Wednesday 29 February 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [SINOPSIS]


Kisah ini menceritakan tentang sepasang kembar seiras yang berlainan pendapat, berlainan perangai, berlainan serba-serbi tapi mempunyai kasih sayang yang erat. Bagi Faraneesha, adik kembarnya itu adalah sumber kekuatannya! Bagi Farafeesa pula, kakak kembarnya itu adalah kelemahannya.

Kisah cinta Farafeesa bermula begini....  

Cerita cinta bermula apabila Ezrakil yang merupakan majikan Farafeesa mula terpesona dengan tingkah Farafeesa. Kedegilan Farafeesa, kecantikan Farafeesa, kelincahan Farafeesa mencairkan hati lelakinya. Namun dia sedar yang hati Farafeesa tersangatlah liat! Tanah liat pun boleh dilentur namun sikap keras Farafeesa sukar ditebak!
“Saya cintakan awak Feesa... dan saya mahu menghabiskan baki kehidupan saya bersama dengan awak seorang je...” Masa seakan-akan terhenti tika Ezrakil meluahkan rasa hatinya.
“Tapi saya tak cintakan Encik Ezrakil....” Tolak Farafeesa terus. Dia tidak mahu terus menyimpulkan rasa hati yang sudah sedia tersimpul. Hubungan ini memang tidak akan pernah menjadi. Kerana Farafeesa mengidap penyakit yang boleh membawa maut! Dia tidak mahu memperjudikan hidup Ezrakil! Cinta ini tak akan ada kesudahan yang baik, jadi tidak perlu dipanjangkan lagi cerita ini!

Kisah cinta Faraneesha pula lain bentuknya.
            Rasa hati Faraneesha telah dirantai dengan cinta Luqman. Bagi Faraneesha, Luqman adalah segala-galanya. Lelaki itu terlalu istimewa. Dunia terasa seperti milik mereka. Namun pemergian Luqman secara tiba-tiba itu melumpuhkan jiwa Faraneesha. Lantas dia terhumban dalam lautan kesedihan yang tidak terperi.
"Selamat tinggal sayang.. Saya tahu ini menyakitkan, meninggalkan luka yang mendalam, tapi saya tahu awak pasti bertahan. Hidup bukan untuk bersedih. Awak hanya harus memilih.... Meski harus menahan pedih.. Saya tahu awak mampu...” Terdengar satu bisikan lembut di telinganya. Air mata Faraneesha menitis lagi.
Kemunculan Nazreen yang menyerupai Luqman itu membuatkan hidup Faraneesha tunggang-langgang. Kucar kacir tanpa arah yang pasti. Entah kenapa, walau sejauh mana dia melarikan diri, langkah kaki mereka akan dibawa ke tapak yang sama.
“Neesha... hati ni.... hati ni.. terlalu rasakan cinta awak. Kenapa awak perlu menidakkan perasaan awak sendiri? Awak dan saya saling mencintai antara satu sama lain! Jadi kenapa kita perlu melarikan diri dari bayang-bayang sendiri! Awak tak penat ke main lari-lari macam ni? Ataupun awak memang suka saya terkontang-kanting sendiri tanpa jawapan yang pasti! Dan awak tahu tak sesuatu? Bila awak memutuskan untuk menolak cinta saya,.... semua itu hanya  akan lebih melukakan hati awak sendiri!” Marah Nazreen. Faraneesha terhimpit sendiri.

Mampukah Cinta menyatukan mereka...???
Ezkakil dengan sikap mendesaknya, Farafeesa dengan keras hatinya, Luqman dengan ketenangannya, Faraneesha dengan kenangannya dan Nazreen dengan perasaannya!

Pemergian Luqman membuatkan Farafeesa ingin menjodohkan Faraneesha bersama Ezrakil. Namun kemunculan Nazreen yang menyerupai bayangan Luqman membuatkan cerita ini mula menjadi terbalik. Mampukah Ezrakil memenuhi permintaan Farafeesa? Adakah Faraneesha akan menerima amanat dari adiknya? Layakkah Farafeesa menyatukan kasih yang tidak pernah ada? Dapatkah Nazreen merungkai rasa hatinya sendiri? Diperangkap, terperangkap, memerangkap, terpaksa, dipaksa dan memaksa membuatkan mereka penat dalam mengejar rasa cinta.

‘Kalaupun cinta itu milik kita, takdir tak semestinya akan berpihak pada kita...’

Cinta Untuk Sedetik Lagi bakal merungkai segalanya....

p/s:::: apa perasaan korang bila baca sinopsis ni?? hehehee

Thursday 23 February 2012

DIALAH DIHATIKU


Coklat adalah sangat manis jika dinikmati secara perlahan-lahan seperti cinta yang dianugerahkan oleh Allah supaya kita dapat menikmati kemanisannya dan menghargai pasangan kita dengan setulus hati.
Tetapi cinta juga akan mejadi tawar apabila hati sudah berpaling dari setia pada yang satu. Seperti hilangnya kemanisan coklat akibat dikunyah dengan gigi sehingga hilang kelazatannya.
Mulut suzie berhenti menguyah coklat Cadbury kesukaannya. Hatinya tiba-tiba dilanda kerisauan yang tidak diundang. ‘Adakah kasih dan cinta Nazmi padanya akan beralih arah.’ Hatinya bermonolog sendirian. Sungguh, dia tidak sanggup membayangkannya apatah lagi untuk menghadapinya.
“Hah!!!” Jerkah satu suara yang sangat dia kenali. Siapa lagi kalau bukan kekasih hati pengarang jantungnya. Suzie menghadiahkan satu jelingan tajam. Bengang kerana diterjah secara tiba-tiba dan malu menghinggap diri kerana ditangkap sedang berangan.
“Suka buat orang terkejut.” Ujar Suzie berpura-pura marah. Nazmi terkekeh ketawa melihat rajuk buah hatinya.
“Tulah, berangan sampai tak ingat dunia.” Perli Nazmi latas mengambil tempat di sebelah Suzie.
“Siapa yang berangan?” Soal Suzie pura-pura tak tahu. Dengan selamba dia menyambung kunyahan yang tergendala. ‘Macam manalah aku boleh tak perasan yang mamat ni dah datang. Eee, malu jew kalau dia tahu yang aku tengah ingatkan dia.’
“Tu hah, mak cik yang jual air tu yang tengah berangan. Tengah ingatkan laki dia kowt.” Selamba sahaja Nazmi membuat kesimpulan. Mukanya memang tangkap serius.
‘Aku masih tak sure sama ada mamat ni betul-betul tengah serius atau tengah berlakon. Nampaknya, aku perlu lebih peka dalam menilik wajahnya.’ Guman hati kecilnya.
“Dah puas dah tengok aku. Asal, hari ni aku nampak lebih hensem ke?” Merah muka Suzie menahan rasa malu. Mahu sahaja dia hilang secara tiba-tiba. ‘Macam manalah aku boleh leka sangat tadi. Syok sangat tengok buah hati. Hehehe..’
“Alah, bukan luak pun.” Balasnya tidak mahu kalah. Dia melarikan pandangan matanya dari memandang ke arah Nazmi.
“Zie, kau nampak lebih manis bila malu-malu macam ni.” Usik Nazmi lagi. Dia tidak suka kenakan buah hatinya namun dengan cara beginilah mereka dapat bermanja. Tak kanlah nak serius dua puluh empat jam.
“Kau ni suka kenakan aku kan.” Bentak Suzie. Namun suaranya masih kedengaran manja di pendengaran Nazmi.
“Mana ada. Aku tak suka kenakan kau sebab…” Kata-katanya terhenti. Dia mahu melihat respon daripada Suzie.
“Sebab apa?” Cepat-cepat Suzie bertanya. Matanya tidak lepas dari memandang lelaki yang duduk di sebelahnya itu.
“Sebab aku suka dan sayang pada kau. Sebab yang simple dan relevan.” Jawapan yang keluar dari mulut Nazmi membuatkan muka Suzie merona kemerahan. Hubungan mereka sudah hampir menjangkau dua tahun, namun malunya masih menebal bila Nazmi mengucapkan kata cinta.
“Kenapa kau senyap? Kau tak suka aku cakap macam tu? Kalau kau tak suka, aku janji tak buat lagi.” Ujar Nazmi. Walaupun hubungan mereka adalah pasangan kekasih, mereka tetap memilih untuk membahasakan diri ‘aku’ ‘kau’ sahaja. Rasa lebih selesa dan lebih dekat antara satu sama lain.  
“Ada aku cakap yang aku tak suka?” Soal Suzie kembali. Dia tidak mahu jika Nazmi tersalah faham dengan sikapnya. ‘Siapa yang tidak suka mendengar kata-kata manis dari buah hati sendiri. Kalau boleh, nak dengar selalu tau. Tak payah cakap benda lain pun tak pe. Hehehe Tapi nak buat macam mana, tahap malu aku ni tinggi sangatlah. Kau pun kenalah faham. Aku tak ada pengalaman bab-bab cintan ni. Bukan macam kau.’ Bisik hati kecilnya.
“So, kau sukalah ni.” Sengaja Nazmi ingin mengusir malu yang bertapak dalam diri Suzie.
“Suka sangat.” Jawab Suzie sambil meleretkan nada suaranya. Ala-ala manja gitu. Nazmi tersenyum mesra. Dia tahu Suzie tidak pernah bercinta sepertinya yang merupakan kaki perempuan. Dia berasa sangat bersyukur mengenali perempuan bernama Suzielawati ini. Gadis pertama yang dapat membuka mata hatinya tentang cinta.
            “Hmm, dah tahap kritikal penyakit kau ni. Tapi jangan risau, aku ada ubatnya.” Kali ini Nazmi mengenyitkan matanya sambil tersenyum nakal.
“Ubat apa?” Tanya Suzie terpinga-pinga. Tidak dapat menangkap kata-kata Nazmi.
            “Kita kahwin.” Senang sahaja lagaknya menutur kata. Tetapi hanya Allah yang tahu beban debaran yang ditanggung. Sungguh, memang dulu dia mempunyai ramai teman wanita. Namun tidak pernah sekalipun dia berniat untuk melamar secara serius.
            Tercengang Suzie mendengar kata-kata yang terbit dari mulut Nazmi. Sunggguh dia terkejut bercampur teruja. Yang pasti, dadanya kuat menahan getar.
“Kau tengah melamar aku ke?” Nada suaranya sengaja dikawal. Dia takut kalau-kalau Nazmi hanya berniat untuk mengusiknya.
“Kau ingat aku main-main ke?” Soalan Suzie dibalas dengan soalan juga. Dia tahu, mesti Suzie fikir yang dia sedang memainkannya.
“Kau ni tak romantik langsung. Orang melamar biasanya ada cander light dinner, ada muzik yang sentimental dan yang paling penting ada cincin. Macam tu barulah tanda sedang melamar.” Suzie tergelak kecil. Sengaja dia ingin menguji Nazmi. Dia tidak kisah pun jika tidak ada semua tu kerana yang penting ialah keikhlasan.
 “Sayang, semua tu cara lelaki yang playboy je. Kenapa, kau tak percaya ke yang aku memang tengah melamar kau?” Soalan Nazmi hanya dibalas dengan anggukkan dari Suzie.
            Tiba-tiba Nazmi mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sebuah kotak baldu berwarna merah. Dia menghulurkan kotak itu kepada Suzie. Suzie menyambutnya dengan tangan yang mengeletar.
“Untuk aku?” Soalan yang sangat bodoh untuk ditanya. Namun lidahnya seakan-akan kelu untuk menuturkan kata. Matanya tidak lepas dari memandang sebentuk cincin yang berada di dalam gengamannya.
“Kalau kau sudi.” Jawab Nazmi mesra. Matanya tidak lepas dari memandang seraut wajah milik Suzie. Wajah itulah yang sering membuatkan tidurnya terganggu. Dan kerana Suzie jugalah dia dapat merasai nikmat cinta yang dulu hanya merupakan satu mimpi.
            Suzie menghulurkan kotak cincin itu kepada Nazmi. Dia tahu, perlakuannya akan mengundang salah faham Nazmi. Dia menghadiahkan senyuman manis. Ternyata, Nazmi terkejut melihat dia memulangkan semula cincin yang diberi.
“Kau tak sudi untuk jadi isteri aku?” Cincin yang dihulur sengaja dibiar tidak bersambut. Dia tidak sangka bahawa Suzie membuat keputusan untuk menolaknya. Sungguh, situasi begini tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Ada aku cakap macam tu?” Sengaja dia ingin bermain tarik tali. Tangannya sudah lenguh menghulurkan cincin yang masih belum disambut oleh Nazmi.
“Tolonglah jangan jawab soalan aku dengan soalan.” Tutur kata Nazmi sudah tidak setenang tadi. Nadanya sedikit keras. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah Suzie. Hatinya terkilan. Rupa-rupanya selama ini dia sekadar bertepuk sebelah tangan.
“Tolong ambil dulu cincin ni dan aku akan jawab semua soalan kau.” Ujar Suzie sambil cuba menyembunyikan senyuman. ‘Cuak jugak kau yerk.’ Desis hati kecilnya. Lambat-lambat Nazmi menyambut kotak baldu berwarna merah itu.
“Kau bagilah cincin tu pada mak kau.” Tutur Suzie sambil memandang sekilas ke arah Nazmi. Hatinya berdebar untuk menyambung kata.
“Kenapa pulak aku nak bagi cincin ni pada mama, aku bukan nak kahwin dengan mama tapi aku nak kahwin dengan kau.” Entah mengapa tetapi dia betul-betul kecewa dengan tindak balas Suzie. Baru tadi rasanya dia menganyam impian indah bersulamkan cintanya pada Suzie. Namun impian itu terhenti dengan reaksi negatif dari Suzie.
Kata-kata yang terbit dari Nazmi itu meletuskan tawa dari mulut Suzie. ‘Gelojoh jugak mamat ni. Selalunya control macho je tapi bila tiba bab ni gelabah jugak kau yerk.’
“Zie, janganlah main-main. Aku serius ni.” Dalam hatinya dia berharap yang Suzie sengaja memainkannya. Itu adalah lebih baik dari terus terluka ditolak oleh orang yang amat dicintainya.
“Kau dah salah faham sebenarnya. Aku tak pakai cincin tu sebab aku nak suruh kau bagi pada mak kau. Supaya mak kau dapat bagi cincin tu pada mak aku.” Ujar Suzie malu-malu sambil melarikan pandangan ke arah lain.
Nazmi tercengang mendengar kata-kata yang keluar dari mulut buah hatinya. ‘Ya Allah, kenapalah aku fikir yang bukan-bukan tadi. Buat malu je. Kalau tahu dek orang ni, sepuluh tahun akan datang pun orang masih akan gelakkan aku.’
“Nakal yerk.” Suzie menyambut kata-kata yang keluar dari mulut Nazmi dengan tersenyum senang. Dalam hati, dia mengucapkan syukur di atas rahmat Allah ini.
“Tunggu apa lagi, jomlah kita jumpa mama.” Nazmi sudah mula berdiri. Pandangan matanya dihalakan ke arah Suzie yang nyata terkejut dengan reaksinya yang membuat keputusan secara tiba-tiba.
“Tak kan sekarang?” Soalnya sambil turut berdiri. Walaupun dia sudah biasa berjumpa dengan mama Nazmi namun dia masih menyimpan rasa segan apatah lagi mama Nazmi hanya mengetahui bahawa mereka sedang berkawan dan bukannya berkasih.
“Habis tu nak tunggu tahun depan. Abang dah tak tahan ni.” Usik Nazmi sambil tergelak besar apabila melihat air muka Suzie yang merona kemerahan.
“Eee, tak senonoh betullah. Kalau pergi sekarang pun, bukannya boleh kahwin terus.” Balas Suzie berpura-pura marah.
“Kalau nak kahwin terus kena pergi pejabat kadilah. Hmm, bagus jugak cadangan tu kan.” Nazmi hanya mampu menjerit apabila tangan Suzie mencubit lengannya.
“Itulah ubatnya untuk orang yang gatal.” Marah Suzie sambil bercekak pinggang. Merah mukanya menahan malu. Hatinya bertambah sakit apabila melihat Nazmi yang mengekek ketawa.
“Ish, garang betullah bakal isteri abang ni. Ini yang membuatkan abang makin sayang dan tak ta…” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, cubitan Suzie sudah merayap di sekitar badannya. ‘Aduh, bisanya macam ketam.’ Ngomel hatinya.
“Nak cakap lagi?” Tangan Suzie berhenti mencubit apabila mendengar suara Nazmi yang mengaduh kesakitan.
“Lepas kahwin nanti abang tahu lah macam mana nak buat kalau sayang cubit-cubit abang lagi..” Bagai mahu tersembul mata Suzie mendengar ayat yang keluar dari mulut Nazmi.
“Okay, okay… aku surrender.” Nazmi mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda beralah. ‘Hah, tahu takut.’ Suzie tersenyum dalam hati.
“Kau betul-betul nak buat tentang apa yang cakap tadi?” Soal Suzie kebimbangan. Takut juga kalau Nazmi betul-betul mahu membawa dia berjumpa dengan mak cik.
“Maksud kau rancangan yang bawa jumpa mama or tentang lepas kita kahwin kalau kau cubit aku lagi tu?” Soal Nazmi masih ingin terus menyakat. Suzie menarik muka masam. Namun, hanya tuhan yang tahu betapa bahagianya dia saat ini.
“Janganlah buat muka macam tu. Karang aku tarik balik lamaran aku tadi. Hehehe..” Suzie mengigit bibir sambil menahan rasa.
“Biar aku balik dulu bincang dengan mama. Nanti baru kita tetapkan masa yang sesuai. Boleh kan sayang?” Ujar Nazmi sambil memohon persetujuan dari Suzie.
Suzie hanya membalas dengan anggukkan. Tidak berniat pula untuk membantah. Dia berdoa dalam hati agar Allah permudahkan jalan bahagianya bersama seorang lelaki yang bernama Nazmi.

***
            Sudah seminggu dia terputus hubungan dengan Nazmi. Telefon tidak berjawab, mesej tidak dibalas. Apabila dia menelefon pejabat Nazmi, setiausahanya mengatakan yang Nazmi outstation. Masakan Nazmi Outstation tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
Telefon rumah juga tidak diangkat. Ingin sekali dia menapakkan kaki di rumah mama Nazmi. Tapi dia bimbang jika Puan Safiah memikirkan yang bukan-bukan. Dia sendiri masih belum tahu sama ada Nazmi sudah memberitahu Puan Safiah tentang hubungan mereka atau belum. Buntu kepala otaknya memikirkan tentang Nazmi. Sebelum ini, lelaki ini tidak pernah berperangai sebegini.
Baru minggu lepas Nazmi melamarnya. Adakah Nazmi tiba-tiba berubah fikiran dan mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan kami. Sedang asyik dia melayan perasaan, tiba-tiba interkomnya berbunyi.
“Cik Suzie, ada seorang wanita ingin berjumpa.” Lembut sahaja suara setiausahanya menampar gegendang telingannya. Suzie memegang kepalanya. Dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan sesiapa di waktu ini.
            “Kan saya dah cakap yang saya tak nak jumpa sesiapa hari ini.” Lesu sahaja suaranya. Dia betul-betul rasa tidak bersemangat.
            “Tapi, Puan Safiah cakap dia perlu berjumpa dengan Cik Suzie kerana ada hal mustahak yang perlu dibincangkan.” Hampir tersentap dia apabila mendengar nama mama Nazmi.
            “Suruh dia masuk.” Arah Suzie. Tiba-tiba ada debaran yang bertandang. Sekilas dia memandang ke arah cermin sambil membetulkan tudungnya. ‘Nak jumpa mak mertua, imej kenalah jaga babe.’ Ngomel hatinya
“Suzie apa khabar?” Itulah soalan pertama Puan Safiah apabila dia melangkah ke dalam pejabat Suzie. “Baik mak cik.” Jawab Suzie ceria sambil bersalaman dengan Puan Safiah. Mata Puan Safiah tidak berkelip memandang Suzie.
            Sejak pertama kali lagi, dia sudah berkenan dengan Suzie. Akhlaknya seindah rupa yang dimiliki. Sangkanya, mereka berdua hanya berkawan namun dia betul-betul terkejut apabila Nazmi menyatakan hasratnya untuk mengahwini Suzie.
 “Sebenarnya, mak cik datang ni ada hajat. Maaflah sebab datang mengganggu.” Belum sempat lagi mereka duduk, Puan Safiah sudah memulakan mukadimah.
            “Menyusahkan mak cik je. Lain kali, kalau ada apa-apa, mak cik boleh telefon je saya. Biar saya datang ke rumah.” Tuturnya sambil tersenyum lembut. Namun, hatinya tiba-tiba rasa berdebar. Melihat senyuman hambar milik Puan Safiah, dia dapat agak ada sesuatu yang tidak kena.
            “Suzie, sudi tak kamu jadi menantu mak cik. Isteri kepada Naim.” Soalan Puan Safiah bagai menyesak dada Suzie. Nasib baik dia sedang duduk, kalau tidak pasti dia sudah terjelupuk di atas lantai.
            “Apa yang mak cik cakap ni. Saya tak faham?” Ya.. Dia memang tidak faham dengan situasi yang melanda dirinya sekarang. Kehilangan jejak Nazmi, kedatangan Puan Safiah ke pejabatnya secara tiba-tiba dan tentang lamaran untuk menjadi isteri Naim. Abang Nazmi sendiri.
            “Naim sukakan Suzie. Dah lama dia bagi tahu mak cik tentang perkara ni.” Ujar Puan Safiah. Suzie terkedu. Dia betul-betul terkejut.
            “Tapi, saya tak sukakan Naim.” Jawabnya spontan.
            “Kamu sukakan Nazmi?” Soal Puan Safiah secara tiba-tiba. Nadanya sedikit keras. Tidak lagi selembut tadi.
            “Nazmi tak beritahu pada mak cik yang kami sudah merancang untuk berkahwin?” Soalan Puan safiah sengaja dibiar bergantung. Sekarang, dia yang perlu mancari jawapan disetiap persoalan yang berada di benaknya.
            “Dia ada bagi tahu mak cik minggu lepas. Tapi mak cik tak setuju.” Jawapan Puan Safiah seperti bisa yang menyengat hati.
            “Tapi kenapa?” Soal Suzie sedikit terkejut. 
             “Sebab dia tak layak untuk perempuan yang baik seperti kamu. Orang yang layak bersama kamu ialah Naim.” Suzie terasa seperti ingin pengsan mendengarnya.
            “Orang yang mak cik cakap tak layak tu ialah anak mak cik sendiri.” Suzie tidak faham. Otaknya berpusing mencari jawapan.
            “Dia bukan anak mak cik. Dia adalah hasil kecurangan suami mak cik.”
            “Apa maksud mak cik?”
            “Dia anak luar nikah suami mak cik bersama perempuan lain. Demi maruah, kami merahsiakannya. Tak ada sesiapa pun yang tahu menahu tentang hal ni. Malah, sampai sekarang Nazmi sendiri masih belum tahu. Huh, dasar keturunan perampas. Dulu, ibunya yang rampas suami mak cik, sekarang dia pulak yang nak rampas kamu dari Naim” Ujar Puan Safiah sambil menahan marah.
            “Mak cik, saya bersimpati dengan apa yang menimpa mak cik. Tapi semua ni tak akan merubah rasa cinta saya pada dia.” Itulah kata hatinya. Baginya, Nazmi sedikit pun tidak bersalah. Takdir yang menentukan semuanya. Lagi pun tiada isu Nazmi merampasnya dari sesiapa.
            “Mak cik tak perlukan simpati kamu. Semua tu dah berlalu. Tapi mak cik perlukan simpati kamu untuk Naim. Terimalah Naim dalam hidup kamu.” Pujuk Puan Safiah.
            “Mak cik, cinta tak memerlukan simpati. Sebab rasa kasihan tu tidak dapat berubah menjadi kasih. Sejujurnya, saya tak boleh terima Naim.”
            “Rasa cinta tu boleh timbul di kemudian hari. Tolonglah Zie, pertama kali mak cik tengok Naim gembira. Mak cik tak mahu dia kecewa sebagaimana mak cik pernah rasa dulu.” Bagai tersekat nafas Suzie apabila mendengar penerangan Puan Safiah yang bersungguh-sungguh.
              “Mak cik, saya tak mampu nak sayang Naim. Sebab, saya hanya sayang Nazmi sorang sahaja.” Dia tidak akan sesekali berpaling dari setia pada Nazmi. Dia tidak peduli tentang asal usul Nazmi kerana yang penting ialah masa depan.
            Puan Safiah bengang apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulut Suzie. “Suzie, mak cik bagi kamu dua pilihan. Pertama, terima Naim dalam hidup kamu dan yang kedua terima Nazmi tanpa restu mak cik beserta akibatnya.”
            “Apa akibatnya?”  Soalnya meminta kepastian
            “Nazmi akan tahu tentang asal usulnya dan dia tidak akan mewarisi satu sen pun.” Jawab Puan Safiah lantas bangun meninggalkan Suzie yang nyata terkejut.
             ‘Ya Allah, apa yang harus aku buat ni? Adakah cinta ini Allah tiupkan dalam bentuk ujian untuk menguji tahap keimananku agar aku lebih dekat pada-NYA dan adakah sebenarnya cinta aku ini berada di dalam reda Allah?’

***
            Suzie tahu bahawa rasa gelisah dan derita yang menghuni hatinya adalah rasa kasih dari Allah agar dia lebih mengingati-NYA lebih dari segala sesuatu yang ada di dunia ini. Namun sebelum dia menyerahkannya kepada Yang Maha Berkuasa, dia perlu berusaha sehabis mungkin untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya.
            Sekarang dia sudah menjejakkan kaki di syarikat tempat Nazmi bekerja. Dia perlu bersemuka dengan Nazmi untuk mendapatkan kata putus mengenai hubungan mereka. Walau apa sekalipun keputusan Nazmi, dia akan terima dengan hati yang ikhlas. Bukankah keikhlasan itu jalan mendapatkan ketenangan hidup.
            “Cik Suzie, Encik Nazmi tak ada di pejabat.” Terang setiausahanya ketika Suzie ingin membuka pintu bilik milik Nazmi. Kekerapannya datang ke pejabat Nazmi membuatkan setiausaha Nazmi mengenalinya.
            “Saya cuma mahukan kata putus dari dia.” Ucap Suzie dengan nada yang tenang. Sesungguhnya, dia telah siapkan diri dengan segala kemungkinan.
            “Tapi, er..” Kegagapan wanita itu telah memberikan jawapan pada Suzie. Kelihatan wanita itu mengelabah.
            “Tak pe lah. Saya tak nak susahkan awak. Tapi saya minta awak tolong sampaikan pesanan pada dia. Cakap pada dia yang masalah tak akan lari walau selaju mana dia cuba lari dari masalah.” Lirih sahaja suaranya.
            Namun takdir menyebelahinya kali ini. Baru sahaja dia ingin melangkah pergi namun tiba-tiba dia mendengar suara yang amat dia kenali.
            “Jue, awak tolong…” Mulutnya membeku saat pandangan matanya jatuh pada seraut wajah yang amat dirindui. Seketika, mereka saling bertatapan.
            “I need to talk with you. Itu pun kalau kau tak sibuk.” Berhati-hati dia menyusun ayat. Kalau boleh, dia mahu menyelesaikan masalah ini dengan secepat yang mungkin.
             “Kita cakap kat luar je.” Putus Nazmi. Dia perasan bahawa ada banyak mata yang memandang ke arah mereka.
            Suzie mengekor Nazmi dari arah belakang. Tiada lagi, langkah mereka yang seiringan. ‘Ya Allah, walau apa pun takdir yang telah kau titipkan buatku, aku terima tapi aku mohon agar Kau permudahkan semuanya.’ Itulah harapannya sekarang.

***
            “Kenapa kau jauhkan diri dari aku?” Suzie memulakan bicara apabila dia melihat tiada tanda-tanda Nazmi ingin bersuara.
            “Mesti mama dah bagi tahu pada kau kan?”  Jawab Nazmi ringkas.
            “Tolong jangan jawab soalan aku dengan soalan.” Bidas Suzie sambil memulangkan paku buah keras.
            “Kenapa pulak aku perlu bagi kau jawapan sedangkan kau dah ada semua jawapan pada semua persoalan tu.” Tiada lagi suara usikkan. Tiada lagi nada yang mesra. Yang ada hanyalah kedinginan.
            “Kalau aku ada jawapan tu, aku tak akan cari kau.” Suzie hanya memerhatikan Nazmi yang melonggarkan sedikit tali lehernya yang kemas sebentar tadi.
            “Kau dah pun tahu yang ibu tak merestui hubungan kita. Jawapan apa lagi yang kau cari.” Sesak sungguh dadanya melemparkan kata yang bukan datang dari hatinya.
            “Jawapan dari kau. Jawapan kau yang aku nak. Bukan jawapan orang lain.”
            Kusut betul kepalanya memikirkan tentang soalan Suzie. ‘Kalau kau minta jawapan aku, mestilah aku memilih untuk bersama kau. Namun hakikatnya tidak semudah itu. Asal usul aku kotor. Aku tak sanggup cemarkan keturunan kau yang suci itu.’
Sungguh, kebenaran itu memang pahit. Berhari-hari dia cuba mencari kekuatan diri yang hampir hilang setelah mengetahui bahawa darah yang mengalir dalam dirinya ialah darah kotor. Dia sendiri hampir tidak boleh menerima hakikat bahawa dia lahir hasil daripada hubungan yang haram.
            ‘Macam mana aku nak terang pada kau Zie. Aku takut untuk menghadapi penerimaan kau nanti.’ Lagipula, kata-kata mamanya masih terngiang-ngiang di telinganya.
           
***
“Walaupun kamu bukan anak mama tapi mama tak pernah benci kamu. Walaupun sebenarnya bila mama melihat kamu, ibaratnya mama melihat bukti kecurangan suami mama sendiri. Tapi mama tetap memilih untuk menjaga kamu setelah kematian ibu kamu. Mama memilih untuk merahsiakan semua ini daripada pandangan umum agar mama dapat menjaga aib suami mama sendiri.
            Mama mengorbankan perasaan mama sendiri. Dan kalau kamu berniat untuk membalas jasa mama, janganlah kahwin dengan Suzie kerana Naim telah lama menyintai Suzie. Benarkanlah anak mama bahagia bersama wanita kesayangannya. Mama mohon Mie…” tersentuh hatinya melihat air mata yang mengalir di pipi wanita yang amat dia sanjungi.
            “Mama, kalau inilah caranya untuk membalas semua jasa-jasa mama, Mie sanggup korbankan cinta Mie. Tapi Mie mohon pada mama untuk pergi dari sini. Halalkan semua makan minum dan kasih sayang yang telah mama curahkan pada Mie. Mie tak akan lupa sampai bila-bila.” Dengan langkah longlai dia keluar dari rumah yang banyak memberikan kenangan padanya.

***
            Itulah janji-janjinya pada mama. Dan dia tidak akan sesekali berpatah arah. Dia menarik nafas dalam-dalam. Memohon kepada Allah agar menitipkan sedikit kekuatan untuk menghadapi ujian-Nya ini.
            “Zie, kau tahu kan betapa pentingnya restu orang tua dalam sebuah perhubungan apatah lagi sebuah perkahwinan. Dan kita juga pernah berjanji bahawa hubungan ini tidak akan diteruskan jika tidak mendapat restu dari keluarga kita. Allah menguji kita melalui setiap ungkapan yang pernah kita tuturkan. Inilah harga yang terpaksa kita bayar.”
            Menitis air mata Suzie yang selama ini masih tersimpan kemas. Suara Nazmi yang tenang itu bagai meragut semua kekuatan yang telah disimpan selama ini.
            “Tapi boleh aku tanya kenapa?” Sengaja soalan itu ditujukan kepada Nazmi. Dia ingin tahu kalau-kalau Nazmi mengetahui tentang niat Naim yang ingin memperisterikannya.
            “Kerana ada seseorang yang lebih berhak mencintai kau melebihi cinta aku pada kau.” Jawab Nazmi tanpa sedikit pun memandang ke arah Suzie.
            “Aku boleh terima jika alasan kau melepaskan aku pergi kerana kasih yang tinggi untuk seorang ibu. Tapi aku tak dapat terima kalau kau lepaskan aku kerana kau tahu bahawa ada orang lain yang menyintai aku.” Suzie dapat mengagak bahawa Nazmi tahu tentang perasaan Naim padanya.
            “Mungkin cinta Naim lebih baik untuk kau.” Terus terang dia melemparkan bicara.
            “Rapuhnya cinta kau. Kau langsung tak cuba untuk menegakkan cinta kita.” Tuduhan Suzie itu seperti menggigit telingannya.
            “Ya. Memang cinta kita rapuh. Cinta aku pada kau serapuh cinta aku pada wanita-wanita yang pernah aku kenal. Lagi pun, kau lupa ke yang aku dulu adalah seorang playboy dan kau bukan cinta pertama aku” Pengakuan itu seperti menikam dadanya sendiri. ‘Maafkan aku Zie.’
            “Nazmi, kalau kau rasa yang kata-kata kau tu akan membuatkan aku benci pada kau, kau silap sebab kata-kata tu lebih akan menyakitkan  diri kau sendiri. Jangan kau ingat aku akan percaya pada lidah yang tidak bertulang itu.
            Aku terima kalau hubungan kita berhenti sampai disini. Tapi aku nak kau tahu bahawa aku bangga menyintai lelaki seperti kau. Dan aku pasti yang mama turut berbangga mempunyai anak seperti kau. Terima kasih untuk segala kebahagiaan yang kau pernah hadiahkan pada aku. Dan moga kau bahagia walau bukan aku yang bahagiakan kau.” Tuturnya panjang lebar. Jarinya menyapu air mata yang jatuh di pipi.
            “Suzie, Naim pun tak ada kurangnya.” Hatinya perit melepaskannya pergi namun dia tidak mempunyai pilihan.
            “Mungkin. Tapi hati aku dah tak ada ruang buat dia. Kalau aku tidak bersama dengan kau, tidak bermakna aku akan pergi pada dia. Aku harap kau hormat keputusan aku.” Kali ini dia tidak  menunggu lama. Terasa kakinya ringan untuk melangkah pergi.
            ‘Mie, aku pergi bukan kerana mengalah pada takdir tapi aku pergi untuk terus melindungi maruah kau. Kerana aku tak sanggup untuk membiarkan kau tahu hakikat yang sebenar. Walaupun kau kehilangan kekasih, sekurang-kurangnya, kau masih mempunyai seorang mama. Kalau boleh, biarlah rahsia ini akan terus menjadi rahsia antara aku dan mama kau.’
            ‘Zie, cinta aku tak serapuh yang kau sangkakan. Tapi aku takut kalau-kalau darah kotor yang mengalir dalam badan aku ni akan merosakkan hubungan cinta kita. Aku tak nak kau memandang serong kepada ibu yang telah melahirkan aku. Dan walaupun mama bukan ibu kandungku, aku akan cuba bahagiakan hatinya walaupun terpaksa mengorbankan hatiku sendiri. Aku tahu kau kuat Zie. Dan aku juga tahu yang kau akan bahagia walau tanpa aku..’

***
            “Mama awak dah menyampaikan hajat awak pada saya.” Ujar Suzie memulakan intro. Memang sengaja dia merancang untuk berjumpa dengan Naim. Dia ingin menyelesaikan semua masalah sebelum dia pergi.
            “Jadi awak dah ada keputusannya?” Soal Naim. Suzie memandang sekilas ke arah Naim yang berada di hadapannya. Tiada bezanya antara Naim dan Nazmi. Kedua-duanya mempunyai rupa paras yang kacak dan budi bahasa yang santun. Namun hatinya sudah tidak ada ruang buat Naim.
            “Maafkan saya. Saya tak dapat menerima lamaran dari awak.” Itulah jawapannya. Dia sudah menimbang baik-buruk keputusannya.
            “Boleh saya tahu kenapa? Awak dah ada orang lain?” Daripada soalan Naim itu, Suzie sudah dapat mengagak bahawa mak cik tidak menceritakan kisah cintanya bersama Nazmi kepada Naim. Mungkin dia takut kalau-kalau Naim akan kecewa.
            “Awak tak perlulah bertanya dan saya tak perlu berbohong.” Suzie tahu bahawa kata-katanya sedikit sebanyak mengelirukan Naim.
            “Maksud awak, kalau saya bertanya mungkin awak akan berbohong?” Soal Naim
            “Mungkin.” Ya. Segala kemungkinan itu mungkin akan berlaku.
            “Sebab tu saya suka pada awak. Awak lain dari yang lain.” Naim melahirkan rasa hati.
            “Kalau awak jumpa saya dulu, agaknya awak akan cintakan saya tak?” Soalan Naim membuatkan Suzie tersenyum manis. Daripada kata-kata Suzie tadi, dia tahu bahawa hati gadis itu sudah dimiliki.
            “Perkataan kalau itu sendiri seperti ingin menyalahkan takdir. Awak kena tahu sesuatu tentang cinta. Ianya bukan hanya sekadar ungkapan I Love You. Ia tentang pengorbanan untuk orang yang kita sayang. Menyintai tetapi bukan bererti memiliki. Membenarkan dia bahagia walau tanpa kita di sisi.” Suzie bagaikan di awangan melayan rasa hati.
            “Adakah cinta awak tak kesampaian Zie? Kalau ya, izinkanlah saya menghiasinya dengan cinta saya..” Rayu Naim.
            “Cinta saya tak ada kaki untuk sampai ke mana-mana kerana ianya terletak kemas di hati. Sesuatu yang dapat saya rasa walau tanpa dipegang. Sesuatu yang kita dapat rasa walau kita tak dapat melihatnya. Terima kasih kerana menyintai diri saya namun maafkan saya kerana saya terpaksa menolaknya.” Seraya Suzie bangun lantas meninggalkan Naim yang sedang berfikir jauh. Naim tidak pula menunjukkan reaksi kecewa.
            Sebenarnya, dia masih ada satu soalan untuk Suzie. Dia ingin bertanya tentang keakraban hubungan antaranya dan Nazmi. Masakan hubungan yang telah lama itu tidak terselit rasa cinta.  
            Tapi dia akan mencari jawapannya melalui mama. Mesti mama tahu apa yang dia tak tahu. Lagi pun, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena sahaja bila dia mendapat tahu bahawa Nazmi meninggalkan rumah secara tiba-tiba dengan menggunakan alasan untuk menyambung pengajian dan pada masa yang sama lamarannya ditolak oleh Suzie. Lagak mereka berdua ini seperti orang yang sedang kecewa sahaja.

***
            Puan Safiah tidak pernah melihat Naim berperangai seperti ini. Inilah kali pertama dia melihat Naim mengamuk besar. Kecil hatinya bila dia mendengar Naim menyalahkannya kerana tidak merestui cinta Nazmi dan Suzie. Padahal dia melakukan semuanya demi Naim.
            “Sampai hati mama rahsiakan semua ni dari Im. Kenapa mama tak beritahu yang Nazmi dan Suzie saling mencintai antara satu sama lain. Sampai hati mama lukakan perasaan anak mama sendiri.” Bentak Naim. Kalaulah dia tidak masuk ke bilik Nazmi dan melihat photo mereka berdua yang tertulis selamanya cinta, sampai bila-bila pun dia tidak akan mengetahui tentang hal ini.
            “Jadi, Mie pergi dari rumah kita bukan sebab dia mahu sambung belajar tapi sebab dia tak sanggup nak tengok cintanya jadi kakak iparnya. Im tak sangka mama sangggup buat semua ni. Apa salah dia orang mama?” Rupa-rupanya inilah jawapan kepada semua persoalan yang sering bermain di benaknya.
            “Mama cuma nak satukan Im dan Suzie.” Jawab Puan Safiah.
            “Tapi mama dah lukakan hati semua pihak.”Lirih sahaja nada suara Naim. Dia mengaku yang dia jatuh cinta pandang pertama pada Suzie sejak Nazmi membawanya bertandang ke rumah ketika hari raya yang lalu. Namun, cintanya yang bertepuk sebelah tangan ini telah merosakkan sebuah ikatan cinta antara Suzie dan Nazmi.
            “Maafkan mama Im.” Sejak Nazmi pergi dari rumah ini, Puan Safiah sudah merasakan kelainannya. Kehilangan seorang anak yang baik, yang selalu menemaninya berbual, yang sering membantunya di dapur. Dia cuba menanamkan dendam pada Nazmi namun sikap Nazmi  sering melenturkan segalanya.
             Puan Safiah bukan tidak sayangkan Nazmi namun rasa sayang yang sangat tebal buat Naim membuatkan dia tidak dapat berfikir dengan baik. Dia tidak mahu Naim kecewa sepertinya tetapi secara tidak langsung, dia sendiri yang mengecewakan Naim.
            “Im tahu mama buat semua ni sebab mama sayangkan Im. Walaupun Mie tu bukan anak kandung mama, tapi Im tahu yang mama sayangkan dia. Mama bukan seorang yang pandai berdendam sebab rasa kasih seorang ibu itu mengatasi segalanya. Kita yang keruhkan keadaan, dan kita jugalah yang kena jernihkan.” Puan Safiah mengangguk setuju dengan kata-kata Naim.
            Namun semuanya telah terlambat. Nazmi telah membawa diri bersama cinta yang tak kesampaian manakala Suzie telah meletakkan jawatannya dan berpindah ke tempat yang tiada siapa pun yang tahu. Rasa serba salah yang bermumkim dalam diri Puan Safiah tidak dapat membayar harga cinta yang telah hilang. Biarlah takdir yang menentukan segalanya.

***
Selepas 3 tahun……
           
            Pertemuan menghadiahkan kita kasih sayang. Namun takdir itu bukan milik kita. Bertemu tidak jemu. Berpisah pasti akan mengundang gelisah. Kerana antara kita yang terpisah,yang bercantum hanyalah kenangan.           
            Sesungguhnya, kenangan itulah yang menjadi nadi untuknya hidup. Walaupun setelah berpisah, dia tidak pernah merasa bahawa hidupnya sudah tidak bermakna walau tanpa kekasih yang dicintai kerana rasa cinta itulah yang membuatkan hidupnya bahagia.
            Cinta kita bukan kerana paras rupa. Cinta kita bukan kerana kekayaan yang dimiliki. Cinta kita bukan kerana lamanya masa dalam sebuah perhubungan. Cinta kita tanpa suara. Cinta kita tanpa tatapan mesra kerana penghubung kita hanyalah Allah. Melalui doa yang kita titipkan.
            “Suzie.” Pangggilan ibunya membuatkan lamunannya terhenti. Dia menghadiahkan senyuman manis buat ibunya.
            “Termenung lagi.” Tegur Puan Aminah.
            “Tak adalah. Cuma berfikir.” Jawab Suzie tenang. Sifat tenang ini dicuri dari Nazmi. Mengenangkan Nazmi, hatinya tersenyum kecil. ‘Moga kau bahagia walau di mana kau berada.’
            “Zie tengah fikir tentang pinangan Hajah Zaiton tu ke?” Soal Puan Aminah meminta kepastian.
            “Zie rasa Zie tak payah fikir sebab ibu sendiri pun dah ada jawapannya kan. Jawapan Zie sama macam yang dulu-dulu.” Dia tahu ibunya kecewa namun dia masih belum berupaya untuk menerima.
            “Sampai bila Zie nak menolak. Umur Zie tu pun bukan makin muda.” Nasihat Puan Aminah.
            “Bagi Zie masa bu.” Dia masih perlukan masa untuk berfikir.
            “Ibu bukan tak nak bagi Zie masa tapi Zie dah bazirkan banyak masa. Sampai bila Zie nak macam ni. Lukakan perasaan orang yang masuk meminang, lukakan hati ibu, dan lukakan hati Zie sendiri.” Rungut Puan Aminah.
            “Zie minta maaf kalau Zie lukakan hati ibu. Tentang hati Zie, pandai-pandailah Zie tanggung bu.” Hatinya merintih pedih. Dia sedih kerana terpaksa lukakan hati ibunya kerana terlampau menurut kata hati. Namun, apalah dayanya.
            “Sebelum ibu menutup mata, ibu teringin nak tengok kamu berkahwin. Sekurang-kurangnya, ibu tahu ada orang boleh jaga kamu.” Suzie tidak suka apabila ibunya membicarakan tentang mati.
            “Ibu, Zie boleh jaga diri sendiri. Ibu jangan risau tentang Zie.” Tuturnya sambil memeluk mesra ibunya. Dia mencium kedua belah pipi ibunya yang tercinta.
            “Zie, Allah pasti beri ganti pada sesuatu yang kita hilang. Dengan syarat jika kita merelakan benda yang hilang itu pergi dari hidup kita. Macam mana Zie nak capai barang baru kalu Zie masih lagi mengengam barang lama.” Menitis kedua air matanya mendengar nasihat ibunya.
            Walau dewasa mana sekalipun seorang anak, mereka masih lagi memerlukan ibu bapa sebagai pembimbing dalam membuat sesuatu keputusan. Puan Aminah tahu tentang derita yang ditanggung oleh anaknya. Ketetapan ilahi telah ditentukan. Sebagai hamba yang beriman, kita perlu reda.

***
            ‘Kerana terlukanya hatiku yang satu ini telah membawa kelukakan di hati ibu. Aku selalu ingin menjadi kekasih yang baik sehingga aku terlupa untuk menjadi anak yang baik. ‘Ya Allah, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku yang telah memeliharaku sejak kecil.’
            Dia sudah membuat keputusan untuk menyerahkan urusan perkahwinannya kepada Puan Aminah. Mungkin sudah tiba masanya dia berlajar untuk mencintai lelaki lain. Dia reda walau siapa pun jodohnya nanti.
Suzie menebarkan pandangan matanya di sekitar taman. Melihat kanak-kanak yang bermain dengan riang tanpa perlu memikirkan sebarang masalah. Bibirnya menguntum senyuman manis.
            Matanya tertumpu pada seorang budak perempuan dalam lingkungan 2 tahun yang terjatuh. Cepat-cepat dia melangkah menghampiri kanak-kanak perempuan yang sangat comel itu. Suzie membantu membuangkan pasir yang terlekat di baju budak itu.
            “Siannya dia jatuh.” Ujar Suzie dalam nada pelat yang sengaja dibuat-buat. Mata kanak-kanak itu terpacak pada gula-gulanya yang terjatuh tadi. Kelihatannya budak perempuan itu ingin mengambil semula gula-gulanya yang sudah jatuh.
            “Ish, jangan ambil. Dah kotor.” Larang Suzie sambil mengeluarkan Coklat Cadbury dari tas tangannya lantas diberikan kepada kanak-kanak perempuan itu.
            “Time kacih.” Ujar budak perempuan itu dengan nada pelat. “Nama ape?” Tanya suzie sambil tangannya ligat membukakan coklat untuk budak perempuan itu.
            “Cuzi.” Jawab budak perempuan yang comel itu.
            “Eee, nama kita samalah.” Ujar Suzie riang. Asyik benar dia menatap wajah budak perempuan yang comel itu.
             “Kat sini rupanya kamu. Maaflah kalau Suzie kecik ni menyusahkan cik.” Ujar satu suara dari arah belakang. 
            “Tak apa. Perkara kecil je.” Tutur Suzie sambil berpaling. Bagai tersentap jantungnya. Setelah tiga tahun berlalu. Kenapa tiba-tiba dia perlu berjumpa dengan lelaki ini. Nyata, bukan dia sahaja yang terkejut. Bahkan, lelaki itu turut memandangnya bagai hendak terkeluar biji mata. Seketika, kami saling bertatapan melempiaskan rindu yang mengamit.
            “Papa..” Panggilan dari Suzie kecik mematikan lamunan Suzie. Bermakna, budak perempuan ini anak Nazmi.
            “Kau apa khabar?” Soal Nazmi. Tiba-tiba lidahnya jadi kelu untuk memulakan bicara. Sungguh, dia terkejut dengan pertemuan yang tidak diduga ini. Setelah sekian lama, mereka bertemu semula di taman yang menjadi saksi ketika dia melamar Suzie.
            “Baik. Kau?” Jawabnya agak gugup. Hanya tuhan yang tahu debaran hatinya.
            Belum sempat Nazmi menjawab, dia terpaksa mengejar anaknya yang tiba-tiba berlari pergi. Suzie tidak menunggu lama untuk melangkah pergi. Dia takut untuk bertembung mata dengan isteri Nazmi.
            Airmatanya mencurah membasahi pipi. Dia sudah tidak peduli tentang pandangan orang. Selama ini, hanya dia sahaja yang masih membajai cinta mereka. Hanya dia yang masih setia mengharungi cinta mereka. Sedangkan Nazmi dengan teganya meletakkan namanya pada anak perempuannya yang dipanggil suzie kecik.
            “Suzie tunggu.” Sedikit pun Suzie tidak berpaling pada si pemanggil.
            “Suzie besar, tunggu aku.” Laung Nazmi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Namun Suzie tetap tidak menghiraukannya. Nazmi berlari dengan lebih laju lantas menarik pergelangan lengan Suzie sehingga badannya terdorong ingin memeluk Nazmi. Hampir-hampir sahaja mereka terpeluk antara satu sama lain.
            “Kenapa kau menangis?” Soal Nazmi apabila melihat sisa airmata yang masih ada di tubir mata Suzie.
            “Suka hati akulah.” Jawab Suzie agak kasar. Dalam hatinya memarahi Nazmi kerana bertanyakan soalan bodoh. Lantas dia berpaling untuk melangkah pergi.
            “Jangan lari lagi Zie. Aku dah tak larat nak kejar.” Ujar Nazmi. Nafasnya sedikit tidak teratur. Tadi dia mengejar Suzie kecik, selepas tu dia kena kerja Suzie besar pulak. Agaknya orang yang nama Suzie ni memang suka berlari gamaknya.
            “Aku tak suruh pun kau kejar.” Perli Suzie.
            “Maksud aku, bukan berlari tapi jangan lari dari pandangan mata aku lagi Zie. Aku tak nak kau hilang lagi.” Pengakuan dari Nazmi menyesakkan penafasan Suzie.
            “Apa yang kau mengarut ni?” Sungguh, dia tidak faham dengan apa yang telah dituturkan oleh Nazmi.
            “Puas aku cari kau. Aku pergi office kau, dia orang cakap kau dah berhenti. Aku pergi rumah kau, tapi kau dah pindah. Sampai macam tu sekali kau nak lari dari aku Zie.” Terang Nazmi.
            “Buat apa kau cari aku lagi. Aku dah lama terima hakikat bahawa hubungan kita dah berakhir.” Rintih Suzie pilu.
            “Siapa kata ia dah berakhir. Hubungan kita tak pernah berakhir dan hanya akan berakhir dengan kematian sahaja.” Jelas Nazmi bersungguh-sungguh.
            “Habis tu, kau sanggup putuskan hubungan kau dengan isteri kau. Sejak bila kau berubah menjadi seorang yang tidak bertanggungjawab.” Pintas Suzie. Dia tak akan sesekali melukakan perasaan kaum sejenisnya.
            “Bila pulak aku ada isteri?” Soal Nazmi terpinga-pinga.
            “Bukan Suzie kecik tu anak kau?”
            “A’ah. Tapi bukan anak kandung tapi anak saudara.” Nazmi masih setia menjawab soalan Suzie.
            “Anak saudara. Maksud kau anak Naim.” Fikirannya masih lagi terbatas. Setahunya, Nazmi tidak mempunyai adik beradik yang lain.
            “Yalah, anak siapa lagi.” Namun jawapan Nazmi masih lagi belum mengundang rasa puas hati Suzie. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu tentang Suzie kecik.
            “Kau tipu aku kan. Kalau Suzie kecik  tu anak saudara kau, kenapa dia panggil kau papa tadi.” Soalannya membuatkan Nazmi tergelak besar.
            “Suzie tu, dengan semua orang lelaki dia nak panggil papa.” Jelas Nazmi tersenyum ceria sambil melabuhkan pandangan matanya ke arah gadis yang amat dicintainya. Suzie jadi malu sendiri setelah mendengar penjelasan Nazmi.
            “Jadi sebab tu kau menangis yerk. Kau ingat yang kau dah kehilangan aku.” Serkap Nazmi apabila dia melihat Suzie yang hanya mendiamkan diri.
            “Mana ada. Mata aku masuk pasir lah.” Bohong Suzie tidak mahu mengaku.
            “Zie, Im dah terangkan semuanya pada aku yang kau dah tahu tentang asal usul aku.” Kali ini, Nazmi seolah-olah kelihatan tidak bersemangat seperti tadi namun Suzie pula kelihatan terkejut.
            “Kau dah tahu?” Soal Suzie momohon kepastian.
            “Dah lama aku tahu tentang asal usul aku yang kotor. Sebab tu aku tak mampu nak lawan cakap mama. Aku masih ingat jasa dia membesarkan aku. Jadi sebagai seorang anak yang dipungut, inilah satu-satunya cara untuk membalas jasa mama aku.
            Lagipun, aku tak nak darah kotor aku ni merosakkan cinta suci kita. Sebab itu aku berniat untuk merahsiakannya. Tapi rupa-rupanya kau pun dah tahu dan memilih untuk memelihara maruah aku. Aku bangga sangat dengan kau Zie.” Luahan hati Nazmi itu sudah tidak mampu untuk menampung air mata Suzie. Lantas, dia membenarkan ia jatuh.
            “Zie, sudi tak kau jadi ibu kepada anak-anak aku?” Bisik Nazmi romantik.
            “Kau tengah melamar aku ke?” Sempat lagi dia bertanya soalah bodoh. Tangannya menyapu air mata yang membasahi pipi.
            “Kalau kau sudi.” Ujar Nazmi sambil mengeluarkan cincin dari poket seluarnya. Cincin itu sengaja dibawa kemana-mana sahaja. Kerana bila dia berjumpa atau terserempak dengan Suzie, dia akan terus melamar gadis itu. Dan hari ini, doanya dimakbulkan Alllah.
            “Tapi kali ni, aku nak kau pakai terus cincin ni. Tak payah nak bagi kat mama.” Arah Nazmi apabila dia melihat Suzie masih belum menyarungkan cincin yang diberinya.
            “Mama kau macam mana?” Persoalan itulah yang sedang melanda fikirannya. Dia tidak akan sesekali berkahwin tanpa restu dari Puan Safiah.
            “Mama dah tak sabar nak tunggu kau jadi menantu dia. Mama tak bagi kita kahwin dulu sebab mama nak satukan kau dengan Naim. Tapi sekarang, Naim pun dah kahwin. Nama Suzie kecik tu pun mama yang letak. Mama cakap biar Suzie kecik jadi perempuan yang baik macam nama pemilik asalnya.” Pujian Nazmi membuatkan muka Suzie merona kemerahan.
            “Kau tak kisah kan tentang asal usul aku yang kotor?” Suzie terkejut mendengar soalan yang keluar dari mulut Nazmi.
            “Siapa aku untuk mempertikaikan takdir yang telah berlaku dan aku harap kau tak akan sebut lagi tentang perkara ni.” Jawapan yang keluar dari mulut Suzie itu amat melegakan Nazmi.
            “Jadi, kau sudi untuk menjadi ibu kepada anak-anak aku?” Soal Nazmi sekali lagi meminta kepastian.
            “Jadi ibu pada anak-anak kau jew. Isteri tak payah ke? Kalau macam tu, baik kau cari pengasuh.” Bentak Suzie tidak berpuas hati.
            “Mestilah kena jadi isteri dulu baru jadi ibu. Kalau tak, mana datangnya anak tu sayang hoi.”Jawab Nazmi seiring dengan ketawa besar. Suzie menjeling tajam. ‘Tak senonoh.’   
            “Kenapa tak pakai lagi cincin tu?” Soal Nazmi kehairanan.
            “Lah, kena pakai ke?” Soal Suzie pura-pura tak tahu.
            “Kalau kau tak nak pakai sendiri, biar aku yang pakaikan.” Nazmi sudah berura-ura mahu memegang tangan Suzie namun sempat dielak oleh Suzie.
            “Okey, okey. Aku pakai sekarang.” Cepat-cepat dia menyarungkan cincin di jari manis miliknya. Tidak rela menghalalkan apa yang sememangnya haram.
            “Jom.” Arah Nazmi.
            “Pergi mana?” Soal Suzie kebingungngan.
            “Kahwinlah. Kita dah bazirkan banyak masa tau. Kenapa, ada sebarang bantahan?” Soal Nazmi sambil mengerling ke arah Suzie. Suzie hanya menjawab dengan gelengan seiring dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.
“Bagus. Sebab kalau ada pun, bantahan akan ditolak.” Ujarnya dengan nada manja. ‘Ya Allah, terima kasih di atas nikmat cinta yang tidak ternilai ini. Akan ku bajai cintaku ini berlandaskan cintaku padaMu Ya Allah. Moga kebahagiaanku ini di bawah redaMU.’
Cinta itu adalah tentang masa. Yang menjanjikan seseorang itu setia. Kerana setialah yang mencipta kebahagiaan. Ia mempesonakan tetapi adakalanya mengalpakan. Memang cinta itu tentang menunggu, tetapi semua penungguan itu ada tarikh tamat. Cinta juga tentang harapan, tetapi setiap harapan mempunyai tarikh luput.
Kisah cinta adalah tentang dua hati, dua hajat dan satu masa depan bersama. Ia mestilah seiringan, bukan dengan mengekor sahaja. Berkongsi cerita bukan dengan berahsia. Dan nikmati keindahannya dengan penuh makna..
Kau sambutlah rinduku ini, jangan lepas lagi. Ku pasti setia seteguh kasihmu...
p/s:: cerpen ni cerpen kedua yang saya tulis..... ai tulis masa umur 18.. hehe.. baru nak post... sorry kalu ayat tunggang langgang.. saje nak post sebab tengok blog sunyi sepi... hehee.. enjoy reading.. jadi untuk semua yang baru belajar menulis,,, cerpen saya dulu2 pun,, bukannya bagus sangat.. hehe.. kita pun bermula dengan kritikan dan jadikan kritikan sebagai semangat untuk beri y lebih baik.. =)

Sunday 12 February 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [47]


Usai mandi, Farafeesa cepat-cepat masuk semula ke dalam kamar. Baru sahaja dikuak pintu bilik, mata kakaknya sedang mencerlung memandang ke arahnya. Lebih mengejutkan dirinya ialah apabila melihat satu kotak yang sedang berada di dalam pegangan Faraneesha!
            Macam mana Faraneesha terjumpa kotak ubatan miliknya? Aduh!
            “Apa semua ni Feesa?” Jerit Faraneesha lantang sambil membaling semua kotak ubatan ke atas katil. Bertaburan segala macam jenis ubat. Farafeesa berdiri tanpa kata. Mukanya masih melopong. Masih belum dapat menerima hakikat yang kakaknya sudah mengetahui rahsia besarnya.
            Badan yang masih basah itu mula terketar-ketar menahan kesejukan selepas mandi. Bertambah berpeluh apabila sesuatu yang sebelum ini menjadi rahsia, tidak lagi bergelar rahsia. Muka Faraneesha yang sedari tadi merah menyala, mula mengendur. Air mata mula membasahi pipi Faraneesha.
            ‘Ya Allah... aku masih belum bersedia untuk menunggu waktu ini tiba...’
            Kelakuannya terasa canggung sekali. Tidak tahu sama ada hendak memujuk Faraneesha ataupun hendak berbuat apa lagi. Dia terkaku sendiri. Bagaikan dipaku di situ. Mujur sahaja dia sudah memakai baju, jika tidak pasti mati kejung dia dibuatnya.
            “Kenapa? Kenapa kau rahsiakan semua ini dari aku?” Terus-terusan Faraneesha bertanya. Geram pula rasanya apabila melihat adiknya itu seperti kehilangan suara untuk menjawab segala persoalannya.
            “Aku....” Otaknya kosong! Tak ada sebarang ayat pun yang terlintas di fikiran.
            “Aku ni siapa Feesa? Aku ni siapa?” Desak Faraneesha lagi.
            “Kakak...” Takut-takut dia menjawab.
            “Aku ni bukan sekadar kakak kau! Tapi aku ni ialah kembar kau! Separuh daripada nyawa kau! Apa yang berlaku pada diri kau, mestilah aku nak tahu. Kenapa kau rahsiakan semua ni dari pengetahuan aku? Apa tak cukup penting ke aku ni dalam hidup kau?” Pekik Faraneesha lagi.
            Mujurlah ahli keluarganya sudah keluar ke rumah Tok saudara. Jika tidak, pasti satu keluarganya akan mengetahui perkara ini apabila mendengar jeritan Faraneesha itu.
            “Bukan macam tu....” Tingkah Farafeesa sambil mula mengambil nafas. Kaget sedikit menyambut keadaan yang tidak diundang ini.
            “Habis tu apa? Apa alasan kau untuk merahsiakan perkara ni dari pengetahuan aku? Feesa... aku tak pernah sekecewa ni dengan kau... Kau buat aku rasa tak penting dalam hidup kau! Kau tahu, apa sahaja perkara yang berlaku dalam hidup aku, aku harap kau orang pertama yang akan tahu! Tapi sayang... apa yang aku fikir tak sama macam yang kau fikir! Kasih sayang kau pada aku tak sebanyak kasih sayang aku pada kau!”
            Farafeesa mengeleng-gelengkan kepalanya. Tidak membenarkan kata-kata Faraneesha itu. Tidak pernah sekali dia ingin bersikap mementingkan diri sendiri. Semua yang terjadi pun bukan di atas kehendaknya. Semuanya ketentuan takdir.
            “Aku tak mahu kau sedih Neesha... Sebab tu aku rahsiakan semua ni..” Kakinya dihalakan ke arah Faraneesha yang sedang terjelepuk di birai katil. Hatinya sedikit samar-samar namun dia kentalkan jiwa untuk memujuk hati Faraneesha.
            ‘Ya Allah... tolong aku... tolong permudahkan urusanku!’
            “Habis tu sekarang kau ingat aku tak sedihlah?” Bagaimana dia hendak menerima hakikat yang Farafeesa akan pergi dari hidupnya. Patutlah adiknya itu sering sakit-sakit kebelakangan ini. Sangkanya cuma sakit biasa sahaja. Tapi apabila melihat sebeban ubat yang disorok di laci baju bahagian bawah ini, tidak disangkal lagi yang adiknya itu menghidap sejenis penyakit bahaya.
            “Kalau boleh.. aku memang tak mahu kau tahu.. Sebab aku tahu yang kau akan rasa sedih.. Kau baru kehilangan Luqman... Aku tak nak kau terus sedih Neesha. Aku tak cerita bukan tanda yang aku tak hargai kau! Bukan sebab aku tak sayang kau! Tapi sebab inilah... sebab air mata ni akan melemahkan semangat aku....”
            Tangannya menepis air mata yang mengotori pipi milik kakaknya. Dia tidak mahu ada orang yang lebih terbeban menanggung keperitannya. Dia tidak ingin berkongsi sesuatu yang akan menyedihkan orang di sekelilingnya. Itu bukan perangainya.
            “Kau tahu sesuatu? Kau sentiasa jadi kekuatan aku Feesa... saat aku kesedihan, aku harap yang kau ada di sebelah aku... Di saat aku sedang menangis, aku harap kau akan senantiasa berada di sebelah aku... Walaupun kau tak pujuk sekalipun, kekuatan itu mampir dalam diri aku. Walau aku kehilangan seluruh dunia pun, aku tetap akan punya kau untuk temani hidup aku.. Tapi rupa-rupanya aku ni hanya akan melemahkan semangat kau! Menghilangkan daya kau! Aku ni memang kakak yang tak berguna kan?”
            Kata-kata Faraneesha membuatkan Farafeesa tersentak! Tidak pernah sekalipun dia berfikir sebegitu rupa. Dia hanya tidak mahu melihat Faraneesha bersedih. Itu sahaja!
            “Neesha... jangan salah faham...”
Penerangan melalui kata-kata tidak akan mampu membuatkan Faraneesha faham dan mengerti. Apatah lagi apabila jiwa sedang diulit rasa emosi, kewarasan akal fikiran tidak akan menjana dengan sebaiknya. Pujuklah macam mana pun, tetap tak akan kena! Cakaplah macam mana sekalipun, otak pasti akan menepis dengan tangkas!
            “Apa lagi yang aku salah Feesa? Apa lagi? Cakaplah dengan aku... cakaplah...” Digoncang bahu adiknya itu sekuat mungkin. Menzahirkan kekecewaannya terhadap Farafeesa. Sebagai kakak, sesiapa pun ditempatnya akan merasa seperti ini.
            “Neesha... aku buat semua ini untuk kebaikan kita! Untuk kebahagian kita! Aku tak mahu ada orang menangis sebab aku! Aku tak suka tengok air mata orang terutama sekali air mata kau! Jadi tolong berhenti menangis sekarang!” Kali ini, Farafeesa tidak berlembut lagi. Dia terus mengejutkan Faraneesha yang bagaikan sedang hilang kawalan itu.
            “Tapi aku sedih! Aku nak nangis!” Ya Allah... buntu Farafeesa dibuatnya. Kakaknya itu kembali teresak-esak. Melepaskan rasa sengsara yang membuku di hati.
            “Nangis jelah... bila kau dah penat, kau berhentilah...” Akhirnya dia memutuskan untuk membiarkan Faraneesha menangis. Biar gadis itu menangis sampai lega sendiri!
            “Kau sakit apa sebenarnya?” Barulah dia bertenang dan mula bertanya.
            “SLE...” Farafeesa menerangkan sedikit sebanyak tentang penyakitnya. Satu ayat yang boleh difahami oleh Faraneesha dengan mudah.
            “Kau pun nak tinggalkan aku jugak ke....”
Air mata yang berlinangan dibiarkan sepi. Untuk apa diseka? Pasti air mata itu akan turun lagi. ‘Ya Allah, besar benarkah Imanku sehingga aku diduga sebegini rupa? Hingga Kau ingin mengambil kembali orang-orang yang ku sayang? Ya Allah, gantikanlah aku di tempatnya.. Sesungguhnya, aku sudah tidak mampu untuk menghadapi detik kehilangan. Aku kehilangan Luqman tetapi aku beruntung kerana aku masih punya Feesa.. Namun jika adiknya itu telah tiada, siapa yang akan menemani hari-hariku nanti?’
Dia sedar yang dia tidak layak untuk mempersoalkan takdir. Namun hatinya walang menanggung kifarah ini.
            “Bila janji Allah itu tiba... semua orang pun tak terkecuali Neesha...” Faraneesha merenung anak mata adiknya itu dalam-dalam. Adiknya itu langsung tidak menangis? Kenapa jiwa adiknya kuat sedangnya jiwanya berlumpur menanggung semua ini. ‘Kenapa aku tidak boleh sekuat Feesa?’
            “Ibu perlu tahu semua ni...” Laju kepala Farafeesa mengeleng. Tidak bersetuju dengan cadangan tidak masuk akal kakaknya itu.
            “Untuk apa? Untuk dia bersimpati dengan semua ni... Aku tak mahu tagih kasih ibu hanya semata-mata kerana aku sakit! Tolonglah Neesha... aku harap kau hormat permintaan kecil aku ni.” Mata Farafeesa penuh dengan pengharapan!
            “Kecil bagi kau tapi besar bagi aku.... Macam mana aku nak rahsiakan hal sebesar ni Feesa? Macam mana? Aku tak pandai nak menipu... Aku tak mahu orang salahkan aku jika aku tak buka mulut.” Pujuk Faraneesha lagi. Namun untuk pujukan kakaknya ini, sedikit pun dia tidak akan beralah.
            “Tapi aku akan salahkan kau kalau kau buka mulut Neesha! Aku akan keluar dari rumah ni.. Aku akan mogok dari berjumpa dengan kau. Kalau kau suka macam ni, kau teruskan jelah niat kau tu! Tapi bila semua dah berlaku, kau jangan cari aku Neesha.. Anggap sahaja aku dah mati sebelum ajalku!”
            Faraneesha terbungkam mendengar kata-kata tegas adiknya itu. Kepalanya digaru beberapa kali? Tersepit dengan keadaan yang menyeksa diri.
            Farafeesa mula terbatuk sedikit sambil memegang dadanya. Dadanya terasa sangat perit. Kejap sakit kepala, kejap dada terasa ngilu. Berbalam-balam rasanya pandangan mata ini.
            Faraneesha kembali menangis apabila menlihat keadaan adiknya itu. Kenapa baru sekarang dia perasan? Kenapa tidak dari dahulu.
‘Aku lah yang salah selama ini. Aku sibuk melayan rasa sedih sehingga tidak perasan pada kesedihan dan kesakitan yang ditanggung oleh kembarku sendiri!’
            “Neesha..... sudahlah... aku harap bila aku pergi nanti, kau tak menangis macam ni sekali. Kau kena senyum... Senyum kerana kau tak akan nampak aku menangis lagi. Kau tak akan nampak aku kesakitan lagi. Kau tak akan nampak aku bergaduh dengan ibu lagi.. Aku pun tak akan menyusahkan kau untuk jadi driver aku lagi.” Sempat lagi dia bergurau ketika saat genting ini. Rasa macam hendak dihempuk kepala adiknya. Terlebih sangat berfikir!
            “Feesa....” Dia tidak suka apabila mendengar pertuturan kata Farafeesa itu. Nampak selamba namun bisanya penuh tajam. Boleh menghiris seperti belati yang beracun!
            “Neesha... sepanjang aku hidup, aku tak pernah minta apa-apa dari kau kan?” Berkerut dahi Faraneesha. Sabar menanti pada tutur kata kembarnya selepas ini.
            Muka Farafeesa mula serius. Diamati wajah kakaknya itu tekun. Walau berat untuk dia tuturkan, tapi dia perlu melakukannya. “Di hujung sisa nyawa aku, boleh tak aku buat satu permintaan?”
Faraneesha tidak suka mendengar ayat adiknya itu. Namun untuk tidak terus menghampakan adiknya, dia terus mengangguk setuju. Apa sahaja untuk adiknya! Kalau tidak ditunaikan, bimbang nanti dia tidak punya kesempatan lagi untuk menunaikan hajat Farafeesa di kemudian hari. Lagipun Farafeesa sudah melakukan apa sahaja untuk kebahagiaan dirinya. Malah adiknya itu tidak berkira apa-apa pun dengan. Dia akan cuba menunaikannya.
“Apa dia?”
            “Kahwin.... dengan.... Ezrakil!”
            “Hah!” Daripada duduk, terus Faraneesha bangun.
Kalau ada beruk, pasti beruk pun akan lebih terkejut. Kahwin dengan Ezrakil? Tersalah cakap ke atau tersalah dengar ni? Aduh... Faraneesha mula tepuk dahi. Permintaan yang tak masuk akal langsung!
‘Ke Feesa tengah tak waras sekarang?’ Tiba-tiba macam diserang migrain. Penyakit yang baru menyerang apabila mendengar permintaan kembarnya itu.
            “Jangan nak merepek boleh tak?”
Marah Faraneesha. Kali ini, dia memang betul-betul marah. Dia mula tidak duduk diam. Sekejap ke kanan. Sekejap ke kiri. Mundar mandir seperti anak kecil yang baru belajar berjalan. Walaupun langkahnya terasa ringan namun kepalanya terasa berat dek bebanan yang tiba-tiba menjelmakan diri.
            “Aku.... betul-betul serius Neesha..” Lambat-lambat ayat itu keluar dari mulutnya.
Farafeesa sangat berharap yang kakaknya akan menunaikan permintaannya ini. Dia tahu yang hanya Faraneesha yang boleh membahagiakan Ezrakil dan begitulah sebaiknya. Mereka akan saling melengkapi antara satu sama lain. Ezrakil pasti tidak akan memerlukan dirinya lagi. Ezrakil pasti akan cuba menyayangi Faraneesha! Bukankah mereka berdua kembar! Pasti mudah untuk Ezrakil menerima Faraneesha.
            “Aku tak boleh! Aku tak cintakan Ezrakil dan aku pasti yang Ezrakil pun tak cintakan aku!” Tegas Faraneesha lagi.
            “Cinta boleh datang kemudian hari kak...”
            “Cinta tak datang kemudian hari Feesa.. Cinta hadir pada yang layak untuk memiliki.... sama-sama menghargai dan memaknakan erti rasa! Cinta tak akan datang pada orang yang kecewa Feesa. Cinta datang pada orang yang merelakan kedatangan cinta itu sendiri!” Tegas Faraneesha lagi.
            Apabila melihat adiknya itu terbungkam sendiri, Faraneesha kembali mengeluarkan hujah. Melancarkan kata serangan balas! Faraneesha tahu, fikiran adiknya itu sedikit serabut! Serabut memikirkan karenah hidup yang tak akan pernah menemui kesudahannya.
            “Sekarang aku dah faham......” Matanya beralih pada wajah Farafeesa. Kembarnya itu hanya terdiam. Tidak bertanya kembali atau memberikan sebarang respon.
            “Patutlah kau nak jodohkan aku dengan Ezrakil? Rupa-rupanya pasal hal ini.. Ya Allah... aku tak tahu nak cakap apa.. Feesa, kau kena faham yang aku tak boleh nak gantikan kau dalam hati Ezrakil dan Ezrakil tak boleh nak gantikan Luqman dalam hati aku! Kami sama-sama pernah kecewa Feesa... dan kau pun nak menambahkan lagi kekecewaan kita orang ke?”
 Hentam Faraneesha lagi. Dia sendiri tidak pasti cara macam mana otak Farafeesa berfungsi. Yang pasti, idea adiknya itu memang tidak boleh diguna pakai. Apabila dua orang kecewa bertemu, tak akan ada apa-apa yang berubah. Seharusnya bila ada seseorang itu kecewa, akan ada seseorang yang lain yang akan membawa berbakul-bakul rasa cinta untuk mengantikan rasa kecewa itu.
“Kau sanggup nak tengok aku mati dalam keadaan kempunan?”
Kali ini giliran Faraneesha pula yang terpempan. Tergamam tanpa kata. Matanya membulat! Telinganya berdesing hebat. Tangan Faraneesha mula menguraikan rambutnya. Rambut yang sedia kusut itu makin jadi kusut. Seperti rasa hati dan fikirannya sekarang.
“Jangan nak guna taktik macam tu lah Feesa!” Baru sahaja duduk, dia sudah mula bangun. Punggungnya ikut turut terasa bahang kepanasannya. Panas seperti larva yang mengalir deras. Sepanas permintaan Farafeesa ini dan sepanas hatinya yang seakan-akan ingin meletup.
“Aku janji tak minta apa-apa dah Neesha.. Untuk kali yang terakhir.. Tolong lah aku... Aku tak minta banyak.. Aku cuma minta agar kau bahagiakan Ezrakil... dan aku harap yang Ezrakil dapat bahagiakan kau! Aku nak satukan dua orang yang aku amat sayangi...”
Merayu-rayu Farafeesa dibuatnya. Alang kepalang Faraneesha sudah tahu, biarlah dia terus memujuk kakaknya  untuk menerima Ezrakil. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk membenarkan semua ini terjadi.
Faraneesha jadi buntu! Apa yang dia hendak buat sekarang?
“Kalau aku terima, mampu ke Ezrakil menerima aku Feesa?”
Sengaja dia buat taktik. Dia tersangat pasti yang Ezrakil tidak mengetahui penyakit yang dihidapi oleh adiknya itu. Permintaan Farafeesa ini mampu membuatkan orang jadi GILA! Sangat berharap yang Ezrakil akan menolak permintaan Farafeesa ini. Dikerpilkan doa di dalam hati. Moga tidak berlaku yang tidak-tidak!
Farafeesa menarik telefon bimbitnya yang berada berdekatan dengan mereka. Tanpa berfikir panjang, terus dia mendail nombor telefon Ezrakil. Tidak lama kemudian, suara Ezrakil menampar gegendang telinganya.
“Feesa...” Hati Farafeesa terusik apabila mendengar suara Ezrakil. Menampan pendengarannya. Meruntun jiwanya. Melelahkan perasaannya.
Sejauh ku berlari
Meninggalkan dirimu
Masih bayangmu yang menawan
Sekuat ku mencoba
Melupakanmu kasih
Lalu mengapa ku tak sanggup
Adakah waktu tak berpihak
Atau memang sudah jalannya
Untuk kita terpisah
Selamanya
            “Bos....” Air mata seakan-akan berlinang di birai mata. Menunggu masa untuk jatuh sahaja. Perasaan ini terus menghimpit jiwa. Peritnya hanya Allah sahaja yang tahu. Sungguh, hatinya pincang dicincang lumat. Benarkah ini ketentuan takdir?
            “Hei.. Kenapa ni?” Nada suara Ezrakil nyata kedengaran sungguh risau. Apatah lagi mendengar nada suara gadis kesayangannya yang agak serak itu. Ada apa-apakah yang menimpa Farafeesa?
            “Bos sayang saya tak?”
Tanpa malu, terus dia menghulurkan pertanyaan. Dia teringin untuk mendengar ayat keramat itu. Biarlah untuk kali yang terakhir sekalipun. Biarlah dia puaskan hatinya ini. Hanya untuk kali ini sahaja.
 Faraneesha yang melihat menggelengkan kepalanya. Tidak faham dengan tindak tanduk kembarnya itu. Kenapa perlu diseksa jiwa yang sudah sedia terluka? Perbuatan Farafeesa ini tidak ubah seperti menumbuk lumat cintanya sendiri.
            “Feesa... Kenapa tiba-tiba tanya ni?” Peliknya dia dengan perangai Farafeesa ini. Pertanyaan Farafeesa itu mampu membuatkan jiwanya bergelora! Kebiasaannya gadis ini pasti akan menolak untuk berbicara soal hati. Apakah punca persoalan ini timbul? Hatinya terlalu tertanya-tanya.
            “Bos.. jawab jelah...” Gesa Farafeesa tidak sabar.
Air matanya sudah mula menitis. Menghamburkan rasa sedih yang menjalar. Mengharapkan kasih pada kekasih yang tidak akan menjadi miliknya. ‘Kalaupun cinta itu milik kita, takdir tak semestinya akan memihak pada kita.’
            “Setiap kali saya menghembuskan nafas...Setiap kali jantung saya berdegup, saya hanya  memikirkan awak Feesa..Tanpa awak sedari, hanya awak yang sering berada di fikiran saya. Saya perlukan awak untuk menemani hari-hari saya... Saya ingin menghabiskan baki sisa hidup saya bersama awak, hanya untuk  bersama-sama dengan awak.. Tanpa awak, saya seakan-akan rasa tak bernyawa! Dengan nama Allah, saya cintakan awak Feesa!”
            Perasaannya sebak. Tapi sungguh hatinya damai mendengar pengakuan Ezrakil itu. ‘Ya Allah.. terima kasih kerana mengurniakna perasaan ini kepadaku. Sesungguhnya, cinta ini memang nikmat dan anugerah yang ternilai untukku.’
Cukuplah jika dia pernah merasainya walaupun langsung tidak boleh memilikinya. Dia sudah cukup bersyukur. Terlalu...
            “Bos betul-betul sayangkan saya?” Tanya Farafeesa lagi. Padahal, dia sudah mengetahui jawapannya. Cuma dia senang untuk terus mendengar kata-kata Ezrakil yang menyenangkan hati itu.
            “Kata-kata yang keluar dari mulut saya tak boleh nak menggambarkan kasih sayang saya pada awak Feesa... Walau seribu kali awak tanya pun, saya memang sayangkan awak.. seluruh jiwa dan hati saya ni saya dah peruntukkan pada awak...”
            “Bos sanggup tak berkorban untuk kebahagiaan saya?” Berat untuk dia menuturkan. Tapi dia perlu melakukannya.
            “Apa sahaja untuk awak Feesa... akan saya guna seluruh kudrat saya untuk membuatkan awak tersenyum dan bahagia...” Ezrakil tidak sedar yang kata-katanya itu bakal memakan dirinya sendiri.
            “Kalau macam tu, boleh saya buat satu permintaan?”
            “Apa dia sayang...” Luluh hati Farafeesa mendengar ungkapan sayang itu. Namun dia tiada pilihan. ‘Maafkan saya bos...’
            “Bos kena kahwin dengan Neesha!”
            “Hah!!!” Ezrakil menjerit di hujung corong telefon. Farafeesa memejamkan matanya mengumpul kudrat yang makin hilang. Manakala Faraneesha dengan linangan air mata yang berjurai di ruang wajah. Apa yang sudah terjadi ini?

 p/s: ini adalah bab terakhir yang saya akan post ke dalam belog!!! saya sedang berusaha menyiapkan manuskrip untuk dihantar kepada pihak penerbitan untuk penilaian.. dan satu benda lagi, CUSL akan keluar dengan nama pena ezza mysara... nama pena akan ditukar.. hope korang mendoakan agar CUSL dpt diteribitkan.. hah,, tunggu apa lagi, jemputlah komen... bab terakhir kot.. tak kan kedekut lagi nak tinggalkan komen... saya mengharapkan agar korang meninggalkan  harapan korang untuk bab nih.. manalah tahu, kalau-kalau harapan korang sama dengan saya ataupun saya akan menimbangkan harapan korang tuh... hehe.. enjoy reading...