Perlahan-lahan Mirza menyandarkan badannya ke pintu kereta. Tangannya mula
disilangkan ke tubuh badan. Nafasnya mula ditarik lembut. Terapi untuk mengawal
rasa hati yang dihurung gelisah. Ditetapkan rasa emosi agak tidak berlebihan
menyahut rasa marah.
Matanya mula dihala ke arah kiri. Memandang Haraz
yang ikut turut bersandar ke pintu kereta. Afrina pula awal-awal lagi telah
disumbatkan ke dalam perut kereta. Dapat dikesan riak cuak Afrina apabila
melihat kelibatnya tadi. Memang sengaja dia mengekori Afrina. Dia ingin
menjawab segala persoalan yang menghantui benaknya.
“Aku.....” Haraz mula bersuara. Namun tidak tahu
untuk dicedok kata dari mana. Hanya Allah yang tahu perasaannya sekarang. Tidak
pernah dijangka yang dia akan diletakkan di dalam situasi seperti ini. Takut
juga hendak merangka ayat.. bimbang dengan penerimaan tunang Afrina ini.
Lagipula, dia langsung tidak mengenali kriteria Mirza. Tapi sekali pandang,
tidak nampak langsung yang Mirza hendak menumbuknya. Lelaki itu jauh lagi
tenang dari dirinya sekarang.
“Aku tak tahu pun yang Ain dah bertunang....”
Akhirnya, ayat yang paling mudah dan paling ringkas mula keluar dari mulutnya.
Penerangan yang banyak hanya akan menimbulkan salah faham yang lebih tinggi.
“Ain?” Mula pelik dengan nama yang dituturkan oleh
Haraz.
“Aku panggil Afrina, Ain...”
Terangguk-angguk sedikit kepada Mirza dibuatnya.
‘Jadi dah ada nama panggilan yang lain.. Mungkin lebih ayu dan istimewa..’
Fikir Mirza sedikit.
“Okay... kau lelaki, aku lelaki.. Jadi rasanya tak
perlulah kita nak berkias macam orang perempuan... Tak perlu nak tapis-tapis..
tak perlu nak selindung... Just jawab je soalan-soalan aku dengan jujur.”
Miza sudah pun berdiri tegak. Matanya menjeling
sedikit ke arah Afrina yang kelihatan gelisah melihat perbincangan mereka dari
dalam kereta. Pastilah Afrina tidak dapat mendengar perbincangan mereka berdua.
Apa yang Mirza nak buat tu? Janganlah mereka
bertumbuk kat luar ni.. Hendak sahaja Afrina keluar dari perut kereta ini..
tapi dia naik gerun apabila melihat wajah Mirza.. Wajahnya yang selama ini jernih, langsung serius dan
mula dibanjiri kekeruhan. ‘Dan akulah orang yang telah menjiruskan kekeruhan
itu...’
‘Jangan pandang saya macam tu Afrin... Saya tak
akan lakukan perkara yang teruk pada pemuda kesayangan awak ni... Jangan
pandang saya terlalu teruk Afrin... Kerana seteruk-teruk sikap saya, saya juga
pernah mendapat tempat di hati awak kan... Jadi, tolong jangan bersangka buruk
tentang saya...’ Luah hati kecil Mirza. Sungguh, dia berkecil hati dengan
pandangan itu. Seolah-olah Afrina tidak mempercayainya langsung.
“Apa soalannya?” Pertanyaan Haraz itu mengejutkan
lamunan pendek milik Mirza.
“Kau sayangkan Afrin?”
Dapat Haraz rasakan yang
kakinya bagai tidak berpijak di bumi yang luas ini apabila menyambut huluran
soalan daripada Mirza itu. Nampak mudah namun sebenarnya mampu membunuh. Jadi
apa yang dia harus lakukan sekarang? Perlukah dia mengiakan atau sebenarnya dia
wajib untuk menidakkannya?
“Apa maksud kau?”
“Just jawab soalan mudah
aku tuh... Aku tak mintak kau soal aku balik!” Nada Mirza sedikit keras.
Mungkin hatinya tidak sabar untuk menantikan jawapan daripada pemilik jiwa
Afrina ini.
Adakah dia cemburu? Ya... Dia memang mencemburui
Haraz.. Bagaimana harus dia tidak cemburu pada lelaki yang mampu menghilangkan
jiwa Afrina dari terus menyintainya.
Rasanya, orang gila sahaja yang tidak cemburu.
Namun rasa cemburu itu cepat-cepat dikawal. Bimbang cemburu itu menguasai
stereng ketenangan dan gear keimanan miliknya. Mirza mula beristigfar di dalam
hati.
“Maaf... aku...” Diraup mukanya berulang kali.
Semua ini mampu membuatkan jiwanya kacau bilau! Siapa sangka, wanita yang
selama ini disayangi telah mula berpatah arah. Afrina tersesat tika menuju
hatinya. Namun siapa yang harus dipersalahkan?
‘Adakah aku yang kurang memberi perhatian ataupun
jiwa Afrina yang terlalu goyah dari terus setia? Tapi untuk menunding jari
kepada Afrina, aku langsung tak mampu... Aku langsung tak mampu untuk
membencinya walau untuk sesaat.’
“Aku yang patut minta maaf... Aku muncul dalam
hubungan korang berdua. Aku yang merosakkan hubungan korang.” Haraz tahu berat
untuk Mirza menerima semua ini. Jika dia di tempat Mirza, pasti lelaki itu
sudah ditumbuk. Paling kurang pun lelaki itu pasti akan diherdik olehnya. Tapi
Mirza masih boleh menghadapinya dengan tenang. Dia sendiri punya khilafnya sendiri. Baru saat ini dia
mengetahui yang Afrina adalah tunangan orang. Kalau dia tahu hakikat ini dari
awal, dia sendiri tidak akan mengusik hati Afrina. Membolak-baliknya jiwanya
sendiri. Namun sekarang, semuanya sudah terjadi!
“Tak ada sesiapa yang bersalah.. Takdir yang bawa
kita ke sini..” Ujar Mirza sambil berjeda sedikit. Nafas ditarik dalam-dalam.
Biar tidak tersekat dan terhimpit dengan keadaan lagi.
“...Jadi, sila jawab soalan aku tadi? Kau
sayangkan Afrin atau tak?” Kali ini, rasa tenang sudah mula menjalar.
Membenarkan kebahagian orang lain adalah kebahagian yang lebih besar nilainya.
“Erk.. mungkin jawapan aku ni bakal melukakan
kau..” Haraz sedikit teragak-agak untuk menyambung kata. Betahkan dia untuk
berterus terang?
“Kau jangan risau.. tanpa jawapan kau pun, aku dah
sedia terluka..” Mirza ketawa perlahan. Namun ketawa itu sebenarnya menyakitkan
cuping telingannya. Merobek tangkai hatinya hingga terluka sendiri.
“Mirza...” Haraz mula diserang rasa bersalah.
“Aku hanya mampu dan pandai menyintai dia....”
Luah Mirza perlahan.
Haraz memandang. Membiarkan Mirza terus
berkata-kata.
“Tapi aku tak mampu nak lihat dia menangis di sisi
aku kerana aku sedar yang bukan aku yang mampu untuk membahagiakan dia...” Luah
Mirza lagi.
“.. Jadi apa yang harus aku lakukan sekarang
ialah... melepaskan dia pada seseorang yang mampu membahagiakan dia...” Usai
meluahkan, Mirza dapat merasakan yang jiwanya terasa ringan. Hilang terus
cengkaman jiwanya. Melepaskan sesuatu yang bukan ditakdirkan untuk kita adalah
lebih bagus daripada terus menyimpannya sehingga membuatkan kita terluka
sendiri.
Melopong mulut Haraz mendengarnya. Adakah ini
bermaksud.... “Mirza....” Haraz buntu! Tidak tahu untuk memberi reaksi yang bagaimana
lagi. Tidak dapat tidak, dia sendiri tidak mampu untuk mengecewakan hati lelaki
yang lain. Apatah lagi lelaki itu sungguh baik bud pekertinya.
“Tolong jaga dia untuk aku...” Dengan bibirnya
yang mengeletar, ayat itu keluar dari mulutnya.
“Jangan sakitkan hati dia....”
“Jangan buat dia menangis...”
“Jangan pernah sisihkan dia...”
“Jangan tinggalkan dia....”
Ayat-ayat itu mula keluar dari mulut Mirza. Mata
lelaki itu sedikit berkaca. Menggambarkan rasa berat hati untuk melepaskan
gadis kesayangannya ke tangan lelaki lain. Mirza sedar, jika tidak kuat iman,
boleh sahaja dia tersungkur di lembah ini. Namun dia belum cukup lemah untuk
menangis kerana perempuan. Apatah lagi perempuan itu bukan miliknya yang sah.
“Mirza...”
“Janji dengan aku Haraz!” Pohon Mirza
sungguh-sungguh. Selagi dia belum dengar dari mulutnya sendiri, selagi itu dia
tidak akan berpuas hati.
“Aku janji....” Ayat keramat itu mula keluar dari
mulut Haraz. Bagi dirinya, Mirza terlalu baik. Mampukah dia mengantikan tempat
Mirza? Mungkin lelaki ini pernah tersilap... Namun Afrina juga tidak kurang
silapnya.. Lumrah manusia biasa. Tapi kehendak hati, tidak boleh dipaksa-paksa.
Hati ini berada di dalam gengaman Allah. Tanpa diri kita menyedarinya, hati itu
sudah mula mengubah rasa.
“Lega aku dengar... Aku akan doakan kebahagian
kalian dari jauh.. Tapi untuk hari ini, aku minta izin untuk hantar Afrina
balik.. Biar aku terangkan semuanya pada ahli keluarganya. Aku janji aku akan
tolong sehabis mungkin.. untuk kebahagiaan kalian berdua.”
Tangan Mirza mula dihulurkan kepada Haraz. Dia
tidak mahu mencari gaduh dengan sesiapa pun. Bukan cara hidupnya jika hendak
mengajar diri untuk bermusuhan sesama muslim. Bergaduh kerana perempuan hanya
akan menjatuhkan maruah seorang lelaki.
“Kenapa kau terlalu baik...?” Tanpa sedar ayat itu
keluar dari mulut Haraz.
Mirza yang baru sahaja melangkah mula berpaling
sedikit. “Sebab aku tahu kau pun baik...” Jawab Mirza mudah. Ya.. Sesungguhnya
dia dapat merasa keikhlasan Haraz dalam
mengenali hati Afrina. Lantas terus dia masuk ke dalam perut kereta.
Sengaja membiarkan Haraz terpinga sendiri.
“Kita nak pergi mana ni?” Soalan pertama yang
keluar dari mulut Afrina apabila Mirza mula menarik tali pinggang kaledar.
“Kahwin lari...”
“Hah! Awak jangan main-main Mirza?” Jantung Afrina
sudah berdegup di luar kebiasaannya. Kalau lah Mirza benar-benar mengotakan
bait katanya....
“Kalau dulu awak sanggup, kenapa tidak sekarang?”
Tanya Mirza tenang. Sengaja menguji gadis di sebelahnya. Dia mula menukar gear.
Pedal minyak mula ditekan. Memandu dalam kelajuan sederhana.
“Saya tak pernah cakap yang saya sanggup kahwin
lari dengan awak!” Seingatnya, dia tidak berjanji sebegitu rupa. Mirza memang
sengaja ingin mempermainkannya.
Mata Afrina mendarat pada wajah Haraz yang berada
di luar kereta. Ingin sahaja dia keluar dari kereta Mirza ini. Tapi dia
takut... Takutkan apa? Dia sendiri tidak mengetahuinya. Afrina juga berharap
agar Haraz akan membuka pintu ini dan membawanya keluar. Tapi Haraz hanya
memandang.. Adakah Haraz merelakan pemergiannya?
“Iya...
Tapi awak pernah berjanji untuk sehidup semati bersama saya kan?” Tebak Mirza
lagi.
Kali ini Afrina mula terdiam. Berbalas kata dengan
Mirza, dia tidak akan pernah menang. “Itu dulu....” Perlahan jawapan itu keluar
dari bibir Afrina. Pandangan mata mula terarah ke luar tingkap semula. Mencari
bayang Haraz yang telah hilang dari pandangan.
Mirza mengerling sedikit ke arah Afrina. Kini,
seratus peratus dia sedar yang, mereka sudah terlalu jauh. Kasih itu memang
tidak terjangkau dek gapaian tangannya lagi. Kasih itu memang pernah ada, tapi
kini nyata ia sudah hilang dimamah masa.
“Tak kan tak tinggal sedikit pun sisa rasa sayang
tu Afrin.. Tak kan tak ada langsung?” Lirih sahaja nada suaranya. Berharap agar Afrina dapat
memberikan jawapannya.
“Jangan tanya Mirza.. Saya tak ada jawapannya!”
Afrina sedikit membentak. Dia tidak suka ditindih dengan soalan yang menghentak
kalbu. Jiwanya perit!
Siapa yang salah? Siapa yang harus dipersalahkan?
Bahu siapa yang bakal menggalas kelukaan ini? Persoalan seperti ini memang
mampu menghukum manusia!
“Kita tetap akan teruskan perkahwinan ni seperti
biasa...” Sengaja Mirza mengeraskan suaranya. Berpura-pura memandang ke jalan
yang terbentang walaupun dia sangat teruja untuk menanti respon daripada
Afrina.
“No... Awak tak boleh paksa saya sesuka hati
awak!” Pekik Afrina lantang. Jeritan itu terus membuatkan Mirza terkejut lalu
tertetan break secara mengejut. Hampir sahaja Afrina tersembam di dashboard
kereta namun segera dihalang oleh tangan Mirza.
Afrina mula tercungap-cungap. Terkejut dengan
tindakan spontan Mirza itu. Namun dia sedar yang tindakan Mirza adalah datang
dari salahnya.
“Afrin... Awak tak apa-apa? Ada sakit kat
mana-mana?” Tanya Mirza gusar.
Afrina yang mendengar soalan Mirza itu terus
menitiskan air mata. Dalam waktu sebegini pun, Mirza masih menitik beratkan
dirinya. Ya, kebaikan lelaki ini tidak tercela sedikit pun. Tapi kenapa? Kenapa
hatinya langsung tidak betah menerima kehadiran Mirza? Kebaikan lelaki itu
tidak mampu menyogok hatinya agar terus terpaut untuk sekelian kalinya.
“Afrin... Tolong jangan takutkan saya.. Sakit kat
mana?” Tanya Mirza cuak. Apatah lagi setelah melihat tangisan Afrina itu. Dia
memang paling tidak suka melihat Afrina menangis.
“Afrin... sakit dada ke? Ke sakit kepala? Kalau
tak cakap, saya tak tahu Afrin...” Wajah Mirza sudah menitis dengan peluh
walaupun aircond kereta sudah sedia terpasang. Debar melihat keadaan Afrina
tika ini.
“Kita pergi klinik!” Putus Mirza muktamad sambil
mula meletakkan tangannya di stereng kereta. Apabila tangan kiri sudah mencapai
gear kereta, tangan Afrina mula melekat di lengannya. Sekilas dia berpaling.
“Kenapa awak masih ambil berat pasal saya? Saya ni
tunang yang curang? Tunang yang tak guna... Atau awak berfikir kalau awak terus
berbuat baik dengan saya, hati saya akan berubah kembali kepada awak? Macam tu
ke?”
Mirza diam. Sengaja tidak mahu bersuara.
“Apa pun yang awak buat.. Ianya tak akan mengubah
apa-apa Mirz.. Tak akan ada yang berubah!”
Mirza hanya menyandarkan tubuhnya ke kusyen kereta.
Sebenarnya dia sudah dapat mengagak. Rambut yang kemas itu mula kusut apabil
Mirza bertindak menguakkan rambutnya berulang kali. Nafas yang panjang mula
ditarik.
“Ada yang berubah Afrin...” Ujar Mirza sedikit
sambil mula membalas pandang.
“Perasaan awak pada saya yang berubah... Sedangkan
perasaan saya pada awak masih kekal di tempat yang sepatutnya. Tak pernah
berganjak... tak pernah berkurang....”
Afrina mula melarikan pandangan.
“Ya... saya yang bersalah sekarang! Puas hati
awak?” Marah Afrina lagi. Suaranya sedikit meninggi. Mizra mengeluh. Bukan itu
yang dimaksudkan dirinya tadi.
“Saya rindukan Afrin saya yang dahulu.. Yang suka
mengusik.. Yang kadang-kadang mengada dengan saya...Yang manja... Yang petah
berkata-kata...Yang manis senyumannya...” Kata-katanya terhenti seketika.
“Saya tak mahu kehilangan semua itu.. Jadi kalau
dengan bersama saya, awak akan kehilangan semua tu, saya rela undur diri...
Saya rela kehilangan awak tapi saya tak rela kalau awak tinggalkan senyuman
semata-mata hendak bersama dengan saya.”
Suara Mirza perlahan menampan peluput telinga
Afrina.
“Maksud awak?”
“Kita berpisah jelah Afrin.... Kalau kita stay
bersama, tetap tak akan bagi apa-apa kesudahan dalam hubungan kita.” Afrina
memandang Mirza lama.
“Tapi susah Mirz...”
“Tak ada benda yang mudah Afrin...”
“Awak cakap senanglah! Saya nak nak kena
tanggung!” Marah Afrina tiba-tiba. Sejak akhir-akhir ini, memang sukar untuk
dikawal perasaannya. Semuanya bagai bercelaru bertempiaran di sana sini.
“Patutnya awak fikir sebelum cakap dengan mak awak
Afrin! Kenapa nak salahkan saya pulak! Bukan saya yang memulakan semua ni!” Tak
pasal-pasal, Mirza pula yang diserang angin kemarahan. Terpana Afrina
melihatnya.
“Maaf.....”
Memang sukar untuk memulihkan hubungan yang sudah
sedia goyah!
“Saya minta maaf Mirz... Saya banyak buat salah
dengan awak kan?” Afrina jadi terpanggil untuk bersuara. Dia dapat lihat betapa
kusutnya wajah Mirza saat ini. Pasti lelaki itu penat tika melayan karenahnya.
Memang dia yang bersalah! Mirza tidak patut menanggung beban ini.
“Afrin... apa pun kesalahan yang awak buat, saya
telan dengan segala kebaikan awak pada saya! Awak tak ada hutang apa-apa dengan
saya.... Semuanya dah diputuskan sebegini rupa... Mungkin dah tersurat..Tak ada
jodoh antara kita...”
Mirza menghulurkan tisu yang berada di dashboard
itu kepada Afrina. Biar gadis itu menepis segala airmatanya.
“Berhenti menangis Afrin.. Sebab Mirz akan tolong
Afrin bersatu dengan Haraz! Mirz akan serahkan Afrin pada yang selayaknya....”
Afrina bertambah terharu dengan kebaikan Mirza.
“Tapi keluarga kita....”
“Mirz akan fahamkan mereka!” Mirza sudah memulakan
pemanduan.
“Saya doakan yang awak dapat perempuan yang baik
Mirz...” Sekilas Mirza menoleh ke arah Afrina.
Mirza tersenyum sedikit. ‘Dan saya sentiasa berharap
yang perempuan baik itu adalah awak....’ Sambut hati Mirza perlahan.
***
‘AKu merinduinya sepenuh hatiku, namun dirinya tidak mengetahui kerana
rinduku hanya dalam minda dan perasaanku. Aku menyayanginya sepenuh jiwaku, namun
dia tidak mengetahui kerana telahku simpan kasih sayangku di sanubariku. Aku amat kasih pada dirinya, namun dia tidak
mengetahui kerana kasihku itu telah ku pendam sepenuhnya di dada kalbu.. biarlah
aku simpan hasrat hatiku, andai dirinya di takdirkan untukku, aku berharap agar
Allah bukakan pintu kasihnya untukku..’
Tulus
doa itu dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Tangannya mula mencapai bingkai gambar
yang berada di dalam laci meja. Terpampang gambar mereka berdua sewaktu bercuti
di Genting Highlands dahulu. Wajah Afrina merekah dengan senyuman manis.
“Iyyad...
Mari turun makan.” Seru satu suara dari arah belakang.
Cepat-cepat
Mirza menyembunyikan gambar tersebut. Tidak mahu terkesan dek mata ibunya.
“Ya.. Iyyad nak turun lah ni...” Ujar Mirza sambil mula bangun.
“Iyyad
turun dulu... Ibu nak pergi panggil Ida kejap.” Mirza hanya mengangguk apabila
mendengar arahan daripada ibunya. Lantas dibawa kaki ke arah dapur.
Setelah
memastikan yang anaknya itu benar-benar sudah turun, cepat-cepat Puan Maizura
menyelinap masuk ke dalam bilik anaknya itu. Hatinya terpanggil untuk
mengetahui gambar yang dilihat oleh anaknya tadi. ‘Gambar bakal menantukah?’
Namun
perasaan yang tadinya berkobar-kobar mula diusung marah apabila melihat gambar
Afrina. Rupa-rupanya, wanita itu msih melekat di dalam kotak ingatan milik
anaknya. Tidak serik-serik lagikah Mirza setelah gadis itu memperkotak-katikkan
cintanya?
“Tak
boleh jadi nih... Aku kena lakukan sesuatu!” Gerutu Puan Maizura bengang. Dia
tidak mahu Mirza terus-menerus dihurung dengan cinta lama. Perlu ada cinta yang
baru untuk mengalihkan dunia Mirza pada bayangan Afrina itu.
p/s:: maaf kalau tak memenuhi piawaian korang.. sebarang teguran n kritikan amat saya alu2 alukan.. =)
bab mula2 dl rs kesian sgt ngn Afrina..tp skrg ni, rs kesian sgt3 ngn Mirza...alahai Puan Maizura ni..mesti nak pi calon isteri utk Mirza ni...??
ReplyDeleteaah.. nak cari calon untuk Mirza... ngeee
Deleteeei, xsuka la kat afrina tu! bole plak curang ngan tunang sebab tunang sibuk keja. xsuka2! hope sgt t mirza dapat kat girl laen. xpyh tunggu sgt la afrina tu.
ReplyDeletebetul2..biar kn je afrina ....sian kn mirza.....hope dia dpt lupakn afrina n mulakn hidup baru...mne tau ada watak heroin baru....apa2 pun ggur job cik writer...sambung2..nk tahu apa ye mak mirza nk buat...
Deletewah.. sila sabar ya 91 n along... takut pulak saya bc komen korang nih..hehe.. semua orang pernah buat salah kan...
DeleteCik writer leh x bgi heroin laen kt mirza.....n hero laen tuk afrina....
ReplyDeleteXnak diorg b'same.....
Kesian mirza....afrina xpatut curang gan dia.....
haha.. permintaan yang menjerut penulis nih... sabar2.. ada bnyak lg yang perlu dihuraikan..
Deleteskrg bukan kesian dkt afrina..tp dkt mirza, pasni mak dia plk msk campur...mst mak dia nk cr jodoh utk mirza ni...
ReplyDeletehmm.. mungkin jugak mak dia carikan.. tapi mampu ke Mirza nak terima?
DeleteKesian dekat Mirza....T_T
ReplyDeleteLepas ni gerenti mak Mirza carikan jodoh untuk Mirza....
kita tgk sama ada Mirza terima atau x ya..
Deleteternyata mirza msih cinta kn afrina..
ReplyDeleteHope jdoh mirza ngan afrina kuat sbb tak sggp lg nak tngok mirza kecewa bwt x k dua..
setuju2......satukn mrk sbb hati mirza still pd afrina...setia kn mirza.....huhu...
Deletemungkin dulu ada bnyak benda yang salah... bnyak benda y x btul... salah seorang dari mereka perlu memperbetulkan keadaan.. =)
Deletemenyampah pulak kat afrina ni.. padahal mirza tu punyalah baik.. lepas ni apa pulak yang mak mirza nak buat?
ReplyDeletesabar yat.. sabar... jangan menyampah kat afrina.. heroin tuh..hehe
Delete