambut sapaan perasaan yang menggila.
            “Hajar... kau lupa? Aku pun bukan perempuan yang baik...” Perlahan sahaja intonasi suara Jazmeen. Hajar melepaskan keluhan perlahan.
            “Tapi itu dulu....” Bentak Hajar. Kalaupun Jazmeen pernah tersilap, itu dahulu. Sekarang Jazmeen sudah kembali ke jalan yang benar. Bukan jalan yang menyongsangkan ketika melewati zaman gelap dahulu. Biasalah remaja... sering bersikap ingin mencuba walaupun sedar yang cobaan yang membabi buta pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam.
            “Ya... dulu aku begitu. Sama jugak dengan Daim kan... Dulu dia teruk tapi sekarang dia nak berubah. Semua orang perlu diberi kesempatan untuk berubah Hajar..”
            “Aku harapkan seorang lelaki yang mampu membimbing kau Meen... Bukan seorang lelaki yang kau perlu bimbing...” Hajar kembali membentangkan kerisauannya. Buat-buat Jazmeen pula yang tergoda dengan sikap buruk Daim, tak ke naya! Perempuan ini hanya punya satu akal.... Jahanam yang satu tu, hancurlah segalanya.
            “Kau takut aku berubah macam dulu Hajar?” Duga Jazmeen sambil tidak lepas memandang sahabat baiknya itu.
            Lambat-lambat Hajar mengangguk. Tidak mampu untuk menidakkan kerisauannya.
            “Terima kasih Hajar... Sebab selalu risaukan aku... Selalu tegur aku... Selalu mengharapkan dan mendoakan yang terbaik buat aku..” Air mata sedikit bergenang saat mengucapkan ungkapan terima kasih itu. Dia bersyukur, kerana tanpa Hajar, pasti dunianya dahulu masih terumbang ambing. Mujur sahabatnya itu setia menasihati dirinya yang penuh khilaf itu.
            “Kau kawan aku Meen... Aku sentiasa harap kau dapat yang terbaik. Tapi aku tak faham kenapa kau sanggup terima dia... Aku tak mahu kau tersilap langkah..” Keluh Hajar lagi.
“Aku belajar satu perkara Hajar... Janganlah bermimpi mencipta kebahagian bila hati tidak mampu memupuk sabar melalui kekecewaan… Jangan terlalu mengharap akan kesempurnaan bila diri tidak mahu berusaha memperbaiki diri melalui kesalahan.. Jangan mendamba dan meminta secara berlebihan bila tidak tahu untuk bersyukur dan berterima kasih di atas pemberianNya.  Kerana itu aku bersyukur dikurniakan seorang lelaki  yang penuh cacat celanya tapi dia punya kemahuan untuk belajar memperbaiki salahnya.. cintaku padanya makin menjatuh tatkala dahinya jatuh sujud menyembah yang Esa…Itu doa aku saban waktu dan sekarang, aku rasa ini tanda dari Dia Meen... Dia yang Maha mengetahui segalanya...” Luah Jazmeen panjang.
“Kau rasa tenang bila menerimanya?” Tanya Hajar lagi. Mendengar pada luahan hati sahabatnya sebentar tadi, kebimbangannya beransur hilang.
Perlahan-lahan Jazmeen mengangguk. Adalah perlu untuk dia selesaikan segalanya bersama Hajar. Hajar ada di zaman gelapnya. Bersama menempuh zaman terangnya. Dan di saat waktu bahagia terhidang, dia mahu Hajar ikut turut bergembira. Menerima keputusannya dengan rela hati.
“Baiklah... aku redha melepaskan kau bersama Daim... Aku harap dia berubah ke arah lebih baik. Mungkin hikmah perkahwinan akan mengajar Daim erti kehidupan yang sebenar.”
“Tapi.... Perlu ke aku menerangkan kisah silam aku pada Dia?” Tanya Jazmeen penuh kekusutan. Sesungguhnya, masa silam yang gelap itu membelit jiwanya dikala ini.
“Tak perlu Meen... sebagaimana kau terima dia seadanya, dia pun patut melakukan perkara yang sama kan...” Putus Hajar sambil tersenyum. Cuba menghilangkan kegelisahan milik sahabatnya. Jazmen ikut turut tersenyum. Harap-harap begitulah....
***
            Dengan sekali lafaz sahaja, Aina Jazmeen sah menjadi isteri kepada Daim Naufal. Mengalir air mata membasahi wajah Jazmeen. Tidak percaya yang dia telah menamatkan zaman bujangnya dengan menerima lelaki dari pilihan keluarganya. Walau dia tahu akan cacat cela yang dimiliki oleh Daim, itu tidak menghalang rasa hati untuk menerima lelaki tersebut. Perlahan sahaja Daim mula menapak ke arah isteri yang sedang memeluk Puan Maimon sambil mengelap permata jernih itu.
Bahunya terasa berat! Terasa bebenan tanggungjawab yang bakal dipikulnya nanti. Kalau ikutkan rasa hatinya, dia memang masih belum bersedia. Namun Daim pasti yang Jazmeen akan membantu meringankan bebanannya. Membantu beriringan dengannya dalam mencari Syurga dalam sebuah perkahwinan.
“Abang... kita solat sujud syukur dulu ya..” Ajak Jazmeen usai Daim berdiri di hadapannya. Spontan Jazmeen melihat wajah mulut Daim sedikit melopong. Daim yang kaget terus mengaru dahinya yang sudah mula merenik dengan peluh. Tercetus senyuman di bibir Jazmeen. Memahami perasaan si suami tika ini.
‘Abang jangan takut... Meen ada di belakang abang. Meen sentiasa ada disamping abang.’ Jazmeen menghantar pesanan melalui bahasa matanya. Berharap yang suaminya akan tenang-tenang sahaja.
“Abang ingat tak apa yang Meen ajar semalam?” Tanya Jazmeen sambil merenung anak mata suaminya sedikit. Daim menganggukkan kepalanya perlahan. Dia ingat akan cara-cara membuat sujud syukur yang diterang melalui email oleh isterinya semalam. Dimulakan dengan niat, disusuli dengan takbiratul ihram.. Kemudian terus sujud dan diakhiri dengan salam. Nampak mudah tapi dia benar-benar gerun untuk mengerjakannya.
            Apabila ditanya tentang motifnya sujud syukur, mudah sahaja jawapan yang diberikan oleh Jazmeen. Apabila datangnya satu urusan yang menyenangkan atau yang menggembirakan, teruslah kita memanjangkan ucapan terima kasih kita pada Allah. “Biarlah kita memulakan perkahwinan ini dengan sujud syukur kepadaNya.. Tanda kerelaan hati kita menerima takdir yang telah dititipkan ini...” Ujar Jazmeen yakin.
            ‘Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya.. Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.’
 Diraup wajahnya usai melakukan sujud syukur. Hatinya terasa damai. Hilang rasa keliru yang selama ini menggamit rasa. Rasa tenang mula menjalar di pelusuk hati. Lantas dia berpaling ke belakang.. Apabila terpandangkan seraut wajah Jazmeen yang tersenyum manis itu, terus hilang bebanan di bahu. Terasa hidupnya bakal terisi dengan sesuatu yang lebih berharga.
            Ahli keluarga mula mengerumun mereka berdua tatkala menanti saat membatalkan air sembahyang. Sebentuk cincin emas mula dihulurkan oleh Puan Zakiah. Air matanya menitis saat melihat anaknya melakukan sujud syukur sebentar tadi. Hatinya lega sekiranya anaknya ini benar-benar menerima perkahwinan ini. Doanya, moga Jazmeen dan Daim akan bahagia buat selamanya.
            Jazmeen tersenyum saat melihat jari manisnya yang sudah terhias cantik. Tipu jika dia tidak berdebar saat tangan kasar milik si suami menyentuh kulitnya. Sesungguhnya inilah kali pertama dia bersentuhan dengan seorang lelaki. Terasa debar hingga ke tulang. Inilah kenikmatan yang Allah janjikan buat sepasang suami isteri yang telah dihalalkan segalanya.
            Ahli keluarga sudah mula mengusik apabila Daim ingin melabuhkan sebuah ciuman di dahi Jazmeen. Daim yang memang dikenali dengan perangai nakal terus mengalihkan tumpuan orang ramai itu. Lantas bibirnya dilabuhkan di telinga kanan milik Jazmeen yang berlapik tudung.
            “Terima kasih kerana sudi terima abang...” Itulah bisikan yang menampar peluput telinga Jazmeen sebelum ciuman dilabuhkan. Mata Jazmeen mula silau tatkala menyambut lancer kamera yang merakamkan detik indah ini.
            “Weh... cium dahilah..” Usik salah seorang daripada saudara mara mereka.
            “Ehem... itu private. Tak boleh tunjuk pada orang luar.” Sempat lagi Daim menyambut huluran jenaka itu. Akhirnya semua pun tergelak. Pengantin baru itu mula diarahkan untuk memberikan pose-pose menarik untuk dirakamkan di dalam kamera. Namun mereka hanyalah bergambar seperti biasa untuk menjaga adab ketika berada di dalam masjid. Lagipula, keintiman sepasang suami isteri itu tidak perlu ditunjuk kepada dunia luar. Jadi Daim hanya merelakan kata-kata isterinya yang terkandung berjuta kebenaran.
Tangan Daim langsung tidak lepas dari mengengam tangan milik si isteri. Dia berbangga apabila memperkenalkan Jazmeen kepada seluruh kerabat keluarganya. Ramai yang memuji kecantikan milik Jazmeen. Sesungguhnya Daim mengakui, tanpa make up yang tebal pun, Jazmeen sudah sedia cantik. Senyumannya sahaja sudah mampu memikau ramai orang.
Usai akad nikah di masjid, mereka hanya mengadakan kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan di rumah Jazmeen. Namun mereka berdua tetap memastikan semua kenalan telah dijemput. Tidak mahu jika ada yang terkecuali untuk sama-sama meraikan perkahwinan mereka ini. Majlis ini penuh sederhana tanpa persalinan mewah ataupun singgahsana pelamin yang megah. Cukuplah ada pelamin kecil untuk merakamkan kenangan bersama ahli keluarga dan teman taulan. Tapi Daim mengakui yang hatinya teramat gembira. Rasa gembira yang tidak pernah dia bayangkan. Betul kata Jazmeen, bersederhana itu lebih baik dan indah.
            “Abang... apa yang membuatkan abang nak menerima saya sebagai seorang isteri?” Tanya Jazmeen perlahan tika ahli keluarga mereka sibuk mengambil gambar mereka.
            “Sebab abang tahu... Meen boleh jadikan abang lelaki yang lebih baik...” Jawab Daim langsung merangkul pinggang isterinya. Wajahnya dihalakan ke kamera. Rasa malu pula hendak memandang wajah isteri tercinta. Rupanya, perasaan terasa lebih indah saat memeluk seorang wanita yang dihalalkan untuknya. Moga dia masih punya waktu untuk memperbaiki masa depan.
***
            Petangnya, mereka satu keluarga sama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan rumah. Hinggar-binggar rasanya dengan kekecohan saudara-mara Jazmeen yang memang peramah orangnya. Langung membuatkan diri Daim selesa sendiri.
            “Keluarga Meen meriah... Baik pulak tu...” Padan sahaja isterinya ini baik. Dia terdidik dari keluarga yang baik juga. Malah penuh dengan kasih-sayang. Keluarganya pula memang tak ramai sangat. Jadi rasa meriah itu agak terhad. Tidak seperti yang dia rasa sekarang.
            “Keluarga abang pun baik jugak.” Mereka mula saling bertukar senyum. Selesai akad nikah tadi, telah dia angkat martabat seorang suami dengan meletakkan gelaran abang. Dan dia bersyukur kerana Daim menyambut baik panggilannya itu. Malah lelaki itu kelihatan senang membahasakan dirinya abang walaupun Daim muda dua tahun daripadanya.
            “Abang pun nak bina keluarga yang meriah macam ni... Terdidik sempurna seperti ni... Tapi abang takut...” Kata-katanya mula terhenti tika meluahkan apa yang terbuku di hati. Daim mula mengeluh perlahan.
            “Apa yang abang takut?” Lembut sahaja pandangan mata Jazmeen melawan kerlingan suaminya itu.
            “Abang bukan insan sempurna.. Abang takut abang tak mampu nak bimbing Meen yang memang lebih pandai dari abang. Abang takut tak mampu nak kelola sebuah keluarga.... Abang ni jahil tentang agama... Mampu ke abang untuk membina sebuah keluarga yang sempurna berdasarkan latar belakang abang yang hina? Kalaulah abang mampu nak ubah hari semalam....” Luah Daim sambil mengeluh lagi. Betapa kerdilnya dirinya tika bergandingan dengan Jazmeen.
            Jazmeen tersenyum sahaja. Sesungguhnya senyuman itu benar-benar menenangkan diri Daim yang keresahan.
            “Abang... bagi orang yang tak beriman, segala apa yang berlaku pasti ada kekurangannya dan ketidak puasan hatinya kerana di hatinya hanya bertuhankan nafsu. Andai Allah takdirkan hujan setiap hari dan panas setiap hari pun, pasti akan ada rungutan. Andai hujan berselang hari juga akan ada ketidak puasan hatinya. Namun bagi orang beriman, segala yang berlaku di terima dengan penuh syukur samada hujan atau pun panas kerana baginya, kedua-duanya dari Allah dan sudah pasti Allah mendatangkan yang terbaik dalam ketentuannya.” Berkerut dahi Daim menyambut kata-kata dari isterinya.
            “Maksudnya…. Apa yang telah berlaku pada abang dahulu adalah ketentuan dariNya. Abang tak berhak menyesali ataupun berfikir untuk mengubahnya. Kesilapan semalam adalah untuk diperbaiki pada hari ini. Jangan difikirkan perkara yang sudah lepas. Tapi jangan jugak dikhuatirkan apa yang akan berlaku keesokan harinya. Bertandanglah padaNya ketika kita senang atau susah. Di saat waktu terang atau gelap. Sesungguhnya dia berada di samping manusia walau apa jua keadaan sekalipun.. Berharaplah pada Dia... nescaya dia tak akan berpaling dari memberikan perhatian dari kita.” Hurai Jazmeen lagi.
            “Terima kasih.... Sebab terima insan kerdil macam abang nih...” Tanpa rasa malu, dicapai tangan isterinya itu. Digengam seerat mungkin.
            “Percayalah... Meen berbesar hati menerima abang dalam hidup Meen. Abang tahu, bila kita tahu kita banyak buat salah, hati kita akan lebih rasa rendah diri denganNya. Itu lebih baik dari orang yang tak pernah buat salah, dan sentiasa merasa dirinya sentiasa terbaik dimata Dia. Sehingga hilang rasa rendah diri tika menghadapNya.” Jazmeen masih belum jemu memujuk Daim agar tidak terlalu merasa kerdil lantas terus merasa terpencil. Sesungguhnya, hamba itu memang hina di sisiNya. Tapi rasa hina akan membuatkan manusia lebih berharap pada keredhaanNya.
            “Hah, dah nak maghrib sangat nih.... Cepat-cepatlah kemas. Nanti boleh berjemaah sama.“ Encik Hamdan sudah mula mengeluarkan arahannya kepada sanak saudara yang masih sibuk bergotong-royong itu. Tika dia berjalan untuk masuk ke dalam rumah, dia mula melarikan langkah menuju ke tempat anak dan menantunya berdiri.
            “Daim... maghrib nanti kamu jadi Imam ya?” Terbeliak mata Daim menyambut arahan bapak mertuanya itu. Memang perkara seperti inilah yang paling ditakutinya. Sepanjang dia hidup, tak pernah hayat dia jadi Imam Semua benda mula berlegar di ruangan minda. Bacaan solat, cara-cara solat yang lebih bertakmaninah.... Doa pun tak hafal dalam bahasa arab? Kalau dia menolak saat ini, pasti Jazmeen akan mendapat malu besar.
            “Ayah...” Jazmeen terpanggil untuk mengalih perhatian ayahnya.
            “Ada apa Meen?” Kali ini, pandangan Encik Hasan sudah mula jatuh pada anak perempuannya.
            “Boleh tak kalau kami nak maghrib berdua je. Bukan apa, inilah adalah solat jemaah pertama kami. Meen harap dapat mulakan semuanya berdua dengan abang dulu. Boleh kan?” Pinta Jazmeen tersenyum. Dia sudah mengagak yang ayahnya akan mengarahkan Daim untuk menjadi Imam solat mereka. Kerana dahulu abang iparnya juga dikenakan arahan yang sama.
            “Apa salahnya kalau solat sama-sama.” Duga Encik Hasan pula.
            “Kami baru je dalam proses perkenalan... Meen nak kenal abang dalam solatnya yang pertama. Lagipun inikan pilihan mak dan ayah, jadi biar Meen test dulu sama ada suami pilihan mak dan ayah ni lulus atau tak jadi Imam.” Dia tahu yang Daim masih belum bersedia sepenuhnya. Bukan dia mempertikaikan kemampuan Daim, tapi dia bimbang jika ketakutan yang berlebihan akan membuatkan Daim lebih terjerumus melakukan kesilapan.
            Adalah perlu untuk dia jaga maruah seorang suami. Sesungguhnya di situlah tempat yang selayaknya cela suami tersembunyi. Iaitu di tangan milik seorang isteri. Dia takut mak dan ayahnya menyesal kerana bermenantukan Daim sedangkan dia sudah menerima semuanya seadanya.
            Encik Hasan tersenyum. Memahami dan menghormati permintaan si anak. “Baiklah... Daim, jangan rosakkan nama baik ayah ya?” Ujar Encik Hasan sedikit berjenaka.
            Manakala Daim pula mula tersenyum sumbing. Sungguh, rasa hendak menitis air matanya saat melihat si isteri teguh mempertahankan maruah dan cela seorang suami. Redahlah satu pelusuk dunia sekalipun, hanya ada seorang wanita yang bernama Aina Jazmeen sahaja yang akan melakukan seperti ini.
            “Meen... terima kasih.. Abang tak tahu nak cakap apa...” Ujar Daim sedikit tergagap-gagap.
            “Abang cakaplah Alhamdulilah... Bukan sebab abang tak akan jadi Imam. Tapi sebab Allah bagi peluang untuk abang perbaiki lagi mana yang kurang. Abang mungkin terselamat malam ini. Tapi abang harus persiapkan diri untuk menghadapi hari esok.. Meen percayakan kemampuan abang. Percayalah bang, Allah pasti akan kirimkan dugaan dan cabaran tika cahaya keimanan mula bersuluh. Tapi tu semua adalah medan pertempuran yang Allah beri untuk memantapkan lagi tahap keimanan kita, mempertingkatkan lagi tahap keredhaan kita pada Dia.”
Nasihat Jazmeen Daim terima dengan anggukan beberapa kali. Bersungguh memaknakan kata-kata dari si isteri. Dia senang dengan segala teguran Jazmeen, dia senang dengan segala pertuturan Jazmeen dan dia senang dengan penerimaan Jazmeen tika menggeledah jiwanya. Rasa selamat dan tenang berada di sisi Jazmeen. ‘Ya Allah.... betapa aku bersyukur dengan kurniaanMu ini.. Moga kau permudahkan segala yang sukar. Kau ringankanlah diriku tika menyempurnakan keimananku untuk menghadapMu nanti. Sesungguhnya hanya pada aku mohon pertolongan.’
***
            Direnung wajah suaminya yang baru muncul dari balik pintu. Perlahan sahaja langkah Daim apabila tangannya menatang dulang yang berisi semangkuk bubur yang dimasak khas untuk Jazmeen. Melihatkan kesungguhan Daim, Jazmeen mula mengagahkan diri untuk bangun walaupun kepalanya kepalanya terasa amat berat.
            “Meen okay tak ni? Betul tak mahu pergi klinik?” Tanya Daim prihatin sambil meletakkan dulang makanan di meja sisi. Risau pula melihat sakit isterinya yang makin menjadi-jadi.
Jazmeen hanya tersenyum sedikit lalu mengeleng. Dia masih bisa bertahan lagi walaupun sakit giginya mencengkam kuat. Terasa mahu pitam apabila gusi yang membengkak mula naik ke kepala. Betullah kata orang, sakit gigi jatuh penyakit kedua paling sakit setelah sakit orang bersalin melahirkan anak.
            “Dah besar-besar pun takut jumpa doktor gigi jugak ke?” Usik Daim sambil mengusap sedikit pipi Jazmeen yang jelas membengkak. Sudah  tiga bulan hidup bersama, dia sudah mula dapat mengenal pasti perangai Jazmeen. Wanita yang penuh ketegasan, namun masih terselit manja buat si suami yang dicintai. Wanita yang penuh dengan renungan yang mampu menggugat jiwa lelakinya. Wanita yang tutur katanya boleh meluruhkan hati Daim.
            “Mana ada takut... Meen cuma tak suka jumpa doktor..” Jawab Jazmeen lembut. Tangannya melingkar di lengan milik Daim. Kepalanya dilentokkan ke bahu Daim. Terasa damainya hati setelah menjadi seorang isteri. Ya... mungkin Daim punya kelemahan yang ketara dalam bidang agama namun manusia harus tahu bahawa setiap kelemahan itu boleh ditampal dengan pelajaran yang berguna. Belajar memperbaiki kesilapan adalah lebih baik dari berbangga dengan kebaikan yang ada.
            Daim cepat belajar dan senang ditegur. Apabila ditegur, dia belajar untuk tidak mengulangi kesilapannya. Mulutnya lurus bertanya akan perkara yang tidak diketahuinya. Tidaklah berpura-pura tahu akan perkara yang dia tidak ketahui. Langsung memperlihatkan kesungguhan untuk menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam.
            Tiba-tiba Jazmeen mengerang kesakitan sambil melekatkan tangannya di pipi kanannya. Hatinya berulang kali beristigfar. Jazmeen sedar yang sakit itu adalah penyembuh dosa.  Dosa-dosa kelmarin yang masih diketahui oleh Daim. Walaupun mungkin dulu Daim daif hal ehwal agama, dia tetap takut untuk menceritakan hal sebenarnya. Bimbang diketepikan oleh si suami yang sudah mendapat tempat di hatinya. Dalam diam dia memuji Daim... Daim begitu melahirkan sikapnya dengan telus. Bukan seperti dirinya yang berlakon baik di dalam terang tetapi melakukan amalan yang dimurkai Allah di dalam gelap. Setitis air mata mula merintik di lengan Daim. Kesakitan ini adalah kerana dia merahsiakan rahsia besar dari pengetahuan seorang suami. Jadi inilah bahana yang akan dia tempuhi...
            “Ya Allah Meen... Sakit sangat ke?” Tidak sanggup rasanya melihat Jazmeen merengkok kesakitan seperti ini. Hendak bertegas menghantar ke klinik gigi, dia bimbang akan menguris hati Jazmeen lantaran Jazmeen sentiasa menjadi isteri terhebat buat dirnya. Namun untuk membiarkan isterinya dalam keadaan ini, hatinya langsung tidak merelakan walaupun dia tahu yang sakit itu datang dari Allah.
            “Makan sikit... lepas ni makan ubat.” Arah Daim sambil menghulurkan suapan namun ditolak lembut oleh Jazmeen.
            “Tak boleh bang... Sakit sangat..” Adu Jazmeen lagi sambil tangannya melekap di pipi.
            “Kalau macam tu makan ubat tahan sakit nih...” Laju sahaja tangan Daim menyuakan seulas ubat yang memang sudah tersedia di atas piring. Namun sekali lagi ditolak oleh Jazmeen.
            Daim sudah mula mati kutu. Geram juga dengan kedegilan Jazmeen. Suruh pergi klinik tak mahu, suruh makan ubat culas sangat. Dah tu cara apa lagi yang perlu dia lakukan untuk membantu isterinya yang kesakitan itu.
            “Cuba nganga... Abang tengok gusi Meen..” Arah Daim sambil memegang kedua belah pipi isterinya. Laju sahaja Jazmeen mengeleng. Malu rasanya jika Daim hendak menyelongkar khazanah di dalam mulutnya. Dia sendiri pun tidak pernah skodeng mulutnya. Kot-kot ada gigi yang berlubang atapun gigi yang tak bersih ke... Lagipun, manalah tahu kalau-kalau nafasnya berbau, tak ke malu!
            “Lah... nganga jelah...” Arah Daim lagi. Pertama kali melihat sikap degil Jazmeen. Namun tetap dilayan tanpa rungutan. Dia sedar yang waktu sakit-sakit seperti inilah yang boleh merapatkan lagi ukhuwah mereka. Mengenal kesabaran dalam melayan karenah pasangan.
            “Malulah....” Jazmeen berpaling dari renungan tulus seorang suami. Betapa dekatnya tubuh mereka tika ini. Langsung mendatangkan rasa tidak keruan di pelusuk hati Jazmeen. Setiap sentuhan Daim memang mampu membuatkan nadinya bertaburan.
            “Alah... nak malu buat apa? Lebih dari ni pun abang pernah tengok kan...” Sempat lagi Daim mengusik. Laju sahaja Jazmeen mencubit lengan suaminya. Dia senang dengan gurauan suaminya itu, tapi rasa malu tetap menghadirkan diri.
            “Wahai isteri kesayangan abang... menyejuk hati abang... makan ubat ya... Biar sakit tu reda sikit. Memang sakit ini datang dari Allah. Rasa sakit ini memang tak akan sembuh tanpa izinNya. Tapi manusia perlu berusaha kan... Bukan berpeluk tubuh sambil bergolek-golek atas katil je kan... Jadi, wahai isteri abang yang mithali, sila makan ubat ya..” Pujuk Daim lembut.
            Jazmeen merenung ubat yang berada di dalam piring kecil itu. Air liurnya ditelan perlahan. Sedari kecil lagi, dia memang liat bin culas untuk makan ubat. Bila suruh makan ubat, deman yang sikit makin menjadi-jadi pula.
            Melihatkan isterinya seakan-akan masih mahu berdegil, Daim mula bangun dari duduknya. Tidak betah ingin memaksa. Jadi segera dibawa langkah menuju ke bilik air. Langsung tidak menghiraukan panggilan Jazmeen yang menyeru-nyeru namanya.
            Sebuah keluhan mula dilepaskan. Terasa bersalah pula kerana mengabaikan arahan dari suaminya hingga membuatkan Daim merajuk hati. Akhirnya lambat-lambat tangan kanan mula mencapai seulas ubat berwarna putih itu. Biarlah dia mati telan ubat ini... Tapi dia tidak mahu mati tanpa redha suaminya. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi suami yang tercinta walaupun terpaksa melakukan perkara yang paling sukar dalam hidupnya. Baru sahaja ubat itu hendak masuk ke dalam mulut, ubat itu telah dirampas lembut. Tergamam Jazmeen dengan tindakan drastik Daim.
            “Abang...”
            “Jangan paksa diri kalau tak mampu...” Ujar Daim sambil tersenyum nipis.
            Jazmeen melopong. Tidak berapa faham dengan tingkah suaminya tika ini. Bukankah Daim yang beria memujuknya supaya mengambil ubat? “Abang doakan isteri abang cepat sembuh....” Sebuah ciuman mula dilabukan di pipi Jazmeen yang sudah membengkak. Lantas tangannya laju menampalkan koyok yang diambil di dalam kotak peti kecemasan yang sudah tersedia di dalam bilik air.
            “Koyok ni berangin.. Mungkin akan melegakan sakit Meen...” Ujar Daim tersenyum. Digosok berulang kali pipi Jazmeen. Melahirkan rasa kasih yang tak sudah-sudah. Dia terlalu sayangkan Jazmeen. Untuk merajuk dengan Jazmeen pun, dia fikir sejuta kali.
            Mata Jazmeen sudah mula berkaca-kaca. Hatinya ditimbus rasa terharu. Terus dia memeluk erat tubuh Daim. Kebiasaanya, dia pasti akan malu-malu tika suaminya itu menarik tubuhnya mendekat. Namun kini, dia yang merelakan diri. Merelakan tatkala hatinya dibasahi dengan kasih dan sayang yang tidak terhitung dari seorang suami.
            “Peluk abang ni... Nak apa-apa ke?” Usik Daim sengaja. Ingin sahaja dia gantikan rasa sakit yang dialami oleh si isteri. Biar dia yang tanggung. Tapi takdir tidak memihak sebegitu rupa. Tapi sebenarnya sekadar menampal koyok ini, ia hanya memberikan kesan sementara sahaja. Jadi sebentar nanti sebelum tidur, dia akan menumbuk ubat tersebut dan dicampurkan ke dalam minuman Jazmeen. Sekurang-kurangnya dapat juga ubat tersebut memberi kesan terhadap kesakitan isterinya itu.
            “Abang ni... Orang peluk je...” Muka Jazmeen mula memerah. Seakan-akan tidak percaya dengan tindakan drastiknya sebentar tadi. Malunya hanya Allah yang tahu.
            “Lah... abang tak cakap apa-apa pun.. Peluklah lagi.. abang suka sangat...” Daim terus mengacah Jazmeen dengan berpura-pura mengarahkan Jazmeen menariknya ke dalam pelukan. Akhirnya, Jazmeen terus menyembunyikan wajahnya di dada Daim. Dalam kesakitan, Allah tetap merenjiskan kebahagian buat dirinya. ‘Ya Allah.... tidak terbalas melodi rasa kasihku terhadap diriMu..’
***
Hati hiba mengenangkan
Dosa-dosa yang ku lakukan
Oh Tuhan Maha Kuasa
Terima taubat hamba berdosa

Ku akui kelemahan diri
Ku insafi kekurangan ini
Ku kesali kejahilan ini
Terimalah... terimalah...
Terimalah taubatku ini...

Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan
Kerna hilang dari jalan
Menuju redhamu Ya Tuhan

Di hamparan ini ku meminta
Moga taubatku diterima         
            Disepertiga malam itu, Jazmeen kembali melabuhkan rasa khilafnya di atas hamparan sejadah ini. ‘TanpaMu, sesungguhnya aku tidak berdaya... Hilang punca dan arah... Aku hanyut  alpa tika nafsu bergelora... daku derita dan lemah dalan kesengsaraan... Jiwa dan tubuhku kepedihan menanggung kifarah dariMu ini ya Allah...’ Tersedu-sedu Jazmeen mengadu kepada Yang Maha Esa.
            Dikerling sekujur tubuh Daim yang sedang lena di peraduan. Dia terasa hina di samping Daim. Apatah lagi bila mengenangkan malam pertama mereka dahulu... Usai Daim mengimamkan solat mereka, Daim terus membawa Jazmeen duduk di birai katil.
            “Isteriku Jazmeen.... abang adalah suami yang terlalu bertuah kerana memilikimu.. Abang adalah lelaki yang penuh dengan khilaf... Abang tak mampu nak jadi sempurna seperti lelaki lain. Tapi ada sesuatu yang abang nak Meen tahu.. sejahat-jahat abang... Abang tak pernah menyentuh sesuatu yang bukan merupakan hak abang. Abang masih lagi meletakkan maruah seorang wanita itu tinggi nilainya walaupun mungkin dia seorang GRO di kelab malam.. Mungkin tangan ini lalai tika menyentuh setiap inci tubuh mereka.. tapi hati ini masih kekal melarang jika abang hendak memperhambakan mereka dengan nafsu...” Seketika, Daim mula mencuri nafas. Hanya Allah yang tahu bekalan kekuatan yang dikumpul untuk menerangkan dengan lebih lanjut kepada isterinya tentang hal ini. Namun adalah perlu untuk Jazmeen tahu di mana letaknya sejarah silamnya terdahulu.
            Jazmeen yang mendengar hanya menunduk. Terasa panas wajahnya apabila mendengar luahan seorang suami. Dalam pada masa yang sama, dia rasa hina kerana Daim masih memandang tinggi darjat seorang wanita. Tapi dia pula dengan sewenangnya menyerahkan diri ke dalam kancah yang diharamkan Allah. Jadi sekarang ini, dialah yang lebih hina dari suaminya.
            “Abang tak janji untuk tak buat Meen menangis.. abang tak janji untuk mengalungkan kepada Meen dengan perhiasan intan belian. Tapi janji abang, abang tak akan buat Meen  menyesal kerana bersuamikan abang. Abang mungkin punya kehidupan silam yang gelap... Tapi insyaAllah, akan ada cahaya yang akan menyuluh kehidupan abang yang mendatang. Iaitu cahaya dari Dia... Dialah yang telah mengirimkan Meen untuk abang... Dan abang adalah lelaki yang paling bertuah.” Perlahan-lahan Daim mula melabuhkan sebuah ciuman di dahi Jazmeen. Mengharapkan agar tautan kasih ini akan bersemi buat selamanya.
            “Meen...” Suara itu mengejutkan Jazmeen dari lamunan. Terkejut kerana suaminya sudah berada di sisinya. Cepat-cepat dia mengesat air matanya. Sebuah senyuman paling manis cuba dihadiahkan kepada Daim.
            Daim terjaga saat mendengarkan tangisan mendayu-dayu milik Jazmeen. Sangkanya Jazmeen menangis kerana sakit gigi yang dialaminya. Tapi rupa-rupanya Jazmeen menangis tika mengadu kepadaNya. Betapa kerdilnya dia di sisi Jazmeen. Ketika dijengah rasa sakit sekali pun, Jazmeen masih setia mengadapNya. Bukan sepertinya yang adakalanya masih alpa dengan godaan dunia.
            “Kenapa tak kejut abang?” Tanya Daim perlahan sambil mengambil tempat di sebelah Jazmeen. Jazmeen mula merenung mata suaminya yang agak kuyu itu. Kasihan kerana pasti suaminya itu penat menjaganya semalam.
            “Abang kan penat jaga Meen semalam... Jadi Meen bagi rehat dekat abang..” Terang Jazmeen perlahan. Cuba menghalau rasa sangsi Daim terhadap dirinya.
            “Meen memang tak sayangkan abang ya?” Berkerut dahi Jazmeen menyambut kata-kata suaminya itu.
            “Ish.. kenapa abang cakap macam tuh?”
            “Ialah... Meen nak tinggalkan abang ke belakang. Meen tak nak ke masuk Syurga dengan abang...” Ujar Daim sambil menunduk. Terasa benar-benar rendah diri. Siapalah dia jika hendak berdampingan dengan wanita sesempurna Aina Jazmeen. Mampukah mereka beriringan nanti?
            “Ish... kenapa abang cakap macam tuh... Meen harap yang kasih kita hingga ke Syurga. Tak terlintas di fikiran Meen untuk tinggalkan abang ke belakang. Meen cuma tak mahu ganggu lena abang. Percayalah bang... dari pintu mana sekalipun, Meen harap abang yang akan pimpin Meen ke Syurga... Itu doa Meen tiap-tiap hari.” Pujuk Jazmeen sambil mencapai tangan milik suaminya.
Perlahan-lahan Jazmeen melabuhkan bibirnya di tangan kasar itu. Tangan yang sering menepis permata di ruangan wajahnya. Tangan kasar yang lembut ketika membelainya dan InsyaAllah.... tangan inilah yang akan memimpin dirinya ke Syurga nanti. Ingin dia salurkan rasa kasih yang tidak pernah berhenti mengalir di ruangan hati. Sesungguhnya rasa cinta ini hanya milik seorang suami yang sudah dihalalkan Allah.
            “Abang pun doa macam tu Meen.... Walaupun abang takut doa abang tak dimakbulkan, abang tetap akan mohon dengan Allah.. Abang tak akan kenal erti jemu walau sedikit pun.. Biarlah abang menangih dari Dia sebab abang tahu, dialah yang maha menguasai segalanya..” Tersenyum Jazmeen mendengar luahan Daim. Terasa tulus sahaja.
            “Hmm... sakit gigi Meen macam mana? Dah okay?” Tanya Daim sambil mengusap sedikit pipi Jazmeen. Seakan-akan telah surut bengkaknya. Doanya semoga Jazmeen tidak akan berperang dengan rasa sakit lagi.
            “Alhamdulilah... berkat abang jaga Meen semalam.”
“Berkat ciuman abanglah tuh..” Sambut Daim spontan. Muka Jazmeen terus kemerahan.
            “Oh ya ke?” Berkerut dahi Jazmeen. Cuba mengusik suaminya walaupun sedar yang hakikatnya jiwa seorang wanita itu sangat-sangat tercuit dengan setiap tingkah Daim.
“Yalah...Cuba abang cium lagi... Tengok apa pulak jadi...” Gurauan Daim itu membuatkan Jazmeen ketawa kecil. Sesungguhnya, Daim adalah seorang suami yang mampu mengubat jiwanya.
            “Meen... Hmm... sempat lagi kan kalau Meen teman abang?” Pinta Daim tanpa teragak-agak.
            “Abang nak Meen teman pergi mana?”
            “Ke jalan Syurga...” Daim sudah tersengih-sengih nakal.
            “Errk...kan dah nak subuh nih...” Tolak Jazmeen sambil menunduk. Sedikit sebanyak, dia faham dengan apa yang bermain di gelodak suaminya.
            “Sebab nak subuhlah kita kena buat cepat-cepat...” Ajak Daim sungguh-sungguh. Jazmeen mengigit bibirnya sedikit. Tidak betah lagi menolak keinginan seorang suami.
            “Hmm... lepas subuh pun boleh kan?” Pujuk Jazmeen perlahan.
            “Eh... boleh ke? Bukan tak boleh ke?” Muka Daim jelas terkejut.
            “Lah... kenapa pulak tak bolehnya...” Kali ini muka Jazmeen pula yang berkedut-kedut menyambut persoalan suaminya itu.
            “Boleh ke solat tahajud lepas subuh?” Ringan sahaja mulutnya memohon  Daim menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Memang ilmunya masih belum mencukupi tapi setahunya, memang tak boleh.
            “Lah.... abang ajak Meen tahajud ke?” Tanya Jazmeen sambil mula beristigfar di dalam hati. Bagaimanalah fikirannya boleh melencong ke arah planet pluto ini? Rasa macam nak menyorok bawah katil sahaja.
            “Ialah... kenapa? Meen fikir apa?” Sedikit sebanyak, Daim sudah mula tersenyum nakal. Terasa lucu pula mengenangkan penolakan Jazmeen sebentar tadi. Rupanya apa yang isterinya fikir, tak sama langsung dengan perkara yang berada di benaknya.
‘Boleh tahan tercalar jugak otak isteri aku nih...’ Kepalanya sudah tergeleng-geleng. Hatinya sudah terguling-guling.
            “Erk.....” Jazmeen mula tergagap mencari jawapan. Anak matanya menilau di sekeliling ruang mata. Tidak mampu lagi membalas pandangan redup milik si suami.
            “Meen... Meen... Abang ni belum tahap kemaruk lagilah...” Usai dia menghabiskan ayat, terus terburai ketawa kecil dari si suami. Tak mampu ditahan lagi.
Tawa Daim membuatkan wajah Jazmeen membahang kepanasan. Jazmeen ikut turut tersenyum apabila menyedari kekhilafan diri. Malunya, hanya Allah yang tahu. Mujur sahaja dia sudah terbiasa dengan usikan-usikan Daim.
            Akhirnya Daim membawa Jazmeen ke dalam pelukannya. Dikucup ubun-ubun isterinya yang masih berlapik dengan telekung itu. Hatinya disapa bahagia. “Bila muka Meen merah, semua ni membuatkan abang makin sayangkan Meen...” Tapak tangan Daim sudah melekat di belakang badan Jazmenn. Akhirnya Jazmeen ikut turut memeluk kejap badan Daim. Menghilangkan keresahan yang menjalar. Melahirkan rasa syukur yang melimpah-limpah. Menghargai kasih sayang anugerah Ilahi.
***
            Pada mulanya, memang tidak mudah bagi Jazmeen untuk menjadi suri rumah separuh masa bila separuh daripada kudratnya sudah hilang apabila dituntut melakukan kerja-kerja di pejabat. Kalau dahulu, balik sahaja dari tempat kerja, emaknya sudah menunggu di gazebo sambil ditemani dengan secawan teh o panas sambil disertakan sekali dengan hidangan kecil yang dimasak untuk menyambut kepulangan mereka dari tempat kerja.
            Tapi kini semuanya itu harus dilakukan sendiri lantaran mereka sudahpun berpindah ke kediaman milik sendiri. Rasanya perlu untuk mereka belajar berdikari di awal waktu. Lagipula, Daim memang sudah membeli rumah ini ketika mereka belum berkahwin lagi.
            Dari awal lagi Jazmeen telah mendidik diri untuk pulang dahulu sebelum Daim pulang dari tempat kerja. Dia tidak mahu jika Daim ternanti-nantikan kepulangannya. Sibuk macam mana sekalipun, Jazmeen tetap akan pulang awal. Kerja-kerja di pejabat juga tidak akan sesekali dibawa pulang. Memang Daim tidak pernah berbunyi atau melarang. Namun Jazmeen sendiri tidak selesa jika Daim rasa terpinggir ataupun merasa tidak senang dengan pekerjaannya.
            Sesampainya di rumah, Jazmeen terus ke dapur untuk menyediakan minuman petang buat suami tersayang. Goreng pisang yang dibeli terus dihidangkan di dalam pinggan. Bunyi loceng rumah membuatkan Jazmeen cepat-cepat berlari ke ruang depan.
            Sebuah senyuman manis mula diberikan saat terpandangkan wajah suami yang baru tiba di muka pintu. Dia mahu suaminya yang keletihan itu senang tika melihat senyumannya. Dia mahu Daim berehat setelah seharian penat berhempas pulas mencari rezeki buat mereka sekeluarga. Jazmeen mahu mengutip point-point kecil ini untuk menempah ganjaran di Syurga kelak.
            “Macam mana hari Meen?” Tanya Daim setelah sebuah ciuman ditinggalkan di pipi Jazmeen. Sungguh, jika dahulu pulang lewat adalah kebiasaannya. Daim tidak pernah merasa yang rumah adalah satu tempat yang paling membahagiakan. Kalau boleh tak mahu langsung melekat di rumah. Namun sejak beristerikan Jazmeen, selangkah pun dia tidak mahu keluar dari rumah ini. Hendak ke tempat kerja pun kadang-kadang terasa berat hati. Betullah kata orang, rumah jika dilengkapi dengan segalanya, pasti akan dapat mencipta Syurga dunia. Apatah lagi menerima layanan yang terlalu istimewa daripada Jazmeen.
            “Okay... abang?” Beginilah kebiasaannya. Saling berkongsi cerita sambil menghabiskan waktu petang yang sememangnya senggang dan amat mencemburui mereka.
            “Asal ada Meen... Hari abang pasti okay...” Ditarik isterinya yang sedang menuangkan minuman ke dalam cawannya. Dibawa tubuh Jazmeen di atas ribanya.
            “Abang...” Jazmeen ingin bangun. Dia malu dengan sikap-sikap romantik Daim. Lelaki ini memang mewah dengan kasih sayang. Kadang-kadang dia terfikir, adakah Daim melayan sebegini rupa dengan perempuan-perempuan yang pernah menjadi teman wanitanya. Namun cepat-cepat dibetulkan rasa hati yang seakan-akan ingin terpesong. Jika pernah ada, dia tidak berhak untuk mempertikaikannya. Semua itu adalah masa silam Daim. Cukuplah dia tahu bahawa Daim sudah benar-benar berubah. Walaupun dia akui yang dia teramat mencemburuinya.
            “Stay with me sayang...” Daim senang melepaskan lelahnya hanya dengan memandang wajah tenang Jazmeen. Dia senang dengan semua layanan Jazmeen terhadap dirinya. Dia kagum dengan kesempurnaan diri Jazmeen dalam menjadikan rumahtangga mereka lebih baraqah.
            “For now and forever....” Sambung Daim sambil berbisik. Ungkapan yang penuh dengan harapan yang menggunung. Jari jemari Jazmeen dicapai dan dikucup satu demi satu.
            “I will abang...” Sambut Jazmeen lembut. Dia tidak mahu jika suaminya menganggap yang dia mengabaikan ungkapan sayang itu. Bukan dia ego untuk menuturkan semua itu. Tapi mulutnya masih membeku. Cukuplah dia membalas mesra dengan setiap sentuhan Daim. Action speak more than words...
            “Jom mandi... lepas ni kita jemaah maghrib sama-sama.” Putus Daim spontan sambil terus bangun sambil mencempung tubuh milik isterinya.
            “Errk... abang tak rasa awal lagi ke nak mandi...?” Hampir terpelanting jantungnya apabila dicempung tiba-tiba oleh Daim. Mujur sahaja dia sempat merangkul leher milik Daim.
            “Memanglah awal... Sebab abang nak habiskan masa lama sikit dengan sayang abang nih...” Senyuman Daim sudah mula kelihatan lain macam. Jazmeen hanya tersenyum sahaja. Menyambut hamparan kasih sayang seorang suami.
***
            Hujung minggu itu, Daim menemani Jazmeen untuk membeli keperluan dapur yang sudah kehabisan. Daim mula menyebut beberapa nama barang yang sudah ditulis di dalam nota kecil yang disediakan oleh Jazmeen manakala si isteri mula mencapai barang-barang keperluan dan dimasukkan ke dalam troli.
            “Ada apa-apa lagi?” Tanya Daim pohon kepastian.
            “Rasanya tak ada dah....” Mata Jazmeen tidak lepas dari memandang nota kecil di tangannya. Bimbang juga jika ada beberapa barang yang tertinggal.
            “Eh... kita tak ambil aiskrim lagi... Meen tunggu kejap, abang pergi ambil..” Tanpa meminta persetujuan Jazmeen, terus dia meninggalkan isterinya. Jazmeen hanya tersenyum sahaja. Terharu dengan sikap prihatin Daim yang mengetahui minatnya yang satu itu.
            Matanya mula menilau di sekitar Pasaraya. Manalah tahu kalau-kalau terpandangkan barang keperluan yang terlupa untuk diambil. Namun matanya terpandangkan seraut wajah yang sudah lama hilang dari bayangannya. Sudah lama wajah itu sepi dari ingatannya. Apabila mata mereka bersatu, cepat-cepat Jazmeen berpaling ke arah lain. Tangannya dikepal sedikit. Menahan getaran yang mula membahang.
            Baru sahaja dia hendak menolak troli menjauh, suara tersebut mula menampar peluput telingannya. Suaranya seakan-akan mampu membuatkan telinga Jazmeen bernanah.
            “Jazmeen....” Panggil suara itu lagi. Namun Jazmeen masih kekal tidak berganjak. Bibirnya digigit. Kenapa perlu ada pertemuan di antara mereka lagi? Soalnya sinis. Terlupa bahawa semua ini adalah percaturan dariNya.
            “Kau tak boleh lari lagi dari aku Meen...” Si dia mula menarik lengan milik Jazmeen. Namun terus ditepis kasar.
            “Aku tak kenal kau...” Bentak Jazmeen sedikit kasar.
            Hati Jazmeen makin berdarah apabila melihat si dia tersenyum sinis. Senyuman itu benar-benar menghiris tangkai hati Jazmeen. Senyuman sinis itu seperti mampu membunuh jiwanya.
            “Tempat terjatuh lagi kan dikenang... Inikan pula tempat bermanja...” Jo sudah mula merapat. Melangkah mendekati wanita yang pernah dipuja dahulu. Wajahnya masih cantik... Malah kelihatan lebih menggoda jiwanya berbanding dahulu.
            “Kau jangan nak merepeklah Jo...”
            “Aku pernah dapat kau... Setiap inci tubuh kau ni, berada di hujung lidah akulah Meen..” Ujar Jo sinis.
            Hampir menitis air mata Jazmeen mendengar tutur kata Jo yang jijik itu. ‘Ya Allah.... berikan aku kekuatan... Berikan aku ketabahan....’ Hampir sahaja jiwanya rebah dikala ini. Mengenangkan dosa yang tak akan pernah terpadam. Mengenangkan kejahilan dirinya dalam menempuh dunia remaja. Dia pun pernah tertewas.... Tewas dengan hasutan nafsu.
            “Kau masih tak berubah Jo....”
            “Aku masih sayangkan kau... Aku masih Jo yang menyintaimu Meen...”
            “Jangan kau berani tuturkan ayat tu lagi Jo... Aku jijik.. Aku geli...” Tepis Jazmeen apabila tangan Jo hendak menyentuh kulitnya. Telah dia haramkan sentuhan itu ke atas kulitnya. Tidak peduli pada mata-mata yang mungkin mencuri pandang ke arah mereka. Apa yang pasti, hatinya makin membenci Jo. Masa rupa-rupanya tidak pernah berjaya mengubah pendiriannya.
            “Meen...” Panggilan suara itu membuatkan Jazmeen berpaling. Daim pelik melihat sikap isterinya yang agak kaget itu.
            “Jom abang... Kita pergi bayar..” Ditarik lengan Daim agar menjauh. Telah dia usaha untuk merahsiakan kejahilannya di masa silam. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Bukankah pepatah ini amat kena dengan situasinya sekarang?
            “Meen.. Kau tak nak kenalkan aku dengan suami kau ni?” Teguran Jo itu membuatkan langkah kaki Daim terbantut. Lantas Daim memandang ke arah Jazmeen. Dia tidak pasti punca sebenar isterinya hendak melarikan diri dari sahabatnya itu.
            “Meen... tak nak kenalkan abang dengan kawan Meen ni?” Kali ini suara Daim pula yang mengejutkan Jazmeen yang sedikit kegelisahan. Daim menjeling sedikit ke arah kawan Jazmeen itu. Dengan T-shirt polo berwarna putih berpadanan dengan jeans separa lutut itu, dia nampak segak. Tapi tiba-tiba Daim mula keliru sendiri. Ini lelaki ke perempuan?
            “Dia bukan kawan Meen... Jom bang...” Dia sudah malas untuk ambil pusing pandangan Jo. Yang penting, dia harus keluarkan suaminya ini dari tempat ini. Rasa sesak, kusut, serabut semuanya bermaharajalela di ruangan minda. Hatinya tidak lagi tenang setelah kemunculan Jo.
            “Meen okay?” Tanya Daim apabila melihat wajah pucat milik isterinya. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Enjin kereta mula dihidupkan. Namun dia masih belum memulakan pemanduan. Hatinya pula rasa tidak enak apabila melihat keadaan isterinya di saat ini.
            Perlahan-lahan tangan kirinya mencari tangan mulus milik Jazmeen. Terjatuh rahangnya sangat memegang tangan Jazmeen yang sejuk mengalahkan ais. Perkara apa yang mampu membuatkan isterinya sebegini rupa?
            “Meen... Meen okay tak nih?” Tanya Daim sambil menarik bahu Jazmeen supaya mengadap wajahnya.
            “Kalau ada abang.. Meen pasti okay..” Jazmeen memulangkan kembali jawapan yang pernah diberikan oleh Daim. Tangannya mula membalas gengaman erat milik suaminya. Terasa selamat bila dilindungi seperti ini. Namun tatkala rahsia tidak lagi bergelar rahsia, mampukah suaminya akan terus melindunginya?
            “I’ll be with you… I’ll stay by your side.. I’ll be loving you till the end of my time..” Bisik Daim lembut sambil memeluk kejap tubuh Jazmeen. Tidak tahu perkara apa yang menganggu ketenangan isterinya. Tapi apa yang pasti, dia ingin merungkaikan segala kekusutan. Biar isterinya tenang di dalam pelukannya.
***
            Mata Daim tidak lepas dari memandang isterinya yang ralit termenung. Sejak pertemuan bersama sahabatnya itu, sikap Jazmeen sedikit berubah.. Seakan-akan hilang senyuman yang selama ini menyapa mesra. Isterinya itu lebih gemar termenung. Bila ditanya, hanya gelengan yang menjadi bahan jawapannya.
            “Abang nak pergi jogging.. Meen nak ikut tak?” Kebiasaannya, memang isterinya itu tidak akan mengikutinya. Hanya dia yang menghabiskan waktu petang sebegini dengan berjogging di taman yang berdekatan. Namun sengaja dipancing minat Jazmeen. Siapa tahu kalau-kalau Jazmeen ingin mengubah mood.
            “Abang pergilah…. Meen siapkan stoking abang ya..” Ujar Jazmeen sambil kakinya mula mendekat ke arah almari. Namun lengannya ditarik lembut oleh si suami.
            Daim mula meletakkan kedua belah tangannya di atas bahu Jazmeen. Ditelus perlahan bahu itu. Agak lama juga mereka dalam keadaan seperti ini.
            “Abang nak pergi jogging kejap jeh… Bila abang balik, abang harap kalau mood yang rosak ni akan memulangkan Meen abang… Abang rindukan senyuman Meen abang… Tolong pulangkan pada abang boleh?” Pinta Daim perlahan. Sudah dua hari dia melihat keadaan Jazmeen yang tidak bermaya ini. Cukuplah setakat ini. Dia tidak mahu hilang Jazmeennya terlalu lama.
            “Abang…” Jazmeen mula rasa bersalah. Mungkin dia agak berlebihan dalam menyeka keresahan yang tiba hingga membuatkan suaminya berkecil hati. Kalau menasihatkan Daim, bukan main lagi… Bila kena batang hidung sendiri, kaki pun tak mampu nak jejak ke tanah. Ini ke contoh yang terbaik untuk dipertontonkan kepada Daim?
            “Tak apa… Nanti pulangkan Jazmeen abang ya?” Daim sudah tersenyum. Dia pasti yang psycho ini akan mampu mengubah rasa hati Jazmenn. Layanan Jazmeen memang masih tidak berkurang. Cuma dia rindukan senyuman manis Jazmeen yang hilang secara mendadak.
            “Balik cepat ya….” Pinta Jazmeen. Dia sudah bertekad untuk tidak lagi melayan perasaan. Terlebih layan nanti, bimbang jiwanya pula yang disampuk angin menggila. Perasaan ini halus. Jadi tak boleh bermains secara kasar. Kerana jika terkoyak, tak ada jarun dan benang yang mampu menjahitnya.
***
            Sedang Daim melepaskan lelah akibat kepenatan berlari di sekeliling taman, tiba-tiba dia didatangi oleh seseorang yang agak dikenali. ‘Eh.. ni bukan ke kawan Meen?’ Hatinya mula tertanya sendiri.
            “Baru habis jogging bro?” Tanya Jo ramah. Sambil-sambil itu, dia mengeliat sedikit. Seolah-olah sedang membetulkan letak duduk pinggangnya sendiri.
            “Aah… datang dari mana?” Tanya Daim pula. Sekadar ingin berbasa-basi.
            “Aku datang ni memang nak cari kau pun…” Jo sudah malas hendak banyak soal. Apa yang pasti, dia ingin merebut kembali sesuatu yang pernah menjadi miliknya. Tak akan mungkin dia ingin melepaskan Jazmeen dari genggamannya. Sudah lama dia mencari Jazmeen setelah Jazmeen habis matrikulasi dahulu. Siapa sangka, aka nada lagi pertemuan antara mereka.
            “Nak cari aku? Buat apa?” Daim sudah mula rasa tidak senang dengan pertuturan dan percakapan yang agak sinis itu.
            “Jazmeen hak aku…” Tegas Jo sambil bercekak pinggang dihadapan Daim.
            Pada mulanya Daim sedikit terpinga-pinga. Namun kemudia dia mula ketawa besar. Tangannya didaratkan di pinggang. Menahan tawa yang mencengkam dada.
            “Kau ni betul ke tak? Kau ni perempuan kan….” Wajah Daim sudah mula berkerut seribu. Kalau dua hari lepas, mungkin dia agak keliru. Namun kini, dia teramat pasti manusia ini adalah seorang perempuan. Matanya ini memang dah boleh cam sangat mana bentuk tubuh yang ori, mana yang cetak rompak kerana matanya dahulu sudah terlalu mengkaji semua ini. Masakan tidak, lewat masanya dahulu memang banyak dihabiskan di kelab-kelab malam. Lenggok tubuh lelaki atau perempuan, sudah berada di hujung jarinya. Cuma mungkin skill agak kurang apabila dia sudah tidak lagi mengamalkan aktiviti bebasnya itu.
            “Ya… akulah perempuan yang bini kau tergila-gilakan dulu.” Kali ini, terus mati senyuman yang menghiasai wajah Daim seketika tadi. Rahannya mula menjatuh. Matanya tidak berkelip dari memandang Jo.
            “Kau jangan main-main?” Kali ini, Daim terasa dicabar. Adakah ini penyebabnya Jazmeen keresahan? Isterinya bimbang jika rahsia yang selama ini tersimpan sudah mula terbongkar? Oh Shit! Kakinya mula menyepak bangku kerusi yang sememangnya berdekatan dengan tempatnya berdiri.  Kedua tapak tangannya sudah melekat di dahi. Sungguh, dia tak mampu berfikir lagi.
            “Aku tak main-main bro… Isteri kau memang lesbian…” Tutur Jo penuh jahat. Kalau Jazmeen tidak mahu pulang ke pangkuannya, sekurang-kurangnya dia tidak akan membenarkan Jazmeen bahagia. Tidak sia-sia rasanya dia mengekori pasangan suami isteri yang kononya serasi ini.
            “Kau jangan main-main…” Tanpa teragak-agak, terus Daim mencengkam kuat leher baju Jo. Nafasnya turun naik. Tidak suka jika ada seseorang yang mempermainkan maruah isterinya. Apatah lagi dengan seorang manusia yang masih belum mengenal pasti jantina milik sendiri. Dia memang tak akan mudah terpedaya!
            “Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya bini kau sendiri... Setiap inci tubuh dia, aku dah ratahlah bro...” Belum sempat Jo menyudahkan ayatnya, terus penumbuk Daim singgah di bibirnya. Jo tersengih jahat. Senang hati melihat suami Jazmeen yang sudah terpedaya.
            “Baik kau berambus! Berambus...!” Jerit Daim kuat. Tangannya dikepal kuat. Dia tidak betah lagi menahan sabar. Ada jugak yang kena bunuh nanti. Namun benarkah kata-kata Jo ini? Benarkah Jazmeen lesbian? ‘Ya Allah... Dugaan apa yang kau berikan kepadaku ini?’ Bagaimana dia hendak menerima hakikat ini?
            “Kau tak percaya?” Jo seakan-akan cuba untuk mengugat kesabaran Daim. Terlupa bahawa dia sedang berhadapan dengan seorang anak lelaki jantan yang sebenar.
            “Aku tak akan percaya dengan lahanat macam kau nih....” Sebagaimana Jazmeen sering mempercayainya, dia juga harus memperlakukan  perkara yang sama terhadap isterinya. Mungkin Jo sengaja hendak membolak-balikkan kehidupan mereka. Jadi sebagai seorang suami, dia harus memperjuangkan maruah isterinya. Cerita-cerita dongeng seperti ini tidak akan diambil kira.
            Jo ketawa besar. Tawa itu sememangnya berjaya menyakitkan hati Daim. “Okay biar aku buktikan... Hmm... bini kau ada parut dekat peha sebelah kanan kan? Parut tu warna merah... sebesar duit syiling dua posen kan.....”
            Daim mula terduduk apabila mendengarkan kata-kata Jo itu. Air mata sudah mula bertakung di tubir mata. ‘Ya Allah... jadi semua ini bukanlah satu fitnah? Jadi semua ini memang kejahilan yang cuba Jazmeen sembunyikan dariku...’
            “Sekarang kau dah percaya kan? Aku tak hairanlah kalau laki macam kau tergoda dengan Jazmeen.. Dia memang perempuan yang sempurna bagi aku. Tapi sayang sebab kau hanya mendapat sisa-sisa aku sahaja... Kesiannya kau...” Sinis sahaja tutur kata Jo. Ibarat seperti menuangkan lagi minyak ke dalam api yang marak menyala.
            “Okay... biar aku bagi peluang dekat kau untuk fikir tenang-tenang... Tapi nasihat aku, baiklah kau ceraikan Jazmeen tuh.. Untuk apa lagi kau simpan perempuan macam tu bro? Bayangkan kalau cerita ni diketahui oleh keluarga kau... sanak-saudara kau... Mana kau nak letak maruah kau sebagai seorang suami. Apa kau tak malu ke beristerikan seorang lesbian? Aku berani jamin lah... Jazmeen tak kan kekal lama dengan kau. Dia tu dahagakan kasih sayang dari orang macam aku nih... Bukan dari orang macam kau...” Hasut Jo jahat. Dia harap benar yang Daim akan menceraikan Jazmeen. Jadi dia akan berpeluang untuk memiliki Jazmeen semula.
            Tapak tangannya, Daim bawa ke muka. Biar ditekup agar tidak kelihatan dek mana-mana orang. Kata-kata Jo ibarat belati tajam yang menusuk tangkai jantungnya. Jiwanya mula kusut untuk memikirkan kesudahan semua ini. Tidak pernah menjangka yang semua ini akan terjadi dalam kehidupannya. Benarkah Jazmeen lesbian? Hanya

Mampukah kasih mereka diselamatkan...
            Jazmeen teresak-esak di bahu Hajar. Hanya Hajar tempatnya berkongsi tangis lantaran pemergian Daim dari rumah mereka ini. Hendak berkongsi kesedihan dengan emaknya, dia bimbang akan membuatkan emaknya sakit jantung apabila mendapat tahu punca disebalik perpisahan mereka ini. Mampukah ahli keluarganya menerima hakikat yang sebenar?
            Masih terbayang lagi wajah kusut Daim yang baru pulang dari jogging itu. Masih terkesan riak kegusaran yang berpeleseran di ruangan wajah. Tanpa menduga penyebabnya, terus Jazmeen mendapatkan Daim yang sedang terduduk di atas sofa itu. Wajah itu tidak nampak penat seperti biasa. Tapi nampak serabut sahaja...
            “Abang.. Kenapa ni? Nampak kusut je?” Tanya Jazmeen ramah. Kedua belah tangan Jazmeen mula dijatuhkan di lengan Daim. Dipicit lembut. Hanya untuk membantu menghilangkan kegelisahan milik seorang suami.
            Daim mula menarik kasar lengannya. Tiba-tiba dia merasa sangat jijik untuk bersentuhan dengan Jazmeen. Terus dia angkat punggung. Berdiri sambil berjalan ke kiri dan kanan. Membuatkan Jazmeen kembali tertanya-tanya.
            “Abang.. kenapa ni? Cuba cerita dekat Meen?” Pujuk Jazmeen untuk kesekian kalinya. Matanya tidak lepas dari memandang ke arah suami yang sedang membelakanginya.
            “Siapa Jo yang sebenarnya?” Daim berpaling mengadap Jazmeen. Dia perlu tahu jawapannya. Dia tidak mahu membuat kesimpulan sendiri. Dia belum cukup dayus untuk menerima cerita Jo bulat-bulat.
            Terbuntang mata Jazmeen saat peluput telinganya menyambut satu nama yang terlalu lama ingin dilupakannya. Hatinya mula berdebar-debar. Kenapa suaminya tiba-tiba bertanyakan perihal Jo? Adakah Jo sudah memporak-perandakan pemikiran Daim.
            “Kenapa abang tiba-tiba tanya?” Persoalan mula berbalas dengan soalan.
            “Jawab soalan abang tadi Meen....” Kelihatannya, Daim sedaya upaya cuba menahan sabar walaupun dia sedar yang kesabarannya senipis kulit bawang. Pantang tersiat, pasti hancur keseluruhannya.
            “Dia kawan Meen waktu dekat matrikulasi dulu...” Jawab Jazmeen seraya menunduk. Jarinya sudah bermain sesama sendiri. Menandakan rasa hati yang gundah gulana. Adakah suaminya sudah mengetahui kebenaran yang sememangnya pahit itu?
‘Jo... kenapa kau tak pernah mengizinkan aku untuk bahagia... Kenapa perlu kau rosakkan kebahagian aku lagi...’
“Kawan sebilik?” Tanya Daim lagi.
Hanya anggukan yang mampu Jazmeen berikan.
“Ke kawan sekatil?” Duga Daim lagi. Dia teringin benar untuk mendengar perkataan tidak daripada Jazmeen. Cakaplah yang semua ini hanyalah kisah dongeng semata-mata... Cakaplah yang semua ini adalah dusta yang dirangka oleh Jo sahaja...
“Abang...” Mendengarkan panggilan halus itu, Daim sudah mula mengagak jawapannya. Jadi memang betullah yang Jazmeen adalah teman sekatil Jo? ‘Ya Allah... kenapa aku yang perlu melalui semua ini? Kenapa aku yang diduga seperti ini?’
“Jadi betullah kau lesbian?” Terus Jazmeen terbangun saat mendengar tutur kata suaminya itu. Kasar dan terlalu pedih untuk menyambutnya. Akhirnya, kejahilan yang selama ini disingkap kemas, mula menyalurkan kebenaranya. Betul kata orang, kesalahan semalam akan terus mengekori sehingga manusia itu takut untuk merangka masa depan milik sendiri.
“Meen... sabarlah... Pasti ada kemudahan disebalik kesulitan ni...” Suara pujukan Hajar mula melupuskan kenangan pagi tadi. Ya.. mungkin hati ini boleh diajar untuk bertabah, namun Jazmeen harus mengakui yang jiwanya tidak kuat untuk menghadapinya. Perkara yang paling dia takuti akhirnya terjadi lagi.
“Aku takut.....” Luah Jazmeen perlahan sambil cuba mengelap permata jernihnya.
“Jangan takut... Allah ada dengan kau.. Aku ada dengan kau Meen...” Hajar masih tidak putus-putus meminjamkan kata-kata semangat. Hati itu walau sekebal mana sekalipun, tetap akan bergolek saat angin kencang melambung badai.
“Bodoh betul Johariah nih.... Sanggup dia rosakkan kebahagian kau...” Kali ini giliran Hajar pula yang melepaskan kegeraman. Mengingatkan Jo, hatinya pula yang terasa disiat-siat. Dari dahulu lagi, Jo hanya pandai menjahanamkan hidup orang sahaja.
“Aku yang bodoh sebenarnya Hajar... Aku yang bodoh sebab tak mampu nak handle diri sendiri hingga aku terjerumus dalam hubungan sejenis. Akulah orang yang bodoh dan hina tuh... Memang padan dengan muka aku bila Daim tinggalkan aku...” Hilang terus sikap positifnya selama ini. Yang ada hanyalah kekesalan yang tidak akan menemui penghujungnya.
“Meen... bawak istighfar... Jangan salahkan takdir.. Jangan jugak salahkan diri sendiri. Jangan macam ni Meen... Kerapuhan hati akan membuatkan syaitan bertepuk tangan... Bertabahlah... bersabarlah...” Hampir sahaja menitis air mata Hajar saat melihat keadaan temannya di kala ini. Dia pernah lihat Jazmeen yang sebegini rupa. Jazmeen yang menangis teresak-esak apabila sedar akan kesilapanya dahulu. Dia yang mengeluarkan Jazmeen dari zaman gelap itu. Dan ketika awan kelabu datang menghurung seperti hari ini, dia tetap tidak akan berganjak dari terus membela Jazmeen.
“Tapi sedikit sebanyak aku kesal Meen...” Luah Hajar perlahan.
“Kau kesal dengan sikap aku dulu?” Tanya Jazmeen memohon pengertian.
“Bukan... Aku kesal dengan sikap Daim. Sudah jelas terbukti Meen... Ketika kau mampu menyintainya dan menerima kisah silamnya, dia pula terus membuang kau ketika mengetahui sejarah silam kau. Dia tak boleh rasa dia manusia yang terlalu baik sehingga dia diberi tiket untuk menghina kau. Kau dan dia sama-sama punya masa silam... Jadi kenapa tak dia teguh menyintai kau dan melupakan masa silam kau? Tak boleh ke dia terima kau macam mana kau terima dia? Betul ke cinta kalau hanya mendambakan kesempurnaan?” Perkara inilah yang bermain di benak Hajar sedari tadi. Daim memang tidak adil dengan Jazmeen. Malah dia dapat merasakan yang sikap Daim terlalu kejam terhadap Jazmeen.
“Jangan salahkan dia Hajar.. Aku yang bersalah kerana tak berterus terang dari awal lagi... Sebab dari awal perkahwinan kami dulu, dia telah menceritakan sejarah silam milik dia. Bukan macam aku yang merahsiakan semuanya... Aku yang kejam dengan dia Hajar...”
“Kau masih nak bela dia Meen?” Tanya Hajar pelik. Dia merenung anak mata Jazmeen. Mata bundar yang penuh dengan kekesalan semalam. Mata yang penuh dengan kasih sayang. Mata yang penuh dengan pengharapan. Mungkin berharap yang Daim akan pulang ke sisinya.
“Dia tu suami aku... Pemimpin aku di Syurga nanti.. Sepanjang perkahwinan kami, tak pernah pun dia bersikap buruk dengan aku Meen... Malah aku kagum dengan sikap dia yang senantiasa hendak memperbaiki kejahilannya.” Terang Jazmeen perlahan. Siapa lagi yang akan membela si suami kalau bukan seorang isteri. Dalam hal ini, bukan Daim yang bersalah. Jadi dia tidak akan sesekali menyalahkan Daim.
“Maafkan aku Meen... Aku bukan bermaksud nak kutuk Daim.. Mungkin aku terlalu kecewa dengan sikap dia yang bersikap membabi buta macam ni.. Ialah, dia tinggalkan kau kerana masa silam kau. Patutnya dia sedar yang kaulah kebahagian dia yang sebenar... Percayalah Meen, kemana pun dia melarikan diri, pasti hanya kau dalam ingatan dia...” Pujuk Hajar sambil menepuk lembut bahu Jazmeen.
Jazmeen hanya mampu tersenyum hambar. Sisa-sisa air mata mula ditepis pergi. Dia mula menarik nafas dalam-dalam.
“Apa-apa pun, aku doakan kebahagian kau Meen... Kau pun, banyak-banyaklah berdoa. Mungkin kadang-kadang kita terlalu menjadi hamba yang meminta hingga terlupa untuk bersyukur dengan apa yang kita ada. Jadi, mungkin dah masanya kita betullah keimanan diri.... Berharap dan bersyukur dengan ujian dan cubaan ini. Dia menguji sebab Dia tahu yang kau mampu menghadapi semua ini... Dia percaya pada kemampuan kau lebih dari kau mempercayainya..” Kata-kata nasihat dari Hajar itu umpama bayu yang membasahi hati Jazmeen. Menenangkan rasa hati yang berombak kencang.
“Terima kasih Hajar...” Dipeluk sahabatnya itu seerat mungkin. Di saat dia kehilangan tempat untuk mengadu, Allah masih mengurniakan seorang sahabat yang terbaik buat dirinya.
“Pokok pangkalnya hati Meen... Sekeping hati terkandung berjuta anugerah dari Ilahi.. Hati tu umpama akar, kalau akar rapuh, pokok yang besar pun boleh tumbang.” Sambung Hajar lagi sambil tersenyum sedikit. Jazmeen pun ikut turut tersenyum. Menyambut mesra nasihat dari Hajar itu.
“Dah lah... pergilah solat.. Pergi hilangkan kegelisahan kau...” Arah Hajar lagi. Bimbang nanti dia pula yang akan berendam dengan air mata apabila melihat keadaan haru biru yang melanda sahabatnya ini.
Terus Jazmeen bangun dan menghalakan kaki ke bilik air. Betul kata Hajar, hati ini dibebani dengan pelbagai ujian dan dugaan. Dalam hati ada kesedihan yang tidak akan mampu disekat kecuali oleh kebahagian yang timbul dalam mengenal Allah dan ketulusan berinteraksi denganNya. Dalam hati juga ada kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan keredhaan akan perintah larangan dan keputusan Allah yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan denganNya. Dalam hati juga ada tuntutan kekuatan yang tidak akan berhenti sebelum Allah menjadi satu-satunya tujuan dalam hidupnya. Segalanya kembali kepada Allah. Jadi, hati ini perlu diserahkan kepadaNya. Hati ini perlu diajar untuk bertabah kerana rasa sakit itu pasti akan kebah.
***
            Lengan kanan mula diletakkan di atas dahi. Matanya merenung syiling. Segalanya kelihatan kosong. Jiwanya... Hatinya...pemikirannya... Sungguh, tidak pernah-pernah dia berasa begini. Tidak pernah dia merasa sekecewa ini. Mungkinkah ini dugaan ataupun bala dari Allah? Daim kebingungan sendiri.
            “Bro... sudah-sudahlah temenung tuh... Jom keluar... Rest kan pemikiran kau yang sempit tuh.. adatlah kalau bergaduh laki bini..” Ajak Hamdan sambil menarik Daim bangun dari pembaringan. Dia mahu Daim bersuka ria menerjah alam yang sudah lama ditinggalkan oleh Daim itu. Setakat pergi disko... lepak-lepak sambil menjamu mata.. Biar minda terbuka sedikit. Bukannya nak suruh Daim minum sampai mabuk pun dan kalau setakat pergi disko, bukanlah bermakna mereka orang jahat.. Fikir Hamdan sempit. Dia terlupa yang apabila kaki sudah diletakkan ke tempat yang haram, pelbagai dosa yang akan menghimpit mereka. Tidak kira kecil atau besar, semuanya menjerumus ke arah kejahatan.
            “Malaslah....” Daim menyandarkan belakang badannya ke sofa di rumah Hamdan ini. Dia memang betul-betul tak punya mood untuk bersuka ria. Lagipun disko bukanlah satu tempat yang mampu menyelesaikan masalannya tika ini. Kalau ikutkan  hati, dia sendiri tidak mahu menumpang di rumah Hamdan. Ingin sahaja dia pulang ke rumah mama dan papanya. Tapi nanti apa pula kata fikir. Pasti mama dan papanya akan menyalahkan dirinya. Ialah, yang buruk semuanya milik dia. Padahal mereka tak tahu yang menantu mereka lebih hina dari dirinya ini.
            “Alah... jomlah... lepak-lepak je. Sebelum pukul dua belas kita baliklah...” Pujuk Hamdan lagi. Tak seronok pula jika hendak meninggalkan tetamu di rumahnya ini walaupun Daim ini bukanlah orang lain. Rakan sepejabatnya jugak. Kalau boleh, dia tak mahu Daim terlalu memikirkan tentang masalah rumah tangganya. Sesekali keluar enjoy bersama kawan-kawan, apa salahnya.
            “Aku tak ada mood lah Am..” Tolak Daim lagi. Susah betul untuk membuat Hamdan faham. Dia sudah berazam untuk tidak menjejakkan kaki ke disko lagi. Tapi bila dipujuk-pujuk seperti ini, mampukah hatinya untuk  bertahan?
            “Aku tak kira... Aku nak kau join jugak. Semenjak kau kahwin ni, langsung tak keluar melepak dengan kita orang... Aku bukan suruh kau minum pun.. Aku pun bukan suruh kau layan cikaro dekat sana.. Just release tension sudah... Dengar lagu sambil angguk-angguk kepala..” Ajar Hamdan sambil ikut turut menganggukkan kepalanya.
            Daim memejamkan matanya. Yang terlihat hanyalah wajah Jazmeen. Senyuman manis Jazmeen. Lenggok jalan Jazmeen. Ah sudah! Kenapa semuanya berkaitan dengan Jazmeen? Kenapa perempuna tu juga yang berada di benaknya tika ini. Jadi mungkin perlu untuk dia keluar menyegarkan otaknya yang sumbat tika ini. Jazmeen perlu keluar dari kotak ingatannya sekarang!
***
            Alunan muzik yang membingit berlegar di sekitar ruang fikiran. Entah kenapa, tempat seperti ini terasa begitu asing sekali sedangkan ini bukanlah kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini.
            “Bro... tak kan minum coke je?” Hamdan sudah mula membuat perangai menghasutnya itu. Gelas kecil itu mula dihulurkan kepada Daim. Sengaja ingin mengongcangkan keimanan Daim yang tidak setebal mana itu. Namun perlahan-lahan ditolak oleh Daim. Sungguh, Daim mula rasa dia sudah tersalah langkah kerana mengikut kata hati untuk mengikuti kata-kata Hamdan.
            “Alah... sikit je bro.. Balik nanti kau taubatlah balik.” Semudah ini Hamdan memperkatakan tentang agama sedangkan dia sendiri sudah lupa dalam mengenal halal haram.
            Tangan Daim mula meramas sesama sendiri. Sesungguhnya muzik yang berdentum kuat ini tidak mampu menghadirkan ketenangan dalam fikirannya. Malah wajah Jazmeen, tawa Jazmeen, gelagat Jazmeen makin mekar mewangi di sekitar hati dan fikiran. Fikirannya mula melayang mengingati kisah mereka.
            “Abang banyak dosa... Abang takut abang tak terdaya nak melawan nafsu Meen..” Luah Daim satu ketika dahulu. Ketika itu mereka baru sahaja memulakan alam rumah tangga. Masih belajar mengenal sikap masing-masing.
            “Abang nak dengar satu cerita tak?” Jazmeen sengaja membawa suaminya agar keluar dari kepompong emosi yang menggila. Dia tahu perasaan Daim tika ini. Dia pernah berada di tempat Daim. Bagaimana akal fikiran selalu memikirkan yang taubat mereka tidak akan diterima.
            “Cerita?”
            “Hmm.. tentang seorang lelaki yang memiliki segala kejahatan di dunia. Dialah perogol, dialah pembunuh, dialah kaki gaduh, pokoknya semua benda tu memang dah menjadi amalan dia.” Jazmeen sudah memulakan intro. Daim mula membetulkan duduknya. Terasa berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut cerita dari isterinya ini.
            “Namun pada satu hari, Allah gerakkan hati dia untuk bertaubat. Tapi dia malu... Dia takut kalau-kalau orang tak percaya yang dia dah berubah. Dia takut kalau-kalau ejekan masyarakat akan membuatkan dia patah hati untuk berubah. Jadi dia pun memutuskan untuk berhijrah. Berhijrah di tempat baru yang tak ada seorang pun yang mengenalinya....”
            Melihat suaminya itu makin fokus, Jazmeen mula menyambung cerita.
            “Dia pun mula bermusafir dari satu tempat ke satu tempat. Gaya pemakaiannya berubah menjadi seperti orang yang alim. Dengan berjubah dan berserban, semua orang percaya yang dia seorang yang baik sehingga seorang lelaki percaya dan ingin menjodohkan anak perempuannya dengan pemuda tersebut.” Cerita Jazmeen terhenti seketika. Dia mula mengambil nafas sedikit.
            “Lepas tu apa jadi?” Tanya Daim tak sabar.
            “Lepas tu pemuda dan perempuan tu pun berkahwin... Tapi semuanya terbongkar pada malam pertama perkahwinan mereka. Bila si isteri yang baik itu mengarahkan suaminya untuk menjadi Imam, terus pemuda tersebut menangis teresak-esak. Dia mengaku dihadapan isterinya yang dia sebenarnya terlalu jahil dalam bidang agama. Dia langsung tidak tahu apa-apa walaupun hanya untuk membaca Al-Fatihah. Tapi dia tak mampu nak tolak untuk tidak berkahwin dengan perempuan itu. Sebab perempuan itu sangat cantik disamping dia adalah wanita yang solehah.”
            “Jadi isteri dia mintak cerai ke?” Duga Daim tanpa dipinta. Jazmeen menggeleng. Menidakkan kata-kata Daim.
            “Tak... Isterinya itu senyum sahaja. Malah dia dengan berhalusnya mengajar si suami itu ajaran agama. Maka si isteri pun mula mengajar pemuda tersebut dengan bacaan Al-Fatihah... Bukankah Al-Fatihah itu bermakna permulaan...” Mulut Daim sedikit melopong mendengar penjelasan isterinya. Tapi dia tak pelik... Memang ada perempuan yang baik seperti itu. Buktinya, wanita itu memang sedang duduk dihadapannya tika ini.
            “Lepas tu apa jadi?”
            “Baru sahaja si isteri mengajar si suami tu Al-Fatihah hingga ayat malikiyaumiddin.... Tiba-tiba terdengar laungan azan dari masjid. Jadi si suami pun bersiap-siaplah untuk berjemaah di masjid... Setibanya di masjid, semua orang kagum melihat gaya pemakaian pemuda tersebut. Jadi Imam masjid tu tawarkan pemuda tersebut untuk menjadi Imam..”
            “Habis tu pemuda tu terima tak? Macam mana nak jadi Imam kalau Al-Fatihah pun dia tak hafal habis lagi?” Entah kenapa, Daim pula yang rasa cuak. Bagaikan dia pula yang merasai bahang debarannya.
            “Kerana terpaksa.... pemuda tersebut terpaksa terima walaupun dia dah puas menolak... Jadi dia pun mula menjalankan tugasnya sebagai Imam... Tapi macam yang Meen cerita tadi, pemuda tu hanya hafal sampai ayat Malikiyaumiddin sahaja... Selepas itu, dia mula senyap...” Cerita Jazmeen terhenti sekejap. Sengaja hendak menantikan respon si suami.
            “Ya Allah... lepas tu apa jadi Meen? Janganlah cerita sikit-sikit...” Marah Daim sedikit geram. Hanya sekadar marah-marah sayang sahaja.
            Jazmeen tergelak kecil. Kemudian mula menyambung kata. “Pemuda tadi mula nampak sebuah tingkap yang berada dihadapanya. Tanpa berfikir panjang, terus pemuda tersebut terjun dari tingkap itu. Kononnya hendak melarikan diri dari mendapat malu. Tapi para makmum yang melihat itu pun ikut turut mengikut jejak pemuda tersebut.. Habis semua orang keluar ikut tingkap...” Tika ini mulut Daim memang melopong habis.
            “Dasyatnya... Lepas tu?” Gesa Daim lagi.
            “Atas rahmat Allah, tiba-tiba sahaja masjid yang mereka sedang bersolat tadi roboh dengan sendirinya. Semua orang turut melopong termasuklah pemuda tersebut. Dan para makmum mula mengucapkan terima kasih kepada pemuda tersebut kerana menyelamatkan mereka dari kecelekaan...”
            Kepala Daim sedikit terangguk-angguk mendengar kesudahan dari isterinya itu. Namun fikirannya berbelit sendiri. Dahinya berkerut-kerut sendiri. “Jadi abang rasa, apa kesimpulan dari cerita ni?” Tanya Jazmeen sengaja menguji. Kalau tengok respon, bukan main fokus lagi. Tapi nak tahu juga, jalan cerita itu sampai atau tidak ke benak suaminya itu.
            “Errk.. Kesimpulannya, kita jangan judge orang dari luaran.. Kena kaji selidik dulu.. Baru boleh buat penilaian. Hmm... Betul ke jawapan abang?” Jawab Daim tidak pasti. Rasa macam betul... tapi tiba-tiba rasa macam tak berapa nak betul pulak..
            “Betul jugak jawapan abang tuh... Tapi bukan benda tu yang Meen nak tekankan. Kesimpulan dalam cerita ni ialah tentang kesungguhan seorang manusia untuk bertaubat.” Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya. Memandang si suami dengan padangan yang meredupkan rasa hati.
            “Maksud Meen?” Daim mula meminta Jazmeen menghuraikan dengan lebih jelas.
            “Itu tandanya Allah pasti akan membantu jika manusia itu ingin berubah ke arah kebaikan. Lihatlah betapa besarnya kurniaan Allah pada pemuda tersebut. Allah menjaga aibnya kerana dia bersungguh-sungguh untuk keluar dari dunia kejahatan. Sebenarnya, di dunia ini mudah untuk berbuat kebaikan dari kejahatan tetapi manusia lebih condong berbuat kejahatan dari kebaikan kerana nafsu itu lebih tua dari akal dan iblis pula lebih tua umurnya dari manusia. Kita tidak perlu membenci iblis dan syaitan kerana tugas mereka sememangnya mengajak manusia ke arah kesesatan tetapi fahamilah bagaimana untuk menghadapinya dan bagaimana untuk mengatasi hasutannya. Sebab itu kita dididik untuk berbuat kebaikan kerana di setiap kebaikan pada setiap keadaan pasti terdapat rahmat dari Allah.” Terang Jazmeen panjang lebar.
            Daim hanya terdiam. Mungkin sedang memaknakan kata-kata seorang isteri yang terkandung berjuta kebenaran.
            “Sejauh mana cinta kita pada Allah dinilai pada sejauh mana kesanggupan kita untuk menunaikan segala perintah dan mengamalkan suruhanNya. Sejauh mana cinta kita kepada Allah dihitung dari sejauh mana kita sanggup meninggalkan segala laranganNya dan tegahanNya. Bila hadirnya cinta Allah di jiwa, tiada lagi yang dapat menandingi cinta kepadaNya walaupun kita dihidangkan dengan seribu cinta manusia yang sanggup mengantikanNya. Cinta kepada Allah adalah kemuncak segala cinta manakala cinta pada manusia adalah wasilah untuk menuju rahmat dan kasih sayangNya.” Sambung Jazmeen serius.
            “Meen… Terima kasih kerana membawa abang pulang ke pangkal jalan.” Digengam erat tangan milik si isteri. Tidak dapat digambarkan rasa syukurnya kerana memperisterikan Jazmeen. Dia tahu tentang agama... tapi dia tidak mengamalkan. Umpama makan nasi tanpa hadam. Bukankah akan menempah sakit?
            “Mungkin Meen yang membawa abang kepada Dia... tapi ada seperkara yang nak Meen ingatkan… Andai kata satu hari nanti abang dah berhenti menyintai Meen, Meen berharap agar abang jangan sesekali menggugurkan cinta abang pada Dia. Kekallah menyintai Dia walaupun saat itu abang dah berhenti meyintai Meen..” Tutur Jazmeen sedikit sebak.
            “Ish… Jangan cakap macam tu Meen… Cinta abang hanya milik Meen seorang sahaja. Hanya Allah yang akan merampasnya dari abang… iaitu saat nyawa abang diambil dariNya. Saat itu mungkin jasad abang yang tidak bernyawa, tapi cinta Meen abang akan bawa hingga ke Syurga…” Terus Daim mencium pipi mulus milik Jazmeen. Dia juga ikut turut rasa sebak. Dirangkul isterinya seerat mungkin. Bagai tidak mau terpisah langsung.
            “Oit.... jauh betul berangan. Ambil air ni.” Teguran Hamdan yang mengejut itu seperti mengejutkan hati Daim yang tertidur. Lantas dia terus bangun secara tiba-tiba. Memandang Hamdan dengan dahi yang  berkerut.
            “Daim, kau okay tak nih?” Tanya Hamdan kepelikan.
            “Aku tak akan sentuh air kencing syaitan ni lagi... Patutnya aku memang tak boleh datang ke sini...” Daim mengelengkan kepalanya berulang kali. Sungguh dia menyesal. Dia teramat malu dengan diri sendiri. Mana janji-janjinya untuk berubah dahulu? Tak kan semudah ini Imannya goyang?
            “Relekslah bro... balik nanti kau taubatlah...” Daim terasa seperti hendak sepak sahaja mulut cabul Hamdan itu. Cakap ikut nafsu dunia. Langsung mengetepikan perihal agama yang sepatutnya disanjung tinggi.
            “Habis tu, kalau kau tak sempat sampai rumah... Kalau kau kemalangan on the way kau nak balik nanti, kau ingat kau boleh bertaubat ke?” Perli Daim sinis. Tersedak Hamdan dibuatnya.
            “Aku nak balik... Kalau kau tak nak balik lagi, kau tumpanglah budak-budak lain.. Aku tak boleh duduk sini lagi.” Apa pun yang terjadi antara dirinya dengan Jazmeen, semua ini tidak harus melibatkan cintaNya yang satu. Tidak seharusnya dia mencari bala dengan meletakkan diri ke dalam zaman jahiliah yang lepas. Dia harus lebih peka sebenarnya. Bukan menonong mengikut kata hati yang akan menjerut akidah.
            Hitam putih hidup ini, Daim akan cuba jalani seadanya. Daim sedar yang tiada satu yang tersembunyi, tiada satu yang terlupa bahawa segala yang berlaku ini Dia akan menjadi saksinya. Di hujung solatnya, hati Daim mula menunduk pasrah. ‘Ya Allah, padaMu aku serah segala-galanya… Aku sedar bahawa yang dicinta kan pergi… Yang didamba pasti akan menghilang.. Moga Kau terus bersamaku walaupun saki baki kehidupanku ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Ya Allah… berikanlah kekuatan untukku menghadapi rintangan ini. Tiadalah dayaku melainkan padaMu aku bergantung harapan.” Pipinya basah diselaputi air mata. Sebasah hatinya yang ikut turut merindui Jazmeen.
***
Yakinlah bahawasanya semua yang berlaku telah di tetapkan Allah…
‘Firman Allah.. Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya. Dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ Surah Yunus ayat 10.
            Air mata Jazmeen merintik hiba tatkala membaca tafsir Al-Quran itu. Sesungguhnya hati ini perlu diberikan ubat untuk terus bersabar. Kerana dia sedar yang rahmat Allah pasti akan melebar. Dia sudah diberikan kesempatan untuk berbahagia satu ketika dahulu... Jadi sekarang adalah waktu untuk dia diuji. Dan seharusnya dia menerima tanpa sebarang rungutan.
            Usai membaca tafsir, Jazmeen mula melarikan langkah ke dapur. Duduk seorang diri nyata memang membosankan lantaran dia sudah terbiasa melayan sikap dan karenah milik Daim. Tangannya mula memegang pinggan yang berada di atas rak pinggan. Kenangan lalu menghentak rasa lagi...
            “Abang... tinggal je dekat singki tu... Nanti Meen basuhlah.” Ujar Jazmeen sambil tangannya ligat mengelap meja setelah selesai makan malam tadi. Tapi dia akui, Daim memang seorang lelaki yang ringan tangan. Bila dia ke dapur, pasti Daim akan turut serta. Kalau tak tolong buat kerja, dia akan tolong kacau. Dan adakalanya Jazmeen terpaksa tolong sambung nakal milik si suami.
            “Opss..kejap.. Meen jangan basuh pinggan.. Tunggu abang kejap.” Arah Daim sambil hilang di sebalik pintu. Tidak sampai lima minit, Daim muncul kembali dengan kertas dan saletip.
            “Abang nak buat apa tu?” Soal Jazmeen aneh. Matanya meliar melihat Daim yang sedang menampal sesuatu di dinding yang berdekatan dengan singki.
            “Abang buat memo.”
            “Memo apa?”
            “Bacalah sendiri...” Arah Daim sambil merangkul pinggang si isteri. Jazmeen yang mendengar hanya menurut. Matanya mula meragut beberapa patah perkataan yang ditulis cantik itu.

Perhatian!! Aina Jazmeen tidak dibenarkan sama sekali untuk membasuh pinggan! Arahan mandatori...
            “Abang... kalau macam ni kuranglah pahala Meen...” Adu Jazmeen manja. Sengaja hendak mengada-ngada dengan suaminya ini. Lagipula, Daim memang senang memanjakan dirinya.
            “Tak apa... kita tambah pahala kat bilik tidur lebih sikit..” Usai itu Daim gelak besar. Jazmeen tidak fikir panjang, terus dicubit pinggang suaminya itu. Merah muka dibuatnya. Sabar jelah melayan suami yang seorang ini.
            “Bukan apa.... Tangan sayang kan sensitif sabun basuh pinggan. Nanti habis gatal-gatal. Jadi tak payahlah basuh.. Biar abang je basuh. Lagipun setakat basuh pinggan tu apalah sangat. Celah gigi abang jeh...” Gurau Daim sambil ketawa.
            “Alah... kan boleh pakai glove...” Cadang Jazmeen. Dia tak mahulah jika Daim terlalu memanjakan dirinya. Bimbang nanti jika dia hilang Daim, dia langsung hilang tempat untuk berteduh harap. Bagi Jazmeen, Daim adalah seorang suami yang cukup sempurna.
            “Jawapannya tetap tidak... Kalau abang nampak sayang basuh pinggan, abang akan kenakan denda dekat sayang!” Daim sudah mula memberikan amaran.
            “Denda apa?” Tanya Jazmeen semangat. Apa sahajalah denda yang dikenakan oleh suaminya itu.
            “Dendanya... satu pinggan untuk seratus ciuman..”  Terus Diam peluk Jazmeen dari arah belakang. Dagunya dilabuhkan di bahu milik Jazmeen.
            “Amboihh... tamaknya abang ni...” Mujur sahaja tika ini dia tidak berhadapan dengan Daim. Jika tidak, pasti naya wajahnya disapa kemerahan.  Daim pun satu.. Agak-agaklah kalau nak bagi denda pun...
            “Nak buat macam mana... Isteri abang menggoda sangat..” Lantas dibenamkan ciuman di leher milik Jazmeen.Mengertikan rasa kasih yang berbuih-buih.
            Jazmeen mula menahan bandannya di birai singki dari terus rebah ke lantai. Sememangnya kenangan ini memang membunuh jiwanya. Terus dia berpaling ke arah lain. Terlalu banyak kenangan mereka di rumah ini. Terlalu banyak kasih yang menjalar di ruang hati ini dan terlalu banyak kepedihan lantaran perpisahan ini.
            Bunyi loceng rumah yang bergema membuatkan Jazmeen cepat-cepat melarikan langkah ke muka pintu. Berharap benar yang Daim yang akan pulang. Pulang dengan senyuman manis seperti selalu. Pulang dengan pelukan hangatnya... Pulang seribu kemaafan...
            Apabila pintu dikuak, rahangnya mula terjatuh apabila melihat kelibat Daim yang sedang berdiri di hadapannya. Ingin sahaja dipeluk tubuh milik si suami. Tapi hatinya mula dipagut bimbang apabila melihat wajah kelat Daim.
            “Pergi kemas barang cepat...” Arah Daim serius. Kunci keretanya dia letak di atas almari yang berhampiran dengan pintu rumah. Kakinya mula diatur ke bilik. Sememangnya dia hampir-hampir sahaja meruntuhkan keegoan untuk memeluk Jazmeen. Rindunya terlalu menggunung buat si isteri. Tapi dipagar rasa hati agar tidak tertewas lagi.
            “Kita nak pergi mana?” Tanya Jazmeen sedikit teragak-agak.
            “Balik rumah aku.... Mama aku tak sihat..” Daim ikut turut mengemaskan pakaiannya. Matanya langsung tidak dihalakan ke arah isterinya yang masih tegak berdiri.
            “Mama sakit apa bang? Teruk?” Tanya Jazmeen risau.
            “Kau jangan nak banyak cekadak sangatlah... Cepat siap!” Marah Daim tanpa dia sedari. Entahlah, perasaannya berbalam-balam apabila melihat wajah Jazmeen. Sekejap dia rasa loya dan geli. Namun perasaan itu mudah benar diganti dengan rasa kasih yang memang sudah terlimpah untuk Jazmeen seorang sahaja.
            Jazmeen cepat-cepat mengawal perasaannya apabila mendengar herdikan daripada Daim itu. Terasa hatinya telah ditumbuk lumat dek lesung batu. Daim memang sudah jauh berubah.. mungkin hatinya juga sudah ikut turut berubah...
            “Mama dan papa masih tak tahu pasal kita. Lepas mama sihat, baru aku akan berbincang untuk proses penceraian...” Penerangan Daim itu terus membuahkan air mata di pipi Jazmeen. Tidak menyangka yang Daim seserius ini untuk melepaskan dirinya.
            “Aku tunggu dalam kereta. Jangan lambat sangat! Aku ni bukan driver kau!” Ujar Daim tidak berperasaan. Kakinya lantas dilalukan ke muka pintu. Namun tidak sedikit pun dia memandang wajah Jazmeen yang sudah berubah warna.
‘Ya Allah… berikanlah kami nikmat Iman agar kami dapat lebih mengenalMu.. Agar kami dapat melabuhkan cinta hanya untukMu.. untuk RasulMu.. cinta pada kitabMu… Ya Allah, berikanlah kami nikmat kefahaman yang sebenar-benarnya, faham agar kami tidak akan tersasar di atas landasan syariatMu… Moga kami memahami apa yang Engkau turunkan untuk umatMu..’ Jazmeen tidak putus-putus berdoa agar Allah melembutkan hati Daim untuk kembali menerimanya. Biarlah, dia tidak akan puas untuk terus meminta dari Yang Maha Esa. Sesungguhnya hanya pada Allah dia menaruh harapan.
***
            Perlahan sahaja Jazmeen mengambil tempat di sisi ibu mertuanya yang terlantar kesakitan di atas katil. Tangan kanannya mula menggaul bubur yang masih panas itu. Di kesempatan yang ada, dia ingin mencurahkan segala perhatian dan kasih sayangnya kepada mama Daim itu. Sebanyak mana dia menyintai Daim, sebanyak itulah dia ingin berbakti kepadaibu bapa Daim. Apatah lagi mengenangkan yang mungkin dia tidak akan selama-lamanya menjadi menantu kepada Puan Zakiah.
            “Mama… makan sikit ya. Meen ada buat bubur dengan sup..” Perlahan dia mengejutkan ibu mertuanya itu.
            “Mama tak larat Meen... Sakit sangat kepala ni..” Jazmeen mula menukar posisi tubuhnya dan mula bersandar di kepala katil. Kepala ibu mertuanya mula dipicit lembut. Kasihan mama... Sudah dua hari demam panasnya masih belum kebah. Sambil dia memicit kepala Puan Zakiah, bibirnya tidak kering dari berzikir. Sempat juga diselitkan beberapa suci ayat Al-Quran. Terapi supaya dapat menyembuhkan sakit ibu mertuanya itu.
            “Meen...” Seru Puan Zakiah perlahan.
            “Ya ma...”
            “Meen ada masalah ke dengan Daim?” Tanya Puan Zakiah terus. Selama dua hari anak menantunya tinggal di sini, dia mula rasa keanehan mereka. Hubungan mereka tidak seperti hari yang sebelumnya. Tiada gurauan mesra. Tiada senyuman yang menjadi sapaan. Yang kelihatan hanyalah kedinginan. Adakah perangai anaknya yang lama itu muncul kembali?
            “Kenapa mama tanya macam tuh... Sepanjang perkahwinan kami, tak pernah pun kami ada masalah ma.... Abang seorang suami yang sempurna untuk Meen...” Secara hakikatnya, memang Jazmeen teramat memaknakan kata-katanya ini. Daim memang seorang suami yang baik. Cuma apabila kebenaran sudah terbongkar sahaja, Daim terus berubah laku. Seakan-akan tidak dapat menerima peristiwa silamnya yang lalu.
            Puan Zakiah sudah mula menarik tangan Jazmeen yang bermain di kepalanya. Perlahan-lahan dia mengagahkan diri untuk bangun. Dia ingin mencuri pandang wajah Jazmeen. Mungkin mulut menantunya itu boleh menipu... Tapi air mukanya jelas kelihatan kegelisahan. Hatinya mula dipagut risau mengenangkan perkahwinan anak dan menantunya itu.
            “Jangan tipu mama Meen...” Rintih Puan Zakiah. Hati tuanya sudah boleh meneka cuma dia tidak boleh mengenalpasti punca pergaduhannya. Apakah puncanya? Pasti bermula dari Daim..
            “Daim ada pukul Meen ke?” Tanya Puan Zakiah lagi apabila Jazmeen membeku sendiri. Soalan itu nyata membuatkan Jazmeen terkejut.
            “Ma... sekali pun abang tak pernah angkat tangan pada Meen..” Terang Jazmeen sungguh-sungguh.
            “Habis tu, dia ada perempuan lain ke?”
            “Abang setia ma... Dia hanya sayangkan Meen.” Akui Jazmeen jujur. Ya, sememangnya setelah mereka berkahwin, Daim tidak pernah keluar berpoya-poya di luar. Malah jika Daim hendak keluar sekalipun, pasti Jazmeen akan diajak untuk menemaninya.
            “Habis tu apa masalahnya Meen? Cuba cerita kat mama.. Hati mama tak tenang tengok korang berdua macam nih!” Gesa Puan Zakiah lagi. Jazmeen sudah mula mengigit bibir. Terkesan sangatkah hubungan mereka yang keretakkan?
            “Mama... kami masih bahagia. Tak ada apa-apa yang perlu mama bimbangkan. Percayalah, Meen bangga bersuamikan abang. Dan sebagai ibu, mama juga harus berbangga mempunyai anak seperti abang.” Jazmeen ingat lagi amaran dari suaminya itu. Daim keras mengarahkan agar dia kekal mendiamkan diri. Jangan hendak memandai-mandai menokok tambahkan lagi cerita. Lagipun ini kisah rumahtangga. Tak perlulah dikongsi dengan dunia luar. Biarlah disimpan sendiri sahaja.
            “Meen... mama kenal kamu.. Mama tahu yang kamu pasti akan bela Daim. Mama kenal dengan perangai perahsia kamu tu.. Kalaulah betul andaian mama yang kamu betul-betul tak bahagia, mama pasti akan rasa menyesal kerana mengahwinkan kamu dengan Daim...”
            “Ma... jangan cakap macam tuh..” Terus dipeluk ibu mertuanya itu. Menghalang seorang ibu dari terus mengutuk anak kandungnya sendiri sedangkan dalam hal ini, Daim langsung tidak bersalah. Semua kesalahan ini adalah berpunca dari dirinya sendiri.
            Perlahan-lahan Jazmeen melepaskan pautan. “Sebenarnya....” Jazmeen mula menarik nafas. Tidak sanggup rasanya membiarkan si ibu memikirkan yang bukan-bukan terhadap anak sendiri. Biarlah dia berterus terang. Kesalahan ini sebenarnya berada di dalam tanggungannya.
            “Meen...” Suara yang tiba-tiba mencelah itu membuatkan keduanya berpaling. Memandang ke arah Daim yang entah bila sudah berada di ambang pintu.
            Perlahan-lahan kakinya mula mendekat. Menghampiri kedua orang wanita itu. Seorang, mama yang paling dia sayangi. Yang sentiasa bersabar dengan karenahnya. Seorang lagi pula adalah wanita yang pernah dia cintai.... Bukan pernah tapi seorang wanita yang masih dia cintai. Tapi entah kenapa, segenap dari hatinya masih belum mampu untuk memaafkan kesilapan Jazmeen. Namun dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan memberitahu cerita sebetulnya kepada mama. Bimbang nanti wanita tua bimbang dan penuh kerisauan.
            Daim mula mengambil tempat di tengah-tengah dua orang wanita itu. Wajahnya mula berpaling ke arah mamanya.  Jazmeen sudah mula memejamkan matanya. Hatinya diserang sebak yang menggila. Mungkinkah Daim akan menerangkan letak duduk cerita yang sebenar? Adakah ini penghujung hubungan kami? Berpusu-pusu soalan menerjah ruang fikiran. Hingga nafas ikut turut berasa sesak.
            “Mama... janganlah fikir yang bukan-bukan. Saya dengan Meen okay je. Mama tu yang terlebih risau.” Dipaut bahu milik si ibu. Memujuk hati tua itu dari terus memikirkan tentang hubungannya dengan bersama Jazmeen. Sememangnya mama memang bijak menghidu. Sekilas ikan di laut, dia sudah dapat mengesan jantinanya. Seperti  mana mama dapat mengesan perubahan hubungan mereka. Salahnya juga kerana terlalu mengikut perasaan. Seharusnya dia memberikan sedikit lakonan agar tidak terus menyusahkan hati tua itu.
            “Daim... mama tahu korang ada sembunyikan sesuatu? Cuba jelaskan pada mama...” Paksa Puan Zakiah lagi.
            “Mama... tak ada apa-apa yang perlu dirahsiakan. Saya dengan Meen tak apa-apa. Kan sayang?” Daim mula menoleh ke arah Jazmeen yang berada disebelah kanannya itu. Mengharap agar si isteri dapat berbohong sedikit. Sekurang-kurangnya tolonglah berjasa sedikit untuk membantu menyembuhkan demam mamanya ini.
            “Dari tadi Meen cakap macam tu bang... Tapi mama yang tak nak percaya.” Jazmeen sedaya upaya menceriakan wajahnya walaupun payah. Apabila terpandangkan jelingan Daim, dia sudah mula rasa tidak enak. Pasti Daim marah dengan sikapnya yang cuba membuka pekung di dada.
            “Syukurlah kalau betul macam tuh. Mama nak kalian berdua bahagia. Hidup jadi suami isteri ni tak mudah. Tapi kalau ada sikap toleransi, sikap memahami, sikap tanggungjawab, pasti semuanya boleh berjalan dengan lancar. Kasih sayang tak boleh berlandaskan keegoan.. Kasih sayang bukan pada perkara lampau yang pernah terjadi, kasih sayang itu adalah apabila kita menerima pasangan kita seadanya.. Menerima kekurangan dia sebagaimana dia menerima kekurangan kita...” Perlahan sahaja nasihat Puan Zakiah itu menampar peluput telinga Daim dan Jazmeen. Seketika, mereka berdua terdiam sebelum Puan Zakiah memohon untuk berehat.
            Daim mula berjalan perlahan meninggalkan kamar peraduan mamanya ini. Kata-kata Puan Zakiah itu tadi seperti menghentak keegoannya. Perlahan dia berpaling ke belakang. Matanya menyambut mesra perlakuan si isteri yang sedang menyelimutkan mamanya itu. Ya.. harus diakui yang Jazmeen memang seorang menantu yang baik. Dan dia juga seorang isteri yang sempurna. Cuma dia mempunyai kenangan silam yang tak mampu Daim terima.
            Ya Allah, apa yang perlu aku buat sekarang? Fikiran Daim mula bercelaru. Memang hakikatnya, dia ingin menceraikan Jazmeen. Namun kenapa seluruh kurdratnya tidak merelakan perpisahan ini?
***
            Kehadiran Hajar di pejabat memang mengejutkan Daim yang baru sahaja selesai menghadiri mesyuarat. Tetap di ajak rakan isterinya itu masuk ke dalam pejabatnya. Tidak dapat tidak, dia sudah mula dapat mengagak punca kehadiran Hajar di pejabatnya ini. Pasti berkaitan dengan Jazmeen!
            “Ada apa kau cari aku? Cepat sikit... Aku ada banyak kerja nak kena settlekan..” Ungkap Daim. Mungkin kedengaran sedikit sombong. Tapi sebenarnya dia takut jika dia termakan umpan kata-kata Hajar. Dia mungkin tak kenal Hajar dengan baik... Tapi dari cerita-cerita Jazmeen, dia tahu yang Hajar bukan calang-calang wanita.
            “Aku nak tanya kau... Betul ke kau sayangkan Jazmeen?” Tanya Hajar terus kepada isi. Rasanya tidak perlu menggunakan mukadimah apabila berhadapan dengan lelaki seperti Daim ini. Fius-fius otak Daim perlu diperbetulkan. Apa dia ingat dia baik sangat agaknya!
            “Siapa yang suruh kau tanya soalan bodoh nih? Jazmeen ke?” Tangannya mula disilangkan ke tubuh. Matanya sinis memandang Hajar yang anggun mengenakan jubah hitam bercorak cantik itu. ‘Entah-entah minah ni pun kaki lesbian macam Jazmeen jugak!’ Fikiran kotor mula merasuk menggila di minda.
            “Jazmeen tak ada kena mengena dengan apa yang aku tanya. Dia tak tahu pun yang aku datang jumpa kau! Lagipun kau ingat Jazmeen jenis macam tu ke? Merayu pada aku supaya membantu selesaikan masalah dia? Kalaulah kau kenal isteri kau dengan baik Daim.... Semua ni tak akan jadi macam ni... Kau hanya ada cinta.. Tapi kau tak ada rasa untuk menerima kekurangan dia? Jadi boleh ke semua tu digelar cinta?” Bentak Hajar geram.
            Kadang-kadang dia sakit hati sendiri. Bagaimana Jazmeen boleh jatuh pada lelaki seperti Daim. Sinisnya memanjang... Malah Daim bukanlah seorang lelaki yang punya latar belakang yang baik. Jadi kenapa dia harus mempertikaikan kisah silam Jazmeen? Lelaki seperti ini memang tak pernah tengok cermin agaknya...
            “Aku rasa aku tak pernah cintakan dia... Itu semua kehendak nafsu.. Nafsu untuk memiliki yang terbaik.. Bukan dari rasa hati yang menjalar dari sebuah kasih yang bersulamkan cinta. Jadi tak pelik kalau tiba-tiba rasa sayang itu bertukar jadi benci.. Tak gitu?” Daim terpanggil untuk menyakitkan hati Hajar. Dia tidak suka apabila seseorang memandai melibatkan diri dalam alam rumahtangganya. Jika ada masalah, tak perlu ada orang luar nak masuk campur. Dia ada otak.. Dia boleh gunakan otak sendiri untuk selesaikan masalah ini.
            “Kau memang kejam Daim!” Hajar sudah mula mengepal penumbuk. Rasa seperti hendak tumbuk dengan lesung batu sahaja pada lesung pipit yang terserlah di pipi kanan Daim. Kalau dulu kelihatan menghangatkan, kini lesung pipit itu kelihatan menghangitkan!
            “Kau jangan nak tuduh sebarangan Hajar... Kawan baik kau tu lagi kejam! Dia yang permainkan cinta dan kasih sayang aku... Bukannya aku!” Rasa marah sudah tidak dapat dikawal. Dia benci dengan tuduhan melulu Hajar itu.
            “Ketika kau tak punya apa-apa, Meen sanggup terima kau apa adanya. Tapi di saat kau tahu ketidaksempurnaan dia, kau tinggalkan dia macam tu jeh... Itulah yang dinamakan kejam! Kenapa kau tak boleh nak terima dia macam mana dia terima kau dulu?” Sebak rasanya hati ini apabila mengenangkan Jazmeen. Namun Hajar terus menguatkan semangat.
            “Inilah yang aku maksudkan dengan kekejaman dia... Ketika aku mengakui ketidaksempurnaan aku, kenapa dia sendiri tak buka mulut untuk cerita kisah silam dia. Aku jujur mengaku yang aku ni hamba yang hina dulu.. Kenapa dia tak mengaku sekali? Biar kami sama-sama tahu tentang letak duduk cerita sebenar. Kenapa aku perlu tahu semua ni dari mulut orang lain?” Marah Daim dengan mata mencerlung.
            “Sebab dia tak mampu? Dia tak mampu nak jadi sejujur kau Daim... Itu kekurangan dia...” Luah Jazmeen perlahan.
            “Aku sakit hati bila aku kena dengar dari mulut orang lain... Aku sakit hati sebab aku tak rahsiakan apa-apa pun dengan dia... Tapi dia pulak berahsia dengan aku.. Dia tak percaya pada aku Hajar.. Dia tak percaya pada aku sebagaimana aku percayakan dia sedangkan aku ni suami dia. Kalau aku tahu awal-awal, aku tak akan terkejut macam ni... Aku terlalu kecewa dengan dia Hajar.. Terlalu....” Daim sudah mula terduduk di kerusi miliknya. Ya.. Dia terlalu kecewa dengan Jazmeen. Sekarang dia sendiri mengerti.. Bukan isu hina dan jelik yang menjadi persoalannya. Tapi isu kepercayaan pada pasangan. Daim sendiri baru sedar. Perkara ini yang membuatkan dia lebih marah terhadap Jazmeen.
            “Dia cuma terlalu takut untuk kehilangan kau Daim... Sebab tu dia pilih untuk merahsiakan.. Dia bukan nak menipu... Cuma dia memilih untuk berahsia.” Jelas Hajar lagi. Cuba memujuk Daim agar menerima Jazmeen kembali.
            “Sepatutnya antara aku dengan dia, tak ada rahsia lagi.. Rahsia ini hanya akan membina sempadan antara kami...”
            “Apa yang kau rasa sekarang ialah keegoan Daim. Jangan biarkan keegoan membasuh rasa cinta dan kasih tu. Jangan biar diri dihasut hawa nafsu dan syaitan Daim. Cinta itu adalah komitmen jiwa.. Tanpa jiwa, cinta itu akan kosong... Jangan sampai kau rasa kehidupan kau kosong jika kau bertegas untuk melepaskan Jazmeen hanya kerana ingin menangkan keegoan. Jangan biar diri rasa menyesal Daim... Sebab sesal itu adalah kesudahan yang paling menyakitkan...” Nasihat Hajar perlahan. Perlahan-lahan, dia mula angkat punggung. Sekilas dia berpaling ke arah Daim yang sedang terdiam itu. Barangkali sedang memikirkan penyudah dalam rumahtangganya.
            “Hidup ini punya waktu.. Hidup ini punya garisan untuk menjaga batasan manusia. Hidup ini tentang pilihan.. kerana Syurga dan neraka juga memilih penduduknya sendiri. Jadi terpulang kepada manusia sama ada hendak memilih ke arah kebaikan atau keburukan… Menanti dipilih Syurga atau neraka. Macam tu jugak dengan bahagia.. Kadang-kadang bahagia tu dah berada di tangan kita.. Cuma kita yang bertindak untuk melepaskan bahagia itu pergi. Jadi kalau lepas tu tak merasa bahagia, jangan pernah cuba untuk menyalahkan takdir sebab kita sendiri pernah diberi pilihan….” Mendalam kata-kata Hajar itu. Membuatkan Daim berfikir jauh. Matanya mula merenung kosong pemergian sahabat isterinya itu. Hatinya gundah lagi….
***
            Dari hujung jalan, dia melihat kelibat isterinya yang cantik mengenakan busana muslimah. Bentuk tudungnya itu sedikit terbuai apabila angin menampar lembut. Daim melihat Jazmeen melambaikan tangan  ke arahnya. Namun sedikit pun tidak disambut. Malah wajahnya sengaja dikelatkan.
            “Abang…” Laung Jazmeen kuat. Tanpa menghiraukan panggilan tersebut, Daim mula memulakan langkah ke depan. Langsung tidak mempedulikan suara itu.
            “Abang….” Panggil Jazmeen lagi.
            “Abang…..!” Suara itu nyaring berkumandang sambil disertakan dengan bunyi geseran kereta yang kuat. Apabila Daim berpaling, dia melihat sekujur tubuh isterinya sudah terlantar di tengah jalan. Seketika dia terpana dan terpaku!
            “Jazmeen!!!” Jerit Daim kuat. Terus dia mendapatkan tubuh isterinya yang sudah terkulai layu itu. Darah sudah mula mengalir di kepala Jazmeen. Air mata Daim mula menitis apabila melihat keadaan Jazmeen tika ini.
            “A…bang… maaf…kan…..Meen…” Tutur kata Jazmeen sudah mula tersekat. Seakan-akan member tanda bahawa nyawanya sudah mula sampai ke kerongkong.
            “Meen… jangan tinggalkan abang..” Saat ini, dia mula menyesal kerana membiarkan Jazmeen sendiri. Dialah yang bersalah kerana terlalu mengikut rasa hati yang bertuankan keegoan.
            Mata Jazmeen sudah mula kuyu. Badannya sudah mula layu. Semua ini membuatkan Diam bertambah berdebar. “Meen… jangan buat abang takut.. Jangan tinggalkan abang Meen..” Daim sudah mula menggongcangkan tubuh badan Jazmeen. Ingin mengejutkan Jazmeen dari tidur yang panjang.
            “Encik.. isteri encik ni dah tak ada…” Terang seorang lelaki yang agak tua di sebelahnya.
            “Meeennn!!!” Jerit Daim sekuat hati. Terus dipeluk erat tubuh Jazmeen. “Ya Allah.. tolong pulangkan dia di sisiku… Tolong pulangkan dia kepangkuanku…” Nyata, tika ini Imannya memang rapuh untuk menyambut ujian Ilahi.
            ‘Kan abang pernah cakap… Hanya Allah yang akan merampas cinta kita.. Izinkan Meen pergi bang..’ Terdengar bisikan halus di peluput telingannya.
            “TIDAK!!” Jerit Daim kuat. Nafasnya tercungap-cungap. Namun dia sedar… Dia tidak berada di atas jalan raya.. Dia sedang duduk di atas katil di biliknya. Rupanya dia baru terbangun dari mimpi yang mengerikan. Diraup wajahnya berulang kali. Menghalau kegelisahan yang berkampung di jiwanya. Matanya mula terpandangkan bahagian sisi katil yang kosong.
            ‘Mana Jazmeen?’ Hampir terlupa yang sudah beberapa hari mereka terpisah bilik tidur. Dia yang mahukan sebegini… Si isteri hanya mengikut kemahuannya. Lantas dia turun dari katil. Fokusnya adalah untuk mencari Jazmeen yang berada di bilik utama. Hatinya jadi sayu apabila matanya menangkap susuk tubuh Jazmeen yang sedang bersolat itu sedangkan jam sudah menunjukkan pukul empat pagi. Pasti Jazmeen bangun untuk menunaikan solat tahajud. Memang itu kebiasaanan yang dilakukan oleh Jazmeen.
            ‘Sekarang siapa yang tak layak untuk siapa?’ Daim mula tertanya-tanya sendiri.
            “Ya Allah… Berikanlah kami nikmat Iman. Agar kami dapat lebih mengenalMu.. Agar kami dapat melabuhkan cinta hanya untukMu.. untuk RasulMu.. cinta pada KitabMu.. Ya Allah, berikanlah kami nikmat kefahaman yang sebenar-benarnya… Fahamkan kami agar kami tidak tersasar di atas landasan syariatMu.. Fahamkan apa yang Engkau turunkan untuk umatMu ini.. Sesungguhnya aku sedar bahawa ujian dan cobaan ini adalah nikmat supaya aku akan terus mengingatiMu melebihi segala sesuatu di dunia ini.. Sesungguhnya, hanya padaMu aku bermohon dan meminta pertolongan…”
            Usai berdoa, terus Jazmeen meraut wajahnya. Hatinya sudah mula beransur tenang. Mula berpaling untuk setia pada yang satu. Apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata.. dia termasuk dalam kategori manusia luar biasa. Kerana jiwanya dengan Tuhan sahaja. Harta indah di pandangan mata, megah pada nafsu yang membara tetapi menyesal bila di hitung di akhirat sana. Derita hiba di jiwa, merana linangan air mata tetapi bahagia bila menghadapi dengan penuh kesabaran dan penuh redha. Beruntung sungguh manusia yang sebegitu. Jadi. telah dia serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, Dialah sebaik-sebaik yang menyusun segala percaturan.
            Daim sudah tekad! Dia sudah menemui jawapan kepada persoalannya.
***
            Jazmeen mengerling jam dipergelangan tangan. Hampir menunjukkan angka enam petang. Kebiasaanya, dia sudah berada di rumah kala ini. Menanti kelibat Daim yang sekarang sudah mula pulang lewat. Apabila ditanya, hanya herdikan yang dia terima. Namun tetap disabarkan hati. Daim kembali tinggal di rumah itu pun dah cukup baik. Itu lebih baik dari mereka terus berjauhan.
            Hampir sebulan hidup begini, dia mula rasakan kekosongannya. Namun dia terima semuanya dengan hati terbuka. Jazmeen sedar bahawa waktu inilah masa yang sesuai untuk dia pertajamkan keimanannya terhadap Allah. Allah menguji manusia.. Dan manusia itu haruslah tahan ujian. Sesungguhnya dunia ini bukan dicipta untuk menikmati kebahagian semata-mata.
            Tiba-tiba badannya terdorong ke belakang apabila lengannya direntap kasar dari arah belakang. Matanya membulat apabila memandang kelibat Jo yang sedang berdiri di hadapannya ini.
            “Jo.. Apa yang kau buat ni?” Terus ditolak tubuh Johariah. Apa lagi yang manusia ini mahukan? Tak puas-puas lagikah Jo merosakkan rumahtangganya?
            “Aku rindukan kau Meen…” Rayu Jo sambil mengecilkan matanya. Dia cuba untuk melupakan Jazmeen. Tapi dia memang tidak dapat menolak keinginannya untuk memilik Jazmeen. Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk menggugat keimanan Jazmeen setelah rumah tangganya bergoyang hebat.
            “Kau tak kenal erti taubat ke Jo? Kau tak takut Tuhan?” Tanya Jazmeen pelik? Sampai bila Jo hendak mempertahankan ilmu songsang ini?
            “Peduli apa dengan semua tu.. Meen.. aku tahu kau pun rindukan aku.. Aku tahu Daim dah tinggalkan kau.. Mari aku sajikan keinginan kau yang ditinggal sepi tu…” Pujuk Jo lagi. Sumpah, Jazmeen rasa loya mendengarnya. Kalau tak mengenangkan yang dia sedang mengenakan baju kurung tika ini, mahu sahaja disepak mulut Jo yang bercakap tak fikir langsung itu.
            “Kau jangan sampai aku main kasar Meen… Kau nak ikut cara baik ke atau kau nak aku gunakan kekerasan?” Jo sudah mula mengugut. Dia tidak boleh bersabar lagi melayan kedegilan Jazmeen.
            “Aku sanggup mati daripada terhumban dalam kancah maksiat kaum sejenis! Dulu aku pernah tertewas…. Tapi bukan sekarang Jo… Dan bukan untuk masa akan datang jugak. Aku tak akan buat lagi kerja terkutuk tuh!” Jazmeen tersangat pasti dengan jawapannya. Namun Jo nyata berang lantas terus menarik lengan Jazmeen supaya mengikutinya.
            “Lepaslah…” Jerit Jazmeen kuat. Namun siapa yang boleh mendengar jeritanya ini? Mereka sedang berada di kawasan parking di tingkat bawah. Tidak nampak pun kelibat manusia yang lain.
            Secara hakikatnya, mungkin Jo adalah seorang wanita. Namun kudratnya memang hampir menyerupai seorang lelaki. Sambil mengucapkan bismillahirahmanirahim, Jazmeen terus merentap kasar tangannya. Dan nyata usianya langsung tidak sia-sia. Baru sahaja dia ingin berlari pergi, tudungnya telah ditarik kasar oleh Jo.
            “Kurang ajar…” Jo yang bengang terus ingin menumbuk wajah Jazmeen namun tanpa disangka, telah dihalang oleh seseorang.
            “Sekalipun aku tak pernah mengasari dia… Jadi jangan harap aku akan benarkan kau pukul dia. Malah kalau seinci pun kau cuba mendekat, aku akan kerjakan kau cukup-cukup betina!” Jerkah Daim kasar.
            Terus dibawa tubuh isterinya agar berlindung di belakangnya. Mujurlah Allah mengerakkan hatinya untuk datang ke sini. Jika tidak, tak tahulah apa yang akan terjadi pada isterinya.
            Jazmeen memejamkan matanya rapat-rapat. Bersyukur dengan kehadiran Daim tika ini.
            “Kau jangan jadi dayuslah Daim… Kau sanggup ke nak terima perempuan hina macam Meen ni?” Jo sengaja mahu mengucar-kacirkan pemikiran Daim. Bengang dengan keharian Daim yang tiba-tiba itu. Namun dia silap, cinta Daim sudah tidak serapuh itu.
            “Kalau aku dayus pun, sekurang-kurangnya aku jantan.. kau tu nak bergelar dayus pun tak boleh.. Apatah lagi nak pegang title jantan! Eh, kau tu tak malu ke? Kau tu betina… Buat cara betina… Kalau dah gian sangat, pergi cari orang lain. Bukan bini aku! Aku dah cukup bagi dia nafkah zahir batin… kau tak perlu nak jadi watak tambahan..Ini amaran aku yang terakhir ya… Sekali lagi kalau kau berani muncul depan isteri aku, aku cincang kau sampai lumat!” Keras amaran Daim. Dan dia memang memaknakan kata-katanya.
            Mengalir air mata Jazmeen apabila melihat si suami yang bertungkus lumus mempertahankan seorang isteri. ‘Ya Allah, selamatkanlah rumahtanggaku…’
            “Meen pasti akan cari aku balik… Masa tu kau akan kecewa…” Belum habis ayat itu, sebuah tumbukan mula mendarat di bibir Johariah.
            “Sekali lagi kau cakap macam tuh, aku bunuh kau!” Kali ini Daim sudah tidak betah untuk bersabar. Kalau sekali lagi mulut itu berani bersuara, dia tak akan segan-segan untuk angkat kaki pula.
            “Meen tak apa-apa?” Tanya Daim apabila Jo bertindak untuk terus melarikan diri. Daim dapat merasakan bahang ketakutan milik Jazmeen. Apabila tangan mulus digengam, nyata tangan itu menggeletar hebat.
            Air matanya melurut jatuh. Seakan-akan tidak percaya bahawa suaminya sudah kembali. Kembali seperti sedia kala. “Jangan takut.. Abang ada… Abang akan lindungi Meen..” Terus dipeluk tubuh badan isterinya itu. Diusap perlahan belakang badan Jazmeen. Menghalau ketakutan yang menjelma.
            “Ish… jangan nangis lebih-lebih… Kat sini abang tak boleh pujuk guna skil lapan belas sx.. Nak nangis lebih-lebih dekat rumah ya..” Usik Daim sambil mengelap permata jernih itu. Memang ternyata, dia teramat rindukan semuanya tentang Jazmeen. Syukur kerana Allah masih member kesempatan kepadanya untuk memilih jalan ini.
            “Apalah abang nih…” Malu Jazmeen dibuatnya. Tapi dia mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana telah memulangkan suaminya semula.
            “Jom balik…”
            “Meen drive kan…” Jazmeen mula mengingatkan suaminya apabila Daim menarik tangannya agar mengikutnya ke kereta Honda Harriernya.
            “Tak apa.. Kereta tu tinggal je kat sini. Esok ambil cuti… Abang nak bayar hutang-hutang yang tertunggak…” Gurau Daim selamba.
            “Abang nih kan…”
            “Hah, abang suka tengok muka malu-malu Meen nih… Sangat menggoda…” Daim terlalu rindukan senda gurau seperti ini. Harapnya, selepas ini dia akan lebih matang ketika menerima cubaan dari Allah.
            “Jangan nak mengadalah…” Jazmeen berpura-pura marah. Daim terus membukakan pintu kereta di bahagian penumpang.
            “Sekarang mengada.. Malam karang bermanja..” Dicubit pipi kanan Jazmeen. Hingga merah jadinya. Akhirnya mereka sama-sama tersenyum. Senyuman yang penuh makna. Seakan-akan terlupa segala masalah yang membelenggu hubungan mereka dahulu.
***
“Ya Allah.. bila dia jauh dariku.. dekatkanlah dia kepadaMu.. Kukuhkanlah ikatan hati kami dalam melewati redhaMu.. Pautkanlah hatiku dengan hatinya yang sama-sama mengharap dan mendamba sebuah keinginan menuju SyurgaMu..”
“Ya Allah, Yang Maha Pencinta, wahai pemilik cinta sejati, jikalau cintaku kau ciptakan untuk dia.. maka tabahkanlah hatinya.. Teguhkanlah Imannya.. Tegarkan penantiannya.. Ya Allah, jikalau hatikuu Engkau ciptakan untuk dia, penuhilah hatinya dengan kasihMu.. Terangilah langkahnya dengan cahayaMu.. Limpahkanlah kelapangan dikalbunya dengan kesabaran dan temani dia dalam kesepian…”
“Ya Allah… tiada tempat ku bersandar selain padaMu.. Kutitipkan cintaku padaMu untuknya.. Kutitipkan sayangku padaMu untuknya.. Kutitipkan rinduku padaMu untuknya.. Mekarkanlah cintaku bersama cintanya. Satukanlah hidupku dan hidupnya dalam cintaMu..”
“Ya Allah… kirimkan dia yang membawa kebaikan, baikbagi duniaku, akhiratku dan agamaku. Agar kami sama-sama berjamaan untuk tetap menujuMu.. Bimbinglah kami… Kuatkan hati kami.. Sesungguhnya hanya padaMu kami bermohon dan berlindung.”
Menitis air mata Jazmeen tika mengaminkan doa-doa suaminya. Betapa suaminya sentiasa bersedia menyempurnakan imannya dari sehari ke sehari. Syukur kehadrat Ilahi kerana Dia mempermudahkan urusan hamba-hambanya.
“Maafkan abang… kerana abaikan Meen.. kerana layan Meen dengan kasar.. Tapi abang beruntung sebab Meen masih setia menunggu abang. Abang bertuah kerana Allah masih memberikan abang kesempatan untuk memperbaiki kesilapan abang. Maafkan abang Meen.. Saat Meen mampu menerima kekurangan abang, abang tak mampu nak lakukan perkara yang sama untuk Meen…” Dipeluk kejap tubuh badan Jazmeen. Erat bagai tidak ingin dilepaskan langsung. Ubun-ubun si isteri mula dikucup lembut. Melahirkan rasa kasih yang tak jemu menjengah.
“Meen yang salah… Meen kotor…”
“Syuhh…. Jangan cakap macam tu Meen.. Abang dah tak mahu dengar pasal kisah silam lagi. Kita berdua masing-masing ada masa silam yang kelam. Jadi biarkan semalam itu berlalu begitu sahaja… Apa yang kita ada adalah waktu sekarang dan masa depan bersama. Abang tak mahu dengar cerita-cerita yang lepas. Bagaimana, kenapa Meen terlibat dalam perkara tu, abang langsung tak nak ambik tahu. Apa yang abang tahu, abang ada Meen… Meen akan kekal sebagai isteri abang.. Di dunia wahal di akhirat nanti.” Tutur Daim sungguh-sungguh.
“Terima kasih bang…” Tanpa teragak-agak, Jazmeen mencium pipi suaminya.
“Aik.. tak kan dapat kiss je?” Senyuman Daim sudah mula kelihatan nakal. Matanya tidak habis-habis melirik ke arah si isteri. Dia tahu yang Jazmeen mengerti akan renungannya ini.
“Cukuplah untuk hari nih…” Jazmeen cuba buat lawak. Dia sentiasa gabra ketika berhadapan dengan emosi sebegini. Lantas dia bangun dan menanggalkan telekung.
“Nope… Kan abang cakap tadi, abang nak bayar hutang-hutang abang yang tertunggak.. Wahai isteriku, sudikah kau bersamaku hingga ke Syurga?” Daim sudah melutut di hadapan Jazmeen yang sedang menyangkut telekung di penyidai yang sedia ada.
“Sudi abang… melodi kasih Meen hanya diperuntukkan untuk abang seorang sahaja..” Jazmeen menyambut huluran suaminya itu. Hatinya tidak sudah-sudah melafaskan rasa syukur. Allah masih memberikan perhatian di dalam rahmat kasih sayangNya.
Kebahagiaan ada untuk mereka yang menangis… Kebahagiaan ada untuk mereka yang telah disakiti…Kebahagiaan ada untuk mereka yang telah mencari dan telah mencuba… Kerana merekalah yang bisa menghargai, betapa pentingnya orang yang telah menyentuh kehidupan mereka…

Pesanan Penaja,,,
‘rasa macam tak percaya… cerpen ini ternoktah di page 103…. Sempena ramadhan ini, harap2 cerita ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua… insyaAllah, saya nak novelkan cerpen ini… nak combine dengan cerpen Cinta Kelas Pertama.. jadi buat masa ini, bacalah sampai lebam sebelum saya private kan.. Ngee.. anggaplah ini satu hadiah buat penyokong2 yang sudi menjenguk di blog yang bersawang nih… kalau buat novel, korang stay nak beli kan?? Hahaha… selamat menjalani ibadah puasa n moga selamat meninggkatkan amal ibadat di bulan penuh barakah ini.. lebiu u allzzz much-much..’