Wednesday 14 November 2012

PADA SYURGA DI WAJAHMU


            Jika cinta itu adalah satu minuman, pasti manusia akan meneguknya tanpa puas. Minuman yang tak akan pernah mampu untuk menghilangkan dahaga manusia. Itulah satu istilah cinta yang menggambarkan betapa hebatnya penangan cinta dalam kehidupan manusia.
Berusaha melupakannya, sama sukarnya dengan mengingat seseorang yang tak pernah kita kenali. Itulah perumpamaan apabila saban waktu orang memujuk agar Erna melupakan Rifqi. Tempat jatuh lagi dikenang, inilah pula teman yang tiada pengganti.
Sudah dua tahun semuanya berlalu. Erna cuba teruskan hidup dengan apa adanya. Tiada apa-apa perubahan yang jelas ketara kecuali…dia sudah tidak punya rasa untuk bersosial bersama rakan-rakan. Sesuatu yang menjadi kesukaan dan kegilaannya dahulu, bukan lagi perkara yang mampu menambat hatinya.
Di setiap hujung minggu, Erna hanya menghabiskan masa di pusara Rifqi. Membaca yasin, membersihkan kubur Rifqi dan mengunjungi ibu Rifqi. Tak akan ada yang berubah. Ribut atau hujan tidak menghalang langkah kakinya untuk ke kubur Rifqi.
Datuk Emran dan Datin Zabedah sudah mati kutu. Tak tahu hendak buat apa lagi dengan anaknya itu. Ingin dilarang, jadi tak sampai hati. Ingin dibiarkan, terus boleh bawak mati.
“Macam mana ni bang? Saya tengok Erna tu dah macam janda. Pergi kubur Rifqi. Tidur dekat bilik Rifqi... Makan makanan kegemaran Rifqi. Peninglah macam ni!”
Buntu, kelu, pening semuanya menjadi pekasam dalam jiwa seorang ibu. Ibu mana mana yang sanggup melihat anaknya hidup sebegitu untuk seumur hidupnya! Masa depan Erna masih jauh...
“Abang pun pening. Tak tahu nak buat macam mana lagi. Senang-senang kita kahwinkan sahaja Erna tu. Mungkin itu je cara nak buat Erna lupakan Rifqi.” Cadangan itu terlintas secara langsung di benaknya. Siapa tahu idea gila itu akan menjadi.
“Abang ni... Cubalah bagi idea yang bernas dan menarik sikit. Hidup anak kita tu dah tunggang-langgang, abang nak terbalikkan pulak hidup dia?” Datin Zabedah sudah mula bercekak pinggang. Tak faham dengan cara pemikiran orang lelaki yang terlalu mudah dan singkat!
“Apalah Edah ni... Abang fikir panjanglah ni. Kalau ada suami nanti, dia pandailah sayangkan suami dia. Tak lah di sibuk duk jadi janda berhias pada arwah Rifqi tu.”
Mereka berdua saling terdiam.
“Kalau ya nak kahwinkan Erna, siapa calonnya?”
“Anak kawan-kawan saya ramai. Pilihlah siapa-siapa pun..”
“Amboih... mudah  betul abang cakap kan? Erna tu anak kita. Bukan anak kambing atau anak kucing.”
“Eh, memanglah... kalau anak kucing, tak payah susah-susah nak nikahkan.” Datin Zabedah terus mencubit lengan suaminya. Orang serius, dia main-main pulak! Hati yang diserang risau bertambah menjadi sakit hati apabila melayan karenah si suami.
“Ish... awak ni tak menyempat betul. Nanti saya surveylah. Tapi yang menjadi persoalannya, Erna setuju ke? Dia tu berkawan pun dah macam tak berminat. Ini kan pulak nak berkahwin.”
Kali ini nada suara Datuk Emran sudah bertukar rentak. Ada nada risau di celahan ayat yang terkeluar. Mereka sekarang berada di jalan yang berbengkang-bengkok. Tak ada jalan highway untuk meredah redah. Nak tak nak, kena cari jugak jalan lurus!
“Kita kena cari seorang lelaki yang boleh buat Erna bersimpati pada dia.” Cadang Datin Zabedah spontan.
“Simpati? Nak simpati macam mana? Silap hari bulan nanti lelaki tu yang akan bersimpati dengan nasib Erna!” Lagipun boleh percaya ke pada simpati? Rasa simpati tu boleh bawak mati!
Keduanya saling terdiam dan otak mereka cuba merencana idea di celahan akal fikiran. Alasan apa yang sesuai untuk memujuk Erna supaya berkahwin ya?
“Hah.... Kita carikan Erna duda yang ada anak! Mesti Erna kesian dekat budak yang dah tak beribu tu...Lepas tu mesti Erna rasa nak kahwin kan?” Melopong Datuk Emran mendengar cadangan si isteri.
“Awak ni betul ke tidak? Ada ke nak suruh anak kita kahwin dengan duda!”
“Dah tu anak awak pun dah macam janda... Kita kena meletakkan keduanya dalam frequensi yang sama. Kira okaylah tu kan... Depa saling mengerti erti kehilangan Bila depa saling mengerti, barulah depa boleh memahami, mengenali dan menyintai.” Ulas Datin Zabedah lagi. Dia sendiri tak mampu menilai sama ada cadangannya ini bernas ataupun tidak. Dia cuma cuba mencari  yang terbaik buat si anak yang terluka.
“Betul tu memanglah betul... Tapi mana pulak nak cari duda? Duda cerai ke atau duda kematian isteri?”
Kali ini giliran Datin Zabedah pula yang menggarukan kepala. Sendiri bagi idea, sendiri jugak yang kebuntuan.
“Tak kisahlah duda cerai ke duda mati.. Asalkan duda tu ada anak.”
“Persoalannya, nak cari dekat mana? Kalau ada agensi duda kebangsaan, bolehlah jugak saya pergi cari...”
Pasangan suami isteri itu mula berbalah sesama sendiri.
“Ish... saya dah sumbangkan idea. Sekarang turn abang pulak yang tolong cari. Anak kawan-kawan abang kan ramai... Mesti ada yang duda kan..”
Datuk Emran mencuri nafas. Sakit kepala memikirkan kisah si anak. Tambah pening kepala dengan karenah si isteri. Tak pernah-pernah ada orang hendak mencari calon menantu duda. Tapi kalau lelaki itu single, pasti susah untuk menarik perhatian si Erna yang umpama hidup tanpa perasaan itu lagi.
“Yalah...yalah... saya try usahakan. Awak pun kerling-kerling pandang-pandang jugak.. Kot-kot ada mana-mana lelaki duda yang awak berkenan nak dibuat menantu.”
Datuk Emran mula mencapai cawan minuman lalu disua ke mulutnya. Dalam hati sudah menimbang beberapa calon anak kenalan yang mungkin masih bujang. Tapi kriteria yang hendak dicari ialah duda.
‘Celah mana pulak nak cari duda ni?’ Digaru dahi yang tidak gatal. Susah memang susah. Tapi dia akan usahakan demi kebahagian satu-satu anaknya.
***
            Diari hijau itu ditenung lama. Setiap hari sebelum memulakan pekerjaan, dia masti akan menjamu mata merenung bait-bait terakhir yang ditulis oleh Rifqi. Seakan-akan semuanya masih belum pudar. Rasa kehilangan itu masih belum hilang.
            Ketukan di muka pintu membuatkan Erna cepat-cepat menyimpan diari tersebut di dalam laci. Tidak mahu jika ada sesiapa melihat keadaannya yang masih berduka lara. Sememangnya dia masih mampu untuk berpura-pura bahagia di depan semua orang.
            “Ya Sal... ada apa?” Tanya Erna pada Salmi yang merupakan pembantu pelukis pelan di syarikat milik papanya ini.
            “Meeting dah nak mula. Semua orang tunggu Cik Erna.”
            “Give me two minutes. I will be there.”
            Salmi menangguk tanda faham dan mula meninggalkan bilik Erna. Erna mula mengemaskinikan dokumen untuk dibawa ke bilik mesyuarat. Matanya sempat singgah pada cermin kecil yang memang menghiasi meja kecilnya ini.
            Merenung dan menatap anak matanya sendiri umpama dapat melepaskan rindu yang membuak pada Rifqi. Bukankah sepasang mata ini memang menjadi miik Rifqi. “Aku nak pergi kerja dah...” Erna tersenyum dan menghirup segala semangat yang masih bersisa.
            Dia mengajar diri untuk tidak terus menangis lagi meratapi pemergian Rifqi. Lagipun dia tidak mahu mata Rifqi terasa peritnya untuk mengeluarkan tangisan. Punggungnya mula diangkat dan langkah kaki mula dihayun ke bilik meeting. Meneruskan kehidupan yang sedang menunggu.
            Fareeq mengerling pandang ke arah Erna yang baru tiba dengan senyuman manis. Namun Fareeq dapat rasa yang senyuman itu plastik. Sejak dua tahun yang lepas, Erna memang begini. Senyuman tidak lepas dari wajahnya namun terlalu sukar untuk mendengar suaranya. Bercakap dan berbual bila perlu sahaja. Ketawa jauh sekali.
Hubungannya dengan Erna masih baik cuba tidaklah serapat dahulu. Dia tahu yang rakan-rakan sepejabat naik pelik dengan sikap mereka selepas Rifqi meninggal. Apatah lagi semua orang sedia maklum yang mereka telah bertunang. Macam-macam spekulasi yang timbul.
Namun Erna dan Fareeq terus buat pekak. Tak ambil peduli soseh-soseh rakan pejabat yang tidak akan pernah berhenti. Fareeq sudah terlalu bersyukur apabila dirinya masih diterima untuk bekerja di sini walaupun dia sudah melukakan sekeping hati Erna.
Kata Datuk Emran, dia tidak akan sesekali menyatupadukan hal kerja dengan hal peribadi. Satu perkara yang Fareeq tabik sangat. Malah sehingga kini layanan Datuk Emran dan Erna masih baik kepadanya.
Mesyuarat berjalan dengan lancar. Segala projek yang berada di bawah kawalan Fareeq masih berjalan seperti yang dirancang. Tiada sebarang masalah kerana Fareeq benar-benar mengawal projek seliaannya. Dia tidak mahu mengambil remeh semua perkara lantaran dia mahu menunjukkan yang terbaik buat Datuk Emran.
Erna cuma menyampuk apabila perlu bila ditanya. Sebagai projek manager, dia hanya mendengar perbentangan daripada pekerja yang lain. Tidak banyak perkara yang hendak dia perkatakan. Matanya merenung kerusi yang menjadi tempat Rifqi duduk dahulu.
Lelaki itu paling tak suka formal meeting. Setiap kali meeting, pasti Rifqi akan menconteng atau melakarkan sesuatu di kertas A4. Kadang-kadang dia lukis kerbaulah, harimaulah, gajahlah... Kalau terlebih kreatif, dia akan melukis gambar Erna sendiri. Tapi versi kartun yang sangat kelakar.
“Pst... comel tak awek ni?” Bisik Rifqi sewaktu rakan sekerja yang lain sedang membentangkan pelan projek.
“Hodoh lah... tapi macam kenallah muka ni.” Sempat juga Erna melayan. Dia pun sebenarnya mengantuk
“Lah... nak buat macam mana. Pemilik muka ni memang dah hodoh. Kalau lukis cantik-cantik pun jadi hodoh jugak.”
Baru Erna perasan yang contengan itu ada iras-iras wajahnya sedikit. ‘Cis kek punya Rifqi, dia kutuk aku terang tang-tang!’ Kerana terlalu geram, Erna terus mengambil pensel mekanikalnya dan mencucuk peha Rifqi. Padan muka! Siapa suruh biadap sangat!
“Ouchhh...” Jeritan Rifqi mula mengalih perhatian semua orang di dalam bilik mesyuarat.
“Kenapa Rifqi?” Tanya Datuk Emran. Diurut jantungnya sendikit, ikut turut terkejut.
“Tak ada apa-apa datuk..” Mulut mengaku tak ada apa-apa sedangkan tangan laju sahaja menggosok pehanya yang kesakitan. ‘Cina beng punya Erna, dia belasah aku tang ni jugak!’
Erna menyembunyikan senyum. “Sakit perut ke? Nak pergi tandas?” sempat lagi Erna buat muka prihatin sedangkan ibu jari sudah berada di dagu. Menunjukkan tanda bagus.
“No need... Erk, boleh proceed meeting!” Segan pula bila semua mata-mata memandang ke arahnya. Tergendala mesyuarat seketika.
“Erna, Rifqi... Please behave! Korang ni waktu meeting pun nak main-main jugak.” Marah Datuk Emran usai mesyuarat berakhir. Bukan boleh kira sangat budak berdua ni. Sorang suka membuli dan seorang lagi suka membuli balik! Dia tidak mahu pekerja yang lain hilang respek pada Erna dan Rifqi. Kedua-duanya mempunyai pangkat yang agak besar dalam syarikat.
“Rifqi yang cari pasal papa...”
“Eh uncle, Erna ni yang tak bawak bersabar. Orang usik sikit pun tak boleh.” Cebik Rifqi sambil membeliakkan matanya.
“Sudah...sudah... Nanti kalau ada meeting, korang tak boleh duduk sebelah lagi. Duduk jauh-jauh.” Dia kena serius dalam memberikan arahan pada Erna dan Rifqi. Ialah, sorang anak sendiri. Seorang lagi anak jiran.
“Alah papa...”
“Tak ada. Keputusan muktamad. Sebarang surat menyurat tak akan dilayan.”
Erna tersenyum mengingati peristiwa lalu itu. Tanpa sedar, tanganya laju melakar sesuatu di dalam buku catatan. Nama Rifqi. Hendak melukis, dia langsung tak punya bakat. Jadi dia hanya mampu mengukir nama Rifqi sebagaimana nama lelaki itu terukir kemas di hatinya.
Mesyuarat berakhir dengan sempurna. Erna mula mengemaskan barang-barangnya dan mula menolak kerusi ke belakang. Rata-rata staf telah pun keluar dari bilik mesyuarat. Cuma tinggal dia dan Fareeq sahaja.
“Erna...”
Kepala mula ditoleh ke belakang. Mata mula mencari gerangan si pemanggil tadi.
“Are you okay?” Fareeq mengambil sikap ambil berat. Walaupun dia sudah memiliki hidup sendiri, itu tidak bermakna dia tidak mempedulikan kebahagian Erna.
“Soalan sarkastik apa yang abang tanya ni? I’m okay.. I really-really do..”
Sesungguhnya ‘are you okay’ itu bukanlah soalan kesukaan Erna. Macamlah dia nampak macam orang gila yang sedang menangis hiba dengan meratapi pemergian seorang lelaki yang dia cintai. Dia masih waras dan masih mampu berfikir dengan sempurna.
“Tapi Erna tak nampak macam tu...” Ya pada fizikalnya memang Erna nampak sempurna. Tapi siapa tahu apa yang menapak dalam hati dan jiwa Erna. Dari bening mata Erna, Fareeq dapat menebak yang Erna sedang terseksa. Erna sedang menderita atas kehilangan Rifqi.
“Abang....” Erna mula melangkah mendekat sedikit.
“Kalau abang masih nak tengok Erna depan mata abang... Sila berhenti tanya soalan-soalan bodoh nih. Kalau tak, jangan abang fikir untuk tengok ataupun bercakap dengan saya lagi. Saya tak perlukan simpati abang dan ayat-ayat tragis abang tu. Dan saya tak perlukan orang yang tak percayakan saya... If I said I was okay, that means I really mean it! Erna dah bosan nak ulang jawapan yang sama berulang kali!”
Erna mula berlalu dengan dengusan. Bosan dengan orang-orang di sekeliling yang masih meragui kekuatan miliknya. Apa dia nampak macam mayat hidup ke? Rasanya dia masih menajalani kehidupan mansia yang normal.
Fareeq duduk lalu menguak rambutnya sedikit. Erna dah jauh berubah. Erna jadi cepat marah dan melenting padanya. Dia tidak seperti gadis yang mula-mula Fareeq kenali. Mungkin juga kesalahan ini berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tak cari pasal, tentu sahaja Erna tak menderita sebegini rupa.
***
            Hari ini Datuk Emran pulang lewat sedikit. Katanya hendak menghadiri majlis agama yang dianjurkan oleh pihak masjid. Datin Zabedah tidak mengikuti suaminya. Hasratnya hendak menemani Erna. Walaupun Erna sudah besar panjang, namun hatinya tetap risau jika meninggalkan Erna sendiri di banglo besar ini.
            “Erna, kamu tak nak keluar ke? Jumpa kawan-kawan. Melepak atau tengok wayang ke?” Tanya Datin Zabedah ketika anaknya itu sedang menonton televisyen.
            “Buat apa ma... Duduk rumah lagi aman damai. Tak payah sesak-sesak fikir pasal jamed lagi.”
            “Yalah.. sesekali otak tu perlukan udara segar jugak. Have fun dengan kawan-kawan sementara masih bujang nih...”
            Erna mula mengerutkan dahinya. Bagai ada yang tak kena dengan ayat mummynya. ‘Sementara masih bujang?’ Adakah ayat itu bermaksud yang mummy sedang mencari jodoh untuknya? Perlahan-lahan Erna menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Kenapa topik kahwin jugak yang menjadi pilihan mummy?
            “Mummy.... Erna tahu dan faham apa yang tengah mummy fikir tu. Please... I’m not ready yet...”
            Televisyen yang terpasang mula hilang penonton apabila si ibu dan si anak saling beradu pandangan dan hujah.
            “Tapi sampai bila? Umur mummy dengan papa bukan makin muda. Kami nak tengok Erna kahwin dan hidup bahagia.”
Okay, ini memang ayat drama. Datin Zabedah sempat songlap semasa menonton drama di tv3 minggu lepas. Apa tajuknya, tidak pula Datin Zabedah ingat. Yang pasti, lebih kurang begitulah dialognya.
            “Sekarang pun Erna dah cukup bahagia apa.. Ada mummy.. ada papa... Erna dah bersyukur dengan apa yang Erna ada..” Susah nak fahamkan orang di sekliling dengan apa yang dia rasa tika ini. Dia bukan hendak memberontak, tapi tak boleh ke bagi lebih masa lagi untuk dia mengabadikan diri bersama kenangan-kenangan bersama Rifqi.
            Datin Zabedah mula mengangkat punggung. Kakinya mula dihalakan ke arah Erna. Biar lebih dekat dan lebih cepat ayatnya mencerna di dalam benak Erna. Dia tahu yang anaknya itu bukan degil sangat. Dia tahu Erna tak bersedia. Tapi kalau ikut pada sedia, sampai bila-bila pun tak akan sedia selagi nama Rifqi terpahat di lubuk hati Erna.
            Tak kanlah nak suruh mereka berdua berdrama pulak. Perlu ke Datuk Emran berlakon sakit untuk meraih perhatian Erna agar anaknya itu berkahwin? Bukankah ini yang sering dilakukan di dalam drama-drama. Mungkin boleh dipraktikkan dalam dunia yang sebenar. Tapi Datin Zabedah langsung tak sampai hati nak menipu. Lagipun, pasti ada cara yang lebih baik untuk menangani isu anaknya yang seorang ini.
            “Sayang... seorang manusia itu diciptakan berpasangan... Seorang perempuan memerlukan lelaki dan seorang lelaki memerlukan perempuan. Yang pergi telah pergi dan yang hidup kena teruskan hidup. Mummy tak paksa Erna kahwin sekarang, tapi sekurang-kurangnya Erna janganlah tutup hati Erna untuk menyintai dan dicintai lagi... Mummy nak Erna bahagia. Dengan siapa pun mummy tak kisah. Asalkan anak mummy bahagia....”
            Air mata Datin Zabedah sudah bergenang di kelopak mata. Ini bukan drama. Ini memang realiti. Dia sebak bila mengenangkan nasib anaknya yang seorang ini.
            “Bagi Erna masa mummy.... Maafkan Erna.” Bibir Erna mula dilabuhkan di pipi si ibu lantas punggungnya mula bangun dari kerusi empuk itu. Air mata tak betah bertahan melihat si ibu yang merayu untuk dia terus mencari kebahagian sedangkan dia awal-awal lagi cuba untuk menutup kebahagian dari dunia luar itu.
            Datuk Emran yang baru sampai itu hanya bersikap berdiam diri melihat pertelingkahan kecil si ibu dan anak. Keluhan lembut mula dilepaskan.
            “Abang baru balik?” Datin Zabedah mula menegur si suami yang masih terpacak di tepi pintu. Sibuk bertelagah dengan Erna sampai tidak menyedari kepulangan si suami.
            “Abang dah jumpa calon suami untuk Erna.”
            Kata-kata Datuk Emran membuatkan rahang Datin Zabedah terjatuh. Hatinya terus bergelombang dengan arus dan virus yang entah dari mana datang berkunjung. Mampukah Erna menerima calon yang dicari oleh mereka?
***
            Erfan mula mengutip segala sejadah yang terdampar di ruang solat. Inilah rutin harian yang dia lakukan apabila selesai menunaikan solat di masjid kecil di kawasan perumahan mewah ini. Inilah satu-satunya masjid yang mempunyai penyaman udara. Ini pun atas sumbangan penduduk setempat yang memang tergolong dalam kategori orang-orang kenamaan.
            Sementara mencari rumah baru, Erfan tinggal dahulu bersama kakak dan abang iparnya. Sudah sebulan dia berada di bumi Malaysia setelah bertahun-tahun tinggal di Melboune, Australia.
            Rasa macam tak percaya yang dia kembali di tanah tumpah darahnya sendiri. Sangkanya dia akan berkampung buat selamanya di Australia. Namun memandangkan yang syarikatnya baru sahaja membuka cawangan di Malaysia, jadi kudratnya mula dituntut di sini. Inilah yang membuatkan dia kembali pulang disamping rayuan dari kakaknya.
            “Pak cik baru nampak kamu dua tiga hari ni... Baru pindah dekat sini ke?” Memang sudah beberapa hari dia perhatikan anak muda yang mungkin baru melewati awal tiga puluhan. Sudah lama dia ingin menegur, namun ada sahaja halangan yang menjadi penghalang.
            “Rumah kakak saya dekat sini... Rumah saya dekat Kota Sas. Dalam proses renovation... Pak cik duduk dekat sini ke?” Tanya Erfan. Sekadar berbasa basi. Tidak mahulah dituduh sombong. Lagipula memang dia ke masjid untuk mengeratkan silaturahim antara masyarakat.
            “Haah... Pak cik duduk lorong 12....”
            Datuk Emran jadi kagum dengan anak muda ini. Saban hari dia datang ke masjid mengikuti ceramah yang diadakan. Orang cakap kalau nak cari menantu, masjid mungkin tempat selayaknya. Bukanlah menyatakan orang yang masuk masjid itu baik belaka tapi pasti ada kebaikannya yang membuatkan dia terpanggil untuk ke masjid. Tak salah jika manusia berprasangka baik sesama sendiri.
            “Abang ipar saya Rafie. Pak cik kenal? Dia kontraktor...”
            “Lah...kamu ni adik ipar Rafie ke? Pak cik kenal sangat..” Datuk Emran mengangguk-ngangukkan kepalanya berulang kali. Dia kenal sangat dengan Rafie itu kerana pernah berkerjasama beberapa projek dengan Rafie itu. Nampaknya jalan makin mudah untuk mengenali anak muda ini.
            “Anak ni nama siapa?”
            “Erfan... Erfan Farzail...”
            “Eh, macam nama pemain bola sepak pulak.” Seloroh Datuk Emran sambil ketawa. Namun Erfan di hadapannya kelihatan lebih kacak berbading dengan Ifran Farzail yang gagah di padang bola itu.
Erfan hanya tersenyum cuma. Dia memang tidak mengenali pemain Malaysia lantaran bertahun-tahun tinggal di Australia. Lagipun, bola sepak bukanlah sukan kegemarannya.
            “Eh pak cik... Jemput datang hujung minggu ni.. Ada buat majlis akikah untuk anak saya...”
            Terus jatuh merundum semangat Datuk Emran untuk bermenantukan Erfan tatkala mendengar tutur kata lelaki itu. ‘Dah kahwin rupanya mamat nih... Tak jadilah nak buat menantu.’ Rasa hampa mula mengetuk pintu hati.
            “Dan majlis tahlil untuk arwah isteri saya....” Perlahan-lahan Erfan menyambung ayatnya. Kepalanya ditunduk sedikit. Mengenangkan Sahila, hatinya dipukul rasa sakit.
            Entah kenapa, tiba-tiba Datuk Emran rasa hendak meloncat riang. Dia tahu dia tak patut merasa demikian. Bergembira di atas kedukaan orang lain. Tapi hatinya diserang bahagia apabila mula menyedari yang Allah hendak memakbulkan doanya. Bukankah dia hendak mencari seorang duda buat Erna.
            “Takziah dari pak cik... Baru lagi ke?”
            “Dia meninggal waktu melahirkan anak yang pertama....” Entah kenapa, bibirnya senang untuk berbicara dengan pak cik ini. Terasa beban yang ditanggung mula diangkat pergi.
            “InsyaAllah kalau tak ada aral melintang, kami sekeluarga akan sampai. Sampaikan salam pada Rafie.” Ditepuk berulang kali bahu Erfan. Dalam fikiran sudah merencana sesuatu. Dia akan memperkenalkan Erna dan Erfan di majlis itu.
            ‘Macam ada kimia pulak... Erna dan Erfan!’
            “Abang, saya tanya abang ni, macam mana abang jumpa dengan calon tu?” Tanya Datin Zabedah untuk kesekian kalinya. Jauh benar suaminya itu mengelamun.
            “Abang jumpa dekat masjid. Minggu ni dia ada buat majlis akikah anak dia jadi dia jemput kita sekeluarga datang. Kita bawak Erna sekali!” Songkok di atas kepala mula dicabut. Punggungnya dijatuhkan di birai katil sambil memandang ke arah si isteri yang sedikit melopong.
            “A...nak di...a? Abang ni biar betul? Abang nak suruh Erna bermadu ke? Kalau nak bermadu, baik kita kahwinkan dia dengan Fareeq je!” Protes Datin Zabedah tidak berpuas hati.
            “Dia buat majlis akikah untuk anak dia dan majlis tahlil untuk isteri dia....” Jelas Datuk Emran lagi.
            Kali ini rahang Datin Zabedah terus terjatuh. Tercengang dan tak terduga!
            “Maknanya abang betul-betul carikan duda untuk anak kita?” Hati Datin Zabedah mula diusung dengan rasa takut dan cuak. Benarkah tindakan mereka yang hendak mencari calon duda untuk Erna ini?
            “Ya... duda... Anak dia kecik lagi. Harap-harap Erna terbukak hati nak terima Erfan.”
            “Tapi kan bang, boleh ke duda tu nak terima Erna? Dah berapa lama isteri dia meninggal? Anak dia berapa tahun? Betul ke tindakan kita ni bang... Edah bimbang nanti, silap hari bulan nanti tak pasal-pasal Erna pulak yang menjanda!” Rasa bimbang dan khuatir tidak dapat ditepis begitu sahaja. Macam-macam benda bersarang di fikirannya tika ini.
            Datuk Emran melepaskan keluhan. Terlalu banyak soalan yang dia sendiri tak begitu pasti jawapannya. Berusaha dan berserahlah pada Allah. Hidup, mati, jodoh dan pertemuan bukanlah di tangan manusia. Sebagai ibu bapa, mereka cuma berusaha untuk memberikan yang terbaik sahaja!
***
            Hatinya sedikit keberatan untuk mengikuti mummy dan papanya. Setelah dikerah dan dipaksa, akhirnya Erna mengagahkan diri untuk ke rumah jiran mereka yang tidak berapa jauh dari rumah mereka.
            “Cuba senyum sikit Erna... Kita bukan nak pergi majlis orang meninggal.” Tegur Datin Zabedah tak puas hati. Dia tahu yang Erna terpaksa. Tapi kalau tak dipaksa, pasti Erna akan terus berkeras untuk tinggal di rumah. Macam manalah otak nak berkembang?
            Erna tersenyum apabila mendengar si mummy mula memerli. Mungkin dia perlu keluar dari kepompong dunianya sendiri. “Yalah... Erna senyum... Tak boleh senyum lebih-lebih, kalau orang jatuh hati kang susah pulak mummy dengan papa.”
            Datin Zabedah dan Datuk Emran mula berpandangan sesama sendiri apabila mendengar gurauan dari anaknya itu. Dah lama Erna tak ramah dan periang seperti ini. Mungkin Allah hendak membuka hati Erna yang sudah lama tertutup dan terkunci itu.
            “Ish.. kalau ramai yang jatuh hati, senang sikit mummy dengan papa buat pemilihan.. Tak gitu bang?” Sambut Datin Zabedah sambil menepuk sedikit bahu suaminya yang sedang memandu.
            “Yup... boleh buat proses mencari calon menantu!”
            “Ada-ada jelah mummy dengan papa nih...” Erna mula ketandusan idea untuk membalas kata. Silap hari bulan, kata-katanya bakal meragut nyawa sendiri. Sebenarnya selepas berbalah dengan mummynya tempoh hari, rasa bersalah mula berkampung di dalam jiwa. Sempat juga dia berkongsi rasa dengan Puan Suraya. Mama Rifqi!
            “Jangan cakap mummy dengan papa Erna, mama pun tak mahu kalau Erna terus macam ni... Rifqi dah pergi. Tapi Erna yang hidup kena teruskan hidup. Perjalanan hidup Erna masih jauh... Erna pun kena bina hidup Erna sendiri. Kesian mama tengok mummy dan papa. Dia orang nak sangat tengok anak dia orang bahagia. Mama pun nak tengok Erna bahagia... Berkahwin dan ada keluarga sendiri.” Pujuk Puan Suraya perlahan sambil menggosok bahu Erna Farzana.
            “Tapi Erna takut... Takut kalau Erna hampakan suami Erna.. Cinta Erna masih berbaki pada Rifqi.” Dia pernah terluka jadi dia tidak mahu melukakan hati orang lain.
            “Yang patah pasti akan tumbuh semula. Yang hilang pasti akan berganti. Yang mula itu tetap ada akhirnya.... tapi pengakhiran sebuah cerita adalah pemulaan bagi cerita yang baru. Rasa sayang itu selayaknya milik seoang suami yang sah di samping kita. Yang halal di sisi agama. Cintailah seorang lelaki yang bernama suami Erna... Bukan pada lelaki yang bukan dijadikan untuk Erna.” Nasihat Puan Suraya lembut.
            I can’t say that I’m really happy.. I can’t say that I’m totally fine.. But I know how to be strong and I know to hold my head up high and walk away and move on. Thanks for the memories…’ Erna tarik nafas panjang. Kenangan itu bukanlah subjek untuk mendera emosi. Kenangan adalah kekuatan untuk menempuh masa depan. Kerana setiap manusia itu dewasa melalui kenangan yang pernah ditempuhi.
            Cinta itu adalah subjek yang boleh dipelajari. Terpulang pada pelajarnya sama ada ingin belajar sampai pandai ataupun memandai-mandai dalam pelajaran. Setelah melakukan istiharah semalam, hati Erna kembali tenang. Mungkin inilah kedamaian yang ingin dicari. Dia memang menyintai Rifqi namun mungkin caranya tak kena. Dia bukannya isteri Rifqi yang perlu bernaung di panji tangisan yang rawan.  Dia masih punya ibu bapa yang perlu dibahagiakan. Itu adalah tanggungjawab seorang anak.
            Sesampainya di rumah Erfan, Datuk Emran terus mengarahkan anak dan isterinya untuk masuk ke ruang tamu kedua manakala dia terus masuk ke ruang tamu utama untuk bacaan tahlil.
            “Eh Delia, ini rumah kamu ke?” Tanya Datin Zabedah sedikit terkejut apabila terpandangkan Adelia yang duduk di tepi ini sambil sedang memangku seorang bayi kecil.  Matanya sempat menangkap gambar yang menjadi perhiasan di dinding rumah.
            “Aah datin.. Bila datin sampai?” Tegur Adelia apabila terpandangkan Datin Zabedah yang memang dikenalinya itu. Datin Zabedah sering mengadakan kelas-kelas menjahit ataupun sulaman tangan untuk ibu-ibu tunggal. Lagipula suaminya memang mempunyai beberapa projek bersama Datuk Emran.
            “Lah Delialah kakak si Erfan tu ya? Erfan ada jemput datuk datang ke sini.. Itu yang kami anak beranak datang ni. Ni anak akak.. Erna...” 
            Erna tersenyum dan mula mengambil tempat di sebelah seorang perempuan yang sedang  berbual dengan mummy itu. Tangan Erna tidak dapat ditahan dari mengusap lembut kepala si kecil yang mempunyai rambut yang nipis itu. Lena sungguh baby itu tidur.
            “Berapa bulan ni kak?” Erna memang sangat sukakan kanak-kanak. Jadi tidak hairan kalau dia macam lupa diri bila melihat baby kecil ini.
            “Baru nak masuk dua bulan...” Jawab Adelia sambil ikut turut mengusap kepala Emir.
            “Comelnya anak akak...”
            “Eh, dia bukan anak akak.. Anak akak paling kecik pun dah tiga tahun.. Ini anak saudara akak.” Datin Zabedah ralit melihat Erna yang nampak tertarik untuk memegang si kecil. Jadi inilah anak Erfan yang sudah kematian isteri itu. Kasihan, kecil-kecil lagu sudah kehilangan kasih seorang ibu.
            “Ini anak Erfan ya?”
            “Haah kak..”
            “Patutlah akak pelik. Rasanya masa jumpa kamu dua bulan lepas, tak nampak pulak kamu tengah mengandung.”
            “Kak, boleh tak Erna nak pegang baby ni?” Pinta Erna teruja.
            “Eh boleh...” Adelia mula menghulurkan Emir pada tangan Erna. Penuh berhati-hati Erna melakukannya. Dicium raut wajah baby itu. Hatinya mula jatuh sayang. Bila pegang anak orang, mulalah rasa seperti hendak memegang bayi sendiri.
            “Hah, dah ada bakat nak jadi ibu ni..” Seloroh Adelia sambil ketawa sedikit.
            “Memang dah boleh kahwin pun Erna ni...” Erna menjeling ibunya sedikit tatkala mendengar suara Datin Zabedah. Nak mula lagilah tuh!
            “Tapi kesian... Kecik-kecik lagi dah hilang emak.” Pancing Datin Zabedah sengaja. Dia hendak melihat reaksi dari Erna sendiri. Apa agaknya respon anaknya setelah mengetahui yang bayi itu sudah tidak memliki ibu lagi.
            “Kenapa? Mana mak baby ni?”
            “Mak Emir dah meningal waktu melahirkan Emir..” Jelas Adelia perlahan. Takut kalau Erfan mendengar dan mula berfikir yang dia hendak menjaja cerita sedih adiknya itu.
            “Kesiannya...” Kalau tadi dia jatuh sayang, kali ini rasa simpati mula menerpa di jendela hati. Lantas dicium anak kecil itu dengan penuh kasih sayang.
            “Eh, bacaan tahlil dah nak habis tu... Akak nak pergi tengok hidangan dekat depan tu. Takut ada yang tak cukup. Erna tolong pegangkan Emir ya?” Pinta Adelia sambil mula bangun. Naik kebas pula kakinya kerana memangku Emir tadi.
            “Eh, mummy pun nak tolong Kak Delia. Erna tunggu dekat sini ya..” Datin Zabedah dan Adelia mula meninggalkan Erna dengan Emir.
            Mata Erna merenung wajah si kecil yang putih menggebu itu. Tangannya merayap di sekitar wajah Emir. Hidungnya mancung! Bulu matanya lentik mengalahkan Erna sendiri. Bibirnya kecil sahaja. Arghh, tiba-tiba rasa hendak memiliki cahaya mata sendiri. Tangannya terus menepuk-nepuk peha si kecil. Moga tidur lenanya tidak terganggu.
            Dari kejauhan, Erfan mula memerhatikan gadis yang sedang memangku anaknya itu. Emir kelihatan selesa di pangkuan gadis itu. Tak banyak meragam seperti kebiasaanya.
            “Cik... Cik pergilah makan... Emir boleh bagi pada saya.” Erfan terpanggil untuk menegur. Dia tak seharusnya menyusahkan gadis itu. Namun apabila Erna berpaling ke belakang, mata Erfan yang sedikit mengecil itu mula membulat sedikit. Melihat kecantikan seorang gadis yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
            “Eh tak apalah. Bukan menyusahkan pun. Lagipun saya tak lapar lagi.”
Erna merenung sekilas lelaki yang sedang berdiri itu. Agak segak dengan baju melayu cekak musang sambil kepalanya diselitkan dengan songkok. Adakah lelaki ini bapa kepada bayi yang berada di pangkuannya ini?
“Ini anak encik ke?” Tanya Erna berani apabila lelaki itu bertindak untuk tidak terus berganjak. Mungkin takut Emir dilarikan ataupun tidak percaya dengan kemampuan gadis sepertinya.
“Haah... Tak payahlah berencik sangat. Panggil Erfan cukup.”
“Oh.. saya Erna. Saya anak pak cik Emran.” Erna sendiri kurang pasti sama ada lelaki ini mengenali ayahnya ataupun tidak.
“Oh... anak Datuk Emran ke?”
Seketika mereka mula dikuasai dengan suasana canggung sebelum Emir mengeliat dan mula merengek.
“Maybe Emir lapar.” Teka Erna kurang pasti. Dia pun bukannya pandai dalam menjaga anak sekecil ini.
“Oh... saya ambilkan susu dia.” Erfan mula hilang dari pandangan sebelum muncul bersama sebotol susu yang baru dibancuh. Botol susu itu mula diberikan kepada Erna. Mudah bagi gadis itu menyuakan ke anaknya.
Berulang kali Erna menyumbatkan puting susu di mulut Emir namun lidah Emir laju sahaja membuang puting susu itu. Malah tangisan nyaring mula menghentam ruang pendengaran. Membuatkan Erna kalut seketika.
“Bagi Emir pada saya...” Arah Erfan sedikit risau. Melihatkan penerimaan Emir, Erfan mula mengeluh.
“Sebenarnya Emir memang tak suka susu botol... Macam-macam cara nak bagi dia minum. Guna sudulah.... Guna penyuntik ubatlah.. Tapi setiap kali menyusu, mesti Emir menangis. Tapi nak tak nak kena paksa juga. Ialah, tak kan nak biarkan Emir kelaparan pulak.” Cerita Erfan penuh risau. Sedaya upaya dia Cuma menyusukan Emir namun anak kecil itu tetap menolak.
“Awak tak cuba cari ibu susuan untuk Emir?” Soalan itu mula terpancul dari mulut Erna. Dia sebagai orang luar ikut turut cuak dan kesian. Inikan pula Erfan yang seperti sudah kematian idea untuk menyusukan Emir.
“Saya memang nak cari ibu susuan... Kalau awak ada kenal dengan mana-mana perempuan yang boleh menyusukan Emir, boleh tak awak beritahu saya.” Air wajah Erfan penuh mengharap.
Dia tidak berdaya lagi melihat keadaan Emir yang menangis setiap kali hendak menyusu. Dia memang tidak punya mana-mana saudara perempuan yang boleh menyusukan Emir. Kakaknya Adelia juga sudah tidak menyusukan anaknya.
Lama Erna merenung wajah Emir. Bersilih ganti pula dengan wajah Erfan. Hatinya jatuh simpati bertubi-tubi. Dalam pada masa yang sama, dia kagum dengan semangat Erfan. Walaupun telah kehilangan isteri namun dia nampak cekal untuk kuat demi anak tersayang.
‘Aku pulak... aku bukan isteri Rifqi. Tapi aku telah memperlakukan diri seperti janda Rifqi. Betapa kerdilnya diri aku jika hendak dibandingkan dengan Erfan!’
Tiba-tiba dia teringatkan rakan sepejabatnya yang telah mengambil anak angkat. Untuk memudahkan hubungan meraka pada masa akan datang tentang isu aurat, Nadia telah mengambil suntikan dan pil hormon untuk menyusukan anak angkatnya.
Mungkin dia boleh melakukan perkara tersebut jadi dia akan dapat menyusukan Emir! Entah kenapa, melihat anak kecil itu umpama memberi semangat baru buat Erna.
***
            Pandangan mata mula ditekur ke lantai. Bimbang melihat reaksi daripada papanya.
            “Erna pasti dengan apa yang Erna nak lakukan? Erna tahu kan yang perbuatan Erna ni mendatangkan risiko pada kesihatan Erna sendiri?” Datuk Emran mula pening kepala. Lain yang hendak dirancang, lain pulak yang menjadi.
            Memang dia merancang untuk menemukan Erna dan Erfan. Tapi tidak disangka yang Erna sanggup mengambil pil hormon untuk membolehkan dia menyusui Emir.
            “Erna pasti papa.... Erna dah check dengan doktor pakar.” Jawab Erna pasti. Dia tidak pernah seyakin ini. Lagipun apa yang dia lakukan adalah dibawah seliaan seorang pakar sakit puan yang terkenal di Kuantan Medical Centre.
            “Tapi Erna tahu kan... pil hormon tu tak semestinya akan membuatkan Erna boleh menyusukan Emir. Ada kebarangkalian jugak yang Emir tak nak terima susu dari Erna. Banyak kemungkinan boleh berlaku nak...” Si mummy pun ikut turut risau. Dia bimbang jika tahap kesihatan Erna terjejas.
            “Ya mummy... Macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Tapi kalau kita tak usaha dulu, kita tak akan mampu nak tahu tahap kemampuan kita paras mana kan. Erna nak minta izin mummy dan papa untuk jadikan Emir sebagai anak susuan Erna.” Kali ini dia benar-benar mengharapkan belas ehsan dari kedua ibu bapanya. Besar harapannya untuk menyusukan Emir.
            “Kenapa? Kenapa tiba-tiba Erna nak menyusukan Emir?” Datuk Emran terpanggil untuk bertanya. Adakah kerana Erna sudah tangkap kasih pada Erfan ataupun simpatinya jatuh pada si anak?
            “Sebab Emir macam memberi harapan yang baru pada Erna! Melihat senyuman Emir membuatkan Erna bersemangat papa...” Pujuk Erna lagi. Matanya berkaca-kaca. Benar-benar berharap agar mummy dan papanya akan memakbulkan permintaannya ini.
            Datin Zabedah dan Datuk Emran mula berpandangan sesama sendiri. Kalau semalam mereka pening kepala, hari ini mereka boleh terkena barah otak!
            “Baiklah... papa setuju.”
            “Yeahhh...” Erna terus meloncat kegembiraan. Membuatkan mummy dan papanya terkejut sendiri. Bagaikan Allah telah memulangkan kembali perangai anaknya yang dahulu. Yang gila-gila.. Yang periang dan yang suka memujuk sampai kehendakknya tercapai.
            “Tapi dengan satu syarat!” Suara tegas bapanya itu membuatkan senyuman Erna hilang serta merta. Datin Zabedah juga ikut turut terpinga-pinga. Syarat apa pula yang hendak dikenakan oleh suaminya?
            “Syarat? Apa pun syaratnya, Erna akan terima papa...” Tekad Erna pasti.
            Datuk Emran tarik nafas panjang.
            “Dengan syarat Erna kena jadi isteri Erfan!” Dengan sekali nafas, ayat itu keluar dari mulut Datuk Emran.
            “Hah!”
            Datin Zabedah terpempam manakala Erna tergamam!
***
            Erfan terus terjaga apabila telinannya menampan tangisan milik Emir. Serasanya, baru sekejap dia melelapkan mata. Tiba-tiba tidurnya diganggu lagi. Ketukan di pintu membuatkan Erfan menukar haluan. Terjenggul wajah Adelia yang penuh kerisauan.
            “Dah tahap kritikal dah Emir ni Erfan....” Komen Adelia sambil mendukung si kecil. Kasihan pada Emir yang langsung tidak mahu menerima susu botol.
            “Habis tu akak nak saya buat apa? Otak saya ni pun dah sesak nak fikir benda ni.” Punggungnya jatuh di birai katil. Kepalanya yang tak pening tiba-tiba rasa berdenyut-denyut.
Memang sangat mencabar menjaga bayi seperti Emir. Memerlukan kesabaran yang tinggi disamping mental dan emposi yang kukuh. Silap hari bulan bersepai semua sekali jika tiap-tiap hari tidurnya tak pernah cukup dan makannya tak pernah kenyang bila memikirkan tentang Emir.
            “Dulu akak dah nasihat kan... Inilah harga yang perlu dibayar untuk seorang bapa. Nampak mudah tapi benda ni bukan senang.” Bukan niat Adelia untuk membebankan si adik. Tapi berang kerana Erfan langsung tidak mengendahkan nasihatnya dahulu. Buat keputusan ikut dan sendiri. Sekarang mulalah pening kepala nak selesaikan masalah.
            “Benda ni tak akan jadi masalah kalau Emir nak menyusu botol kak...” Keluh Erfan bengang. Tak suka jika kakaknya ingin menyalahkan dirinya pula.
            “Dah nama pun masalah Erfan. Masalah ada sesuatu yang kita tak duga dan kita tak boleh nak jangka! Akak dah cakap yang bela budak kecil ni memerlukan kesabaran. Dan ada banyak risiko yang perlu Erfan tanggung. Nak atau tak nak, Efran kena hadap jugak!”
            Adelia sedaya upaya menghentikan tangisan si kecil. Kesian pada Erfan jatuh bertimpa-timpa. Dia tahu, bukan kehendak Erfan untuk menggalas tugas seberat ini. Lelaki itu juga terbeban dengan amanah yang ditinggalkan.
            “Nak buat macam mana lagi ni kak?” Tanya Erfan risau apabila Emir tak henti-henti menangis. Anak kecil itu menangis kerana kelaparan. Jika Emir kenyang, pasti dia akan lena dibuai mimpi.
            “Nak tak nak kena paksa dia minum susu jugak. Ambilkan akak sudu plastik tu.” Arah Adelia tegas. Badan Emir mula dibaringkan di atas katil. Susu yang dibancuh mula disua ke mulut Emir menggunakan sudu. Hanya ini sahaja caranya untuk membuatkan susu tersebut masuk ke dalam mulu Emir yang menganga ketika menangis.
            Namun besar risikonya. Emir berdepan dengan situasi tersedak apabila susu itu tiba-tiba masuk ke dalam mulut. Hampir menitis air mata Adelia. Dia yang mempunyai empat orang anak pun tidak pernah melalui keperitan seperti ini. Radeya, Raid, Rais dan Raihana boleh menyusu melalui susu badan dan botol. Mungkin ini adalah dugaan buat adiknya itu.
            Hampir dua puluh minit berdepan dengan tangisan Emir, Adelia mula mendukung si kecil itu. Ditepuk lembut belakang badan Emir. Dia hendak memastikan yang Emir sudah sendawa dan susu yang masuk ke dalam perut Emir tidak keluar melalui muntah. Alhamdulilah, habis juga sebotol susu walaupun terpaksa diberikan melalui paksaan.
            Akhirnya Emir kembali terlena sendiri. Mungkin perut yang kenyang dan penat menangis membuatkan Emir cepat terlena.
            “Sabarlah dik... Ini dugaan. Allah uji itu pasti ada hikmahnya.” Pujuk Adelia sambil meletakkan Emir kembali di dalam baby cot.
            “Sebenarnya....” Erfan masih berkira-kira sendiri. Adakah perlu untuk dia berterus terang pada kakaknya.
            “Sebenarnya apa?”
            “Datuk Emran... Dia berkenan nak buat Erfan menantu.” Berkerut-kerut dahi kakaknya menyambut kata-katanya itu. Mungkin agak keliru bila si lelaki dipinang untuk menjadi menantu buat anak perempuannya.
            “Untuk siapa? Untuk Erna?”
            Erfan menganggukkan kepalanya perlahan. Dia sendiri masih bingung. Dengan keadaan Emir lagi. Dengan pinangan dari Datuk Emran lagi. Terasa kelakar pula bila diri dipinang. Kalau tak kena batang hidung sendiri, bukan dia rasa yang cerita sebegini tak logik.
            Dia baru sahaja beberapa kali bertemu dengan Erna. Tak nampak pulak yang Erna seperti sukakan dirinya melainkan gadis itu begitu cenderung melahirkan kasih buat Emir. Tapi tak tahulah kalau itu salah satu taktik untuk mengurat bapa Emir.
            “Erna tu budak baik... Akak suka kalau dia jadi ibu untuk Emir. Lagipun Emir memang perlukan seorang ibu untuk menjaga dia. Sekarang mungkin akak boleh tengokkan Emir, tapi nanti kalau kamu pindah rumah kamu sendiri, tak ke pening nak layan karenah Emir.” Adelia melontarkan pandangan sebagai seorang kakak.
            “Tapi kami tak mengenali antara satu sama lain kak....Lagipun Erfan tak cintakan dia.” Protes Erfan perlahan.
            Terletus tawa halus dari mulut Adelia. Kepalanya digeleng beberapa kali. “Dulu Erfan terlalu cintakan Sahila... Tapi akhirnya cinta itu jugak yang memusnahkan kamu. Tak kenal tak apa. Belajar kenal lepas kahwin. Masa tu kamu akan kenal sisi seorang gadis yang jujur. Bukan lagi watak kepura-puraan untuk mengaburi mata hati. Sebab bila berkahwin, baru kamu kenal pasangan kamu Erfan. Sebab perkahwinan menuntut tanggungjawab manakala percintaan dikaburi dengan hiburan semata-mata. Sebab tu orang yang couple berpuluh tahun pun boleh bercerai bila dia orang berkahwin. Jadi tak pelik kalau dua orang yang tidak mengenali antara satu sama lain mampu untuk bahagia hingga ke akhirnya.”
            Panjang nasihat dari si kakak. Dia terlebih dahulu makan garam. Dia kenal Rafie pun tak lama. Tup-tup lelaki itu mengajaknya berkahwin walaupun usianya baru mencecah dua puluh tahun. Perkahwinanlah yang mendewasakan mereka. Rumah tangganya sendiri hampir goyang bila dikaburi dengan rasa sakit hati dan sikap mementingkan diri sendiri. Tapi alhamdulilah, yang keruh itu pasti akan jernih kembali andai betul cara penyelesaiannya.
            “Tapi...” Erfan ingin membidas lagi namun cepat-cepat dipangkah oleh Adelia.
            “Pokok pangkalnya hati dik... Hati tu sering mencari alasan bila fikiran membentangkan kebenaran. Macam tu jugak antara kamu dan Sahila dulu... Akak tak ada sebarang paksaan. Akak terima je keputusan kamu tu.”
            Perlahan-lahan Adelia mula meninggalkan adiknya yang masih terfikir-fikir sendiri itu. Siapa yang tak takut bila membicarakan tentang masa depan. Namun ketakutan yang berlebihan sendiri mampu membunuh masa depan.
***
            Erfan memperlahankan langkah kaki apabila terpandangkan susuk tubuh yang dia kenali itu. Apa gadis itu buat di kawasan perkuburan ini? Tanpa berfikir panjang, Erfan mula merapati Erna yang sedang menjirus air ke tanah perkuburan.
            “Assalamualaikum...”
            Salam yang dihulur mula dijawab perlahan sambil lehernya berpaling ke belakang. Mencari arah suara itu.
            “Buat apa dekat sini?” Tanya Erna sambil menutup sedikit kegugupan diri. Tempoh hari, papanya telah bercerita yang dia telah menyampaikan hajat untuk menjadikan Erfan sebagai menantu. Cuma keputusan lelaki itu sahaja yang belum dia ketahui.
            “Saya melawat kubur mak saya... Awak pulak? Awak melawat kubur siapa?” Kening Erfan diangkat sedikit. Malah matanya mula menangkap nama seorang lelaki yang tertera di batu nisan.
            “Kubur kawan saya...” Jawab Erna perlahan.
            “Kawan ke kekasih?” Tebak Erfan ingin tahu. Padanlah Erfan dapat mengecam sesuatu yang aneh pada air muka Erna yang nampak sedang menangung duka itu. Rupanya si gadis telah menyimpan kisah tragis juga. Sama seperti dirinya.
            “Erk....” Erna kematian kata-kata. Apa motif lelaki ini sebenarnya? Ingin mencungkil rahsia ataupun hendak menghentam dirinya?
            “Mungkin dia seseorang yang sangat istimewa dalam hati awak kan...” Terjah Erfan lagi.
            “Saya balik dulu..” Tak gemar rasanya untuk berkongsi sejarah yang lepas bersama Erfan. Lelaki ini memang nampak sedikit mesra dengan layanannya itu namun Erna memang tak senang ingin membicarakan topik Rifqi dengan sesiapa pun.
            “Kalau awak tak keberatan, saya nak cakap dengan awak sekejap...” Mereka sudah terlalu dewasa untuk melarikan diri dari masalah. Mungkin ada eloknya jika mereka berdua duduk berbincang dengan sebaiknya.
            Dengan berat hati, terpaksa juga Erna terima. Mereka memutuskan untuk ke pangkin depan yang disediakan di kawasan tanah perkuburan ini. Kawasan itu jugak agak lapang dan mudah dilihat. Tidaklah nanti dituduh hendak berkhalwat pula.
            “Awak sedia maklum kan yang papa awak nak jadikan saya menantu dia.” Okay, ayat yang keluar dari mulut Erfan sekarang memang terasa begitu skema. Macamlah hendak mengarang ayat untuk karangan  peperiksaan SPM.
            Erna mengangguk perlahan.
            “Awak boleh terima ke? Saya ni duda?” Uji Erfan sambil mengerling ke arah Erna. Kenapa gadis ini seakan-akan sedang mengusik jiwanya! Kenapa Erfan dapat merasa yang hatinya seolah-olah bersetuju untuk perkahwinan ini.
            “Saya redha dengan sesiapa pun yang dijodohkan dengan saya.” Erna pilih jawapan selamat. Dia bimbang jika Erfan terasa hati bila dia menyatakan yang dia bersetuju dengan perkahwinan ini hanya semata-mata kerana Emir. Kerana anak kecil yang baru hendak mengenal dunia itu.
            “Peliklah... Awak ni cantik... ada kerjaya sendiri. Tapi awak sanggup untuk terima duda macam saya. Saya masih diserang ragu-ragu! Apatah lagi kita kenal tak sampai pun sebulan...” Efran tak puas hati. Ada yang tak kena dengan Erna. Dia dah serik jadi watak utama dalam permainan perempuan. Jadi sebab itu dia pelik jika Erna bersetuju.
            Erna tersenyum sedikit. “Kalau jodoh itu melalui kecantikan, kenapa ramai artis yang cantik-cantik tu boleh bercerai? Ramai je gadis cantik yang terdera emosi dan fizikal mereka. Kecantikan bukanlah jaminan kebahagian pun.. Macam tu jugak dengan jodoh. Sejujurnya, saya terima awak sebab Emir.... Sebab saya dah jatuh sayang pada Emir... Saya nak jadi ibu susuan dia. Itulah punca utama kenapa saya bersetuju dengan perkahwinan ini.”
            Jawapan jujur yang diberikan oleh Erna itu membuatkan Erfan tercengang. Jadi kerana Emir!
            “Jadi sebab tu awak nak kahwin dengan saya? Hanya kerana Emir?” Soal Erfan sedikit beremosi.
            “Yup...”
            “Jadi awak nak kita kahwin kontrak? Habis je tempoh susuan awak, kita akan bercerai? Macam tu ke?”
            Soalan Erfan itu membuatkan Erna tersentak! Dia langsung tidak memaksudkan seperti itu.
            “Awak jangan salah faham...”
            “Habis tu, sila buat saya faham!” Erfan mula bangun. Duduk hanya membuatkan dia panas punggung.
            Erna tarik nafas dalam-dalam. Akal fikirannya mula merangka dan menyusun ayat. “Memang saya nak kahwin dengan awak sebab Emir. Tapi itu tak bermakna saya tak menerima awak sebagai seorang suami. Kita kena ambil masa untuk mengenal antara satu sama lain. Lagipun awak baru sahaja kehilangan isteri kan.... Saya tak paksa awak untuk sayang saya. Saya tahu bagaimana pedihnya kehilangan seseorang yang kita sayang....”
            “Jadi betullah yang meninggal tadi tu kekasih awak?” Tanya Efran laju sambil menghunus mata Erna dengan pandangan yang tajam. Membuatkan liur yang ditelan oleh Erna terasa kesat.
***
Bangkitlah dari kesedihan, karena kesedihan adalah proses yang harus dilalui untuk menuju kebahagiaan. Bahagia bukan bererti segalanya sempurna. Bahagia adalah ketika kamu memutuskan untuk melihat segala sesuatu secara sempurna.
            Di sepertiga malam ini, Erna bangun untuk sujud kepada Yang Maha Esa. Usai melakukan solat sunat taubat dan solat hajat, Erna terus menjatuhkan kepalanya untuk sujud pada Allah melalui solat sunat istiharah. Dia perlukan pertunjuk dan setiap pertunjuk itu ada pada jalan orang yang mencarinya.
Ya Allah! Aku mohon pemilihanMu menerusi pengetahuanMu dan aku mohon kekuatanMu menerusi kudratMu serta aku minta padaMu sebahagian dari limpah kurniaMu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agamaku juga dalam urusan penghidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagiku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat digalakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat
            Erna mengharapkan pertunjuk dari Yang Maha Kuasa. Dia tahu yang tidak semestinya Allah akan memakbulkan permintaannya. Tapi dia sebagai hamba tidak akan pernah berhenti meminta.
            Tangannya mula mencapai diari hijau yang memang sentiasa berada disampingnya. Diselak helaian demi helaian. Mengulang baca ayat yang ditulis oleh Rifqi.
            “Rifqi… betul ke tindakan aku untuk menerima Efran? Antara aku dan dia, hanya ada Emir... bukannya cinta.”
            “Kalau Emir mampu untuk menarik perhatian kau, tak mustahil Erfan juga mampu melakukan perkara yang sama kan?”  Tiba-tiba terdengar bisikan halus di peluput telinga Erna.
            Erna sendiri keliru sama ada itu kata hatinya yang menggila ataupun bisikan kata daripada Rifqi.  Dia sedar yang dia tidak seharusnya membiarkan perasaan memimpin akal fikiran. Matanya kembali kabur tatkala akal fikiran sudah berselirat mencari kata kunci untuk kebahagian hari esok. Lalu dipejam rapat matanya sambil memeluk erat diari Rifqi. InsyaAllah ada jalan kemudahan pada hari esok. Siapa tahu?
***
            Anak kecil yang sedang nyenyak itu dipandang tanpa perasaan. Setelah puas berperang untuk memberinya susu, akhinnya dia kembali terlena. Ingatannya mula terjatuh pada insiden petang tadi. Pertemuanya bersama Erna. Gadis itu memang nampak lembut dan jinak, tapi jiwanya tetap nampak liat.
            “Maaf... Saya tak berminat nak cerita perkara yang sudah berlalu. Siapa pun dia disisi saya pada waktu yang lepas tak akan mengubah apa-apa antara kita.” Jawab Erna setelah diam menyambut soalan Erfan.
            “Macam mana kita nak berkongsi masa depan yang sama kalau awak sendiri kedekut nak berkongsi kisah silam awak?” Terkam Erfan tidak berpuas hati.
            “Rasa sakit yang saya alami... Tak perlu dikongsi dengan sesiapa pun.” Tegas Erna geram. Apa tujuan Erfan mengertaknya sebegini rupa. Adakah hendak menguji ataupun hendak membuat kesimpulan sendiri?
            “Awak silap... Kalau seseorang itu tak mampu untuk berkongsi kisah sedih awak, orang itu tak layak untuk berkongsi kebahagian bersama awak.”
            Kata-katanya bukan omongan kosong. Erfan sendiri bercakap menggunakan pengalaman. Kalau dahulu, cinta didefinasikan sebagai perasaan yang perlu berdikari. Tak semua benda boleh dikongsikan bersama dengan pasangan. Ambil sikap bila perlu sahaja. Tapi semua itu tak membuahkan hasil. Mereka mula sedar yang mereka mempunyai dua sisi yang berbeza. Cinta yang sepatutnya menyatukan mereka, telah menjauhkan hubungan mereka sendiri.
            “Saya nak balik...” Erna sudah ketandusan idea untuk membalas kata. Kadang-kadang dia rasa Erfan okay. Dari sudut yang lain, dia dapat rasa yang Erfan sedikit mendesak dengan soalan yang bertalu-talu. Bukankah Erfan sendiri pernah merasa kehilangan, seharusnya Erfan mengetahui selok belok perasaaannya tika ini.
            “Erna....”
            “Sebagaimana saya tak memaksa awak untuk bercerita tentang arwah isteri awak, macam tu jugak saya berharap yang awak tak paksa saya untuk geledah sejarah silam saya. Masa silam saya adalah milik saya dan tak berhak untuk dikongsikan dengan sesiapa pun!”
            Jawapan Erna mengundang rasa tegang dalam diri Erfan Wanita ini seakan-akan cuba mencabar kesabarannya.
            “Kalau awak terlalu sayangkan dia, macam mana awak nak menempuh hidup dengan saya?”
            Erna memandang Erfan sinis. “Awak bercakap seolah-olah awak langsung tak sayangkan arwah isteri awak!”
            Tembakan Erna berjaya membuatkan Erfan terdiam. Lantas perlahan-lahan Erna mula meninggalkan Erfan.
            “Emir... apa yang perlu ayah buat sekarang?” Sungguh Erfan keliru. Setelah apa yang berlaku, rasa percaya dia pada seorang wanita makin melupus. Jika Erna sendiri menampakkan tanda-tanda yang gadis itu mempunyai sejarah cinta yang begitu abadi, bagaimana gadis itu akan mampu menerima dirinya.
            Jika tidak menerima Erna, dia bimbangkan keadaan Emir. Sampai bila dia perlu berhadapan dengan tangisan Emir bila saban waktu Emir hendak menyusu. Sebulan dua ini memang dia masih mampu, tapi andai kata perkara ini berlarutan, bimbang nanti melayang pulak badan Emir.
            “Apa yang kamu keluhkan sangat tu?” Tegur Adelia sambil menghulurkan minuman buat si adik. Muka memang nampak sangat berserabut!
            “Pasal Erna?”
            “Dia cintakan orang lain....”
            “Oh... Jadi dia tak terima untuk berkahwin dengan kamu?” Tebak Adelia lagi sambil mengambil tempat di sisi adiknya.
            “Orang yang dia cinta tu dah meninggal.” Jelas Erfan lagi.
            “Jadi?” Adelia mula naik hairan. Apa yang nak dirisaukan. Orang tu dah pun meninggal, jadi apa yang membelenggu fikiran adiknya itu.
            “Jadi mampu ke dia cintakan saya nanti. Saya tak nak pisang berbuah dua kali kak...” Keluh Erfan sambil meletakkan mug yang dipegang. Tekaknya langsung tak lalu untuk minum atau makan.
            Adelia ketawa. Rasa kelakar bila seorang lelaki yang biasanya berfikiran mudah dan singkat mula mengambil kira perkara remeh seperti ini.
            “Kenapa akak ketawa? Tak kelakarlah!” Erfan mula dijenggah rasa sakit hati. Orang serius, dia boleh ketawa pulak!
            “Cara kamu bercakap tu macamlah kamu cintakan dia sangat-sangat!” Seloroh Adelia sengaja. Dia faham perasaan adiknya. Lelaki itu pernah terluka jadi dia tidak mahu terluka lagi.
            Kata-kata Adelia membuatkan Erfan tergamam. ‘Kenapa ya? Kenapa aku rasa risau sangat? Ke memang betul yang aku cintakan dia? Sewaktu aku melihat senyum simpul di bibirnya, terasa hilang semua duka lara yang hinggap pada diriku. Sampai aku akhirnya ikut turut tersenyum. Tapi adakah ini digelar cinta?’ Dah sudah...

            “Erfan....Jangan terus ditangisi dia yang telah pergi demi orang lain. Erna hadir untuk menghampiri hidup Erfan. Untuk membuatkan Erfan sedar bahawa yang terbaik sedang menanti Erfan. Hati yang tulus menyintai tak kan lelah untuk bertahan. Tak akan menyerah untuk berjuang. Kerana dia percaya bahagia pasti telah ditentukan kepada dirinya. Erfan dan Erna sama-sama mempunyai masa silam. Mungkin yang membezakan hanya sejarah masa silam itu berlaku. Beri peluang untuk diri masing-masing bahagia. Akak memang berkenan sangat dengan Erna tu. Akak rasa dia lebih dari mampu untuk jadi ibu yang baik untuk Emir dan isteri yang baik untuk Erfan.”
            Erfan sering mengamalkan surah yasin ayat yang ke tiga puluh enam. Doa untuk memohon jodoh yang baik. Elok jika diamalkan selalu.
 "Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya".Surah Yasin ayat ke -36.
Nasihat dari Adelia tadi memang banyak benarnya. Perlahan-lahan Erfan mula mencuri nafas. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia membuat keputusan sedrastik ini.
            “Akak....”
            “Yup...”
            “Tolong pinangkan Erna untuk Erfan. Erfan nak jadikan Erna sebagai isteri Erfan dan ibu kepada Emir.”
            Jatuh rahang Adelia yang baru sahaja memangku Emir itu. Tidak menyangka yang secepat ini Erfan membuat keputusan. Memanglah dia senang menyambut berita ini tapi dia risau jika Erfan tersilap langkah.
            “Tak cepat sangat ke?”
            “Lagi cepat lagi bagus kak... Lagipun Erfan risaukan Emir. Kalau boleh buat bulan depan. Tak payahlah tunang-tunang. Kita buat kenduri terus.”
            Melalui suara Erfan, Adelia sudah dapat menebak yang adiknya itu serius untuk terus melangkah dalam gerbang perkahwinan ini. Adelia tahu yang Erfan melakukan semua ini kerana Emir. ‘Percayalah dik, kalau kita cuba bantu orang lain, insyaAllah, Dia akan membantu kita pulak. Emir... nanti Emir akan dapat ibu baru.’ Dicium kedua belah pipi Emir. Hatinya terus melagukan syukur pada Yang Maha Esa. Moga ada jalan bahagia buat Erna dan juga Erfan.
***
            Mata Erna jatuh pada sekeping kad kahwin berwarna merah jambu yang baru diambil dari pencetak tadi. Kad kahwin itu nampak esklusif dan menarik. Pandai Erfan memilih rekaan. Lagi seminggu lagi dia bakal menamatkan zaman bujangnya. Semua ini bagaikan di dalam mimpi.
            Pintu bilik tiba-tiba ditolak kasar dari luar. Tanpa salam, tanpa ketukan, terus Fareeq merempuh. Dia muncul dengan wajah yang kalut dan tidak tenteram. Di tangan kanannya tergantung sekeping kad kahwin seperti yang berada di tangan Erna.
            “Kenapa ni bang?”
            “Apa ni Erna?”
            Kad kahwin itu segera dilemparkan ke atas meja Erna. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika membaca nama di dalam kad tersebut. Erna nak kahwin? Kenapa secara tiba-tiba? Tak ada ribut, tak ada petir, tiba-tiba hujan lebat! Pasti ada yang tak kena!
            “Kad kahwin... Kenapa dengan kad kahwin ni?” Erna tak faham kenapa Fareeq perlu mengamuk sebegini rupa. Apa masalahnya kalau dia berkahwin pun!
            “Jangan main-main Erna... Kenapa tiba-tiba nak kahwin? Datuk Emran paksa Erna untuk kahwin ya?” Terkam Fareeq sedikit tak berpuas hati.
            “Kalau ya pun papa paksa... papa memang layak sebab dia wali mujbir. Tapi dalam hal ini sikit pun papa tak memaksa. Erna yang buat keputusan untuk berkahwin. Yang abang ni kenapa? Orang nak kahwin pun pelik ke?” Sungguh dia tidak dapat membaca apa yang bersarang di benak Fareeq tika ini. Entah jembalang mana yang merasuk, Erna sendiri tidak pasti.
            “Pelik sebab...sebab... Erna tak menampakkan ciri-ciri untuk berkahwin pun?” Separuh dari hati Fareeq terasa terbakar apabila menyambut berita tak diundang ini. Mungkin segenap perasaannya masih menjadi milik Erna. Walaupun tika ini dia sudah punya Sury, tapi memang sukar untuk menghakis nama Erna yang pernah singgah di hatinya.
            Erna ketawa kecil kemudian beransur menjadi kuat. “Apa yang peliknya... Sedangkan orang yang disangka bujang pun sebenarnya dah berkahwin.” Bukat niat Erna untuk memerli Fareeq tapi dia mula naik mua bila Fareeq seolah-olah mempertikaikan keputusannya untuk berumah tangga.
            “Erna perli abang?”
            “Abang terasa ke?”
            Fareeq mendengus! Dah memang sah-sah dia makan gula, pastilah terasa manisnya.
            Tangan Erna mula mengemas meja pejabatnya. Jam sudah menunjukkan pukul lima setengah petang. Dia mahu berjumpa dengan Emir. Sudah seminggu dia menyusukan Emir. Alhamdulilah, Emir dapat menerima susu dari badannya. Kadang-kadang dia akan mengambil Emir untuk tinggal bersamanya. Mujurlah tidak mendapat halangan daripada Erfan.
Lagipun, Lagi lama di dalam pejabat ini, naik sakit otaknya melayan Fareeq.  Orang lain semua gembira menyambut berita ini, hanya Fareeq sahaja yang membentak.
            “Sudahlah bang... Abang doakan sahaja kebahagian Erna sebagaimana Erna sentiasa mendoakan kebahagian abang.” Tutur Erna lembut. Tak mahu memanjangkan lagi cerita.
            Erna sudah mula menapak ke muka pintu.
            “Abang tahu semua ni salah abang. Abang betul-betul minta maaf. Tapi tak kan Erna tak boleh beri abang peluang kedua!”
            Berkerut dahi Erna menyambut perkataan peluang kedua itu. Kepalanya ditolehkan ke belakang. “Apa maksud abang pasal peluang kedua tu?”
            “Abang nak memperisterikan Erna...” Fareeq mula mendekatkan langkahnya. Kali ini dia benar-benar serius.
            “Isteri yang kedua?”
            “Kalau perlu, abang sanggup ceraikan Sury!” Putus Fareeq cepat.
            “Abang!”
            Bergegar dada Erna sangat mendengar tutur kata seorang lelaki bernama Fareeq. Tidak dapat dibayangkan perasaan Sury yang baik hati itu. Kenapa Fareeq tiba-tiba berubah menjadi seorang lelaki yang mementingkan diri sendiri.
            Fareeq mula diserang sakit kepala. Sakit yang dicari sendiri. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hubungannya dengan Sury mula jadi tak kena. Ada sahaja salah isterinya yang terlintas di matanya. Entah apa  yang berubah, hatinya ataupun wajah itu bukan lagi menjadi igauannya.
            “Apa pun yang berlaku, abang tak akan termasuk dalam kategori calon pilihan saya. Jaga kak Sury.... dia perlukan abang! Tak kan macam tu je abang nak tinggalkan dia. Erna dah nak kahwin....” Tekan Erna keras.
            “Tapi Erna tak cintakan dia! Dan lelaki itu duda!”  Duda jugak yang menjadi pilihan Erna. Macam dah tak ada lelaki lain yang masih bujang.
            “Jadi apa bezanya dengan abang? Erna pun tak cintakan abang! Dan abang pula suami orang!” Balas Erna  namun tetap mampu dikawal nada suaranya. Dadanya sudah berombak kencang. Kesabarannya sudah mula menipis tika dicuit dengan bait-bait kata-kata Fareeq yang menyakitkan hatinya.
            “Tapi sekurang-kurangnya Erna pernah cintakan abang....” Kali ini suara Fareeq tidak senyaring tadi. Rentaknya sudah berubah menjadi merayu. Merayu pada gadis yang tidak lagi sudi.
            “Pernah cintakan abang dengan masih cintakan abang adalah dua perkara yang berbeza. Hakikatnya perasaan tu dah lama terkubur. Sedalam mana pun abang mencuba untuk menggalinya, perasaan itu dah terkambus jauh dari gapaian abang sendiri.” Nampaknya, menerima Erfan adalah keputusan yang tepat. Kalau dia masih single, pasti dia akan diburu oleh Fareeq.
            Tanpa menunggu lagi, terus Erna angkat kaki. Bimbang lama-lama nanti tangannya pula yang boleh terangkat ke pipi Fareeq. Dalam hatinya berdoa agar fius otak Fareeq yang tercalar dan tercabut itu akan segera berfungsi seperti sediakala. Kalau keadaan ini berterusan, dia bimbang akan menjadi virus dalam hubungannya bersama Erfan nanti.
***
            Sambil menyusukan si kecil, berulang kali tangan Erna mengusap kepala Emir. Bibirnya mula berselawat berulang kali. Kata orang, ini dapat melembutkan hati si anak yang sedang menyusu. Betapa pentingnnya untuk bayi kecil mendapatkan khasiat dari susu ibu sendiri. Susu ibu mengandungi kesemua nutrient yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi. Malah susu ibu mudah dihadam oleh si kecil.
            Pada mulanya memang Erna rasa kekok gila. Ialah, tak mengandung tapi tiba-tiba menyusukan bayi. Mujurlah mummy dan Kak Adelia banyak membantu. Sekurang-kurangnnya dia mampu mengumpul pengalaman sebelum menyusukan anak sendiri nanti.
            Rasa marahnya pada Fareeq segera ditolak ke tepi. Dia tidak mahu rasa emosi yang membelit akan mempengaruhi si kecil pula. Adalah perlu untuk si ibu berada dalam keadaan normal dan tenang.
            Matanya mula menyelongkar bilik Erfan di rumah Adelia ini. Nampak kemas dan teratur sahaja susunannya. Mungkin juga Adelia rajin mengemas. Tak pun memang perangai Erfan sendiri yang memang teratur orangnya.
            Berbeza betul Erfan dan Rifqi. Bilik Rifqi bersepah dan tidak teratur. Ini pun sebab Puan Suraya selalu mengadu kepada Erna. Masa ini, pasti Rifqi akan tarik muka masam. Tak suka bila hak asasinya dicerita kepada orang luar. Bimbang jatuh saham kononnya.
            Ada sahaja kenangan bersama Rifqi yang masih bernyawa di benaknya ini. Tidak dipaksa ataupun dikerah, memori itu mampir dengan sendiri.
            Ketukan di pintu membuatkan Erna terus membetulkan bajunya. Pasti Erfan sudah pulang dari tempat kerja. Gugup pula Erna dibuatnya. Sejak mereka memutuskan untuk berkahwin, hanya beberapa kali mereka bersua muka. Lagipun Erfan sibuk dengan tugasnya yang baru bermula.
            “Boleh saya masuk?” Jerit Erfan dari luar bilik.
            “Masuklah..” Jawab Erna sambil meletakkan Emir di dalam baby cot. Terdengar pintu terkuak dari luar tapi sedikit pun Erna tidak menoleh ke belakang.
            “Emir dah tidur?” Pintu bilik mula disendal. Tidak mahu dituduh berkhalwat pula sedangkan niatnya hanya ingin menemui Erna seketika. Mujur hari ini dia berpeluang untuk pulang awal.
            “Dah...”
            “Amboih budak ni.. Asal kenyang je tidur..” Komplen Erfan sengaja. Dia ingin mewujudkan suasana yang selesa antara mereka. Tak lama lagi nak kahwin, tak kan nak meneruskan rasa canggung ini sampai bila-bila.
            “Terima kasih...” Ucap Erfan sambil tersenyum. Dia banyak terhutang budi pada Erna.
            “Sama-sama...Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu.” Dicapai beg tangan yang berada di atas katil. Tak selesa bila berada di dalam bilik ini bersama Erfan. Nanti apa pula kata Adelia. Memanglah antara mereka ada Emir tapi budak kecik tu mana tahu apa-apa.
            “Erk.. Erna.. kejap...” Tahan Erfan sambil menghampiri batang tubuh Erna yang berdiri tidak jauh daripadanya.
            “Kenapa?”
            “Saya nak bagi awak supplement ni.” Beg plastik itu mula bertukar tangan.
            “Untuk apa?” Aneh jugak rasanya. Kenapa tiba-tiba nak bagi supplement pulak?
            Supplement asas yang perlu untuk badan si ibu yang memberi susu badan sustained dan sihat. Suplement ni mengandungi multivitamin, B complex , vitamin C dan protein. Itu orang kedai tu cakaplah. Dan awak kena pastikan yang minuman yang awak minum tak boleh kurang dari dua liter. Lagi satu, pastikan awak ambil makanan yang seimbang. Saya tak mahu nanti awak pulak yang jatuh sakit sebab awak pun ambil pil untuk keluarkan hormon tu kan..”
            Perlahan-lahan bibir Erna mula tersenyum apabila menyambut arahan dari Erfan itu. Terasa kelakar bila seorang lelaki membicarakan tentang topik susuan.
            “Terima kasih...” Ucap Erna separa malu.
            “Oh satu lagi...” Hampir-hampir Erfan terlupa untuk memberikan Erna sesuatu. Sebenarnya dia agak malu tapi demi Emir, dia harus lakukan. Tak kan nak buat bodoh je bila ada seorang gadis sudi untuk menyusukan anaknya. Tangannya cepat sahaja mengeluarkan sebuah kotak dari meja soleknya. Kemudian kotak itu mula dihulurkan kepada Erna yang nampak terkebil-kebil.
            “Apa ni?”
            “Ini pam susu manusia jenis Avent. Officemate saya yang rekomenkan.” Muka Erna membahang saat mendengar penerangan Efran. ‘Pam? Lelaki ini belikan aku pam susu? Ngee... malunya... serius rasa nak menyorok dalam katil. MALU GILA!’ Tapi mamat didepannya boleh pulak buat tak tahu! Muka memang selamba tahap badak.

“Pam ini dapat mengepam dengan konsisten dan membantu menggunakan teknik yang betul. Ini membantu stimulasi sentiasa berlangsung dan penghasilan susu yang berterusan. Membantu si ibu mengepam dan memastikan payudara benar-benar kosong. Pam yang selesa tidak akan membuatkan si ibu rasa sakit sesama sesi mengepam dan ini akan melancarkan pengaliran susu ibu dengan mood tenang dan gembira disamping....”
            “Okay...okay.... saya boleh baca sendiri.” Pangkah Erna sambil terus menyimpan kotak itu ke dalam beg tangannya.
            Teguran Erna itu membuatkan bacaan Erfan terganggu. Tidak sedar yang bibirnya ralit membaca sepatah demi sepatah ayat yang terhidang di belakang kotak ‘Apa kena dengan aku ni? Mestilah Erna malu.... aduhh... macamlah dia tak boleh baca sendiri!’
            Perlahan-lahan tangan Erfan mula menggosok belakang tengkuknya yang tegang. Dapat dikecam wajah Erna yang merah seperti udang yang dibakar di atas bara api!
            “Eh korang berdua, nak kena tangkap khalwat ke duduk sebilik? Harap bersabar ya... Majlis tinggal seminggu sahaja lagi.” Adelia yang tiba-tiba muncul itu mula mencelah sambil bercekak pinggang. Sebenarnya dari tadi dia memerhatikan adiknya. Nampak sikap prihatin Erfan lahir di situ. Mengambil berat perihal kesihatan Erna.
            Kalau tadi muka Erna terbakar, kali ini mula hampir melecur. Adik dan kakak sama sahaja. Tanpa memandang Erfan, laju sahaja langkah kaki Erna dibawa untuk keluar dari bilik peraduan itu. Apabila menangkap senyuman dari wajah Adelia, rasa malu makin bertimpa-timpa menjenguk ke hati.
***
            Dengan sekali lafaz, Erna Farzana sah menjadi isteri kepada Erfan Farzail. Rasa macam tak percaya pun ada. Kenal tak sampai dua bulan tup-tup mengambil keputusan untuk berumah tangga.
            Kalau ikutkan hatinya, dia masih lagi belum bersedia untuk menyandang gelaran suami. Apatah lagi perkahwinan ini bukan dibina atas dasar cinta tapi perkahwinan ini lebih kepada rasa tanggungjawab. Mungkin benar cakap orang, cinta selepas nikah itu lebih sempurna.
Majlis sederhana ringkas diadakan di Zenith Hotel. Kalau ikutkan Erfan, dia hanya mengiginkan majlis yang serba ringkas. Apatah lagi majlis ini dirancang dalam waktu yang singkat. Namun kerana menghormati permintaan Datuk Emran yang hanya mempunyai seorang anak sahaja, Erfan terus bersetuju untuk mengadakan resepsi di hotel.
Pertama kali melihat wajah Erna yang bersolek, terus membuatkan jantung Erfan diselaputi rasa kagum. Kagum kerana mampu untuk memperisterikan wanita secantik Erna. Kalau ikutkan, solekan itu tidaklah setebal sokekan artis. Namun kecantikan dan seri penganti itu memang nyata terserlah. Dan dia suka bila Erna mampu membawa diri walau diperkenalkan kepada sesiapa pun.
Beza Sahila dan Erna ialah, Sahila lebih terbuka pemikirannya. Mungkin beberapa tahun di Melboune membuatkan Sahila berani. Gaya Sahila agak daring walaupun wanita itu bertudung. Dia gemar berfesyen untuk kelihatan cantik. Dan Erna pula... lebih nampak kemelayuan dengan ciri-ciri kesopanan. Walaupun bukan pakai jubah dan tudung labuh, tapi Erna tetap menutup aurat dengan sempurna dengan busana yang elegent. Sekurang-kurangnya kurang sikit bebanan dosa apabila mendapat isteri solehah seperti Erna.
Usai bersolat berjemaah, terus Erfan menghempaskan badan di atas katil di bilik Erna ini. Dia suka dekorasi bilik Erna. Cantik dan simple. Sementara menunggu rumah di Kota Sass siap renovation, dia akan tinggal di rumah mertuanya ini dulu.
Kalau ikutkan, memang pihak hotel ada menyediakan bilik untuk mereka pre-honeymoon. Namun telah ditolak oleh Erna. Isterinya itu tidak mahu kerana bimbangkan keselesaan Emir.
“Erfan... kita makan dulu ya.” Sayup-sayup suara Erna menyusup lembut di telinga Erfan. Suara itu benar-benar mampu mendamaikan jiwa.
“Hmm....” Namun sedikit pun Erfan tidak berganjak. Masih terbaring di atas katil.
“Erfan....” Panggil Erna lagi sambil menyentuh sedikit kaki suaminya itu. ‘Amboi, penat betul!’
Tiba-tiba ingatannya tergarit pada gurauan Salmi. Rakan sekerjanya di ofis. Apabila mengetahui yang dia hendak menamatkan zaman bujangnya dengan seorang duda, terus Salmi mengusiknya.
“Cik Erna kena hati-hati... Duda ni dia banyak pengalaman tau!”
“Amboihh... bercakap macam orang ada pengalaman je!” Bukan main lagi budak nih. Belum kahwin lagi dah cakap topik kahwin!
“Kan orang selalu cakap macam tuh...”
“Tak boleh pakai sangat cakap orang tuh.” Sebenarnya dia malu jika hendak bercakap soal sebegini dengan sesiapa pun. Segan dia memang tahap memuncak! Macam-macam tips yang diberikan oleh Adelia dan juga mummynya. Adoi, perlu ke sampai macam tu sekali?
Kerana terlalu kasihankan Erfan, akhirnya dia terus membiarkan Erfan lena sendiri. Mujurlah tidak ramai sanak saudara yang menumpang tidur di rumahnya. Jika tidak, pasti dia akan diusik.
Kakinya mula dihalakan ke arah Emir yang nyenyak tidur itu. Apabila memastikan yang Emir benar-benar selesa, Erna mula keluar dari bilik. Sedikit sebanyak hatinya lega. Jika Erfan sudah tidur, alamatnya malam ini dia akan selamat secara automatik!
Tidak banyak kerja yang perlu dilakukan di dapur memandangkan kenduri kahwin bukan diadakan di rumah ini. Sanak saudara juga sudah ada yang tertidur walaupun jam baru menunjukkan pukul sembilan malam.
“Erfan mana? Tak turun sekali?”
Sudah dijangka yang soalan itu akan keluar dari mulut mummy saat terpandangkan Datin Zabedah.
“Erfan tengah layan Emir kejap...” Bohong Erna. Tidak mahu jika si mummy mengesan yang suaminya itu telah tertidur.
“Ingat pesan mummy... Layan suami dengan ikhlas.” Sempat lagi si mummy berbisik lembut. Muka memang tahap serius habis!
“Ish.. mummy ni..” Erna mula tarik muka. Rasa macam nak ambil periuk dan tekup ke atas muka. Kuali hitam pun jadilah! Malu tahap gaban bila saban hari nasihat itu menerkam telinganya.
“Malu-malu pulak. Orang nak bagi ilmu pun susah! Hah, malam ni biar Emir tidur dengan mummy. Nanti menganggu pulak...” Kata-kata Datin Zabedah hampir membuatkan Erna tersedak. Lantas gelas minuman yang sedang diteguk itu terus diletak ke atas kabinet dapur.
“Apa yang mengganggu pulak. Tak payahlah... Emir tidur dengan Erna je.”
Dia faham apa yang dimaksudkan oleh si ibu. Tapi sengaja buat-buat tak faham. Lagipun dia yakin seratus peratus yang malam ini akan berlalu seperti biasa. Memanglah Erfan sendiri tak pernah cakap apa-apa, tapi rasanya hubungan mereka terlalu baru untuk dilangkau sejauh yang digambarkan oleh mummynya. Drastik betul!
“Ikut Ernalah. Tapi esok jangan mengadu apa-apa dekat mummy...” Datin Zabedah sudah mengugut dengan sennyuman luar biasa. Cepat-cepat Erna menggeleng.
Tangisan Emir mula membuatkan Erna tersenyum. Akhirnya dia lega kerana Emir menyelematkan dia dari terus diberkas dengan soalan-soalan tak patut. Datin Zabedah hanya menggelengkan kepala sambil melihat si anak berlari naik ke tingkat atas.
‘Ya Allah... titipkanlah kebahagian buat Erna dan Erfan. Moga ada jalan bahagia buat mereka... Kembalikanlah senyumannya yang hilang itu..’ Itu sahaja Datin Zabedah. Moga layar bahtera yang dikemudi oleh si anak berlayar dengan aman.
            Ketika menolak daun pintu, dia menangkap susuk tubuh Erfan yang baru sahaja mendukung Emir. Kasihan, pasti tidur suaminya itu terganggu. Muka Erfan memang nampak mamai sungguh.
            “Bagi Emir pada Erna...” Pinta Erna.
            Tangan Erna seakan-akan terkena renjatan elektrik apabila tersentuh dengan tangan suaminya ketika Erfan sedang memberikan Emir.
            “Dia lapar kot..” Mata yang masih layu itu segera digenyeh. Jika tidak dikejutkan dengan tangisan Emir, mungkin dia terus tertidur sampai ke pagi. Dapat dilihat keadaan Erna yang agak teragak-agak ketika hendak menyusukan Emir.
            ‘Ish... asal mamat ni tak berganjak lagi. Pergilah sambung tidur.’ Tangisan Emir yang terus menjadi-jadi itu membuatkan Erna terus menyusukan Emir tanpa memikirkan Erfan.
            ‘Okay... buat-buat tak nampak je Erfan tuh!’ Pujuk dirinya sendiri. Namun tangannya tetap berusaha menarik baju agak dapat minimakan bahagian badan yang terdedah.
            Erfan tersenyum. Hatinya bagai digaru melihat aksi canggung si isteri. Alahai, comel betul!
            Tanpa Erna menduga, tiba-tiba sahaja Erfan duduk di sebelahnya. Malah kedudukan mereka agak rapat. Jantung Erna bergegar hebat apatah lagi bila Erfan dengan beraninya mengusap rambut si Emir. Okay, itu boleh dimaafkan lagi.. Tapi bila wajah Erfan mula menunduk untuk mencium pipi Emir, jantung Erna terus tak berfungsi. Kejung sendiri di situ.
            Sungguh Erfan rasa hendak ketawa melihat telatah isterinya. Nampak sangat yang si isteri sedang menelan liur. Muka pun takut-takut. Macamlah baru terserempak dengan zombie.
            Untuk meneruskan usikan, sengaja Erfan meletakkan tangan di bahu isterinya. Sentuhannya bagai telah memberikan renjatan elektrik pada Erna.
            “Erna okay?”
            “O...Okay...”
            Dalam fikirannya berlegar dengan kata-kata Salmi. ‘Duda ni banyak pengalaman....’
            “Erna...” Perlahan sahaja panggilan Erfan. Tangannya mula memaut bahu si isteri. Cuma menghilang getar rasa yang berkompang di pelusuk jiwa Erna.
            “Saya tak pernah paksa... Saya nak kita sama-sama bersedia untuk melangkah ke alam suami isteri yang sebenar. Kita kena beri masa sesama kita. Untuk mengenali dan memahami diri masing-masing.”
            Kata-kata yang keluar dari mulut suaminya memang mampu membuatkan nafas Erna kembali lancar seperti biasa.
            “Thanks Erfan... Saya berjanji untuk beri yang terbaik buat rumah tangga kita.”
            Tanpa banyak cakap, terus Erfan mencium pipi gebu milik Erna. Membuatkan Erna melopong sendiri. ‘Tadi kemain lagi cakap pasal bagi masa!’
            “Tapi kalau setakat kiss je tak apa kan?” Tanya Erfan dengan muka tak bersalah. Tindakannya tadi memang membuatkan rahang Erna terjatuh. ‘Double mengada jugak mamat ni!’
            Erna tak tahu hendak memberi reaksi yang bagaimana lagi. Nak kata setuju nanti nampak gelojoh. Nak menolak nanti terbayang azab neraka Allah. Jadi baiklah dia tersenyum sahaja.
            “Tadi kan... waktu saya cium awak, saya rasa macam baru lepas cium Emir. Pipi korang macam samalah. Cuba saya try sekali lagi..”
            “Hah!” Muka Erna sudah membahang.
            Tanda diduga, sekali lagi Erfan mencuri cium pipi Erna. “Haah lah.. memang sama... Gebu dan lembut je. Macam baby.” Puji Erfan selamba sedangkan wajah Erna sudah memerah.
            “Apa ni, main tipu! Mana aci..” Tanpa sedar, Erna mula terbuat perangai lepas laku. Sesuatu yang sudah lama dia tinggalkan.
            “Oh tak aci ya... Okaylah.. sebagai gantinya, awak cium pipi saya semula.” Erfan sudah menundukkan wajahnya sedikit. Pipinya ditala ke wajah Erna.
            “Ngeee... siapa pulak cakap nak cium awak?” Hatinya bagai melantun-lantun apabila diusik oleh Erfan. Malam ini, dia dapat lihat Erfan dari sisi yang berbeza. Terasa meremang bulu roma menerima layanan seperti ini.
            “Seorang suami kenalah pandai membaca bahasa kiasan seorang isteri kan... Lagipun betul jugak. Mestilah awak cemburu kan. Saya dah cium awak empat kali. Masa akad nikah sekali, masa solat jemaah sekali lepas tu baru ni dua kali. Okay, sebagai seorang suami yang prihatin, awak ciumlah saya lima kali.” Usik Erfan tanpa henti.
            Terbuntang mata Erna mendengar penjelasan si suami. Gila! Erfan memang betul-betul gila!
            “Merepeklah awak nih!” Erna berpura-pura fokus pada si kecil yang sedang menyusu. Padahal dada sudah mengalunkan ombak rindu. Ombak tsunami pun ada!
            “Kenapa? Malu ya.. Tak apa... saya faham..” Kali wajah Erfan sudah kembali mendekat. Bibirnya dihala ke telinga Erna.
            “Nanti saya kira berapa awak hutang saya kiss okay. Nanti bila dah tak malu, boleh bayar balik...” Bisikan itu halus sahaja. Berjaya membuatkan bulu roma Erna berteraburan. Dengan penuh nakal, Erfan mula mengeyitkan mata kanannya.
            Erfan begitu pandai bermain dengan kata-kata. Agaknya macam ni dia layan arwah isterinya dahulu. Lupa pula, duda mestilah banyak pengalaman kan! Entah kenapa, ayat itu seperti mampu meragut nyawa Erna sahaja.
***
Hujung minggu yang mendamaikan jiwa. Ini hari terakhir mereka akan tinggal di rumah Datuk Emran sementara hari esok mereka sekeluarga akan berpindah di rumah sendiri. Rumah yang sudah siap diubah suai. Lebih sebulan menjadi suri dalam hidup lelaki yang bernama Erfan, ternyata ia menenangkan jiwa Erna. Menjadi ibu express membuatkan jiwa Erna melayang dari mengingati Rifqi. Lagipula, dia tahu hukum seorang isteri yang mengingati lelaki lain.
            Anak kecil yang baru selesai dimandikan itu mula disiapkan dengan ala kadar. Hanya mengenakan Emir dengan sehelai t-shirt yang tidak membuatkan anak kecil itu kepanasan. Putik kapas mula dicapai. Dengan perlahan-lahan dia mula membersihkan telinga Emir.
            Pada mulanya memang dia agak canggung dan takut. Ialah, berhadapan dengan telinga si kecil yang begitu halus lubangnya. Risau nanti tak terkeluar pula putik kapas dari telinga Emir. Pergerakannya perlahan sahaja. Bimbang menyakiti si kecil.
            Erna tarik nafas lega. “Fuh... takut ibu tengok lubang telinga Emir ni... Tapi ibu buat tak sakit kan...” Erna berbual dengan si kecil. Macamlah anak kecil itu memahami kata-katanya.
            “Okay... sekarang kita kena potong kuku pulak. Kuku Emir dah panjang dah...” Habis pipi Emir calar balar akibat mencakar wajah sendiri. Sudahlah anak kecil itu sudah mula lasak. Tangan asyik terkapai-kapai. Langsung tak duduk diam!
            “Duduk diam-diam...” Arah Erna dengan suara yang sengaja dikeraskan sedikit. Namun pergerakan Emir terus lasak hingga menyukarkan dia untuk memotong kuku si kecil.
            “Biar saya pegang tangan Emir ya..” Entah dari mana Erfan muncul, tiba-tiba sahaja suaminya itu sudah duduk di birai katil. Membantu memegang tangan si kecil yang bergerak itu. Malah tangan mereka mula saling bertindih.
            Tanpa Erna sedari, jarak yang begitu dekat itu membuatkan Erfan merenung jauh dan menilik setiap inci wajah Erna. Alis mata bundar yang mempesona. Bibir merah bak delima.  Kening separa lebat yang kelihatan sempurna dan kulit halus yang memerah menjadikan Erna seorang wanita yang cantik di pandangan matanya.
            Jika hendak dibandingkan, Sahila juga perempuan yang cantik. Tapi cantik Sahila kerana solekan yang tebal. Kerana dress up yang up to date. Kata-katanya selalu manja. Itulah yang membuatkan Erfan selalu terbuai dan tersungkur jatuh di bawah kuasa cinta Sahila.
            Erna mula jadi tak senang melihat reaksi suaminya yang lain macam itu. Pagi-pagi lagi sudah memandang dirinya dengan pandangan yang dia sendiri tidak dapat mentafsirkannya. Jadi, cepat-cepat dia menghabiskan tugasnya.
            “Okay dah siap!”
“Okay.. Emir dah siap, bila awak nak potong kuku saya pulak?”
Pertanyaan Erfan itu membuatkan Erna sedikit melopong. Potong kuku Erfan? ‘Kenapa nak minta tolong dari aku? Bukan ke dia boleh potong sendiri?’ Bisik hati Erna.
“Cepatlah Erna.... saya tengah bagi awak peluang untuk memburu pahala ni!” Gesa Erfan dengan senyuman yang tak lepas dari bibir. Mendengarkan ayat ‘memburu pahala’ itu, cepat-cepat Erna mencapai pengepit kuku dan mula mengetip kuku mengikut tata tertib yang menjadi kebiasaannya.
Dipotong satu demi satu kuku tersebut dengan cermat dan halus. Usai habis mengetip, dia mula menyapukan losyen di jari jemari Erfan. Sesuatu yang sudah menjadi kebiasaannya setelah mengetip kuku.
“Okay dah siap.”
“Ada orang cakap, jangan mencintai seseorang setinggi langit kerana langit boleh runtuh.. Jangan mencintai seseorang sedalam lautan kerana lautan boleh surut.. Jangan mencintai seseorang sebesar dunia kerana dunia boleh hancur…Cukuplah mencintai seseorang  dihujung kuku, walau kecil, walau selalu dipotong, ia akan selalu tumbuh….” Tiba-tiba sahaja madah itu meluncur keluar dari mulut Erfan. Membuatkan Erna terpinga sendiri. Tak tahu hendak memberi reaksi yang bagaimana.
Hendak membalas, Erna tak cukup bijak. Hendak menepis, langsung gelaran seorang isteri menghalang dirinya. Jadi disambut sahaja dengan senyuman. Namun madah itu tetap disimpan kemas di dalam hati.
“Eh, ramai orang komplen yang saya tak dengar bila orang panggil. Cuba awak tengok apa yang bersarang di telinga saya.” Tanpa menunggu lama, terus Erfan merebahkan kepala di peha milik Erna.
Bukan sahaja rahang Erna yang terjatuh malah organ jantungnya juga bagaikan melompat keluar dari tempat asalnya. Sikap diluar dugaan Erfan ini benar-benar boleh meragut ketenangannya.
Dengan perlahan-lahan Erna mula mencuci telinga milik suami. Mengulang perbuatan yang dia lakukan pada si kecil tadi. Erfan yang berbaring secara mengiring itu mula memejamkan matanya. Menganalisa sikap Erna yang halus dan menyenangkan jiwanya.
‘Ya Allah, sungguh aku jatuh cinta padanya... Namun mampukah dia menyintai diriku yang serba kekurangan ini.’
Sebulan hidup bersama mengajar Erfan erti kasih yang sebenar. Telah ditinggalkan semua kenangan pahit itu ke belakang. Jangan ada yang mengekorinya lagi.
***
Hari ini bermulalah hidup baru sebagai isteri sepenuh masa di rumah sendiri. Rumah yang diubah suai ini kelihatan cukup sempurna untuk keluarga kecil mereka. Semua perabot sudah disusun atur oleh Interior Designer yang dilantik oleh Erfan. Setakat ini, Erna sangat berpuas hati. Dia memang inginkan kediaman yang sederhana tanpa perhiasan yang berlebihan.
            Ahli keluarga yang banyak membantu mengangkat barang-barangnya. Tidak banyak keperluan yang dibawa. Cuma pakaian dan keperluan asas seadanya.
            Kotak-kotak yang courier dari Australia pun sudah tiba seminggu lebih awal. Sementara menunggu Erfan bersolat, Erna mula mengemas apa yang patut. Lagipula Emir sedang tidur, boleh juga dia membantu apa yang patut.
            Anak mata mula terpandangankan sebuah kotak berwarna coklat yang lebih kecil dari kotak-kota yang lain. Kotak yang disaletip itu muka dibuka perlahan. Diperhatikan barang-barang di dalam kotak itu. Nampak seperti keperluan seorang perempuan.
            ‘Adakah ini kotak milik arwah isteri Erfan?’ Erna mula tertanya-tanya. Sepanjang perkahwinan mereka, tak pernah sekalipun Erfan bercerita tentang arwah isterinya. Erna sendiri tak mampu membuka mulut untuk bertanya walaupun hati tetap dijentik dengan perasaan ingin tahu.
            Frame gambar yang diterbalikkan itu mula dicapai. Mungkin terselit gambar arwah isteri Erfan di sini. Baru sahaja dia ingin menterbalikkan gambar, terus sahaja telinganya menangkap satu jeritan dari arah belakang.
            “Erna!”
            Terus melucut frame gambar itu.
            “Kenapa awak sentuh barang saya?” Pertama kali Erna mengesan nada suara yang kasar dari mulut Erfan. Membuatkan badan Erna menggigil ketakutan.
            “Saya.... saya cuma nak tolong.... kemas...”
            “Jangan sentuh barang saya! Apatah lagi barang Sahila!” Muka Erfan mencerlung dengan kemarahan yang menggunung. Dalam banyak-banyak kotak, kenapa kotak itu juga yang menjadi pilihan isterinya?
            “Saya minta maaf... Saya tak tahu....” Sungguh dia tak ada niat nak menggeladah membabi buta. Dia hanya hendak menolong.
            “Dah... pergi masuk....” Dengan kasar, Erfan mengangkat kotak  yang berdekatan dengan isterinya. Entah kenapa, bila sesuatu melibatkan Sahila, rasa hatinya memang tidak mampu untuk dikawal. Dia jadi cepat marah!
            “Saya pergi kemas bahagian saya...” Baru sahaja Erna hendak bergerak ke bahagian satu lagi, tiba-tiba lengannya direntap dari belakang.
            “Saya cakap masuk, masuklah!”
 Kali ini bergongcang dada Erna menyambut herdikan itu. Matanya dah kabur. Mulutnya sudah menggigil. Cepat-cepat diangkat kakinya masuk ke dalam bilik.
            Tangannya mula mencari sesuatu yang berada di dalam beg tangannya. Diari Rifqi! Dipeluk kejap diari Rifqi itu. Rasa takut mula menyeludup bersawang di pelusuk hati. Air matanya menitis. Tak pernah dia membayangkan yang Erfan yang selama ini bertutur dengan bahasa yang menyenangkan tiba-tiba berubah di luar jangkaan.
            Badannya menggigil. Sungguh dia takut!
            Tolakan pintu dari luar membuatkan Erna cepat-cepat meletakkan diari tersebut di dalam laci. Dia tidak mahu kemarahan Erfan makin menjadi-jadi setelah melihat diari Rifqi itu.
            Keluhan berat mula dilepaskan.
            Belakang tengkuk mula digosok perlahan. Rasa bersalah mampir apabila memarahi Erna tanpa sebab. Perlahan-lahan dia mendapatkan tempat di sisi isteri yang sedang berbaring di dalam gelap itu.
            “Saya minta maaf.” Dia sendiri keliru. Kenapa perlu dia marah Erna sebegitu rupa. Apa yang pasti, stereng kesabarannya langsung tak dapat dikawal.
            Senyap.
            Erfan sudah mula mati kutu. ‘Silent treatment’ seperti inilah yang selalu membunuh jiwa lelaki. Dia rela Erna memaki hamun dirinya semula. Tapi tolonglah jangan berdiam sebegini rupa.
            Badannya mula direbah di sisi si isteri. Tanpa teragak-agak, tangannya memeluk kejap pinggang Erna. Belakang rambut isterinya dicium perlahan. Dapat dirasa susuk tubuh Erna yang menggigil. Nampaknya Erna terlalu terkejut.
            “I’m so sorry.... Saya tak sedar kenapa saya beremosi sampai macam tu sekali.”
Bisikan Erfan  yang perlahan itu membuatkan dada Erna bergendang hebat. Tak pernah-pernah mereka rapat dalam keadaan seperti ini. Selama ini Erfan terlalu berhati-hati dengan kelakuannya.
            “Erna... Please says something...” Erfan mula berperang dengan perasaan sendiri.
            “Sebab awak masih sayangkan arwah.” Akhirnya keluar juga suara Erna. Dia tidak mahu dimarahi jika terus berdiam diri.
            “Nope! Bukan itu alasannya.”
            Erna masih terpaku dan terkaku. Tak tahu hendak memberi respon bagaimana lagi. Akhirnya dia ikut turut diam. ‘Kalau tak sayang, kenapa perlu marah sampai macam tu sekali? Tak boleh ke tegur elok-elok?’ Namun kata-kata itu hanya bermain di dalam hati. Tak tergamak untuk melepaskan suara. Bimbang mengundang kemarahan Erfan lagi.
            Tangan Erfan mula memalingkan badan isterinya. Hatinya lega kerana Erna hanya menurut. Walaupun dia baru mengenali Erna, tapi dia cukup masak dengan perangai pendam perasaan milik si isteri. Dia makin bertambah bimbang jika isterinya makin menjauh apabila dia bersikap panas baran sebegini rupa. Bukankah ini waktu untuk mereka saling mengenali? Sepatutnya tak perlu ada jurang antara mereka.
            “Hakikatnya, saya mula sayangkan awak Erna....” Luah Erfan sambil merenung lembut mata Erna yang berkaca itu.
            Erna cuba untuk menahan getaran yang bertandang. Mungkin perlu untuk mereka saling berbincang dan berbicara dari hati ke hati. Erna sedar yang tahap ‘skill comunication’ antara mereka memang tahap lemau! Mungkin kerana masing-masing cuba menyimpan kenangan silam.
            “Awak takut kalau awak sayangkan saya lebih dari arwah isteri awak? Macam tu ke?” Tebak Erna berani.
            “Bukan....” Lemah sahaja suara Erfan.
            “Habis tu?”
            Tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut Erfan. Hanya tangannya sahaja yang bermain dengan rambut Erna. Haruman rambut si isteri mula membuatkan jiwa lelakinya bergelora.
Erna terus diam apabila badan Erfan sudah mula mendekat sehingga telinganya mula menangkap hembusan nafas milik si suami. Erna pejam mata dengan kejap apabila tangan Erfan mula menyentuh badannya. Jiwanya mula berlagu kencang. Tidak dapat ditolak tanggungjawab seorang isteri lagi. Akhirnya malam itu Erna menyerahkan segala-gala miliknya kepada Erfan.
***
            Pagi itu selepas solat subuh, kedua-duanya bungkam sendiri. Si suami hilang kata-kata manakala si isteri pula tak tahu nak kata apa.
            “Erna... saya tak bermaksud nak...” Erfan sendiri tak tahu apa yang merasuk dirinya semalam hingga membuatkan dia menyentuh Erna. Bukankah dia sudah berjanji untuk memberikan masa kepada Erna!
            “Erfan... sepatutnya tanggungjawab tu Erna laksanakan pada hari pertama kita kahwin lagi...” Dia tidak mahu Erfan serba salah. Lagipula, Erfan berhak sepenuhnya ke atas dirinya.
            Betul gamaknya kata orang. Suami isteri yang bergaduh boleh berbaik semula di atas katil. Arggghh, perumpaan yang sangat melucukan sebenarnya.
            “Jadi saya terlambatlah? Rugi betul!” Usik Erfan sengaja.
            “Amboih...” Tanpa sengaja, laju sahaja jari Erna singgah di peha Erfan.  Namun cepat sahaja tangannya ditangkap oleh Erfan.
            “Saya janji akan jadi suami terbaik untuk awak...” Dicium satu persatu jari milik si isteri.
            “Saya pun akan cuba yang terbaik untuk rumah tangga kita.”
            Erna tersenyum-senyum sambil mengenangkan peristiwa yang berlalu tiga bulan yang lepas. Alhamdulilah, perkahwinan mereka mula disulami dengan bunga-bunga bahagia.
Pulang sahaja ke rumah, Erna terus menyiapkan makan malam. Seorang isteri patut malu jika si suami lebih suka untuk makan di luar. Jadi, seorang isteri harus tahu memasak makanan kegemarannya. Makanan yang sudah siap mula dihidang di atas meja. Jam sudah menunjukkan angka sembilan malam namun kelibat Erfan masih belum kelihatan.
Bunyi pintu terhempas dari ruang tamu membuatkan Erna pelik sendiri. Apron yang tersarung di tubuh mula ditanggalkan.
“Erfan… kenapa ni?” Tegur Erna saat melihat Erfan mencabut tali lehernya dengar rakus dan meluru ke bilik. Malah briefcasenya juga dicampak sesuka hatinya. Erna mula mengekori. Langsung tidak mampu membaca bahasa tubuh Erfan tika ini. Bilik yang tadinya tersusun kemas, mula bergelimpangan dengan barang-barang Erfan.
 “Eh, kalau kau tak sayangkan aku… Tak cintakan aku…Kenapa kau kahwin dengan aku hah?” Tiba-tiba soalan itu keluar dari mulut Erfan. Muka kelihatan bengis. Malah suara Erfan memetir menampan gegendang telingannya.
“Apa maksud awak  ni? Saya tak faham...” Leher mula meninggi, cuba melihat bilik sebelah melalui pintu yang sudah diubah suai. Risau kalau Emir yang sedang tidur itu mula terjaga mendengar jeritan ayahnya yang kuat.
“Kau jangan nak berpura-pura! Aku benci perempuan macam kau!” Ditolak kasar tubuh Erna ke atas katil.
“Erfan... Kenapa ni? Cuba bawak mengucap... Emir tengah tidur tu.. Nanti dia terjaga. Lagipun apa kena dengan awak nih? Balik-balik terus mengamuk?” Tanya Erna tak puas hati.
Dia tidak tahu kenapa Erfan berubah sedrastik ini. Tapi apa yang pasti, dia mula gerun dan takut melihat wajah Erfan. Dia memberanikan diri untuk bangun namun sekali lagi tubuhnya ditolak.
“Baik kau senyap sebelum aku lempang kau!” Sakit telinganya mendengar suara Erna.
“Erfan.... apa yang awak...nak..buat...ni?” Nada suara Erna sudah tergagap-gagap. Dia cuma mengengsot ke belakang apabila Erfan sudah bertindak menangkalkan kemeja yang dipakainya.
“Kenapa? Salah ke kalau aku nak bini aku layan aku!” Kedua tangan Erfan sudah mula menekan kedua belah bahu Erna. Malah peha Erna juga ditindih. Saat ini, dia memang sudah tidak peduli pada tangisan atau rayuan Erna lagi. Apa yang dia tahu, dia sakit hati! Dia sakit hati apabila mengetahui yang Erna hendak mempermainkan perasaannya.
“Erfan...”
“Aku benci kau Sahila! Aku benci kau.... Perempuan semua sama!”
“Erfan....tolonglah sedar.... jangan buat saya macam ni... saya bukan Sahila.” Rayu Erna dengan tangisan mendayu-dayu.
“Aku cakap senyap, senyaplah!” Tangan Erfan sudah diangkat tinggi. Menunggu masa untuk hinggap di pipi Erna.
Air mata Erna mengalir lagi. Dia rela dipukul! Dia rela dimaki! Tapi dia tidak rela diperlakukan sebegini rupa. Kudratnya sendiri tak berdaya untuk menolak tubuh Erfan.
Matanya dipejam rapat! Dia tidak mahu jika mata Rifqi melihat segala perlakuan yang Erfan lakukan ke atas dirinya sekarang. Dia rela buta! Tapi dia tidak mahu mata Rifqi melihat semua ini.
Akhirnya Erna hanya menerima semua perbuatan suaminya atas gelaran tiket seorang wanita yang bergelar isteri. Maruahnya bagai disiat-siat. Jiwanya bagai dicincang lumat! Di saat bahagia sedang menunggu dihadapan, kenapa derita masih perlu menjengah?
***
            Erfan ke hulu ke hilir di hadapan pintu bilik air. Dia sedar yang dia sudah keterlaluan. Entah angin gila mana yang merasuk jiwanya tadi. Tangannya laju mengetuk pintu bilik air. Sudah lebih sejam Erna berada di dalam bilik air.
            Dia tahu yang sikapnya kejam tak tentu hala. Tak siasat kebenarannya, terus menghukum membabi buta! Tapi jiwanya bergongcang hebat tatkala menerima kedatangan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dan lelaki itu memberitahu bahawa Erna hanya hendak mempermainkan dirinya! Erna cintakan orang lain! Erna menerima dirinya hanya kerana belas kasihan. Hatinya dan jiwanya berperang sesama sendiri.
Sungguh tak boleh terima jika semuanya ini satu kebenaran. Dia sudah serik dipermainkan beberapa tahun! Dia sudah penat menderita. Jadi dia tidak mahu kisah semalam berulang kembali! Kerna itu tahap cemburunya kali ini sudah masuk ke zone kritikal.
            “Erna... baik awak keluar sekarang sebelum saya pecahkan pintu bilik air ni!” Gertak Erfan tanpa berfikir panjang.
            Baru sahaja Erfan berkira-kira untuk menolak pintu bilik air, tiba-tiba pintu bilik air telah ditarik dari dalam. Terjenggul wajah Erna dengan mata yang bengkak!
            “Tak cukup awak nak pecahkan hati saya, awak nak pecahkan pintu ni pulak?”  Berdesing telinga Erfan menyambut amarah Erna.
            ‘Ya Allah... apa yang aku dah buat ni?’ Rasa menyesal mula bertakung di ruang hati.
            “Erna... saya mintak maaf... Saya tak bermaksud..” Erfan sudah kehilangan kata-kata.
            “Tak bermaksud untuk apa? Tak bermaksud untuk ratah tubuh saya?”
            Berdesing telinga Erfan menangkap perkataan ‘ratah’ itu. Seakan-akan telah menunjukkan dia seorang lelaki yang terlalu mengikut nafsu!
            “Erna... Sungguh.... saya betul-betul minta maaf. Saya betul-betul menyesal... Saya cuma takut kehilangan awak...”
            “Saya tak tahu apa yang merasuk awak Erfan... Saya tak faham kenapa awak sanggup perlakukan saya macam ni sekali. Memang saya hak awak zahir batin... Tapi awak tak berhak perlakukan saya macam...macam....binatang...” Suara Erna sangkut-sangkut! Dia rasa seperti hilang nyawa.
            Tangan dibawa ke muka. Menutup wajahnya. Sungguh dia malu! Malu dengan perlakuan suaminya tadi.
            “Saya sayangkan awak Erna.... Saya sayangkan awak...” Tangan Erfan cuba menarik badan isterinya namun segera ditepis dengan kasar.
            Erfan mula hilang sabar. Orang ajak berbaik, dia nak jual mahal sangat!
            “Fareeq... Fareeq cakap awak  nak permainkan saya! Fareeq cakap yang awak terima saya sebab kesian. Eh, saya tak perlulah rasa kasihan tuh! Fareeq cakap yang awak hanya cintakan lelaki tu. Awak curang dengan Fareeq dan bercinta dengan lelaki itu. Siapa lelaki tu sebenarnya?”
            Erna menggelengkan kepalanya. Jadi Fareeqlah dalang kepada semua sengketa ini? Jadi ini semua agenda Fareeq untuk membolak-balikkan rumah tangganya. Tapi kenapa semudah itu Erfan percaya? Begitu mudah Erfan dimanipulasi dengan kisah yang belum tentu betulnya. Di mana harga kepercayaan seorang suami pada seorang isteri?
            “Kenapa awak tanya selepas awak menjatuhkan hukuman pada saya? Umpama awak bunuh saya lepas tu baru awak nak kenal pasti kesalahan saya. Masa tu saya dah mati dan tak ada apa-apa yang boleh awak perbetulkan!”
            “Erna,... jangan cakap macam tu..”
 Dipeluk kejap isterinya dari belakang. Hatinya bergegar tatkala menyambut perkataan mati itu. Saat ini dia baru mampu berfikir secara normal. Mengenal pasti baik dan buruk. Mungkin benar yang Fareeq sengaja hendak menyakiti hatinya. Dan dia sebagai suami telah percaya sebulatnya. Betapa bodohnya dirinya!
            “Awak dah campak maruah saya ditempat yang paling hina Erfan... Saya rasa badan saya kotor sangat. Saya jijik dengan diri sendiri! Kalau awak tak mampu nak bahagiakan saya, janganlah awak membuat saya derita... Awak boleh lepaskan....”
            “No!” Pekik Erfan sambil menolak badan Erna kedepan.
            Kali ini kata-kata berani Erna berjaya membuatkan dia mula naik hantu. “Kau nak suruh aku lepaskan kau dan kemudian kau boleh berjoli dengan lelaki tu kan?? Kan...”
            Pekikan Erfan membuatkan langkah Erna ke belakang. Serta merta matanya terpandangkan katil yang  berselerakan. Dipejamkan matanya erat-erat. Dia tidak mahu semuanya berulang kembali. Paksaan dan herdikan itu membuatkan jiwanya benar-benar mati!
            “Seorang lelaki yang sayangkan saya akan percayakan saya!” Bidas Erna sedas. Dia tak cukup berani sebenarnya, namun ada kekuatan yang seakan-akan mendorong dia ke hadapan.
            “Kau tak layak nak perlekehkan kasih....sayang...aku...” Giginya diketap. Dia risau tangannya naik pada wajah Erna. Kemarahan ini bagai ribut yang tidak ada redanya. Kencang menghantui manusia.
            “Jadi awak fikir awak layak ke sayang saya?”
            “Arghhhhhh....” Tangan Erfan sudah diangkat tinggi. Tercabar kerana Erna menduga kemarahannya.
            “Kalau dengan memukul saya, dapat membahagiakan awak, awak pukullah saya... Pukullah!” Suara Erna mula nyaring. Tiga bulan belum cukup rupanya untuk mengenal jati diri seorang suami.
            “Kau dengan Sahila sama je!” Sejurus selepas itu terus Erfan angkat kaki. Sempat dicapai kunci kereta yang berada di atas almari.
            Jeritan Erfan yang nyaring itu terus membuatkan si kecil menangis. Dengan langkah yang longlai, Erna mendapatkan Emir. Menteramkan emosi si kecil yang sudah makin membesar. 
            “Shhyy... jangan nangis sayang. Ayah bukan marah Emir...”
 Erna mula berfikir sedalamnya. Mencari punca sikap Erfan yang mula berubah. Yang menjadi persoalan ialah, kenapa berulang kali nama Sahila yang dibangkitkan?
***
            Sudah dua hari mereka tidak bercakap sesama sendiri. Entah apa yang silap. Semuanya mula kelihatan tak kena. Erna masih cuba menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Erfan pula langsung tak bercakap. Malah gemar pulang lewat malam. Ketika itu Erna dan Emir sudah pun dibuai mimpi. Mungkin mengelak dari bertembung pandang dengannya.
            Usai menyusukan Emir, Erna kembali ke kamar utama. Memang dia boleh melarikan diri dari cengkaman Erfan. Tapi atas gelaran seorang isteri, dia beralah. Cuba untuk taat walaupun hidup diselebungi ketakutan.
            Semalam kakinya laju ingin menyerang Fareeq. Ingin ditampar mulut celupar yang telah meranapkan kepercayaan Erfan pada dirinya. Tapi hasratnya tidak kesampaian apabila lelaki itu outstation selama tiga hari.
            Untuk mengelakkan rasa mengantuk, Erna menunaikan solat hajat. Dia mahu berbincang dengan Erfan. Sejauh mana dia ingin membiarkan kesunyian mengisi kekosongan di dalam rumah tangganya.
            Selepas itu, mata Erna merenung diari Rifqi. Air mata Erna menitis setitik demi setitik di atas diari hijau milik Rifqi.
            “Rifqi... kenapa susah sangat aku nak bahagia? Di saat aku sudah boleh menerima dia dalam hidup aku... Kenapa aku diduga lagi?”
            Diari itu mula diletak ke tepi. Telekung yang membaluti tubuhnya mula ditarik. Terasa hilang beban hati tatkala jiwa merintih menunduk pada Yang Maha Esa. Erna mula munasabah dirinya. Pasti ada hikmah di sebalik kisah yang tersingkap. Hati  yang terluka ini perlu mendapatkan ubatnya.
            “Siapa Rifqi?” Suara itu membuatkan Erna berpaling sembilan puluh darjah!
            Rahang Erna terus terjatuh apabila tangan Erfan sedang memegang diari hijau itu. Mata dan tangan lelaki itu kelihatan rakus menggeledah contengan pena di dalam diari.
            “Dia kawan saya Erfan... Tolong... Tolong pulang balik diari tu..” Kalau dia perlu melutut dan merayu, Erna pasti akan melakukannya. Tapi tolong jangan apa-apakan diari tersebut.
            “Kawan ke kekasih? Oh, jadi dialah yang kau puja siang dan malam tu... Eh, kau sekarang dah jadi bini aku! Kau tak boleh ingatkan lelaki lain!”
            “Erfan... Dia kawan baik saya... Lagipun dia dah tak ada.. Tolong.. Tolong pulangkan balik diari tu. Saya merayu dengan awak!”
            “Aku tak suka kau terus hidup dalam kenangan... Jadi....” Perlahan-lahan tangan Erfan menarik sehelai demi sehelai diari tersebut.
            “Erfan.... Erfan... tolong jangan buat macam ni.. Saya sanggup buat apa sahaja demi awak.. Tapi tolong jangan rosakkan diari Rifqi.. Tolong Erfan.. Saya merayu dengan awak...” Kalau tadi hatinya disiat-siat, kini hatinya bagai dikisar lumat. Tak tergambar perasaannya apabila melihat Erfan menarik helaian kedua.
            “Aku benci bila ada benda yang lebih penting dari aku sendiri... Aku tak suka kalau perhatian kau teralih!” Tengking Erfan kuat!
            Tanpa berfikir panjang lagi, terus Erna berlari untuk merampas diari hijau Rifqi. Mereka mula bergelut sesama sendiri untuk mendapatkan diari hijau itu. Tangan Erfan laju mengoyakkan satu demi satu helaian diari tersebut.
            “Erfan.. tolong... tolong jangan buat macam ni... arghh...” Teresak-esak Erna menangis namun sekalipun tak diendahkan oleh Erfan. Lelaki itu bagai hilang kewarasan!
            “Aku benci kau Sahila! Aku benci kau...” Untuk kesekian kalinya, nama Sahila kembali terpancul keluar dari mulut Erfan. Erfan mula mengoyakkan diari tersebut dengan rakus.
            “Erfan, jangan...jangan... tolonglah...” Cuba ditarik lengan suaminya itu. Namun tolakan kasar dari Erfan membuatkan dahinya terhantuk di bucu meja.
            Erfan tergamam. Memandang tangan yang menolak isterinya tadi.
            “Erna... Saya minta maaf... Saya tak sengaja. Saya tak bermaksud nak lukakan awak.” Sekelip mata sahaja Erfan sudah bertukar watak.
            Cecair pekat bewarna merah mula keluar dari dahi Erna.
            “Awak kejam! Awak kejam!” Jerit Erna kuat sambil menolak tubuh Erfan. Namun sekuat mana dia menolak, hanya tubuhnya sahaja yang bergerak. Tidak dipedulikan luka di dahinya. Hatinya sudah cukup sebal melihat cebisan kertas yang berterbangan di atas lantai rumah. Segalanya sudah bersepai!
            Dia menunggu kepulangan Erfan untuk berbincang. Bukan untuk menghadapi situasi genting seperti ini. Dimana sikap keprihatinan Erfan?
            “Aku sayangkan kau.... Aku buat semua ni sebab aku sayangkan kau...” Jelas Erfan dengan suara yang merintih.
            “Sayang ini akan membunuh awak Erfan... Sayang awak ni akan membunuh hubungan kita..”
            Badan Erna sudah bersandar di dinding rumah. Luka yang berdarah itu sengaja dibiarkan kerana luka di hati lebih berdarah dan bernanah! Hatinya terlalu sakit. Sakit yang tak mampu untuk digambarkan.
            “Saya minta maaf Erna...” Menggigil tangan Erfan ketika mengelap darah milik Erna. Sungguh, dia memang tidak sengaja untuk melukakan isterinya.
            Terus Erfan berlari ke almari bilik. Mengeluarkan first aid. Dicuci luka isterinya dengan penuh hati-hati. Sekali lagi dia gagal melawan kemarahannya. Dia tahu yang Erna bakal membenci dirinya. Tapi dia sendiri keliru kenapa dia tegar memperlakukan Erna sebegitu rupa!
            Erna hanya membiarkan. Jauh sekali hendak menghalang. Matanya hanya merenung sisa-sisa kertas yang bergelimpangan di atas lantai. Rasa sakit hati, kecewa, terluka... semuanya bergumpal dengan sebati.
            “Saya mintak maaf...” Dipeluk tubuh isterinya yang kaku.
 ‘Apa yang terjadi pada kau nih? kenapa kau tegar melukakan dia? Cuba kau tenung wajah dia... Pada wajah Erna, tiada tanda dia berdosa... Kalau kau terus begini, layakkan suami seperti kau beriringan dengannya di Syurga kelak?’ Hatinya saling berperang dengan akal fikiran.
Penuh kusut dan serabut!
***
            Pagi itu, sewaktu bangun dari tidur, kepala Erna terasa sungguh berat! Mungkin kesan dari hantukan di kepalanya. Erfan pula sejak semalam telah menghilang entah kemana.  Erna sendiri sudah malas untuk ambil peduli. Badan yang tidak bermaya itu tetap digagahkan demi Emir yang sedang menangis itu. Mungkin dahaga gamaknya.
            Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia angkat kaki. Tak guna untuk terus bersama dengan seorang lelaki yang panas baran macam Erfan! Dia tak betah bersabar dengan karenah Erfan lagi. Namun bila mengenangkan Emir, dia jadi keliru.
            ‘Kenapa pulak aku kena kasihankan Emir? Emir bukan anak aku... Pandai-pandailah Erfan fikir pasal anaknya ini!’ Fikir Erna sendiri. Namun segenap hatinya memang melarang untuk dia mementingkan diri sendiri.
            “Apa yang ibu nak buat ni Emir?” Sambil menyusukan Emir, bibirnya mula bertanya. Sungguh, melihat si comel yang membesar dan makin membulat itu membuatkan Erna jadi tak sampai hati.
            Bunyi loceng yang berbunyi membuatkan Erna tersentak! Siapa pula yang datang di awal pagi ini?
            Perlahan-lahan dia mula meletakkan Emir. Kakinya dibawa ke tingkat bawah. Pabila terpandangkan kereta Audi Q5 milik Adelia, barulah dia berani untuk membuka pintu.
            “Erfan mana?” Tanya Adelia apabila kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.
            “Erfan kerja.” Tipu Erna.
            “Risau pulak akak bila kata kamu demam...Kalau tak larat, akak boleh jagakan Emir.”
            “Saya okay je kak...” Pagi tadi memang dia ada menelefon Adelia. Mengkhabarkan pada kakak Erfan itu yang dia tidak sihat. Tidak mahu jika Adelia tertunggu-tunggu kelibat mereka memandangkan Emir berada di bawah jagaan Adelia ketika mereka berkerja.
            “Eh, kenapa dengan dahi kamu?” Tanya Adelia sedikit terkejut.
            “Erk... oh.. semalam terhantuk dekat bucu meja. Akak duduk kejap ya, saya pergi buat air.”
            Baru sahaja dia hendak bangun, lengannya ditahan oleh Adelia.
            “Erfan yang buat ke?”
            “Eh, tak adalah... Terhantuklah.” Memang luka ini berpunca dari Erfan namun Erfan sekalipun tidak membelasah dirinya. Memang Erfan mengangkat tinggi tangannya, namun lelaki itu masih tidak menyentuh kulitnya. Cuma penderitaan mental yang dilakukan oleh Erfan!
            “Jangan tipu akak... Kenapa pulak mata kamu bengkak?”
            “Lah... saya kan tak sihat. Muka orang tak sihat macam nilah...” Entah berjaya atau tidak pembohongannya. Namun apa yang pasti, seorang isteri itu harus melindungi maruah seorang suami walau seburuk mana pun seorang suami.
             “Jangan tipu akak Erna..” Desak Adelia lagi.
            Akhirnya perlahan-lahan Erna melepaskan keluhan. Bibirnya diketap! Tak tahu hendak bermula dari mana.
            “Erfan dah jauh berubah.... dia...dia macam cemburu sangat. Setiap kali kami bergaduh, mesti nama Sahila yang dia bangkitkan! Sebenarnya apa yang terjadi antara Sahila dan Erfan dulu?” Tidak dapat ditahan lagi, persoalan ini perlu diutarakan. Sampai bila dia hendak terfikir-fikir sendiri penyebabnya.
            Adelia diam. Sebenarnya dia sudah berjanji pada Erfan untuk merahsiakan hal ini. Tapi nampaknya, rahsia ini tak akan membawa kebahagiaan kepada sesiapa pun.
            “Sahila adalah seorang wanita yang sangat Erfan cintai. Bertahun lamanya mereka menyemai cinta. Dari bumi Malaysia hinggalah ke bumi Australia apabila mereka sama-sama menyambung belajar di sana. Tapi satu hari, Sahila tertangkap. Dia curang dengan Erfan...”
            Penerangan Adelia itu sudah diduga oleh Erna. Padanlah Erfan nampak tertekan.
            “Jadi mereka bercerai?”
            Adelia tersenyum sedikit menyambut soalan Erna. “Dia orang tak bercerai..sebab... dia orang tak pernah berkahwin!”
            Namun kali ini kata-kata Adelia berjaya membuatkan Erna terperanjat.
            “Erfan tak kahwin dengan Sahila? Habis tu Emir?”
            “Yup... Erfan tak pernah berkahwin dengan Sahila. Emir adalah anak luar nikah Sahila...” Bergegar dada Erna menyambut penerangan Adelia. Emir anak luar nikah?
            “Jadi Erfan bukan duda?”
            “Erfan anak teruna Erna... Dia tak pernah berkahwin sebelum ni.”
            “Habis tu kenapa dia mengaku dia duda? Kenapa akak tak terang pada saya awal-awal?” Erna mula rasa tertipu. Apa tujuan Adelia dan Erfan merahsiakan semua ini?
            “Erfan suruh akak rahsiakan perkara ini dari sesiapa pun... Kalau ada orang tanya Emir siapa, dia akan mengaku yang Emir anak dia. Sebab apa, dia tak mahu Emir malu atau rendah diri jika Emir tahu yang dia anak luar nikah.” Jelas Adelia lagi. Dia tahu, pasti Erna terkejut dengan semua ini. Sebagai seorang isteri, Erna memang perlu tahu semua ini.
            “Kenapa Erfan yang jaga Emir? Mana Sahila?”
            “Sahila dah meninggal... Pada mulanya Emir diserahkan kepada keluarga Sahila, tapi tak ada seorang pun yang mahu menerima Emir. Erfan jatuh kesian. Dia sedar yang Emir tak bersalah dalam hal ini. Walaupun dia benci pada Sahila, tapi dia tetap ingin membesarkan Emir.”
            Rasa kagum mula mampi perlahan demi perlahan. Jadi Erfan sudah terlalu terluka dahulu. Kerana itu dia mula bersikap pesimis dan kalah dengan sikap cemburunya. Mungkin dia takut kalau-kalau peristiwa lama berulang kembali.
            “Maafkan Erfan.... Dulu dia tak macam tu... Kalau betul dia kejam, mesti dia tak akan jaga Emir. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran dia. Akak agak yang Erfan mungkin trauma!”
            “Trauma?”
            “Yup... trauma kalau peristiwa lama berulang kembali. Dia tak mahu kalau Erna berlaku curang macam yang Sahila lakukan. Berulang kali Erfan maafkan Sahila... Bila sampai satu ketika, dia dah tak mampu menerima Sahila lagi bila wanita itu dah mengandung. Erfan terlalu terluka dahulu Erna.... Rasa sakit dan trauma itu dia rasa sampai sekarang!”
            Melihat tiada sebarang respon dari Erna, Adelia kembali bersuara.
            “Akak tahu... Kamu pun pernah ada seseorang yang istimewa dalam hidup kamu. Tapi sekurang-kurangnnya, dia tak meninggalkan kesan yang pahit untuk kamu kenang. Tapi Erfan.....” Kata-katanya terhenti. Dia mula naik sebak. Takut jika Erna hendak meninggalkan Erfan.
            “Akak.... Terima kasih kerana ceritakan semua ini pada saya.” Kalau Adelia tak datang, kalau Adelia tak buka mulut, pasti dia akan bertindak untuk meninggalkan Erfan. Tapi sekarang, apa yang dia rasa ialah rasa lega. Sekurang-kurangnya Erfan tak gila macam Fareeq. Perangai Erfan berubah hanya disebabkan lelaki itu trauma.
            “Kamu tak akan tinggalkan Efran kan?”
            Erna ketawa mendengar soalan kakak iparnya itu. “Erna isteri Erfan... Tempat seorang isteri hanyalah disamping seorang suami. Bukan rumah tangga namanya andai saya hanya mampu menerima kelebihan tapi bukan kekurangan. Apa yang Erfan kurang, biarlah ditampal dengan kelebihan saya....”
            Terus dipeluk erat tubuh adik iparnya. Nampaknya, Erfan tidak salah memilih isteri. ‘Ya Allah, selamatkanlah rumah tangga adikku.’
***
Tangan kanan Erna laju memainkan tetikus. Mengklik google untuk membantu memulakan proses rawatan. Trauma itu nampak mudah dan biasa. Namun trauma sebenarnya merupakan satu penyakit yang digelar Posttraumatic Stress Disorder.
Posttraumatic stress disorder adalah kecelaruan emosi berpanjangan yang berlaku selepas seseorang berhadapan dengan sesuatu tragedi di dalam kehidupan mereka. Trauma ini sangat menakutkan, mengancam nyawa dan merbahaya kepada individu atau keluarga individu itu sendiri.
Mata Erna mula membaca satu demi satu penerangan yang dicari di dalam internet itu.
Antara kriteria PTSD ialah melalui pendedahan, merasai kembali, mudah terkejut dan resah dan juga ingin mengelak perkara yang berkaitan dengan trauma.

  1. Pendedahan (Exposure) terhadap trauma. Pendedahan ini melibatkan individu tersebut berhadapan secara langsung atau tidak langsung (seperti menyaksikannya sahaja) trauma tersebut.

  1. Merasai kembali (Re-experience) trauma. Individu tersebut merasai kembali seolah-olah trauma tersebut berlaku kembali terhadap dirinya. Ini termasuk mempunyai mimpi ngeri trauma, atau flashback tentang trauma sentiasa menyelubunginya.

  1. Mudah terkejut dan resah (Hyperarousal). Individu menjadi mudah terkejut dengan sebarang perkara yang barkaitan dengan trauma, tersentuh dan resah gelisah, mula menjauhkan diri dari orang lain, cepat marah, susah tidur dan boleh mendapat anxiety dan kemurungan.

  1. Mengelak perkara berkaitan trauma ( Avoidance). Individu tersebut sedaya upaya tidak mahu mengingati apa-apa perkara yang berkaitan dengan trauma. Contohnya, jika PTSD berlaku selepas kemalangan jalan raya, individu itu cuba mengelak menaiki kenderaan, tidak melalui kawasan kemalangan dll. 

Apa berlaku jika PTSD tidak dirawat?

50% pesakit PTSD boleh mendapat kemurungan dan ini boleh mendedahkan mereka kepada perasaan ingin bunuh diri.

50% pesakit PTSD terlibat dengan ketagihan alcohol atau dadah seperti ubat tidur untuk menghilangkan kerisauan dan mengatasi masalah tidur mereka.

            Lama Erna merenung skrin laptopnya. Besar risiko yang perlu ditanggung jika trauma yang dihadapi oleh Erfan tidak dirawat. Pesakit yang mengalami trauma tidak perlu dimasukkan ke dalam hospital. Mereka hanya perlu diberi rawatan dari segi prinsip biopsikososial dan spiritual. Antara kaedahnya ialah menggunakan rawatan psikososial.

Cara-caranya adalah seperti:
  1. Berbincang cara penyelesaian masalah (problem solving technique)

  1. Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan (anger management)

  1. Berbincang cara terbaik menangani stress (stress management & coping skill)

Erna mula mencuri nafas. Dia perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan rumah tangganya. Bukan kehendak Erfan untuk trauma dengan kisah silamnya, ini semua ketentuan Allah. Allah menduga kerana dia percaya pada kemampuan manusia.
***
Semalam dia memikirkan sikapnya pada Erna. Dia tahu, rumah tangganya goyang kerana sikapnya sendiri. Seharian dia tidak boleh fokus di pejabat. Ingatan hanya tertumpu pada Erna. Dia tahu yang Rifqi telah meninggal. Jadi kenapa dia perlu cemburu membabi buta!
Mata yang kuyu dan layu itu mula membesar apabila melihat Erna sedang mengemas baju. Isterinya itu sedang memasukkan baju-bajunya ke dalam luggage.
“Erna... Erna please maafkan saya... Saya tahu saya banyak buat salah! Saya tahu saya dah lukakan hati awak... Tapi tolong.. tolong jangan tinggalkan saya.” Rayu Erfan sambil memeluk pinggang isterinya dengan kemas.
Dadanya bukan dah tahap pecah tapi dah jadi berderai.
Erna yang terkejut terus tersenyum. Nampaknya suaminya itu sudah salah faham. Perlahan-lahan dileraikan tangan Erfan. Badannya mula dipusingkan. Matanya terkesima saat melihat wajah si suami yang penuh dengan air mata.
‘Ya Allah... Kasihan Erfan.. Pasti semua ini meninggalkan kesan yang begitu menyakitkan apabila terpaksa berperang dengan perasaan sendiri!’
“Tolong.... tolong jangan tinggalkan saya...”
“Siapa yang nak tinggalkan awak?” Kening Erna turut terangkat bersama senyuman yang tersungging di bibir.
“Habis tu? Luggage ni?”
“Bahasa normalnya, nak pergi bercuti...” Jawab Erna sambil mengerling bagasi besar yang terdampar di atas katil.
“Bahasa tak normal?”
Erna ketawa mendengar soalan suaminya.
Perlahan-lahan didekatkan mulutnya di telinga Erfan. “Bahasa tak normal dipanggil honeymoon...” Erna malu sebenarnya. Tersangat malu untuk bersikap luar dari kebiasaannya. Dia bukan daring sangat untuk menggoda si suami!
Namun apabila mengenangkan yang dia perlu untuk melakukan treatment ini untuk menyembuhkan Erfan, dia sanggup melakukan apa sahaja. Rasa luka yang tersarung di hati segera dibuang jauh.
“Honeymoon?” Tanya Erfan tak percaya. Bukankah semalam mereka berdua bergaduh besar? Kenapa tiba-tiba Erna berubah seperti ini?
“Yup... Sepanjang hampir empat bulan kita kahwin, kita tak pernah pergi honeymoon kan... Jadi, Erna nak ajak awak bercuti ke Pulau Redang.” Tangan Erna mula menyambung kerjanya yang tergendala tadi.
“Erna... awak.. awak nak tinggalkan saya lepas kita balik dari honeymoon ke?”
Soalan Erfan membuatkan Erna berpaling. Dicapai kedua belah tangan suaminya. Malah dia mula mengarahkan Erfan untuk duduk di birai katil. Dengan perasaan malu yang menebal, dia duduk di atas riba. Sungguh dadanya bergegar skala gempa bumi. Tapi dia mahu skill komunikasi mereka dipertingkatkan lagi. Tak mahu Erfan terus berprasangka.
“Awak ingat ni cerita tangisan bulan madu ke?” Lengannya mula merangkul tengkuk Erfan. Dia tidak percaya yang dia diberikan keberanian untuk melakukan semua ini. Mungkin Allah memberi pertunjuk untuk dia terus menyelamatkan rumah tangganya.
“Awak nampak sangat pelik Erna... Saya....”
Kata-kata Erfan terhenti saat bibir Erna menyentuh bibirnya. Dia pulak yang naik gerun apabila melihat Erna seolah-olah sedang cuba untuk menggodanya.
“Awak ambil cuti ya Isnin nanti.... Saya nak.... sambung.. mengemas..” Terus Erna bangun dari ribaan Erfan. Muka Erfan sikit pun tak dipandang. Malu tahap gaban!
“Opps... kita tak bawa Emir tau. Saya dah suruh Kak Delia tolong jagakan..” Jelas Erna lagi.
Apabila melihat si suami begitu ralit melihatnya tanpa kerlip, Erna mula mencapai tuala dan dihulurkan kepada Erfan. “Awak pergi mandi dulu... Nanti kita solat jemaah sama-sama. Eh, awak nak makan apa malam ni? Nanti saya masakkan...”
Erfan tidak tahu apa yang Erna hendak lakukan. Dia takut jika ini semua hanya taktik Erna untuk meninggalkan dirinya. Perlahan ditarik Erna ke dalam pelukan. “Janggan tinggalkan saya....”
Erna membalas pelukan suaminya. Jelas riak ketakutan di dalam mata Erfan yang berkaca itu. “Saya tak akan tinggalkan awak...”
Erna mula sedar yang selama dia berkahwin dengan Erfan, dia jarang mengungkapkan rasa sayang dan cinta. Terlupa bahawa perkahwinan memerlukan semua itu. Kenangan bersama Rifqi akan tersemat buat selamanya. Namun Rifqi tak mampu untuk mengambil tempat Erfan sebagai seorang suami. Ada hikmah dalam setiap mehnah ujian. Secara tidak langsung, ujian adalah teguran dari Allah. Mengajar kita untuk memperbaiki kekurangan diri.
***
 “Saya tak boleh bersama awak lagi Erfan... Saya dah fed up dengan perangai kaki pukul awak ni. Sesuka hati awak perlakukan saya macam binatang selepas itu begitu mudah awak hendak membasuh dengan perkataan maaf!”
            Bulan madu yang sepatutnya menjadi kenangan buat mereka mula dipalit duka apabila Erfan mula menggila dengan panas barannya.
            “Erna... Jangan tinggalkan saya... Erna jangan... Saya cintakan awak...”
            “Tapi saya tak cintakan awak! Saya benci awak Erfan... Saya benci...!!” Jerit Erna lantang.
            “Erna...!” Jerit Erfan sambil mula bangun dari pembaringan. Dadanya berombak besar. Mimpi ini terlalu menakutkan. Teramat mengilukan hati. Matanya singgah di sisi katil yang kosong.
            ‘Ya Allah, adakah Erna benar-benar meninggalkan aku?’ Selimut yang melingkari badan mula ditolak ke tepi. Kakinya dibawa laju ke muka pintu. Terkial-kial dia hendak membuka pintu bilik hotel ini.
            “Erfan....” Panggilan itu membuatkan Erfan berpaling. Melihat si isteri yang baru keluar dari bilik air. Terus dipeluk erat tubuh Erna. Dikucup segenap wajah Erna untuk menghilangkan debar di hati. Sungguh, dia tidak kuat untuk kehilangan Erna.
            “Syhhh..... Saya adalah... Saya tak pergi mana-mana...” Dapat dirasa degup jantung Erfan yang berdegup kencang. Diusap belakang badan suaminya. Menghilangkan serangan mimpi ngeri yang memang banyak dihadapi oleh pesakit PTSD.
            Perlahan-lahan Erna mula mengarahkan Erfan agar berbaring di pehanya. Dikerling jam di dinding. Baru sahaja mencapai angka lima setengah pagi. Diusap lembut kepala Erfan. Dia mahu Erfan selesa berada di sampingnya.
            Bibir Erna mula terkumat-kamit membaca surah Taha ayat 1-5. Fadhilat surah Taha ialah, ia dapat melembutkan hati. Perlahan-lahan dia mula menghembuskan ke telinga Erfan. Berharap agar Allah melembutkan hati suaminya dalam melayan amarah.
Erna ingat lagi melalui sebuah pembacaannya. Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al-Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila membaca dan mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Itulah kelebihan Surah Taha yang dibaca oleh beliau. Surah Taha inilah yang dapat melembutkan hati Saidina Umar Ak-Khattab r.a yang keras.  
Jadi tak mustahil jika surah ini dapat melembutkan hati si suami yang mudah bertukar menjadi panas baran ini.
            “Apa yang awak takutkan? Hmm...” Tanya Erna memecah kebisuan.
            “Dia pernah tinggalkan saya....”
            “Tapi saya dan dia tak sama Erfan...” Lembut suara Erna. Cuba meletakkan perbezaan antara kisahnya dahulu dan kisah hidup mereka sekarang.
            “Saya tahu.... Tapi saya takut...” Air mata Erfan mengalir. Entah kenapa dia rasa terlalu takut. Takut untuk kehilangan seseorang yang pernah dia sayang.
            “Siapa dia tu?” Erna memberanikan diri untuk bertanya lagi.
            “Sahila...” Nampaknya Erfan sudah menunjukkan tanda untuk bercerita.
            “Saya terlalu cintakan dia Erna... Saya mengorbankan segala-galanya untuk dia. Tapi dia curang dengan saya! Dia cakap dia cintakan saya, tapi dia tergamak bersama dengan lelaki lain!”
            Erna senyap. Memberi peluang untuk Erfan meluahkan rasa hatinya.
            “Kerana sayang, saya maafkan dia bila dia merayu untuk pulang ke pangkuan saya. Tapi bila kejadian tu dah berulang sampai lima kali, saya dah mula fed up! Apatah lagi bila mengetahui yang dia mengandung anak luar nikah!”
            Erfan mula bangun. Menatap bening mata isterinya. Entah kenapa mulutnya terasa laju untuk berkongsi perasaaan pedih ini.
            “Maafkan saya Erna..... Saya bukan duda....” Akui Erfan lagi. Dia tidak mahu ada sebarang rahsia yang menjarakkan hubungan mereka lagi.
            Erfan mula bercerita tentang kisahnya bersama Sahila dahulu. Kisah cinta yang diakhiri dengan luka yang mendalam. Kisah seorang lelaki setia yang sudah dirobekkan hatinya. Erna yang mendengar pula yang naik sedih. Hakikatnya, mereka sama-sama  mempunyai masa silam yang begitu perit. Cuma keadaan yang membezakan mereka.
            “Maaf sebab saya selalu menyakitkan awak...Saya tahu saya pernah tengking awak bila awak pegang barang-barang Sahila. Itu bukan sebab saya sayangkan barang Sahila, tapi sebab saya tak mahu perangai buruk dia melekat pada awak... dan maaf sebab saya sanggup....” Jiwa Erfan sebak. Tak berdaya untuk mengingati peristiwa yang lepas dimana dia sanggup memaksa Erna untuk bersama dengannya malam itu.
            Erna menutup mulut Erfan. Dia tak mahu Erfan mengembalikan kenangan pahit itu. Mereka berdua perlu sama-sama mengayuh nahkoda perkahwinan ini. Jangan berpaling ke belakang lagi.
            “Perkara dah lepas tak perlu diingat lagi... Hmm, subuh dah masuk ni, kita solat sama-sama ya. Lepas ni, saya nak bawak awak pergi satu tempat!”
            Senyuman tidak lepas dari ruang wajah. Bersyukur kerana Allah membuka ruang hatinya untuk memberi peluang kepada Erfan.
***
Pasangan suami isteri itu berpegang tangan menyusuri tepian pantai walaupun hari masih gelap kerana jam baru menunjukkan pukul enam setengah pagi.  Erna merenung sedikit si suami yang nampak tenang itu.
Hidup ini macam permainan catur. Ada pelbagai watak, peranan, kelebihan dan kekurangan. Ada yang jalan setapak, pantang berundur. Ada yang jalan belok-belok, boleh langkah. Ada yang jalan tegak. Ada yang menyerong. Ada yang bebas tapi tak boleh langkah. Warna hitam atau putih bukan ukuran yang menentukan siapa menang ataupun kalah. Kebijaksanaan dan strategi mempunyai pengaruh paling kuat, manakala kecuaian pula mengundang padah. Begitu juga dengan perkahwinan. Bukan mudah untuk dua orang yang berlainan karakter berkongsi hidup yang sama.
             Perjalanan mereka terhenti di bahagian bongkah batu yang terdapat di tepi pantai. Perlahan-lahan Erfan membantu si isteri untuk naik ke atas batu besar. Angin pantai yang menderu untuk melayukan jiwa membuatkan Erfan mengeratkan pelukan.
Sometimes we just have to let go of someone who matters to us not because we want to… but because we have to.  Because it’s the right thing to do..” Suara Erna mula memecah kebisuan.
            “Apa maksud awak?”
            “Kita kena lepaskan... apa yang pernah menjadi milik kita dulu.”
            “Apa dia?”
            “Kenangan....”
            Erfan diam. Tidak memberi sebarang reaksi.
            Sometimes we hang on. Even if we should really let go.. Because sometimes the right things doesn't always give us the right feelings.. Macam tu jugak dengan apa yang kita rasa. Kita sama-sama ada kenangan silam. Sudah tiba masanya kita keluar dari kenangan itu….”
            “Erna masih ingatkan Rifqi?” Tanpa sedar, soalan itu keluar dari mulut Erfan. Teringat kembali peristiwa di mana dia mengoyakkan diari milik Rifqi itu. Masa itu, dia memang nampak yang Erna kecewa dengan sikapnya.
            “Hampir dua puluh tahun kami kenal Erfan... Tak semudah itu untuk saya melupakan dia..” Wajah Erfan mula berubah tatkala telinga menampan kata-kata isterinya. Cemburu menapak lagi.
            “Erfan.... saya kenal korang berdua dalam dua keadaan yang berbeza. Jadi, saya tak akan menyintai awak dan arwah dalam masa yang sama. Dia kenangan lama saya... Seseorang yang pernah singgah dalam hidup saya. Awak suami saya. Masa depan saya. Kebahagiaan saya.”
            Tangannya yang sudah beku itu mula dibawa ke pipi suami. Dia mahu Erfan tahu yang dia teramat memaknakan kata-katanya.
            “Awak cintakan saya?” Mata mereka sudah saling merenung pandang. Wajah Erfan begitu mengharapkan jawapannya.
            “Action speaks louder than words kan...” Arghhh, malu pula bila hendak meluahkan perasaan ini.
            “Jadi kena buat actionlah ya...” Bisik Erfan nakal.
            “Uish... tempat awam ni. Mana boleh!”
            “Saya dah sejuk ni... Jom balik bilik.” Usik Erfan lagi. Lega rasanya hati ini bila dapat meluahkan apa yang selama ini terbuku. Mujur sahaja si isteri bijak membaca dirinya. Jika tidak, mungkin rumah tangganya sudah hancur.
            “Kejaplah... Kita baru sampai kan...” Dapat dirasa kekemasan pelukan Erfan. Mujur je pagi-pagi ni orang tak keluar lagi.
            “Kita tunggu apa sebenarnya?” Tanya Erfan pelik. Macam orang tak betul je duduk berembun pagi-pagi ini di tepian pantai ini. Kalau duduk dalam bilik, mungkin banyak ‘kerja’ yang boleh buat.
            “Hah.... kita tunggu tu...” Tangan Erna ditala ke hujung kaki langit melihat matahari yang baru terbit!
            Mereka sama-sama melopong dan melihat keagungngan kebesaran Allah. Subhanallah. Cantik sangat!
            “Every sunset give us one day less to live but every sunrise give us one day more to hope.... Harapan untuk kita terus berbahagia...” Luah Erna sambil memejamkan mata.
            Erfan merenung ke arah isterinya.
            “Bagi abang, sayang adalah bulan yang menerangi malam abang yang kegelapan...”
            Mata Erna sedikit membulat. Bukan ayat jiwa yang menyentuh hatinya. Tapi gelaran abang dan sayang itu.
            “Abang?”
            “Yup...”
            “Why suddenly?”
            “Sebab hubungan kita adalah pasangan suami isteri. Tinggi darjat seorang isteri di sisi suami... Kita gunakan panggilan ‘awak’ dan ‘saya’ itu untuk semua orang. Jadi apa istimewanya hubungan kita?” Kening Erfan diangkat sedikit.
            Senyuman sudah merekah di wajah Erna. Terharu! “Tolong... tolong peluk saya kejap!”
            “Bukan setakat peluk, lebih dari peluk pun abang boleh bagi.” Usik Erfan nakal sambil tetap memeluk isterinya erat. Menggambarkan rasa kasih yang tak berhenti berkunjung.
***
            Tengah hari itu, Erna mengatur satu pertemuan bersama Fareeq. Memang sengaja dia mengajak Fareeq untuk makan tengah hari bersama. Boleh nampak senyuman Fareeq yang melebar hingga ke telinga itu.
            “Erna nak makan cheese cake? Nak New York Chesecake ke or Oreo Cheese cake?” Tanya Fareeq penuh semangat.
            “Erna datang bukan untuk makan..” Terhenti pergerakan Fareeq yang sedang menyelak helaian menu itu.
            “Habis tu?”
            “Apa yang abang expect dalam pertemuan kita ni? Abang harap yang rumah tangga saya akan hancur ke dan saya akan kembali pada abang? Macam tu ke?” Sinis soalan Erna. Menyentap jantung milik Fareeq.
            “Abang tahu Erna tak bahagia...sebab itu abang buat semua tu.” Tangan Fareeq mula menyambar tangan Erna. Tika ini, dia hanya hendak membayangkan saat-saat indah untuk bergelar suami Erna.
            “Abang silap! Erfan adalah lelaki yang terbaik untuk Erna. Dia adalah suami yang sempurna.” Cepat-cepat Erna menarik tangannya. Tidak rela disentuh oleh lelaki yang bukan mahramnya.
            “Erna tipu! Erna tak cintakan dia!” Bidas Fareeq keras.
            “Cinta tu milik Allah bang. Dia yang layak mencampakkan perasaan tu pada hamba dia. Dan abang kena ingat, perasaan cinta yang pernah ada juga akan ditarik balik oleh Dia!”
            Fareeq mendengus tak puas hati.
            “Abang.... jangan fikirkan kebahagian Erna. Abang tu pertahankanlah kebahagiaan rumah tangga abang sendiri. Jangan seksa Kak Sury lagi.” Fareeq perlu bangun dari mimpi. Hakikatnya, rasa cinta pada Fareeq sudah lama hilang.
            “Abang tak bahagia dengan Sury!”
            Mata Erna mencerlung penuh kecewa. Tapi dia sedar yang orang di belakang Fareeq pasti lebih kecewa mendengarnya.
            Fareeq pelik melihat respon Erna, mula dapat mengecam sesuatu. Keluhan pendek mula dilepaskan. Perlahan-lahan lehernya menoleh ke belakang. Terpandangkan raut wajah isteri yang sedang mengalirkan air mata.
            “Maafkan Sury... Sebab Sury tak sempurna untuk abang... Sury gagal membahagiakan suami Sury sendiri. Maafkan...Sury...” Seraya itu, dia terus angkat kaki. Selama ini memang mereka sering bergaduh. Rumah tangganya terasa hambar. Namun dia sebagai isteri sedaya upaya menyelamatkan bahtera perkahwinan ini. Tapi andai benar Fareeq sudah tidak lagi menyintainya, jadi biarlah dia pergi jauh dari hidup Fareeq.
            “Abang memang kejam!”
            Terus Erna angkat kaki. Dia ingin memujuk hati Sury. Dia pernah kecewa dengan perangai seorang lelaki yang bergelar suami. Jadi dia mengerti kekecewaan yang menghimpit hati Sury.
            Keluar sahaja dari pintu Secret Resepi, tangannya mula direntap kasar oleh Fareeq. “Buat apa nak kejar perempuan tu? Dia tu penghalang kebahagian kita!”
            Erna terkesima. Fareeq memang sudah betul-betul GILA!
            “Erna mintak cerai dengan Erfan. Lepas Erna habis tempoh edah, kita kahwin..” Ajak Fareeq bersungguh-sungguh.
            Jari jemari Erna sudah mula menari di dahi. Sungguh pening kepala melayan karenah Fareeq yang bagaikan lelaki yang gila talak! Otaknya mula mencerna ayat yang sesuai untuk smash balik idea Fareeq zaman purba itu.
            Namun darahnya bagai terkena renjatan elektrik melihat lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Mata lelaki itu mendarat di tangan Fareeq yang sedang memegang lengan kiri Erna. ‘Ya Allah, mati.... Macam mana aku tak perasan..’
            Erfan menggelengkan kepalanya berulang kali. Tanpa pamitan, kakinya terus dihalakan ke arah kereta.
            Erna mula termanggu-manggu manakala Fareeq sudah tersenyum. Dia yang mesej Erfan sebentar tadi. Pasti lelaki itu tidak akan mempercayai isterinya lagi. Jadi mudahlah untuk mereka bersama.
            “Nampaknya.. mudahlah Erna nak mintak cerai dengan Erfan nanti.”
            Tanpa ditahan, terus tangan kanan Erna hinggap di muka Fareeq. Kali ini lelaki ini benar-benar melampau!
            “Sekalipun Erfan menceraikan Erna, Erna tak teringin nak mempersuamikan lelaki dayus macam abang! Kak Sury tengah mengandung dan abang boleh melamar Erna? Abang betul-betul dah gila!”  Herdik Erna geram.
            “Sury... Sury... mengandung?” Benarkah apa yang dia dengar ini?
            “Ya..... Kak Sury mengandung. Dia mengandungkan anak abang!”
            Fareeq mula memegang dahinya. Pipi yang terasa pijar tadi terus hilang peritnya. “Kenapa dia tak beritahu abang?” Sungguh dia rasa nak melompat. Setelah bertahun menunggu, baru hari ini dia menerima berita baik ini.
            “Macam mana Kak Sury nak beritahu kalau abang tak mahu bercakap dengan dia. Dah tiga bulan dia mengandung. Abang, pergilah pujuk Kak Sury... Erna tahu... Erna tahu abang berubah sebab abang teringin nak anak. Sekarang Allah nak makbulkan permintaan abang. Tak kan abang nak biarkan Kak Sury besarkan zuriat abang seorang diri.” Kali ini nada suara Erna sudah mula menurun. Nadanya lebih kepada merayu.
            Sebenarnya acap kali dia bertemu dengan isteri Fareeq itu. Kak Sury sering kali meluahkan rasa kecewanya kerana perkahwinan mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Disebabkan hal ini, perangai Fareeq berubah sedikit demi sedikit.
            “Erna abang....” Mulut dan otak sudah tidak mampu menampung bicara. ‘Ya Allah, apa yang aku dah buat nih?’
            “Dah lah abang... Pergilah pujuk Kak Sury.. Dia tengah mengandung. Dia perlukan abang...”
            “Erkk... habis tu Erfan macam mana? Macam ni... Apa kata kalau Erna bawak abang jumpa Erfan. Biar abang yang terangkan keadaan sebenar pada dia.” Fareeq terpanggil untuk membantu. Semua kecelaruan ini berpunca dari dirinya sendiri. Allah menjentik keimanannya melalui ujian. Tapi dia nyata goyah dan mula melakukan kesilapan.
            “Tak apa.. Hal Erfan biar Erna settle sendiri. Abang pergi jumpa Kak Sury dulu.” Sebenarnya dia pun tak pasti sama ada boleh guna atau tidak ideanya ini. Apa yang pasti, dia tak mahu melibatkan Fareeq dalam hal rumah tangganya.
            “Thanks Erna and so sorry sebab dah celarukan keadaan....”
            “Tak apa... Abang pergi pujuk Kak Sury...” Arahnya Erna dengan senyuman. Berdoa agar Allah masih menyelamatkan rumah tangga Fareeq dan Sury.
            Dalam hati, dalam otak, hanya terfikirkan Erfan. ‘Ya Allah, selamatkan rumah tanggaku.’
***
            Erna tiba di rumah dengan dada yang hendak pecah. Emir yang berada di rumah Adelia sengaja tidak diambil lagi. Hasrat hati hendak memujuk si suami lagi. Kaki kanan dibawa masuk berserta ungkapan Bismilillahirrahmanirahim. Sesuatu yang membawa kebaikan tetapi jika tidak dimulakan dengan Bismillah, pasti tidak akan mendapat barakahNya.
            Usai itu, mulut mula terkumat-kamit membaca surah Taha ayat satu hingga lima. Memang surah ini sudah menjadi kelaziman. Apatah lagi bila berhadapan dengan si suami.
“To Ha (Allah yang mengetahui maksudnya). Tiada Kami (Allah) turunkan kepadamu al-Quran ini supaya engkau celaka(menyusahkan engkau)! Melainkan untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut. (Al-Quran) yang diturunkan daripada Tuha, yang menciptakan bumi dan beberapa langit ang tinggi. Tuhan yang Pengasih, di atas singgahsana Dia bersemayam (berkuasa). Dia mempunyai apa yang ada di langit dan di bumi serta di antara keduanya dan apa yang ada di bawa tahan.”Surah Taha ayat 1-5
            “Erna!” Panggilan itu membuatkan kunci dan telefon bimbitnya jatuh berderai di lantai.
            Erfan memandang si isteri dengan riak pelik. Sampai macam tu sekali terkejutnya?
            “A...abang.... Erna boleh jelaskan perkara sebenar.”
            “Dah tak ada apa-apa yang perlu diterangkan lagi...”
            “Abang....” Kaki sudah melangkah mendekat walaupun dalam hati penuh dengan ketakutan. ‘Apa yang kau nak takutkan Erna? Pernah ke Erfan pukul kau? Paling kurang pun dia tengking jeh!’ Ya, setakat ini Erfan tak pernah pun angkat tangan padanya.
            “Mantera apa yang Erna baca tadi?” Tanya Erfan sambil bercekak pinggang. Erna sendiri tidak dapat mengenal pasti letak duduk perasaan Erfan. Marah ke, seronok ke, muka dia tak dapat ditebak!
            “Erk... mana ada baca mantera.”
            “Jangan nak tipu abang... Abang tahu yang Erna selalu baca sesuatu lepas tu selalu hembus dekat telinga abang. Baik Erna cakap? Erna baca ayat guna-guna ya?”
            Rahang Erna terjatuh.
            “Astarfirullahhalazim abang.... Erna baca surah Tahalah... ayat yang boleh lembutkan hati.”
            “Oh... ayat itulah yang Erna baca siang dan malam lepas tu hembus dekat telinga abang. Lepas tu Erna curi-curi cium abang kan...” Pinggang isteri ditarik. Hidung separa mancung milik Erna mula disentuh dengan hidungnya.
            “Erk... mana abang tahu?”
            “Sebab abang belum tidur lagi....”
            “Eee... abang sengaja nak main-mainkan Erna kan!”
            “Kenapa Erna tak hafal surah Taha ayat tiga puluh sembilan?” Tanya Erfan pula.
            “Errk... apa fadhilat ayat ke tiga puluh sembilan tu?”
            “Hmm... elok diamalkan oleh para isteri supaya suami tak kahwin lain.”  Erna mencebik tanda menyampah! Cuba ditolak badan suaminya yang mula mendekat namun hampa kerana perlukan Erfan begitu kemas. Tiba-tiba dia mula teringat sesuatu.
            “Eh, abang tak marah?”
            “Abang tengah marahlah nih!” Tudung yang bersarung di kepala Erna mula direntap.
            “Tapi tak macam marah pun.... Macam tengah menggoda adalah...” Erna cuba untuk melawak. Sebenarnya dia double terkejut melihat respon Erfan. Mati-mati dia ingat yang Erfan akan mengamuk besar. Hmm, nampaknya rawatan psikologi yang digunakan memberi kesan yang positif.
            “Oh ya eh... So sayang tergodalah ni...” Ada tawa di hujung kata-kata Erfan.
            “Abang... tadi tu...”
            “Abang tak nak dengar.” Celah Erfan sedikit serius.
            “Kenapa?”
            “Sebab abang percayakan isteri abang...” Ujar Erfan sambil tersenyum. Setiap malam dia merenung wajah Erna. Ada cahaya di situ. Bagaikan ada Syurga di wajah isterinya itu. Jadi dia harus sedar yang Erna dan Sahila adalah dua orang yang berbeza. Dia tidak harus meletakkan kesalahan Sahila di bahu Erna.
            “Erna sayang abang sangat-sangat.” Dipeluk erat tubuh suaminya. Menggambarkan rasa cinta yang menggebur di ruang hati.
            “Abang pun sayang busuk abang nihh...tapi kan....” Kata-kata Erfan yang tersekat itu membuatkan Erna melepaskan pelukan.
            “Tapi apa?”
            “Ingat tak yang sayang ada hutang dengan abang?”
            “Hutang apa?” Berkerut dahi Erna memikirkannya. Setahunya, dia tidak pernah hutang apa-apa dengan Erfan.
            “Hutang kiss... Kiss yang abang pernah bagi sayang dulu, sayang kena pulangkan balik.”
            Mulut Erna mula melopong. Hutang itu rupanya!
            “Ishhh... Kan Erna selalu ganti.”
            “Oh ya ke?” Erfan mula mengira-ngira sesuatu. “Hmm... sayang baru ganti empat... Abang dah cium sayang lebih lima puluh kali kot..”
            “Alah abang ni, tu pun nak berkira!” Ditolak dada suaminya. Double mengada betul! Baru sahaja dia menapak, lengannya mula ditarik oleh si suami.
            “Gantikan yang special one... Abang akan halalkan semua yang hutang-hutang tu.” Erfan mula membuat tawaran sambil tersenyum nakal.
            “Special one? Macam mana?”
            Bibir Erfan dirapatkan sedikit di telinga Erna. “Teman abang malam ni...” Bibir Erna merekah dengan senyuman.
            “Bukan setakat malam ini... Erna akan temankan abang buat selamanya...” Mereka sama-sama tenggelam di dalam tawa kecil.
            Perlahan-lahan Erfan mula melepaskan pelukan. “Abang ada sesuatu untuk Erna.” Botol kaca yang berada di atas meja itu mula dicapai. Botol kaca yang agak unik itu diserahkan ke tangan Erna.
            “Apa ni?” Di dalam botol kaca itu terdapat kertas yang berukiran bintang.
            “Abang tahu diari Rafiq begitu berharga buat sayang.... Abang cuba untuk mencantumkan balik.. Tapi... abang gagal.. abang gagal nak kembalikan diari itu dalam bentuk asal. Jadi abang buat bentuk bintang dan abang letak dalam botol ni. Mungkin sayang stay tak boleh baca tulisan arwah... tapi abang harap bintang ni dapat menyejukkan hati sayang. Again, I’m so sorry...”
            Mata Erna berkaca-kaca. Yup. Memang dia sayangkan diari Rifqi itu. Tapi mungkin ada baiknya diari itu tiada. Biarlah kenangan lepas hanya singgah di dalam memori sahaja. Rifqi memang seorang lelaki yang pernah dicintai tetapi Erfan adalah suaminya. Segala-galanya.
            “Abang, Erna amat hargainya. Erna dah tak perlukan semua itu. Erna hanya nak abang.... Erna hanya perlukan abang.” 
            Erna mula mengerti satu perkara. Ketika kita jatuh cinta, jangan berjanji untuk tidak menyakiti. Tapi berjanjilah untuk tetap bertahan dan bersabar walau apa pun dugaan yang memerangi jiwa.
            You know what is the sweetest time of the day?? It is when you pray... Why?? Because you are talking to the One who loves you most... Jadi untuk berbahagia, teruslah berdoa. Allah tahu apa yang tersirat di hati setiap manusia. Kerana doa dan perasaan meminta-minta adalah jiwa seorang hamba. Teruslah berdoa…. Berdoa…Berdoa…
            Manusia boleh berubah dari buruk kepada baik. Baik kepada lebih baik. Lebih baik kepada yang terbaik.... Namun manusia tak akan mampu untuk menjadi sempurna. Terimalah kekurangannya seperti mana kita mampu menerima kelebihannya.

***TAMAT***
p/s:: ambillah kelebihan yang terhidang.. yang terkurang itu dari diri saya yang tidak sempurna... masih belajar dan bertatih dalam dunia penulisan... 111 dalam masa 14 hari.. (tepuk bahu sendiri... cakap syabas.. kih kih kih) anggaplah mcam mini novel yang tak ada bab.. senang x payah tertunggu-tunggu kan... hope enjoy reading and thanks coz alwayz menyokongg... lebiu korang much much more...... =)

pesanan diraja::: pada cik puan encik tuan anon... sila tinggalkan nama walaupun sepatah huruf... Let me know who are u wokeyhh.... tq