Thursday 19 January 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [39]


          Farafeesa mula masuk ke dalam rumah. Hari pun sudah menginjak waktu maghrib. Baru sahaja dia mencapai kain tuala yang berada di ampaian, suara Puan Azah berdesing menampar telinga.
            “Neesha tengah sedih-sedih, boleh pulak kau berborak bagai nak gila dengan dua orang lelaki ya? Bukannya nak teman Neesha kat rumah!” Farafeesa buat pekak sahaja. Malas hendak melayan bebelan ibunya. Bimbang mulutnya ringan membidas kata-kata ibunya itu.
            Laju sahaja kaki Farafeesa melangkah ke bilik air. Puan Azah mula rasa sakit hati melihat penerimaan Farafeesa itu. Dia mula mendengus kasar.
            “Cuba dengar bila orang cakap Feesa!” Kemarahan Puan Azah sudah mula berada di puncak.
            “Feesa dengar ibu...” Perlahan sahaja nada suaranya. Dia mencari-cari kelibat kakaknya. Dia tidak mahu Faraneesha terus bersusah hati. Hati kakaknya itu sudah terlalu terbeban dan dia tidak mahu terus membebankan kakaknya dengan perihal temeh ini.
            Rumahnya ini bukannya besar sangat, sekali ibu menjerit, satu lorong pun boleh dengar. Tapi hati kecilnya terlalu berharap agar Faraneesha tidak mendengar apa-apa perkara yang akan menambahkan beban kerisuaunnya. Sudahlah dia pening mengadap karenah lelaki yang tiba-tiba muncul! Kusut sunggguh!
            “Dah tu, tak reti nak beri perhatian waktu orang tengah cakap? Kau ingat aku cakap dengan dinding ke? Kau ni memanglah suka buat kepala sendiri? Nanti adik-adik mulalah nak ikut perangai degil kau ni!” Yang buruk, memang hanya akan datang daripada diri Farafeesa sahaja.
            Pening Farafeesa dibuatnya. Menjawab salah! Membisu pun salah! Mati agaknya baru tak salah! Aish...
            “Ibu, nak maghrib dah ni... Bawak pergi solat dulu...” Tegur Abah yang baru keluar dari bilik. Encik Najib sudah pun memakai baju melayu serta kain pelikat. Mungkin sudah bersedia untuk ke surau.
            “Itulah awak, bila saya marah sikit, mulalah awak nak back up angah...” Ujar Puan Azah tidak puas hati lantas masuk ke dalam bilik. Namun sempat dia menghadiahkan jelingan tajam pada anaknya itu. Sakit hatinya apabila melihat Farafeesa yang tidak memujuk kakaknya yang sedang bersedih. Boleh pula dia duduk bergelak di taman permainan. Tiada rasa hormatkah dia pada kembarnya sendiri?
            “Abah, tadi Farhan kirim salam... Dia nak jumpa akak tapi angah cakap lain kali je..” Terang Farafeesa sambil tersenyum sedikit. ‘Mujur ada abah...’ Hatinya mula dirasuk rasa sebak. Serius rasa sangat terharu kerana Abah membelanya.
            “Waalaikumussalam... dia baru balik berlayar ke?” Tanya Encik Najib sambil mula menyuakan kopiah di kepala. Walaupun sudah hampir berumur 50-an, Encik Najib masih lagi kelihatan segak. Betullah apa yang orang selalu cakap, orang payah marah memang akan senantiasa nampak muda.
            “Aah.” Jawab Farafeesa mudah sambil kakinya dihala merapati pintu bilik air.
            “Eh, tadi abah nampak bos kamu tuh ada sekali... Bila dia datang?” Farafeesa bagaikan terhentak dipukul perasaan sendiri. Dia sendiri tidak perasan dengan kehadiran Ezrakil tadi. Muka lelaki itu ketat sungguh!
            “Err... dia baru balik dari meeting.. Sebab tu dia tak dapat pergi waktu pengebumian tu. Jadi tadi dia datang sebab nak pergi melawat rumah arwah.. Tapi datang sini dulu sebab tak tahu rumah arwah kat mana.” Encik Najib terangguk-angguk tika mendengar penerangan ringkas daripada Farafeesa. Akhirnya dia pun melangkah keluar dari rumah untuk ke masjid.
            Farafeesa hanya membiarkan air pancut membasahi kepalanya. Berharap agar air itu dapat melarikan segala kekusutan yang berkampung di benaknya. Matanya dipejamkan namun raut wajah Ezrakil yang menjadi penghiasannya. Ah!!! Suara sinis Ezrakil masih terngiang-ngiang di telinganya.
            “Seronok nampak?” Sinis sahaja nada suara itu membuatkan Farafeesa terpempam sendiri. Mujur sahaja Farhan sudah memohon diri untuk pulang.
            “Salah ke kalau saya seronok?” Tanya Farafeesa sengaja. ‘Tak kanlah, Ezrakil cemburu kot? Aish.. ni memang cemburu nih!’ Kelihatannya Ezrakil sedang menguakkan rambutnya. Farafeesa rasa seperti hendak ketawa sekarang juga namun ditahan rasa hati. Bimbang jika Ezrakil terasa hati pula.
            ‘Eh, kenapa aku ambil berat untuk jaga hati dia pulak? Aishh..’
            “Patutnya awak temankan Neesha sekarang...” Keras nada suara Ezrakil.
            “Oh.. kalau macam tu bos cepatlah balik.. Saya nak teman Neesha.” Farafeesa mengambil kesempatan untuk mengelak dari bersemuka dengan Ezrakil. Bukan apa, kata-kata Ezrakil tempoh hari masih bermain di benaknya. Rasa tidak selesa berada di mana-mana.
            “Amboi, kalau waktu dengan saya, awak sangat berkira... Kalau dengan mamat tadi boleh pulak ya?” Ezrakil mendengus marah. Terpana Farafeesa dibuatnya. Ezrakil tak pernah seperti ini. Kenapa perlu marah-marah?
 ‘Aish.. sangat tak faham dengan perangai lelaki ini?’
            “Dia kawan saya Encik Ezrakil...” Ditekan sedikit nada suaranya. ‘Amboi, belum apa-apa lagi dah cemburu bagai! Kalau dah ada apa-apa nanti, entah-entah di apa-apakan aku ni!’ Bisik hatinya. Namun, memang tak akan ada apa-apa yang mampu mengikat mereka. Tak akan!
            “Iya.. Tapi awak nampak serasi benar dengan dia?” Entah kenapa, dia terlalu cemburu dan berprasangka yang bukan-bukan. Mungkin lelaki inilah yang menghalang Farafeesa daripada menerima cintanya.
‘Ah, serabut betul!’
“Ya... memang kami tersangat serasi. Saya tak pernah serasi dengan mana-mana lelaki pun selain daripada dia!” Sengaja Farafeesa menyakitkan hati Ezrakil. Sekarang Farafeesa pula yang diserang rasa marah. Geram kerana Ezrakil seperti sengaja menyindir dirinya. Memang padan muka kena marah!
Terus Ezrakil berpaling. Memandang terus ke dalam anak mata Farafeesa. Sakit jiwa mendengar ayat yang keluar dari mulut Farafeesa. ‘Kenapa? Kenapa tidak boleh ada keserasian antara kita? Bukankah aku terlalu menyintaimu!’
“Kiranya awak nak cakap yang awak tak serasi dengan sayalah eh? Sebab tu awak tolak saya?” Serius, Farafeesa rasa bagai hendak sepak sahaja mulut tak ada insurans Ezrakil itu. Bercakap dengan emosi, macam nilah gayanya.
“Hah, nasib baik bos faham!” Entah kenapa, masing-masing tidak mahu kalah sedangkan meraka tidak pernah pernah pun pernah menang. Akhirnya kesepian yang melanda jiwa. Masing-masing senyap melayan rasa hati sendiri. Puaskah hati ini setelah melontar kata yang menyakitkan jiwa?’
Akhirnya Ezrakil melepaskan keluhan lemah. Entah kenapa, makin lama, dia makin penat untuk mecungkil rasa kasih antara meraka. Mungkin telah tertulis yang antara mereka, tidak akan pernah lebih dari majikan dan pekerja.
“Maaf kalau kedatangan saya tak diundang... Saya hanya nak pergi ke rumah arwah.. Mungkin saya tak kenal dengan dia.. Tapi tak salah kan kalau nak berbuat baik pada ahli keluarganya? Sebab bila tiba waktu pemergian saya nanti, saya pun berharap agar ada seseorang yang akan datang ke rumah saya dan menitipkan kekuatan buah ahli keluarga saya.”
Mata Farafeesa bergenang dengan air mata tika ayat lelaki itu sampai ke gegendang telingannya. Entah kenapa, dia membayangkan yang Ezrakil akan melawat keluarganya selepas pemergiannya nanti. ‘Ya Allah, bila masa itu tiba, adakah keluargaku mampu untuk menerimannya?’
Ketukan bertalu-talu di muka pintu itu menyedarkan lamunan panjang Farafeesa. Terdengar suara adik bongsunya yang menjerit-jerit untuk menggunakan bilik air. Cepat-cepat diambil wuduk. Tidak mahu menggunakan banyak masa lagi.
Tika masuk ke dalam bilik, Farafeesa melihat Faraneesha sedang membaca yasin. Tanpa terus berlengah, terus dia menunaikan kewajipannya yang satu. Menghadap dan menyerah untung nasib miliknya terhadap Allah. Mengadu tentang keperitan hati yang hanya diketahui oleh Yang Maha Esa.
Usai solat maghrib, terus Farafeesa menunaikan solat sunat hadiah pula. Solat sunat ini bertujuan untuk menitipkan pertolongan dan berdoa pada arwah yang telah pulang kerahmatullah. Islam menganjurkan kepada keluarga yang meninggal itu melakukan solat sunat sebagai hadiah kepada arwah.
Sesungguhnya, hanya itu sahaja yang mampu dirinya lakukan untuk membantu si mati yang telah pergi. Moga-moga Allah menerima solat sunat hadiah ini. Apabila Farafeesa berpaling, dia melihat Faraneesha sedang bersandar di kepala katil sambil memeluk Al-Quran erat ke dada. Air mata masih setia menemani di juring mata.
“Kak... bersabarlah. Setiap yang hidup, pasti akan mati. Itu janji Allah!” Tekan Farafeesa kuat. Dia tidak mahu terus menerus melihat hati kakaknya rapuh dipanah rasa sedih. Dunia ini masih terlalu luas untuk diterokai. Masih terlalu jauh perjalanannya.
“Dia pergi dalam keadaan aku tak sedia Feesa...” Adu Faraneesha. Suaranya terlalu serak kerana terlalu banyak menangis. Mata Faraneesha juga sudah mula lebam. Menghilangkan kecantikan alis matanya itu.
“Tak ada orang yang akan pernah bersedia dengan kematian kak... Bila terhentinya perjalanan di muka bumi ini, ada perjalanan lain yang menanti di sana. Hidup bukan semata-mata di dunia sahaja, tapi hidup ni adalah perjalanan mengumpul bekalan untuk ke akhirat nanti.
Waktunya sudah pun tiba. Kita sebagai hamba kena merelakan pemergian dia. Aku tak cakap kau tak boleh menangis, tapi aku tak mahu kau meratapi nasib dia. Arwah beruntung sebab dia dah terlepas dari penjara dunia. Kasih sayang kau, tak akan pernah mampu untuk melawan kasih sayang Allah pada dia. Allah lebih kasihkan dia. Jadi kau kena terima. Lagipun, tak kan kau nak berebut dengan Allah kot....”
Sengaja Farafeesa bercanda sedikit. Kelihatannya Faraneesha tersenyum hambar. Terusik juga dengan kata-kata kembarnya itu. ‘Ya, kerana kasih sayangku tidak mampu untuk melawan kasih sayang Allah pada arwah. Ya Allah, izinkan kekuatan bertamu di kalbu. Izinkan air mata ini kering daripada terus membasahi hati dan pipiku!’
“Mungkin Allah nak kurniakan seorang lelaki yang lebih baik dari arwah. Siapa tahu kan?”
Faraneesha mengeleng sedikit. Tidak bersetuju dengan kata-kata kembarnya itu.
“Sampai bila-bila pun, aku tak akan jumpa peganti arwah! Dia manusia teristimewa pernah aku jumpa Feesa.. Tak mungkin akan ada galang gantinya!” Sebak dia menuturkan ayat.
“Hati kita ni, berada dalam gengaman Allah. Hanya Dia yang berhak mencampakkan rasa kasih antara setiap manusia. Andai kata perkara itu terjadi nanti, kau, aku atau sesiapa pun tak mampu untuk menidakkan takdir. Kita semua kena terima dengan hati yang terbuka. Aku bukan suruh kau cari seorang lelaki untuk gantikan tempat arwah, tapi mungkin ada seorang lelaki yang mampu menjaga kau, macam mana Luqman jaga kau! Aku cuma nak kau sediakan satu tempat di hati kau, untuk seseorang yang bakal hadir dalam hidup kau! Kenangan bersama Luqman, kau biarkan sahaja di segenap hati kau, tapi masa depan dan kebahagian kau pun kau perlu pertimbangkan. Menerima seorang lelaki tak bermaksud kau kena melupakan arwah.”
Panjang lebar nasihat Farafeesa buat kembarnya. Bercakap soal cinta seperti dirinya sudah berkahwin. Macam pari-pari cinta pun ada! Sedangkan, seumur hidupnya, langsung tidak pernah bercinta. Habuk pun tarak!
“Kau cakap macamlah aku dah jumpa peganti arwah! Ngek betul!” Mereka sama-sama tergelak kecil. Faraneesha terus menepis air matanya. Farafeesa memang pandai memperdayakannya dengan kata-kata.
“Manalah tahu kalau-kalau dalam waktu terdekat ni kau jumpa kan...” Usiknya sengaja. Tapi mungkin juga perkara itu akan berlaku. Siapa tahu perancangan Allah!
“Kau tu pandai sangat bercakap pasal soal hati, habis tu kau dengan ezrakil tu macam mana?”  Erkk.. Mamat tu lagi? Farafeesa seakan-akan sudah muak mendengar nama Ezakil.
“Dia tu bos aku jeh... Tak lebih, tak kurang!” Jawab Farafeesa penuh yakin sedangkan sejak akhir-akhir ini, hatinya bergolak menahan rasa. Cuma mencari sesuatu pada Ezrakil! ‘Cari apa ya? Cari pasal adalah!’ Dua puluh lima jam asyik bergaduh.
“Kita ni  kembar.. Apa yang kau fikir, ada dalam kepala otak aku ni. Kau tu yang ego tak bertempat. Ingat Neesha, peluang yang baik tak akan datang dua kali.” Farafeesa kelu untuk membalas kata. Makin ingin dibicarakan, topik ini akan menjadi lebih panjang!
Faraneesha mula bangun merapati almari baju. Farafeesa agak terusik bila kembarnya itu mengeluarkan baju akad nikah yang sepatutnya dipakai kurang dua bulan dari sekarang. Pasti hati Faraneesha terlalu sedih melihat baju yang dijahit oleh dirinya sendiri. Malah kain satin berwarna putih itu diserikan dengan jahitan manik yang sangat cantik. Semuanya Faraneesha jahit sendiri. Semata-mata untuk majlis pernikahannya nanti!
“Aku tak tahu kenapa aku jahit baju ni cepat sangat...” Tangannya bermain di bahagian baju yang dipenuhi manik yang halus buatannya. Farafeesa hanya membiarkan kembarnya itu bermain dengan perasaannya. Air mata mula bergenang di kelopak mata.
“Kau tahu, setiap manik ni menceritakan kisah cinta aku pada Luqman... Aku jahit dengan senyuman apabila teringatkan kenangan kami. Setiap warna manik ni menceritakan perangai aku dengan Luqman. Setiap corak menggambarkan rasa hati aku pada dia.” Farafeesa sedar yang terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan kakakny ketika belajar menjahit dulu. Kembarnya itu sanggup berlajar menjahit manik hanya semata-mata ingin menjahit baju nikah miliknya sendiri. Masih terngiang-ngiang di pendengaran Farafeesa bertapa bangganya Faraneesha apabila baju ini sudah selesai dijahit. Teringat kembali sewaktu dia memperlekehkan kakak kembarnya itu.
“Eleh, orang sekarang beli jeh... tak susah-susah belajar menjahit manik lepas tu nak buat cantik-cantik!” Dia ingat betapa mengeluhnya Faraneesha bila manik yang dijahit tidak memenuhi piawaiannya. Sengetlah! Tak cantiklah! Tak menariklah! Tak puas hatilah! Banyak cekadak betul!
“Ini bukti kasih sayang aku pada dia... Lagipun nanti, anak-anak aku pun boleh guna baju nikah aku ni!” Masa itu, seluruh ahli keluarga ketawakan Faraneesha. Selepas dua puluh tahun nanti, pastilah fesyen akan berubah. Kalau pakai pun, memang ketinggalan zamanlah jawabnya.
“Tapi sekarang, aku tak akan pakai baju ni Feesa...” Suara Faraneesha itu memantikan lamunan miliknya.
“Lah, dah jahit cantik-cantik, tak nak pakai pulak!” Protes Farafeesa tidak puas hati.
“Sebab dia dah tak ada... Aku tak sanggup nak pakai baju nikah ni jika ditakdirkan aku  berkahwin dengan lelaki lain.” Benar juga kata Faraneesha itu. Memakai baju ini hanya akan membangkitkan ingatan lama yang pasti akan menguris perasaan. Lagipun, jika selalu dikenang memori itu, bagaimana hendak menganyam kenangan baru?
“Jadi,, aku nak bagi baju ni kat kau.” Diserahkah baju kurung moden itu ke tangan Farafeesa.
“Err... aku tak terasa pun nak pakai.” Tolak Farafeesa. ‘Gila nak pakai baju nikah? Aku ni dah tempah kain kapan dah!’ Lagipun, dia tidak pernah terfikirkan pun untuk berkahwin.
“Aku tahulah Ezrakil kaya untuk sponsor kau nanti, tapi aku betul-betul nak kau pakai baju nikah ni! Sekurang-kuranya penat aku terbayar jugak. Penat tau nak jahit manik!” Farafeesa tidak jadi hendak memusnahkan kebahagian kembarnya. Biarlah dia terima sahaja. Menerima tidak semestinya akan memakai.
“Terima kasih... Sekurang-kurangnya, kau tak minta upah menjahit kan.. Selamat duit aku!” Mereka berdua ketawa serentak. Faraneesha mengelengkan kepalanya berulang kali.
“Kau ni, tak habis-habis dengan perangai kedekut kau tuh!” Farafeesa tersenyum apabila sudah mampu mendengar tawa daripada mulut kembarnya itu. Walaupun dia sedar yang dia adakalanya tidak berupaya untuk memujuk hati Faraneesha, tapi dirinya sentiasa berharap yang dia mampu untuk berada di samping Faraneesha disaat gadis itu menghadapi kesukaran.
“Tapi kan... kenapa Ezrakil?” Farafeesa baru perasaan yang lelaki yang dimaksudnya akan menjadi pengantin lelaki itu adalah Ezrakil! Boleh tersedak lelaki itu dibuatnya, dua puluh empat jam orang asyik duk sebut namanya.
“Kita kan kembar... Aku tahu apa yang kau rasa.” Eleh, balik-balik, ucapan itu juga yang disebut-sebut. Farafeesa jadi muak mendengarnya.
“Betul ke kau tahu apa yang aku rasa?” Tiba-tiba ada idea nak mengenakan Faraneesha.
“Betullah..”
“Okay, cuba teka apa yang aku rasa sekarang?” Sesaat... dua saat... tiga saat... Faraneesha mula menjanakan otak untuk berfikir.
“Baju nikah kan dah ada jadi kau nak ajak Ezrakil kahwin sekarang an...” Faraneesha ketawa besar. Hatinya tercuit melihat riak wajah kembarnya yang merengus. Macamlah cantik sangat buat muka macam tu?
“Kepala hotak kau! Aku tak terfikir pun nak jadikan Ezrakil tu pengantin lelaki aku.” Sedikit pun Farafeesa tidak mahu kalah. Apatah lagi jika melibatkan Ezrakil. Dia tidak akan pernah kalah untuk menjatuhkan hatinya pada pemuda itu. Tidak sama sekali!
“Eleh... gurau sikit pun tak boleh.. Habis tu, apa yang kau fikir hah?” Sudah malas hendak bertikam lidah. Farafeesa tidak akan sesekali membenarkan dia menang.
“Aku fikir.....” Gadis itu sudah mula tersenyum-senyum.
“Fikir apa?” Gesa Faraneesha. Tiba-tiba diserang rasa tidak sabar.
“Kalau jual baju ni cun jugak kan?”
Sejurus selepas itu, terus Faraneesha mencapai bantal di sebelahnya dan membaling ke arah Farafeesa yang sakan ketawa. Buang masa kalau khusyuk mendengar kata-kata Farafeesa. Pasti lawak bangla jugak yang dia beri. Akhirnya Farafeesa puas hati kerana berjaya membawa Faraneesha keluar dari kepompong kesedihan.
Terima kasih Allah!
p/s: hope enjoy n jgn lupe komen... hehe

7 comments:

  1. Mmg best...sya da follow dri awal..
    hope cepat sambung,,, teruskan berkarya

    ReplyDelete
  2. suka!!! :D
    neesha dh ok cket..
    nk tau apa jd ngn ezrakil nie... :)

    ReplyDelete
  3. ksian feesa..agknya klu mak die tau die sakit, mak die layan die baik2 x.

    ReplyDelete
  4. sedih gila bila feesa ckp,,
    aku dah tmpah kain kapan dah...
    kenapa mak dia tu x suka kat feesa?

    ReplyDelete
  5. sassy...nak tngok feesa n ezrakhil kawin...sekurang2nya feesa rasa bahagia wlupn sekejap.
    sambung cepat2 ek :D..best

    ReplyDelete
  6. entry sassy slalu pendek2 sgt la.. xpuas baca..

    ReplyDelete