Friday 13 January 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [37]



         Suasana hening menyelubungi kawasan tanah perkuburan ini. Farafeesa setia berada di sisi Faraneesha. Tidak sesesat pun dia meninggalkan kakaknya itu sendirian. Sapu tangan yang berada di tangan Faraneesha itu sudah lejun menakung air mata. Sepanjang bacaan talkin, Faraneesha lelah menahan tangis. Farafeesa sendiri sudah kelu hendak berbuat apa lagi.
            Air mata itu memang tidak boleh ditahan. Tapi boleh ditepis. Namun semakin ditepis, semakin banyak ia membasahi pipi. Mata Faraneesha sudah bengkak benar. Dia risau jika kakaknya jatuh sakit pula.  Manakala Umi dan Hanis juga sebegitu rupa. Tidak henti-henti melawan rasa sedih yang berkunjung.
            Umi dan Hanis bangun dari duduk tika ingin menyiram kubur. Erat mereka berpelukan berdua. Kasihannya... pasti berat untuk Umi dan Hanis lalui semua ini. Lantaran Luqmanlah satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Umi pula sudah lebih 4 tahun kehilangan suami. Pemergian Luqman pasti akan dirasai. Hilanglah sudah tempat untuk dijadikan harapan, punah segala angan dan harapan, lesap sudah kasih yang selalu dijadikan hamparan... menjadikan diri serba kehilangan.
            Apabila tiba giliran Faraneesha, tangannya terketar-ketar memegang jag air. Cepat-cepat Farafeesa membantu. Sama-sama berpaut dan mencurahkan air ke atas tanah kubur. Tangisan Faraneesha juga ikut turut jatuh. Jatuh menitis di tanah kubur.
            Faraneesa sudah tidak tertahan lagi. Esakan kecilnya sudah mula kedengaran di cuping telinga Farafeesa. Bahunya sudah terhenjut-henjut sendiri. Cuba mengawal tingkah dan perasaan. Matanya sudah tidak larat untuk dibuka lagi. Alam ini seakan-akan berpusing. Tangan mula terhala ke arah kepalanya. Dan akhirnya, kelam yang menjadi sapaan matanya.
            Kecoh tanah perkuburan ini apabila Faraneesha pengsan. Hampir sahaja menyembah tanah namun sempat dipaut oleh Farafeesa.
            “Ya Allah... kenapa boleh jadi macam ni?” Encik Najib sudah mula mendapatkan anak sulungnya itu. Terkejut dibuatnya! Namun dia akui yang Faraneesha memang sensitif orangnya. Kehilangan Luqman pasti memberi kesan yang mendalam dalam hidup Faraneesha.
            “Neesha...”
Ditepuk perlahan pipi Faraneesha. Takut melihat keadaan Faraneesha sebegini rupa. ‘Ya Allah, kuatkan hatinya... Aku mohon bantuanMu..’ Rintih Farafeesa. Siapa yang tidak sedih melihat kakaknya seperti ini. Adik-adiknya semua sudah mengalirkan air mata. Semua menangis di sisi Faraneesha.
            “Dia pengsan nih... Sudah-sudah... jangan menangis di sini. Kita papah kakak bawa balik rumah.” Arah Encik Najib dengan suara yang tegas.
            “Jangan nangis... Kita kena kuat demi kakak... Cepat tolong angah angkat kakak...” Arahan dikeluarkan terhadap adik-adiknya yang sedang mengerumun Faraneesha itu. Semua sudah mula mengelap air mata. Terbasuh sedikit mendengar kata-kata dari angah mereka.
            Iman, Fatin, Farhana, Fathia dan Iqbal, semuanya membantu mengangkat kakak mereka. Farafeesa diserang rasa sedih bila melihat adik-adiknya sanggup menangis di sisi Faraneesha. Malah mereka kuatkan diri untuk bertahan semata-mata kerana kakak sulung mereka itu. Iman yang masih berusia lapan tahun itu pun ingin membantu. Walaupun hanya memegang bahagian kaki, itu sudah cukup bererti bagi Farafeesa.
            ‘Jika ditakdirkan aku meninggal... Aku berharap agar Neesha tidak selemah ini.. Kerana aku bimbang jika adik-adik tidak menjumpai kekuatan meraka lagi. Aku tidak mahu mereka tersungkur ke lembah kesedihan... Tapi kehilanganku nanti, pasti tidak akan memberi kesan dalam hidup mereka. Aku bukan anak kesayangan... apatah lagi kakak kesayangan... Aku bukan kesayangan sesiapa pun....’ Luluh sahaja bicara hatinya.
            Farafeesa mengarahkan agar Iqbal sahaja yang memandu sedangkan dia akan menemani Faraneesha di bahagian belakang. Iman terus masuk ke tempat sebelah pemandu manakala adik-adiknya yang lain menaiki kereta abah sahaja.
            Tiba di rumah, Puan Azah kaget melihat anak sulungnya yang dipapah oleh anak-anaknya yang lain. Puan Azah tidak mengikuti hingga ke kubur kerana menjaga rumah Luqman tadi.
            “Ya Allah... macam mana boleh jadi macam ni?” Kelam kabut ibu dibuatnya.
            “Kakak pengsan dekat kubur tadi...” Terang Iman petah.
            “Macam manalah tak pengsan. Daripada semalam tak makan apa-apa. Manalah badan tu nak berdaya. Tambah pulak dengan rasa sedih. Hah, mudahlah antibodi tu menyerang.” Bebel Puan Azah sambil membetulkan selimut milik anaknya itu. Farafeesa hanya melihat sahaja kasih sayang diterjemahkan oleh ibu terhadap kakaknya.
            “Akak tu tengah sedih.. awak janganlah tembahkan pulak kesedihan dia..” Tegur Encik Najib. Puan Azah hanya menjeling. Tidak menghiraukan kata-kata suaminya itu.
            “Panas badan budak ni...” Puan Azah mengomel sendiri apabila tangannya dijatuhkan ke dahi milik Faraneesha. Sungguh, hati Farafeesa agak tersentuh. Dia sudah lupa, bila kali terakhir ibu  menyentuh dahinya. Memegang kepalanya... apatah lagi hendak mengusap.
            “Feesa, kamu pergi masak bubur.. ayam dalam peti tu kamu buat ayam goreng kunyit.. Neesha suka makan kalau dia tengah tak sihat.” Arah ibu tanpa sedikit pun berpaling.
            Tanpa banyak soal, Farafeesa hanya menurut sahaja. Dia tahu ibu cukup pening melihat keadaan Faraneesha. Dia tidak mahu terus menerus menambahkan rasa pening ibunya itu. Bila Puan Azah pening nanti, Farafeesa jugalah yang akan dimarahinya. Nanti Faraneesha yang mendengar akan bertambah-tambah sedih.
            Selesai memasak dia terus menghidangkan makanan di atas dulang. Ingin dibawa ke dalam bilik. Namun belum sempat dia sampai ke pintu bilik, ibunya menghampirinya. Mata Puan Azah sedikit mengecil tika melihat makanan yang terhidang.
            “Kalau makan ayam goreng kau ni, orang yang sakit tu boleh mati tau.. tak masak lagi ni.. Haish, dah umur 24 tahun tapi memasak pun tak lulus lagi!” Perli Puan Azah sambil mengelengkan kepalanya.
            “Dah masaklah.. Lagipun, Neesha suka makan yang macam ni... dia tak suka makan ayam yang terlalu garing...” Dia tidak mahu menjawab tapi kenapa entah kenapa mulutnya ringan sahaja menuturkan ayat. Mungkin kerana dia sedar yang dia sering mencuri perhatian dari ibunya melalui kemarahan ibunya.
            “Sebab tu aku malas nak cakap dengan kau, aku cakap sikit, kau sibuk nak menjawab.” Farafeesa sudah lali mendengar ayat itu. Sudah tidak memberi kesan apa-apa pada  jiwanya.
            “Ibu, angah, kakak dah bangun...!” Puan Azah tidak menunggu lama, terus dia mengambil dulang yang berada di tangan Farafeesa lantas berlalu masuk ke dalam bilik. Farafeesa pun turut mengambil langkah. Namun tersekat di muka pintu sahaja.
            “Ish.. tak mahu ngangis-nangis dah... Neesha kena kuat.. Kalau tak macam mana nak jaga Umi dengan Hanis.. Dia orang perlukan Neesha.. Kita orang pun perlukan Neesha.. Yang pergi, tetap pergi.. Tapi yang hidup kena teruskan hidup.. Nak menangis boleh, tapi jangan sampai menyeksa diri...” Puan Azah mengelap sedikit permata yang menghiasi wajah anaknya. Jelas sungguh sikap keibuan miliknya. Kasih yang tidak berbelah bahagi terhadap Faraneesha.
            “Akak rasa kehilangan sangat bu...” Adu Faraneesha sambil menangis lagi. Adik-adiknya ikut turut mengalirkan air mata. Menemani kesedihan yang dirasai oleh kakaknya itu. Farafeesa sedar yang hubungan adik-beradiknya dengan Luqman tersangatlah rapat. Luqman itu memang seorang lelaki yang baik. Dia sendiri tidak pernah ketemu lelaki sebaik Luqman. Perginya lelaki itu, memang tiada galang ganti.
‘Namun, pemergianku nanti adakah akan ditangis?’
            “Orang yang baik tak akan disimpan lama-lama dimuka bumi ini.. Sekuat mana pun kasih sayang akak pada dia, itu semua tak mampu untuk melawan kasih sayang Allah.. Redhakan hati kakak dan doakan arwah agar ditempatkan dikalangan orang beriman..” Giliran Encik Najib pula yang memujuk. Menghilangkan lara jiwa milik anak sulungnya itu.
            “Dah, jangan sedih-sedih... makan sikit...” Puan Azah mengelap sedikit air matanya. Dia pun ikut turut merasa kehilangan. Terkilan kerana Luqman tidak sempat menjadi menantunya. Sedih kerana dia ikut turut merasakan perasaan Puan Maimun yang kehilangan seorang anak. Namun takdir ketentuan tidak boleh dihalang oleh sesiapa pun!
            “Biar Fatin suapkan kakak ya...”
Cepat sahaja tangan Fatin mencapai mangkuk bubur di atas dulang. Dia mengambil sedikit ayam goreng kunyit dan digaul ke dalam bubur. Lantas sudu tersebut disuakan terhadap kakaknya itu. ‘Kasihan kakak.. mesti kakak rindukan abang Luqman.’
            “Akak tak ada seleralah...” Faraneesha menolak perlahan. Tekaknya betul-betul tidak boleh menerima sebarang makanan. Hendak menelan air liur sendiri pun dia tidak mampu. Apatah lagi hendak menelan makanan yang terhidang walaupun ayam goreng kunyit itu memang menjadi kegemarannya.
            “Cubalah makan... sedap tau..” Konon hendak menceritakan kesedapan makanan tersebut, Fatin menyuap ke dalam mulutnya sendiri.
            “Eh Fatin ni, dia pulak yang makan.. Buntat tu buntat jugaklah... semua makanan dia nak bedal!” Usik Iqbal selamba. Terus mereka tergelak bersama-sama. Mereka tahu yang Fatin memang alah dengan perkataan ‘buntat’ itu. Ialah, antara mereka adik-beradik, Fatinlah yang paling gemuk walaupun usianya baru sahaja mencecah tingkatan dua.
            “Ngee... suka hati je panggil orang buntat!” Fatin bengang! Walaupun marah-marah, dia tetap menyuapkan makanan ke dalam mulut. Bukan ke dalam mulut kakaknya tapi ke dalam mulutnya sendiri. Mereka semua tergelak besar. Malah Faraneesha juga sudah boleh tersenyum sama manakala Farafeesa hanya memandang dari arah pintu apabila semua ahli keluarganya berkumpul untuk memujuk hati kakak kembarnya itu.
            Ahli keluarganya hanya berada di depan mata sahaja. Namun kasih ini terlangkau terlalu jauh. Jauh dari gapaian tangannya.
Dia bukan menyendiri, tapi dia mengambarkan tentang ketiadaannya nanti. Keluarga ini tetap akan sempurna jika mereka kehilangan dirinya nanti. Keluarga ini tetap akan mampu ketawa dan tersenyum menyambut permergiannya nanti. Kehilangannya tidak akan membawa apa-apa erti dan makna dalam kehidupan mereka.
            Farafeesa menjarakkan diri dan bersandar di tepi dinding. Mencari ruang untuk berfikir sendiri. Mujur sahaja kepalanya tidak terlalu pening hari ini. Jika tidak, pasti dia susah untuk menjaga Faraneesha nanti.
            ‘Ya Allah.. terima kasih kerana mengurniakan kesihatan kepada diriku.. Sesungguhnya, aku khilaf tanpa bantuanMu..’ Dicekalkan hati. Ditabahkan rasa. Ditambahkan semangat buat penguat jiwa!
            “Angah....” Farafeesa berpaling bila bajunya ditarik oleh adiknya. Terkesima seketika melihat Iman sedang menangis. Terus Farafeesa duduk mencangkung. Mengadap adiknya itu.
            “Kenapa Iman menangis?” Diseka air mata yang bermaharajalela di pipi Iman. Bulu mata adik lelakinya ini kelihatan lebih lentik selepas menangis.
            “Kenapa angah menangis?”
            Kali ini giliran Farafeesa pula yang tercengang. Tidak faham dengan kata-kata adiknya. ‘Aku menangis?’ Lantas dibawa tapak tangan ke pipinya. Entah masa bila pipinya basah dek air mata. Kenapa dia tidak sedar yang dia sedang menangis?
            ‘Ya Allah, adakah perasaan miliku sudah beku kerana langsung tidak menyedari permata yang berteraburan di pipi ini?’ Farafeesa tertanya-tanya sendiri. Mungkinkah yang hatinya tersentuh melihat layanan yang tidak berbelah bahagi dari ahli keluarga untuk memujuk Faraneesha sedangkan dia terpinggir sendiri di hujung dunia?
            “Angah jangan sedih-sedih tau... Iman sayang angah!” Dipeluk kakaknya seerat mungkin. Farafeesa memejamkan mata sambil membalas pelukan adiknya itu. Terasa seperti kekuatannya mampir tanpa dipinta. Betul kata orang, kasih sayang itu adalah ubat yang paling mujarab! Kasih sayang yang tinggi dapat melawan rasa sakit yang mengunung!
            “Angah pun sayang adik tau!” Ucap Farafeesa sedikit sebak. Terharu dengan adik bongsunya itu. Di sisa penghujung nyawanya ini, dia hanya teringin hendak menyulam kasih bersama ahli keluarganya. Lain-lain perkara, sudah tidak menjadi hal bagi dirinya. Sudah malas hendak mengambil kira perkara yang remeh-temeh yang hanya akan menambahkan bebanan perasasaan.
            “Angah jangan tinggalkan adik macam abang Luqman tinggalkan adik tau!” Tersentak Farafeesa dibuatnya apabila mendengar ayat yang diucap apabila adiknya. Terus dia  meleraikan pelukan. Air matanya bergenang di tubir mata. Menunggu masa untuk jatuh sahaja. Perasaannya sekarang bagaikan sedang digilis trelar!!!
            Keperitannya, hanya Allah sahaja yang tahu!
            Sejurus selepas itu, Iman terus keluar bermain. Meninggalkan dia terkulat sendiri menahan rasa. Sesak rasanya hati ini. Mengelegak seperti gulai yang sedang berada di atas dapur.
            “Assalamualaikum...” Suara salam itu menghilangkan lamunan panjang milik Farafeesa. Dia menghalakan pandangan ke arah ruang tamu. Dia mula mencapai tudung yang sudah tersangkut di tepi dinding.
            “Walaikum....” Belum habis dijawab salamnya, matanya terpaut pada satu wajah yang sudah lama tidak diketemu.
            “Kot ya pun terkejut... Habiskanlah jawab salam tu dulu.....” Lelaki itu sudah tersenyum-senyum tapi sungguh Farafeesa rasa hendak ditumbuk wajah itu. Kenapa lelaki itu muncul sekarang???

P/S: siapakah gerangan lelaki itu?? hehee

5 comments:

  1. wah..menarik.. unsur saspen la plak.. haha.. smbg lg.. ngeee...

    ReplyDelete
  2. sedih...huhuhu
    tp best sgt! :D
    sapa laki tu?? jeng3...
    sambung cepat... ^_^

    ReplyDelete
  3. nak ezrakhil kawin dgn feesa...skurang2nya feesa bahagia sblum dia pergi.

    ReplyDelete