Wednesday 1 August 2012

DI SUDUT KAMAR HATIKU [16]


            Afrina terduduk tatkala di bangku kerusi apabila Hajah Khadijah mula meninggalkan mereka. Sebuah keluhan dilepaskan. Berat! Ya, itulah kesimpulan yang dia rasakan tika ini. Nafasnya terasa seperti disekat. Tidak mampu lagi hendak menghirup anugerah Allah ini dengan tenang.
            Matanya mula melirik ke arah Mirza yang sedang mendukung Hadziq itu. Dia tidak tahu perkara apa yang merasuk Mirza dari melakukan perkara seperti tadi. Tapi apa yang pasti, sikap Mirza tadi benar-benar telah menyusahkan dirinya.
            Perlahan-lahan Mirza melepaskan Hadziq yang merontan untuk diturunkan. Hadziq terus berlari keanakan menuju ke taman permainan. Seronok apabila dapat menjejakkan kaki ke tanah. Langsung tidak mempedulilah ibunya. Sememangnya inilah kali pertama dia bertembung mata dengan Hadziq. Nyata, Hadziq mengikut alis mata milik Afrina. Mata yang mampu membebankan perasaannya.
            Mirza mula mengambil tempat di sebelah Afrina. Dia tahu, Afrina pasti akan menyemburnya dengan kemarahan yang tidak bertepi. Dia dapat merasakan bahang kepanasannya. Tapi jujur, dia memang ikhlas untuk memperisterikan  Afrina. Sedari dulu, hanya Afrina yang layak untuk menjadi pemaisuri di hatinya.
            “Kenapa Mirz? Kenapa awak buat macam ni? Awak sedar tak yang awak dah menyusahkan saya?” Ditahan sedikit kemarahannya agak tidak menjatuhkan maruah Mirza. Lagipula mereka sedang berada di kawasan awam. Dia masih waras untuk memperlakukan Mirza sedemikian rupa.
            “Saya nak ringankan penderitaan awak Afrin.. Sebab tu saya ajak awak kahwin... Saya betul-betul ikhlas.” Jelas Mirza lembut.
            “Jangan sebut perkataan ikhlas kalau awak sendiri tak memaknakan rasa ikhlas tu Mirz... Tolong... Tolonglah pergi dari hidup saya... Tolonglah...” Rayu Afrina dengan linangan air mata. Ayat yang bagaimana yang perlu dia taburkan untuk memahamkan Mirza tika ini? Dia tak perlukan simpati dari Mirza.. Dia masih boleh menguruskan kehidupannya seperti sedia kala.
            “Maaf... Saya tak boleh nak akur pada permintaan awak kali ni...” Tegas Mirza sambil memandang ke depan. Dia akan mempertahankan hasrat hatinya untuk memiliki Afrina. Dia akan membahagiakan Afrina. Dia tak minta untuk mengantikan Haraz, cukuplah kalau dia diterima oleh Afrina. Cinta itu boleh ditolak ke tepi. Yang penting sekarang adalah tanggungjawab. Rasa tanggungjawab untuk membela kehidupan Afrina.
            “Kenapa?”
            Mirza mula memandang ke sisinya. Merenung alis mata bundar milik Afrina yang berkaca. “Sebab dulu saya pernah melepaskan awak pergi Afrin... Sebab dulu saya tahu yang ada seseorang yang mampu membahagiankan awak melebihi dari kemampuan saya. Tapi sekarang, awak dah tak ada sesiapa.... Jadi saya akan berada di sisi awak sebagai seorang suami. Sebab tu saya nak kita kahwin...”
            “Saya tak perlukan simpati awak Mirz... Saya tak perlukan simpati dari sesiapa pun!” Bentak Afrina sambil merapatkan giginya. Menahan rasa sakit yang menjalar di hati. Kenapa semua orang fikir yang dia tidak mampu untuk berdikari? Apa mereka ingat, dirinya terlalu lemah sehingga semua benda yang hendak dilakukan, memerlukan teman!
            “Siapa yang simpati pada awak sekarang?” Mirza mula menduga. Hingga terangkat kening lelaki itu sedikit.
            “Awaklah....”
            “Saya tak pernah simpati pada awak Afrin. Sikit pun tak...” Jelas Mirza tanpa teragak. Memang hakikatnya, tak pernah ada simpati walau sebesar hama sekalipun untuk Afrina.
            Afrina mula terpana apabila mendengar jawapan sinis Mirza itu. Habis tu, jika tidak ada simpati, kenapa harus menyibukkan diri dalam kehidupannya? Kenapa tidak dibiarkan sahaja dia belajar berdikari sendiri? Atau sememangnya Mirza berbahagia melihat kehidupannya yang kucar kacir ini? Mungkin doa lelaki itu sudah dimakbulkan Allah. Akhirnya, Mirza dapat melihat kesengsaraan dirinya kerana meninggalkan dia satu ketika dahulu.
            “Habis tu tak perlu nak sibukkan diri dengan dunia saya... Awak pergi hidup dalam dunia awak sendiri.. Dunia tanpa kehadiran saya...”  
            Mirza tersengih sedikit mendengar suara Afrina yang kedengaran lirih itu. Sekali dengar, jawapan Afrina seakan-akan ingin menunjukkan rasa rajuknya. Argghh... Wanita ini memang kuat merajuk pun! Merajuk yang terlalu sukar untuk dipujuk! Tapi kenapa hati lelakinya ini tidak pernah puas untuk memujuk?
            Mirza mula memalingkan badannya mengadap bahagian sisi tubuh Afrina. Melihat badan itu terhenjut-henjut menangis, mahu sahaja dia menarik Afirna ke dalam pelukannya. Biar Afrina melepaskan semua kegelisahan di bahunya. Biarlah dadanya menampung air mata Afrina yang berjurai layu itu. Namun masih ada batasan yang memagari hubungan mereka. Dan dia sebagai lelaki waras tidak harus membelakangkan batasan itu hanya semata-mata ingin mengkut kata hati dan rasa cinta.
            “Apa makna dunia saya tanpa kehadiran awak Afrin... Awaklah dunia saya yang sebenar..” Perlahan sahaja suara Mirza. Namun volumenya sudah mampu memagut deria dengar milik Afrina. Afrina mula berpaling memandang wajah Mirza. Memandang tanpa kata.
            “Dari dulu hanya awak dunia saya Afrin... Saya tak pernah menyintai orang lain selain dari awak... Saya sentiasa ajar diri saya untuk melupakan awak.. Tapi itulah satu pelajaran yang sering membuat saya bodoh Afrin.. Sebab saya tak akan pernah pandai untuk melupakan awak. Empat tahun yang cukup menyeksakan Afrin.. Empat tahun tanpa awak yang terlalu memeritkan. Orang cakap, kalau kita benarkan kebahagian orang yang kita sayang, kita pun akan jumpa bahagia kita. Tapi kenapa saya tetap tak jumpa bahagia saya? Kalau dulu mungkin saya tertanya-tanya... Tapi sekarang saya dah jumpa jawapannya.” Mirza mula menarik nafas sedikit manakala Afrina diam dan pegun sendiri.
            “Sebab saya dah jumpa balik bahagia saya yang hilang tu... Saya dah jumpa seorang wanita yang pernah terlepas dari saya. Jadi awak ingat, saya akan terus bodoh untuk melepaskan dia sekali lagi?”
Soalan Mirza itu sememangnya tidak terjangkau dek kepala Afrina. Terus dia memalingkan wajah ke depan. Tangannya mula meraba di sekitar dada. Mencari rantai yang pernah dihadiahkan oleh Haraz satu ketika dahulu. Jawapan apa yang paling tepat untuk merumuskan simpulan pada hubungan mereka nanti?
“Saya tak akan mampu untuk bahagiakan awak Mirz... Saya hanya cintakan Haraz seorang sahaja. Awak ingat bila jasad dia dah pergi, saya akan berubah hati semudah ini?” Ujar Afrina mengelak. Rasanya, Mirza membutuhkan seorang perempuan yang lebih baik dari dirinya. Dia hanyalah seorang janda beranak satu yang tak punya apa-apa. Apa yang dia ada hanyalah kisah silamnya bersama Mirza dan kenangan bersama Haraz.
            “Saya tak harap untuk awak bahagiakan saya Afrin... Tapi saya yang nak bahagiakan awak... Saya nak bahagiakan awak.. Peduli apa dengan kebahagian saya..” Berkerut dahi Afrina menyambut kata-kata Mirza. Berbelit-belit!
            “Jangan jadi terlalu baik Mirza.... Saya bukan seorang wanita yang layak untuk dibahagiakan sekalipun untuk dipertahankan. Saya kadar diri pada gelaran status saya tuh!” Tolak Afrina keras. Kalau Mirza berdegil, dia berpuluh kali akan berkeras.
            “Afrin... Saya tak minta apa-apa balasan pun. Cukup besar ertinya kalau saya dibenarkan untuk berada di samping awak. Itu pun dah cukup buat saya! Saya tak minta diterima, tapi cukup besar penghargaan buat saya bila awak izinkan saya berada di samping awak. Kahwin dengan saya Afrin... Tak perlu untuk jadi isteri yang menjalankan tanggungjawab kepada seorang suami.. Tak perlu jaga makan pakai saya.. Awak hanya perlu anggap saya ni macam pak guard yang akan jaga keselamatan awak berdua.. Itu sahaja...” Mirza sungguh-sungguh meyakinkan Afrina.
            “Awak ni gilalah Mirz!” Berpusing otak Afrina menyambut cadangan dari Mirza ini. Ke Mirza dah berjangkit gila macam semua pesakitnya itu? Hal kahwin mana boleh dibuat main? Dia belum begitu kejam lagi untuk memperlakukan Mirza sebegitu rupa.
            “Ya.. memang... Saya terlalu gilakan awak!” Jawab Mirza terus.
            Jemari Afrina sudah melekat di dahi. Pening melayan sikap Mirza yang seakan-akan mendesak ini. Kenapa Mirza kelihatan seperti terdesak? Perkara apa yang meragut ketenangan lelaki itu?
            “Apa jaminan yang saya akan selamat dengan awak Mirz? Awak lelaki... Saya ni perempuan.. Tahan ke Iman awak bila tengok perempuan macam saya bila kita dah kahwin nanti?” Sengaja Afrina menduga. Bukan boleh kira sangat dengan pakar psikitari ni, bukankah mereka tergolong dalam golongan yang pandai psycho manusia!
            “Kalau saya cintakan awak kerana nafsu Afrin, dah lama saya buat awak dengan saya kena tangkap basah waktu awak mengaku sukakan Haraz dulu.  Biar awak kahwin dengan saya. Biar awak bersama dengan saya walaupun awak tak akan bahagia. Tapi saya tak buat kan? Sebab saya dah angkat tinggi martabat cinta saya di dalam tempat teratas dalam hidup saya. Maruah dia.. jiwa dia, saya tak pandang sepi. Saya hormatkan cinta saya. Apatah lagi pemilik hati saya!”
            Terpana Afrina dibuatnya apabila menyambut kata-kata dari Mirza itu. Pandangan mata mula ditundukkan. Sekarang, dia mula keliru. Kenapa Mirza benar-benar menyintainya sedangkan dia tidak punya secebis pun cinta buat Mirza. Kenapa lelaki itu baik padanya setelah apa yang dia lakukan dahulu?
            “Mirza... awak terlalu baik untuk perempuan seperti saya.” Keluh Afrina perlahan. Kenapa harus ada perkahwinan jika perkahwinan ini nyata tidak akan membahagiakan Mirza? Kenapa lelaki itu perlu mengorbankan dirinya lagi? Dia sudah cukup berhutang pengorbanan dengan Mirza satu ketika dahulu. Rasanya tidak perlu lagi dia menjadi beban buat Mirza.
            “Tak ada orang boleh tentukan sama ada dia layak atau tak Afrin... Awak dan saya masing-masing memerlukan each other. Okay fine, awak tak cintakan saya.. Saya terima dan faham pasal bab hati ni tak boleh dipaksa-paksa. Tapi saya perlu untuk berada di samping awak. Saya nak jaga keselamatan awak dan Hadziq. Dan awak perlukan seseorang lelaki untuk protect awak kan... So, we need for each other. Bukankah itu satu alasan untuk menggambarkan kita aling memerlukan?”
            “Saya boleh berdikari sendiri Mirz... Jangan layan saya seperti budak kecik! Saya dah terlalu besar dan awak tak perlu nak perbesarkan masalah ni...” Putus Afrina penuh kedegilan. Dia mula angkat pungung. Afrina ingin mendapatkan Hadziq yang sedang seronok bermain itu. Dia sudah terlalu penat untuk membicarakan soal hati dan perasaan yang tak akan menemui penyudah yang baik. Biarlah dia sendiri begini.
            “Afrin...” Panggil Mirza.
            “Stop it Mirz.... Tahu tak, salah satu sebab yang buat saya tawar hati dulu ialah, awak selalu layan saya macam budak kecik! Awak bersikap terlalu melindungi sampai saya rasa bosan dan rimas! Biar saya belajar berdikari Mirz... Saya dah ada anak. Saya dah cukup dewasa nak harung semua ini. Saya tak perlukan perlindungan dari awak atau sesiapa pun....” Bidas Afrina cepat-cepat. Kakinya terus diangkat pergi. Lebih lama dia bersama Mirza, lebih banyak perkara yang akan mereka bidaskan.
            Mirza mula melepaskan keluhan kecil. Bingung dengan kedegilan Afrina yang tidak pernah surut.
***
            “Hah, kamu kata nak bawak balik calon menantu dekat ibu? Mana dia?” Belum pun pungungnya mencecah di sofa, Puan Maizura sudah bertanyakan soalan membunuh.
            “Errkk... dia sibuk sikit.. sebab tu tak boleh bawa jumpa ibu lagi..” Tipu Mirza. Sungguh, dia benar-benar terpaksa! Sedangkan dia tahu bahawa penipuan tak akan membawa apa-apa kebaikan.
            “Betul ke Iyyad ada calon nih? Jangan kalentong ibulah...” Puan Maizura sudah mula mengesyaki yang tidak-tidak.
            “Betullah... Nanti Iyyad bawa balik jumpa ibu. Ibu tu, cubalah bawak bersabar sikit... Tak kemananya menantu ibu tu.”
            Iyyad Mirza sudah mula kegelisahan. Sungguh, dia tidak betah menipu sebegini. Namun untuk menerangkan yang sebetulnya, lagilah dia tidak sanggup! Dia pasti yang Puan Maizura akan bangkang sehabis-habisnya. Cadangnya, biarlah dia bawa Afrina bertemu dengan ibunya dahulu. Siapa tahu kemarahan yang sudah lepas sudah beransur pergi. Lagipun, Afrina sudah menyendiri sekarang. Tidak ada sebab untuk ibunya terus menolak calon pilihan hatinya itu.
            Mirza mula mengesan riak wajah Puan Maizura yang agak kelam itu. Perlahan-lahan dijatuhkan tangan kanannya di bahu ibunya. “Kenapa ibu nampak murung je? Ada apa-apa masalah ke?” Tanya Mirza ambil berat.
            “Ibu risaukan kamu...”
            “Kenapa pulak nak risaukan Iyyad? Iyyad dah tua bangka dah ibu...”
            “Sebab Iyyad dah tua bangkalah ibu makin risau bila Iyyad tak kahwin-kahwin. Lepas ni nak bawa balik menantu pada ibu. Entah perempuan macam manalah yang Iyyad nak bawa jumpa ibu. Ibu bukan apa... Ibu tak mahu Iyyad kecewa lagi... Nanti mesti Iyyad ambil masa yang lama untuk sembuh dari luka tuh...            Ibu tak mahu macam tuh..” Puan Maizura mula meluahkan rasa tidak puas hatinya.
            “Ibu... Ibu kena percaya.. Jodoh, ajal pertemuan semuanya di tangan Dia.. Siapalah Iyyad untuk mempertikaikan percaturan takdir. Iyyad percah kecewa.... tapi Iyyad dah jumpa orang yang boleh merawat luka Iyyad. Dan Iyyad harap sangat yang ibu akan terima pilihan Iyyad.. Boleh kan?” Pujuk Mirza penuh makna.
            “Apa nama perempuan tu?” Pertanyaan Puan Maizura itu membuatkan Mirza melurutkan pegangannya. Perlahan-lahan dia bangun dari duduk. Berkira-kira untuk mandi.
            “Iyyad... Ibu tanya kan?” Hati tuanya mula rasa ada yang tak kena. Pasti anaknya itu menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya.
            “Bila ibu jumpa dengan dia, baru Iyyad beritahu....” Dia tidak mahu berbohong. Cukuplah jika dia merahsiakan perkara ini buat masa ini.
***
            Mata Afrina mula mendarat ke arah jam di dinding yang sudah mencapai angka dua belas malam. Kakinya dibawa ke bahagian dapur. Tekak yang perit itu menjerit meminta dilegakan. Tangan kanannya mula membuka pintu peti ais. Baru sahaja dia hendak mencapai bekas minuman, tiba-tiba ada seseorang menariknya dari belakang. Malah tengkuknya mula dicucuk dengan pisau tajam.
            “Jangan bergerak...” Bisik satu suara.
            Badan Afrina mula rasa menggeletar. Perlahan-lahan lehernya ditarik ke belakang. Membawa tubuh agar ikut turut serta. Dia cuba mengingat sama ada dia sudah mengunci pintu rumah. Setahunya, dia sudah memastikan semua pintu rumah berkunci.
            “Kau nak buat apa nih?” Tanya Afrina dengan suara yang terketar-ketar. Bimbang jika pencuri ini mengapa-apakan dirnya serta mencederakan Hadziq. Jika lelaki itu berniat untuk mencuri, dia sedia menyerahkan segala benda yang dia ada. Tapi bukan maruah dan permata hatinya.
            “Aku nak kau keluarkan semua duit.. Cepat!” Arah si pencuri tegas.
            “Kalau kau tak lepaskan aku, macam mana aku nak bagi semua tu dekat kau...” Afrina mula memanipulasi pemikiran si pencuri.
            Kemudian dengan perlahan-lahan, pencuri itu mula melepaskan dirinya. Tanpa teragak-agak, terus Afrina berlari mendapatkan pisau yang berada di hujung singki. Namun belum sempat tangannya mencapai pisau tersebut, bajunya terlebih dahulu ditarik oleh si pencuri. Tarikan yang kuat itu telah menyebabkan baju T-shirt merah yang dipakai Afrina terkoyak besar. Hingga menampakkan sebahagian daripada tubuh badannya.
            Kali ini si pencuri sudah hilang sabar. Hilang terus niat untuk mendapatkan wang ringgit, tapi yang ada hanyalah nafsu serakah yang tiba-tiba mohon dituntut. Apatah lagi setelah melihat mangsa sudah terhidang di depan mata.
            “Apa yang kau nak buat hah? Tolongggg.....!” Sejurus dia menjerit, terus pipinya ditampar kuat oleh si pencuri.
            “Jangan menjerit!” Tekan lelaki itu. Malah hujung pisaunya kembali singgah di leher Afrina. Air mata sudah mula menitis perlahan. Tidak tergambar betapa takutnya dia tika ini. ‘Ya Allah.. selamatkan diriku... Selamatkan aku... Selamatkan maruahku..’ Hanya itu yang mampu dia pohon dikala ini. Mengharapkan secebis ehsan dari Yang Maha Esa.
            Muka yang ditutupi topeng itu mula mendekat. Afrina langsung tidak berani untuk meronta memandangkan hujung pisau itu masih setia berada di lehernya. Malah tangan kanan lelaki itu pun menarik kasar rambut panjang miliknya. Sebelah tangannya mula cuba menahan wajah itu dari mendekat manakala sebelah tanganya lagi cuba menutup tubuh badannya yang sedikit terdedah.
            “Kau memang cantiklah...” Pujian itu memang mampu membuatkan bulu roma Afrina meremang ketakutan.
            Baru sahaja wajah lelaki itu mendekat, tiba-tiba tubuh lelaki itu terdorong ke tepi. Seolah-olah ada seseorang yang menolak tubuh tersebut. Dan apabila Afrina berpaling, dia melihat Mirza berdiri dengan wajah yang penuh bengis.
            Melihatkan tubuh Afrina yang sedikit terdedah, terus Mirza mencabut jaket yang sedang dipakainya dan disuakan ke arah Afrina. Baru sahaja dia berpaling untuk mencari si pencuri itu tadi, namun bayang lelaki itu sudah lesap! Dalam hatinya mula memarahi dirinya sendiri kerana lambat bertindak. Tak pasal-pasal lelaki durjana itu terlepas.
            Melihatkan Afrina yang teresak menangis itu, terus Mirza merapatkan diri. “Afrin, awak okay?” Suaranya penuh dengan kerisauan.
            “Saya takut... Saya takut...” Tanpa teragak-agak, terus dipeluk kejap badan Mirza. Membuatkan Mirza tergamam sendiri. Dia pasti yang Afrina sendiri sedang bertindak di luar batas pemikirannya. Mungkin Afrina terlalu takut dan trauma dengan perkara yang baru sahaja berlaku tadi.
            “Syhhh.... Mirz ada... jangan takut... Afrin selamat sekarang...” Dengan sedikit teragak-agak, dia melabuhkan tangan di bahu Afrina. Ditepuk berulang kali. Bukan berniat untuk mengambil kesempatan. Tetapi ingin meredakan ketakutan milik Afrina.
            Hanya Allah yang mengerti perasaannya dikala ini apabila terpaksa berhadapan dengan Afrina yang tidak sempurna ini. Malah dapat dibau keharuman dari rambut Afrina yang terdedah itu. Namun tiba-tiba badannya ditolak kasar oleh Afrina. Sekali lagi dia terpempam!
            “Mesti semua ni rancangan kau kan? Rancangan kau kan?” Jerit Afrina lantang. Seakan-akan baru sedar dari mimpi.
            Mirza mula pegun sendiri. ‘Rancangan apa?’ Sungguh, dia tidak memahami maksud dari tuduhan Afrina itu.

p/s:: maaf sebab lambat update MN nih... sekarang dah nak start berdisiplin.. cuba post walaupun seminggu 1 bab... kalau agak2 lupa tuh, sila skodeng entry lama ya.. ehhehe

9 comments:

  1. Baiknya mirza sgup terima afrina. Sygnya kena rrject lg teruk kena tuduh free ja ngn afrina. Lg bsr konflik depa agaknya pasni. Bila nk bg kawennya hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha.. entahlah.. afrin kan degil.. rasanya dia heroin sy paling degil kot.. n mirza hero y paling baik selepas arian..hehee..

      Delete
  2. Best...#^_^
    Afrina dah salah sangka pula...
    Kesian dekat Mirza....

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks atiza.. hmm.. tulah.. afrin kan mudah berprasangka..

      Delete
  3. hehehe...lama sungguh x singgah kan...tapi kisah nie akak suka...

    ReplyDelete
  4. Isk... tak sukenye dengan heroin degil. Hihi...

    ReplyDelete
  5. best sgt...smp ati afrina tuduh mirza mcm tu kesian dia..huuhuhuu

    ReplyDelete
  6. makin degil afrin nih..geram pulak rasa

    ReplyDelete
  7. best.. bile nak sambubng lagi nie?

    ReplyDelete