Saturday 21 January 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [40]


            Dua hari bercuti secara mengejut menyebabkan kerja menjadi bertambun-tambun. Dari pagi dia melakukan kerja-kerja yang tertangguh. Ezrakil pula betah menyerahkan semua tugas kepadanya tanpa menghulurkan sebarang bantuan. Kalau ikutkan, tak banyak sangat pun kerjanya tapi disebabkan Atiq juga ikut turut bercuti, menjadikan kerja jadi lebih bertambun.
            “Neesha macam mana? Okay?” Suara Atiq memecahkan kebisuan antara kami.
            “Semangat dia beransur pulih...”
            “Hope dia kuat untuk menempuh ujian Allah ni...” Doa Atiq ikhlas. Walaupun dia tidak pernah kehilangan orang tersayang, tapi dia dapat rasa keperitan hati kembar Farafeesa itu.
            Atiq sudah mula bersandar pada kerusi. Sejak dia mengandung, dia memang rasa cepat penat! Sakit-sakit badan usah cakaplah. Aduh, baru sekarang terasa betapa besarnya pengorbanan seorang ibu!
            Rasa hendak berehat dua puluh empat jam sahaja. Namun apabila terpandangkan kerja-kerja yang masih belum selesai, kepenatan terasa berganda-ganda banyaknya. “Adoyai.. Inilah masalahnya kalau cuti sama-sama. Kerja menimbun-nimbun!” Keluh Atiq sambil meletakkan tangannya ke pinggang yang diserang rasa lenguh.
            “Aku cuti emergency, kau cuti kenapa pulak?” Dari pagi lagi Farafeesa hendak bertanya, tapi langsung tidak punya kesempatan. Sibuk mengalahkan orang kerja bank!
            “Mak mertua aku kan buat kenduri kesyukuran... Aku kenalah balik menolong..” Terang Atiq sedikit.
            “Kenduri kesyukuran? Sebab apa? Cucu dia bukannya lahir lagi pun...” Sakat Farafeesa sengaja.
            “Amboi... nanti bila anak aku dah lahir, aku tak nak bagi kau pegang!” Gertak Atiq geram.
            “Sejak mengandung ni tak boleh bergurau dah...”Sakat Farafeesa lagi sambil tersengih-sengih. Adakalanya dia merasa yang Atiq terlalu beruntung. Dia ada suami yang terlalu menyintainya. Dia ada ahli keluarga yang teramat menghargainya dan dia bakal menjadi ibu. Satu kebahagiaan yang sangat bererti buat seorang wanita.
            “Eh, maaflah tak dapat nak jemput kau tau untuk keduri doa selamat tu. Yalah, aku pun bimbang kalau nak ajak. Mestilah kau nak temankan Neesha kan...” Duga Atiq sambil mula meneruskan kerjanya.
            “Hmm, kenduri untuk apa sebenarnya?” Tertanya-tanya pula Farafeesa dibuatnya.
            “Oh, kenduri sebab Nazreen dah dapat penderma hati. Pembedahan pun dah selamat dijalankan. Alhamdulilah, Allah makbulkan doa kami. Sekarang doktor tengah tunggu respon daripada abang ayien.. Takut juga kalau ada tindak balas negatif.” Terang Atiq lagi.
            “Dia dah dapat penderma? Siapa?” Entah kenapa, nalurinya terfikirkan tentang arwah. Kebetulan, memang arwah telah mendaftar sebagai penderma organ. Jadi, post moterm yang diterangkan oleh Faraneesha tu ialah pendermaan hati ini ke?
            “Maklumat penderma kan dirahsiakan oleh pihak hospital. Tapi kebetulan orang tu meninggal sebab kemalangan. Itu je yang aku tahu.” Mungkinkah Luqman orang yang mendermakan hatinya kepada Nazreen?
            “Hei, kenapa ni? Kenapa kau teruja sangat nak ambil tahu pasal abang Ayien? Kau cakap kau tak kenal dia sangat pun kan...” Hilang topik Faraneesha, beralih pada topik kenduri dan kemudian tercerita tentang Nazreen pula. Waktu pejabat selama lapan jam ini tak cukup rasanya untuk dibualkan tentang macam-macam perkara!
            “Memanglah... tapi aku ambik berat juga soal dia.” Tidak ada rezeki dia hendak menderma hati kepada Nazreen. Mungkin benar Luqman yang mendermakan hatinya kepada Nazreen. Hala balik nanti, dia ingin ke rumah Umi. Dia ingin selidik dari ibu Luqman sendiri. Sudah penat membuat spekulasi sendiri.
            “Kau sebagai orang luar pun nak ambil berat pada dia. Tunang dia sendiri pun buat tak tahu je dengan dia tu!” Atiq bercerita sendiri tanpa ditanya.
            “Dia dah bertunang?” Entah kenapa boleh menyibukkan lagi diri yang sedang sibuk ini.
            “Dah... tapi aku tak suka langsung kat tunang dia tu! Belagak macam dia tu perempuan paling cantik dalam dunia.” Farafeesa hanya tergelak mendengar bebelan daripada Atiq itu. Aish, tak padan dengan mak buyung!
            “Weh, kau tu tengah mengandung. Tak baik kalau kutuk-kutuk orang!” Tegur Farafeesa. Tapi betul kan... Orang tua selalu berpesan agar orang yang sedang mengandung menjaga tingkah dan percakapannya. Bimbang nanti anak yang dalam kandungan pula yang terkena badi. Biasalah orang tua, macam-macam pantang larangnya! Itu baru bab mengandung. Belum masuk tang bersalin lagi. Kembang anak tekak nak telan air akar kayu yang tidak ubah seperti air milo yang sudah basi seminggu! Yerkkk...
            “Anak mummy sayang....” Atiq mula mengusap lembut perutnya yang belum besar mana itu sambil tersengih-sengih. Kemudian dia menyambung kata.“....Bila besar jadi orang cantik tau! Cantik macam auntie Feesa.. Boleh mengorat bos hensem..” Serentak itu, Atiq ketawa besar. Suka mengenakan Farafeesa yang berubah airmukanya.
            Tanpa menunggu lama, terus Farafeesa membaling pen ke arah Atiq. Mujur sempat mengelat dan mujurlah bos tak ada! Kalau tidak, naya sahaja. Ezrakil itu pantang disebut, pasti akan muncul nanti.
            “Jangan marah ya... Kalau marah kena jual tau!”
            “Eh, memang patut pun aku marah... Bukan sebab ayat kau tadi tapi sebab kau rancang benda yang bukan-bukan dengan bos! Dah lah tak beritahu aku!” Tiba-tiba ada idea untuk merajuk dengan Atiq pula. Kerja menimbun tapi mulut tetap tak henti mengomel!
            “Aish.. nama pun kejutan! Mana ada orang bagi tahu. Sengal!” Sebenarnya, seawal masuk kerja lagi dia ingin bertanya perihal ini. Tapi bimbang Farafeesa marah. Jadi, untung-untung ada peluang, dia nak korek rahsia sampai habis. Dua hari dia tertanya-tanya sendiri. Kenapa Farafeesa menolak lamaran romantik Ezrakil?
            “Kau tahu, aku pulak yang frust bila bos cakap yang kau tolak lamaran dia!” Protes Atiq lagi apabila Farafeesa mula memberi fokus pada kerja-kerja yang berselerakan di atas meja. Nak mengelatlah tuh! Sengaja konon-konon fokus sedang membuat kerja.
            “Sebab hakikatnya, kami tak mungkin akan bersama..” Farafeesa berjeda sedikit. Matanya mula memandang ke arah pintu bilik Ezrakil yang terkunci rapat. Lagipun, Ezrakil adalah spesis manusia yang sangat sukar untuk difahami.
            “Kenapa, kenapa susah sangat untuk kau terima dia?” Atiq ambil pendekatan secara berkhemah. Dia mahu menyelami segenap ruang hati milik Farafeesa. Dia ingin mencuba, mendekatkan jarak hubungan Farafeesa dan Ezrakil yang terlalu payah hendak menjadi ini.
            “Sebab aku memang tak suka dia! Tu sebab yang pasti.” Perasaannya seperti dikocak hebat. Hatinya melarang namun entah kenapa bibirnya mudah mengatur ayat.
            “Yalah... Kenapa kau tak suka?” Desak Atiq lagi.
            “Sebab aku tak suka... aku tak suka.... aku tak suka dekat dia!!!” Kuat lontaran suara Farafeesa. Membuatkan Atiq membulatkan matanya. Tercengang sahabatnya itu dibuatnya. Hingga membuatkan wajah Atiq pucat tanpa darah!
‘Terkejut sangat ke?’
            “Tak perlu cakap kuat-kuat... Tak perlu cakap banyak kali... Saya belum pekak lagi.” Kali ini giliran Farafeesa pula yang terkedu setelah mendengar bait kata milik Ezrakil. Sekilas dia berpaling. Kenapa dia tidak perasan yang Ezrakil benar-benar berada di tepi mejanya. Bila masa lelaki itu keluar dari biliknya?
            “Bos....” Suara Farafeesa terputus. Tersekat tanpa idea untuk meneruskan kata.
            Ezrakil menghempaskan dokumen di atas meja Farafeesa. Mukanya jelas kelihatan riak marah. Entah kenapa, Farafeesa mula rasa takut untuk melihat anak mata Ezrakil itu. Kenapa hatinya rasa risau dengan keadaan Ezrakil sekarang?
            “Betulkan balik spelling resolution nih... Dah buat beribu kali pun masih buat salah lagi ke? Please alert sikit Feesa! Berapa kali awak nak buat kesalahan yang sama berulang kali? Saya ada banyak kerja lagi selain daripada nak tegur salah awak! Awak sepatutnya menyenangkan kerja saya, bukan menambahkan beban saya!” Tengkin Ezrakil seenaknya.
Berdesing telinganya menyambut kemarahan daripada Ezrakil. Selalunya, lelaki ini akan menegur kesalahannya dengan lembut sahaja. Kenapa perlu marah-marah?  Bukannya buat kerja yang merugikan duit syarikat pun!
            Atiq juga ikut turut terkedu. Nak pandang muka Ezrakil pun dia tak berani. Akhirya dia duduk diam di mejanya sendiri. Tangannya mengusap sedikit perutnya. ‘Terkejut anak aku dibuatnya!’
            Tanpa pamitan, Ezrakil hilang keluar dari pejabat. Menghalakan langkah yang tidak pasti. Farafeesa pula masih lagi terkaku sendiri. ‘Kenapalah aku suka bercakap tanpa pandang kiri kanan?’ Dalam hal ini, dia yang bersalah!
            “Feesa... Aku minta maaf... Aku...” Akhirnya, Atiq pula yang diserang gabra. Kalau dia tidak bertanyakan soalan yang tidak-tidak, pasti perkara ini tidak akan berlaku.
            “Biarlah... Biar dia tahu yang aku memang tak nak mempertaruhkan sisa hidup aku untuk bersama dengan dia!” Berani mati punya kenyataan. Kali ini, bertambah terkejut Atiq dibuatnya.
            ‘Kenapalah minah ni degil sangat? Keras macam batu! Batu pun boleh lembut dengan Ezrakil! Tetapi tidak untuk gadis yang bernama Naila Farafeesa!’
            “Feesa....” Farafeesa berpaling ke arah suara Atiq yang memanggilnya itu.
            “Makin kau cuba tolak perasaan kau tu, makin rasa tu datang menghampiri kau. Kalau kau rasa ayat itu akan menyakitkan hati bos, kau silap besar. Sebab sebenarnya, yang makin sakit nanti adalah diri kau sendiri!”
            Mereka saling berpandangan. Namun hanya seketika cuma. Terus Farafeesa kembali melakukan kerja-kerja yang terbengkalai. Namun sungguh hatinya kusut!
 ‘Kenapa aku tak mampu nak menidakkan kata-kata Atiq?’
***
            Ezrakil memandu tanpa arah yang pasti. Yang pasti, hatinya terlalu sakit dicincang lumat apabila mendengar kata-kata Farafeesa itu. Hampir-hampir dia ingat yang Farafeesa akan meluahkan rasa sayang terhadapnya kepada Atiq. Rupanya itu hanyalah sebuah angan yang tak akan menjadi kenyataan.
            Hatinya seakan-akan tidak boleh menerima hakikat yang Farafeesa tidak menyintai dirinya. Sedangkan dia ingin membentangkan kasih seluas lautan. Terhidang hanya untuk Farafeesa sahaja.
            Kadang-kadang dia terfikir jika Farafeesa mempunyai hubungan dengan lelaki yang berada di taman tempoh hari. “Kenapa bukan aku....? Ya Allah... ketika kau menamkan rasa cinta dalam hatiku, kenapa kau memutuskan yang dia tidak akan menjadi milikku?” Persoalan yang membabi buta hanya akan mengurangkan keyakinan diri kepada Yang Maha Esa. Hatinya memang tidak tenang langsung.
            Akhirnya pemanduannya singgah di sebuah masjid. Dia tidak tunggu lama lagi. Ezrakil ingin mencari ketenangan hati yang telah lama hilang dari pelusuk jiwa. Hilang dimamah rasa cinta yang nyata bukan menjadi miliknya. Azan zohor juga sudah mula kedengaran. Langkah diatur ke tempat wudhuk.
            “Ya Allah ya tuhanku, yang Maha mendengar dan Maha pengasihani... Aku bersyukur dengan segala kurniaaMu kepadaku... Aku menghargai segala perhatian dan kasih sayang yang kau sandarkan padaku...
            Aku sedar yang seorang hamba tidak layak untuk meminta-minta... Aku sentiasa sedar yang aku adalah hamba yang sentiasa lelah tikai badai menimpa diri... Aku akui yang aku sedikit pun tidak berdaya tanpa kasih dan rahmat dariMu...
            Ya Allah.... andai kata telah Kau takdirkan dia adalah milikku, akan ku jaga dirinya dengan penuh rasa ikhlas dan kasih... Akan aku hargai nikmat cinta dan kasih sayang yang kau curahkan dalam hatiku ini.. Namun jika dia bukan ditakdirkan untukku, aku mohon agar Kau kuatkan keimananku dalam menempuh arus rasa ini... dan aku berdoa agar ada seseorang yang lebih baik dariku, untuk menjaga dirnya.. Sesungguhnya siapalah aku tanpa bantuan dariMu... Amin...”
            Ezrakil meraup wajahnya beberapa kali. Ingin menepis segala gundah yang mendera. Ingin melangkah dengan kekuatan baru sebentar lagi. Perasaan jadi kuat setelah dapat mengadu kepada Yang Maha Esa.
            Ezrakil sudah bertekad. Kerana terlalu menyayangi Farafeesa, dia sanggup untuk  melepaskan Farafeesa. Biarlah gadis itu mencari bahagianya di luar sana. Namun andai kata Farafeesa tidak ketemu dengan mana-mana pintu kebahagian, pintu hatinya tidak akan pernah tertutup buat Farafeesa. Sekali dia cinta, selamanya cinta itu tetap akan ada. Walau hanya tinggal sedetik lagi, dirinya akan terus menyinta....sampai ke Syurga.
            Apabila kembali semula ke pejabat, Ezrakil langsung tidak menegur Farafeesa. Bukan sengaja ingin mengenakan gadis itu, tapi sebenarnya dia terasa seperti terlalu kejam pada Farafeesa. Terasa seperti sering memaksa gadis itu untuk menyintainya. Ezrakil mula sedar yang layanannya pada Farafeesa sentiasa keras! Tidak pernah menunjukkan keikhlasan. Jadi, seharusnya dialah yang menanggung kesalahan ini. Dirinya sendiri yang gagal membentuk hati Farafeesa agar menyintainya.
            “Bos....” Ketukan di pintu menyedarkan lamunan pendeknya. Farafeesa sedang berdiri berhampiran dengan pintu.
            “Sejak bila awak pandai ketuk pintu bila masuk bilik saya?” Farafeesa menggigit bibir. Dia sedar yang selama ini, dia sering terus meredah masuk tanpa ketukan di pintu. Tapi hari ini situasinya berbeza. Ezrakil sedang marah padanya. Kesalahan yang kecil pun akan menjadi besar. Dia langsung tidak berani untuk menjolok sarang tebuan. Buat naya badan sendiri je nanti!
Entah kenapa, Farafeesa terlalu takut untuk berhadapan dengan Ezrakil saat ini. Namun dia sudah tidak punya cara. Ada beberapa dokumen penting yang memerlukan tandatangan lelaki itu. Hendak meminta tolong pada Atiq, Atiq sendiri menyatakan ketakutannya.
‘Aish, nak tak nak, kena mengadap juga!’
            “Bos perli saya ke?” Aish... mulutnya ini masih gatal membalas kata.
            “Awak terasa ke?” Muka Ezrakil langsun tidak punya riak. Marah lagi ke? Terasa hati lagi ke? Suasana kekok mula menghantui mereka. Hendak menelan air liur sendiri pun, Farafeesa tidak mampu.
            “Err,, saya dah double check... Saya pun dah suruh Atiq tolong check.. Hopefully tak ada salah lagi.” Ezrakil terasa seperti hendak tergelak sahaja. Dia tahu, dia salah tadi. Dia salah kerana tidak profesional ketika bekerja. Kerana terlalu menurutkan kata hati, dia tertengking Farafeesa. Termarah gadis kesayangannya. Sedangkan kesalahan Farafeesa bukanlah besar mana pun.
            “Awak perli saya ke?” Farafeesa mula terfikir sendiri.
 ‘Aku salah cakap lagi ke? Aduh!!! Ezrakil kalau merajuk, memang susah nak pujuk!’
            “Bos terasa ke?” Farafeesa memulangkan paku buah keras.
 Ezrakil mengangkat pandangan. Akhirnya mereka saling bertatapan. Farafeesa menayangkan sebaris giginya yang putih bersih. Tak tahu hendak membuat gaya bagaimana lagi. Kemudian Ezrakil sudah mula tersenyum-senyum dan akhirnya mereka tergelak kecil. Entah apa yang kelakar tapi keadaan ini seperti mencuit hati mereka sendiri.
            Baru Ezrakil terfikir, usik-mengusik, perli-memerli, gaduh sesama mereka rupanya-rupanya sudah lama sebati dalam diri mereka. Sebenarnya perkara seperti inilah yang merapatkan lagi hubungan mereka berdua. Mereka sama-sama pandai menyakitkan hati dan sama-sama pandai menyejukkan hati yang panas itu kembali. Dengan cara seperti inilah mereka berdua membina keserasian!
            Macam pelik tapi itulah hakikatnya! Hubungan ini memang terlalu payah untuk dimaknakan!
            “Eer...” Hampir serentak mereka ingin memulakan bicara. Akhirnya mereka ketawa lagi. Ketawa untuk menghilangkan gundah yang menyapa. Ezrakil menguakkan rambutnya manakala Farafeesa pula membetulkan tudungnya yang sudah sedia elok terbentuk. Semuanya bagai tidak kena sahaja!
            “Hmm, biar saya cakap dulu...” Pinta Farafeesa sungguh-sungguh. Dia bukan apa, dia takut segala macam dialog yang berada di benaknya hilang jika mendengar biacara daripada Ezrakil nanti. Otak ini bukan boleh simpan lama-lama. Nanti masam bagai diadun jadi perkasam!
            “Teruskan....”
            “Saya minta maaf... saya tahu bos kecik hati dengan saya.. Saya betul-betul minta maaf..” Inilah kali kedua dia terasa sangat bersalah terhadap Ezrakil. Entah kenapa, hatinya ikut turut terusik apabila Ezrakil masuk tanpa memandang sedikit pun ke arahnya. Entah kenapa dia boleh berasa seperi  dirinya terlalu mementingkan diri sendiri. Memang dia tidak menyintai Ezrakil tapi dirinya langsung tidak layak untuk menghina cinta Ezrakil terhadapnya.
            ‘Entah kenapa, makin ingin aku berlaku kejam terhadap bos, ianya hanya semakin melukakan diriku sendiri? Apa sebenarnya yang berlaku sekarang?’ Farafeesa bagai tidak sedar dengan tempat yang  dia sedang berdiri sekarang. Adakalanya dia terlupa tempat duduk cerita yang sebenar.
            “Saya yang salah.....” Ezrakil melarikan pandangan. Tidak mampu untuk bertentang mata dengan Farafeesa.
            “Bos...”
            “Saya tak berhak untuk paksa awak untuk sukakan saya...” Sambungnya lemah. Farafeesa senyap sahaja. Hatinya pedih mendengar butiran kata dari Ezrakil.
            “Bos....” Farafeesa seakan-akan ingin menyatakan sesuatu. Namun rasa hatinya tidak terluah! Terkedu lagi.
            “Jangan risau Feesa... Lepas ni saya tak akan sentuh soal hati ini lagi. Saya dah sedar yang kasih ini bukan ditakdirkan untuk saya. Bukan saya beralah, tapi saya bimbang... saya bimbang jika saya terus mendekati awak, saya takut awak jadi tak selesa. Saya takut awak makin tak boleh terima diri saya... Saya takut awak lagi menyampah dengan tingkah laku saya...Saya takut kalau saya makin melukai hati awak Feesa... Saya sedar yang saya tak mampu untuk menawan hati awak.. Mungkin saya bukan lelaki yang ditakdirkan untuk awak.. Saya kena terima yang saya bukanlah lelaki yang bakal membahagiakan hidup awak!”
            Farafeesa hanya tunduk menekur lantai. Entah kenapa, dia rasa sungguh sebak! ‘Kenapa dengan hati aku ni? Aku patutnya gembira mendengar kata-kata Ezrakil? Tapi kenapa aku sedih? Adakah aku turut menyintainya tanpa aku sendiri sedari? Ya Allah, apa yang terdaya aku lakukan sekarang?’ Serius, hatinya berkecamuk hebat!
            “Feesa.....” Farafeesa mengangkat sedikit mukanya. Memberanikan diri yang mula diserang ketakutan. Takut apa, dirinya sendiri tidak punya jawapannya.
            “Saya doakan agar awak bahagia bersama dengan dia... Walau siapa pun si dia tu, saya harap agar dia dapat membahagiakan awak! Mungkin lelaki itu dapat cintakan awak lebih dari saya menyintai awak!”
            Farafeesa mengerlipkan matanya beberapa kali. Mengawal diri dari terus memuntahkan air mata yang sudah bertakung di birai mata. Mujur sahaja Ezrakil tidak memandangnya. Kalau tidak, pasti lelaki itu akan diserang rasa aneh!
            Ezrakil berpura-pura sedang khusyuk menyemak dokumen yang diserahkan oleh Farafeesa tadi. Hakikatnya, hatinya menerawang mencari tempat yang pasti untuk berlabuh. Jiwanya kacau diserang lelah. Lelah mengejar rasa cinta yang bukan ditakdirkan untuknya.
            ‘Ya Allah, aku seorang lelaki! Aku tidak mahu terasa lemah hanya semata-mata kerana cintaku tidak kesampaian... Mungkin ada seseorang yang lebih baik yang dijanjikan untukku... sabarkan hatiku... tetapkan Imanku... Agar teguh menyintaiMu lebih daripada segala sesuatu pun di dunia ini.’ Putusnya di dalam hati.
            “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu bos...” Farafeesa tidak betah lagi menunggu lama. Dia memang ingin menangis. Menangis mengenangkan apa? ‘Kenapa aku rasa macam ni? Ya Allah, apakah makna semua ini? Tolong terangkan perjalananku ini... Agar aku tidak tersasar di dalam kegelapan yang ditengelami oleh nafsu ataupun kerana terlalu mengikut kehendak hati!’
            Baru selangkah dia menapak, langkahnya terhenti mendengar panggilan Ezrakil.
            “Tapi jika awak tak jumpa bahagia awak kat luar sana, saya sentiasa ada untuk awak Feesa.... Awak selalu ada di tempat yang sepatutnya... Walau waktu tinggal sedetik sekali pun, ianya hanya milik awak seorang sahaja!”
            Farafeesa langsung tidak berpaling kerana air matanya telah merebes di pipi. Wajahnya sudah dihujani dengan deraian air mata yang tidak putus-putus mengalir. Hatinya sebak! Jiwanya keperitan menanggung rasa! Menangggung rasa cinta yang mula menjalar dalam jiwa.
            ‘Ya... aku harus mengakuinya... aku sudah mula tepaut pada Ezrakil...’
            Ezrakil hanya menghantar pemergian Farafeesa dengan pandangan kosong. Hatinya sudah mula tenang. Mungkin kerana dia sudah boleh menerima hakikat yang Farafeesa bukan miliknya. Dilepaskan Farafeesa dengan seikhlas hati.
            Selepas ini, dia bertekad untuk mula membasuh cinta itu. Akan digunakan seluruh daya dan kudratnya untuk melupakan Naila Farafeesa!

p/s: mampukah mereka membendung perasaan cinta yang sudah menghuni rasa hati?

9 comments:

  1. huhu..sedihnyer.. nape jd cmni plak.. huhu

    ReplyDelete
  2. en bos.. janganlah mengalah..
    aduhh.. saspen betullah...
    cepat smbung!!

    ReplyDelete
  3. ezrakil jgnlah mcm tu..kesian feesa..
    cik writer,cptlah smbg...

    ReplyDelete
  4. sedih nya ....... hope feesa dpt bersama dgn ezrakil walaupon sedetik saja..... best kak sara....... nnt smbng lgi.... hope kak sara dpt byk idea.... :)

    ReplyDelete
  5. Pleaseeee ! Noooo ! Tak nak diorang dua berpisah :( And kak sara,betul ke feesa ni akan meninggal ? Tak sukalah :(

    ~A~

    ReplyDelete
  6. feesa tlong la luahkn perasaan kat ezrakhil...

    ReplyDelete
  7. alaaaaaaaaaaaa....stiap kali baca mest jantung saya skit n laju macam baru pas lari maraton...memang best la cite niyh...pandai betul susun ayat...terkesan kat hati..huhu ~ana~

    ReplyDelete
  8. t'kesan jga feesa dgn kata2 ezrakil kan....mkin d tolak cinta ezrakil mkin x keruan hati feesa...pndai pnlis m'olah novel nie..part yg m'beri ksan sbnarnya..good job sara....wat yg t'baik lagi yerk...-wan ridaini-......

    ReplyDelete
  9. huhu...sedeyh x terkate...tlgla.......jgn biarkan perpisahan terjdi antara mereka...biarlah hati mereka bersatu walau untuk sedetik cuma...huhu...n kpd akak penulis,tlg lah hantar skrip novel ni kat kaki novel...tlg lah publish novel nie!!!

    ReplyDelete