Thursday 29 December 2011

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [11][12][13][14][15]


Bab 11
            “Kenapa telefon?” Bisik Faraneesha perlahan. Matanya memerhatikan keadaan sekeliling. Bimbang jika ada orang cuba untuk memasang telinga mendengar perbualannya dengan Luqman.
            “Dekat kampung tu ada mamat hensem ke sampai awak tak nak jawab telefon saya ni?” Berkerut dahi Faraneesha cuba memahami maksud tersirat kata-kata Luqman.
            “Tak fahamlah. Bila masa pulak saya tak nak jawab call awak?” Luqman tersenyum mendengar suara Faraneesha yang polos itu.
            “Yalah. Awak boleh tanya kenapa saya call? Mestilah saya rindu kat awak.” Kembang kempis dadanya mendengar kata-kata Luqman yang kedengaran sangat romantik itu.
            “Kalau ada pun mamat hensem kat kampung ni, saya pasti yang dia tak sehensem buah hati pengarang jantung saya ni.” Balas Faraneesha kembali.
            Dunia ini terasa indah sungguh tika hati dibuai cinta. Memang cinta itu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Yang dicari oleh semua hamba ciptaannya namun hanya yang mencintai pencipta akan mengenal erti cinta yang sebenar.
            “Ganggu ke?”
            “Awak dah biasa jadi penganggu hidup saya kan.” Seloroh Faraneesha sambil tergelak kecil.
            “Nanti bila saya dah tak ada nanti, baru awak sedar yang awak memang nak diganggu oleh saya je tau.” Mati terus senyumannya. Dia tidak suka jika ayat ‘tak ada’ itu digunakan.
            “Boleh tak jangan merepek.” Suaranya sudah mula serius. Dia mahu Luqman sedar yang dia sedikit pun tidak main-main dalam hal ini.
            “Mana ada merepek. Tengah makan kerepek je.” Gurau Luqman namun tidak mendapat sebarang sambutan daripada Faraneesha.
            “Neesha, saya bergurau jelah tadi.”
            “Tapi gurauan awak tak bertempat.”
            “Kalau macam tu, boleh awak beritahu saya tempat gurauan tu? Saya tak tahulah.” Terus terukir senyuman di wajah Faraneesha.
             “Luqman, saya tak suka awak cakap macam tadi. Saya tahu, awak mesti akan cakap yang perkara tu akan terjadi juga satu hari nanti tapi tolonglah jangan cakap pasal hal tu.” Perlahan nada suaranya namun dia pasti yang Luqman mendengar dengan sangat teliti.
            “Jangan kerana takut untuk kehilangan saya membuatkan awak lupa tentang qada’ dan qadar yang telah pun ditetapkan. Mati tu kan sesuatu yang pasti. Dan menjadi sunat untuk mengingati mati sebab bila kita mengingati mati, kita akan dekat dengan Allah. Dan kita perlulah saling mengingatkan diantara kita yang adakalanya leka dengan nikmat dunia sedangkan nikmat akhirat itu lebih hebat ganjarannya.”
            Airmata Faraneesha mengalir perlahan. Dia senang dengan bicara Luqman yang sentiasa memberikan kata-kata yang bermakna untuk disemat kemas didalam hati yang adakalanya lara dalam menurut kata hawa nafsu.
            ‘Ya Allah, bersama dengannya membuatkan hambaMu ini sering merasa bahawa amalanku padaMu terasa sungguh kecil sekali. Dia sering mengingatkan kepadaku tentang kealpaanku dalam menjaga hubunganku denganMu Ya Allah. Kerdil sungguh diriku jika hendak dibandingkan dengan Luqman yang terlalu menyintaiMu lebih dari kumencintaiMu. Dan jika aku ditakdirkan menjadi miliknya, mampukah aku bergandingan dengannya di Syurga kelak?’
            “Maaf sebab terlalu mengikut perasaaan.”
            Dari kejauhan, Luqman hanya tersenyum sedikit. Bukanlah salah tentang apa yang Faraneesha tuturkan sebentar tadi. Cuma dia tidak suka jika Faraneesha lebih mengantungkan diri pada manusia melebihi Yang Maha Kuasa.
            Hidup ini terlalu singkat untuk dicetekkan dengan fikiran yang salah. Kasih sayang yang mengikat manusia itu tidak boleh dijadikan penghalang untuk menjaga hubungan dengan ALLAH.  Seharusnya kasih dan cinta itu disandarkan pada ALLAH agar dapat dititipkan pada seorang hamba yang turut menyintai ALLAH.
            “Awak tak salah… Jangan menangis Neesha.” Pujuk Luqman lembut. Faraneesha tidak terus menyeka air matanya itu. Dibiarkan sepi tanpa sebarang sapaan.
            “Saya akan sentiasa berdoa agar kasih sayang yang mengikat kita terus bertahan hingga ke Syurga nanti.” Ucap Faraneesha perlahan. ‘Ya ALLAH, aku bersyukur dengan pemberianMu ini.’
            “Insya Allah. Sesungguhnya, hanya doa yang mampu dipohon. Jangan malu untuk meminta denganNya, kerana dia tidak akan pernah lokek untuk memberi sayang.”
            Kata-kata Luqman itu Faraneesha setuju seratus peratus. Kadang-kadang Faraneesha sentiasa merasa bahawa dirinya langsung tidak layak untuk bersama dengan Luqman. Jejaka itu sentiasa penuh dengan ilmu di dada.
            ‘Layak atau tidak seseorang itu, bukan manusia yang tentukan. Walau ditilik dari celah mana sekalipun oleh manusia, manusia tidak semestinya akan berjaya menemui yang terbaik. Ketetapan telah pun ditetapkan iaitu seorang lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah sebaliknya. Semua itu tidak boleh disangkal oleh manusia kerana itu adalah janji Allah buat setiap hambanya.’
            Kata-kata itu masih terngiang lagi di cuping telinga Faraneesha tika Luqman menuturkan apabila dirinya mempertikaikan tentang kebimbangannya untuk meneruskan hubungannya dengan Luqman.
            “Awak terlalu baik untuk saya Luqman. Adakalanya saya rasa diri saya tak cukup sempurna untuk awak.”
            “Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan yang adakalanya tidak disedari oleh tuan punya badan sendiri.” Seketika, dia tersenyum walau dia tahu yang Faraneesha tidak melihat huluran senyumannya.
            “Itulah fungsi setiap pasangan. Mereka perlu saling melengkapi dan dilengkapi. Kerana hakikatnya, tak ada manusia yang sempurna sayang. Kisah cinta yang sempurna hanya ada dalam novel yang awak selalu baca tu je.”
            Tergelak kecil Faraneesha dibuatnya. Sempat lagi Luqman mengenakannya. “Kenakan saya eh.” Hilang juntaian air matanya. Yang ada cuma sebuah senyuman yang sangat manis untuk dilihat.
            “Eh, awak terasa ke?” Lagi mahu buat-buat tanya.
            “Okaylah Luqman. Saya ada kerja lagi nak kena settle ni.” Terasa belum puas untuk berbual dengan pemilik hatinya itu. Namun dia perlu akur dengan kerja-kerja yang menuntut kudratnya.
            “Okay sayang. Kirim salam pada semua ya. Suruh dia orang bersiap sedia untuk kenduri yang akan datang pulak. Dah tak lama dah tau.”
            Faraneesha hanya tergelak kecil. Senang dengan gurauan Luqman yang mendamaikan rasa hatinya itu. Sesungguhnya, dia turut mendendangkan irama yang sama. Irama kebahagiaan.
 
 Bab 12
            Farafeesa mengemas apa-apa yang patut di ruang tamu. Dia perlu memastikan ruang tamu itu bersih dari sebarang kecacatan yang bakal mencacatkan majlis perkahwinan sepupunya esok.
            “Angah, adik dahagalah.” Entah dari mana munculnya. Farafeesa sendiri tidak dapat mengagaknya. Adik bongsunya ini memang lasak dan buas.
            “Pergilah ambik dekat dapur.” Terlalu asyik dia mengemas. Sedikit pun tidak memperdulikan adiknya itu.
            “Alah, nak ambik kat mana.” Renget Iman lagi. Farafeesa mula memghentikan kerjanya. Terus dihalakan pandangan ke arah Iman yang kelihatan sangat comot itu.
            “Eee, adik ni mengacau betullah. Cubalah berdikari sikit.” Farafeesa berpura-pura ingin marah. Namun yang kelihatan cumalah dua batang gigi milik Iman. Tidak langsung menunjukkan riak ketakutan.
            “Alah, bila besar nanti adik berdikarilah.” Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut si kecil.
            “Bila orang cakap tu ada je nak menjawab eh.”
            “Angah, nak air..” Rengek Iman lagi. Farafeesa terasa malas sungguh untuk menapak ke dapur. Baru sahaja kakinya menjengah di tangga dapur, matanya tertacap pada segelas cawan yang berisi air masak. Lantas dicapai dan disuakan kepada adik bongsunya itu.
            “Nah, minum air ni je. Angah malas nak turun ke dapur.” Iman mencapai gelas dengan muka yang masam. Mungkin tidak berpuas hati kerana hanya diberikan air masak sahaja.
            “Angah, air ni rasa lain macamlah.” Rungut Iman sambil menghalakan gelas tersebut ke arah Farafeesa.
            “Kamu ni, asal minum air masak je terus rasa lain eh. Kalau minum air oren tu tak pulak kamu komplen rasa macam air sirap eh?” Bebel Farafeesa dalam keadaan bercekak pinggang.
            “Betul. Adik tak tipu. Cuba angah rasa.” Kali ini, gelas sudahpun bertukar tangan. Dengan lafas bismillahirahmanirahim, Farafeesa terus meneguk air masak itu sedikit.
            Namun wajahnya terus bertukar kelat. ‘Mak oit, air apa ni? Payau betul.’ Iman tergelak melihat perubahan wajah yang ditunjukkan oleh kakanya itu.
            “Feesa, kau buat apa tu?” Tegur Mak Lang lantas mengangkat kaki menghampiri mereka dua beradik.
            “Ni hah, tadi Iman kata nak minum air. So, Feesa bagilah adik minum air yang kebetulan ada kat atas rak ni. Tapi dia cakap tak sedap jadi dia suruhlah Feesa rasa. Hmm, memang tak sedap pun” Cerita Feesa ringkas sambil menunjukkan gelas tersebut kepada mak saudaranya itu.
            “Kamu ambik gelas ni atas rak tu ke?” Tanya Mak lang sambil jarinya menunjukkan ke arah satu rak.
            “Aah.” Jawab Farafeesa sepatah. Tangan mak lang mengaru-garu lehernya. Mungkin cuba mengembalikan ingatannya tentang air didalam gelas terbabit.
            “Ya Allah Feesa, kau minum air…” Belum habis ayatnya, mak lang ketawa kuat. Hingga mengundang rasa hairan ahli keluarga yang lain. Hingga semuanya berkumpul dihadapan mak lang untuk mendengar cerita sensasi yang bakal meletup itu.
            “Itu air rendam gigi Opah Akmalah.” Tercengang Farafeesa mendengarnya.
            “Air rendam gigi.” Tiba-tiba dia merasa tekaknya kembang dan bakal ditemani oleh rasa loya yang menghimpit. Ahli keluarga yang lain bukan main lagi ketawa sakan.
            Farafeesa terus berlari ke bilik air. Sungguh dia pernah membayangkan yang dia telah minum air rendaman gigi palsu opah Akma.
            Sudahlah dihimpit rasa malu kerana ditertawakan oleh sanak saudara yang lain, terpaksa pula dia  berhadapan dengan rasa loya.
            “Kau okay tak ni? Mana tahu kau nak pengsan lepas minum air gigi palsu opah.” Sakat Amirul. Sepupu lelaki yang paling dia menyampah.
            “Jangan sampai aku sumbat air tu kat dalam mulut kau pulak.” Marah Farafeesa. ‘Tak habis nak cari pasal.’ Dengus Farafeesa kasar.
            “Alah, cubalah sumbat kalau dapat.” Terus dia berlari keluar dari rumah. Hilang tanpa dipinta.
            “Cakap je macam berani. Tapi pecut keluar. Bongok.” Bebel Farafeesa sendiri. Sudahlah bengang kerana terminum air gigi palsu opah Akma, terpaksa pula berhadapan dengan sepupu yang menyakitkan hati. Farafeesa mendengus kasar.
            “Feesa, buat air untuk abah.” Entah dari mana Puan Azah datang. Terkejut juga Farafeesa dibuatnya. ‘Ingatkan si Mirul tu yang datang balik?’
            Tanpa berlengah, dia terus membancuh air kegemaran abahnya itu. Kebiasaanya, abahnya itu memang gemar minum air Nescafe sebelum berangkat ke peraduan.
            “Tak ada nescafe ke?” Tiba-tiba ada terpancul soalan itu dari mulut abahnya. Berkerut dahi Farafeesa memikirkan soalan bapanya itu.
            “Tu, yang angah buat tu apa?” Ditunjuk gelas yang berada di tangan abahnya.
            “Ni air milo. Hai, milo dengan nescafe pun tak kenal ke? Parah betul kamu ni.” Melopong mulut Farafeesa mendengar penjelasan dari bapanya.
            “Tapi angah rasa, angah bancuh nescafe tadi.” Ya, dia sangat pasti yang dia meletakkan nescafe didalam cawan minuman bapanya. ‘Eh, ke aku letak milo?’ Keraguan mula bertandang didalam hati.
            “Tak apalah, angah bancuh yang lain untuk abah ya?” Baru sahaja dia ingin berlalu namun suara abahnya itu mematikan langkah panjangnya.
            “Tak apalah. Dah lama jugak tak minum milo.” Terus diteguk minuman dari air tangan anaknya itu. Farafeesa berlalu dengan kebingungan yang mula menapak di dalam benaknya.
Farafeesa meraba telefon bimbitnya. Tiba-tiba dia terjaga dari lena. Entah kenapa, dia merasakan tidurnya tidak selena semalam atau hari-hari sebelumnya. Mungkin kerana dia terlalu risau dengan kenduri yang akan berlangsung siang nanti.
            ‘Risau sangat, macamlah aku ni pengantin pulak.’ Sempat lagi dia mengomel sendiri. Matanya yang kuyu sebentar tadi terus terbeliak apabila melihat jam di skrin telefon telah mencapai angka enam setengah pagi.
            ‘Ya Allah, asal tak ada seorang makhluk Allah pun yang bangun. Ish, dah lewat ni.’ Tangannya terus bergerak dan jatuh di atas badan Faraneesha. Tidak pernah-pernah dia bangun lebih awal dari Faraneesha. Hari ini memang telah mencatat sejarah. Boleh catat dalam book of record kot.
            “Apahal?” Dia bangun dari pembaringan tanpa membuka biji matanya. Tangannya mengarukan kepala yang berserabai itu.
            “Kau tahu ni pukul berapa? Pukul enam setengah tahu tak? Dah lewat. Cepat bangun.” Dia sudahpun mula berdiri. Membetulkan urat sarafnya.
            “Enam setengah? Biar betul? Aku rasa aku baru je tidur?” Faraneesha yang tidak berpuas hati terus melihat jam di telefon bimbitnya.
            “Weh, baru pukul tigalah. Pukul enam kejadah kau!” Ujar Faraneesha terus berbaring semula.
            Farafeesa yang terpinga-pinga terus mengapai telefon bimbitnya dan telefon bimbit milik kembarnya itu. “Aahlah, baru pukul tiga pagi. Tapi tadi aku memang tengok jam aku dah pukul enam setengahlah. Serius tak tipu.”
            “Tidurlah Feesa. Kau ni kan, lepas minum air jampi tu, otak kau macam dah tercabut skru pulak.” Walau dengan mata yang terpejam, sempat lagi dia mengusik adiknya itu.
            Farafeesa mula berbaring semula dengan rasa tidak puas hati yang masih menebal. Mula-mula tersalah buat air nescafe untuk bapanya. Kemudian sebelum tidur tadi, dia sembahyang isyak dengan arah kiblat yang terbalik. Dan sekarang, dia tersalah tengok jam pulak?
            Memang kelam kabut hidupnya setelah dia minum air gigi opahnya itu. Sudahlah terpaksa mendengar tawa dari saudara mara yang lain, terpaksa pula berhadapan dengan situasi pelik seperti ini.
            ‘Jangan-jangan kepala otak aku ni dah jadi mereng kot? Ya Allah, jauhilah aku dari memikirkan perkara yang bukan-bukan. Banyak benda dalam kepala otak aku ni. Limited edision kot.’ Diputuskan doa didalam hati dan matanya mula kuyu semula mencari mimpi yang hilang sebentar tadi.
           
Bab 13
            Hujung minggu kali ini, Farafeesa dan Faraneesha menghabiskan hujung minggunya bersama-sama dengan rakan yang sama-sama menuntut di UITM dulu.
            Sudah agak lama mereka tidak menghabiskan masa bersama kerana kengkangan kerja dan waktu belajar yang tidak sama.
            “Bila kau nak sambung deegre weh?” Soal Baizura sambil menyisipkan minuman ke mulut.
            “Tak ada rezeki lagilah. Lagipun aku tengah sibuk sangat sekarang ni.” Mata Farafeesa dan Faraneesha saling beradu.
            Bukan mereka tidak ingin menyambung kembali pelajaran tetapi ada banyak benda yang perlu difikirkan dahulu. Mereka bukan anak orang senang seperti Baizura atau yang lain-lain. Mereka punya keluarga yang membutuhkan keringat mereka berdua.
            “Alah, kalau korang tak sambung pun, gaji korang dah sedap dah. Kalau aku baik kerja je. Aku pun dah penat dah asyik mengadap paper je.” Suzie pulak menyampuk. Dia mengerti keadaan yang menghimpit sikembar.
            “Hmm, bolehlah gaji tu. Tak adalah tinggi sangat. Cukup-cukup makan jugak. Tapi gaji Feesa memang tinggi tau. Tapi perangai kedekut dia tetap tak berubah. Tengoklah sekarang, mana beli kereta lagi. Sibuk nak menumpang kereta buruk aku tu.”
            Ketawa mereka bertiga hampir mengegarkan restoren makan itu. Mujurlah masing-masing sempat mengawal diri. Mereka faham benar dengan perangai kedekut Farafeesa itu.
            “Tak berubah-rubah jugak kau Feesa. Ish ish ish…”
            “Kurang asam kau Neesha. Kau kutuk aku eh. Aku malas je nak beli kereta lagi. Tengah kumpul duit ni.” Dia perlukan alasan untuk membidas kembali Faraneesha dan rakan-rakannya yang lain.
            “Kumpul duit nak buat apa? Hai, tak kan buat kahwin kot.” Ketawa mereka lepas lagi. Farafeesa buat muka. Faham benar dengan perangai sahabatnya yang kuat mengusik itu.
            “Kau dah ada calon ke? Kalau belum, aku boleh tolong carikan.” Usul Baizura pula. Perangai Farafeesa ini berbeza sungguh dengan Faraneesha.
            Faraneesha penuh dengan lembutnya namun sifat nakalnya itu masih lagi teserlah. Namun Farafeesa pula ganas dan kasar. Si kakak agak sensitif sedikit perasaannya tapi si adik, macam tak berperasaan langsung. Namun kedua-duanya punya sikap cepat mesra dengan sesiapa sahaja. Perangai inilah yang Baizura tabik sangat.
            “Dah ada dah. Korang jangan risau ya.” Dia tersenyum sedikit. Rasa kelakar apabila melihat mereka semua melopong luas.
            “Weh, tak cerita kat kita orang pun kan.” Tumbuk Suzie lembut di bahu Farafeesa.
            “Kau percaya sangatlah kat Feesa tu.” Akhirnya, kakaknya sendiri yang memecahkan rahsianya. Baizura dan Suzie merungut sendiri. Bengang kerana ditipu oleh Si Feesa.
            “Tapi si Neesha mesti tak lama lagi kan.. Jadi bini oranglah nanti eh.” Usikan itu melahirkan senyuman Faraneesha. Sesungguhnya, dia memang sedang menghitung hari. Menunggu saat berbahagia bersama Luqman.
            “Eh kau ni Bai, mestilah bini orang. Tak kan bini kambing pulak.” Selamba sahaja ayat Farafeesa mengenakan Baizura. Akhirnya mereka tergelak lagi. Hingga mengalir air mata Faraneesha kerana terlalu banyak ketawa.
            “Aku nak kencing rasanya layan kau ni Feesa. Eh, ada tandas tak dekat sini eh?” Matanya menilau arah belakang restoren.
            “Ada kat belakang tu. Pergilah, bukan kena bayar pun.”
            “Kalau kena bayar pun, aku bayar jelah. Aku bukan kedekut macam kau.” Ambik kau, tak pasal-pasal kena dengan Suzie. Farafeesa mendengus keras. Berpura-pura marah sedangkan dia tidak pernah hairan dengan usikan teman-temannya.
            Tika Suzie balik dari tandas, mukanya seperti orang kerisauan. “Kenapa Zie? Asal muka kau pucat semacam je ni?” Nada suara Faraneesha berbaur kerisauan.
            “Tadi masa balik dari tandas, ada lelaki cuba raba aku. Nasib baik aku sempat mengelak.” Terang Suzie sambil mula mengambil tempatnya semula.
            “Kurang ajar. Dia ada lagi kat sini?” Tanya Baizura perlahan. Takut juga jika lelaki itu duduk berdekatan dengan mereka.
            Suzie tidak mengeluarkan sebarang suara namun mulutnya memuncung ke arah satu tempat. Tanpa berlengah lagi, Farafeesa bangun dari duduknya. Lelaki yang kurang didikan itu memang perlu diajar.
            Dari kejauhan lagi, Farafeesa dapat mendengar suara lelaki yang sedang galak ketawa bersama teman-temannya. Mungkin sedang menceritakan tetang perlakuan yang tidak senonohnya sebentar tadi.
            Lelaki itu kelihatan terpinga-pinga apabila ada seorang gadis yang tidak dikenalinya menghampirinya. Farafeesa tersenyum sedikit lantas mengambil gelas lelaki yang masih berisi air itu dan terus disimbah ke muka lelaki yang kononnya sedang memandangnya tanpa kelip itu.
            “Apa masalah awak ni?” Terus dia bangun dari duduknya. Sungguh dia tidak faham dengan perangai perempuan yang sedang tersenyum sinis dihadapannya ini. Rata-rata mengunjung restoren memandang drama sebabak tanpa pengarah itu.
            “Apa masalah aku kau tanya? Kau tu yang bermasalah. Pencabul!” Berdesing telinga Nazreen mendengar suara perempuan itu yang pastinya sudah dapat didengari oleh seluruh manusia yang berada di dalam restoren.
            Baizura tersenyum bangga dengan tindakan temannya. Faraneesha pula diam tidak berkutik. Dia tidak senang dengan perangai adiknya yang terlalu berani itu. Bagaimana jika lelaki itu mengapa-apakan adiknya. Manakala Suzie menepuk kepalanya.
            “Memang padan muka dia.” Terdengar ayat itu keluar dari mulut Baizura.
            “Alamak….” Rungut Suzie sambil memandang yang lain dengan pandangan yang mereka sendiri tidak dapat mentafsirnya.
            “Kau tak payah kesian dengan orang macam tu Zie. Memang patut pun dia kena. Memang dasar pencabul.” Tambah Baizura lagi.
            “Masalahnya, Feesa dah salah orang.” Serta merta Baizura dan Faraneesha menghalakan pandangan ke arah Suzie.
            “Memang masalah tu..” Terus mereka bertiga bangun dan melangkah ke arah Farafeesa yang sedang bertekak dengan sekelompok lelaki itu.
            “Apa main tuduh-tuduh ni Cik. Ayien dari tadi duduk dengan kita orang.” Seorang temannya terpanggil untuk membela lelaki pencabul itu.
            “Alah, korang memanglah bela kawan korang an. Sebab korang pun sejenis je.” Dihambur rasa marah ke arah semua lelaki yang seramai empat orang itu.
            “Ini dah melampau.” Kalau ikutkan rasa hatinya, ingin sahaja ditampar mulut perempuan yang sesedap rasa menuduh sahabatnya itu. Namun dia hairan apabila melihat Ayien hanya memandang perempuan itu tanpa sepatah kata itu. Mukanya kelihatan tergaman.
            Dia sendiri tidak pasti yang Ayien terpaku kerana terlampau terkejut dek simbahan air di mukanya ataupun kerana kecantikan gadis itu. ‘Cantik tapi tak ada kesopanan, tak guna jugak.’
            “Feesa…” Panggil Neesha sekaligus menarik lembut lengan adiknya itu. ‘Kau berani tak kena tempatlah.’
            Kini, mata Ayien beralih pula dengan gadis yang menarik lengan perempuan yang dipanggil Feesa itu. ‘Kenapa muka dia orang sama?’
            “Neesha, kau tak payah bela jantan-jantan tak guna ni. Orang macam nilah yang merosakkan anak bangsa yang lain.” Amboi, bukan main lagi kata-katanya. Masyarakat berkhemahlah katakan.
            “Kau dah salah orang.” Ujar Faraneesha perlahan. Muka lelaki-lelaki di situ sudah mula berubah. Mungkin marah dengan sikap Farafeesa barangkali. Mereka berhak untuk marah kerana mereka sudahpun menjadi tontonan pelanggan yang lain.
            Berubah terus muka Farafeesa. ‘Ya Allah, betul ke? Alapak, nak menyorok kat mana ni? Adoyai.’
            “Maaflah. Kami betul-betul tersalah orang.” Pohon Faraneesha apabila dia melihat Farafeesa tidak mengambil sebarang tindakan.
            “Tulah, lain kali check dulu. Ini tidak, main hentam je bantai orang. Kesian kat kawan saya ni kena simbah dengan air. Kalau air masak tak adalah kita orang hairan sangat. Ni teh tarik tau.” Bebel Bob. Dia bertambah hairan apabila Ayien hanya senyap sahaja.
            “Maaflah. Saya excited sangat nak menyerang tadi.” Akhirnya, Farafeesa memberanikan diri untuk bersuara. Sekilas sahaja dia memandang lelaki yang disimbah tadi. ‘Kesiannya.’
            “Nasib baiklah kita orang ni baik hati. Kalau lelaki lain, mahu dia cili mulut awak tu.” Serentak dengan itu, mereka tergelak. Farafeesa ikut turut tergelak. Sedangkan dalam hatinya menyumpah seranah lelaki yang tidak dikenalinya itu.
            “Tak apalah, kita orang balik dulu eh. Pasal bil korang, biar kami settlekan tanda mintak maaf ya.” Baizura mengambil inisiatif sendiri untuk membelanja geng lelaki itu.
            “Eh, buat susah-susah je tapi kalau nak tolong bayarkan, kami hanya boleh mempersilakan jelah.” Gurau salah seorang daripada mereka.
            Baru sahaja Faraneesha berpaling, namun tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. ‘Bukan ke itu lelaki yang aku tolong hari tu?’ Baru dia teringat. Patutlah mata lelaki itu asyik benar melihatnya. Agaknya dia sedang memikirkan, siapa yang membantunya hari itu?
            Dia terus melangkah. Membiarkan lelaki itu tertanya-tanya sendiri. Dia melafazkan rasa syukur didalam hatinya kerana Allah mengurniakan nikmat kesihatan kepada lelaki tersebut.
            “Kau asal senyap je Ayien?” Tanya Bob setelah gadis-gadis tersebut menjauh.
            “Perempuan tulah yang tolong aku hari tu.” Terang Ayien perlahan. Dia teringin sekali utnuk mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkannya tempoh hari. Namun dia bingung apabila melihat ada dua orang perempuan yang seiras dihadapannya.
            “Ada ramai. Yang mana? Yang kembar tu ke?” Dia sendiri masih mencari jawapan kepada persoalan sahabatnya itu.
            Namun firasatnya kuat menyatakan yang membantunya itu adalah si gadis yang bernama Neesha. Ya, nama itu sempat disisipkan didalam kotak ingatannya tika sahabatnya memanggil nama gadis itu.
“Ya Allah, malunya aku.” Ditekup tangannya ke muka. Yang lain-lain hanya tergelak. Kelakar ada, malu ada, semuanya bagai digaul dengan sebati. Mujurlah lelaki itu tidak mengambil sebarang tindakan. Segalanya mujur…
            “Aku pun tak sangka yang kau akan serang lelaki tu. Lepas kau serang lelaki tu, pencabul tu terus angkat kaki.” Ujar Suzie. ‘Macam-macam hal jadi hari ni.’
            Faraneesha hanya memilih untuk menjadi pemerhati kepada perbualan mereka. Ingatannya tergarit pada lelaki yang pernah ditolongnya itu. Walau disimbah dengan teh tarik sekalipun, ianya tidak mampu mengugat kekacakan pemuda tersebut.
            Tapi ketampanannya tetap tidak dapat melawan Luqman yang telah lama mendapat tempat dihatinya. ‘Hmm, agaknya Luqman buat apa sekarang eh?’ Terus dicapai telefon bimbitnya. Tiba-tiba terbit rindu dikala disebut nama Luqman didalam hati.
 
Bab 14
Mata Farafeesa yang sedari tadi menghadap jalan raya terus beralih apabila melihat susuk tubuh yang mula menapak di koridor dibawah pejabatnya.
“Apa kejadahnya pulak mamat ni datang.” Omelan Farafeesa itu walaupun perlahan namun dapat ditangkap oleh Atiq. Atiq tersenyum apabila melihat gerangan pemuda yang menghampiri.
            “Eh, Encik Danial? Encik Danial buat apa kat sini?” Kalau tidak mengenangkan yang Danial ini adalah pelanggannya, mahu sahaja dihalau pergi.
            “Saya datang ni nak jemput awak baliklah?” Atiq sudah tersenyum-senyum mendengar ayat kasanova milik Danial. Manakala Farafeesa buat muka pelik.
            “Hah, sejak bila pulak Encik Danial jadi driver saya?” Dahinya sudah pun berkerut seribu.
            “Kalau awak tak mintak pun, saya seribu kali sudi untuk jadi driver awak Feesa. Awak tak bayar gaji pun tak apa. Sekurang-kurangnya dapat jugak saya tengok muka awak untuk melepas rindu.” Kembang tekak Farafeesa mendengarnya.
            Farafeesa menjeling sedikit ke arah Atiq. Pohon disalurkan sedikit bantuan untuk dia menghadapi perangai kaki perempuan seperti Danial.          
            “Maaflah Encik Danial, kejap lagi suami saya akan jemput saya.” Tiba-tiba datang idea untuk mengenakan Danial. Mujurlah Ezrakil pernah memberitahu pada lelaki ini yang dia sudah berkahwin.
            “Oh, ya ke. Kalau macam tu saya nak tunggulah. Saya teringin jugak nak jumpa suami awak tu.” Mampus! Itulah perkataan yang paling tepat untuknya.
            Atiq hanya memandang tanpa sedikit pun bersuara. Dia sebenarnya tidak faham dengan apa yang telah Danial dan Farafeesa tuturkan. ‘Pasti ada rahsia yang aku tak tahu ni.’
            Gulp! ‘Ya Allah, siapa yang sanggup jadi suami aku ni? Bos dahlah tak ada nak tolong aku hari ni. Eh, tapi ini semua pasal bos. Kalau bos tak bohong, mesti aku tak payah berhadapan dengan situasi macam ni.’ Guman hatinya.
            Tiba-tiba mata Farafeesa tertacap pada susuk tubuh yang sedang berjalan menghampirinya. ‘Bukan ke tu lelaki yang aku simbah dengan air ke? Hah, apa lagi weh, mangsa dah ada tu, tangkap jelah.’
            “Abang, baru sampai.” Terus dia berjalan ke arah lelaki yang sudah tentu tidak dikenalinya itu. Dia mengenyit matanya sedikit. Moga-moga lelaki itu mengerti yang dia membutuhkan lakonan lelaki itu sekarang.
            Dipaut lengan lelaki itu. Mujurlah beralas.  Walaupun beralas itu bukan satu tiket untuk berpegangan tapi dia dalam keadaan darurat sekarang. ‘Ya Allah, ampunkan dosa hambaMu ini.’
Tersenyum dan berpura-pura kelihatan mesra. Mujurlah lelaki itu memakai cermin mata hitam. Jika tidak, pasti terkesan riak pelik di mata lelaki itu.
            “Kenalkan, ini Encik Danial. Dia ni client Feesa.” Tangan kedua lelaki itu bersatu. Sedikit sebanyak, Farafeesa lega yang lelaki ini sudi membantu menjayakan lakonannya. ‘Nasib baik dia tak berdendam pasal hal semalam.’
            “Nazreen.” Oh, jadi nama lelaki ini Nazreen rupanya. Mata Atiq terbeliak memandang lakonan yang sedang berlangsung dihadapannya.
            “Nazreen, Awak sungguh beruntung sebab dapat isteri secantik Feesa.” Puji Danial sambil tersenyum sedikit. ‘Jadi Farafeesa memang sudah berkahwin.’ Sungguh, rasa hampa mula menerpa.
            Ayien tersenyum sedikit. Rasa hendak ketawa pun ada. ‘Beruntung? Rentung adalah kot.’ Bisiknya didalam hati.
            “Ya. Sangat beruntung…” Suaranya dileretkan sedikit. Dikerling sedikit isteri samarannya itu. Farafeesa mengigit bibir. Geram Farafeesa mendengarnya.
            “Tak apalah Feesa. Saya balik dulu ya. Sampaikan salam saya pada Ezrakil.” Apabila Danial sudah menjauh, barulah dilepaskan pegangannya di lengan lelaki itu.
            “Terima kasih.” Ucap Farafeesa perlahan. Dia sebenarnya malu untuk menatap wajah lelaki yang bernama Nazreen itu.
            Nazreen mencabut cermin mata yang sedari tadi menghiasi wajahnya. “Saya tak faham. Apa yang dia pandang kat awak ni eh?” Tawanya kedengaran sedikit.
            “Apa masalahnya awak sekarang? Apa yang awak tak puas hati sangat dengan saya?” Kalau tidak mengenangkan yang lelaki ini telah membantunya tadi, mahu sahaja disekeh kepala lelaki itu.
            “Bila masa pulak saya tak puas hati dengan awaknya?” Atiq hanya memerhatikan dua insan yang sedang bertekak itu.
            “Habis tu, apa motif awak cakap macam tu tadi. Itu cari pasallah namanya.” Farafeesa memang pantang kalau ada yang cuba mencari gaduh dengannya.
            “Awak ni kenapa nak marah-marah. Datang bulan eh.” Berubah terus wajah Farafeesa mendengar kata keramat itu. ‘Selambanya dia ni.’
            “Eh, suka hati sayalah nak datang bulan ke, datang kerja ke, datang lewat ke? Apa kaitannya dengan awak.” Hah, gunung berapi dah meletus dah.
            “Apa masalah korang sebenarnya ni?” Akhirnya, dia terpanggil untuk bersuara. Telinganya sudah sakit mendengar perbalahan diantara mereka. Sampai dah masuk bab datang bulan, isu sensitif kaum hawa tu.
            “Kau tanya lelaki ni Atiq.” Jari terlunjuknya menghala ke arah Nazreen.
            “Eh, asal saya pulak yang kena? Awak tu kena pandai bersyukur sikit. Dah tolong pun kira nasib baik eh.” Nazreen mula hilang sabar dengan karenah Farafeesa itu.
            “Abang, Feesa, apasal dengan korang ni? Sejak bila korang kenal?” Berkerut dahi Farafeesa mendengar panggilan yang keluar dari mulut Atiq.
            “Abang? Dia ni abang kau ke?” Matanya kini menghala ke arah teman sepejabatnya.
            “Dia ni abang ipar aku. Eh, apa abang buat kat sini?” Dari tadi lagi dia ingin bertanya namun asyik tergendala kerana perbalahan mereka berdua.
            “Hmm, Hafiz telefon abang tadi. Dia cakap tayar dia pancit so dia suruh abang ambil Atiq. Tapi tak sangka pulak, kes lain pulak yang timbul.” Terang Nazreen sambil menjeling sedikit ke arah Farafeesa yang sedang enak memeluk tubuh itu.
            “Asal dia tak telefon Atiq sendiri?” Ditujukan soalan kepada abang iparnya itu. Namun segera dia membuka handbagnya dan mencari telefon.
            “Patutlah. Terlupa tadi buat silence.” Ujar Atiq sambil kembali menyimpan telefon bimbitnya.
            “Aku balik dulu Atiq.” Mohon Farafeesa sambil mula menapak ke arah sebuah kereta Viva berwarna putih.
            “Dia balik dengan siapa tu?” Rajin juga mulut abang iparnya untuk bertanya. ‘Hmm, tak kan terpikat kot. Ingat sikit bang, abang tu dah berpunya.’ Namun ayat itu hanya sekadar didalam hati.      
            “Dengan kembar dia.” Dijawab juga soalan Nazreen itu. Nazreen tergaman seketika. Mula mencari kelibat kereta Viva itu kembali. Namun hampa kereta kereta itu sudah meluncur jauh dari pandangan mata.
            Dia teringin benar untuk mengucapkan terima kasih buat kembar Farafeesa itu. Ada kemungkinan ke yang perangai mereka berdua itu sama? Namun dari gaya Neesha semalam, kelihatannya dia lebih lemah lembut berbanding si kembar yang ganas itu.
             
Bab 15
            Faraneesha hanya tergelak apabila mendengar cerita yang keluar dari mulut kembarnya itu tentang lelaki yang disimbah dengan air semalam. ‘Cina beng betul. Kau gelakkan aku eh.’
            “Kau tak terpikat ke kat dia? Hensem kot.” Dijeling sedikit Faraneesha. Sudah lupakah kakaknya itu bahawa dia bukan seorang perempuan yang jenis memandang paras rupa.
            “Cinta bukan pada paras rupa.” Ujar Farafeesa perlahan.
            “Yup aku sokong. Tapi kau lupa agaknya yang benda pertama yang selalu orang tengok ialah paras rupa. Kalau muka macam orang pecah rumah, tak ada maknanya orang nak dekat kan.
            Paras rupalah yang memulakan langkah dalam proses perkenalan. Kemudian barulah diikuti oleh perkara lain. Benda macam ni, memang kau tak boleh nak sangkal.” Bidas Faraneesha.
            “Oh, jadi kau tengok Luqman sebab paras rupa dialah eh?” Soalan maut dihadiahkan kepada saudara kembarnya itu.
            “Situasi aku dan Luqman berbeza ya. Aku awal-awal lagi melarikan diri bila aku sedar yang aku sukakan dia. Sebab aku sedar yang aku ni tak setaraf langsung dengan dia. Kau tengok sekaranglah, dia penuh dengan ketenangan sedangkan aku ni penuh dengan kekalutan.
            Perangai kami beza macam langit dengan bumi. Tapi makin aku menjauh, makin aku sedar yang aku memang sayangkan dia. Ketenangannya menganggu gugat ketenangan aku. Aku paling takut nak hadapi kenyataan yang kemungkinan aku hanya bertepuk sebelah tangan.
            Tapi bila dia datang dengan lamaran, banyak kali aku berfikir. Aku ni layak ke untuk membahagiakan dia? Aku tanya diri aku sendiri. Layak ke aku pikul tanggungjawab sebagai isteri dia nanti?”
            Farafeesa hanya mendengar luahan hati Faraneesha itu. Dia tahu yang Faraneesha terlalu menyintai Luqman.
            “Kau pun akan fikir macam aku bila kau dah sukakan seseorang nanti Feesa. Bila kita menyintai seseorang, kita akan lebih mengutamakan tanggungjawab daripada perasaan sendiri. Kerana perkahwinan nanti menuntut tanggungjawab yang besar. Bukan seperti pasangan couple yang banyak mengukir janji manis yang belum tentu lagi akan tertunai.”
            Farafeesa tersenyum sedikit. Kelakar rasanya bila membicarakan soal cinta ini. Kerana jawapannya tidak akan pernah habis. Akan sentiasa lahir kata-kata untuk menyambungnya nanti. Sememangnya, bukan mudah untuk mendaki tangga-tangga ke pintu bahagia. Ianya menuntut kesabaran dan ketabahan yang bukan sedikit.
            Persefahaman dan kesetiaan amat penting untuk digendong bersama dengan perasan cinta itu.  Kerana dalam perjalanan menuju bahagia itu, kekeliruan dan kesakitan sering bermaharajalela dalam diri anak cucu Adam ini.
            ‘Ya, mungkin aku tidak pernah menyintai seorang manusia dari kaum Adam namun kau jangan lupa Neesha, cinta manusia ini bukan hanya pada pasangan kekasih, namun ianya perlu disandarkan pada ibu bapa, keluarga, sahabat handal dan setiap manusia yang memerlukan.
            Kerana sayang dan cinta aku pada keluarga, aku tangguhkan dulu soal hati aku. Aku bekerja berhempas pulas untuk mencari sesuap rezeki buat keluarga kita. Mungkin kau selalu mengelar aku kedekut, namun aku sentiasa mengutama mereka Neesha. Mereka sentiasa menjadi keutamaanku.’ Luah Farafeesa didalam hati.
            “Layan jiwang ke?” Sakat Faraneesha apabila tidak mendapat sebarang respon dari Farafeesa.
            “Aku pening kepalalah. Rasa letih sangat.” Ya, memang dia kepenatan yang amat sangat. Nak kata kerja di office bertambun, tidak juga. Dia cuma menguruskan hal-hal seperti biasa namun Farafeesa dapat merasakan yang bateri badannya tidak sehebat dulu.
            “Muka kau pun nampak pucat je. Kau tu kerja sangat. Berpada-padalah sikit. Kita ni manusia, bukan robot. Robot pun kalau guna dua puluh empat jam pun boleh rosak tau.” Memang sah perangai mak! Ada bakat nak jadi big bebel nanti.
            “Weh, nak magrihb dah ni, tak payah layan sangat rasa penat kau tu. Pergi mandi dan solat. Kalau penat, mintalah bateri dari Allah. Diakan pemberi dan pencetus kekuatan pada setiap manusia. Kalau tak mintak, macam mana dia nak beri.” Ditepuk paha Farafeesa beberapa kali. Agak kuat juga tepukan di peha kembarnya itu. Sengaja dia lakukan untuk menyegarkan Farafeesa sedikit.
            “Kau ni memang tak suka tengok aku senang-lenang kan?” Masih kekal memejamkan matanya.
            “Bangunlah.” Dikerah juga adiknya itu. Sebenarnya dia agak pelik juga dengan Farafeesa. Kebiasaannya, adiknya itu mewah dengan kekuatan. Jika bekerja seharian pun, dia masih mempunyai tenaga untuk melakukan kerja rumah sebelum masuk tidur.
            Namun sejak akhir-akhir ini, kekuatannya bagai telah disentap pergi. Dia mudah benar kelihatan letih walhal melakukan kerja yang tidak mengunakan kudrat yang banyak. Entah apalah masalahnya, dia bingung untuk terus memikirkannya.
            “Boleh tak kau urutkan badan aku sikit.” Rayu Farafeesa sambil melahirkan muka simpati.
            “Malas.” Jawab Faraneesha sepatah.
            “Please….” Dikerdipkan matanya berkali-kali. Konon macam comellah padahal tak ubah macam muka berharga seposen.
            “Mandi dan solat dulu, lepas tu baru aku boleh tolong picitkan.” Terus bersinar wajah Farafeesa. Segera dicapai tuala yang bersangkut dan melangkah ke bilik air.
            Telinga Faraneesha segera menangkap suara seorang wanita yang sedang menyanyi riang dari arah bilik air.
            “Oit, konsert keberapa dah weh? Kau nak lawan suara bilal kat masjid ke?” Tanpa berfikir panjang, dia memerli kembarnya itu dari arah luar bilik air.
            “Opps, lupa.” Sempat lagi Farafeesa menjerit lantang. Faraneesha mengelengkan kepalanya mengenangkan perangai adik kembarnya itu. Itu baru sorang, tak termasuk lagi dengan adiknya yang seramai enam orang lagi.
            “Oit, sudah tengok tv. Pergi mandi nuh.” Dia sudah mula mengunakan kuasa vetonya semasa ketiadaa ibu dan abahnya yang ke masjid tadi. Adik-adiknya ini bukan boleh kira, sekali ketuk, sekali gerak. Kalau tak ketuk, memang tak bergeraklah jawabnya.

1 comment:

  1. 1. minum air rendaman gigi
    2. simbah air kat ayien
    3. paksa ayien nyamar jadi somi

    adehhhh... feesa neh.. sengal betul la...

    ReplyDelete