Thursday 22 March 2012

KENDURI KAHWIN LAGI

Puan Maznah mula menarik nafas perlahan. Tak kena gaya karang, ada jugak terkeluar jantung miliknya ini. Tak tahu apa lagi yang hendak dilakukan pada anak gadisnya yang seorang ini.

“Apa masalah Myza ni? Mak suruh pergi kenduri je... Bukan mak suruh kau masak lauk pengantin pun... Apatah lagi nak suruh kau jadi pengantin!” Kepalanya yang bersarung dengan anak tudung itu digaru perlahan.
“Masalahnya ialah Myza tak suka pergi kenduri!” Inilah masalah mereka dua beranak! Setiap kali ada kenduri, pasti mereka akan bertekak.
“Mak nak suruh kau pergi makan sebab kau tu dah lah malas nak memasak.. Aish, macam manalah kau nak kahwin ni? Risau betul kalau laku kau tu mati kelaparan.” Sungguh hatinya digaru rasa risau. Ada seorang anak gadis pun seperti ada sepuluh orang. Mujur sahaja anak-anak lelakinya tidak punya banyak masalah dalaman seperti Ibitisam Amyza ini.
            “Ish, ke situ pulak mak nih! Alah.. kejap lagi pandai-pandailah Myza masak Maggie ya...” Amyza mula tersengih-sengih sambil mula menghulurkan tudung sarung kepada emaknya. Puan Maznah tetap menyambut tudung itu dan disuakan ke kepala.
“Mak betul-betul tak faham dengan kau ni. Kenapalah kau tak suka sangat pergi kenduri! Waktu kecik-kecik dulu, tak adalah liat macam nih... Boleh je teman mak pergi kenduri. Entah-entah kau sedar yang pakwe kau kena kebas waktu kau pergi kenduri kot??” Temat Puan Maznah selamba. Anak gadisnya itu bukan boleh kira.. Bercinta pun nak senyap-senyap! Apalah salahnya kalau berterus dengan dengan mak sendiri. Mak pun pernah jadi muda. Pernah merasa perasaan orang bercinta.
“Erkk..” Tak tertelan rasanya air liru milik Myza itu. Seolah-olah ada traffic light yang menyekat di kerongkongnya.
“Ishhh mak nih… merepek je! Orang mana pernah ada boyfriend!” Myza mula melarikan pandangan. Ngeri pula apabila emaknya itu mula memandang pelik ke arahnya. Tangannya mula gatal menyentuh perhiasan di almari kaca. Gabra punya pasal!
            “Macam mana nak ada boyfriend, kamu tu garang sangat!” Selamba sahaja Puan Maznah menembak anaknya melalui kata-kata.
            “Apalah mak ni, mak macam menggalakkan anak mak ada boyfriend pulak!” Myza menggelengkan kepalanya. Secara hakikatnya, ibu bapa pasti akan memarahi anak-anak dara mereka jika mereka mempunyai teman lelaki. Tapi emaknya ini lain pula acuannya. Pelik pelik....
            “Umur kamu tu patutnya bukan ada boyfriend tapi patut ada anak dah pun!” Myza mula mengigit bibir. Sekali lagi dia terkena!
            “Baru umur dua puluh enam... Sebelum umur tiga puluh, orang kahwinlah!” Jawab Myza selamba. Puan Maznah kembali mengelengkan kepalanya.
            “Umur tiga puluh nanti, kau pun dah expired, entah-entah jual selonggok seringgit pun orang tak mahu.” Kali ini, Myza mula terlopong besar manakala Puan Maznah sudah tergelak-gelak.
            “Apalah mak ni, doa yang bukan-bukan dekat anak sendiri!” Myza sudah mula rasa hendak marah. Setiap kata-kata itu kan satu doa! Buat-buat kalau doa emaknya itu dimakbulkan, diri dia sendiri juga yang naya!
            ‘Tak kan aku nak hidup sendiri seumur hidup? Sakit pening kena tanggung sendiri... Aish, kalau betul doa mak dimakbulkan, aku kena cari anak anggkat lah! Ada jugak penemannya nanti...’ Sempat lagi otaknya diselitkan dengan perkara yang belum tentu akan berlaku.
            “Mak bukan doakan, mak buat calculation hidup anak mak sendiri.” Berkerut sedikit dahi Myza untuk memaknakan ayat dari emaknya itu.
            “Oh... mak dah buat pengiraan untuk anak mak sendiri.. Bagus betul mak nih!”
            “Bukan pengiraanlah...” Tepis Puan Maznah sambil mula mencalitkan sedikit gincu di bibir. Puan Maznah memang begini, ambil masa yang lama untuk bersiap. Sedangkan hendak ke kenduri hujung kawasan perumahan ini sahaja.
            “Habis tu?”
            “Kesimpulan....” Jawab Puan Maznah sedikit berjeda.
            Myza sudah menepuk dahi. Kepalanya mula digelengkan sedikit.
            “Kalau kesimpulan, itu bukan calculation... tapi conclusion...” Myza sudah mula hendak ketawa berguling-guling. Inilah yang susah kalau orang tua-tua nak speaking! Seringkali keluar dari landasan kereta api!
            “Oh... ya ke?” Puan Maznah seolah-olah sedang berfikir. Mungkin sedang mengemas kini kamus di dalam kepalanya.
            “Yalah... mak ni banyak sangat tengok Adnan Sempit! Tu yang jadi lagu nih... Duk speaking terbalik jeh.”
            “Sekurang-kurangnya mak mencuba... bak kata Shah Rukh Khan dalam cerita Kal Ho Naho semalam, tak ada keburukan dalam mencuba... Hah, jadi kalau salah pun, sekurang-kurannya kita cuba.. Yalah, manalah tahu kalau-kalau dapat menantu orang putih nanti, tak lah mak tergeliat sangat!”
            Myza sudah mula mengarukan kepalanya. Susah kalau bercakap dengan hantu drama ni! Baik dari drama melayu, cerita hindustan, drama korea, telenovela, sinetron, semuanya emaknya itu tengok! Siap boleh hafal skrip lagi. Punyalah hebat Puan Maznah ini! Kalau dapat tengok tv, lauk kat dapur pun boleh terlupa!
            ‘Mak... mak... mujur ayah dah tak ada, kalau ayah ada, silap hari bulan dengan ayah-ayah mak tak perasan!’
            “Orang tahulah mak nak pergi kenduri, tapi tak payahlah cerita pasal menantu... Cepat pergilah mak... nanti habis pulak lauk pauk tu karang!” Myza sudah bertindak dengan menolak tubuh emaknya itu.
            “Betul ke tak nak pergi kenduri ni?” Sekali lagi Puan Maznah bertanya. Pelik dengan sikap anaknya ini.
            “Betul.. keputusan orang muktamad. Memang tak ada talian hayat lagi.. Orang memang tak mahu pergi kenduri...” Terang Myza elok-elok.
            “Yalah-yalah...” Akhinya Puan Maznah mengalah. Susah hendak mematahkan semangat juang anaknya yang memang liat hendak ke kenduri itu. Kakinya sudah mula menyarungkan selipar namun apabila dia mula melangkah, dia kembali berpaling ke arah anaknya yang sedang berada di muka pintu.
            “Ada apa lagi ni?” Tanya Myza sambil mengangkat sedikit keningnya.
            “Errkk... kau pernah tak dengar pasal hukum karma?” Pertanyaan anaknya itu ditolak tepi malah giliran dia pula ayng menghulurkan pertanyaan.
            “Hmm... Karma yang mana ni? Karma lakonan Fauziah Ghous tu ke ataupun karma nyanyian Faizal Tahir?” Puan Maznah rasa seperti hendak cepuk sahaja anaknya itu. Suka lari daripada konsep soalan!
            “Mak rasa macam nak main baling-baling selipar jeh! Kau nak main sekali ke?” Rasa hendak marah pula bila seringkali dipermainkan oleh anaknya itu. Namun marah sayang sahaja. Anaknya itu sudah besar panjang... kalau terlebih marah nanti, hanya akan menaikkan darah tingginya sahaja.
            “Okay.. okay... orang serius. Ish, mak ni makin tua, makin sensitip!” Usik Myza lagi sambil ketawa kecil.
            “Gigi aku memang sensitip.. Sebab tu aku guna sensodyne!” Kali ini Myza pula yang terkebil-kebil sendiri apabila dipermainkan oleh emaknya. ‘Hah, tang dia main-main, boleh pulak?!’
            “Berbalik kepada soalan puan tadi, ya... memang saya tahu tetang hukum karma itu? Kenapa soalan itu ditujukan kepada saya?” Myza sudah mengeluarkan soalan skema. Agak-agaknya pukul berapalah emaknya itu boleh pergi kenduri?
            “Hah.. mak cuma nak bagi tau... Kalau kau tak pergi kenduri orang, entah-entah bila kau kahwin nanti, jangan pelik kalau orang tak datang kenduri kau!” Sejurus kemudian, Puan Maznah sudah membuka langkah. Sengaja membiarkan anaknya itu berfikir panjang.
            Kata-kata emaknya itu memang berjaya membuatkan jiwanya tersentap!
            “Errk... mak!” Jerit Myza agak kuat.
            Puan Maznah yang sudah sampai ke hujung pagar mula tersenyum sedikit. Nampaknya taktik dirinya sudah menjadi. Perlahan-lahan dia mula berpaling.
            “Hah, kalau nak pergi, cepatlah siap!”
            “Lah, siapa kata orang nak pergi....” 
            “Habis tu, panggil mak buat apa?” Ish anaknya yang seorang ini, ingatkan selepas dibasuh dengan clorox, akan menjadi putih bersih! Tapi rupanya clorox pun tak bagi apa-apa kesan jugak!
            “Nak suruh mak bungkuskan lauk je... Okay sekian, terima kasih.” Usai menghabiskan ayat, Myza terus menutup pintu rumah. Dia mula ketawa kecil apabila kerana dapat mengenakan emaknya itu.
            Namun senyumannya mati apabila mengenangkan kata-kata emaknya tentang hukum karma. “Errk.... kalau orang tak datang kenduri aku macam mana eh?” Soalan itu lebih ditujukan kepada diri sendiri. Akhirnya, Myza sudah malas hendak mengambil kisah! Persoalan yang berat hanya akan mampu memberatkan otaknya sahaja.
            Fokusnya sekarang ialah untuk masak magie! Aduh, selalunya, inilah makanan yang menjadi santapan ketika di hujung minggu jika emaknya menghadiri kenduri kahwin. Nak harapkan dia memasak, daripada rasa lapar, terus jadi kenyang! Al-maklumlah, orang tak pernah mempraktiskan bakat memasaknya.
            “Myza... Myza...” Panggilan itu membuatkan Myza menutup api dapur dan bergegas ke depan. Sekali dengan macam suara angahnya!
            “Apa jerit-jerit ni? Buat saspen orang jeh...” Marah Myza sambil mula bercekak pinggang. Entah kenapa, muka Muaz kelihatan cuak sedikit.
            “Eh, kau tak pergi kenduri anak Mak Nab ke?” Disebabkan perbezaan umur mereka hanya dua tahun, jadi dia sudah terbiasa membahasakan diri menggunakan kata ganti ‘aku’’kau’ sahaja. Muaz mula memandang adiknya dari atas ke bawah. Kenapa tak bersiap lagi?
            “Sejak bila pulak muka aku ni pergi kenduri?” Jari terlunjuk mula dihalakan ke wajahnya sendiri.
            “Oh.. lupa pulak.. Tapi hari ni, kau memang kena pergi. Sebab aku nak kau teman aku pergi kenduri!” Muaz sudah mula menarik tangan adiknya dan menyuruh adiknya masuk ke dalam biliknya.
            “Cepat tukar baju! Pakai baju cantik-cantik dan jangan lupa pakai make up tau!” Arah Muaz lagi.
            “Eh, apasal main paksa-paksa orang nih? Orang tak mahu pergilah!” Myza mula rasa hendak marah! Abang ngahnya ini memang suka ikut kepala sendiri. Langsung tidak pandai menghormati perasaan orang lain.
            “Myza, aku memang memerlukan pertolongan kau sekarang! Aku ada nampak ex girlfriend aku datang kenduri anak Mak Nab tuh!” Rayu Muaz sedikit.
            “Jadi, apa kena mengena dengan aku pulak?”
            “Aku nak kau menyamar jadi awek aku!”
            Myza sudah mula menepuk dahi. Inilah susah kalau ada abang! Sesuka rasa mengarah itu ini.
            “Kenapa mesti aku?” Dalam banyak-banyak perempuan, dia juga yang sering terkena. ‘Angah ingat aku ni pandai sangat berlakon ke?’ Aish...
            “Habis tu tak kan aku nak suruh mak... Mestilah engkau, lagipun kau seorang je adik perempuan aku.... Tolonglah Myza... aku betul-betul perlukan pertolongan kau nih...” Ini bukan dah tahap merayu ni, kalau adiknya itu suruh melutut, itu pun dia sanggup lakukan.
            Myza mula memicit sedikit kepalanya sedikit. ‘Kusangka hujan di tengah hari, aku pun angkatlah kain.. Rupanya panas hingga ke petang! Tadi dapat mengelak dari pergi dengan mak.. tapi alih-alih angah pulak yang paksa aku pergi kenduri!’ Yang menambahkan rasa malas dalam diri ialah, malas hendak iron baju.. malas hendak bersiap... malas hendak pergi! Cukup segala perisa.
            “Aku....” Myza masih berkira-kira hendak menolak.
            “Okay... sebagai upahnya, aku belanja kau handbag carlorino yang kau tengok dulu!” Tahu sangat yang adiknya itu memang kedekut untuk mengeluar duit sendiri.
Ganjaran itu sedikit sebanyak dapat membuka mata Myza. Dia mula tersengih-sengih. Idea jahat dah datang dah...
            “Tak kan dapat beg je?”
            “Okay... plus upah seratus ringgit!” Tawar Muaz lagi. ‘Kopaklah aku bulan nih.. Tapi memang perlu untuk berlagak dengan perempuan tu! Dia ingat aku tak boleh hidup tanpa dia.. Heh, silap besar babe! Ini Muaz kot... Tak akan kalah di kaki perempuan!’
            “Hmm.. tak kan seratus je? Lima ratus lah...” Kata-kata Myza membuatkan mata Muaz terbeliak! Inilah manusia. Bagi betis, nak peha!
            “Lima ratus tak ada... lima jari ni ada!” Muaz sudah mula menunjukkan lima jarinya. Memang ada yang nak makan pelempang gamaknya.
            “Eee... kau ni tak malu sungguh! Dah lah nak suruh-suruh orang, lepas tu nak tampar-tampar orang pulak! Malaslah nak tolong...” Myza sudah mula hendak merajuk.
            “Weh, tolonglah abang kau nih... Kau suka ke bila perempuan tu memperlekehkan abang kau! Kau seorang je yang mampu membela maruah abang kau yang tercalar nih!” Muaz sudah mula buat ayat kesian.
            “Yalah.. aku tolong! Aku nak kau belanja beg jeh... duit tu aku tak mahu tapi aku nak kau tolong iron baju aku nih.” Myza sudah mula melangkah ke almari dan dikeluarkan sepasang baju kurung moden yang bersulam cantik.
            “Ish.. apasal aku pulak yang nak kena iron?” Muaz buat muka tak puas hati.
            “Kalau kau nak aku tolong kau, kau pun kena tolong aku!”
            Muaz hanya merengus geram. Namun dicapai juga huluran baju itu. Nasib badan betul bila dapat adik yang kuat membuli ini.
***
            Myza mula merasakan kepanasan apabila berada di bawah khemah kenduri kahwin ini. Dengan hiruk piruk orang ramainya, sungguh rasa serabut. Kalau tak mengenangkan handbag Carlorino yang mahal itu, tak mungkin dia akan datang ke sini! Aish...
            “Mana awek kau tu?” Bisik Myza perlahan.
            “Bukan awek... bekas awek okay!” Muaz kembali memperbetulkan ayat adiknya. Myza mencebik.
            “Weh, buat muka comel sikit... banyakkan senyum.. baru kita nampak mesra!” Bisik Muaz pula.
            “Bekas awek kau tu mungkin anggap kita mesra tapi jiran tertangga ni mesti ingat kita gila! Ada hubungan dengan adik beradik sendiri! Mana minah tu weh? Aku dah panas gila dah ni...” Myza sudah mula menjadikan pinggan plastik itu sebagai kipas sementara menanti giliran untuk mengambil nasi.
            “Ish.. janganlah buat macam ni! Nampak tak senonoh tau tak!” Halang Muaz sambil mengambil pinggan di tangan adiknya. Entah jembalang manalah yang malang yang akan menjadi suami adiknya ini.
            Myza mencebik. Macamlah dia senonoh sangat! menyampah!
            “Alalala... janganlah buat muka macam ni..” Tiba-tiba suara Muaz sudah berubah intonasinya. Malah dengan selamba abangnya itu mencubit pipi gebu miliknya. Kalau cubit perlahan tak apa jugak, ini cubit kuat-kuat pulak tuh! Ini mesti sengaja nak balas dendam!
            “Dia ada kat belakang kita...” Dengan sengaja dia mendekatkan bibirnya di telinga adiknya. Biar lakonan kelihatan lebih mantap!
            Myza menolak sedikit bahu Muaz. Perlahan dan dengan gaya mengada-ngada jugak! Sengaja ingin memantapkan lakonan kerana awal-awal lagi Muaz sudah memberi amaran, jika lakonan tidak berkesan, dia hanya akan belanja separuh harga sahaja. Cina beng punya abang!
            “Hai Muaz...” Teguran satu suara membuatkan mereka berdua berpaling!
            Myza mula memandang ke arah perempuan dihadapannya. Rupanya memang cantik! Namun senyumannya ternyata sumbing. Rambutnya sedikit bergulung. ‘Wah, awek Muaz dulu tak pakai tudung rupanya... kalau report dekat mak ni, sepuluh hari sepuluh malam mak akan bagi ceramah!’
            “Oh hai... Macam kenal pulak? Eh, siapa nama you?” Sungguh Myza betul-betul rasa hendak ketawa. Boleh pulak Muaz tanya soalan bangang itu! Kot ya pun nak belagak ada awek, tak perlulah over sangat!
‘Aduh... angah-angah... kau ni betul-betul tak semengah!’
            “Oh... dah ada awek baru, nama I pun you lupa ya?” Isya menoleh sedikit ke arah awek Muaz itu. Memang ternyata yang dirinya kalah! Namun, jangan harap dirinya akan mengaku kalah. Dia mula cemburu. Seingatnya, Muaz akan terus memburu dirinya, namun rupa-rupanya telahannya selama ini salah! Dan sekarang, Muaz kelihatan bahagia sahaja disamping wanita di sebelahnya.
            “Itulah... otak I ni memang ada masalah kalau nak ingat benda-benda yang pahit!” Jawapan itu mampu membuatkan Myza tergolek di sini lagi. Sungguh, dia tidak betah lagi berada di kawasan lakonan ini. Karang tak pasal-pasal temberang ini pecah begitu sahaja.
            “Err... abang berbuallah dengan kawan abang dulu! Ayang nak pergi sana kejap ya.... Nak minum air kejap!” Suara, lenggok badan, semuanya dilembutkan. Kata lakonan.. Haruslah bersungguh! Baru nampak real kan...
            “Okay sayang... jangan pergi lama-lama sangat tau!” Suara Muaz pun boleh tahan manjanya. Myza dapat mengesan air muka perempuan itu yang membahang. Tapi sebenarnya suara Muaz itu memang berjaya membuatkan dia bertambah loya!
            “Oit... buat apa kat sini?” Teguran itu membuatkan  Myza sedikit tersentak.
            “Pergi kendurilah... tu Muaz ajak teman dia!” Ditarik sedikit tangan emaknya itu. Bimbang dilihat oleh kekasih Muaz. Karang tak pasal-pasal je kantoi.
            “Amboi, tadi mak ajak bukan main jual mahal lagi kau eh!” Puan Maznah sudah mula bercekak pinggang.
            “Orang pergi pun sebab terpaksa nih...” Myza bercakap dengan nada sedikit berbisik. Kepalanya tertoleh sedikit ke arah tempat Muaz berdiri.
            “Terpaksa?”
            “Yalah, takut jugak dengan ugutan mak tuh.. kalaulah tak ada orang datang kenduri orang nanti... ish ish ish...” Tak pasal-pasal sambung drama dengan tengah-tengah kanopi ini. Namun seketika, dia kembali menoleh ke arah Muaz.
            “Kau  ni kenapa Myza? Macam pencuri jeh mak tengok... ke kau dah curi hati budak lelaki yang dekat kenduri ni?” Membuntang mata Myza dibuatnya. Emaknya ini memanglah... Memang terlebih sporting!
            “Apa mak ni... Merepek jelah. Tu, Mak Cik Melah panggil tu... Pergi cepat! Tak baik buat orang tertunggu-tunggu!” Myza cepat-cepat menolak bahu emaknya supaya masuk ke dalam rumah pengantin. Sebenarnya, tak ada orang panggil pun. Saja dia buat sketsa tak bertauliah!
            Puan Maznah sedikit terpinga-pinga. Serasanya, dia tidak ada pula mendengar sebarang suara. Tapi tetap dimajukan langkah masuk ke dalam.
            Fuh lega! Akhirnya tanganya terus mencapai gelas dan dituangkan air oren itu. Tanpa mencari tempat duduk, dia terus meneguk dengan gelojoh. Dahaga punya pasal! Entah macam mana, dia boleh tersedak pula.  Tangannya mula ingin menutup mulut. Tekaknya terasa amat perit. Mujurlah air itu sempat ditelan. Jika tidak, tak pasal-pasal sahaja tersembur.
            “Nah!” Seorang jejaka mula menghulurkan tisu.
            Myza yang masih terbatuk-batuk itu terus menerima huluran tisu tersebut. Dia berdehem beberapa kali. Untuk menghilangkan rasa perit yang singgah di ruangan tekak!
            “Awak okay?” Myza terus menoleh ke arah satu suara.
            Sesaat, dua saat, tiga saat.... dia terus tergamam!
            “Awak okay ke tak ni?” Nadhif bertanya lagi untuk kesekian kalinya. Pelik dengan aksi gadis comel ini. Ya, perempuan ini sungguh comel.
            “Oh... okay... okay...” Entah kenapa, dada Myza terasa seperti dihentak-hentak! Kenapa ya? Mungkin sebab muka lelaki ini terlalu kacak! Remy Ishak pun boleh kalah nih..!
            “Itulah... lain kali minum duduk.” Nasihat Nadhif sambil tersenyum sedikit.
            “Terima kasih atas nasihat tuh! InsyaAllah akan diguna pakai dikemudian hari.” Berdiri di sebelah jejaka kacak ini memang berjaya membuatkan jiwa Myza tidak keruan! Akhirnya dia berpaling ke arah abangnya itu.
            “Wah, bukan main seronok lagi dia berdating!” Tanpa sedar, ayat itu terkeluar dari mulutnya. Myza hanya tersedar apabila mendengar ketawa kecil jejaka di sebelahnya itu.
            “Awak pun boleh jugak nak berdating...” Usik Nadhif sambil mula menyuakan gelas minuman ke mulut.
            “Nak berdating dengan siapa? Dengan awak ke?” Geram dengan perangai lelaki itu yang suka menyampuk percakapannya!
            “Berdating buat apa... topak dosa kering jeh.. Alang kepalang dekat kenduri ni, baik kita ambik badi pengantin terus! Mana tahu kita boleh kahwin sama!” Usik Nadhif nakal. Seronok melihat muka gadis itu yang kemerahan dipanah cahaya matahari.
            “Uhuks!!” Myza yang sedang meneguk air kembali tersedak untuk kesekian kalinya! Mamat ni memang boleh tarik nyawa orang!
***
            Myza berbaring di atas katil sambil merenung syiling bilik. Entah kenapa, pertemuan dengan lelaki aneh itu menyerabutkan mindanya! Senyumannya, ketawanya, usikannya sangat-sangat menarik hati!
            “Arrgghhh.... kenapa dia tak keluar-keluar dari kepala otak aku!” Jerit Myza kuat sambil bangun dari pembaringan.
            Tanpa sedar, pintu bilik sudah terkuak dari arah luah. Terpancul wajah risau Puan Maznah. Terkejut kerana mendengar jeritan anaknya tadi. “Myza, kenapa menjerit sorang-sorang ni?”
            “Orang rasa macam nak demamlah...” Myza sudah mula buat muka cemberut. Malu juga bila jeritan batinya didengari oleh emaknya.
            Puan Maznah terus merasa dahi Myza. Bukan takat panas, suam pun tak wujud! Demam apa macam ni? “Tak panas pun... Demam cinta kot...” Puan Maznah sengaja mengusik anak daranya itu.
            “Mak nih.... apasal sejak dua menjak ni asyik pasal cinta je? Orang tak terfikir pun nak kahwin lagi...” Sejak dua menjak ini, emaknya itu memang kerap menyebut soal kahwin. Nak kata kemaruk cucu, abang longnya sudah pun mempunyai 3 orang anak! Cukup-cukuplah tu buat masa ini. Kalau ramai-ramai nanti, tak menang tangan pulak orang tua nih.
            “Ke mak yang tengah tangkap cinta dengan mana-mana pak cik nih? Baik mak terus terang dekat orang!” Paksa Myza sambil menggongcangkan lengan milik emaknya.
            “Eh, orang cakap pasal dia, dia tunding jari dekat mak pulak! Yalah.. mak tak sebut dah. Kau ni semenjak pegang title anak dara tua, makin sensitip pulak!” Rahang Myza kembali terjatuh. Tercengang lagi dengan kata-kata selamba emaknya itu.
            “Mak!!!” Berdesing telinga Puan Maznah mendengar jeritan anaknya itu. Baru dua puluh enam! Belum tua lagi....
            “Eh, tak payah jerit kuat-kuatlah. Karang orang ingat anak dara mak dah bertukar jadi puntianak pulak! Kalu jadi lagu tuh, lagilah haru!” Tambah Puan Zainab lagi.
“Sudahlah, mak pun dah penat menolong orang kenduri, mak nak tidur! Kamu pun tidurlah... Moga dapat mimpi putera raja yang kacak-kacak ya dan satu je mak nak pesan, jangan meroyan sebelum masanya ya...” Ujar Puan Maznah sambil tergelak-gelak. Seronok mengusik anaknya yang memang cepat melatah dengan keadaan!
            “Hampeh betul mak nih!” Kepala yang berat, jadi makin berpusing apabila melayan sikap Puan Maznah yang makin menjadi-jadi lawaknya. Ini semua pasti penangan raja lawak! Aduh... mak.. mak.. banyak betul terkenan dengan sikap JOZAN.
***
            Apabila hujung minggu datang lagi, yang menakutkan pastilah kenduri kahwin. Myza rasa seperti hendak pengsan tatkala melihat kad-kad kenduri kahwin yang diletakkan di bahagian depan peti sejuk.
            Gila banyak!!!
            “Apa yang kau tenung peti sejuk tuh?” Tanya Muaz yang baru sahaja bangun dari tidur.
            “Gila banyak kenduri kahwin....”
            “Dah tu apa masalahnya? Bukan kenduri kahwin kau pun!” Sempat lagi ditunjal kepala adik perempuannya itu.
            “Selamba badak kau je kan?” Marah Myza geram. ‘Dia ingat kepala aku ni bola snooker gamaknya!’
            “Badak-badak pun, orang ni jugak yang belikan handbag mahal tuh!” Ungkit Muaz selamba. Tanpa membasuh muka, dia terus mengangkat tudung saji. Nak mencekiklah tuh!
            “Ya.. terima kasih sebab belikan handbag tuh... dan sama-sama sebab aku pun tolong kau berlakon hari tu kan.. Kira fair and squarelah...”
            Dia masih ingat lagi, apabila dia diusik oleh lelaki itu, terus Myza angkat kaki. Kalau lama-lama, bimbang jika hatinya jatuh pada lelaki yang langsung dia tidak kenali itu. Langkahnya dihala ke arah Muaz yang sedang rancang berbual. Baru sahaja dia berpaling, lelaki itu sudah tiada. Walau sudah puas dicari dan diterokai, kelibat lelaki itu tetap tidak ditemui.
            Tanpa sedar, satu keluhan mula dilepaskan.
            “Ni apasal macam orang putus cinta ni?” Tanya Muaz ambil berat. Walaupun dia kerap mencari gaduh dengan adiknya itu, dia tetap menyayangi Ibitisam Amyza. Satu-satunya adik yang menemani kesunyiannya.
            “Bercinta pun tak, nak putus macam mana?” Myza mula menuangkan air ke dalam gelas. Kemudian dihulurkan buat angahnya itu. Bimbang jika abangnya itu tercekik sahaja.
            “Aaah kan... putus fius adalah!” Usik Muaz lagi.
            “Macam ada orang nak putus kepala je kan?” Myza mula geram kerana dipermainkan oleh Muaz. Tak kena gaya, ada yang akan kena dengan bergaya nih!
            “Alah.. pantang usik sikit pun nak mengelabah! Eh, kawan kau kahwin minggu depan kan?” Ujar Muaz sambil menyuapkan nasi goreng ke dalam mulut. Dikunyah perlahan sahaja. Walaupun adakanya nampak tak bersopan, namun terbitnya masih ada. Berguna jugak pelajaran sivik yang diperlari di sekolah dahulu.
            “Hah, kawan yang mana ni?” Myza sudah mula mengarukan kepalanya.
            “Hana.. bukan ke ada lekat kat depan peti tu?”
            Myza terus bangun dan kembali menapak ke depan peti. Ditelek satu persatu kad kahwin yang ditampal. Matanya tiba-tiba terpandang pada sebaris nama yang cukup dikenalinya. Adila Hana!
            Serius rasa hendak pengsan apabila melihat nota kecil yang telah disediakan oleh Hana buatnya.

Myza, disebabkan kau tak datang waktu aku bertunang,
Jadi kau kena datang seminggu lebih awal masa aku kahwin...
Jangan lupa datang tau.. kalau tak, aku tak mahu kawan kau lagi....

“Alamak, kenduri kahwin lagi?” Kad kahwin itu mula dipukul ke dahinya. Tanpa berfikir pun dia sudah tahu yang dia memang kena datang juga perkahwinan Hana yang merupakan kawan baiknya itu! Masalah dunia dan muncul dah... Macam mana nak tinggal seminggu kat sana? Itulah, pandai-pandai sangat mengukir janji... Aish.. Mulalah Myza rasa hendak marah! Kepada siapa lagi amarah itu kalau bukan kepada dirinya sendiri!
***
            “Myza!!!” Jerit Hana kuat tika Myza baru sahaja keluar dari perut kereta. Akhirnya, sampai juga dia ke rumah Hana yang terletak di Permatang Badak, Kuantan ini. Penat jugak hendak memandu dari KL ke Kuantan. Mujur sahaja kereta Auto, jika tidak pasti jenuh.
            “Jangan jerit-jerit.. Nanti kalau aku pekak, pihak lelaki potong duit hantaran!” Usik Myza sambil mula memeluk kawan baiknya itu. Fuh, mujur sahaja Hana berkahwin ketika musim cuti sekolah. Jika tidak, pasti jenuh untuk memenuhi permintaan Hana itu.
            “Amboi... dengar macam dah ada calon je?” Usik Hana sambil menumbuk lembut bahu Myza.
            “Lah, memang ada pun kan...”
            “Errkk.. Siapa?”
            Myza tersenyum panjang sambil berlalu ke tempat duduk belakang sambil mengeluarkan beg pakaiannya.
            “Jangan cakap Remy Ishaklah?” Jari terlunjuk  Hana sudah mula ditala ke arah Myza yang sedang tersenyum kambing itu.
            “Alah, kau ni sentiasa boleh baca fikiran aku!” Kali ini giliran Myza pula yang menumbuk lembut bahu milik sahabatnya. Orang yang paling susah untuk Myza menipu ialah, Hana! Gadis itu pasti akan dapat mengesannya secara sekelip mata sahaja!
            “Eleh, fikiran alien kau tu, memang dah tersemat dalam kepala otak aku ni.. Eh, jom masuk!” Hana mula membantu Myza untuk mengangkat beg pakaiannya itu.
            “Mak, orang gaji rumah kita dah sampai...” Jerit Hana ketika kaki mereka sudah mencecah lantai rumah. Myza mula menjenggilkan matanya. ‘Ada ke gelar aku ni orang gaji? Otak Hana ini memang tidak pernah bertauliah!’
            “Eh... Myza, dah sampai dah... Jemput masuk... Lama tak jumpa. Dah rindu benar mak cik pada kamu!” Hana hanya tersenyum apabila melihat emaknya mencium lembut pipi milik Ibtisam Amyza.
            “Myza pun rindu pada mak cik. Mak cik sihat?” Tanya Myza ramah. Memang dia sudah beberapa kali datang ke rumah Hana. Hana merupakan rakan baiknya ketika menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris dahulu. Tak sangka yang Hana akan menamatkan zaman bujangnya dahulu. Selepas ini, tinggalkan dia keseorangan. Aish..
            “Macam nilah... kadang-kadang sihat, kadang sakit.” Jawab Puan Zubaidah sekadar berbasa basi.
            “Hana, ajak Myza pergi rehat.. penat drive dari KL tuh...”
            “Jom...jom... aku tunjukkan kau bilik kau!” Hana menarik lengan rakannya itu. Melihat sahaja katil yang terhidang, terus Myza menjatuhkan diri. Pinggang yang berbengkang bengkok itu perlu diluruskan. Fuh, lega!
            “Tak sangka yang kau nak kahwin dah kan?” Myza berpaling ke arah Hana yang turut berbaring di sebelahnya.
            “Aku pun tak sangka! Tapi aku rasa, mungkin masa dah tiba masanya untuk aku berkeluarga!” Hana menjawab dengan senyuman yang tak lekang dari wajah. Tujuh hari lagi, dia akan menamatkan zaman bujangnya.
            “Kau pulak bila Myza?” Tanya Hana apabila Myza tidak memberikan sebarang respon daripada kata-katanya.
            “Aku tak terfikir lagi.” Jawab Myza spontan.
            “Sampai bila.... kita ni bukannya makin muda?”
            “Kalau kau nak aku duduk sini sampai ahad depan, kau jangan tanya soalan-soalan berkenaan dengan hal kahwin! Aku datang kenduri ni pun sebab kau tau! Kalau tak jangan harap aku nak pergi kenduri!” Myza sudah bangun dari pembaringan. Tak jadi hendak menyambung rehat apabila otaknya dihentak dengan soalan yang berkaitan dengan hal kahwin. Dia tak pernah menolak jodoh, tapi kalau jodoh sendiri tak datang-datang, dia hendak buat lagu mana lagi?
            “Kau ni memang sensitip bila cakap hal kenduri nih!” Hana pun sudah mula bangun. Tak seronok kalau bergaduh ketika sedang berbaring. Semangat nak bergaduh tu tak sampai-sampai!
            “Aku sensitip sebab aku pernah terluka... Bukan aku buat-buat!” Luah Myza lemah. Tak suka betul bila bercakap bab hati ini. Makin dia berhati-hati dari terus dilukai, makin dia terluka dengan sendirinya!
            “Pisang tak semestinya berbuah dua kali Myza? Apa yang dah berlaku tu, mungkin tak akan berlaku lagi...”
            “Kau cakap senanglah... Tapi aku yang menanggung semua nih! Aku yang tanggung rasa trauma nih! Orang lain tak rasa apa yang aku rasa!” Rasa sebak mula menjengah.
            “Myza.. sorry sebab buat kau sedih!” Hana memaut bahu temannya. Menyesal pula kerana membangkitkan kesedihan milik Myza. Dia tahu jiwa yang terluka itu memang sudah sembuh, namun parut itu masih ada dan tetap ada sampai bila-bila.
            “Kau memang.. suka buat aku sedih! Tahulah kau tu tengah mengejar bahagia! Weh, aku laparlah... Ada apa-apa tak yang boleh dimakan?” Rasa sedih tadi tiba-tiba hilang dengan sendiri apabila perut mula berkerongcong hebat.
            “Kau ni.. baru nak tangkap feeling, dah cakap pasal makan!”
            “Nak feeling lebih-lebih buat apa! Bukan boleh dapat apa-apa pun!” Hana terus menunjal kepala rakannya itu. Otak penuh dengan sawang! Aish.. Myza hanya mampu ketawa besar. Senang dapat mengenakan sahabatnya.
            “Jomlah makan... aku pun lapar jugak nih!” Akhirnya mereka sama-sama beriringan menuju ke dapur. Myza mula jadi rambang mata melihat lauk yang terhidang di atas meja. Punyalah banyak! Kecur air liur dibuatnya.
            “Kot ya pun taksub nak melantak, beradablah sikit weh..” Tegur Hana apabila melihat Myza makan dengan lahap! Dia tahu yang Myza terlalu gemarkan masakan kampung seperti ini. Apatah lagi jika ada masak lemak pucuk ubi!
            “Serius, sedap gila masakan mak kau nih!” Myza sudah menunjukkan ibu jarinya sebagai tanda bagus. Hana tergelak besar.
            “Makanan ni semua, akulah yang masak! By the way, terima kasih atas pujian tuh.” Ujar Hana sambil tergelak-gelak lagi. Myza yang mendengar terus tersedak dengan sendirinya. Bukan tak mahu percaya tapi tak boleh percaya.
            Myza menepuk dadanya berulang kali apabila makanan seolah-olah tercekik di ruangan tekak. Hana yang melihat terus kalut untuk menuangkan minuman. Mujurlah ada seseorang yang cepat menghulurkan air kepada Myza.
            Tanpa menoleh, Myza terus mencapai gelas tersebut dan disuakan ke mulutnya. Diteguk air itu dengan cepat. Sungguh, rasa seperti nyawa sedang berada di hujung tanduk sahaja!
            “Kau okay tak Myza?” Hana mengelengkan kepalanya sedikit. Kot ya pun terkejut, tak payahlah sampai tersedak macam ni sekali!
            “Fuh... mintak nyawa sangat-sangat!” Dadanya digosok perlahan. Myza mula beristigfar di dalam hati. Tiba-tiba dia teringat pada orang yang membantunya. Lantas dia menoleh ke kanan.
            “Terima ka....” Ayatnya tergantung apabila rahang Myza mula menjatuh.
            “Awak?” Hampir serentak mereka bertanya. Jari terlunjuk masing-masing mula diangkat dan ditunding ke hadapan.
            “Awak memang sengaja je tersedak kan?” Perli Nadhif sambil memandang gadis itu tanpa kelip. Sungguh, tak sangka akan ada lagi pertemuan untuk kali yang kedua. Adakah ini suratan yang bersulamkan kebetulan? Ataupun Jodoh kiriman Allah?
            “Hah?” Myza sudah mula buat muka pelik.
            “Sebab awak harap saya ada untuk jadi hero awak untuk menghulurkan tisu atau air kan?” Kali ini Myza sudah mula bangun dari duduk. Matanya mula dihala ke arah Hana. Mencari kepastian disebalik kewujudan lelaki ini.
            “Korang berdua kenal ke?” Hana mula terkebil-kebil memandang Nadhif dan Myza silih berganti.
            “Hana, mana kau kutip lelaki tak cukup sifat ni?” Persoalan Hana langsung tidak dihiraukan. Malah dia pula yang menghulurkan pertanyaan. Baru beberapa hari mimpinya kembali teratur tapi kini lelaki ini kembali menyerabutkan mimpi-mimpinya dengan senyuman kacak itu. Aduh...
            “Errk... dia ni sepupu aku!” Penerangan Hana membuatkan mata Myza terbeliak besar. Nadhif tersenyum melihat respon gadis itu. Jadi, perempuan yang ditegur ketika kenduri yang lepas adalah kawan Hana! Cantiknya ketentuan Allah ini....
            “Mana ada manusia yang sempurna sifatnya. Tapi cukuplah kalau saya ada awak yang bakal menyempurnakan hari saya!” Ujar Nadhif sambil mengeyitkan mata kanannya.
            “Yeaakk...” Spontan perkataan itu keluar dari mulut Myza. Entah macam mana mamat tak semengah ni boleh wujud dalam hidupnya?
            Hana hanya tergelak sahaja. Gawatlah kenduri kahwin kali ini! Seorang kaki mengusik dan seorang lagi pantang diusik!
***
            “Hana, macam mana mamat tu boleh ada kat sini pulak?” Tanya Myza lagi. Entah kenapa, dia seakan-akan tidak berpuas hati dengan penerangan Hana tadi. Sepupu? Macam mana dia orang boleh jadi sepupu? Waktu datang dulu, tak ada pula lelaki itu datang menyemak? Lagipun, lelaki itu ada kacukan mat saleh sedikit. Dia tak senyum pun nampak handsome, kalau senyum.... gamaknya cairlah ais di kutub tuh!
            “Lah, kan aku cakap dia tu sepupu aku!” Hana mula naik pelik apabila melihat Myza yang sekejap ke kanan, sekejap ke kiri! Namun lama-lama, Hana mula ketawa kecil.
            “Kenapa kau gelak?” Tanya Myza pelik.
            “Aku pernah tengok kau macam ni dulu.. waktu tu kau baru je sedar yang kau sukakan...” Belum sempat Hana menghabiskan ayatnya, Myza terus menekup mulut itu.
            “Jangan kau berani sebut nama dia?”
            Hana mula menepis tangan Myza yang menutup mulutnya. Kalau tutup mulut sahaja tak apa jugak, ini dengan hidung-hidungnya pula yang menjadi mangsanya!
            “Weh, lemas aku bongok!” Marah Hana sedikit. Sekali pandang, perangai mereka berdua ini tidak nampak langsung seperti seorang guru! Tak senonoh je mamanjang.
            “Muka dia tak macam orang melayu sangat kan?”
            “Dipendekkan cerita, keturunan belah ayah Nadhif tu ada darah kacukan... Jadi sebab tu muka dia lagu tuh. Dia tu anak tunggal dalam keluarga. Dia bekerja sebagai photographer dekat sebuah company dan dia baru je habis jelajah satu Malaysia sebab nak menjayakan projek besar untuk terbitkan gambar-gambar dalam sebuah majalah. Sekarang dia cuti dua bulan untuk menolong kenduri aku disamping ingin mencari calon isteri!” Terang Hana ringkas namun merangkumi semua cerita.
            “Aku tanya sikit je tapi kau jawab berjela-jela!” Malu pula rasanya apabila mendengar penerangan daripada Hana itu. Jadi nama dia Nadhif! Hmm, tapi bagus jugak, tak perlu nak tanya banyak-banyak!
            “Sebelum pertanyaan kau tu menyerabutkan kepala aku, jadi lebih baik aku beritahu dulu!” Jawab Hana sambil tersengih-sengih.
            “Dia memang duduk sini ke?” Tanpa sedar, pertanyaan itu keluar dari mulutnya.
            “Dia selalu melepak kat sini tapi dia duduk dekat bukit rangin. Dekat je dari sini.. Jadi aku pasti yang kau tak akan rindu dia sangat!” Usik Hana lagi.
            “Siapa yang rindu dia? Eee... tolonglah...statement kau memang tak boleh pakai kot!” Myza sudah berkira-kira untuk keluar dari bilik. Dia tidak betah jika terus tercampak dalam gelora rasa yang dicipta oleh Hana. Jadi dia ingin lari keluar. Kebetulan di ruang tamu tadi, emak Hana sedang mengubah hantaran. Jadi, bolehlah dia menyibukkan diri.
            Baru sahaja ditarik tombol pintu, terjenggul satu wajah yang sedang tersenyum-senyum. “Ada orang sedang rindu pada saya ke? Sebab saya rasa terpanggil-panggil untuk datang!” Rasa hendak luruh semangat Myza apabila menyambut huluran kata-kata manis sepupu Hana itu.
            “Kenapa berdiri kat sini? Awak skodeng anak dara orang eh?” Geram kerana asyik dipermainkan, Myza mengambil kesempatan untuk mengenakan lelaki itu kembali.
            “Alah, anak dara tu tak lama lagi akan jadi kepunyaan saya juga! Jadi bolehlah kalau nak skodeng awal-awal pun!” Ujar Nadhif sambil berlalu meninggalkan kawan Hana itu. Kakinya terus menapak ke luar. Nampaknya, memang ada chance je nak dapat calon isteri waktu cuti kali ini?
            Myza berpaling apabila mendengar tawa Hana yang bertaburan itu. Sungguh, memang boleh jadi gila kalau hari-hari perasaannya diusik oleh Nadhif. Tanpa mengajak Hana, Myza terus menapak ke arah Puan Zubaidah. Mula memerhatikan cara-cara Puan Zubaidah mengubah hantaran. Disebelah mak cik Zubaidah pula ada seorang mak cik yang sedang mengubah kasut dan beg tangan.
            “Cantiknya mak cik buat...” Puji Myza ikhlas. Kalau harapkan tangannya mengubah, memang layu dan lesulah jawabnya. Langsung tidak kreatif!
            “Mak long memang dah biasa ambil upah hantaran...” Ujar Hana yang baru sahaja menjenguk!
            “Wah, ya ke? Nanti kalau saya nak kahwin, saya nak suruh mak cik jelah tolong buatkan.” Sungguh, Myza sudah benar-benar jatuh sayang dengan gubahan mak cik yang sedari tadi tersenyum itu.
            “Ish... anak ni bukan duduk kat KL ke? Jauh tu kalau nak upah dari Kuantan.” Tadi Puan Zubaidah ada menceritakan sedikit sebanyak tetang kawan Hana itu. Rupanya comel sahaja. Myza nampak berkenan benar dengan gubahan darinya.
            “Cantik punya pasal mak cik... Nak puaskan hati bukan senang! Jauh pun jauhlah...” Jawab Myza sambil tekun memandang. Sekejap sahaja mak cik itu melakukannya. Gubah bunga, kemudian selitkan di dalam bakul kemudian letakkan barang hantaran. ‘Sekali pandang memang mudah benar namun jika sepuluh kali aku buat pun, belum tentu cantik macam ni. Untung-untung boleh jadi rentung!’
            “Kalau nak suruh mak long buatkan, kau kena cari orang kuantanlah Myza! Tak pun kahwin je dengan anak mak long tuh. Habis masalah senang cerita...” Usul Hana tidak semena-mena. Merah muka Myza dibuatnya. Puan Rabiah hanya tersenyum sahaja. Tapi, siapa tahu kalau kata-kata Hana itu menjadi kenyataan.
            “Ish... tahulah kau nak kahwin, tapi tak perlulah kau jebakkan aku dengan perkahwinan jugak.. Belum masanya lagi.” Pangkah Myza tak puas hati. Ini adalah salah satu punca kenapa dia tak suka pergi kenduri! Sebabnya ialah, nanti soalan itu pasti akan ditanya kepadanya?
            Bila nak kahwin? Satu ayat, tiga patah perkataan yang mampu meragut nyawa manusia!
            “Errk... anak ni dah berpunya ke belum?” Entah kenapa, soalan itu terkeluar dari mulut Puan Rabiah. Dia sebenarnya sudah berkenan dengan anak dara di depannya itu. Nampak manis dan sopan sahaja.
            “Belum mak long!” Tanpa sempat Myza jawab, Hana sudah mendahuluinya. Ish, malu Myza dibuatnya. Sungguh, selepas ini Myza bertekad untuk menyepak Hana sekuat hati.
            “Hai, muka cantik, orangnya sopan... tak ada calon jugak ke?” Puan Rabiah sudah tersenyum-senyum dengan Puan Zubaidah. Myza pun tersenyum sahaja. Tidak berniat untuk membalas sebarang jawapan. Malu bila diri dipuji sedemikian rupa sedangkan emaknya sahaja yang tahu perangai tak semengah milik dirinya!
            “Jual mahal sangat mak long.. Tulah, suruh anak mak long tu try masuk jarum. Manalah tahu kalau-kalau sangkut ke...” Usik Hana sambil mencuit sedikit bahu milik Myza. Hana sedar yang Myza sedang menyimpan amarah kepada dirinya. Biarlah... janji, dia perlu lakukan sesuatu untuk menghilangkan trauma Myza dengan lelaki dan kenduri! Dia sayangkan Myza. Dia pun ingin Myza bahagia seperti dirinya jugak.
            “Ish.. apalah kau nih...” Serius, Myza benar-benar rasa seperti hendak lesap! Mulut Hana memang perlu dijahit dengan kejap supaya tidak merapu yang bukan-bukan lagi. Walau sudah diberi amaran kiasan pun, Hana tetap buat tak faham!
            “Ibu, ibu nak balik pukul berapa? Kalau nak balik lambat lagi, Adhif nak solat asar dulu!” Nadhif yang baru masuk ke dalam rumah itu, mula melontarkan pertanyaan kepada ibunya yang sedang sibuk mengubah itu. Peluh mula merecik apabila kudratnya dituntut untuk mengupas kelapa tadi.
            “Hah, panjang umur... baru cerita pasal dia.”
            Myza mula rasa malu untuk memandang ke belakang. Siapakah gerangan pemuda itu? Jika dilihat dari perangai emaknya, kelihatan baik-baik sahaja. Tapi anak tu tak tahulah pula!
            “Oh... Mengumpat Adhif ya...” Nadhif sudah mula mendekat.
            “Ni hah.. ibu ada calon menantu untuk Adhif!”
            “Errk...” Muka Myza sudah mula pucat tanpa darah. ‘Gila selamba mak cik ni!’
            “Oh, dia nih.. Hmm, baru nah tunjuk calon menantu ni pada ibu! Tup-tup ibu dah jumpa dulu. Kira ibu dah setujulah ni ya?” Terus Myza berpaling apabila mendengar suara itu begitu dekat dengannya. ‘Lah, mamat ni lagi?’
            “Awak lagi?” Tanya Myza tanpa sedar.
            “Yup... sayalah bakal suami awak tuh!”
            “Eee.. perasannya!”
            “Memang perasaan saya sedang berbunga-bunga sekarang... Macam lagu Misya Omar tuh, bunga-bunga cinta... yang bercambah di kenduri kahwin.” Semua yang mendengar mula ketawa apabila mendengar nyanyian Nadhif yang mengubah lirik lagu Misya Omar itu. Myza pun sebenarnya hendak ketawa namun tetap ditahan. Tidak mahu dianggap mudah dibeli jiwanya.
            “Boleh tak jangan usik saya?” Pinta Myza sambil mencuri pandang ke arah yang lain-lain.
            “Boleh... tapi dengan syarat, awak yang kena usik saya!”
            “Errkk....” Macam tu pun ada ke?
***
            “Hai..” Sapa satu suara dari arah belakang. Terus Myza menoleh. ‘Erkk... mamat ni lagi?’ Tak boleh langsung tengok orang bersenang lenang di waktu petang ini.
            “Hai...” Diramahkan jua wajahnya. Tak baik menyombong di tempat orang!
            “Nama saya Nadhif Syarif!” Ujar Nadhif memperkenalkan diri tanpa ditanya. Dia mahu Myza mengenalinya dengan lebih rapat.
            “Nadhif... Syarif? Kenapa susah sangat... nak sebut eh?” Entah kenapa, lidah Myza agak tergeliat menyebut nama pemuda itu.
            “Errk.. ada masalah ke dengan nama tu? Kalau macam tu, untuk menyenangkan awak, awak boleh panggil saya abang sahaja!” Ujar Nadhif senada. Myza terus buat muka comel. Abang? Amboi... boleh tahan gatalnya mamat ni?
            “Awak ni jual minyak macam Sarip Dol yang suka mengatal dalam filem Seniman Bujang Lapuk tuh! Memang sepesen!” Entah kenapa, Myza jadi teringatkan Sarip Dol itu. Malah perangai dan nama mereka berdua ini lebih kurang sama sahaja. Suka mengorat anak dara orang! Aduh... tak ada kerja lain ke?
            “Sekacak-kacak saya ni, awak boleh panggil saya Sarip Dol?” Boleh tahan jugak minah ni. Mudah menjawab dan mudah mesra. Namun mesra yang mengandungi rasa sinis yang bukan sedikit.
            “Ok apa kalau panggil Sarip Dol! Unik kan...!” Ujar Myza lagi.
            “Nama awak pulak apa?” Sengaja Nadhif bertanya kerana tidak mahu Myza memanjangkan ejekan namanya.
            “Ibtisam Amyza...” Jawab Myza bangga. Dia memang berbangga dengan namanya yang unik itu.
            “Wahh... apa maksud nama awak? Sedap telinga yang mendengar seperti sesedap mata yang memandang tuan punya badan!” Myza mencebik. Nadhif kalau tak guna ayat manis, memang bukan golongan Sarip Dol!
            “Maksud nama saya ialah Senyuman yang jujur...” Myza mula tersenyum. Nadhif sedikit terpana melihat senyuman milik Myza. Kecacatan di pipi kanannya itu membuatkan senyuman itu nampak sempurna. Cantik!
            “Hah, kenalah dengan senyuman awak tu. Dan maksud nama saya pulak bersih rinduku.. Sebersih rindu saya untuk awak!”
            Myza mengigit bibirnya. Nadhif memang gila! ‘Kegilaannya itu memang mampu membuatkan aku ikut turut gila!’ Makin dibalas, makin menjadi gilanya. Lantas dia terus berpaling dan masuk semula ke dalam rumah. Hatinya itu tidak mampu lagi menahan serangan kata-kata Nadhif yang membuatkan jiwanya berkocak hebat.
            Nadhif hanya tersenyum sahaja menghantar pemergian Myza. Sifat malu wanita itu memang mencuri jiwanya.
***
            Sedari tadi, mata Nadhif sungguh ralit memandang wajah Myza yang baru sahaja berlalu masuk ke dalam rumah. Entah kenapa, wajah itu sesungguhnya mampu menjalarkan satu rasa aneh di dalam hatinya. Pada mulanya, memang dia sengaja mengusik! Namun dia mula berfikir yang dia perlu serius! Umurnya sudah mencapai usia tiga puluh tahun! Sampai bila lagi dia perlu main-main!
            “Oit.. Kot ya berkenan sekalipun, tak perlulah nak pandang sampai nak telan!” Tegur Azian selamba sambil mengambil tempat di sebelah Nadhif. Terasa lucu melihat perangai Nadhif tika ini. Dulu sewaktu dia cuba memperkenalkan rakannya, bukan main lagi jual mahal! Konon tak mahu fikir pasal kahwin lagi. Sekarang mulalah sesak kepala nak cari bakal isteri?
            “Aku tak lah pelahap sangat sampai nak telan. Kalau aku dapat, aku kunyah dulu perlahan-lahan. Barulah hadam.” Ujar Nadhif selamba. Azian hanya mengelengkan kepala. Tak habis lagi perangai tak semengah Nadhif itu.
            “Sarkastik betul kau punya fakta tuh!” Ujar Azian sambil mencebik. Mereka memang rapat sedari kecil lagi. Al-maklumlah, hanya dia, Hana dan Nadhif sahaja yang tinggal di sekitar Kuantan. Sepupu yang lain-lain semuanya hanya berjumpa setahun sekali sahaja. Kalau tak waktu kenduri, jumpa waktu raya!
            “Weh, kau rasa dia sesuai tak dengan aku?” Tak pasal-pasal Nadhif menyelongkar jawapan daripada Azian. Entah kenapa, hatinya sudah jatuh berkenan dengan Myza. Perwatakannya agak selamba. Memiliki senyuman yang manis untuk dipandang. Walaupun adakalanya suka menjawab dan melatah bila diusik, gadis itu tetap menarik malah sentiasa nampak menarik di hatinya.
            Dari dahulu lagi dia sudah jatuh hati apabila berjumpa dengan Myza sewaktu menghadiri perkahwinan temannya di Kuala Lumpur dahulu, tetapi belum sempat ingin ditinggalkan nombor telefon, gadis itu sudah berlalu meninggalkan dirinya. Malah mula berjalan ke arah seorang lelaki.
            Sangkanya, gadis itu sudah berpunya! Kerana itu dia terus beredar dari majlis tersebut. Namun apabila mendengar cerita Ibu yang menyatakan Myza masih lagi solo, terus semangatnya makin membara-bara untuk memiliki gadis itu. Mungkin jodoh itu memang milik mereka berdua. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ialah berusaha untuk membuatkan Myza merasakan perasaaan yang sama dengannya!
            “Hmm... dia tu macam kurang cantik je untuk kau yang handsome nih!” Bohong Azian sengaja. Sedangkan Myza dengan Nadhif memang bagai pinang dibelah dua! Merpati dua sejoli! Sangat sesuai!
            “Sekurang-kurangnya dia lebih cantik dari kau!” Jawab Nadhif selamba.
            Azian kembali melopong. Kononnya hendak mengenakan Nadhif. Tapi alih-alih dia pula yang terkena.
            “Cinta itu bukan terletak pada kecantikan... Cinta itu bukan difokuskan untuk mencari kesempurnaan. Cinta itu melibatkan hati. Kalau hati dah sayang, telinga pun boleh jadi pekak untuk mendengar komen-komen negatif dari orang lain. Mata pun jadi buta untuk memandang segala cacat cela. Hidung pun akan tersumbat dari bau-bau busuk yang menyengat. Yang penting, aku dan dia bahagia... buat apa penat-penat fikir untuk membahagiakan hati orang yang tak pernah fikirkan kebahagiaan kita?”
            Rahang Azian jatuh apabila mendengar falsafah cinta milik Nahdif. Nampaknya sepupunya ini memang sudah serius habis! ‘Alhamdulilah... Allah buka juga hatinya untuk menerima seorang wanita yang bakal menjadi suri di hatinya!’
            “Aku rasa, aku yang dah kahwin ni pun tak sejiwang kau kot!” Azian ketawa besar. Tapi sungguh dia kagum dengan Nadhif. Sungguh beruntung Myza kerana dapat memilikinya.
            “Sebab kau dah tak jiwang melalui kata-kata... kau jiwang melalui...” Ayatnya terhenti apabila Azian sudah mula menunjukkan jari terlunjuknya.
            “Jangan kau berani sambung kata-kata kau ya....” Keras amaran daripada Azian. Nadhif memang tersangat suka mengusiknya!
            Nadhif gelak besar. Suka melihat muka malu-malu daripada sepupunya itu. Bunyi suara tangis dari dalam rumah membuatkan Azian memohon diri untuk mendapatkan anaknya. Akhirnya dia kembali keseorangan di atas buaian.
            Nadhif terus mengeluarkan rokoknya dan disuakan ke mulut. Bosan pula bila duduk keseorangan di luar ini. Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam. Rata-ratanya sudah mula masuk ke dalam rumah. Asap mula berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidungnya.
            Myza yang baru menapak ke muka pintu untuk mencari Nadhif namun apabila matanya mula memandang ke arah Nadhif, dia agak terkejut apabila melihat kelibat lelaki itu yang sedang merokok. ‘Jadi mamat tu merokok? Aduh... aku memang susah nak terima lelaki yang merokok ini! Errkk.. terima? Macamlah Nadhif pernah melamar aku? Nampaknya, satu sikap negatif Nadhif sudah dikesan!’
            Perlahan-lahan dimajukan langkah ke arah Nadhif. Nadhif yang baru sahaja mengesan kelibat Myza  terus mencampak puntung rokok yang tadinya terletak cantik di celah jemarinya.
            ‘Huh, dia ingat aku tak nampak agaknya dia merokok tadi? Kalau pun mata aku buta, hati aku masih belum buta nak mentafsir lakonan matap milik kau tu Nadhiff...’ Myza mula rasa meluat. Nadhif dan lelaki itu memang tidak jauh bezanya. Pokoknya lelaki memang sama!
            “Tak payah nak sorok sangatlah! Ingat saya tak nampak ke yang dari tadi awak duk asyik merokok melayan perasaan!” Perli Myza selamba. Tangannya mula disilang ke badan. Memandang Nadhif dengan pandangan yang sedikit menjengkelkan.
            Muka Nadhif sedikit berkerut apabila menyamput kata-kata Myza yang agak sinis itu.
            “Memang saya tengah merokok pun tadi. Jadi, ada apa-apa masalah ke?” Tanya Nadhif pelik. Perasan pada air muka Myza yang agak sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Marahkah? Tapi kemarahan atas kesilapan yang mana?
            “Kalau merokok, kenapa buang bila saya datang? Tak payahlah nak control yang awak tu tak merokok! Awak tak perlu nak jadi hipokrit!” Tegas Myza sambil melarikan pandang ke arah lain.
            Nadhif tersenyum. Dia sudah dapat menangkap maksud disebalik kata-kata Myza yang berbaur sinis! Nadhif sudah turun dari buaian dan mula menyandarkan bahunya di tepi buaian besi itu.
            “Saya buang puntung rokok tadi bukan sebab saya nak control handsome depan awak! Ataupun nak pura-pura tunjuk yang saya tak merokok! Tapi saya buang sebab saya menghormati kaum perempuan yang berada berdekatan dengan saya. Saya menghormati sensitiviti mereka pada asap rokok! Saya tak akan merokok di hadapan perempuan ataupun dihadapan lelaki yang tidak merokok! Saya memang hisap rokok tapi saya tak pernah ajak orang lain untuk menghidu asap rokok saya. Jadi sebab itu saya buang...”
            Myza mula mengigit bibir apabila mendengar penerangan panjang Nadhif. ‘Itulah kau, suka sangat berfikir yang bukan-bukan! Sekarang aku jugak yang malu.’ Marah Myza kepada fikirannya sendiri.
            “Errk... tak perlulah awak terang detail macam tu? Bukan saya nak tahu pun!”
            Nadhif ketawa sahaja apabila mendengar kata-kata balas daripada Myza. “Tak apa... saya memang nak awak tahu! Kalau awak suruh saya berhenti merokok, sekarang pun saya boleh buat.” Ujar Nadhif semangat. Memang dia merokok tapi dia bukanlah perokok yang tegar. Dia merokok sekali-sekala sahaja. Merokok dikala otak kusut dan memerlukan idea baru ketika mengedit gambar atapun sedang berada di kawasan hutan belantara untuk menghalau nyamuk yang ingin mencekit darahnya.
            “Sungguh nih?” Cabar Myza dengan muka yang serius.
            “Betullah... tapi dengan syarat, awak kena jadi isteri sayalah...” 
            Myza mendengus kasar! Lelaki dihadapannya ini benar-benar suka mengusiknya.
            “Sudahlah... Orang serius dia main-main. Orang main-main dia serius!” Myza mula hendak merajuk.
            “Eh, dalam perhubungan memanglah kena macam tu. Seorang merajuk, seorang pujuk. Seorang marah, seorang lagi menenangkan.. Seorang menangis, seorang lagi akan membantu mengesat air mata! Percaturan Allah itu memang dah cantik kan? Seperti cantiknya pertemuan kedua kita nih....”
            Melopong Myza dibuatnya tika menyambut kata-kata Nadhif itu. Setiap patah kata lelaki ini sentiasa mempunyai makna yang tersembunyi. Namun adakah lelaki ini memaknakan kata-katanya itu?
            “Dan seorang oder, seorang lagi tukang beli.” Sambung Myza lamba sedikit.
            “Hah?” Kali ini giliran Nadhif pula yang berkerut seribu.
            “Hana suruh awak beli gam uhu. Nak pakai untuk buat hantaran.” Hampir-hampir sahaja dia terlupa pada pesanan Hana tadi akibat duk asyik melayan karenah Nadhif. Nadhif ini memang spesis lelaki yang mampu membuatkan fokus orang hilang!
            “Nak pergi beli malam ni ke?” Tanya Nadhif.
            “Ialah...” Myza sudah mula angkat kaki untuk meninggalkan Nadhif.
            “Awak teman boleh?” Laung Nadhif sedikit kuat.
            “Kenapa nak berteman pulak?”
            “Kalau awak ada... saya rasa selamat sikit. Ialah, kan dah malam ni...” Nadhif sudah mula buat muka takut-takut. Myza tergelak sahaja. Sabar jelah kalau melayan Nadhif ini.
            “Tunggu sini kejap!” Arah Myza lantas masuk ke dalam rumah.
            Usai pemergian Myza, Nadhif terus meloncat kegembiraan. Tadi dia sengaja menguji nasib. Tak sangka pula ayatnya mengena!
            Tiba-tiba anak-anak saudara sepupunya yang seramai empat orang itu keluar dari pintu rumah. “Eh, nak pergi mana malam-malam ni? Tak boleh main dah... Hari dah lewat malam. Sambung main esok jeh!” Halang Nadhif keras. Budak-budak kalau tak ditegah, siang malam pun mereka tak hairan.
            “Tadi auntie Myza yang suruh kita orang teman uncle Adhif pergi kedai.” Jawab salah seorang daripada mereka. Nadhif mula buat muka? Kali ini giliran dia pula yang terlopong besar.
            “Uncle Adhif kena belanja kita orang tau!” Liyana yang paling kecil mula menarik hujung bajunya. Inilah yang leceh kalau bawa budak-budak. Habis satu kedai dia nak teroka nanti. Hujung telingannya mula menangkap satu suara harlus yang sedang ketawa.
            “Oh.. awak main-mainkan saya ya?” Bibirnya diketap kuat. Geramnya dia dengan Myza!
            “Saja nak mengusik awak... Marah ke..? Tak boleh marah-marah tau.. Nanti kena jual!” Seloroh Myza sambil menyambung tawa. Nadhif mula mendekat.
            “Kalau saya yang kena jual, awak kena beli tau!” Ujar Nadhif. Kali ini dia pula yang tersengih-sengih.
            “Saya tak cukup kaya untuk beli orang tau!” Jawab Myza tidak mahu kalah.
            “Saya pun tak kaya jugak. Tapi saya kaya dengan kasih sayang tau! Lagipun, setakat hantaran awak tu.. Saya masih mampu lagi tau!”
            Myza mula menepuk dahi. Kalau macam ni, bila mau habis?
            “Baik awak pergi sebelum kedai tutup!” Arah Myza serius.
            “Saya tak takut kalau kedai tutup. Tapi saya takut kalau hati awak tertutup!”
            “Errkk..” Myza terkejut sendiri. Pandangan matanya mula menghantar pemergian Nadhif ke kereta bersama dengan anak-anak kecil itu. ‘Pintu hati? Kuatkan dibuka kembali pintu hati yang sudah lama tertutup!’
***
            Hari ini genap tiga hari dia berkampung di rumah Hana ini. Macam-macam perkara yang mereka yang sudah hampir selesai. Hantaran sudah siap digubah! Cenderamata untuk para tetamu juga sudah siap dibungkus. Pokoknya selepas ini mereka hanya perlu fokus di bahagian dapur sahaja.
            Myza mula mebantu Hana menyediakan masakan tengah hari. Saudara mara Hana memang sudah ramai yang berkampung di rumah ini. Al-maklumlah, kahwin cuti sekolah. Memang senang nak berkumpul bersama-sama.
            “Hana... nampak macam sedap gila gulai masak lemak cili api ni.” Puji Myza sambil merasa sedikit masakan milik Hana. Dan ternyata memang tidak menghampakan namun pedasnya tak usah cakaplah....
            Myza mula mengibas mulutnya sedikit. Dia memang sejenis manusia yang tak tahan pedas!
            “Pedas sangat ke Myza?” Tanya Hana risau. Faham benar dengan jiwa Myza yang tidak serasi dengan masakan pedas. Hana mula merasa gulai lemak cili api itu. Serasanya tadi, dia hanya mengisi beberapa ulas cili api sahaja. ‘Hmm, tak adalah pedas sangat pun!’
            Myza yang kepedasan mula ingin mencapai gelas minuman yang berisi air di atas meja itu namun entah macam mana, tangannya tertempuh gelas tersebut. Habis tumpah dan membasahi meja makan. Cepat-cepat Myza mencapai kain buruk di tepi dapur. Mujur tidak banyak air yang tumpah.
            “Ish... awat kalut sangat ni? Nah air...” Nadhif terus menuang air dan dihulurkan kepada Myza. Selama tiga hari perkenalan mereka, dia memang akui yang Myza memang sejenis orang yang agak kalut.
            Myza terus mencapai dan meneguk dengan rakus. ‘Gila pedas!’
            “Orang tua-tua cakap, kalau kita tertumpahkan air secara tak sengaja, alamatnya tak lama lagi orang tu akan menamatkan zaman bujangnya.” Ujar Nadhif sambil tersengih-sengih. Dia pasti yang Myza pasti akan tersedak lagi!
            Myza yang mendengar kata-kata Nadhif itu tidak lagi tersedak seperti biasa tetapi terus menyemburkan minuman yang sedang masuk ke dalam mulutnya. Habis basah wajah Nadhif. Terkulat-kulat Nadhif dibuatnya.
            “Errkk...” Myza mula rasa terkejut yang bersulamkan rasa malu. Manakala Hana ketawa besar. Mujur sahaja hanya mereka bertiga di dapur. Jika tidak pasti kecoh satu rumah!
            “Sorry-sorry...” Ucap Myza sambil mencapai kain yang sedia ada dan mula mengelap wajah Nadhif. ‘Siapa suruh cakap pasal kahwin? Kan dah tersembur..’ Perkataan yang sangat sensitif baginya.
            Nadhif jadi terharu dengan tindakan Myza namun dia mula pelik sendiri. “Awak guna kain apa ni?” Tanya Nadhif kerana hidungnya dapat menyengat bau yang kurang enak.
            “Alamak, kain buruk!” Terus terlepas kain itu dari pegangan Myza. Terkejut punya pasal, terus dia mencapai kain itu tanpa sempat memastikan sama ada kain itu bersih ataupun kotor.
            Hana ketawa besar apabila melihat adengan mereka berdua itu. Kalaulah ada jodoh antara mereka, dialah orang yang paling merestuinya.
            “Tulah Adhif... suka sangat mengusik Myza. Tak pasal-pasal kena sembur free je. Siap dapat hadiah iringan pulak tuh...” Nadhif menjeling sedikit ke arah Hana. ‘Orang baru nak bermanja... Kacau daun betul minah ni!’
            “Entah... Siapa suruh kacau saya. Kan dah kena!” Kali ini giliran Myza pula yang berbunyi.
            Nadhif hanya tersenyum sahaja. Itulah, niat tak baik tadi sebab kononnya nak bagi Myza tersedak. Alih-alih dia pula yang terkena. Tapi dia langsung tidak kisah! Malah situasi ini akan menjadi kenangan yang tak akan dia lupakan.
            “Hana, dah siap dah masak? Kalau dah siap, boleh hidang makanan sekarang.” Perbualan mereka terganggu apabila Puan Zubaidah muncul secara tiba-tiba.
            “Dah siap dah mak.. Memang nak hidang pun ni.. Boleh panggil dia orang makan dah.” Hana terus mencapai beberapa buah pinggan di dalam almari yang disediakan. Puan Zubaidah mengangguk-nganguk kepalanya sedikit. Berpuas hati dengan kecekapan anaknya berada di dapur.
            “Yang kamu ni kenapa? Basah muka-muka tu?” Pertanyaan Puan Zubaidah itu membuatkan Nadhif tersenyum sedikit dan menjeling Myza dengan ekor matanya. Hana dan Myza sudah mula berpandangan.
            “Tadi Nadhif basuh muka... Panas sangat!” Tipu Nadhif sambil mengenyitkan mata kepada Myza yang agak menggelabah itu.
            “Hah, molek sangatlah tu basuh muka siang-siang hari! Kalau berpanau nanti, tak ada orang nak ke kamu tu!” Tegur Puan Zubaidah yang mula menapak ke tangga rumah.
            “Tak apa... Myza kan ada untuk kahwin dengan saya.” Hana sudah tergelak apabila mendengar jawapan Nadhif. Muka Myza pula sudah  mula diserang kemerahan. Nadhif ini, tidak kira depan siapa, pasti dia akan buat perangai tak tahu malu itu.
            “Jangan usik sangat hati anak dara orang kalau betul-betul tak mahu menikah dengan dia.” Tegur Puan Zubaidah serius. Kadang-kadang dia pelik, perangai kuat mengusik Nadhif itu makin menjadi-jadi apabila bersama dengan Myza.
            “Oh... kalau memang nak ambil sebagai isteri, kira boleh usiklah eh?”  Tanya Nadhif sambil buat muka tak tahu malu. Myza yang kegeraman terus mengambil semula kain buruk tadi dan dibaling ke arah Nadhif! ‘Geramnya dengan Sarip Dol nihhh!!!’
            Semua yang melihat, terus ketawa. Termasuklah orang yang dibaling dengan kain buruk itu.
***
            “Aku tengok Nadhif tu macam syok sangat dengan kau!” Hana mula melahirkan pandangannya terhadap Nadhif. Entah kenapa, dia memang terlalu merasakan yang Myza dan Nadhif mempunyai kimia yang kuat!
            “Dia usik jeh...” Cantas Myza sambil mula memeluk bantal peluk. Ketika ini, mereka sama-sama sedang menanti rasa mengantuk yang  masih belum menjengukkan diri sedangkan tenaga  mereka sudah kehabisan bateri. Mereka memerlukan rehat yang cukup kerana kerja-kerja yang masih belum berkesudahan perlu diselesaikan pada hari esok.
            “Tapi pernah tak kau nampak dia usik orang lain?” Tanya Hana sambil berpaling memandang Myza yang sedang berbaring di sebelahnya.
            Myza mula terfikir-fikir apabila peluput telingannya menyambut kata-kata huluran Hana itu. ‘Aah kan? Aku tak pernah nampak dia usik orang lain secara berlebihan. Kalau dia usik pun, dia mengusik ibu dan mak cik-mak cik yang lain. Kalau anak dara, aku seorang je yang dia usik!’
            “Huaaggghhh.... mengantuk dah. Bye dan selamat malam! Mimpi dah suruh aku check in!” Myza Sudah mula buat gaya menguap dan mula membelakangi sahabatnya itu. Kata-kata Hana berjaya membuatkan otaknya menggelak gulai yang sedang berada di atas dapur.
            “Usah dikenang pada kisah yang lepas Myza... Kau kena beri ruang dan peluang kepada orang lain!” Untuk julung kalinya, Hana menasihati sahabatnya dengan kata-kata yang sama seperti yang lepas-lepas. Namun apabila tidak mendapat sebarang balasan daripada Myza, dia mula mengintai wajah Myza.
            “Kau ni dah tidur ke atau pura-pura tidur?” Tanya Hana sambil menepuk sedikit bahu Myza. ‘Kalau asyik nak lari jeh, macam mana nak settle jalan cerita? Aduh... Myza Myza... Kalut sungguh bab perasaan nih!’
            Myza yang masih mendengar tetap membatukan diri. Biarlah Hana menganggapnya sudah tidur. Entahlah, dia masih belum kuat sepenuhnya untuk membiacarakan soal hati.
Akhirnya, Hana kembali berbaring dan mula memejamkan matanya. Dalam hatinya dia berharap agar sepupunya itu mampu mengubati kelukaan milik sahabatnya dan dirinya akan membantu apa sahaja untuk menjayakan hubungan Nadhif dan Myza.
            Kata-kata Hana sebentar tadi membuatkan Myza terfikirkan Nadhif. Ya, lelaki itu memang punya gaya yang tersendiri dalam mengusik hatinya. Kata-kata dan perlakuan yang spontan membuatkan lelaki itu senang mendapat tempat di hatinya. Tempat yang selama ini pernah menjadi milik seseorang tetapi telah berjaya dimusnahkan dan diletupkan. Berjayakan kawasan hati yang rentung itu kembali terhias seperti satu masa dulu?
            Myza mula memejamkan matanya. Entah kenapa, peristiwa makan siang tadi mengamit ingatannya.
            “Kenapa tak makan lagi ni?” Bisik Nadhif perlahan sambil menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Kebetulan lelaki itu duduk di sebelahnya ketika makan tengah hari.
            Myza bukan tidak berselera. Tetapi dia jadi takut hendak makan. Semua lauk kelihatan pedas sahaja. Dia memang spesis manusia yang langsung tak kuat pedas!
            “Lauk udang masak merah tu pedas tak?” Tanya Myza dengan suara yang perlahan. Menghormati ahli keluarga yang sedang turut makan di sambil bersila itu. Kebetulan pula Hana duduk agak jauh daripadanya. Ini semua Nadhif punya pasal! Sesuka hatinya sahaja mengambil tempat Hana yang telah disediakan oleh Myza.
            “Pedas jugak... Kenapa awak nak ke?” Tanya Nadhif sambil sudah berkira-kira untuk mencedokkan lauk itu ke pinggan Myza.
            “Eh, kalau pedas tak mahulah. Saya nak makan ayam goreng kunyit jeh.” Tolak Myza perlahan. Dia mula menceduk ayam goreng kunyit itu ke dalam pinggannya. Ini sahaja lauk yang tidak pedas walaupun sebenarnya dia kurang mengemarinya.
            Sedang elok Myza menguyah nasi, tiba-tiba Nadhif meletakkan beberapa ekor undang masak merah yang sudah hilang warna merahnya. Malah kulit udang juga sudah dikupasnya. Rupa-rupanya, Nadhif mengambil udang tersebut dan digaulkan ke nasinya. Biar udang tersebut hilang pedasnya.
            “Awak boleh makan udang tu... dah tak pedas dah!” Tutur Nadhif sambil tersenyum sedikit.
            Sungguh, hati Myza dipagut rasa terharu. “Terima kasih. Buat susah-susah je.” Ucap Myza ikhlas.
            “Tak pernah wujud perkataan susah apabila ianya melibatkan orang yang kita sayang.” Sambil membalas kata, dia menghulurkan gelas minuman.
            Mata Myza sudah mula terbeliak besar.
            “Erkkk.. Tolong... tolong jangan tersedak atau tersembur lagi!” Usik Nadhif selamba sambil ketawa kecil. Ketawanya mampu mengundang rasa aneh ahli keluarga yang melihat. Myza hanya tersenyum sahaja membalas pandangan mata mereka. Malu tersangat amat!
            Kemudian ditalakan pandangan ke arah Nadhif. ‘Hampeh!’ Tanpa suara, kata-kata itu hanya bermain di hujung mulutnya. Biar Nadhif seorang sahaja yang tahu.
            Myza mula tidak dapat melelapkan mata. Ingatanya umpama bangau yang sudah diserang angau! ‘Argghh.... nak mimpi Nadhif boleh tak?’ Pohon hatinya nakal. Bibirnya kembali menguntumkan senyum. Dipujuk mata untuk terpejam supaya mimpi indah dapat menghadirkan diri.
***
            “Awak cari apa Adhif?” Tanya Myza aneh apabila dia menangkap susuk tubuh Nadhif yang terbongkok-bongkok sambil tangannya mengusik barang-barang di ruangan tamu. Seperti sedang mencari barang.
            “Handhphone saya hilang? Entah kemana perginya... Tadi budak-budak tu main game! Aishh...” Nadhif sudah mula mengaru kepalanya berulang kali. Rambut yang sudah sedia kemas itu mula menjadi kusut masai.
            “Biar saya tolong buat miscall.. Bagi tahu nombor?” Myza terpanggil untuk membantu. Kasihan pula melihat Nadhif yang sibuk mencari itu.
            Myza mula mendail nombor yang dsebut oleh Nadhif. Tidak lama selepas itu, deringan telefon sudah mula kedengaran. Namun Myza menjadi aneh apabila melihat Nadhif mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluarnya.
            “Alamak, macam mana boleh tak perasan yang handphone ada dekat dalam poket ni?” Nadhif mula berlakon seperti tidak perasan pada kehadiran telefon bimbitnya itu. Bibirnya sudah merekah dengan senyuman. Senang hati plus suka hati kerana dapat memperolehi nombor telefon Myza.
            Myza mula melopong.
            “Thanks Myza... Saya dah save nombor awak! Malam karang, kita keep in touch tau!” Dengan selambanya Nadhif berlalu untuk meninggalkan Myza sendirian. Memang dia sengaja mencipta lakonan ini. Dia mahukan nombor telefon milik Myza. Mungkin dia boleh meminta daripada Hana, namun dia mahu Myza mengetahui keikhlasan hatinya dalam memulakan perhubungan ini.
            “Awak main-mainkan saya ya?” Myza mula menyedari akan kebodohan sendiri.
            “Ish... jangan pernah rasa yang awak sedang dipermainkan sayang...” Sungguh, berterabur bulu roma milik Myza mendengar ayat manis Nadhif yang boleh mengalahkan air gula itu.
            “Habis tu, kalau bukan dipermainkan, nak rasa apa lagi?”
            “Hmm.. rasalah seperti sedang dipikat! Lagipun memang saya dalam proses nak mengurat awak pun kan....”
            Myza mula menepuk dahi. Tidak mampu lagi meneruskan kata. Nadhif memang gila!
***
            Bunyi tefon yang berbunyi itu Myza capai dengan mata yang sudah tertutup. Jam sudahpun menunjukkan pukul 12 tengah malam. Tenaganya memang sudah kehabisan bateri. Myza mula membuka mesej yang berada di inbox.
            Testing... testing!
            Berkerut dahi Myza membaca mesej pelik itu. Terus diletak kembali telefon itu di meja sisi. Malas hendak melayan. Baru sahaja dipejamkan matanya, telefon bimbitnya berbunyi lagi.
            Janganlah tidur dulu... saya tak mengantuk lagi nih!
            Myza mula mengarukan kepalanya yang tidak gatal. Sungguh dia mula rasa hendak marah bila tidurnya telah diganggu dengan mesej daripada nombor yang tidak dikenalinya itu. Sementara dia berfikir sama ada hendak membalas mesej itu atau tidak, satu mesej baru mula diterima lagi.
            Okay... awak lulus ujian dengan cemerlang!
            Sekali lagi dahi Myza berkedut seribu. “Jembalang mana pulak yang meroyan malam-malam buta nih!” Rungut Myza geram. Tak ada notis, tak ada exam, tiba-tiba sahaja lulus ujian. Baru sahaja Myza berkira-kira untuk membalas, telefon itu sudah mula berdering. Melihat nombor yang sedari tadi mengacaunya itu naik, terus dia menekan butang ok.
            “Hello... siapa ni?” Itulah soalan pertama yang keluar dari mulutnya.
            “Ish.. kenapa awak angkat?” Tanya si pemanggil. Ternyata suaranya adalah milik seorang lelaki.
            “Apa yang awak harap bila telefon orang selain untuk diangkat?” Marah Myza dengan suara yang agak dikawal. Bimbang mengganggu tidur Hana yang sedang nyenyak di sebelahnya.
            “Myza, bateri awak tak habis lagi ke? Garang tu tetap tak hilang!” Usik Nadhif sambil ketawa besar.
            “Adhif? Awak ke tu? Cina beng betul!” Myza mula mengutuk diri sendiri. Kenapa dia tidak boleh mengagak dari tadi lagi.
            “Apa maksud mesej-mesej awak tadi?” Tanya Myza setelah tiada tanda-tanda yang Nadhif akan berhenti ketawa.
            “Hehe.. saya nak testing sama ada bakal isteri saya ni seorang yang melayan nombor yang tak dikenali awak tidak? Itu jeh...” Myza tersenyum sedikit. Jadi, dia telah lulus ujian itu.
            “Mana awak tahu saya tak melayan? Entah-entah saya tak ada kredit ke? Ataupun saya dah tidur ke?” Duga Myza.
            “Hmm... saya tahu awak belum tidur. Sebab awak memikirkan saya.. awak rindukan saya...” Kenyataan lelaki ini memang berjaya membuatkan orang yang mendengar itu muntah!
            “Adhif, saya betul-betul dah mengantuk sekarang!” Pohon Myza serius. Sudah malas hendak memanjangkan perbualan.
            “Okay-okay... pergilah tidur. Tapi sebelum tidur tu, bagilah dulu pasword pada saya.” Pinta Nadhif perlahan.
            “Pasword? Pasword apa?”
            “Pasword nak masuk dalam mimpi awak tulah!”
            Myza mendengus geram! Lelaki ini tak pernah serius!
            “Adhif, fikiran awak ni memang sentiasa bengkang-bengkok!” Simpul Myza sendiri.
            “Sebab tu saya perlukan awak untuk luruskan pemikiran saya.” Masih sempat memberikan jawapan.
“Sudahlah.. saya nak tidur ni.. pasword nak masuk mimpi saya ialah, saya bencikan awak! Sila tepuk bantal sambil cakap masa sebelum tidur ya!” Sempat lagi Myza melayan perangai tidak semengah milik Nadhif itu.
            “Oh... bukan saya cintakan awak ke?” Serta merta Myza terbangun dari pembaringan apabila mendengar tiga perkataan yang sangat bermakna itu.
            “Adhifffff!!!” Nada suara Myza ditekankan sedikit. Sekarang, mata Myza terbeliak besar. Hilang terus rasa mengantuknya.
            “Yalah... yalah... jumpa dalam mimpi ya sayang!” Terus talian diputuskan oleh Nadhif.
            Pukul satu, pukul dua, dan pukul tiga pagi. Myza masih belum dapat melelapkan matanya. ‘Cina beng punya Nadhif! Dia bukan buat mimpi aku berterabur tetapi dia buat aku langsung tak boleh bermimpi!’
***
            Petang-petang seperti ini, tidak banyak perkara yang boleh Myza lakukan. Banyak kerja sudah pun diselesaikan sebelum waktu makan tengah hari tadi.
            “Panas kan?” Tegur Nadhif sambil mengibaskan kolar bajunya sedikit.
            “Panas dunia jeh..” Nadhif hanya tersengih-sengih sahaja menyambut kata-kata Myza itu.
            “Kenapa muka nampak macam tak bermaya je ni? Tak cukup tidur ke?” Tanya Nadhif prihatin. Sungguh, Myza rasa hendak sepak sahaja Nadhif di saat ini. Boleh pula dia tanya soalan tamadun mesir purba ini!
“Aah.. ada jembalang tanah mengacau semalam! Habis rosak mimpi.” Perli Myza sengaja. Nadhif hanya ketawa sahaja. Mamat ini memang kaya dengan ketawa.
“Jembalang tanah? Sekacak-kacak dia awak boleh panggil jembalang? Awak tahu tak yang jembalang tu pulak mimpikan bidadari lagi... siap naik atas pelamin lagi. Syookkk....”
Myza tak tahu hendak memberi respon bagaimana lagi jika berhadapan dengan Nadhif. Lelaki ini tidak pernah ketandusan idea untuk mengusik hati dan perasaannya.
“Okay-okay.... hati yang tengah panas, kita kena sejukkan... Jom kita perkena air kelapa nak?” Nadhif mula menghentikan usikannya apabila melihat wajah Myza sudah berubah corak. Sesungguhnya, kalau nak mengurat, kenalah ada taktik yang betul! Perancangan rapi haruslah ada. Barulah tembakan mengena!
“Air kelapa? Nak beli kat mana?” Tanya Myza sedikit teruja. Seronok juga kalau dapat minum air kelapa waktu petang-petang ini.
“Ish.. apa beli pulak. Tak herolah kalau pergi beli. Ni, biar saya hadiahkan untuk awak!” Ujar Nadhif bangga siap menepuk dada miliknya.
“Errkk... awak nak panjat pokok kelapa ke?” Tanya Myza sedikit melopong dalam teruja.
“Eh, tak lah panjat.. Kait dengan galah jeh!”
“Ceh!” Kalau dengar dari gaya bercakap, bukan main hebat lagi. Mati-mati Myza ingat yang Nadhif akan memanjat pokok kelapa. 
“Saya tak boleh panjat.. sebab saya tahu nanti awak risaukan saya! Saya tak suka nak risaukan orang yang sayang saya...”Ujar Nadhif sambil berlalu meninggalkan Myza tercengang sendiri. Nadhif ini memang spesis yang banyak tak malu dari rasa malu!
***
Myza duduk jauh daripada keriuhan sanak saudara yang sedang riuh rendah sambil melihat pelamin di pasang di ruang tamu. Myza melontarkan pandangan kosong ke arah pelamin.
“Awat tenung pelamin tu macam nak roboh?” Tegur Nadhif sambil bersandar di dinding. Bersebelahan dengan Myza.
“Mungkin hati awak pernah musnah! Tapi pelamin awak tak musnah lagi Myza.” Ujar Nadhif lagi apabila tidak mendapat sebarang respon daripada Myza.
“Kalau tak tahu, jangan bercakap macam awak tahu Adhif!” Tegur Myza sambil menjatuhkan silang tangan yang sedari tadi memeluk tubuhnya sendiri. Geram dengan perangai serba tahu milik Nadhif itu.
“Sejujurnya saya tahu... saya tahu apa yang pernah terjadi dahulu!” Akui Nadhif tenang. Sebenarnya memang dia sudah mengetahui cerita lama itu. Dia tahu semua itu daripada cerita Hana. Menurut Hana, satu ketika dahulu, Myza memang pernah bercinta dengan rakan kampus mereka. Hampir tiga tahun mereka barmadu kasih. Namun sebuah undangan perkahwinan merungkai semuanya.
Ketika menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya, Myza terkaku sendiri apabila melihat teman lelakinya sedang tersenyum kacak di atas pelamin yang tersergam indah. Punah segala janji yang dimeterai tiga tahun lamanya. Sejak itu, Myza sudah serik untuk ke kenduri. Baginya, setiap kenduri kahwin akan mengimbaukan kenangan perit di hatinya. Gadis itu mengalami trauma yang teruk! Itulah kata Hana!
“Saya rasa, tak ada orang perlu tahu kisah tragis itu!” Ungkap Myza sambil berpaling ke arah lain. Kadang-kadang geram dengan sikap Hana yang sesedap rasa membocorkan rahsianya yang selama ini kemas tersimpan.
“Myza.... awak tak boleh selamanya berlari di tempat yang salah berulang kali! Semua tu hanya akan memenatkan awak! Jangan biarkan kebahagian awak dirosakkan dengan tangan sendiri.” Nasihat Nadhif lembut.
“Hati yang terluka ni diibaratkan seperti wajah yang ditumbuhi jerawat. Masa mungkin akan menghilangkan jerawat namun parutnya tetap tak hilang...Walaupun parut itu kecil, kecacatannya tetap akan ada. Pakai produk terbaik dunia pun belum mampu menghilangkan parut tu!” Tak pasal-pasal Myza mengeluarkan falsampah kelukaannya.
Nadhif senyap sahaja. Kali ini, dia ingin mendengar keluh resah milik Myza.
“Trauma tu hanya saya seorang yang rasa! Setiap kali saya pergi kenduri, saya tak boleh pandang pelamin! Saya mesti akan nampak dia! Dia sedang tersenyum mengejek pada saya. Saya tak pasti apa salah saya sampai dia buat macam tu. Saya rasa, setiap kenduri yang saya hadir, ianya seolah-olah mengejek diri saya. Saya tahu saya tak sempurna. Tapi mereka yang sempurna itu tetap tak layak nak lanyak saya sesuka hati mereka!” Myza sudah mula diserang emosi. Bibirnya bergetar menahan amarah yang terbit.
“Awak masih sayangkan dia?” Tanya Nadhif tiba-tiba. Suaranya kali ini serius sahaja. Tiada nada main-main seperti kebiasaannya.
Myza diam.
“Orang diam biasanya setuju!” Teka Nadhif sendiri.
“Saya tak cakap saya sayang dia cuma saya tak mampu nak membenci dia!” Jawab Myza berserta keluhan kecil. Entah kenapa, Nadhif seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan milik Myza itu.
Nadhif dan Myza saling berpandangan seketika.
“Uncle Adhif....” Panggilan Amylia yang merupakan anak Izyan itu membuatkan keduanya berpaling. Kanak-kanak kecil itu mengheret gitar bersamanya.
“Iya..”
“Tolong nyanyi lagu macam hari tu.” Pinta si kecil yang berusia lima tahun itu. Gitar kapak yang diseret tadi terus dihulurkan kepada Nadhif. Tidak lama kemudian, kawasan yang mereka duduki mula dibanjiri dengan sanak saudara yang lain apabila Amylia menjerit memanggil mereka untuk mendengar sekali. Hana pun ikut turut sama.
“Nak nyanyi lagu apa?” Tanya Hana teruja. Ingin sahaja Myza keluar dari kawasan semak ini. Namun mana mungkin kerana laluan untuk ke bilik sudah disekat oleh  ahli keluarga Hana.
“Yuna cakap, cinta dia terukir di bintang! Tapi saya rasa, cinta saya terukir di kenduri kahwin.” Semua yang mendengar hanya ketawa. Ada yang faham. Ada yang buat-buat faham dan ada yang buat-buat tak faham!
Sungguh, Myza sendiri tidak tahu dimana hendak menyembunyikan diri apabila mendengar ayat Nadhif itu.

Jika engkau minta intan permata
Tak mungkin ku mampu
Tapi sayangkan ku capai bintang
Dari langit untukmu

Jika engkau minta satu dunia
Akan aku coba
Ku hanya mampu jadi milikmu
Pastikan kau bahagia

Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan kamu

Sayangku jangan kau persoalkan
Siapa dihatiku
Terukir di bintang
Tak mungkin hilang cintaku padamu

Tepukan gemuruh dari sanak saudara yang lain tidak mampu menghilangkan gemuruh di hati Myza. Entah kenapa, pintu hatinya seakan-akan diketuk beberapa kali tapi mampukah tangannya membuka pintu hati miliknya sendiri?
***
Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba, dengan satu lafaz sahaja, Adila Hana binti Norman selamat diijabkabulkan bersama Mohd Fitri Amri. Menitis air mata Hana saat si suami melafazkan akad nikah. Suasana syahdu mula menyelubungi diri. Myza mula ke belakang sedikit. Memberi ruang kepada ahli keluarga Hana yang lain untuk berkongsi kegembiraan ini bersama-sama.
            Klik!
            Myza mula menoleh ke arah Nadhif yang tak henti-henti mengambil gambar. Kalau gambar Hana dan suaminya tak apa juga! Tapi ini mengambil gambar dirinya secara curi.
            “Comel...” Puji Nadhif sambil matanya melihat gambar di skrin DSLR.
            “Tak baik ambil gambar orang tanpa kebenaran!” Perli Myza berbisik sedikit. Yang paling menyakitkan hati Myza ialah, mamat selamba itu boleh gelak sahaja.
            “Ish.. pergilah ambil gambar Hana tuh...” Arah Myza lagi.
            “Saya tak ambil gambar orang!” Kata-kata Nadhif itu membuatkan Myza melopong.
            “Habis tu, awak nak cakap yang saya ni binatang ke?” Myza sudah mula menutup lancer kamera DSLR Nadhif.
            “Saya tak cakap pun awak binatang.. awak bukan manusia di mata saya sebab bagi awak adalah bidadari.. Bidadari di hati saya!” Kata-kata itu memang ikhlas keluar dari lubuk hatinya.
            “Saya bukan bidadari.. Tak cantik mana pun! Kenapa awak tetap suka tangkap gambar saya? Saya bukannya pengantin?” Sungguh, Myza sudah tidak larat untuk memarahi Nadhif. Perangai suka mengusiknya itu membuatkan dia kalah!
            “Memanglah awak bukan pengantin sekarang... Tapi awak bakal pengantin perempuan saya!” Kali ini, Myza tersentak lagi.
            “Jangan sering bermain dengan perasaan Adhif!” Tidakkah Nadhif tahu bahawa jantungnya sudah tidak berdegup seperti kebiasaannya lagi. Hatinya entah hilang ke mana. Perasaannya melayang dilempar ke udara. Sasau dan angau sahaja!
            “Saya tak bermain dengan perasaan Myza.. tapi saya sedang meluahkan perasaan dan awak sedang menidakkan perasaan awak!” Kali ini Nadhif mula bersuara secara serius. Susah betul hendak mencuri hati Myza ini! Liat dan keras umpama kematu.
            Baru sahaja Myza hendak membalas balik namun mereka agak terhimpit dengan keadaan kawasan ruang tamu yang agak sesak itu. Sesak nafas dibuatnya! Nadhif yang sedar yang mereka makin terhimpit ke dinding, terus menarik tangan Myza untuk keluar ke bahagian luar rumah. Terus dia berlalu ke arah buaian yang memang sudah tersedia di tepi rumah. Di sinilah tempat mereka sering melepak!
“Ish, apa main pegang-pegang nih... tak belajar agama ke? Kita ni bukan muhrim!” Hilang terus ideanya untuk membalas kata-kata Nadhif tadi. Dia sebenarnya agak tersentak apabila Nadhif menarik lengannya. Walaupun Nadhif menarik lengannya yang beralaskan baju kurung itu, Myza tetap tidak berkenan. Walaupun berlapik, itu bukan syarat untuk lelaki dan perempuan bersentuhan.
            “Eh, kalau macam tu, kita kena cepat-cepat jadi muhrim nih!” Tutur Nadhif selamba.
            “Hah!” Myza buat muka terkejut. Nadhif ini memang suka bagi ayat yang boleh orang mintak nyawa banyak-banyak!
            “Aish, boleh tak jangan buat muka terkejut macam ni.. Sebab setiap kali awak buat muka macam tuh, jiwa saya jadi luruh tau!” Myza mula menepuk dahi apabila mendengar ayat Nadhif. Lelaki ini memang kuat mengusik!
            “Awak ni macam negara oversea pulak yang ada empat musim. Kejam musim bunga, kejap musim sejuk, kejap musim panas dan sekarang musim luruh pulak!”
            “Hah, itulah specialnya saya... Awak tahu, lelaki ada empat musim yang berwarna warni tapi perempuan ada satu musim jeh...” Nada suara Nadhif sedikit berjeda. Matanya tertacap pada kamera DSLR kesayangannya itu. Bibirnya menguntumkan senyuman apabila melihat wajah candid Myza yang sangat comel.
            “Errk... satu musim? Musim apa?”
            “Musim tengkujuh!”
            “Kenapa tengkujuh?”
            “Ialah, perempuan ada musim tengkujuh je, musim dia marah-marah sebab datang bulan!” Sejurus selepas itu, Nadhif ketawa lepas. Sungguh, Myza rasa seperti hendak sepak sahaja lelaki di sebelahnya itu.
            “Bukan semua perempuan akan marah-marah bila datang bulan!” Jawab Myza perlahan sambil memandang ke arah lain. Segan jika membicarakan isu sensitif kaum perempuan ini. Tapi dia perlu memperbetulkan kenyataan Nadhif itu.
            “Ya... saya tahu! Contoh terdekat ialah perempuan sebelah saya nih!” Sembilan puluh darjah Myza berpaling ke arah Nadhif.
            “Errk... mana awak tahu?” Myza tersangat pelik dengan Nadhif ini. Semua benda pun dia tahu! Spesis lelaki yang terlalu memahami perempuan!
            “Yalah.. sekarang awak tak boleh sembahyang kan.. tapi awak tak marah-marah pun! Inilah yang menguatkan lagi kata hati saya untuk jadikan awak muhrim saya!” Nadhif memandang Myza tulus. Berharap agar kata-katanya menyerap jauh ke dalam hati Myza.
            Sekali lagi Myza terkedu! ‘Hal datang bulan pun mamat ni tahu jugak? Aduh..’
            “Errkk... mana awak... tahu?” Dia kembali mengulang soalan yang sama tapi untuk menagih jawapan yang berbeza.
            “Saya tahu sebab saya yang tolong belikan ehem-ehem untuk awak pagi tadi! Hana yang mintak tolong dari saya sebab kebetulan stok dia dah habis.”  Muka Myza sudah mula merah. Malunya hanya Allah yang tahu. Selama ini kalau dia datang bulan sekalipun, tak akan ada lelaki yang tahu! Muaz pun tak pernah tahu. Punyalah tak suka nak berkongsi isu sensitif! Tapi alih-alih, mamat disebelahnya pula yang tahu. Siap tolong beli lagi dan Nadhif masih boleh buat muka selamba?
            “Errk... saya nak pergi dapur kejaplah.” Myza benar-benar rasa hendak menyorok sekarang jugak. ‘Hana pun satu hal... Agak-agaklah sikit kalau nak suruh Nadhif pun. Tak payahlah cakap nak beli untuk aku!’
            “Awak tak payah nak malu sangatlah... Cepat atau lambat, perkara ni tetap kena kongsi dengan saya kan! Tapi serius, itulah kali pertama saya beli benda alah tuh. Sungguh tak sangka yang saya beli benda tu untuk bakal isteri saya. Hmm, awak tak rasa ke yang saya ni sangat sweet?” Bisik Nadhif lembut.
            Lelaki ini kalau bercakap, lembut gigi dari lidah! Sesungguhnya mampu membuatkan jiwa Myza bertaburan!
            “So sweetttttt....” Ujar Myza berjeda sambil buat muka comel.
            Klik!
            Sekali lagi Nadhif menangkap gambarnya secara curi.
            “Eh, Syarip Dol betulah awak ni.. Saya marah pun, awak tetap nak buat kan?” Marah Myza bengang. Entah berapa banyak gambar candid yang dicuri oleh Nadhif.
            “Eh, boleh tak jangan panggil saya dengan nama tuh?” Myza tergelak apabila melihat wajah marah Nadhif yang sengaja dibuat-buat!
            “Suka hati sayalah nak panggil apa pun....” Jawab Myza berani.
            “Okay fine... Awak boleh panggil apa sahaja sebelum kita kahwin, tapi bila dah kahwin nanti, saya nak awak panggil saya... Ayang! Hah, panggil Ayang tau dan saya akan panggil awak Honey..”
            Untuk yang kesekian kalinya, Myza kembali menepuk dahi! Lelaki ini sungguh tak beragak!
            “Tinggi betul angan-angan... Saya nak tengok sejauh mana awak mampu berangan!”
            “Ini bukan angan-anganlah.. tapi ini cita-cita yang bersulamkan cinta! Sudahlah, jangan nak sangkal lagi apa yang awak rasa sebab makin awak sangkal, yang terluka adalah diri awak sendiri!” Kata-kata Nadhif itu membuatkan Myza terpukul sendiri.
            “Macam dulu... awak berusaha agar tak terluka kan, tapi akhirnya awak terluka juga dan yang parahnya luka itu masih belum sembuh... Awak kena tahu, kalau Allah selitkan kelukaan pada awak, maknya Allah nak hadiahkan seseorang yang akan mengubati luka awak!” Sambung Nadhif lagi.
            Myza hanya mampu diam.. diam dan diam...
"Ubat bagi penyakit cinta yang pertama adalah cinta yang kedua... Benci kepada cinta tak akan membuatkan awak bahagia Myza... malah akan membuatkan awak lagi penat dan trauma. Jadi, izinkan saya menjadi cinta kedua awak!" Pujuk Nadhif tenang. Nyawa Myza bagai ditarik apabila mendengar kata-kata Nadhif itu. Pertama kali mendengar ayat serius milik Nadhif.
Myza mengeluh sedikit. "Memang saya penat Adhif... Saya penat nak kenang perkara yang lepas.. Semua ni telah buat saya trauma! Tapi maaf, saya tak boleh nak terima cinta kedua dari awak..." Ucap Myza perlahan. ‘Errkk,, betul ke kata-kata aku tadi?’ Entah kenapa, Myza seolah-olah diserang penyesalan yang bukan sedikit. Tapi apa nak dihairankan, dia sendiri tidak dapat mengenal pasti tahap keseriushan milik Nadhif.
            “Wah, kat sini rupanya korang bercengkerama di bawah lampu kalimantang! Jomlah bergambar... Mana tahu kalau dapat badi pengantin nih!” Panggil Izyan sambil terjerit sedikit.
            “Awak pergilah... Saya tak suka bergambar.” Tutur Nadhif sambil terus membelek DSLR miliknya. Langsung tidak memandang ke arah Myza. Sebenarnya dia mahu Myza berfikir. Mereka punya dua hari lagi sebelum Myza balik ke Kuala Lumpur. Mungkin selepas ini, mereka tidak akan berjumpa lagi jika Myza masih belum memberikan kata putus!
            Lambat-lambat Myza berjalan. Entah kenapa, dia bimbang jika Nadhif berjauh hati dengannya. ‘Kenapa aku perlu bimbang?’ Sekali dia menoleh ke arah Nadhif.
***
Penat sungguh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengapit ini. Kena duduk di pelamin sambil mengipas pengantin. Kelakuan juga harus dijaga. Sungguh, kalau bukan mengenangkan yang Hana adalah sahabat baiknya, jangan harap dia akan melakukannya.
Klik!
Cahaya Flash itu membuatkan Myza berpaling. Memandang ke arah Nadhif yang asyik menangkap gambarnya itu. ‘Ish Sarip Dol ni, gambar aku jugak yang dia tangkap!’ Myza ingin menegur tapi muka Nadhif hari ini tersangatlah serius. Langsung tidak tersenyum.
Ketika pengantin menjamu selera, Myza mula mengambil kesempatan untuk mencari Nadhif. Namun matanya mula menangkap susuk tubuh Nadhif yang sedang ketawa sakan bersama seorang wanita. ‘Patutlah tak layan aku... Dan jumpa minah baru! Kalau dah lelaki tu, lelaki jugaklah!’ Myza mendengus geram. Terus dia berpaling namun nasibnya tidak baik kerana dia tertempuh seorang lelaki. Habis basah bajunya kerana tertempuh tangan lelaki itu yang sedang memegang cawan minuman.
“Sorry...sorry..” Ucap lelaki itu.
“Tak apa...” Jawab Myza sambil mengibas-ngibas bajunya itu. ‘Aduh... semuanya jadi jahanam!’
“Tis....” Panggilan itu membuatkan Myza terpaku. Setahunya, hanya ada seorang sahaja yang memanggil nama itu. Perlahan-lahan Myza mula mengangkat muka.
“Fahmi....” Akhirnya terkeluar juga nama yang sudah lama terpenjara di mulutnya. Sungguh, setelah empat tahun berlalu, dia langsung tidak menyangka yang mereka akan bertemu di kenduri kahwin Hana ini. Adakah Hana ada menjemput Fahmi? Kalau ada, kenapa tidak diberitahu kepadanya?
“Lama tak jumpa kan?” Tanya Fahmi ramah.
Myza mengelengkan kepalanya sedikit. Tidak faham dengan perangai Fahmi! ‘Muka tembok mana yang Fahmi ni pakai? Langsung tak ada rasa malu sedikit pun? Setelah apa yang telah dia lakukan dahulu, tak kan langsung tak rasa serba salah pada aku?’
Myza ingat lagi, setelah peristiwa dia melihat Fahmi bersanding di atas pelamin, Myza terus melarikan diri dari lelaki itu walaupun Fahmi cuba memberikan  penjelasan.
“Awak makin cantik sekarang.” Puji Fahmi sambil tersengih-sengih.
“Awak pulak makin boroi sekarang?” Kutuk Myza dengan muka yang sinis.
Mati terus senyuman Fahmi tika ini.
“Myza, apa yang berlaku antara kita dulu adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya memang tak boleh bersama! Saya tak punya kudrat untuk meluahkan kata-kata perpisahan itu. Maafkan saya...” Tutur Fahmi perlahan.
Kali ini jelas yang menunjukkan hati Fahmi memang umpama bangkai segar. Lebih busuk dari bau longkang. “Konon tak ada kudrat! Boleh blah lah... cakap jelah kalau nak putus! Kau ingat aku akan mati ke kalau kau tak ada?” Marah Myza tak tertahan lagi. Kerana lelaki inilah dia trauma untuk menghadiri majlis perkahwinan.
 Sungguh, kalau dia tak ada Iman, pasti dia akan sepak Fahmi sekarang juga
“Saya betul-betul minta maaf Myza... Saya tahu saya salah!” Pohon Fahmi lagi.
Tiba-tiba Myza terpandangkan susuk tubuh seseorang di belakang Fahmi. Serta merta Myza tersenyum manis. Terus Myza melangkah mendekat.
“Baru sampai ke?” Tegur Myza ramah dengan suara yang agak lembut. Tangannya mula mengengam pergelangan tangan lelaki itu.
“Aah...” Muaz agak terpinga-pinga sedikit melihat reaksi adiknya itu. Tapi apabila melihat riak wajah Myza yang sengaja diceriakan itu, Muaz mula memahaminya. Apatah lagi setelah melihat lelaki yang berada disamping adiknya itu.
“Jom.. Ayang teman abang pergi makan ya.” Ditarik lengan abangnya supaya mengikuti jejaknya. Muaz yang agak terpana pada mulanya, hanya menurut. ‘Oh... rupanya Myza pun ada rahsia jugak!’
Sengaja Myza hendak berlakon. Dan dengan sengaja dia meninggalkan Fahmi sendiri.
“Siapa tu?” Tanya Muaz setelah mereka mula beratur ingin mengambil makanan.
“Kawan lama jeh! Errkk.. mak mana?” Tanya Myza sambil menilaukan pandangan. Sepatutnya Muaz dan emak sampai pagi tadi. Namun kerana Muaz sibuk dengan kerjanya, terpaksalah mereka bertolak tengah hari sedikit. Muaz kalau bab kerja, sanggup ketepikan cinta. Kalau macam ni gaya abangnya, memang confirm jadi bujang terlajak!
“Mak masuk jumpa mak Hana kot.. Weh, betul ke tu kawan je?” Muaz sudah mula buat muka nakal. Lengannya mula ditenggekkan di atas bahu Myza. Myza mula buat muka menyampah.
“Kawan jelah mangkuk!” Marah Myza lagi. Tidak suka bila diusik sebegitu. Muaz memang pantang dapat peluang! Memang malu jika abangnya itu mengetahui kisah silamnya. Namun dia memang mahu menunjuk-nunjuk dihadapan Fahmi. Bahawa sememangnya dia pun bahagia walau tanpa lelaki itu.
“Alololo... sweetnya bila dia malu.” Dicubit pipi adiknya itu sekuat mungkin. Terus ditepis oleh Myza hinggakan terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang beratur menanti giliran mengambil makanan.
“Eh.. sorry..sorry... Akak tak sengaja.” Pohon Myza serba salah. Namun entah kenapa, dia mula terperasan yang dirinya sedang diperhatikan. Apabila dia mengangkat wajah, kelihatannya Nadhif sedang memandangnnya dengan riak wajah yang sangat serius. Terus lelaki itu berlalu meninggalkan dirinya.
‘Errk... dia nampak ke aku beramah mesra dengan Muaz tadi? Hmm... baguslah kalau dia nampak! Biar padan dengan muka dia! Tadi syok sangat menggedik dengan perempuan lain kan?’ Bisik hati Myza sambil mula buat tak tahu. Sungguh, dia memang cemburu bila Nadhif melayan perempuan lain.
***
“Myza, kau dah makan dah?” Tanya Hana ketika kami bertembung di tengah rumah.
“Dah.. Aku makan dengan Muaz!”
“Errkk... Nadhif?”
“Mana aku tahu! Aku bukannya isteri dia yang nak tahu segala bagai pasal dia!” Hana mula merasa pelik apabila mendengar ayat yang keluar dari mulut Myza itu. Lain macam sahaja bunyinya. Ada rajuk yang tersembunyi.
“Aik.. dua tiga hari ni aku tengok macam belangkas! Kalah aku yang pengantin ni.. Tapi tak kan hari ni dah bercerai pulak kot?” Sakat Hana sengaja.
“Hana... kau nak suruh laki kau jadi duda ke? Baik kau jaga sikit kata-kata kau tuh!” Marah Myza serius. Memang ada orang yang mintak kena bunuh nih...
“Nadhif tak makan dari pagi lagi... tadi dia cakap nak makan dengan kau. Pergilah teman dia makan. Kesian dia!” Hana mula buat ayat kasihan.
“Lah, tadi bukan main lagi melayan perempuan lain. Suruhlah perempuan lain tu teman dia makan.” Tanpa sedar, dia mula memperlihatkan rasa cemburunya dihadapan Hana.
“Oh... ada orang cemburulah ni?” Hana melagakan bahunya di bahu Myza. Seronok melihat hubungan Myza dan Nadhif yang menjadi.
“Kak Hana.... Mia nak tangkap gambar dengan kak Hana..” Belum sempat Myza hendak memberi serangan balas, terdengar suara seorang gadis yang datang dari arah dapur. Terus Myza berpaling. Muka yang sedia keruh itu mula makin kelat apabila melihat gadis yang menegur Hana itu. Gadis inilah yang seronok ketawa bersama Nadhif tadi.
“Boleh... jomlah kita ke depan.” Ajak Hana sambil mula menarik tangan anak jirannya itu.
“Eh, akak ni kak Myza ke?” Mia yang sudah mula berjalan mula berundur semula.
“Aah.. kenapa?” Tanya Myza pelik.
“Oh... inilah awek abang Adhif ya.. Uish... tak sia-sia lambat kahwin kalau dapat bakal isteri yang cantik macam akak nih! Hmm, tak sabar nak tunggu kenduri abang dengan kakak pulak!” Ujar Mia penuh teruja.
Muka Myza seperti sudah dipanah halilintar. ‘Errkk.. jadi apa yang aku sangka tadi salah lah ya? Itulah, tak tahu jalan cerita, terus buat kesimpulan sendiri.. Aduh... kesian Adhif.. Dia tak makan lagi!’ Tanpa berlengah lagi, terus Myza bergegas ke kanopi yang terletak di hadapan rumah. Fokusnya adalah untuk mencari kelibat Nadhif Syarif!
Kelihatannya Nadhif sedang membelek DSLR miliknya di meja makan. Mujur sahaja dia duduk seorang sahaja di situ. Tanpa berlengah lagi, terus Myza mengambil beberapa jenis makanan dan ditelakkan di dalam pinggan. Tekadnya sekarang ialah untuk memujuk Nadhif. Pasti lelaki itu merajuk dengannya. Apatah lagi apabila melihat sketsa dirinya bersama Muaz tadi.
“Dah petang sangat ni.. Awak kena makan.” Teguran itu membuatkan Nadhif mengangkat wajahnya. Namun dia mula kembali membelek gambar-gambar Myza yang berada di dalam simpanan DSLR miliknya. Sungguh, jiwanya membara apabila melihat Myza sedang beramah mesra bersama seorang lelaki. Dahulu ketika bersama dengannya, bukan main garang lagi!
“Adhif, awak dengar tak saya cakap ni?” Myza mula rasa malu apabila kelibatnya seperti tidak diendahkan oleh Nadhif.
“Kalau saya tak makan pun, yang lapar tu saya! Bukan awak. Kalau saya mati kebulur pun, apa awak kisah kan?” Kali ini giliran Nadhif pula yang hendak marah.
Myza mula terkebil-kebil kerana dimarahi sebegitu rupa. Tanpa sedar, dia mula tersedu sendiri. Air mata yang merebes cepat-cepat diseka. Nadhif yang mula sedar akan sikapnya yang agak keterlaluan itu tadi mula kaget. Apatah lagi setelah melihat air mata Myza itu.
“Kalau tak nak makan sudah!” Myza sudah mula hendak berlalu namun dihalang oleh suara Nadhif.
“Kalau nak saya makan, awak kena duduk sebelah saya.” Nadhif menarik sedikit kerusi di sebelahnya itu. Sebenarnya dia diserang rasa aneh? Kenapa Myza menangis?
Myza mula mengigit bibir. Berfikir sama ada ingin duduk ataupun berlalu pergi. Sebenarnya dia merasa sungguh malu kerana menangis tanpa sebab yang kukuh. Namun entah kenapa, perkataan mati yang keluar dari mulut Nadhif itu meruntun jiwa perempuannya. Perlahan-lahan, dia duduk juga di sebelah Nadhif. Dia sedar yang jika dia terus menerus melarikan diri, kisah kasih ini pasti tidak akan mempunyai penyudah yang baik.
“Air mata dengan perempuan ini memang tak boleh dipisahkan. Dia orang menangis macam bukak pili paip! Pulas je, air terus keluar. Ish Ish Ish.. Dasyat betul!” Komen Nadhif sambil mula menyuapkan nasi ke dalam mulut. Cuba mengusik dalam memujuk.
“Itu perempuan lain... Perempuan kat sebelah awak ni jiwa dia mcam simen.. Walau dicalarkan berulang kali, walau disimbah air berulang kali, dia tetap kekal keras dan tidak berjaya digoyahkan.” Jawab Myza selamba. Buat-buat tak faham sedangkan dia tahu yang Nadhif sedang memerli dirinya.
“Dah tu, yang menangis tadi sebab apa?” Tanya Nadhif sambil tersengih-sengih.
“Dah kena marah... Memanglah kena nangis.” Sedikit pun Myza tidak memandang Nadhif. Malu woo...
“Memanglah marah.. Dia suka-suka je bergurau dengan orang lain!”
“Itu abang sayalah...” Jawab Myza terus. Sudah malas mencipta sengketa.
Jawapan itu terus membuatkan Nadhif tersedak. Dengan pantas Myza menghulurkan air buat lelaki itu. Namun senyuman manis tidak lekang dari wajah Myza. Teringat ketika dua pertemuan mereka sebelum ini yang dimulakan kerana tersedak!
“Aishh.. kenapa gelojoh sangat ni?” Myza mula berpura-pura marah.
“Jadi betul lah ni?” Tanya Nadhif dengan nafas yang sedikit tercungap-cungap.
“Apa yang betul?”
“Betul lah yang awak sukakan saya?”  Belum sempat Myza hendak menjawab, ada satu suara mula menyampuk perbualan mereka.
“Hah, jadi betullah yang kau nak kahwin ya Myza?” Terus Nadhif dan Myza berpaling ke arah suara itu.
“Angah...” Nama itu terpancul keluar dari mulut Myza. Sungguh, dia merasa sangat malu. Muaz memandang sambil mengangkatkan sedikit keningnya. Myza mula mengigit bibir. Abangnya itu memang tak pernah melepaskan peluang mengusiknya!
“Jap... aku nak panggil mak..” Ujar Muaz berkobar-kobar dan terus berlari masuk ke dalam rumah.
Baru sahaja Myza ingin bangun untuk menahan, suara Nadhif mula membuatkan dia terduduk semula.
“Betul ke awak tak boleh terima saya sebagai cinta kedua?” Tanya Nadhif dengan muka, suara dan perlakuan yang sangat serius.
“Betul....” Jawapan Myza itu membuatkan Nadhif mula menunduk memandang nasinya. Myza pula sudah tersenyum-senyum.
“Sebab saya nak terima awak sebagai cinta saya yang terakhir... Kalau awak jadi cinta kedua, saya takut nanti saya terjumpa cinta yang ketiga!” Myza sudah mula hendak ketawa apabila menyambut riak wajah Nadhif yang keruh itu.  Sekali sekala, seronok juga kalau dirinya pula yang mengusik.
“Oh... kena kan saya ya?” Muka Nadhif sudah mula bersinar kembali. Kalau tadi, hendak gugur jantungnya. Mujur sahaja Myza hanya mengusik.
“Saya belajar dari awaklah...” Myza mula mengambil kamera DSLR milik Nadhif dan dibelek gambar-gambar dirinya yang bersepah di dalam kamera itu.
“Myza...” Panggil Nadhif lagi. Sekilas Myza berpaling.
“Saya tahu kita kenal baru enam hari.. Tapi saya rasa saya dah kenal sangat perangai awak! Mungkin kisah cinta kita ni macam dalam cerpen yang Sara Sassy Gurlz selalu tulis tuh... Tapi sungguh, saya percaya yang Allah menemukan kita kerana Allah ingin menjodohkan kita! Pertemuan ini telah diatur kemas sejak di Loh Mahfuz lagi. Dan saya berharap yang kisah ini tak berakhir di sini..” Ucap Nadhif serius.
“Errk.. kejap! Awak kenal dengan Sara Sassy Gurlz tu?” Tanya Myza tiba-tiba.
“Kenal lah.. dia tu kan penulis yang selalu hantar cerpen dalam penulisan2u tuh.. dia tu penulis kesukaan saya tau!” Penerangan Nadhif itu membuatkan Nadhif tercengang.
 “Lah, dia pun penulis kesukaan saya jugak!” Sekejap sahaja mereka kembali menemui persamaan antara mereka. Akhirnya mereka bertukar senyum dan tawa.
“Lepas ni, ada kenduri kahwin lagi lah ya?” Tiba-tiba suara emak mencelah perbualan kami. Sekali lagi Myza dan Nadhif berpaling. Puan Maznah sudah tersengih-sengih di sisi Muaz.
“Errkk... Myza, saya pergi basuh tangan dulu ya! Kalau lambat basuh nanti, takut mak mertua tak sayang pulak.” Pinta Nadhif sambil tersenyum-senyum. Puan Maznah dan Muaz tergelak sahaja manakala muka Myza mula kebas diserang malu. Nadhif ini memang selamba bergurau dengan emaknya.
***
4 bulan kemudian...
            “Cantiknya adik aku....” Puji Muaz sungguh-sungguh. Inilah kali pertama dia melihat Myza secantik ini. Selalunya, Myza pasti akan kelihatan comot tanpa solekkan di wajahnya. Dia masuk ke dalam bilik ini untuk memberitahu sebuah berita buruk.
            “Terima kerana menyedari tentang hakikat kecantikan adik kau nih! Kepada abang yang tak handsome lagi tak laku, sila tukar baju sekarang! Tak kan nak pakai t-shirt ni waktu akad nikah aku nanti.” Ujar Myza tak puas hati. Matanya mendarat ke badan Muaz yang hanya memakai sehelai t-shirt lusuh. Pasti lelaki ini penat membantu untuk menjayakan majlis perkahwinannya ini.
            “Alah, bukan aku pun yang nak menikah pun!” Sela Muaz spontan walaupun otaknya agak kusut tika ini.
            “Err....” Myza mula rasa tidak enak bila abang ngahnya itu berjalan ke hulur dan ke hilir. Seolah-olah perasaan abangnya itu seperti tidak tenteram. Malah bibirnya seperti hendak mengungkapkan sebuah cerita, namun cerita itu tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
            “Kenapa ni?”
            “Aku susah hati nak cakap dengan kau ni..” Muaz mula mengarukan kepalanya. Wajahnya mula menampilkan riak kerisauan. Muaz mula melabuhkan duduk di birai katil. Berdekatan dengan tempat di mana adiknya duduk.
            Wajah Myza mula pucat. Hatinya tiba-tiba diserang rasa takut melihat wajah serius abangnya itu. Myza mula menelan air liur yang seperti tersekat di kerongkong!
            “Errrkkk.. ada kena-mengena dengan Adhif ke?” Tanya Myza sambil menggongcang sedikit badan abangnya itu.
            Muaz diam sahaja. Tidak memberi sebarang reaksi.
            “Memang ada kena mengena pun!” Jawab Muaz lambat-lambat.
            Myza mengeleng-gelengkan kepalanya. Air mata sudah mula mencurah-curah di birai pipi. Sungguh, dia langsung tidak pernah membayangkan yang akan ada sesuatu yang buruk akan menimpa Nadhif. Setelah cinta sudah dianyam, kenapa derita yang harus bertanding?
            “Errrkk... kenapa Myza menangis pulak?” Tanya Muaz pelik. Aduh, gawat rasanya apabila melihat air mata yang merebes di pipi Myza. Habis rosak semua solekkannya. Hilang terus kecantikkan yang sedari tadi habis dipuji.
            “Adhif...” Suara Myza mula tersekat-sekat. Esakannya sudah mula berlagu pilu. Melopong Muaz mendengar kata-kata Myza.
            “Ish... apa yang Myza merepek ni?” Belum sempat dia menerang dengan lebih a lanjut, pintu bilik Myza mula terkuak dari arah luar. Emak mula menjerit kecil. Kasihan melihat anaknya yang sedang menangis kepiluan itu. Tangisan Myza makin menjadi-jadi apabila wajah suram emaknya itu.
            “Myza dah tahu?” Tanya Puan Maznah kepada Muaz. Belum sempat Muaz menjawab, Puan Maznah sudah mula menghampiri anak perempuannya itu.
            “Sabarlah Myza... benda dah nak jadi!”
            “Macam mana Myza nak terima semua ni mak... Myza sayangkan Adhif... Myza nak kahwin dengan dia! Macam mana boleh jadi macam ni? Kenapa Adhif tinggalkan Myza sewaktu hari kebahagiaan kami?” Kali ini giliran Puan Maznah pula yang melopong apabila mendengar rengekan daripada anaknya itu.
            “Eh Muaz, apa yang kau beritahu adik kau ni?” Tanya Puan Maznah kuat.
            “Errkkk.. Muaz tak sempat nak beritahu apa-apa pun!”
            Puan Maznah mula beristifar panjang. Sorang bagi signal kanan, sorang lagi masuk simpang kiri. Hah, memang molek sangatlah tuh!
            “Errk,,, Adhif tak meninggal ke?” Tanya Myza seperti orang bodoh.
            “Aduh... Muaz ni tak boleh menolong langsung! Lain yang mak suruh cakap, lain pulak yang kau bagi adik kau faham!” Puan Maznah menjeling sedikit ke arah anak keduanya itu.
            “Kenapa ni mak?” Gesa Myza lagi. Kalau benar Nadhif tidak apa-apa, kenapa muka Muaz dan Puan Maznah kusut masai. Kenapa tidak ceria di hari pernikahannya ini.
            “Hmm... masalahnya sekarang, tak ada orang datang rumah kenduri rumah kita ni..” Luah Puan Maznah sedih.
            “Hah, tak kan tak ada orang?” Adakah ini yang dikatakan hukum karma? ‘Apa yang aku pernah buat dekat orang, orang balas balik dekat aku!’
            “Ada tu memanglah ada... tapi tak ramai. Boleh bilang dengan jari je.” Terang Muaz sedikit.
            Tiba-tiba pintu bilik dirempuh dari luar. Terpancul wajah Nadhif yang agak kusut itu. Hilang seri pengantin di wajahnya.
            “Ini semua awak punya pasal Myza... Sebab awak, tak ada orang yang sudi datang ke majlis perkahwinan saya... semua ni sebab awak! Kerana kesalahan awak, saya yang perlu menanggung semua ini sama! Mana saya nak letak muka dengan ahli keluarga yang lain bila tak ada orang datang kenduri kahwin saya ini? ” Jerit Nadhif kuat.
            “Adhif...” Myza sudah mula mendekat. Tidak pernah-pernah dia melihat Nadhif marah-marah seperti ini.
            “Saya minta maaf....” Pohon Myza sayu.
            “Tak ada maknanya maaf awak ni pada saya.... Semua ni memang salah awak! Salah awak!” Jerit Nadhif kuat. Myza hanya terjelepuk di hujung katil dengan deraian air mata yang tidak-tidak sudah mengalir.
            “Myza... Myza...” Panggil Puan Maznah kuat. Hatinya mula dipagut rasa risau. Lantas dia berlalu ke bilik air dan terus dicedokkan air ke dalam cebok. Usai itu, terus dia mencurahkan air di atas muka Myza.
            “Arrrgghhhh.....” Jerit Myza kuat. Sembilan puluh darjah Myza bangun dari pembaringan.
            “Hah, bangun pun.” Puan Maznah sudah mula bercekak pinggang. Kepalanya digeleng laju,
            “Mak, Tsunami mak... Tsunami kenduri!” Terang Myza sedikit tercungap-cungap.
            “Lah, kau mengigau Tsunami ke? Eh, kau tahu tak yang kau mengingau. Sampai dekat bilik mak dengar kau meracau-racau.” Terang Puan Maznah sedikit. Sudahlah dia penat menguruskan hal kenduri kahwin Myza nanti, anaknya itu pula boleh menganggu tidurnya.
            “Kenapa basah? Tak kan tsunami sampai kat atas katil kot?” Pertanyaan itu Myza hulurkan buat emaknya.
            “Mak simbah kamu tadi. Puas mak kejut, kamu tak sedar-sedar jugak! Dahlah, pergi sambung tidur. Mak pun nak tidur ni. Jangan kacau mak lagi!” Marah Puan Maznah sambil  mula berlalukan langkah ke bilik air.
            Myza mula meraut wajahnya yang basah itu. Mujur sahaja tilamnya hanya basah sedikit sahaja. Tanpa berlengah, terus Myza mencapai telefon bimbitnya. Dia ingin menelefon Nadhif sekarang juga. Sungguh perasaannya tidak enak setelah menghadiri mimpi ngerinya tadi. Langsung tidak peduli pada jam dinding yang sudah mencapai angka tiga pagi.
            Tidak sampai seminit, suara orang lemau mula menampar peluput telinganya.
            “Adhif....” Panggil Myza manja. Sungguh, fikirannya walang dan langsung tidak tenang. Mimpi tadi benar-benar mengingatkan dirinya tetang hukum karma.
            “Hmm...” Jawab Nadhif perlahan. Rasanya, dia baru sahaja membayar harga tiket untuk masuk ke dalam mimpi.
            “Saya mimpi ngeri...” Luah Myza penuh rasa takut.
            “Wah, awak dah bermimpi.. Saya baru nak check in..” Gurau Nadhif dengan mata yang sudah tertutup. Sesungguhnya, dia memang sangat penat!
            “Saya mimpi yang  tak ada orang datang kenduri kahwin kita...” Myza terus menceritakan mimpi ngeri yang merisaukannya itu.
“Serius?” Tanya Nadhif.
            “Seriuslah nih...”
            “Hah, okaylah tuh... Tak payah susah-susah nak masak banyak-banyak..”  Dalam melayan rasa mengantuk pun, Nadhif masih sempat mengusik Myza.
            “Adhif, saya serius nih! Awak ni kan... dah lah, bye!” Myza sudah berura-ura hendak merajuk. Malah sudah mula berkira-kira untuk menamatkan perbualan telefon.
            “Myza...” Panggilan Nadhif itu membuatkan Myza membatalkan niatnya.
            “Saya tak peduli orang datang ke tak.. Yang penting, pengantin perempuan saya ada esok! Dan pengantin perempuan saya itu ialah awak Myza. Walau apapun yang bakal berlaku esok, perkahwinan ini tetap akan diteruskan juga.” Pujuk Nadhif dengan mata yang masih terpejam. Dia kenal dengan perangai Myza yang mudah untuk susah hati.
            “Betul ni?”
            “Betul Honey... Jangan biarkan mimpi merosakkan kisah kasih kita. Honey.., saya nak tidur ni... saya perlukan rehat yang cukup sebab esok saya nak lafazkan akad nikah! Mental dan emosi yang kena kuat. Awak mesti tak nak saya lafaz akad nikah banyak kali kan?” Pertanyaan Nadhif itu bersulamkan ugutan sedikit.
            “Okay.. take care ya..” Tutur Myza sebagai menutup bicara.
            “Honey....” Panggil Nadhif cepat-cepat.
            “Ya...”
            “Awak tak perlu risaukan tentang kedatangan orang ke kenduri kita esok.. Tapi awak perlu sediakan diri untuk menyambut kedatangan saya malam esok!” Myza sudah mula mengigit bibir. Nadhif ini walau dalam keadaan mengantuk sekalipun, pasti akan punya idea untuk mengusiknya.
            “Dah lah... pergi tidur!” Marah Myza geram. Namun sedikit sebanyak, ketakutannya untuk menghadapi hari esok beransur hilang. Nadhif memang pandai menggaul rasa hatinya.
            “Awak pun kena tidur dan rehat Honey... Malam esok banyak nak guna tenaga!”  Entah kenapa, makin galak pula Nadhif mengusik Myza.
            “Adhif....!” Jerit Myza kuat. Tanpa berlengah lagi, terus Myza mematikan perbualan. Selagi talian masih bersambung, selagi itulah Nadhif akan mempunyai idea nakal untuk mengusiknya.
            Wahai malam... cepatlah berlalu. Kerana hati ini tidak mampu lagi menanggung debaran untuk menanti hari esok. Hari esok akan menjadi sejarah dalam kehidupannya. Hari esok akan bermulalah tanggungjawabnya sebagai pelengkap tulang rusuk Nadhif. Menjadi seorang isteri yang akan menuntut tanggungjawab yang bukan sedikit.
***
            “Hmm.... sedapnya bau... Honey masak apa tu?” Tanya Nadhif apabila kakinya mula melangkah ke bahagian dapur.
            “Honey masak lauk udang masak merah kesukaan ayang!” Dengan penuh semangat, Myza menunjukkan lauk kegemaran Nadhif yang ingin dihidangkan di atas meja.
            “Hmm... bau macam sedap tapi rasa tak tahulah...” Usik Nadhif sambil tergelak-gelak. Faham benar dengan perangai isterinya yang tidak berapa cekap dalam bab masakan ini. Namun dia tidaklah terlalu kisah. Asalkan isterinya itu sentiasa mencuba untuk memperbaiki. Itu semua pun sudah mencukupi bagi dirinya. Lantaran kerana dia pun bukanlah seorang suami yang sempurna.
            “Ayang ni.... Sengaja nak mematahkan semangat Honey.” Myza sudah mula hendak mencebik. Mahu merajuk!
            “Ish... mana ada patahkan semangat. Alololo... tak mahu merajuk tau!” Dicuit sedikit hidung isterinya itu. Setelah hampir tiga bulan berkongsi segalanya, ternyata pilihannya itu memang tidak salah. Myza memang gadis biasa yang penuh cacat celanya. Namun kecacatannya ditampal dengan rasa ingin memperbaiki dari masa ke semasa. Itu yang meruntun jiwa seorang lelaki.
            “Mana ada merajuk. Buat penat je kalau merajuk. Lagipun kalau Honey terluka, pandai-pandailah Honey taruk ubat sendiri.. Sebab honey seorang je yang tahu jumlah kuantiti ubat yang diperlukan untuk tahap kelukaan Honey tu. Bimbang kalau orang lain ubatkan, terlebih dos karang boleh bawak mati!”
            Nadhif ketawa sahaja menyambut huluran ayat sakarstik milik isterinya.  Macam-macam idea betul!
            “Aish... Ayang boleh je pujuk... Tapi kena tunggu malamlah. Sebab kalau siang ni skill tak menjadi sangat!” Membuntang mata Myza mendengar kata-kata suaminya yang bersulamkan tawa itu.
            Terus dicubit lengan Nadhif. Geram sungguh!
            “Main-main je ayang nih!” Nadhif hanya tergelak sahaja. Lengannya ini sudah biasa mendapat cubitan dari isterinya. Itulah bahana kalau kuat mengusik!
            “Hah, cepatlah hidang.. Ayang dah lapar sangat nih!” Nadhif sudah mula duduk di meja makan. Sengaja dia memperlihatkan rasa terujanya. Supaya isterinya tidak patah semangat untuk mencuba yang lebih baik untuk masakan yang akan datang.
            “Okay... Honey pergi ambik nasi ya..” Kaki Myza mula menapak ke ricecooker yang berada di hujung meja kabinet.
Baru sahaja Myza membuka tudung periuk nasi, dia mula menjerit kecil. “Alamak!” Rambut yang berjuntai di dahi itu Myza selit kembali di celah telinga..
            “Kenapa?” Nadhif juga ikut turut terbangun dari duduknya. Kaget melihat isterinya itu yang agak kelam kabut.
            “Errr.... Honey lupa nak tekan suiz nasilah Ayang...” Myza mula tayang sebaris giginya yang putih bersih.
            “Aduhai.... Apalah yang Honey duk kalut sangat tadi? Sampai terlupa nak tekan suiz nih?”
            “Abang tunggu kejap je... Biar Honey masak nasi semula.” Myza sudah mula hendak ke singki. Hendak membuang sedikit air yang berada di dalam periuk nasi itu. Bimbang nasi yang ditanak akan menjadi lembik.
            “Ish... lauk udang tu kita makan malam karanglah. Sekarang kita pergi kenduri kahwin anak mak cik Melur yang duduk lorong belakang tu.” Arah Nadhif sambil menyimpan lauk undang masak merah itu.
            “Alahai... kenduri kahwin lagi..?”
            “Ya Honey... kenduri kahwin lagi.. Haish, dah kahwin pun trauma lagi ke?” Dipaut pinggang isterinya itu.
            “Hah, memang trauma pun... Trauma dengan orang sebelah nih!” Usik Myza sambil mencubit pipi suaminya itu.
“Ayang pun trauma jugak! Trauma nak makan masakan Hoeny. Takut check in tandas lagi.” Balas Nadhif tidak mahu kalah. Myza tidak larat lagi hendak melayan usikan Nadhif itu.
“Kita kena selalu pergi kenduri. Sebab melalui kenduri kahwinlah kita dapat berjumpa. Di kenduri kahwin inilah kita dapat bertemu jodoh! Kalau ayang pergi kenduri, mesti ayang teringatkan saat manis kita bersama tau! Tapi kalau Honey nak pergi kenduri, kena pergi dengan ayang tau! Sebab ayang takut jugak kalau-kalau ada orang mengurat isteri ayang yang comel lote nih!”
Dicubit kedua belah pipi isterinya itu. Sungguh dia teramat bahagia. Akhirnya Myza hanya mampu tersenyum sahaja. Membenarkan rasa bahagia menyelimuti kasih mereka.   
            Jangan gelojoh soal cinta.. Walau lambat ia tetap ada.. Sungguh, susunan ALLAH itu indah. DIA mencipta pertemuan, melangkah ke alam perkenalan dan disulami dengan perkahwinan.
Fokus mencari pasangan itu bukan untuk mendambakan kesempurnaan pasangan tetapi lebih kepada ingin menampal kelemahan diri sendiri. Sebab, kalau kita berada dalam kalangan orang yang sempurna, kita akan terdorong untuk kelihatan lebih cacat.

p/s::: pengajaran dalam cerita ini ialah, sesuatu yang kita tak suka, adakalanya menghadiahkan yang terbaik untuk kita... wajib untuk kita menghadiri majlis perkahwinan apabila sudah dijemput. Kalau tak mahu datang, perlulah meminta maaf kepada orang yang memberikan undangan itu... kalau orang dah jemput tuh, pergi jelah... dapat makan free.. tak payah susah-susah nak memasak.. hehe.. enjoy reading.. maaf atas segala kelemahan... akan cuba ditampal pada karya yang akan datang.. =)