Thursday 29 December 2011

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [6][7][8][9][10]


Bab 6
            Mereka memilih untuk makan di tepi pantai kali ini. Sudah lama tidak merasa angin pantai yang lembut menampar wajah.
            “Keluarga saya akan hantar rombongan merisik dalam waktu terdekat ni.” Ujar Luqman setelah pelayan selesai mengambil pesanan.
            “Serius?” Entah kenapa. Ada debaran yang berkunjung. Ada resah yang bagai tiada penghujung. Dia diserang gementar yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
            “Ada pulak main-main.” Diselitkan tawa dalam katanya. Faraneesa melarikan pandangan ke arah pantai.
            “Kenapa ni? Awak tak suka ke?” Dia dapat membaca riak yang terlukis di wajah kekasih hatinya itu. Bagai ada yang tidak kena sahaja.
            “Tak ada apa-apa.” Kalau boleh, dia tidak mahu Luqman berfikir yang dia sengaja mencipta alasan.
            “Hei, cuba cerita.” Lembut suaranya memujuk.
            “Okay. Sejujurnya saya takut.” Luah Faraneesa perlahan.
            “Takut apa?” Berkerut dahinya mencari jawapan kepada kata-kata Faraneesha itu.
            “Saya anak sulung dari tujuh orang adik beradik. Dan sekarang, saya dan Feesa yang menyara keluarga memandangkan abah tak bekerja sebab sakit dan ibu pula hanya ambil upah mengasuh anak orang.
            Saya takut kalau kita kahwin awal, saya tak boleh nak sara keluarga saya. Saya takut kalau Feesa rasa terbeban seorang diri. Saya tak nak dikatakan cuba melepaskan tanggungjawab. Saya kan anak sulung.” Luqman tersenyum mendengar omelan Faraneesha. Dia sudah dapat menangkap maksud yang tersirat.
            “Awak tahu, sifat yang penuh tanggungjawab inilah yang membuatkan saya jatuh hati pada awak.” Luah Luqman dengan senyuman yang tidak lekang dari wajahnya.
            “Kalau kita kahwin nanti, saya tak akan pernah larang awak untuk menunaikan tanggungjawab awak pada keluarga awak. Malah saya sama-sama nak kongsi beban yang awak tanggung tu Neesha. Supaya bila awak penat dan merasa letih dengan percaturan takdir ni, awak ada saya untuk meleraikan segala kekusutan yang awak rasa.
            Bila saya berkahwin dengan awak nanti, keluarga awak pun akan jadi keluarga saya jugak. Jadi awak fikir, saya akan benarkan keluarga saya menanggung kesusahan sendiri? Semua jawapan tu ada pada awak Neesha.”
            Faraneesha tersenyum panjang. Matanya kabur dengan permata jernih. Sungguh, dia teramat bersyukur kerana Allah mengurniakan seorang lelaki yang sanggup bersusah payah bersamanya.
            “Terima kasih Luqman.” Ucapnya ikhlas. Seikhlas hatinya menerima kehadiran lelaki itu yang sentiasa mendapat tempat dihatinya.
            “Saya dah lama terima kasih awak Neesha. Saya bersyukur sangat kerana dipertemukan dengan wanita seperti awak. Yang saya tak akan jumpa walau saya mengembara serata dunia sekalipun.” Memang Luqman sentiasa mewah dengan pujian.
            “Pujian tu terlampau tinggi untuk gadis serendah saya.” Sempat lagi dia mengenakan Luqman.
            “Tak apa kalau rendah. Awak boleh pakai kasut tinggi.” Balas Luqman dengan tawa yang sangat menyenangkan telinga yang mendengar.
            Perbualan mereka tergendala sedikit apabila pelayan menghantar makanan yang telah dipesan.
            “Neesha, kalau awak kan, awak nak berapa orang anak?” Merona muka Faraneesa menyambut soalan Luqman yang memang sangat tidak dijangka itu.
            “Hmm, terpulang kepada yang memberi.” Maksud kata-katanya ialah, terpulang pada penciptaNya. Sesungguhnya, dia malas untuk meletakan sandaran yang berlampiaskan angan-angan semata-mata.
            “Kalau boleh saya nak anak perempuan ramai. Sebab muka anak perempuan mesti ikut macam mama dia. Wajah yang tak akan pernah puas untuk saya tengok.” Faraneesha sangat bersyukur dengan limpahan kasih yang Luqman berikan.
            “Yalah tu. Entah-entah nanti, tak sampai setahun kahwin, awak dah mula jemu dengan saya.” Tingkah Faraneesha sengaja. Dia menantikan balasan kata dari Luqman.
            “Memang bosan itu tak akan lari dari manusia yang lemah ni Neesha. Tapi senjata umat Islam ialah doa. Doa itulah yang akan dapat mengukuhkan hubungan kita Neesha. Saya akan sentiasa berdoa supaya Allah akan sentiasa mencambahkan kasih sayang diantara kita agar Allah memelihara kita dari rasa bosan atau perkara-perkara yang akan menganggu-gugat hubungan kita. Bila kita dah berdoa, kita perlu tawakal. Segala ketetapan telah pun ditetapkan. Dan perkara yang akhir yang boleh kita lakukan ialah redha.”
            Kata-kata Luqman itu telah meresap terus ke pangkal hatinya. ‘Ya Allah, aku sangat bersyukur dengan kurniaanMu ini. Kau telah mengurniakan kepadaku limpah kurnia yang tidak terhitung harganya.’
            ‘Kehadiranmu sentiasa menyentuh kalbuku. Tika aku dijamah kealpaan, ada kau yang akan sentiasa bisikan kata-kata keinsafan agar diri ini tidak terleka dengan lakonan dunia. Kau akan berikan aku kekuatan bila ujian datang bertandang. Dan bila aku hilang keyakinan akibat goyah dengan bisikan syaitan, kau akan hadir untuk memberi harapan.
            Kehadiranmu sentiasa mendamaikan hati yang sering keresahan ini. Namun adakah aku dapat mencurahkan kasih seperti mana kau tidak pernah kering menyubur cinta kita? Aku berdoa agar kasih ini tidak akan pudar dimamah masa.’
            Menitis airmatanya tanda terharu dan bersyukur dengan nikmat Allah ini. ‘Impianku kini ialah untuk mendapatkan rahmat darimu Tuhan. Moga cintaku ini mendapat redha dariMu Ya Allah.’
            “Hei, kenapa menangis ni?” Tegur Luqman. Dia tidak senang jika permata jernih itu mengisi ruang di wajah kekasihnya itu.
            “Tak ada apa-apa.” Dia tersenyum manis. Ingin membuang kerisauan didalam hati Luqman.
           
 Bab 7
            Ezarakil masuk pejabat itu tanpa senyuman yang menghiasi wajahnya. Sedikit pun dia tidak memadang apatah lagi menegur Farafeesa. Hal ini membuatkan Farafeesa kelu sendiri. Buntu dia dengan sikap bosnya yang merajuk seperti anak kecil itu.
            “Nampaknya mood bos tak okay sangat hari ni kan.” Atiq melahirkan rasa hatinya. Bagai hendak tembus pintu pejabat bosnya ditilik oleh Atiq.
            “Harap-harap dia minumlah air yang aku buat tu.” Dia telah membancuh air kesukaan bosnya itu dan diletakkan diatas meja. Dia betul-betul kekeringan idea untuk memujuk lelaki itu. Al-maklumlah, dia bukan jenis orang yang banyak pengalaman dalam bab ini.
            “Kau dah jampi-jampi belum.” Mengekek Atiq dengan tawa. Farafeesa buat muka bengang. Malas hendak melayan rakan sepejabatnya itu.
            “Kau ingat aku ni bomoh ke?” Dia sudah mula hendak fokus dengan kerja-kerja yang bertambun menantinya itu.
Mata Ezrakil terjatuh pada segelas air Nescafe yang berada diatas mejanya itu. Bibirnya mengulumkan senyuman membaca kata-kata yang menghiasi sekeping kertas kecil itu.
            Bos, saya betul-betul mintak maaf…
            Jangan marah saya lagi eh… =)
            Jemput minum air yang tersedap di dunia ni…
            Yang bos tak akan jumpa kat mana-mana pun…
            Pandai gadis itu mengambil hatinya. Hendak kata dia benar-benar marah dengan Farafeesa, tak juga. Dia sebenarnya sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Sedikit sebanyak, gadis itu telah berjaya mencuri perhatiannya.
            Hatinya bagai rapuh menerima kunjungan seorang wanita kali ini. Tidak seperti biasa, hatinya kali ini bagai diusik rasa yang tidak pernah dirasai selama ini. Cinta atau nafsu yang sedang bermaharajalela di sanubarinya kini? Nafsu yang ingin memiliki seorang gadis cantik.
            Ah, kusut kepala otaknya memikirkan tentang seorang wanita yang bernama Naila Farafeesa. Lantas ditekan interkomnya menyuruh gadis itu masuk.
            Tidak sampai seminit, gadis itu sudah mula menapak ke dalam pejabatnya. Mukanya sengaja diseriuskan. Tidak sedikit pun dijamah dengan senyuman seperti biasa.
            “Ada apa bos?” Dia memberanikan diri untuk bertanya apabila tidak mendapat sebarang reaksi dari Ezrakil.
            “Apa ni?” Ditujukan gelas yang berisi Nescafe itu ke arah Farafeesa.
            “Air untuk boslah.”
            Farafeesa sedikit pun tidak suka bila Ezrakil buat muka serius seperti itu. Tak hensem langsung. Hilang terus rupa kacaknya yang sentiasa menjadi sebutan pekerja yang lain. ‘Pekerja lain ya, buat aku.’
            “Selama ni tak pernah buat pun. Kenapa tiba-tiba pulak? Entah-entah awak ada letak ubat guna-guna tak?” Serkap Ezrakil kasar. Farafeesa sudah mula naik bengang. ‘Nak main tarik tali dengan aku ya? Kau silap oranglah.’
            “Bos, ini dah melampau. Bos ingat bos kacak sangat ke sampai orang nak buat guna-guna? Lagipun buat apa dapat suami macam bos ni.” Tidak padan dengan seorang pekerja. Ada hati betul nak melawan.
            “Saya tak cakap pun guna-guna untuk jadi suami.” Gulp. Farafeesa dapat merasakan yang mukanya merona kemerahan dek kata-kata bosnya itu. Kalau ikutkan hatinya itu, ingin sahaja diluku kepala bosnya yang ting tong itu.
            ‘Ala pak, macam mana aku boleh terlepas cakap ni? Adoyai… Rasa macam nak sorok muka di bawah meja je.’
            Senyuman yang sedari tadi cuba disembunyikan, bagai tidak dapat lagi menyorokkan diri. Lantas ianya terlihat jelas di wajah Ezrakil. Ingin sahaja dia merakamkan wajah Farafeesa saat ini. Comel sungguh!
            “Awak ada niat nak jadi isteri saya ke?” Disibukkan diri dengan menyemak fail-fail di atas mejanya sedangkan itu hanya sebagai taktik untuk terus menyakat Farafeesa.
            “Eh, mana.. ada…” Tergagap dia menjawabnya. ‘Yalah, aku memang tak pernah ada niat pun nak jadi isteri dia tau.’
            “By the way, saya nak awak ikut saya pergi meeting petang ni. Saya tak akan terima sebarang bantahan.” Arahan ini berkuat kuasa serta merta.
            “Eee, suka mengarah.” Omel Farafeesa tidak berpuas hati. Namun suaranya itu amat jelas di pendengaran Ezrakil.
            “Dah memang saya ni bos. Memanglah suka mengarah. Awak sebagai pekerja, mana boleh bangkang arahan bos.” Farafeesa hanya mampu tersengih mendengar bebelan bosnya itu.
            “Ada apa-apa lagi Feesa?” Farafeesa sudah malas hendak menjawab. Makin dia menjawab, makin mendatangkan seribu satu masalah. Jadi, berdiam diri mungkin jalan yang lebih baik.
            Farafeesa keluar dari bilik Ezrakil dengan hati yang sebal. Tapi sedikit sebanyak, dia rasa lega sedikit. Kerana sekurang-kurangnya, dia tahu bahawa Ezrakil tidak lagi menyimpan rasa marah terhadapnya.
            Sepemergian Farafeesa, bibir Ezrakil mewah dengan senyuman. Dia memejamkan matanya sekejap. Melepaskan rasa yang tidak enak untuk disimpan. Memang berbahagia bagi mereka yang telah menemui cinta teragung. Bagaimana pula dengan dirinya? Dapatkah dia menemui sebuah cinta yang hakiki?
            Hatinya sudah mula mengayam rindu buat Farafeesa. Tapi apa yang paling penting sekarang ialah dia perlulah percaya pada dirinya sendiri. Dia perlu tahu apa yang sedang berada digengamannya sebelum kata putus diambil untuk mendaki cinta Farafeesa.

Bab 8
            Usai meeting bersama Syarikat Gagah Perkasa, Ezrakil menerima perlawaan Tuan Hamidi untuk makan bersama-sama.
            Farafeesa mula naik menyampah dengan perangai anak Tuan Hamidi yang tidak lepas dari memandangnya dengan pandangan yang dia sendiri tidak boleh mentafsirkannya.
            Duduk bersebelahan dengan Ezrakil membuatkan dirinya terpaksa bertentangan dengan Danish. ‘Sekali lagi kau pandang aku macam tu, aku ketuk kepala kau.’ Namun nyata ayat itu hanya sekadar didalam hati. Nak mampus kalau buat betul-betul.
            Farafeesa cuba untuk memberi perhatian kepada Ezrakil dan Tuan Hamidi yang rancak berborak tentang topik yang dia sendiri tidak dapat mengenal pastinya.
            Tiba-tiba dia dapat merasakan yang kakinya telah dikuis oleh seseorang. Cepat-cepat ditarik kakinya kebelakang. ‘Hei, ni dah melampau. Bos, tolonglah saya.’ Dikerling sedikit ke arah Ezrakil. Memohon bantuan.
            Namun Ezrakil tetap buat bodoh. Tak faham atau buat-buat tak faham, dia sendiri gagal untuk mentafsirkannya.
            “Dah lama ke Feesa kerja dengan Akil?” Mulut Danish ringan bertanyakan soalan.
            “Adalah dalam dua tahun.” Jawab Farafeesa nak tak nak.
            “Oh, lama jugaklah ya. Tapi tak pernah jumpa pun kan.” Farafeesa hanya tersenyum hambar. Tanda tidak mahu meneruskan perbualan.
            “Feesa, habiskanlah makanan tu.” Baru kini Ezrakil hendak memberi perhatian kepadanya.
            “Dah kenyang.” Macam mana nak makan dengan selesa kalau mata mamat kat depan di macam buaya nak sambar mangsa.
            “Okaylah Tuan Midi, nanti ada masa kita jumpa lagi ya.” Ucap Ezrakil sambil bersalaman dengan Tuan Hamidi. Farafeesa hanya mampu tersenyum ke arah Tuan Hamidi yang memang baik hati itu. Tidaklah gatal seperti anaknya itu.
            “You beruntung Kil sebab dapat assistant yang cantik macam Feesa ni.” Walaupun sedang bersalaman dengan Ezrakil namun matanya masih ralit memandang ke arah Farafeesa. Membuatkan gadis itu langsung tidak selesa.
            Dikerling sedikit matanya ke arah Farafeesa yang berada di sebelahnya. Dia tahu yang Farafeesa tidak suka dengan keadaan yang menghimpitnya kali ini.
            “Oh... Dia memang cantik. Suami dia pun suruh aku jaga bini dia ni baik-baik.” Sengaja dia menuturkannya. Dia lebih-lebih lagi tidak suka dengan cara Danish memandang Farafeesa.
            “Hah, You dah kahwin Feesa?” Terkejut beruk Danish dibuatnya. Bukan Danish sahaja, Farafeesa juga ikut turut terkejut mendengar ayat yang terbit dari mulut Ezrakil itu.
            “Aah… Dah setahun dah.” Mujurlah sempat nak cover. Ezrakil hanya terseyum melihat riak muka Danish yang berubah itu. Faham benar dia dengan Danish yang bersikap kasanova itu.
            Akhirnya, Danish hanya memandang dari jauh kelibat Ezrakil dan Farafeesa yang hilang di dalam perut kereta.
            “Bos ni, memandai je cakap saya dah kahwin. Jatuhlah saham saya nanti.” Rungut Farafeesa sengaja. Sebenarnya, dia ingin mencari motif yang sebenar. Apa kepentingan penipuannya sebentar tadi.
            Ezrakil tidak menjawab malah hanya tersenyum. Dia sudah pun memulakan pemanduan. Tidak dipedulikan akan pertanyaan Farafeesa sebentar tadi.
            “Bos, saya cakap dengan bos ni?” Bengang betul Farafeesa. ‘Karang kalau pekak betul-betul nanti. Baru padan muka. Muka yang hensem tu pun orang dah tak pandang sebab dah pekak. Kih kih kih.’
            “Alah, saya pun tahu yang awak tak senang bila Danish pandang awak macam tu kan. So, saya tolonglah mana yang patut.”
            “Tapi tak patutlah kata yang dah kahwin. Saya ni pakwe pun tak ada tau. Okay jugak kalau Danish tu nak mengorat saya. Dia pun hensem kan.” Sengaja dia membakar bosnya itu.
            “Ada banyak lagi orang yang boleh awak cari. Setakat Danish tu tak payahlah.” Sakit hatinya bila Farafeesa memuji lelaki lain dihadapannya.
            “Kenapa bos? Bos jelous eh?” Sakat Farafeesa berani. ‘Ish budak ni, tak malu langsung.’ Desis hati Ezrakil.
            “Kenapa pulak saya nak jelous. Tak ada maknanya.” Bergetar juga suaranya menjawab persoalan Farafeesa kali ini. Susah juga kalau suka dengan perempuan yang terlampau open minded ni.
            Farafeesa gelak di dalam hati. Senang dapat mengenakan bosnya itu. Merona muka bosnya itu tika malu-malu sebegini.
            “Tak apa bos. Kalau saya diberi kesempatan untuk memilih, confirm saya pilih boslah.” Sengaja dia menambahkan perisa dalam gurauannya.
            Ezrakil menjeling sedikit ke arah gadis yang sedang duduk di sebelahnya itu. Kebiasaannya, tidak pernah ada seorang pun pekerjanya yang berani bergurau dengannya sedemikian rupa. Namun Farafeesa ini main redah je. Kadang-kadang dia terlupa yang dia sedang berhadapan dengan bosnya sendiri.
            “Hmm, kenapa kamu cakap macam tu pulak. Bukan ke awak cakap Danish tu hensem.” Ingin tahu juga dia tentang rasa hati gadis itu.Manalah tahu yang mereka berdua itu sebenarnya mendendangkan irama yang sama. Inilah masanya untuk menyelongkar rasa hati gadis itu.
            “Hmm, hensem. Rupa yang kacak itu memang adakalanya menjadi idaman semua orang wanita kat dalam dunia ni. Tapi sampai bila nak bersandar pada rupa yang hensem tapi perangai, masyaAllah, sangat hampeh.
            Lebih baik memilih yang tak berapa nak hensem tapi memiliki kualiti yang sangat bagus untuk dibanggakan. Hehehe…” ‘Apalah yang menjadi resepi keceriaan gadis ini agaknya?’ Fikir Ezrakil.
            “Awak ni sebenarnya macam ni kan. Dalam memuji, awak mengutuk saya kan. Awak ingat saya tak perasan ke.” Ezrakil ketawa sedikit sambil mengelengkan kepalanya.
            “Lah, bos perasan ke? Ala pak, kenapa bos boleh tahu ni. Cepat pick up jugak bos ni eh.” Farafeesa menambahkan lagi gula dalam setiap gurauan mereka.
            “Eh, tadi awak cakap pasal single kan, betul ke awak ni single lagi. Entah-entah sengaja nak mempermainkan saya kan.” Hatinya sudah berbunga-bunga riang diwarnai rasa kasih yang tidak terbelah bagi cantiknya. Sengaja dilambatkan pemanduan. Dia memohon agar dilambatkan waktu agar saat ini dapat dilakar kemas di kotak ingatannya.
            “Betullah bos. Kalau bos nak, bos boleh isi borang kosong dulu. Nanti saya akan cuba pertimbangkan.” Ish Farafeesa ni, ada hati hendak mempertimbangkan bosnya? Sesungguhnya, anda sungguh perasan ya.
            “Alah, dengan saya pun awak nak berkira ke? Isi-isi borang ni lecehlah Feesa.” Sengaja dia melayan sikap ceria milik Farafeesa itu.
            “Alah bos, kalau bos tak tulis borang, macam mana saya nak tahu bos letak berapa duit hantaran, jadi saya tak boleh nak compare dengan yang lain.” Ezrakil sangat senang dengan kecerian Farafeesa itu. Sikap itulah yang telah berubah dirinya seratus peratus. Tanpa dia sendiri menyedarinya.       
            “Bunyinya macam ramai je kan.” Kalaulah betul apa yang diujarkan oleh Farafeesa itu, maknanya dia perlu mengambil langkah yang lebih effective untuk mengambil hati Farafeesa. Dari gaya wanita itu, sebenarnya sudah terpamir di wajahnya yang hati wanita ini agak liat sedikit untuk seorang lelaki.
            “Eh, mestilah ramai. Sebab dari sekolah rendah lagi saya dah kumpul borang ni.” Entah kenapa, dia sangat senang bila dapat mengenakan bosnya itu. Sebenarnya dia dapat membuat kesimpulan yang apa yang sering dikatakan oleh budak-budak office adalah salah sama sekali.
            Kata orang, Ezrakil ini susah benar untuk tersenyum. Namun tika mereka bersama, muka lelaki itu memang tidak lekang dari senyuman. Kecualilah ketika lelaki itu sedang merajuk dengannya. Seperti hari yang lepas.
            Kata orang lagi, Ezrakil ini kedekut orangnya. Namun tidaklah terlampau keterlaluan sifat kedekutnya. Tika mereka makan atau minum bersama, lelaki itu yang mengeluarkan duitnya sendiri. Tidak seperti kata-kata staf di pejabat.
            Apa lagi ya kata orang, Farafeesa sedang mengambil masa untuk mengingati semula. Al maklumlah, sesuatu perkara jika tak diupdate kembali dalam masa tujuh hari, benda itu akan hilang dari kotak ingatan manusia ini.
            “So, saya ada peluang tak ni.” Farafeesa tidak pasti sama ada Ezrakil serius dengan kata-katanya atau hanya sekadar ingin bercanda. Farafeesa sendiri tidak ingin ambil serius kerana dia kenal dengan persis seorang lelaki seperti Ezrakil ini.
            “Peluang dan ruang sentiasa terbuka untuk semua orang bos. Tapi tulah, saya kena buat audition dulu sama ada nak pastikan sama ada calon tu betul-betul layak atau hanya sekadar taik-taik ayam je.”
            Tanpa mereka sedari, pemanduan Ezrakil itu sudah tiba ke destinasinya. Terasa sekejap betul tika waktunya bersama dengan Farafeesa. Kali ini dia sudah pasti yang gadis itu sudah benar-benar telah menganggu gugat ketenteramannya.
            Dia mula pasti akan kehendak hatinya ini. Bersama dengan gadis ini membuatkan hari-harinya diwarnai warna yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Benarlah kata lirik lagu Siti Nurhaliza itu, cintalah yang memungkinkan segalanya…

 
Bab 9
             Faraneesha sedang mencari kunci kereta di dalam beg bimbitnya. Entah kemanalah benda alah itu menghilang.
            Namun tiba-tiba bahunya berlanggar dengan bahu milik seorang pemuda. Dan tiba-tiba pemuda itu rebah ke lantai. Faraneesha terkejut sendiri.
            “Encik, encik tak apa-apa?” Tanya Faraneesha pelik. ‘Tak kan langgar sikit pun dah jatuh kot?’
            Pemuda itu merengkok memegang bahagian dadanya. ‘Ya Allah, kenapa ni?’ Faraneesha mula kalut melihatnya. Dia memang tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti ini.
            “Encik, encik sakit apa ni?” Bibirnya laju mengeluarkan soalan sedangkan dia tahu yang pemuda itu tidak berupaya langsung untuk menjawab persoalannya.
            Tiba-tiba dia perasan yang tangan pemuda itu ingin mencapai briefcasenya. Terkial-kial tangan itu ingin membuka begnya itu. Tanpa berfikir panjang, Faraneesha terus mencapai beg tersebut dan mencari-cari kalau-kalau ada ubat yang dicari oleh pemuda tersebut.
            Apabila tangannya telah memegang sebotol ubat yang dia sendiri tidak pasti ubat apa, dia terus mengeluarkan dan terus membantu pemuda itu untuk memasukkan ke dalam mulutnya.
            “Tolong! Tolong!” Jerit Faraneesha apabila pemuda itu mula tidak sedarkan diri selepas menelan ubat. Dia baru terfikir untuk menjerit meminta tolong. Kalut sungguh rasanya.
            Namun hampa kerana tidak ada seorang pun yang lalu lalang di kawasan itu. Faraneesha buntu sendiri. Apa yang perlu dilakukan sekarang? Dia hanya seorang wanita yang sedikit pun tidak berdaya untuk mengangkat lelaki yang kelihatan sungguh gagah ini.
            “Kenapa ni cik?” Ya Allah, Faraneesha melafazkan rasa syukur setelah Allah mengutuskan seseorang untuk membantunya dikala kesusahan ini.
            “Saya tak tahu. Lelaki ni tiba-tiba saja pengsan.” Adu Faraneesha. Lelaki itu meletakkan tangannya dileher pemuda tersebut dan berfikir sejenak.
            “Kita kena bawa lelaki ini ke hospital.” Arah Lelaki itu sambil mula ingin mengangkat pemuda yang pengsan sebentar tadi. Faraneesha juga ikut turut membantu.
            “Saya rasa saya tak boleh drivelah.” Entah kenapa, dia rasa gugup sangat. Dia berharap sangat agar lelaki itu sudi membantunya.
            “Oh, biar saya je yang drive.” Akhirnya kunci kereta pun bertukar tangan. Faraneesha tidak duduk diam jadinya. Sekejap pandang ke tempat duduk belakang. Bimbang sungguh jika berlaku sesuatu ke atas lelaki yang tidak dikenalinya itu.
            Sesampainya di hospital, pemuda itu dikerjakan ke wad kecemasan. Faraneesha melafaskan rasa syukur kepada penciptaNya. Moga Allah memberikan lelaki itu kesempatan untuk terus hidup di dunia ini.
            “Saya terpaksa pergi.” Pohon lelaki yang membantunya sebentar tadi.
            “Oh, terima kasih banyak-banyak. Awak nak saya hantar awak semula ke?” Rasanya wajar untuk membalas kebaikan lelaki ini yang sudi membantunya tadi. Walau dia juga tidak mengenali lelaki yang pengsan itu, namun dia mengambil sikap bertanggungjawab memandangkan lelaki itu memerlukan pertolongan.
            “Eh, tak apa. Saya boleh ambil teksi. Lagipun dia lebih memerlukan awak.” Tercengang Faraneesha mendengar jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu.
            Baru sahaja dia ingin menjawab kembali, lelaki itu telah pun melangkah meninggalkannya. Faraneesha pelik sendiri.
            ‘Eh, nama orang tu pun aku tak tanya tadi.’ Dia baru tersedar dan tersenyum sendiri. Entah bilalah perangai kelam kabutnya  itu akan hilang. Kalau ada Luqman dikala ini, pasti lelaki itu akan tersenyum melihat sifatnya yang satu ini.
            ‘Tapi saya suka bila awak kelam kabut. Awak nampak menarik sangat tau.’ Kata-kata seperti itu pernah keluar dari mulut Luqman satu ketika dulu. Entahlah, semua perkara melibatkan Luqman akan tersimpan kemas di sudut benaknya.
            Tiba-tiba ada seorang jururawat yang mendekatinya. Pasti ingin bertanyakan tentang perihal lelaki tersebut.
            “Cik ni ahli keluarga Encik Nazreen ke?”
            “Eer, sebenarnya saya tak kenal pun dengan lelaki tu. Tadi saya terlanggar dia dan terus dia terjatuh. Hmm, sebenarnya apa penyakit dia?” Ingin tahu juga apa sebenarnya penyakit pemuda itu.
            “Kami sendiri tak dapat kenal pasti lagi penyakit Encik Nazreen itu. Tapi, macam penyakit hati.” Terkejut Faraneesha mendengarnya.
            “Kasihannya.” Tanpa sedar, ayat itu telah keluar dari mulutnya sendiri. Kelihatannya jururawat itu tersenyum sedikit.
            “Zaman sekarang, macam-macam penyakit boleh dapat. Penyakit hati ni pun bukan tengok peringkat umur sangat. Sesiapa pun punya kebarangkalian untuk dijangkiti.” Terang Jururawat itu sedikit.
            Akhirnya, Faraneesha mengambil inisiatif untuk pulang sahaja. Namun sempat juga dititipkan nombor telefonnya kepada jururawat tersebut jika ada masalah yang akan timbul nanti. Risau juga dia dengan keadaan seperti ini. Al-maklumlah, dia tidak pernah berhadapan dengan insiden seperti ini.
             Apa yang boleh dia lakukan sekarang ialah menitipkan doa agar lelaki itu diselamatkan dari sebarang malapetaka. Dan moga keluarga lelaki itu diberikan kehebatan yang maha kuat untuk mengharungi semua ini.
            Dia sendiri tidak dapat membayangkan jika dia terpaksa berhadapan dengan situasi seperti ini. Mampukah dia untuk kehilangan seseorang yang dia sangat sayangi di dunia ini?
            Faraneesha sedar yang dunia ini hanyalah pinjaman. Untuk menguji keimanan seorang hamba dan tempat untuk mengumpul saham untuk bekalan akhiran nanti. Kerana akhirat  yang akan menentukan balasan syurga ataupun neraka. 

 Bab 10
            Hujung minggu ini, mereka sekeluarga pulang ke rumah ibu saudaranya yang mengadakan kenduri kahwin anaknya. Sepupunya Akma akan berkahwin setelah beberapa tahun bermadu kasih.
            “Aku rasa takutlah.” Entah untuk yang keberapa kali ayat itu keluar dari mulut Akma. Faraneesha memalingkan wajahnya ke arah Farafeesa yang sedang khusyuk meletakkan inai di jemari Akma.
            “Aku tampar jugak kau ni. Tak habis-habis dengan takut.” Marah Farafeesa. Kutuk mengutuk sudah menjadi kebiasaan mereka dalam mengeratkan lagi hubungan mereka.
            “Ish budak ni. Tak habis-habis nak menampar orang.” Faraneesha konon-kononnya sedang memarahi Farafeesa namun jangan cepat terpedaya. Faraneesha ini paling takutkan Farafeesa sebenarnya. Hehehe.
            Ayat itu sudah menjadi trademark Farafeesa rasanya. Yang adakalanya senang diajuk oleh adik-adiknya yang memang terkenal dengan perangai mereka yang nakal.
            “Entah, aku tengah takut ni, kau boleh nak tampar aku lagi Feesa. Kejam betul kau ni kan.” Farafeesa hanya menyambut kata-kata Akma dengan tawa kecil. Dia senang jika dapat mengenakan sepupunya itu.
            “Dah yang kau over sangat tu kenapa? Kau nak kahwin, bukan nak pergi berperang.” Faraneesha mengelengkan kepalanya mendengar omelan kembarnya itu. Memang Farafeesa ini terkenal dengan sikap tidak berperasaannya itu. Tapi janganlah tunjuk sangat. Sengaja ingin membuatkan Akma lebih gemuruh.
            “Kahwin ni lebih dasyat dari perang tau. Sebab kau akan berperang dengan perasaan manusia yang kadang-kadang kau tak akan pernah faham.” Bidas Akma pula. Farafeesa tidak akan pernah untuk faham perasaannya ini kerana gadis itu bercinta pun tidak pernah.
            “Lah, kau mestilah dah faham benar dengan perangai Farid tu. Apa yang kau nak takutkan sangat.” Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Farafeesa ini.
            “Memanglah dah faham. Tapi manusia akan berubah mengikut peredaran masa. Masa bercinta lain situasinya. Masa dah kahwin lain pulak.” Terangkat keningnya cuba memahami maksud tersirat kata-kata sepupunya itu.
            “Masa bercinta terikat dengan cinta. Tapi bila dah kahwin pulak, terikat dengan tanggungjawab. Bila kita sedar yang tanggungjawab kita bakal bertambah, itu yang membuatkan kita takut. Takut kalau-kalau kita gagal nak melayari bahtera perkahwinan dengan sebaik mungkin.”
            Faraneesha mula memberikan penerangan setelah melihat muka Farafeesa yang jelas tidak faham dengan situasi yang dialami oleh Akma. Namun pelik kerana sebuah senyuman pula yang lahir dari Farafeesa.
            “Kema, apa yang kau nak takutkan sangat. Kita ni manusia, jadi jangan cuba nak ambil kerja Allah. Segalanya pastilah sudah tersurat. Apa yang kita perlu lalukan ialah bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
            Perasaan takut tu memang wajar sebab kalau kita tak rasa takut, macam mana perasaan berani tu nak hadir. Kalau tanggungjawab itu kita ambil dengan rela hati, pasti ianya akan terasa ringan sekali. Cuba kalau kita ambil dengan berat hati, pastilah rasa berat hati itu akan memberatkan lagi tanggungjawab tu.”
            Wah, macam bagus je syarahan Farafeesa ini. Akma hanya tersenyum sahaja. Memang kata-kata Farafeesa itu ada benarnya. Jika bersama dengan si kembar ini, pasti mereka dapat menghilangkan segala resah yang selama ini menjadi teman setia.
            “Thanks korang. Kalau korang tak ada, aku tak tahulah macam mana. Mesti kelam kabut gila.” Luah Akma ikhlas. Mak longnya itu memang sangat beruntung kerana dikurniakan sepasang kembar yang sentiasa akan membantunya. Mungkin hilang terus lelah tika mengandungkan si kembar ini.
            “Tulah, kau kena pandai bersyukur sikit.” Selamba sahaja ayat Farafeesa itu. Adakalanya memang rasa hendak marah dengan perangai Farafeesa yang adakalanya suka bercakap tanpa berfikir itu namun perangai lepas lakunya itu yang menceriakan orang-orang disekelilingnya.
            “Aku sentiasa bersyukurlah. Hmm, kau bila pulak Neesha?” Soalan cepu emas itu ditujukan kepada Faraneesha. Akma sudah sedia maklum tentang hubungannya dengan Luqman.
            “Secepat yang mungkin.” Terbeliak mata Farafeesa mendengarnya. ‘Uish, gatal jugak kakak aku ni.’
            “Tak sabar nampak.” Sakat Akma dengan tawa hingga tidak sedar yang pergerakannya membuatkan Farafeesa sukar untuk meletakkan inai di jari jemari bakal pengantin itu.
            “Woi, duduk diam-diamlah. Kang tak cantik kang.” Sempat lagi dia melahirkan ugutan. Akma dan Faraneesha saling bertukar senyuman. Mula takut dengan ugutan Farafeesa yang garang itu.
            “Kau ni garang sangatlah Feesa. Macam manalah kau dengan pakwe kau nanti eh?” Ini topic yang paling tidak digemari oleh Farafeesa. Dia bukanlah ganas sangat. Cuma tidak lembut seperti Faraneesha je.
            “Memang tiap-tiap harilah kena belasah.” Serentak dengan itu, tawa menghiasi bilik penganti itu. Farafeesa mendengus keras.
            “Kah kah kah. Kelakar sangat weh.” Ajuk Farafeesa dengan muka serius. Malas dia hendak melayan karenah mereka berdua. Kot ya pun dilamun cinta, tak payahlah nak jebakkan orang lain dengan topik cinta juga.
            “Kau ni jual mahal sangatlah. Nanti jadi andartu baru tahu.” Entah bila lagi dia akan bersenda gurau seperti ini lagi. Mungkin inilah kali terakhir dia melepak bersama-sama dengan si kembar. Kerana nanti dia pasti sudah terikat dengan gelaran isteri orang.
            “Disebabkan esok hari bahagia kau, jadi aku malaslah nak menghapuskan kebahagiaan kau. Kalau kau rasa bahagia dengan mengutuk aku, teruskanlah. Aku tak akan sesekali menghapuskan kebahagiaan orang lain.”
            Kalau orang luar dengar, pasti mereka mengangap yang Farafeesa terasa hati dengan apa yang telah dituturkan oleh Akma sebentar tadi. Tapi sebenarnya, kata-kata itu sudah biasa diungkap oleh gadis itu. Jadi Akma dan Faraneesha sendiri sudah tidak hairan dengan ayat pasrah itu.
            “Kau ni baik Feesa. Aku pasti ada seorang lelaki yang baik untuk kau. Macam Luqman.” Kata-kata Akma itu membuatkan ingatan Faraneesha terus melayang mengingati Luqman. Betapa lelaki itu memang sangat baik. Setiap perkara tentang lelaki itu pasti akan mendapat tempat dihatinya.
            “Tulah, kalau Luqman tu ada kembar kan senang. Tak lah aku susah-susah sangat nak cari.” Sudah acapkali telinganya mendengar pujian tentang kebaikan Luqman. Tapi dia sendiri tidak menafikan yang bakal abang iparnya itu memang sangat baik.
            Dan Faraneesha sangat beruntung kerana dikurniakan bakal suami yang insyaAllah akan menjadi pembimbing didunia walhal di akhirat kelak.
            Tentang nasib yang bakal menimpa dirinya, dia sendiri tidak pernah memikirkan dengan lebih dalam. Apa yang ada didalam kepala otaknya ialah ingin mencari duit untuk menampung keluarganya.
            Jika Faraneesha sudah menemui jalan bahagianya, dia tidak akan sesekali menghalang. Kerana jika dilepaskan kebahagiaan itu, dia tidak mungkin akan temui yang lebih baik lagi. Sedangkan dirinya masih lagi tercari-cari seorang lelaki yang bakal menakluki segenap ruang hatinya. Jadi, biarlah didahului keluarganya yang pasti memerlukan kudratnya.
            Kerana itu ditangguhkan dulu soal hati ini. Lagipun dia malas untuk memikirkan semua ini. Makin fikir, makin rungsing jadinya. Jadi tidak payahlah disemakkan kepalanya dengan perkara yang tidak patut ini.
            “Eh, mana Neesha?” Kerana terlalu asyik berangan, dia tidak sedar yang kembarnya itu sudah hilang dari pandangan mata.
            “Bergayut telefon dengan Luqman.” Jawab Akma sedangkan matanya sudah pun ditutup. Mungkin penat apabila terpaksa mengawal pergerakan tangan dan kakinya itu.
            Farafeesa sendiri sudah merasakan kepenatan setelah seharian melakukan kerja untuk hari besar esok. Namun apabila dia melihat rumah mak saudaranya yang meriah dengan usikan dan keriuhan kanak-kanak, kepenatannya mula beransur hilang.
            Lagipun bukan selalu mereka dapat berkumpul sebegini. Jika tak waktu kenduri, mungkin pada hari raya. Jika tidak, masing-masing akan membuat haluan masing-masing. Hingga adakalanya lupa untuk bertanya khabar adik-beradik sendiri.

3 comments:

  1. konfius betul laa.. farafeesa faraneesa.. kena baca dua kali nak konfemkan sapa yg cakap..

    ReplyDelete
  2. hehehe... mcm nak kenal dengan lebih rapat je lagi ngn feesa sengal tuh... hehe sengal ke dia tu? pepun menarik ar cter ni bler dah edit jadi pendek. relek sikit otak saya...

    ReplyDelete