Wednesday 8 August 2012

JOM RAYA SAMA

Manis...

            Sayup-sayup kedengaran lagu raya dari corong radio. Manis mendengus keras. Memang melampau sangatlah stesen radio nih.. Puasa pun belum mula lagi, dah pasang lagu raya. Agak-agaklah sikit... Ingat semua orang ke suka dengar lagu raya? Sakit hati adalah... Lantas, tangan kanannya laju menukar siaran radio. Naik bernanah telinganya kalau terus mendengar.
            “Oit... Apasal alih.. Lagu M. Nasir tuh... Aku suka..” Pandai-pandai sahaja Syikin menekan punat radio. Lagu Satu hari di hari raya kembali berkumandang.
            Manis mula mengerling ke arah sahabatnya itu. Macam tak faham-faham yang dia tak suka dengar lagu raya. Tak suka apa-apa yang berkaitan dengan raya! Bagi dirinya, Raya itu tidak membawa apa-apa erti dalam hidupnya. Malah, hanya meninggalkan kesan  yang terlalu pedih untuk dikenang.
            “Kau ni macam tak faham-faham je kan? Aku tak suka dengar lagu raya!” Protes Manis geram. Kadang-kadang dia sedar yang Syikin memang suka menyakitkan hatinya!
            “Aku tahu... sebab tu aku pasang!” Selamba sahaja jawapan Syikin. Tapi suara yang mendatar itu memang mampu menyiat-nyiat hati Manis. Cepat-cepat Manis kembali ingin menukar siaran radio tetapi tangannya ditepis oleh Syikin.
            “Eh... kereta aku kan? Suka hati akulah nak pasang lagu apa!” Bertekak sebegini memang sudah menjadi amalan mereka. Perli-perli memang sudah sebati dalam perhubungan mereka. Tapi serius, kali ini Manis terasa sangat dengan sahabatnya ini.
            “Kenapa kau nak sakitkan hati aku Syikin?” Tanya Manis terus. Kenapa semua orang suka menyakitkan hatinya hari ini? Tadi mamat tak semenggah tuh.. Ini giliran Syikin pula.
Lagipun, ini ke yang dinamakan sahabat baik? Sahabat baik tak akan menyakitkan hati sahabatnya sendiri. Ini tidak... Syikin memang suka buat perkara yang menyakitkan hatinya.
            “Aku tak sakitkan hati kau Manis.. Tapi aku rasa dah sampai masanya kau bangun dari kesakitan semalam... Sampai bila kau nak macam ni? Kau dah dua puluh lima tahun Manis... Bukannya Lima tahun.. Berhentilah bersikap macam budak kecik. Try jadi matang pulak!” Sambil memandu, Syikin menjeling sedikit ke arah Manis yang sedang melontarkan pandangan ke luar.
            “Kau tuduh aku tak matanglah sekarang?” Soal Manis berang.
            “Tengok tuh... perkara macam ni pun nak ambik port. Nak touching-touching... Orang tegur tu untuk kebaikan. Cuba fikir positif sikit. Buanglah caj-caj negatif yang hanya akan merosakkan fius otak kau tuh.”
            “Aku selesa macam nih! Kalau kau nak kawan dengan aku, kau kena terima aku seadanya....” Disilangkan tangan ke tubuh. Perjalanan pulang kali ini terasa lambat. Masa seolah-olah sedang mempermainkan dirinya! Rasa sesak sahaja menumpang kereta Syikin ini. Kalau dia tahu, dia drive kereta sendiri. Tak perlu susahkan Syikin dan yang pasti, tak perlu susahkan telinganya untuk mendengar leteran Syikin.
            “Bila orang tegur, itu tak bermakna orang tu tak terima kau seadanya... Tapi teguran itu supaya kau memperbaiki yang kurang. Dia nak kau jadi lebih baik dari hari semalam.... Manis, kau kena buang sikap keras kepala kau tuh..” Sambung Syikin serius. Sesekali dia dapat mengesan riak tak puas hati sahabat baiknya itu. Tapi sikap Manis perlu ditegur... Sampai bila hendak berada di takut lama? Dunia pun dah berubah... Jadi seharusnya manusia juga harus berubah ke arah yang lebih baik.
            Manis memang tak puas hati. Disebabkan lagu raya yang berkumandang, mereka berdua bertekak sebegini rupa. Sekarang, bencinya pada hari raya makin menjadi-jadi. Akhirnya mereka sama-sama terdiam sebelum pemanduan Syikin sampai ke rumah sewa mereka.
            Cepat-cepat sahaja Manis keluar dari kereta. Terasa kereta Vios milik Syikin itu seperti membahang kepanasan sedangkan cuaca di luar ini pun sudah mula redup. Angin sepoi-sepoi mula mengalunkan seledang yang dipakai.
            Syikin mengeleng sahaja. Susah betul nak lenturkan kesan hitam daripada peristiwa silam itu. Nak guna vanish pun, belum tentu lagi akan hilang.
            “Hai Manis.... Baru balik ke?” Tegur satu suara. Ramah seperti biasa. Menjadikan amarah Manis makin menggunung tinggi.  Syikin hanya tergelak melihatnya. ‘Habislah kau Meon... Manis dah lah tak ada mood tuh!’
            “Siapa benarkan kau panggil aku Manis? Kau tu orang luar... Jangan nak menggatal panggil aku Manis!” Tengking Manis kuat. Kesabarannya tidak akan pernah wujud buat mamat jiran sebelah yang suka menganggu harinya itu.
            “Aku tanya elok-elok... Kau suka jawab tengking-tengking. Kau ingat aku pekak ke apa? Tapi tak apalah Manis.. Aku sanggup terima apa sahaja untuk kau.” Usik Meon lagi.
            “Eh, kau ni memang tak reti bahasa eh?” Ayat Manis sudah mula kedengaran kasar. Nama sahaja Manis tapi muka masam mengalahkan cuka!
            “Aku tak reti guna bahasa mulut.. Tapi kalau guna gaya fizikal aku pandailah.”
            Kali ini Manis memang tak fikir panjang. Dengan selamba dia mengambil payung yang berada di hujung pintu dan terus dibaling ke arah rumah sebelah. Tanpa sempat mengelak, payung itu benar-benar mendarat di atas kepala Meon.
            “Sakitlah wehh....” Adu Meon berserta jeritan kecil.
            “Itulah gaya fizikal aku... Sekali lagi kau ganggu hidup aku dan panggil aku Manis, aku sepak mulut kau!” Tanpa teragak, Manis mula memberikan amaran. Kali ini muka Manis puas. Cepat sahaja dia berlalu masuk ke dalam rumah.
            Syikin menggelengkan kepalanya. Manis.. Manis.. marahkan orang lain, orang lain yang jadi mangsanya. Tapi tak boleh nak salahkan Manis sangat.. Dia membesar dalam kasih sayang yang tidak sempurna. Jadi mungkin sebab itu dia gagal untuk mengimbangi rasa emosinya.
            “Sakit Meon?” Tanya Syikin prihatin.
            “Sakitlah... Kena betul-betul atas kepala aku nih.. Silap hari bulan boleh masuk wad tau. Hmm... last-last, kau jugak yang baik Syikin...” Meon sudah mula menyengih...
            “Eh, kawan kau tu memang adik beradik singa ke? Asyik nak mengaum jeh....” Sambung Meon lagi. Tangannya masih menggosok kepalanya yang keperitan! Nasib tak baik betul hari ni.
            “Mak dia singa, ayah dia harimau... Mungkin sebab tu kot dia kuat mengaum..” Syikin sengaja melawak. Kisah hidup Manis, tak perlu diceritakan kepada dunia luar. Biarlah dia simpan rahsia Manis.
            “Patutlah dia macam garuda.....”
            “Pulak... Macam-macamlah kau Meon... Eh, aku nak masuk dulu. Nak maghrib dah ni.. Kau pun, bawak-bawaklah pergi surau.” Sekadar berbasa-basi, Syikin mula masuk ke dalam rumah sewa itu.
***
Amirul...
            Badannya dilambungkan ke atas tilam. Terasa lega apabila dapat merehatkan tulang belakangnya yang sudah mula keletihan. Fikirannya mula merawang mengingatkan kisah siang tadi. Kisah dimana dia kembali dipertemukan dengan seorang wanita yang pernah mendapat tempat di hatinya. Malah sehingga kini, cintanya masih milik gadis itu. Gadis yang bernama Manis....
            Amirul dapat lihat betapa melopongnya wajah Manis tika ini. Setelah hampir dua tahun terpisah, Manis masih cantik seperti dahulu. Cuba wajahnya sahaja yang cemberut memanjang. Tidak langsung semanis namanya. Tapi apa yang nak pelik? Manis memang begini...
            “Awak kerja kat sini?” Tanya Amirul teruja.
            “Kalau mata kau nampak macam tuh, maknanya betullah...” Masih tidak berubah. Masih sinis dan pesimis! Nada suara pun masih kasar. Namun penerimaan Manis yang kasar itu mula ditolak ke tepi. Apa yang penting, dia sudah berjumpa dengan Manis. Lepas ini dia akan tackle Manis habis-habisan.
            Apalah nasib... ter..jatuh hati pada seorang yang hati kering dan jiwa batu macam Manis..
            “Macam ni ke awak layan client Manis? Saya report dekat manager awak nanti...” Usik Amirul sengaja. Jelas kelihatan riak tidak berpuas hati pada air muka Manis.
Amirul bersyukur kerana hatinya terdetik ingin turun padang untuk menguruskan pembelian kereta syarikat. Kerana sebelum ini, semua urusan diserahkan kepada rakan kongsi atau pekerjanya sendiri. Mungkin ada hikmah untuk semua ini. Tak sangka yang Manis bekerja di Bank ini.
            “Jangan nak ugut-ugut sangatlah.. Kau ingat aku hadap sangat ke dengan ugutan kau tuh? Eh, kau sebenarnya nak apa?”
            “Lah.. awakkan officer bank.. Mestilah nak jumpa berkaitan dengan pembelian kereta syarikat.” Ayat Amirul halus sahaja. Tak perlu nak terasa dengan layanan Manis. Dia memang begini. Dan tak perlu nak ikut rentak Manis. Sebab kekasaran tak akan mampu melembutkan kekasaran. Dia perlu bersabar untuk menjinakkan anak singa ini.
            “Sediakan form 24, 44, 49, M&A dan resolusi untuk pembelian kereta! Selagi document tu tak lengkap, pihak bank tak boleh nak proceed!” Terang Manis acuh tak acuh.
            Amirul menggelengkan kepala. Kalau semua client Manis layan macam ni, alamatnya tak sampai setahun, Bank ni pun boleh bangkrup! “Semua document tu saya dah bawa Cik Manis....” Sengaja Amirul meletakkan gelaran cik di depan panggal nama milik Manis. Hendak mengenal pasti sama ada Manis sudah berpunya atau belum. Kalau tanya soalan direct, memang mahu tempah sepakan percuma. Manis bukan boleh kira sangat...
            “Jangan panggil aku Cik Manis...” Kelihatan Manis sedang mengetap sedikit giginya. Mungkin menahan amarah.
            “Habis tu? Puan Manis maybe..?” Duga Amirul perlahan. Rasa kecewa tiba-tiba menjalar. ‘Siapa yang berjaya melembut dan memikat hati Manis? Aku baru nak test power... Ish...’
            “Panggil Cik Anis sahaja... Nama Manis hanya untuk orang terdekat sahaja! Dari dulu aku larang kau panggil nama tu kan?”
            Amirul tersenyum penuh kelegaan. Lega apabila mendengar gelaran cik itu. Masih belum berpunya rupanya. ‘Mungkin kita ada jodoh nih...’ Statement untuk sedapkan hati sendiri.
            “Oit.. panajang lamunan? Aku panggil berulang kali pun kau tak dengar-dengar...” Entah sejak bila Mahmud sudah berada di pintu biliknya.
            “Hah... kau tahu tak aku jumpa siapa tadi?” Terus dianggkat tubuhnya. Teruja untuk bercerita dengan sahabat baiknya itu.
            “Siapa?”
            “Manis....”
            “Manisah ke?” Tanya Mahmud sambil mengerutkan keningnya. Saja hendak double confirm! Biasanya, memang ada seorang gadis sahaja yang bernama Manis.
            “Ialah... Manis aku tulah...”
            “Habislah kau... Kau dah jumpa dah perempuan yang bermasalah tuh?”
            “Ishh... apa pulak cakap macam tuh?” Tanya Amirul pelik. Tapi dia tahu, sedari dahulu lagi Mahmud memang prejudis dengan Manis. Ialah, gadis itu garang memanjang.. Sebut sahaja nama Manis, semua lelaki pun nak angkat kaki. Hanya dia sahaja yang setia menyintai Manis.
            “Ialah... Orang buta, pekak dan cacat je yang akan sukakan Manis tuh.. Perempuan macam tu yang kau nak jadikan isteri? Apa ke teruk sangat taste kau ni Mirul... Kau tu muka ala-ala Remy Ishak, ada peluang nak dapat awek cun macam Tiz Zakiah kot.. Dia tu pulak garang macam singa betina... Kau sanggup ke duduk dalam kandang singa untuk seumur hidup  kau? Kalau aku, aku rela tak kahwin seumur hidup daripada beristerikan perempuan macam Manis... Nama je Manis tapi muka masam Ya Rabbi... Senyuman masin tak terperi!” Kutuk Mahmud tak teragak.
            “Agak-agaklah bro... Kau tengah kutuk awek aku tuh!” Amirul berpura-pura marah. Sedangkan dia tak ambik port pun kata-kata Mahmud yang terkandung berjuta kebenarannya. Singa pun boleh jinak macam burung merpati kalau kena dengan ajarannya! Dia tahu, dia pasti boleh menjinakkan Manis..
            “Belum apa-apa dah mengaku awek? Gilalah kau ni Mirul...”
            Mahmud menggelengkan kepalanya. Entah dari planet manalah Amirul ini lahir.
            “Eh jap... Aku masih tak faham! Apa yang membuatkan kau gilakan Manis tu ya? Okay... kalau kau nak bagi alasan cantik untuk support alasan kau, rasanya ramai lagi awek lagi cantik dari Manis.. Dia tu kan.. Ish, memang tak ada ciri-ciri yang boleh dijadikan isterilah babe...” Sesi mengutuk Manis masih belum tamat rupanya.
            “Hmm.. kalau Manis itu kelihatan istimewa di mata kau, jadi apa lebihnya dia kat mata aku.. That’s the point! Aku nak seorang perempuan yang hanya istimewa di pandangan aku, dan dia tidak kelihatan istimewa di mata orang lain! Jadi dia akan tahu bahawa hanya aku seorang sahaja yang akan sayang dia!”
            “Apa ke pelik sangat prinsip hidup kau ni Mirul?” Makin dilayan, makin pening Mahmud dibuatnya.
            “Sekurang-kurangnya, prinsip aku tak lah sampai buat perempuan tu macam baju! Kejap yang warna merah.. kejap warna biru! Kejap Syasya... Kejap Jenab!” Kali ini giliran Amirul pula yang memerli rakannya. Tahu sangat dengan perangai buaya Mahmud itu.
            “Perli aku nampak....”
            “Oh terasa ke? Rupa-rupanya kaulah yang tergolong dalam golongan tu ya?” Gurauan Amirul itu Mahmud sambut dengan ketawa. Sedikit pun tidak terasa.
***
Manis...
            Dari kejauhan, Manis sudah mula menangkap lenggok badan Amirul yang sedang menghampiri tempatnya. Dengan senyumannya, dengan langkahnya yang teratur dan dengan gayannya yang cukup memikat, sesiapa pun boleh terpegun dengan penampilannya. Sedari di kampus lagi, Amirul memang menjadi idaman setiap pelajar wanita. Tetapi entah kenapa, gadis seperti dirinya jugak yang Amirul usik. Mungkin rabun atau boleh jadi dah buta!
            “Hai sayang...” Tanpa malu-malu, Amirul mula menegur ramah.
            “Siapa sayang kau?” Suara Manis tertahan sedikit. Menyedari akan rakan sekerja yang berada di belakangnya.
            “Tak mengaku sekarang tak apa... Abang tak marah.” Usik Amirul lagi.
            “Kalau kau rasa mulut kau tu nak kena sepak, silalah cakap lagi ayat tuh...” Manis mula memberi amaran keras! Dia tidak suka apabila Amirul suka mempermainkan perasaannya. Orang dah tak suka tuh, lagi nak usik-usik. Tak faham bahasa sungguh!
            “Kenapa kau susah sangat nak terima aku?” Tanya Amirul terus. Kaca mata hitam yang sedari tadi berada di atas kepala, mula diletakkan di bahagian kocek baju kemejanya. Lengannya mula didaratkan di atas permukaan meja milik Manis.
            “Sebab kau tak memenuhi piawaian lelaki pilihan aku...”  Tangan Manis mula menarik laci meja. Beberapa dokumen mula dikeluarkan dan diletakkan di atas meja kerjanya.
            “Cuba beritahu aku Manis? Apa kriteria lelaki pilihan kau tuh? Berilah aku peluang walaupun hanya sekadar untuk mencuba...” Perlahan sahaja suara Amirul. Tapi terkandung berjuta
            “Kriteria tu bukan untuk dicuba Mirul.... Lagipun aku memang tak ada hati dengan kau!” Dokumen yang berada di tangannya mula diceraikan mengikut bahagiannya. Lalu beberapa helai dokumen mula diserahkan kepada Amirul. Dia tidak gemar untuk membicarakan isu perasaan di tempat kerja! Macamlah terdesak sangat!
            “Hati dan perasaan tu berada di dalam gengaman Allah Manis... Bila-bila masa dia boleh mencampakkan rasa tu pada kau. Dan masa tu, kau memang tak boleh nak buat apa-apa walaupun untuk menolak...”
            Mereka mula saling bertentang mata.
            “Maaf... Aku tak faham kau cakap apa.. By the way, tujuan aku telefon kau semalam sebab nak bagi tahu yang ada kesalahan pada resolusi yang kau beri ni. Sila betullah mengikut contoh yang aku bagi dan pulangkan pada aku semula secepat mungkin.” Terang Manis cepat-cepat.
            Terdengar keluhan halus dari Amirul. Barangkali mungkin penat untuk membetulkan fius otak Manis yang sudah berkarat itu.
            “Dari dulu lagi kau suka mengelak...”
            “Dan aku akan terus mengelak Mirul....” Sambung Manis cepat-cepat sambil tanganya laju sahaja menyemak dokumen yang berada di tangannya.
            “Sampai bila?” Tanya Amirul sedikit kasar.
            “Sampai bila- bila....”  Tekan Manis dengan suara yang serius. Kehadiran Amirul kali ini cukup menyesakkan fikirannya.
***
Amirul..
            Entah kenapa, sukar benar hendak membuang Manis di dalam benaknya. Makin ingin dihalau, makin ingatan itu mengejarnya. Sesak sungguh rasanya nak bernafas bila merindui seseorang yang memang tak rindukan kita.
            Amirul ingat lagi.. Saat kali pertama berterus terang dengan Manis mengenai perasaannya, muka Manis serius sangat!
            “Saya betul-betul sukakan awak Manis...” Ulang Amirul kembali. Bunga ros yang sebanyak tiga kuntum itu mula diserahkan kepada Manis. Tapi sikit pun Manis tidak menyentuh bunga pemberiannya.
            “Kau ni dah gila agaknya?” Tebak Manis dengan muka terkejut.
            “Kalau menyintai awak membuatkan saya gila.. Saya sanggup menanggungnya..” Mati-mati Amirul ingat yang Manis akan cair dengan ayatnya itu. Lagi dia hempuk dengan fail studynya itu adalah. Sakitnya macam paku yang kena ketuk dengan tukul.
            “Geli lah... Tolonglah jangan buat perangai pelik macam ni lagi Mirul.. Aku tak suka!” Marah Manis.
            “Semua benda yang aku buat pun, kau memang tak suka kan?” Amirul mula rasa hendak marah. Tika ini, dia merasakan bahawa, semua masalah ini berpunca dari dirinya sendiri. Jika dia tidak gatal-gatal sukakan Manis, pasti dia tidak akan rasa sakit seperti ini. Malah penyakit ini dah banyak kurap! Berjangkit dan menyakitkan...
            “Aku memang tak suka kau! Kau tanyalah seribu kali pun, jawapan aku tetap sama! Jadi, tolong jadi manusia yang faham bahasa sikit!” Suara Manis memang sedikit meninggi. Mungkin cuba untuk mengejutkan suis otak dirinya yang tersalah fius. Lantas, terus dirinya ditinggalkan begitu sahaja.
            “Sabarlah Mirul... Angin dia tak berapa baik tu.” Pujuk Syikin yang kebetulan ada bersama mereka tadi.
            “Angin dia? Habis tu angin aku tak nak fikir?” Bentak Amirul pula.
            Syikin hanya diam sahaja.
            “Semua ni salah aku.. Kenapalah aku jatuh cinta pada perempuan macam Manis tu... Bukan Manis macam madu, tapi pahitnya seperti hempedu!” Tambah Amirul lagi.
            Syikin tetap kekal diam. Tidak mengia ataupun menolak kata-kata Amirul.
            “Macam mana kau boleh bertahan dengan perempuan macam tu eh?” Sekelip mata, hilang terus rasa cinta yang selama ini berbunga mekar.. yang ada tika ini hanyalah rasa amarah yang menggila.
            “Dia baik Mirul... Aku bukan nak back up dia.. Tapi dia memang baik. Tapi kebaikan dia diselindungkan... Mungkin ada sebab yang kita tak tahu.. Kau atau aku tak boleh nak pertikaikan..” Nasihat Syikin perlahan. Dia kenal benar Manis.. Dia tahu hati budi Manis.. Dan dia tahu benar apa penyebab yang menyebabkan Manis bersikap demikian.
            “Tapi dia tak berhak nak perlakukan aku macam ni Syikin? Siapa dia nak memperlekehkan cinta aku?” Soal Amirul keras.
            “Apa bezanya dia dengan kau sekarang? Kau pun sendang memperlekehkan perempuan yang paling kau cinta? Cinta ke macam ni kalau dengan sekelip mata perasaan kau berubah hanya semata-mata kerana cinta kau ditolak? Itu bukan cinta.. Tapi itu nafsu. Nafsu untuk memiliki perkara yang kau suka!”
            Kali ini Amirul mula terdiam. Mungkin mengambil kira kata-kata Syikin yang penuh dengan maksud tersirat. Nak buat macam mana? Darah muda ini sentiasa menggelegak tatkala hati ini disentap dengan rasa tak puas hati.
            “Mirul... Kalau kau betul sayangkan Manis.. Kau kena bersabar untuk ketahui kenapa semua ini berlaku. Kadang-kadang, bila perempuan kasar, dia bukan nak berkasar tapi dia nak tengok sejauh mana kesabaran lelaki itu untuk menghadapi karenahnya.. kerana hakikatnya, hati wanita sangat lembut... dan Manis pun tak terkecuali Mirul... Dia perempuan yang penuh kelembutan.. Cuba kelembutannya, bukan pada seorang lelaki yang bersepah di jalanan.. Lembut hatinya hanya milik seorang lelaki yang bakal bergelar suaminya. Kalau kau nak dia, berusahalah dekatkan diri kau dengan penciptaNya dahulu.. Sebab makin kau kenal Dia, makin kau akan kenal orang yang kau cinta...”
            Amirul tersenyum. Dia masih ingat lagi nasihat panjang lebar dari Syikin itu. Kata-kata itulah perangsang untuk dia setia menyayangi Manis. Betul kata Syikin... Mungkin dia dengan Manis tak pernah dekat, tapi rasa ini makin bertaut apabila kita meletakkan Pencipta melebihi dari segala sesuatu di dunia.
            Walaupun Manis kekal bersikap kasar dengan dirinya, tiada lagi rasa benci atau amarah untuk perempuan itu. Kadang-kadang wanita ini dihantar oleh Allah untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran seorang lelaki. Jadi, bersedialah untuk ditahan uji.
            Jika kita marah pada seseorang, jangan terus tak nampak kebaikannya. Dan jika kita suka pada seseorang, jangan terus tidak nampak kelemahannya. Alhamdulilah.. Allah tidak gelapkan hatinya dengan cinta semata-mata. Dia nampak segala kelemahan milik Manis. Dan telah dia sedia untuk menerima segalanya...
            ‘Manis.... apa masalah awak sebenarnya? Tak nak share dengan saya ke?’ Mungkin dia perlu merancang strategi untuk memikat Manis. Tapi persoalannya, boleh menjadi ke strateginya itu? Boleh pitam rasanya kalu fikir kesudahan kisah cinta ini...
***
 Manis...
            Telefon yang berdering kuat itu dipandang lama. Nama mama yang tertera di skrin telefon itu benar-benar meragut ketenangannya. Esok dah start puasa. Dia sudah pasti agenda yang mama rancang untuk dirinya esok. Agaknya sebab itu mama telefon. Dengan berat hati, telefon Samsung SII itu mula dicapai.
            “Assalamualaikum sayang...” Ceria sahaja suara mama.
            “Waalaikumusalam..” Hambar. Langsung tidak menunjukkan kemesraan.
            “Esok dah nak start puasa... Mari balik berbuka sama-sama dengan mama ya.” Ajak Puan Laila semangat.
            “Tengoklah dulu macam mana... Manis tak dapat nak janji. Kerja banyak sekarang!”
            “Manis... Esok kan sabtu... Kerja jugak ke?” Suara Puan Laila mula kendur. Tidak bersemangat seperti tadi lagi. Mungkin kecewa dengan kelakuan anaknya yang seorang ini.
            “Kerja bank mama... kerja tak pernah habis!”
            “Ke nak mama pergi sana?” Tiba-tiba Puan Laila mencelah dengan idea baru.
            “Eh tak payahlah.... Okaylah mama... Manis ada kerja. Bye, assalamualaikum!” Terus dia memutuskan talian. Bimbang nanti terpujuk dengan kata-kata mama. Beginilah hubungannya dengan mama setelah mama dan papa bercerai tujuh tahun yang lalu. Rasa marahnya masih belum suruh apabila mengenangkan sikap mementingkan diri milik mama dan papanya. Dan sekarang, dia cuba untuk membalas dendam pada mama dan papanya dengan sikap keras kepalanya.
            Sekali lagi, telefonnya berdering lagi. Kali ini nama papa pula yang naik! Kebiasaanya selalu begini. Mereka pasti akan menelefon dalam waktu yang terdekat! Firasat mereka selalu sama.. tapi sayang, jodoh mereka tak panjang.
            “Helo anak papa yang manis...” Riang ria raya sahaja suara papa.
            “Helo papa....”
            “Esok teman papa buka puasa ya!” Sudah Manis duga akan semua ini.
            “Sorry.. Manis ada kerja. Tak dapat nak teman papa..” Tolak Manis sekali lagi. Cuba yang bezanya, penolakan dari dua orang yang berbeza.
            “Hmm... Manis nak berbuka dengan mama ke?” Duga Encik Murad.
            “Tak..”
            “Tahun lepas kan dah berbuka dengan mama.. Tahun ni dengan papalah pulak!” Protes Encik Murad sedikit keras. Mungkin papanya meragui jawapannya tadi. Jadi Encik Murad mula melahirkan rasa tidak puas hatinya.
            “Manis tak berbuka dengan mama pun! Manis pun tak mahu berbuka dengan papa! Biar Manis berbuka sendiri sorang-sorang. Lagipun Manis dah biasa sendiri-sendiri. Mama dan papa tak perlu nak sibuk-sibuk hal Manis. Susah senang Manis, Manis dah biasa hadap sorang-sorang...”
            Suara Manis sudah mula bergetar. Menahan rasa marah yang mula mengamuk dalam jiwa. Terlupa yang dia sedang berhadapan dengan papanya sendiri. Langsung tidak dipedulikan dengan suaranya yang agak meninggi. Akhirnya terus diputuskan perbualan. Sudah penat berbalah begini. Tak cukup-cukup gaduh dengan isteri, nak cari gaduh dengan anak pulak ke?
            Manis mula duduk di birai katil. Lafasnya dihela perlahan. Menghalau pergi segala rasa amarah yang menyesakkan jiwanya. Entah sampai bila semua ini akan berlarutan?
            “Manis....” Panggil satu suara dari muka pintu.
            Sedikit pun dia tidak menyahut. Hanya wajahnya yang dipalingkan. Memandang Syikin yang sudah siap bertelekung. Mungkin ingin menyambut malam ramadhan pertama ini di masjid yang berdekatan.
            “Jom tarawih...” Ajak Syikin semangat. Masih belum mengesan air muka rakannya yang keruh itu.
            “Kenapa ni?” Kakinya mula merapat. Menghampiri susuk tubuh Manis yang kaku itu. Perlahan-lahan dia memaut bahu Manis. Cuba meredakan perasaan milik Manis. Apabila dia terpandangkan samsung SII yang terdampar di atas katil, dia sudah mula dapat mengesan puncanya.
            “Gaduh dengan papa mama kau lagi?” Tanya Syikin prihatin. Sampai bilalah hubungan Manis dan kedua ibu bapanya perlu retak begini. Kadang-kadang harus diakui yang semua ini berpunca dari sikap keras kepala milik Manis. Dia seolah-olah cuba menghukum kedua ibu bapanya sendiri.
            “Kekosongan ni aku sorang je yang rasa Syikin... Jadi adilkan kalau aku berkongsi kepedihan ni dengan dia orang?” Manis mula menanyakan akan kewajaran sikapnya.
            “Lari dari masalah, bukan penyelesaian yang baik Manis... Mama dan papa kau cuba nak pulihkan hubungan korang, kenapa kau perlu menidakkan?” Setiap kali awal ramadhan, pasti mereka akan bergaduh atas punca yang sama. Manis terlalu bersikap keras kepala terhadap mama dan papanya.
Lagipun, Syikin kenal benar dengan Encik Murad dan Puan Laila. Kedua-duanya baik. Cuba berlembut apabila menghadapi kedegilan Manis. Tapi seperti biasa, tak akan sesiapa pun yang mampu membidas kata-kata Manis. Kalau Manis kata A, jangan harap keputusannya itu akan berubah.
Syikin tahu Manis kecewa. Dia sudah terlalu mengenal Manis. Di awal perhubungan mereka dahulu, dia juga sukar menebak pemikiran Manis yang lebih bersikap pendendam. Tapi apabila kebenaran terbongkar, dia sedar yang Manis cuma terlalu pinginkan perhatian dari mama dan papanya yang sudah berpisah. Dia sakit hati dengan penceraian mama dan papanya. Jadi untuk berlaku adil, dia sengaja bersikap keras kepala dengan ibu bapanya sendiri. Motifnya adalah kerana dendam!
“Kenapa aku tak boleh ada family macam orang lain?” Tanya Manis lirih.
“Manis.. jangan macam nih.. Tak baik persoalkan takdir.. Dan apa yang kau lakukan sekarang seolah-olah kau nak menghukum takdir. Apalah yang kita dapat bila berkeras dengan ibu bapa sendiri Manis? Kau rasa kau menang ke? Tak kan... Sebab tak akan beroleh kemenangan kalau bertekak dengan ibu bapa sendiri. Kita sebagai anak kena beralah.” Nasihat Syikin lagi.
“Kalau dia orang boleh pentingkan diri sendiri? Kenapa aku tak boleh?” Bentak Manis. Syikin mula mengeluh perlahan. Sudah ketandusan idea untuk menasihatkan Manis. Ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Buat bazir air liur sahaja...
“Dah lah Manis.. Sekarang kau tengah marah.. Pergi ambil air sembahyang. Kita pergi tarawih dulu...”  Ajak Syikin sambil menolak tubuh badan sahabatnya itu.
“Sekalipun kau tak suka nak raya, tapi itu tak bermakna kau bencikan ramadhan kan... Tak baik benci bulan mulia nih! Bulan ni lah kita kena berebut meningkatkan amalan kita... Mengharapkan keampunan dan rahmat daripada Allah...” Syikin rasa, dia sudah menggunakan clorox untuk membasuh otak Manis. Kalau tak bersih-bersih jugak, mungkin terpaksa guna berus besi pulak!
Bibirnya mula menguntumkan senyum apabila melihat Manis menapak ke bilik air. Harapanya agar Allah menjadikan ramadhan dan aidilfitri kali ni lebih bermakna dari yang lepas-lepas. Biar Manis sedar bahawa, Aidilfitri itu bukan membawa kesedihan dan kecelaruan. Moga ramadhan kali ni dapat membuka ruang pemikiran Manis yang sempit itu.
***
Amirul...
Hari ini hari pertama puasa! Ya, terasa begitu semangat sekali. Apatah lagi sekarang dia sedang dalam perjalanan menuju ke bank! Untuk apa? Motifnya adalah untuk menukar duit raya. Memang awal lagi.. Bukan apa, dia malas hendak bersesak-sesak di hujung ramadhan nanti. Biarlah dia selesaikan apa yang boleh selesai di awal waktu. Tetapi itu hanya alasan sokongan sahaja, tujuan yang sebenar pastilah hendak bertemu dengan Manis.
Apabila sampai ke perkarangan Bank, kawasan sudah bertukar sesak. Mujur sahaja ada parking yang sudah tersedia. Cepat-cepat dia memarkingkan kereta Honda Civic miliknya. Dikerling jam yang berada di tangan. Sudah masuk waktu zohor. Jadi lebih baik dia singgah di masjid dahulu sebelum bergelumang di dalam bank yang dah berubah seperti pasar! Dari tingkap cermin ini, keadaan bank tidak ubah seperti tin sardin! Padat gila!
Sesudah menunaikan solat, dia mula menyarungkan kasut di muka pintu masjid. Namun matanya mula terpandangkan seorang gadis yang memakai baju kurung merah jambu itu. Seolah-olah gadis itu sedang menekan perutnya sediri. Mungkin diserang gastrik barangkali!
Tanpa berlengah, cepat sahaja Amirul mendapatkan gadis tersebut. “Dik, awak tak apa-apa?” Bukanlah niat hendak menggatal di bulan puasa ini, tapi hanya sekadar ingin membantu memandangkan tidak ada sesiapa pun yang lalu lalang ketika ini.
“Saya okay...”
Mendengarkan suara tersebut, terus Amirul mencuri pandang. Macam familiar je suara nih! Padanlah... Manis rupanya.
“Awak rupanya?” Amirul tersenyum sedikit. Haih... memang ada jodoh gamaknya.
“Kau lagi? Kenapa kat mana-mana pun ada kau?” Amirul menggeleng perlahan menyambut respon dari Manis. Sakit-sakit begini, masih lagi sempat menyakitkan hati orang. Manis...Manis.. Allah bayar kat dunia teruslah. Baik awak berhenti dari menyakitkan hati saya.
“Awak kenapa nih? Senggugut ke?” Tebak Amirul. Biasalah kalau perempuan sakit perut. Datang bulanlah tuh...
“Kalau saya senggugut, tak kan lah saya terpacak kat depan pintu masjid! Agak-agaklah sikit. Cuba teka macam orang pandai sikit. Bodoh!” Itu dia... Tak pasal-pasal dapat pangkat bodoh secara percuma!
Amirul mula menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Habis tu kenapa nih?” Tanya Amirul prihatin. Masih belum berputus asa.
“Sibuklah!”
‘Aik, kena marah lagi?’
“Awak ni kan, sakit-sakit pun nak sombong lagi kan? Jom pergi klinik. Kat belakang TM tu je...” Kebetulan, memang terdapat sebuah klinik berhampiran dengan masjid ini.
“Kalau aku nak pergi, pandai-pandailah aku pergi sendiri! Tak payah sibuk-sibuk!” Marah Manis sambil mengerutkan dahinya. Mungkin sedang menampung rasa sakit yang makin menggila.
‘Tak boleh jadi nih, aku kena buat sesuatu!’
“Jom pergi klinik! Sekarang awak pilih, nak jalan sendiri ke atau nak saya dukung awak!” Kali ini, Amirul mula berkeras. Tak boleh nak layan sangat keras kepala milik Manis ini.
“Kau jangan nak buat kerja gilalah Mirul!” Muka Manis sudah diserang kemerahan. Mungkin menahan rasa marah yang sudah membentak di jiwa.
“Ya.. Aku memang tengah gila sekarang! Jadi, baik kau jangan duk duga lagi kesabaran orang gila nih. Cepat jalan!”
Mata Manis mula merenung matanya. Mungkin ingin mengenal pasti tahap keseriushan dirinya.
“Sekarang Manis...!” Tak pasal-pasal keluar terus suara jantannya! Kalau tadi, dia mampu lagi untuk berlembut, tapi tidak untuk waktu sekarang. Akhirnya bibirnya mula menguntumkan senyuman apabila melihat Manis sudah mula menapak perlahan. ‘Berjaya jugak buat watak sengal ala-ala tentera!’
Kawasan di klinik tidak berapa ramai waktu ini. Jadi mudah sahaja tiba giliran untuk Manis. Tanpa diajak, Amirul masuk untuk menemani gadis itu walaupun dihalang keras oleh Manis.
“Kenapa dengan isteri saya doktor?” Tanya Amirul usai doktor lelaki itu melakukan pemeriksaan. Sengaja ditekankan perkataan isteri itu. Tidak suka dengan renungan doktor lelaki yang agak berlebihan itu. Agak-agaklah sikit bro... Bulan puasa pun sempat lagi main mata!
“Oh... isteri encik tak apa-apa. Cuma hanya mengalami gastrik sahaja.” Riak wajahnya sedikit berubah. Mungkin tidak menyangka yang Manis sudah berkahwin.
“Oh.. Alhamdulilah... nasib baik sayang tak apa-apa.” Dapat Amirul kesan betapa tegangnya wajah Manis dikala ini. Kalau kena marah pun, Amirul sudah tidak kisah. Yang penting, dia mahu melarikan anak mata doktor yang bernama Zafril ini.
“Lepas ni, suruh isteri Encik jaga makan ya. Pastikan dia bersahur setiap pagi. Kalau tidak, takut perut dia pedih dan tak mampu untuk berpuasa.” Nasihat Dr Zafril lagi. Tangannya laju menulis di atas report kad berwarna kuning itu.
Manis kelihatan seperti hendak bersuara tetapi cepat-cepat dipintas oleh Amirul.
“Itulah sayang... Abang dah suruh sayang bangun. Nanti kena sahur tau! Jangan degil-degil.” Amirul mula memalingkan badan. Lagak seperti mengambil berat pada seorang isteri. Tapi, dia memang ambil berat pun soal Manis.
“Okay.. Encik boleh ambil ubat dekat kaunter depan.”
Mendengarkan arahan doktor itu, cepat sahaja Amirul bangun. Dia cuba membantu Manis, tapi dia sedar yang dia masih perlu menjaga batasnya sebagai seorang lelaki yang bukan muhrim.
“Terima kasih doktor.” Ucap Manis sambil tersenyum.
Senyuman Manis itu mula membuatkan hati Amirul berdentum! ‘Hai, dengan aku tak ada pulak nak senyum segala! Pilih kasih betullah Manis nih..’
“Amboihhh... kemain lagi senyum dengan doktor tu tadi kan?” Tegur Amirul. Belum apa-apa, angin cemburu dan mula menjentik rasa.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba nak cemburu. Lepas tu pandai-pandai mengaku jadi suami aku! Otak kau ni mereng gamaknya.”
“Otak aku memang dah sah mereng bila aku sukakan kau! Memang kena mengaku jadi suami. Aku tengok doktor tu bukan main lagi menggatal!”
“Suka hati dialah kalau nak menggatal pun...”
“Memang.. tapi bukan dengan kau. Kau aku punya!” Ini betul-betul statement berani mati. Tercengang Manis dibuatnya.
“Dah.. Tunggu sini kejap! Aku pergi ambil ubat!” Cepat-cepat Amirul pergi ke kaunter apabila nama Manis dipanggil. Dalam pada masa yang sama, dia ingin menyembunyikan rasa malunya kerana terlepas kata sebentar tadi. ‘Apasallah mulut ni tak ada lampu merah!’
***
Manis...
            Akhirnya, Manis mengikut arahan Amirul yang hendak menghantarnya pulang memandangkan Syikin terpaksa menghadiri mesyuarat penting di pejabatnya. Menyesal pulak rasa menumpang orang! Kalau drive sendiri kan senang.
            “Senyap je?” Tegur Amirul yang sedang memandu.
            “Banyak cakap, banyak dosa!”
            Terus Amirul terdiam. Tangan lelaki itu mula menekan punat radio. Sekali lagi telinganya naik bernanah apabila mendengar lagu raya yang berkumandang. Tanpa banyak cakap, tangan Manis laju sahaja menutup radio kereta Amirul.
            “Eh, kenapa tutup? Lagu raya tuh...”
            “Penat! Nak rehat! Sakit telinga!” Tipu Manis. Malas untuk memanjangkan cerita.
            “Balik ni terus makan dan  jangan lupa makan ubat! Pastikan awak makan sahur. Tak kanlah sepanjang sebulan ni awak tak nak puasa Manis... Jaga diri sikit.” Nasihat Amirul lembut.
            “Badan saya... suka hati sayalah! Lagipun sakit tu saya tangung sendiri... Bukan kongsi dengan awak pun!” Jawab Manis kasar. Tidak suka bila dibebel oleh Amirul.
            “Saya cakap sikit je Manis..”
            “Tak payah cakap langsung lagi senang!” Pintas Manis cepat-cepat. Rasa senak di perut makin menjadi-jadi apabila berhadapan dengan Amirul ini. Kalau macam ni, orang yang sihat pun boleh jadi sakit! Susah apabila berhadapan dengan lelaki kuat membebel ini.
            Tangan kanannya mula ditekan ke perut. Sakitnya bukan kepalang lagi.
            “Manis, awak okay tak nih?” Hampir-hampir sahaja Amirul hendak menghentikan pemanduan di bahu jalan. Namun ditegah kasar oleh Manis.
            “Saya nak balik! Tolong hantar saya ke rumah!” Arah Manis keras.
            “Masuk kanan!” Arah Manis apabila pemanduan Amirul sudah masuk ke dalam kawasan perumahannya.
            Mata Manis mula membulat apabila melihat kereta yang tersadai di hadapan rumah sewanya. ‘Mama....’ Dengan sedikit menggelabah, terus Manis mengarahkan Amirul berhenti.
            “Awak gila ke berhenti mengejut macam ni?” Tak pasal-pasal dia pulak yang kena marah dengan Amirul.
            “Mirul... Pusing balik. Aku tak mahu balik rumah.” Putus Manis muktamad. Kali ini wajah Amirul pula yang terpinga-pinga.
            “Kalau tak balik rumah, kita nak pergi mana?”
            ‘Argghhh... time-time macam ni pulak dia banyak tanya!’ Manis mula rasa hendak marah.
            “Ikut jelah... Jangan banyak tanya boleh tak?” Marah Manis geram. Dia tak mahu jumpa mama. Dia tak mahu berbuka dengan mama. Biar mama sakit hati! Biar mama rasa apa yang dia rasa tika ini.
            “Kau nak pergi mana? Kau sebenarnya tengah lari dari siapa ni?” Mata Amirul mula mencuri pandang ke arah depan.
            “Mirul.... Jom kita pergi tempat lain?” Kali ini, nada suara Manis sudah bertukar lirih. Dia betul-betul tidak mahu berjumpa dengan mamanya. Dia tahu yang Amirul pasti tidak akan memahaminya. Tapi dia teramat mengharapkan pengertian dari Amirul.
            “Apa aku dapat kalau aku ikut cakap kau?” Manis mula mengetap bibir apabila mendengar suara Amirul itu. Lelaki itu seakan-akan ingin menarik tali dengannya.
            “Aku teman kau bukak puasa hari ni!” Putus Manis cepat.
            “Lagi?”
            “Kau nak apa lagi?” Tanya Manis sedikit keras. Geram pula dengan sikap Amirul yang sengaja hendak mempermainkan dirinya.
            “Teman aku shopping raya!” Cadang Amirul sambil tersengih-sengih.
            “Tengoklah dulu macam mana...”
            “Kalau macam tu, aku nak keluar pergi jumpa dengan orang yang kau nak lari sangat tuh....” Amirul sudah berkira-kira untuk keluar dari perut kereta.
            “Okay...okay... Aku teman kau shopping!” Boleh jadi gila bila deal dengan orang GILA nih!
            “Hmm....” Entah apa lagilah yang ada dalam kepala otak Amirul tika ini.
            “Apa lagi?”
            “Jom raya sama!” Ajak Amirul sambil tersengih-sengih.
            Manis mula mengetap bibir sambil tangannya masih lagi giat menekan perutnya yang sakit.
            “Kau nak kena bunuh ke Mirul?” Ini memang dah melebihi tahap kesabaran nih! Bagi betis nak peha! Bagi pelempang, nak penerajang sekali gamaknya.
            “Yalah... aku gerak sekarang!” Amirul sudah memulakan pemanduannya yang terhenti tadi.
            “Tapi... kau kena cerita dengan aku! Kenapa kau lari dari mak cik tuh..” Pinta Amirul serius.
            Apabila kereta sudah mula menjauh, Manis mula melemparkan pemandangan ke belakang. Melihat mamanya yang sedang bersandar ke kereta. Sebelum mama menghubunginya, lebih baik dia mematikan telefon bimbitnya. Kalau dia boleh memilih, dia tidak mahu berada di situasi seperti ini. Pedih dan menyakitkan....
***
Amirul...
            Sudah hampir setengah jam mereka berada di tepi pantai ini. Namun sepatah perkataan pun masih belum keluar dari mulut Manis. Amirul mula melebarkan pandangan ke sekeliling kawasan Pantai Teluk Cempedak ini.
Tak ramai orang yang berkunjung. Al-maklumlah hari ni hari berkerja. Tambah-tambah pulak bulan puasa. Siapalah yang nak berkelah dekat tepi pantai ini? Dia sahaja yang tak ada kerja dan tak ada idea untuk membawa Manis yang seakan-akan terganggu emosinya itu. Jadi, akhirnya mereka tercampak di tepi pantai ini. Mujur sahaja hari agak mendung dan cuara redup. Dapat jugaklah mendamaikan perasaan.
“Okay... saya dah mula rasa sakit otak dengan kebisuan nih!” Suara Amirul mula memecahkan tembok kebisuan.
“Aku tak terasa nak cakap apa-apa.”
“Benda yang menyakitkan, jangan simpan sorang-sorang Manis! Nanti awak boleh jadi GILA!” Nasihat Amirul lagi. Memang susah nak betulkan otak Manis ini. Dari tepi, Amirul mula menganalisa wajah Manis. Dalam seriusnya wajah itu, Amirul dapat kesan seribu satu masalah yang seakan-akan tidak mahu terungkai. Wajah kelat itu penuh dengan sesuatu yang menjerut perasaannya sendiri. Apa sebenarnya yang menganggu fikiran Manis?
“Siapa perempuan tua tu tadi?” Amirul mula memberanikan diri untuk bertanya.
“Tak menarik untuk diceritakan.” Jawab Manis tiada perasaan.
Amirul melepaskan keluhan sedikit. Sekurang-kurangnya dia tidak dimaki dan diherdik oleh Manis. Itu pun dah cukup baik!
“Manis....” Seru Amirul serius. Kalau ikutkan hatinya, ingin sahaja di menarik bahu Manis agar berhadapan dengannya. Tapi ada batasan yang memagari hubungan mereka. Kalau buat jugak, memang ada kena sepak dengan Manis sampai ke laut China Selatan.
Duduk berdua di bangku seperti ini pun boleh mendatangkan fitnah juga sebenarnya walaupun hari terang benderang! Memanglah iblis dengan syaitan dah kena ikat tapi nafsu masih lagi menerawang dalam diri setiap manusia. Nafsu pasti akan lebih berusaha untuk menumpaskan manusia kerana ketiadaan rakan karibnya si syaitan itu.
“Mirul... Tolong jangan paksa! Aku tak suka share perkara ni dengan sesiapa pun! Biar aku simpan sorang-sorang.” Manis seakan-akan cuba untuk memahamkan Amirul agar tidak lagi memaksa dia untuk bercerita.
“Tapi nanti hati kau akan sakit Manis...”
“Biarlah.... Hati ni dah terbiasa sakit Mirul. Aku dah biasa untuk hadap kesakitan ni sendirian. Jiwa aku dah lali dengan kesakitan nih...” Sambung Manis lagi. Matanya merenung jauh ke hadapan. Entah perkara apalah yang diterokainya, Amirul sendiri tidak pasti.
“Kalau kau nak lebih lega, kau boleh menangis...” Cadang Amirul prihatin.
Cepat sahaja Manis berpaling ke arah Amirul.
“Untuk apa? Untuk memperlihatkan kebodohan aku dalam menghadapi masalah yang serupa? Untuk menjadikan aku manusia yang tak berguna? Menangis hanya akan membuatkan aku penat Mirul...”
Amirul menggelengkan kepalanya. “Menangis bukan tanda kalah Manis.. Menangis itu anugerah. Kau boleh ekspresikan emosi kau melalui air mata. Sebab itu Allah kurniakan air mata tu pada manusia. Orang yang menangis, bukan orang yang lemah atau bodoh! Sekolah mana yang ajar kau menangis tu bodoh? Semua budak-budak pun menangis kot masa nak masuk sekolah..” Sempat lagi Amirul buat lawak saat serius seperti ini.
“Tak kelakarlah...” Muka Manis kekal tanpa reaksi.
“Sakit kau dah okay?” Sebelum turun dari kereta tadi, sempat lagi Amirul mengarahkan Manis untuk makan ubat. Gadis itu menyambut dengan muka masam. Mungkin tidak suka dipaksa-paksa dan diarah itu ini.
“Dah....”
“Sakit tu penyembuh dosa.. Kadang-kadang melalui sakitlah kita bayar kifarah dosa-dosa kita...” Amirul tersenyum sedikit. Macam bagus pulak nak bagi ceramah dekat orang! Berkongsi apa yang kita tahu, itu tak bermakna manusia tu nak tunjuk pandai.
“Kau okay tak ni?” Pertanyaan Amirul dijawab oleh dengusan kasar.
“Jangan treat aku macam budak-budak boleh tak?” Soal Manis garang.
“Memanglah... kau sedar tak kadang-kadang perangai kau macam budak-budak. Degil memanjang.....” Giat Amirul sengaja.
Manis hanya senyap. Mungkin sedang melayan perasaan ataupun sudah malas bertekak dengan Amirul. Ataupun dia sedang memikirkan sesuatu yang serius.
“Manis....” Panggil Amirul lagi. Tidak mahu Manis terus terpisah dengan dunianya sendiri.
Perlahan-lahan Manis berpaling.
            “Aku ni tak adalah pandai sangat nak nasihatkan orang... Tapi aku nak share something dengan kau. Ayat ni pun akau cilok dekat post kat FB jeh.. Tapi aku suka ayat tuh.. Kau nak dengar?” Pancing Amirul sengaja. Otak Amirul mula cuba dijana dengan baik. Cuba mengingati bait-bait ayat yang menangkap jiwanya dahulu. Siapa kata online di facebook tu membuang masa? Ada jugak faedahnya... boleh guna status orang untuk pujuk hati Manis.
“Ayat apa?” Manis mula memberikan perhatian.
“Jika kita tidak mampu menjadi sebatang pensil untuk menulis kebahagiaan orang lain, sekurang-kurangnya kita boleh menjadi pemadam lembut yang mampu menghilangkan kesedihan seseorang....”
            Manis diam. Amirul sendiri tidak pasti yang otak Manis dapat menghadam atau tidak ayat tersebut. “Ada dua sebab aku bagi ayat ni pada kau....” Kata-katanya terhenti seketika.
            “Satu... mungkin kau ada masalah dengan seseorang.. Aku dapat rasa yang kau sedang melarikan diri dari masalah itu. Jadi nasihat tu bergunalah untuk kau. Dan yang kedua.... ehem... kata-kata tu memang lahir dari lubuk hati aku Manis.. Mungkin aku tak mampu nak bahagiakan hidup kau, tapi teringin nak jadi pemadam yang mampu untuk menghilangkan segala kesedihan kau tuh.” Suara Amirul jelas kedengaran serius.
            Cepat-cepat Manis melarikan pandangan ke arah depan. Merenung ombak yang masih tidak jemu-jemu menghempas pantai. “Jangan Mirul.... Kau tak akan mampu untuk membasuh kesedihan aku malah kau pun akan terjebak sama dalam kesedihan ni..” Pertama kali, Manis menggunakan bahasa yang lembut ketika berbicara dengan Amirul.
            “Kenapa?” Balik-balik, ayat itu juga yang menjadi modal Manis. Amirul mula rasa tak puas hati. Nak sahaja dia ambil parang dan belah otak manis. Biar dia teroka apa yang ada dalam benak Manis saat ini.
            “Kau tak memenuhi syarat untuk jadi suami aku!”
            “Apa syaratnya Manis? Cuba bagi tahu aku...” Tekan Amirul geram. Perempuan ini suka sangat berahsia!
            “Aku hanya akan kahwin dengan lelaki yang sekampung atau setaman dengan aku je!” Membuntang mata Amirul apabila mendengar syarat-syarat Manis. ‘Apa ke bangang sangat syarat perempuan nih! Tak masuk dek otak langsung!’
            “Syarat tu tak relevan langsung Manis.. Dapat yang sekampung atau setaman pun, itu bukan syarat untuk bahagia! Kau tak rasa ke kau macam mendera diri sendiri..” Kutuk Amirul selamba. Ingatkan bombastik sangat syarat calon suami idaman Manis.. Ingatkan nak calon suami pilot ke? Nak muka ala-ala Remy Ishak ke? Rupa-rupanya hanya sekadar calon sekampung! Haih, memang pemikiran macam orang kampung.
            “Kau tak akan faham Mirul...” Keluh Manis sambil mengelengkan kepalanya.
            “Jadi, awak buatlah saya faham Manis... Saya betul-betul sayang dan sukakan awak!” Ini yang buat Amirul hendak mengutuk kaum perempuan. Depa selalu bilang kaum lelaki tak memahami, tapi kaum wanita sendiri tak bagi perluang untuk lelaki faham keadaan mereka? Suka berselindung dalam selimut penipuan ataupun menyembunyikan rahsia kononnya. Dah tu macam mana? Nak salahkan lelaki jugak ke?
            “Syarat aku tu bersebab... lagipun lama mana kasih sayang tu akan bertahan kalau hubungan tu dipagari oleh rasa ego, cemburu, dan sikap mementingkan diri sendiri! Saya terlalu bencikan orang yang mementingkan diri sendiri. Orang yang macam tu hanya akan fikir pasal diri mereka je. Tak fikir langsung pasal orang sekeliling yang turut menanggung derita yang sama? Dia orang tak ada hak nak buat macam tu Mirul... Tak ada Hak!”
            Amirul merenung lembut wajah di sebelahnya. Nada suara Manis penuh dengan emosi yang membuak-buak. Gadis itu seolah-olah ingin melemparkan segala keperitannya, tapi keadaan seperti menahan Manis dari melakukan meluahkan perkara yang terselindung.
            “Awak tengah cakap pasal siapa ni?” Giat Amirul perlahan. Sengaja mahu mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau Manis ringan hati nak cerita sejarah silamnya. Semua sikap negatif tu tak ada kena mengena dengan syarat calon suami Manis pun.
            “Saya merangkumi semua... Tak ada highlight pada sesiapa pun.”
            “Okay... masih nak berahsia..”
            “Saya simpan apa yang sepatutnya saya simpan.” Lantang sahaja Manis bersuara.
            “Simpan buat pekasam lepas tu jadi masam! Lepas tu, semua pun dah tak guna..” Balas Amirul berani. Sekarang dia hampir dapat mengenal perangai Manis. Gadis ini seolah-olah telah hidup tanpa hati dan perasaan. Sebab itu Manis bersikap beku dan bisu dengan keadaan sekelilingnya.
            “Susahlah cakap dengan awak ni Mirul....” Protes Manis geram. Matanya membahang sahaja memandang Amirul. Seakan-akan ingin menelan Amirul hidup-hidup. Mungkin marah bila didesak berulang kali.
            “Tak payah cakap... Awak just angguk sahaja.” Ajaran Amirul itu membuatkan Manis terpinga-pinga.
            “Angguk untuk?”
            “Jadi isteri saya!”
            “Jangan harap!” Manis mencebik. Amirul ketawa. Suka hati pulak bila dapat mengenakan Manis.
            “Harapan akan ada dalam setiap doa manusia Manis...” Amirul sudah mula tersenyum perli. Manis buat-buat tak dengar. Akhirnya mereka sama-sama menghirup angin laut. Menenangkan hati yang mula kembang!
***
Manis
            Mereka sempat singgah di masjid berdekatan untuk menunaikan solat maghrib selepas berbuka puasa di restoren Amirah Thai. Makin lama, dia makin menyenangi perangai Amirul yang sememangnya sangat menyakitkan hati dengan sikap lepas lakunya itu tapi dalam masa yang sama, sangat menghormati pendiriannya.
            “Nak singgah mana-mana lagi?”
            “Tak nak...”
            “Thanks Manis.. Sudi teman saya berbuka puasa.” Ucap Amirul sambil tersenyum. Mungkin senang hati kerana dirinya menamani lelaki itu berbuka puasa.
            “Terima kasih jugak sebab sudi tolong aku tadi..”
            “Wahhh...” Tiba-tiba Amirul menjerit kecil.
            “Kau ni dah kenapa?” Hampir sahaja tergolek jantung Manis mendengar jeritan Amirul itu.
            “Macam bulan jatuh ke riba bila dengar kau ucap terima kasih.” Manis mula mengigit bibir. Sempat lagi lelaki ini hendak memerli dirinya.
            “Tak payah nak perli-perli aku!” Marah Manis.
            “Ini bukan perli... Ini puji! Sila pandang dari posisi yang berasingan ya.” Ada sahaja ayat balas Amirul. Akhirnya Manis senyap. Sudah penat untuk berbalas kata.
            “Perut kau meragam lagi?” Tanya Amirul. Mungkin tidak senang apabila kesunyian menemani perjalanan balik mereka.
            “Dah okay...” Jawab Manis pendek.
            “Lepas ni jaga diri...” Pesan Amirul.
            “Memanglah... tak kan nak jual diri pulak!”
            “Amboih jawapan... Kemain lagi.. Tapi kalau betul nak jual, aku sudi je nak membeli...”
            “Jangan mimpi!”
            “Sombong....” Akhirnya Amirul memberhentikan pemanduan di hadapan rumahnya. Manis melebarkan pandangan, bimbang jika ternampak kelibat mamanya. Tapi nampaknya, mamanya memang tak ada dirumah  sewanya ini.
Fuh,.. selamat!
            Amirul ikut sama keluar dari kereta apabila Manis mula membukakan pintu kereta.  Namun baru sahaja kaki Manis mencecah ke tanah, matanya mula menangkap kelibat sahabat baiknya yang baru keluar dari pintu rumah. Yang anehnya, wajah Syikin merah menahan marah.
            “Kau pergi mana?” Tanya Syikin kasar. Rasanya selama mereka bersahabat, inilah kali pertama Manis melihat Syikin sekasar ini.
            Manis diam! Masih belum dapat mengenal pasti punca Syikin jadi begini.
            “Kau tahu tak mama kau datang tadi?” Tanya Syikin lagi. Mungkin bengang dengan respon Manis yang sepi.
            “Mak cik tadi mama awak ke Manis?” Tiba-tiba Amirul mencelah perbualan antara Manis dan Syikin. Wajahnya juga ikut turut berubah.
            “Jadi kau tahu yang mama kau datang? Jadi sebab tu kau sanggup keluar dengan Mirul? Hei, apa nak jadi dengan kau nih... Kau tahu tak mama kau tunggu kau berapa lama? Telefon langsung kau tutup. Jadi memang menjadilah taktik kau untuk mengelak dari mama kau?” Syikin terus melepaskan rasa marahnya.
            Manis terus diam. Langsung tidak membalas kata.
            “Betul ke mak cik tadi mama awak Manis?” Tanya Amirul untuk kesekian kalinya.
            “Penting ke untuk kau tahu?”
            “Pentinglah... Kalau aku tahu mak cik tadi mak kau, tak ada makna aku nak tolong kau. Mesti dia datang ke sini nak berbuka sama-sama dengan kau. Tak baik kau buat dia macam tuh!” Kali ini giliran Amirul pula yang melepaskan kemarahan.
            “Dia mama aku, bukan mama kau pun!” Manis dan Amirul sudah mula hendak bertikam lidah.
            “Kau tahu pun yang dia mama kau... Tapi kau sanggup pulak buat dia macam tuh?” Bidas Syikin geram.
            “Habis tuh, dia boleh pulak buat hidup aku macam ni?” Mereka berdua sudah mula beradu pandangan. Manis tahu yang Syikin hendak menyalahkan dirinya. Tapi dia pun punya perasaan! Dia tak suka dipermainkan seperti bola. Sekejap ke kiri, kejap ke kanan! Salah satu pemain itu akan menang bila bola berjaya dijaringkan ke gawang gol. Tapi apa yang ada pada dia? Dia akan kekal dipermainkan sampai bila-bila! Bukankah itu kekejaman!
            Syikin mula melepaskan keluhan. “Kau kena belajar terima hakikat Manis.... Semua ni takdir yang berada di luar batas keupayaan mama dan papa kau sendiri! Kau bukan budak kecik! Kenapa susah sangat kau nak fikir?” Tangannya menggoncang kuat bahu Manis. Mungkin cuba untuk mengejutkan Manis dari terus menyalahkan takdir.
            “Apa yang sebenarnya dah belaku?” Sampuk Amirul lantas menghangatkan lagi keadaan.
            “Kau senyap! Kau tu orang luar. Pergi berambus sekarang!” Tengking Manis kuat! Tercengang Amirul dibuatnya.
            “Manis...” Syikin sudah mula menarik lengan Manis yang seperti singa kelaparan itu. Berulang kali dia menolak kuat tubuh Amirul.
            “Cuba bawa mengucap!”
            “Aku dah bosan dengan semua ni Syikin... Aku betul-betul dah bosan!” Hambur Manis lantas berlalu masuk ke dalam rumah. Air mata berjuraian di birai pipi. Manis tahu, mungkin satu dunia hendak menyalahkan dirinya tika ini. Biarlah... Dia langsung tidak peduli!
            Masuk sahaja bilik, Manis terus mencari telefon bimbitnya. Dibuka telefon bimbit yang sedari tadi ditutup. Berpuluh-puluh miscall daripada nombor mama dan Syikin. Mungkin mereka kalut mencari dirinya tadi.
            ‘Mama... Apa perasaan mama sekarang? Sakit tak? Macam tulah perasaan Manis dulu..’ Sangat menyakitkan bila diperlakukan seperti watak yang tidak penting oleh orang yang kita sayang.
***
Amirul
             Kepala yang berdenyut itu Amirul picit perlahan. Bingung memikirkan perkara yang telah terjadi di depan matanya tadi. Kenapa hati Manis sekeras itu. “Kenapa Manis jadi macam tu Syikin?” Amirul tahu, hanya Syikin yang mampu memberikannya jawapan.
            “Manis... Dia terlalu berdendam... Sampai dendam tu makan diri dia sendiri!” Luah Syikin sambil mengeluh. Mungkin sudah penat melayan karenah sahabatnya itu.
            “Dendam? Dendam pada mama dan papa dia sendiri?” Duga Amirul.
            Syikin hanya mengangguk. Membenarkan tekaan Amirul.
            “Sebab?”
            “Sebab mama dan papa dia dah bercerai... Sejak dari tu, dia jadi macam ni. Macam nak salahkan mama dan papa dia...”
            “Oh.. macam tu ke?” Terbit rasa simpati dalam diri untuk Manis. Tapi Manis seharusnya berhadapan dengan semua ini. Bukan bertindak seperti orang tak siuman yang terus menerus menyalahkan takdir.
            “Maaf sebab Manis berkasar dengan kau tadi.” Pohon Syikin mewakili temannya itu. Dia tahu yang Manis memang suka buat sesuatu ikut kepala dia. Betul atau salah, dia memang kurang peka.
            “Aku dah memang tahu yang Manis tu tak boleh dijangka. Kejap macam okay.. kejap puting beliung.” Amirul angkat bahu. Dia sudah faham sangat.
            “Tapi apa sebab mak dengan ayah dia bercerai? Kau tahu?” Amirul mula ambil sikap busy body. Bukan apa, senang sikit kalau dia tanya dari Syikin. Kalau tanya dengan Manis, tahun depan pun belum tentu lagi akan beroleh jawapannya.
            Syikin senyap. Mungkin sedang berfikir sama ada hendak membocorkan rahsia Manis itu ataupun hendak menceritakan segalanya kepada Amirul.
            “Dengan aku pun nak berahsia ke Syikin...” Pujuk Amirul halus.
            “Tak ada orang tahu pasal hal ni Mirul...”
            “Ya... sebab tu aku nak tahu sangat.”
            Syikin memandang ke bahagian tingkap bilik Manis. Bibirnya diketap perlahan. Akhirnya Syikin melepaskan nafas perlahan. Mungkin ada baiknya jika perkara ini dikongsi dengan Amirul. Siapa tahu yang Amirul punya cara untuk menghentikan kedegilan Manis.
            “Mama dengan papa Manis bercerai sebab......” Syikin mula berjeda.
            “Ish... tak payahlah buat saspen-saspen... Sebab apa?” Gesa Amirul tidak sabar.
            “Sebab... berebut nak balik raya!”
            “Hah!”
            Amirul melopong. Kalau dia tengah makan sekarang, mahu boleh mati tercekik. Jadi sebab berebut nak balik raya? Hanya sebab itu mereka bercerai?
***
Manis
            Kalendar yang berada di hujung meja mula dicapai. Setelah ditilik dan dibelek, raya hanya tinggal lima hari sahaja lagi. Terasa cepat benar Ramadhan hendak beransur pergi. Rasa sedih mula bersarang dalam hati. Raya dah nak dekat...
            “Oit... form cuti dah apply belum? Berapa hari kau mintak?” Tanya Syaima. Rakan sekerja Manis.
            “Aku tak apply.. Aku bercuti dengan cuti yang disediakan kerajaan je..” Jawab Manis acuh tak acuh. Beberapa dokumen mula dicapai. Malas hendak melayan karenah rakan sejawatnya ini. Bila masuk topik raya, memang Manis tak berkenan sangat.
            “Ish.. kau ni kan, setiap tahun mesti macam ni.. Kau tak teringin ke nak balik kampung, beraya jumpa dengan sedara mara...” Protes Syaima hendak tahu.
            “Bagi aku raya tu tak perlu nak meriah sangat... Setakat pergi sembahyang raya.. lepas tu bermaafan sesama keluarga. Sudahlah... nak beraya sakan pun buat apa? Bukan dapat duit raya...”Bidas Manis sedikit tak puas hati.
            ‘Menyibuk aje minah nih.. Suka hati akulah nak cuti ke tak? Mulutnya berjalan dari tadi, kerja satu pun tak gerak!’ Manis mula nak angin.
            “Memanglah tak dapat duit raya. Tapi dapat jugak mengeratkan silaturahim sesama umat islam kan.. sesama sedara.. Itulah fungsi hari kemenangan. Bukan duk tercongok depan tv sambil makan rendang. Bukan itu definasi raya yang sebenar.” Tambah Syaima lagi. Hendak mematah belahkan hujah-hujah Manis.
            Rasa marah sudah mula melonjak ke kepala. Berang betul dengan sikat Syaima kali ini. Tak boleh ke minah ini duduk diam dan hormat pendirian orang lain? Baru sahaja Manis ingin buka mulut, muncul lagi sorang makhluk Allah yang seangkatan dengan Syaima.
            “Manis.. kau belilah kuih raya yang akak jual nih... Murah je.. Satu bekas dua puluh ringgit.” Sempat lagi Kak Munah menjual kuih raya dengan rakan sekerjanya. Manis mula menepuk dahi. Serabut!
            “Saya tak makan kuih raya kak...” Tolak Manis halus. Malas hendak berkasar dengan officemate sendiri. Tak cukup-cukup nak gaduh dengan roomate, dengan officemate pun nak cari gaduh jugak ke.
            Sejak mereka bertekak dahulu, hubungannya dengan Syikin agak menjauh. Tidak mesra dan baik seperti dahulu lagi. Jika Syikin tak ajak berbual, Manis pun malas nak sibuk-sibuk bertanya itu ini dengan Syikin. Nak kata dia bencikan Syikin, fakta itu memang salah sama sekali. Yang ada hanyalah rasa kecil hati kerana Syikin memerahinya lantas melebihkan orang luar berbanding dirinya.
            “Aku peliklah dengan kau ni Manis.. Tak beli baju raya lagi, tak ambil cuti raya, tak makan kuih raya, tak balik raya... Apa sebenarnya makna raya pada kau?” Si mulut becok Syaima mula melontarkan perluru soalan. Dan Manis langsung tidak berminat untuk menjawabnya.
            ‘Pada aku.... raya tu sesuatu yang menyakitkan.. Aku hilang orang yang aku sayang disebabkan raya.... Kerana raya, manusia tak matang dan hilang toleransi... jika aku menyambut hari raya, umpamanya aku menyambut kedatangan kesedihan aku...’ Bisik Manis lirih.
            Tiba-tiba telefon bimbit Manis berbunyi. Rasa lega mula menyalur dalam hati. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari menjawab soalan-soalan Syaima yang menyesakkan nafasnya. Namun nafasnya terasa terhenti saat melihat nama Amirul yang tertera di skrin telefon.
            ‘Baru lepas satu bala... datang lagi satu bala...’ Setelah kejadian tempoh hari, Amirul langsung tidak mencarinya. Jadi, apa yang membuatkan Amirul menelefonnya saat ini? Dengan berat hati, diangkat juga panggila tersebut. Semata-mata untuk mengelak dari soalan-soalan maut rakan sejawatnya.
            “Hello...”
            “Assalamualaikum...” Sapa Amirul.
            “Waalaikumusalam.... Kenapa call?”
            “Saya telefon nak menuntut janjilah..” Ceria sahaja suara Amirul. Arghh... Amirul mana pernah kenal erti sedih dan kecewa. Sebab lelaki itu asyik diulit bahagia. Kadang-kadang dia sangat mencemburui Amirul. Sedari dahulu Amirul kekal ceria sebegini manakala dirinya pula kekal dihimpit dan dimamah perasaan sadis.
            “Janji apa?”
            “Lupa ke yang awak pernah berjanji untuk temankan saya cari baju raya?” Berkerut dahi Manis untuk mengingati waktu dan ketika dia melangsungkan janji.
            “Bila?”
            “Jadi tak payahlah susah-susah guna tenaga awak tu untuk  ingat bila waktu dan masa kita berjanji tu. Hari ni berbuka puasa dengan saya okay? Saya ambil awak dekat depan bank nanti. Kalau orang tu tak tunaikan janji dia, maknanya dia tergolong dalam golongan munafik! Jadi, jangan nak lari pulak!”
            Suara Amirul kedengaran lembut tetapi penuh ketegasan.
            Belum sempat Manis menyampuk kata, Amirul sudah pun memutuskan talian. Akhirnya Manis mula teringat sendiri. Kalau ikutkan hatinya, boleh sahaja dia lari sekejap lagi. Tapi apabila teringatkan perkataan munafik itu, terus dia telan liur.
            ‘Alah.. teman baju raya je pun! Belasah jelah....’
            Manis menyerah! Tapi itu tidak bermakna dia kalah!
***
Amirul
            Sedari tadi, senyuman simpul tidak lepas dari wajah Amirul. Senang hati, suka hati, gatal hati, semuanya diadun bersama apabila cinta hati berada di hadapannya untuk menemaninya berbuka puasa.
            Tiga minggu dia berpuasa dari berjumpa dengan Manis. Ulang kembali, tiga minggu! Mungkin nampak sekejap tapi lamanya macam tiga tahun! Bukan senang nak halang kehendak hati yang terlalu rindukan kemarahan dan kedegilan Manis. Tapi cuba disabarkan segenap pelusuk rasa. Mengingatkan diri sendiri bahawa sesuatu yang baik itu akan menuntut kesabaran yang bukan sedikit.
            Bukan sengaja dia menjauhkan atau menjarakkan diri. Dia cuma mahu Manis menyendiri dan belajar merindukan dirinya walaupun dia tahu yang Manis langsung berbahagia dengan kehilangan dirinya.
            Dalam pada masa yang sama, dia ingin Manis menghilangkan ingatan dengan apa yang berlaku pada waktu terakhir kali mereka berjumpa dahulu. Dia tidak mahu jika Manis berterusan marah dengan dirinya. Jadi bila lama tak jumpa, mungkin rasa marah itu sudah hilang. Jadi mudahlah dirinya untuk memujuk!
            “Kenapa dari tadi duk tersengih je? Apa ingat handsome sangat ke?” Perli Manis sambil mendengus.
            “Lah... berdosa ke kalau senyum?”
            “Aku tak cakap pun berdosa....”
            “Habis tu salah ke?”
            “Aku pun tak cakap salah.....”
            “Dah tuh?”
            “Sakit hati! Sakit mata! Tahu!”
            Amirul ketawa mendengar ayat Manis. Tak ada maknanya dia akan terasa dengan kata-kata Manis. Dia lebih suka Manis membebel dengan kemarahan dari sunyi dan sepi tanpa sebarang suara. Itu lagi hukuman yang mendera mental!
            “Tapi saya senang hati tengok awak!. Sejuk je bila mata ni pandang awak. Tahu!” Usik Amirul.
            “Gila!”
            “Makan cepat.. Lepas ni nak solat maghrib kat surau.” Amirul mula ubah topik. Tidak mahu jika Manis dibaluti dengan suasana tidak selesa.
            “Aku nak baliklah Mirul... Aku nak sembahyang tarawih.”
            “Tak payah nak cari helallah Manis..”
            “Aku bukan cari helah... Aku memang nak tarawih. Sayang kalau tinggal!”
            Amirul sudah mula membetulkan duduknya. “Kau ingat aku tak tahu ke yang kau tak puasa hari ni..” Kata-kata yang keluar dari mulut Amirul itu benar-benar berjaya membuatkan Manis melopong!
            “Memandai je kau nih! Aku puasalah!” Rona wajah Manis sudah mula berubah. Mungkin tidak menjangka yang akan ditebak sebegini rupa. Manis tak tahu yang Amirul menebalkan mukanya sendiri untuk menggeladah kisah hidup Manis pada Syikin. Syikin pun berat mulut je nak cerita. Apatah lagi bila masuk bab-bab datang bulan nih. Isu sensitip kaum perempuan tuh!
            “Tengok muka pun dah tahu tak puasa.. Dah, jangan nak kalentong aku... Jom teman aku beli baju raya. Aku pergi bayar kejap!” Langkah kaki Amirul sudah mula bergerak ke kaunter pembayaran.
            “Kau tak mahu pergi tarawih ke?” Muka Manis penuh dengan rasa was-was. Mungkin berfikir yang dirinya bukanlah kaki masjid yang berdiri di belakang imam untuk menunaikan solat sunat tarawih.
            “Balik dari shopping karang aku buatlah...”
            “Iyalah tuh...” Manis buat muka tak percaya.
            “Eh... orang yang baik tak akan buka pekung keburukan orang lain dan tak akan buka kebaikan diri sendiri.” Manis senyap! Mungkin terkesan dengan kata-katanya tadi.
            “Kau dah beli baju raya belum?” Sambil melangkah ke surau di pusat membeli belah East Cost Mall ini, mulut Amirul sengaja diringankan untuk bertanya.
            “Tak beli pun..” Jawab Manis acuh tak acuh.
            “Aik... tak nak raya ke? Kaulah perempuan pertama yang aku tengok sangat tak excited sambut raya. Biasanya perempuan yang aku kenal, depa memborong sampai habis stok! Sampai dah lega duit dalam bank tuh..” Amirul cuba sedaya upaya mengajak Manis untuk masuk ke dalam dunia cerianya. Nak harapkan Manis memulakan perbualan, memang tempat tiket ke kubur dululah. Mulut berat macam ada jongkong emas!
            “Ramai sangat ke perempuan yang kau kenal?”
            “Aik.. cemburu ke?”
            “Banyak cantik kau punya tapak kaki! Kejadah aku nak cemburunya.” Muka Manis marah. Tidak suka dituduh cemburu gamaknya.
            “Manalah tahu.. Malu tapi mahu!”
            “Tak ada maknanya mahu....”
            “Banyak maknanya... mahu disayangi.. mahu disayangi...”
            Manis mendengus. “Boleh tak kau jangan suka hati nak sambung-sambung ayat aku..” Marah Manis keras.
            “Dan kau pulak boleh tak jangan suka hati nak sampuk-sampuk ayat aku..”
            Manis tepuk dahi. ‘Sebelum tanduk dekat kepala Manis tumbuh, baik cepat-cepat aku sejukkan kemarahan dia..’
            “Dah... dah... aku nak pergi sembahyang.. Nak doa banyak-banyak sikit. Biar hati kau terang dan tenang sikit!” Perli Amirul selamba.
            “Baik kau doa aku mati je terus!” Bidas Manis sambil berlalu manakala Amirul ketawa.
            “Tak kanlah kita nak doakan benda yang bukan-bukan untuk seseorang yang kita sayang kan.. Contoh kalau kita sayangkan mak ayah kitalah... Sebenci mana pun kita pada mereka, kita tetap tak akan mendoakan kecelakaan mereka kan..” Physcho Amirul perlahan. Matanya dilirik sedikit ke arah Manis. Berdebar menantikan respon daripada Manis.
            Lama Manis terdiam.
            “Kalau doakan yang buruk jugak?” Tanya Manis polos.
            “Mungkin hatinya dah mati sebelum ajalnya...”
            Kata-kata Amirul itu membuatkan Manis menghentikan langkahnya. Perlahan-lahan Manis berpaling namun Amirul terus melarikan langkahnya menuju ke surau lelaki. Membiarkan Manis berfikir sendiri. Bagi Amirul, Manis bukan paku yang sekali ketuk, sekali jalan. Manis ialah dinding yang keras. Jika paku tersalah ketuk, silap hari bulan dinding tu boleh retak. Dinding yang retak memang payah nak baiki. Macam tu jugak dengan hati manusia. Lebih-lebih lagi hati Manis.
***
Manis
            Berulang kali ayat Amirul yang terakhir itu dicerna di dalam benaknya. Entah kenapa,hatinya mula tak tenteram! ‘Mungkin hatinya dah mati sebelum ajalnya...’ Ayat keramat itu betul-betul menganggu benaknya. Bercelaru dan serabai sekali!
            ‘Adakah aku tergolong dalam golongan manusia yang telah mati hatinya?’ Entah berapa kali soalan itu diajukan kepada diri sendiri. Sayangnya, soalan itu masih kekal tanpa jawapan.
            “Warna pink ke, warna merah yang cantik?” Suara itu mengejutkan Lamunan Manis.  Beberapa helai baju melayu mula disuakan ke arah tubuhnya.
            “Warna kuning!” Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab!
            “Kau suka warna kuning ke?” Tanya Amirul semangat.
            “Aah...” Tipu Manis sengaja. Dia paling benci warna kuning. Sakit matanya dengan kuning sinar kerabat diraja itu. Terlalu menyerlah untuk dirinya yang tergolong dalam kategori sederhana ini.
            “Okay... Awak ambik yang ni, saya ambik yang ini!” Amirul menghulurkan sepasang baju kurung moden bersulam berona kuning yang sepadan dengan baju melayu yang baru dicapai. Cepat sahaja tangannya mencapai baju. Cantik pulak tuh!
            “Apa nih.. teman kau je kan? Buat apa nak suruh aku beli pulak!” Protes Manis tak puas hati.
            “Hmm.. anggap je ini sebagai hadiah sebab teman aku pergi shopping.”
            “Tak payahlah nak rasuah-rasuah.. Aku tak makan benda haram tuh!” Baju yang dipilih oleh Amirul itu mula digantungkan ke tempat asalnya.
            Perlahan Amirul mendekat ke arah Manis. Tidak mahu jika jurujual tersebut menangkap pergaduhan mereka yang boleh menjatuhkan maruah Manis. Manis kalau nak marah, bukan kira tempat atau orang. Tang tu jugak dia nak sembur. “Tak boleh ke kalau kau terima je? Kalau tak suka colour kuning tuh... Boleh pilih yang lain. Ambil satu untuk pakai raya nanti. Kan sunat pakai pakaian baru di pagi raya..” Pujuk Amirul lembut.
            “Baju lama pun ada banyak lagi yang tak terpakai!”
            “Manis... ini adalah satu arahan!” Suara Amirul sedikit memaksa.
            Manis mendengus!
            “Harap maaf.. Arahan tak delivered!” Muka Manis mencuka. Tak suka dipaksa-paksa apatah lagi orang yang memaksanya itu adalah Amirul.
            Tiba-tiba lengan Amirul menempuh air minuman yang berada di tangan Manis sehingga membuatkan minuman itu terjatuh dan terpercik pada baju baru tersebut.
            Manis tercengang! Namun apabila dia mengangkat wajah, dia melihat Amirul sedang tersenyum simpul. Malah senyuman itu semakin panjang merekah. ‘Mesti lelaki ni sengaja!’ Bibirnya diketip kuat. Sakitnya hati hanya Allah yang tahu.
            “Encik.. Baju ni dah kotor.. Jadi Encik kena beli baju ni.” Seorang jurujual sudah mula menghampiri kami. Manis telan air liur. Terus mengadap wajah Amirul. Hendak melihat respon daripada jejaka tersebut. Hatinya bagai ditumbuk lumat oleh lesung batu apabila melihat wajah selamba Amirul itu.
            “Ish.. apalah sayang ni. Sampai tertumpah air dekat baju. Tak apalah dik.. kami beli baju ni. Lagipun kalau basuh mesti hilang kotoran nih...”
            “Kau jangan harap aku akan pakai baju tuh!” Bentak Manis tak puas hati. Asyik-asyik Amirul sahaja yang menang.
            “Aku tak paksa kau pakai pun... Aku hanya nak belikan untuk kau je!”                    Manis melopong! Tak pasal-pasal terkena.
            Amirul mula meninggalkan Manis untuk menguruskan pembayaran di kaunter. Manis sudah berkira-kira untuk pulang sendiri namun cepat sahaja langkah Amirul untuk mengejarnya.
            “Aku yang ambik jadi aku yang kena hantar balik.” Putus Amirul muktamad.
            “Aku boleh balik sendirilah Mirul. Kenapa kau suka tentukan apa yang aku kena buat dan apa yang aku tak boleh buat? Kau siapa untuk memandai arrangekan hidup aku! Hidup aku ada peraturan tersendiri. Kau jangan nak tunjuk macho untuk mengarah itu ini! Apa kau ingat aku terharu ke? Rasa haru biru adalah...!” Bebel Manis geram. Sedari tadi Amirul suka mengarahkan itu ini. Apa ingat supervisor seven eleven ke hah?
            “Macam mana aku ambil kau.. Macam tu jugak bila aku akan hantar kau.. Boleh tak jangan nak keras kepala sangat!” Suara Amirul kedengaran serius.
            “Kepala aku.. suka hati akulah nak keras atau pun lembut!” Jawab Manis sinis. Mereka berdua mula bertekak di bahagian ruangan legar ini. Mujur sahaja belum berjaya menarik perhatian pengunjung yang lain.
“Untuk apa kau pamerkan sikap keras kepala kau nih? Kau ingat sikap keras kepala tu sikap manusia yang kebal ke? Kalau kau nak tahu, kepala tu jika dihantuk ke dinding, pasti akan pecah jugak! Jadi, kau ada nampak tak apa-apa faedah dari sikap keras kepala kau tuh?” Soal Amirul dengan muka merah menahan marah. Mungkin kesabarannya sudah mula beransur pergi melayan kedegilan Manis.
            Manis diam. Malas untuk terus bertekak tapi sebenarnya dia kehilangan modal untuk membalas kata. Jadi lebih baik dia diam. Tangannya mula menekan punat lift untuk ke bahagian basement. Sebenarnya dia tak adalah berkeras nak balik sendiri pun! Saja nak mengada berdegil dengan Amirul. Nak cuba baca bahasa tubuh dan ketahanan mental milik Amirul. Ternyata, Amirul bukanlah kategori lelaki yang bersabar sangat! Apatah lagi nak tergolong dalam kategori lelaki idaman! Memang tak lah kan...
            “Manis....”
            Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Amirul apabila mereka sudah masuk ke dalam perut kereta.
            Manis berpaling ke sebelah apabila Amirul menyeru namanya.
            “Kenapa?” Kerutan di dahi Amirul sedikit kelihatan. Mengiringi soalanya.
            “Kenapa apa?” Tanya Manis tak faham.
            “Kenapa kau takut nak hidup bahagia?” Suara Amirul perlahan sahaja. Kereta masih belum bergerak. Mungkin Amirul sedang menunggu enjin kereta panas sedikit.
            “Apa maksud kau?”
            Perlahan-lahan Amirul mula mencuri nafas. “Kenapa kau nak berkeras dan berdegil dengan semua orang? Kau bahagia ke hidup macam ni?”
            “Jangan buat kesimpulan macam kau tahu semua isi cerita Mirul!” Marah Manis keras. Tidak suka bila orang suka hati membuat kesimpulan sendiri tentang hidupnya. Bahagia atau menderita, ada susahkan orang lain ke? Semuanya dia tanggung sorang-sorang jugak!
            “Kalau aku cakap aku tahu?”
            Biji mata Manis mula terbuntang.
            “Tahu dari mana? Mesti dari Syikin kan...” Manis mula mengenggam penumbuk! Tak suka bila kisah hidupnya dijaja kepada dunia luar! Lagipun, sejak bila Syikin bertukar menjadi seorang sahabat yang suka memlelong kehidupan peribadinya?
            “Aku cakap kalau kan.....” Suara Amirul dileretkan sedikit.
            “Mirul, kenapa kau perlu sibuk-sibuk tentang hidup aku. Biarlah kalau aku takut nak hidup bahagia pun.. Ada susahkan kau ke?” Kali ini Manis mengendurkan sedikit suaranya. Mula faham bahawa tengkingan tak akan boleh dihadam oleh Amirul.
            “Sebab aku sayang kau Manis... Sebab tu aku nak kau bahagia. Kenangan lama yang perit tu macam makanan yang basi. Buat apa nak simpan dalam peti lama-lama. Buat busuk peti jeh! Macam tu jugak dengan kenangan pahit kau tu. Tak payah simpan-simpan. Bila dah busuk nanti, bau dia payah nak hilang!”
            “Sebenarnya kau memang dah tahu kan?” Mata Manis mula berkaca. Dia dah boleh agak yang Syikin sudah membocorkan rahsia hidupnya.
            “Ya... Aku memang dah tahu.” Akui Amirul jujur.
            “Aku nak balik.. Tolong hantar aku balik sekarang jugak!”
            “Tapi Manis...”
            “Aku cakap sekarang, maknanya sekarang Mirul.. Sekarang!” Tengking Manis kuat. Tidak betah lagi untuk terus bersabar. Sungguh, dia terlalu kecewa dengan Syikin. Terlalu....
***
Amirul
            Takbir raya yang bergema dari kaca televisyen itu membuatkan Amirul tidak senang duduk. Terasa bersalah kerana mendatangkan kemarahan dari Manis tempoh hari. Apatah lagi perbualan telefon dengan Syikin tadi benar-benar meruntun perasaannya.
            “Dia berkeras tak mahu balik raya Mirul.. Dia betul-betul marah pada aku...” Cerita Syikin sebak.
            “Habis tu dia duduk sorang-sorang jelah kat rumah tuh?” Tanya Amirul risau.
            “Haah..”
            “Sebelum ni dia balik mana?”
            “Sebelum ni dia gilir balik dekat rumah parents dia. Tapi kali ni dia memang tak mahu balik rumah siapa-siapa pun!” Syikin yang berada di hujung talian sudah mula teresak-esak.
            ‘Arghh.. tak boleh jadi nih! Kena pergi jumpa Manis jugak!’ Tanpa berlengah, terus Amirul mencapai kunci kereta. Tujuan utamanya pastilah ke rumah Manis!
            Sesampainya di rumah Manis, dia melihat dua buah kereta turut berada di depan garaj kereta. Laju sahaja Amirul keluar dari kereta. Bimbangkan keselamatan Manis.
            “Manis, kenapa nih?” Manis sudah berada di luar rumah bersama dengan seorang lelaki dan seorang wanita. Mungkin keduanya adalah orang tua Manis.
            “Dah... tak payah nak bertekak lagi. Manis akan beraya kat rumah kawan Manis. Tu, dia dah datang dah pun. Mama dengan papa bolehlah balik.” Amirul sedikit tergamam mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Manis.
            “Manis.. kenapa nak beraya kat rumah orang? Manis kan ada mama... boleh beraya dekat rumah mama kan.” Pujuk Puan Laila lembut.
            “Tahun lepas dah beraya di rumah mama.. Tahun ni kan giliran papa pulak!” Encik Murad sedikit tak berpuas hati.
            “Sudahlah! Manis penat nak dengar mama dengan papa bergaduh. Dari dulu lagi... Tak puas-puas hati lagi ke? Sekarang dua-dua boleh beraya dekat kampung sendiri kan... Macam mana Manis tak paksa mama dengan papa untuk rujuk, macam tu jugak Manis tak mahu mama dan papa paksa Manis untuk balik beraya. Manis dah decide nak balik raya dekat rumah Amirul...”
            Kini, dua pasang mata itu mula menghala ke arah Amirul yang tercegat di depan pagar rumah Manis. Sungguh, wajahnya jelas tercengang!
            “Sekarang puaslah hati awak kan? Anak kita tak ikut saya balik!” Kemarahan itu Encik Murad tujukan kepada bekas isterinya.
            “Apa abang nih... Saya tak paksa pun Manis beraya dengan saya. Saya Cuma ajak! Manalah tahu kalau dia mahu. Tu je.. Bukan saya nak menghasut pun!” Jawab Puan Laila pulak.
            “Manis cakap sudah, sudahlah! Tak puas-puas lagi ke bergaduh? Dari dulu sampai sekarang... Manis dah bosan!” Suara Manis sudah meninggi. Mengejutkan semua yang mendengar.
            “Manis...” Tegur Amirul perlahan. Dia sedar yang Manis tidak boleh mengawal emosi dan perasaaannya lagi. Kena cepat bawak Manis lari dari sini.
            “Mama dengan papa pergilah balik. Jangan risaukan Manis. Tak matinya kalau hidup sorang-sorang pun. Mirul, kau tunggu kejap, aku pergi ambik beg!” Tanpa menunggu lama, terus sahaja Manis masuk semula ke dalam rumah.
            Puan Laila sudah mula menangis. Manakala Encik Murad memandang Amirul dari atas ke bawah. Umpama melihat seorang makhluk halus yang baru mendarat di bumi.
            ‘Aku datang salah time ke aku memang ditakdirkan  untuk  menjadi penyelamat Manis?’ Amirul mula rasa cuak. Apatah lagi renungan tajam papa Manis begitu menggerunkan.
            “Pak cik tak tahu kamu ni siapa? Apa hubungan kamu dengan Manis... Tapi pak cik harap kamu boleh jaga Manis untuk pak cik.” Lerr... ingatkan nak belasah dirinya. Rupanya nak bagi pesanan ringkas jeh. Fuh, lega!
            “Saya kawan Manis.. Jangan risau pak cik. Saya akan jaga Manis. Saya akan cuba pujuk Manis supaya beraya dengan mak cik dan pak cik.” Entah jadi atau tidak, Amirul sendiri kurang pasti. Tapi dia akan cuba sedaya upaya untuk memujuk Manis.
            “Salah saya... Semua ni salah saya. Kalaulah saya tak berkeras, Manis mesti tak jadi macam ni. Mesti Manis tak akan benci pada mama dan papa dia sendiri!” Ujar Puan Laila dengan deraian air mata.
            “Lela, jangan salahkan diri awak.. Ini salah saya jugak!”
            Amirul dapat merasakan yang Puan Laila dan Encik Murad sebenarnya saling menyayangi antara satu sama lain. Mungkin keadaan dan waktu memaksa mereka untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan.
            “Pak cik.. Mak cik... Saya rasa ada satu cara je untuk selesaikan masalah nih? Mungkin cara tu boleh memujuk hati Manis dari terus marahkan pak cik dan mak cik.” Rajin sahaja mulut Amirul melontarkan idea. Bukan apa, dia hanya ingin cuba membantu. Siapa tahu yang rancangan ini akan berjaya!
            “Apa dia?” Tanya kedua-duanya secara serentak.
            “Pak cik dan mak cik kena rujuk semula!”
***
Manis
            Air mata yang singgah di pipi segera diseka pergi. Malu pula apabila menangis di sebelah Amirul tika ini. Namun ternyata kekuatannya tidak mampu bertahan lagi. Entah kenapa, hatinya terusik apabila mendengar takbir raya yang bergema. Saat semua orang sibuk menyiapkan persiapan di saat akhir, dia pula kekal menyendiri tanpa sebarang persiapan. Sedih kan?
            “Kau tak boleh hukum mama dan papa kau macam tu Manis... Semua yang berlaku adalah ketentuan takdir. Takdir tu dah ditentukan oleh Allah yang mana tak ada seorang pun manusia yang boleh sanggah. Malah manusia kena terima qada dan qadar yang ditentukan buat mereka. Jadi kenapa kau berulang kali menolak kenyataan Manis? Kau tak layak nak hukum mama dan papa kau sendiri! Perpisahan ni pun bukan permintaan mereka... Mana ada manusia yang minta keluarga mereka berpecah belah.. Mana ada orang mintak untuk bercerai berai. Tapi dah kalau Allah tentukan lagu tuh, mestilah ada hikmah yang dia sorokkan..” Amirul sudah memulakan ceramah tak berbayar. Manis memang keras kepala!
            “Kau tak faham perasaan aku.. Kau tahu, aku ingat lagi.. Waktu semua orang tengah ceria menyambut hari raya, aku menangis sepanjang hari bila mama dan papa bercerai pada hari raya. Hari yang sepatutnya menjadi hari kemenangan bertukar menjadi hari  perpisahan. Kalau dengar memanglah tak logik. Tapi setiap tahun dia orang bergaduh nak balik raya Mirul.. Setiap tahun! Sampai bercerai! Sebab tu aku benci nak sambut raya Mirul.... Bagi aku, aidilfitri tu sungguh menyakitkan.” Pertama kali Manis mula berkongsi perasaan bersama Amirul.
            “Kau tak boleh menghukum keadaan Manis. Okay aku bagi kau contoh ya! Kalau ada kemalangan, kita nak salahkan siapa? Nak salahkan pemandu, kereta ataupun jalan raya! Semua tu boleh jadi penyebab Manis.. Mungkin waktu tu pemandu tu bawak kereta laju... Mungkin kereta ada masalah kesihatan dalaman sehingga hilang kawalan.. Tak pun jalan raya yang licin atau jammed yang teruk. Semua tu boleh jadi penyebab kan? Tapi sebenarnya semua yang berlaku dah ditetapkan. Orang Islam wajib berpegang pada rukun iman. Rukun yang terakhir ialah, percaya pada qada dan qadar. Kalau kau tak percaya, maknanya tak lengkaplah rukun Iman kau tuh.”
            Kali ini Manis terus terdiam dan terus terdiam. Otaknya seakan-akan boleh mencerna bait-bait nasihat Amirul itu.
            “Mirul... Hantar aku balik rumah semula..” Putus Manis perlahan.
            “Kenapa pulak?” Amirul yang sedang memandu menjeling sedikit ke arah Manis.
            “Mungkin mama dan papa dah balik kut.. Jadi, biarlah aku balik rumah tu semula.”
            “Habis tu nak raya sorang-sorang ke?”
            Perlahan sahaja Manis menganggukkan kepalanya.
            “Jangan harap!”
            “Habis tu tak kanlah aku nak pergi rumah kau pulak?” Bangkang Manis tak puas hati.
            “Ialah... kan memang dari dulu aku ajak kau raya sama tapi tadi kau pulak yang offer diri nak raya dengan aku. Jadi tak kan aku nak lepaskan peluang.” Usik Amirul nakal.
            “Jangan main-mainlah Mirul...”
            “Aku serius nih.. Kalau nak main-main pun lepas kahwin kan..” Merah muka Manis apabila menyambut usikan Amirul ini.
            “Jangan nak mengadalah...”
            Amirul ketawa senang hati. “Jangan risau.. Dekat rumah tu ada umi aku.. Ada family aku jugak. Bolehlah kita sambut raya sama-sama!”
            “Mirul.. Apa yang membuatkan kau nak datang rumah aku tadi?” Sebenarnya dari tadi soalan itu berlegar di dalam benaknya. Takut tertanya soalan yang tak relevan jeh!
            “Hati aku yang ada pada kau tu yang suruh datang... Sebab tu aku datang.”
            Manis menggigit bibir. “Aku tanya betul-betul nih... Boleh tak jawab secara serius.” Gesa Manis geram. Tapi dalam hatinya bergolek-golek mendengar kata-kata Amirul yang mengusik jiwanya.
            “Okay.. Aku pun nak tanya kau serius-serius jugak nih... Kau sanggup tak nak raya dengan aku untuk setiap tahun sebagai isteri aku.. Jadi ibu kepada anak-anak aku. Dan menerima aku sebagai bapa anak kau dan suami kau?”
            Rahang Manis sudah terjatuh. ‘Ambik kau Manis... kau nak serius sangat kan?’
            “Aku lahir dari keluarga yang pecah belah Mirul...”
            “Sebab tu aku nak cantumkan balik pecahan-pecahan dalam hati kau tuh. Biar aku gam dan tak akan biar ia pecah lagi. Biar aku sempurnakan segalanya yang cacat...” Entah kenapa malam-malam raya ini Amirul bertukar menjadi romantik pulak.
            “Tak apa... tak perlu jawab sekarang. Esok jawab depan umi aku jeh.” Pemanduan Amirul sudah terhenti di sebuah banglo teres.
            “Mirul... aku nak baliklah.. Nanti umi kau cakap apa pulak aku nak beraya rumah kau.” Manis sudah mula tunjuk muka risau dan cuak.
            “Lah... cakap jelah bakal menantu nak raya sama. Apa susah!”
            “Mirul....” Manis menekankan sedikit nada suaranya. Tidak suka jika Amirul terus-menerus mengusik perasaannya.
            “Iya sayang...”
            Arggghh... perkataan sayang itu benar-benar boleh membunuh jiwanya tika ini jugak. Amirul sememangnya telah berjaya membuka ruang hatinya. Manis sedar, tak akan ada orang lagi yang mampu untuk bersabar dengan kedegilannya selain daripada Amirul.
***
Manis dan Amirul...
            Hati Manis tersentuh apabila melihat ahli keluarga Amirul yang sedang bermaaf-maaffan di ruangan tamu. Mereka bersalaman sambil mengalirkan air mata. Manis pula rasa terpencil dan duduk di jarak yang agak jauh dari mereka.
            “Manis.. Kenapa duduk jauh sangat. Mari sini dekat umi..” Panggil Puan Rosmah. Ibu Amirul.
Sejak dia tiba semalam, Puan Rosmah melayan dirinya dengan baik sekali. Malah diajaknya tidur sekali di dalam bilik tidurnya. Tanpa sedar, dia sudah pun berada di hadapan Puan Rosmah. Saat tangan Umi mengusap kepalanya, air matanya mula melurut jatuh. Ingatannya terkenangkan mamanya. Mama yang telah dilayan dengan kejam. Ya, semalaman dia menganalisa perangainya sendiri. Sememangnya dia yang bersalah kerana tidak berjaya mendidik emosi hingga terikut dengan perasaan kecewa.
            “Manis banyak dosa dengan mama... dengan papa... Mesti dia orang kecewa dapat anak macam Manis kan...” Manis sudah mula mengongoi di dalam pelukan Puan Rosmah. Amirul yang melihat tersenyum. Rasa lega mula bertapak dalam hati. Lega kerana akhirnya Allah bukakan pintu hati Manis untuk berlapang dada menerima takdir.
            “Manis tak salah... Kami yang salah..” Perlahan-lahan Manis merungkaikan pelukan. Dia mula memandang ke arah mama dan papanya yang sedang berdiri di ambang pintu.
            “Mama... papa...” Sekejap sahaja dia sudah hilang di dalam pelukan mamanya. Kemudian beralih pada papanya pula.
            “Maafkan kesalahan Manis... Ampunkan semua kedegilan Manis..” Pohon Manis teresak-esak.
            “Manis anak yang baik.. mama dan papa yang banyak buat salah. Sebab ego orang dewasa, Manis yang jadi mangsa.” Tutur Encik Murad sambil mengusap belakang badan Manis. Sudah lama dia tidak memanjakan Manis kerana Manis sibuk merajuk dengan dirinya. Sekarang, mungkin masa untuk memperbetulkan semuanya.
            “Manis.. Mama dan papa dan buat keputusan untuk rujuk semula.”
            “Hah!”
            “Iya Manis... mama sebenarnya masih sayangkan papa.. mama harap papa pujuk mama tapi papa tak pujuk pun.. Mujur memang tak ada orang masuk meminang mama. Kalau tak, memang papa gigit jarilah gayanya..” Giat Puan Laila sambil ketawa.
            “Eleh... abang tunggu awak yang pujuk abang.”
            Manis tersengih. Rupa-rupanya mereka masih saling sayang menyayangi. Cuma rasa ego yang menjadi penghalangnya. Ya Allah.. terima kasih kerana menghadiahkan kebahagian ini di hari kemenangan ini...
            “Eh, kita ni berdrama dekat rumah orang pulak..” Ujar Puan Laila. Sudah termalu sendiri apabila keluarga Amirul menyaksikan drama swasta mereka ini.
            “Eh kejap.. Macam mana mama dengan papa tahu Manis ada kat sini?” Rasa pelik mula bersarang di hati.
            “Amirul yang beritahu... Semalam dia memang ada mintak nombor. Dia jugak yang pujuk mama dan papa untuk rujuk semula. Pandai Manis cari bakal suami...” Pujian Encik Murad itu memang mampu membuatkan Manis tersedak.
            “Apalah papa nih...” Ditumbuk perlahan bahu Encik Murad. Sudah lama tidak bergurau senda sebegini.
            “Dahlah.. jangan usik anak dara tu... Jemput makan dulu..” Ajak Puan Rosmah semangat. Puan Laila dan Encik Murad mula beriringan ke ruang makan manakala Manis mula melebarkan pandangan matanya. Mencari kelibat Amirul. Matanya mula mengesan tubuh Amirul yang sedang duduk di atas buaian. Tangannya ralit bermain dengan telefon bimbitnya.
            “Ehem-ehem...” Tegur Manis sambil jari terlunjuknya mula membetulkan anak tudunya. Kalau nak tahu, kami pakai baju raya sedondon berwarna kuning. Entah macam mana tanganya boleh terambil baju ni waktu nak packing barang semalam.
            “Uhuk-uhuk...” Amirul mula berpura-pura batuk.
            “Apa?” Manis tahu sangat...Pasti ada yang membuatkan Amirul ingin mengenakan dirinya.
            “Cantik baju.. siapa beli?” Perli Amirul sambil tersengih. Matanya menyorot di bahagian yang terpalit kotoran kelmarin. Nampaknya Manis sudah membasuh kotoran itu. ‘Konon tak nak pakai.. Tapi basuh jugak! Perempuan memang suka menidakkan perasaannya..’
            “Oh... Bakal suami saya yang belikan...” Tanpa rasa malu, Manis mula mengambil tempat di sebelah Amirul.
            “Oh...” Amirul menyembunyikan senyuman. Haru biru perasaanna dikala ini! Dia sudah mula merasai penerimaan Manis
            “Mirul... Jom kahwin sama!” Spontan ayat keramat itu keluar dari mulut Manis.
            “Wohohoo... belum apa-apa dah gelojoh.” Sebenarnya dia langsung tak menyangka dan menduga dengan respon dari Manis ini. Tapi sungguh dia bangga mendengarnya.
            “Nak ke tak nak?” Tanya Manis sedikit geram. Main-main pulak!
            “Naklah.... kalau boleh nak kahwin sekarang jugak...”
            “Ni lagi gatal...” Komen Manis selamba. Tapi sungguh dia bahagia.
            “Okay.. Mirul simpan gatal-gatal nih... Nanti menggatal sekali harung je terus..” Melopong Manis mendengar ayat selamba Amirul itu. Fikiran betul-betul ke laut sungguh! Tanpa berfikir panajang, terus dicubit bahu Amirul. Bengang!
            “Oit.. ini namanya mendera bakal suami..” Seketika, mereka saling ketawa dalam berkongsi rasa bahagia sebelum tenggelam dalam kebisuan sendiri.
            “Mirul... terima kasih.. Sebab tolong bawak aku pulang ke panggal jalan.. Sebab tolong bersabar dengan kedegilan aku... Sebab sanggup terima aku seadanya...” Luah Manis sebak. Kalau tak ada Amirul, mungkin selamanya dia akan terus menerus menyalahkan takdir.
“Bila kita memutuskan untuk mencintai seseorang insan bahkan dengan segala kekuranganya, itu bukan kesempatan tapi itu adalah pilihan… Dan pilhan saya adalah untuk bersama dengan awak Manis.. Saya berdoa, kalau terhenti rasa cinta saya pada awak, biarlah tika itu saya dah menghembuskan nyawa saya…”
Oh.. Hati Manis memang cair habis apabila mendengar ungkapan kasih daripada Amirul ini.
“Status dari hati di facebook kita boleh share tapi hati saya ini saya share dan terhad pada yang satu sahaja..” Sambung Manis sambil tersenyum simpul. Rasa malu Manis campak jauh-jauh. Biarlah Amirul tahu perasaannya tika ini.
Usah sesekali kita menyalahkan takdir yang telah ditetapkan kepada kita. Renunglah apa yang kurang. Galilah rasa sabar agar tetap terus bersyukur dengan ketentuannya. Sesungguhnya rasa syukur itu lebih tinggi maksumnya daripada rasa sabar. Maka bersyukurlah dengan kehidupan kita seadanya.

p/s: maaf atas segala kekurangan.. cerpen biasa  dari penulis biasa yang mempunyai rasa malas yang lebih dari biasa.. kih kih kih…yang lebih jadikan tauladan, yang kurang jadikan sempadan k… lebiu korang much much more.. selamat hari raya maaf zahir batin...=)