Thursday 29 December 2011

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [21][22][23][24][25]


BAB 21
“Macam mana dengan laporan saya doktor. Sakit biasa je kan?” Tanya Farafeesa. Hari ini dia keputusan pemeriksaannya akan keluar. Pelik juga dia dengan kemerahan yang berada di pipinya dan sakit kepala yang sering melanda.
“Berat untuk saya menuturkan.” Kata-kata doktor pun dah saspen.
Farafeesa hanya mampu menelan air liur yang terasa kelat itu. Dari suara Doktor Hidayah itu, Farafeesa sudah dapat mengagak. Akan ada sesuatu yang akan bakal merubah nasibnya nanti.
“Saya sakit apa Doktor?”
Perlahan-lahan, persoalan itu keluar dari mulutnya. Berat untuk lidahnya bergerak untuk menuturkan soalan. Namun berat lagi hati yang bakal memikulnya. Beberapa kali Doktor Hidayah memandang pesakitnya itu.
“Doktor, beritahu je... saya boleh terima.” Farafeesha mula mengetap bibir. Berat untuk Doktor mengungkapkannya, berat lagi bahu yang menanggung.
“Dari pemeriksaan yang dijalankan, awak menghidap panyakit Systemic Lupus Erythematosusatau atau singkatannya dipanggil SLE.”
Farafeesha mula menutup mulutnya dengan telapak tangan. Dapat dirasakan yang kelopak matanya sedikit panas. Air mata mula bergenang di tubir mata. Menunggu masa untuk jatuh menyapa pipi.
Terpana dia seketika.
‘Ya Allah, adakah ini adalah dugaanMu atau ini adalah bala dariMu?’ Farafeesa mula ambil sikap sedar diri. Dia tidak berhak mempersoalkan apa-apa sekalipun.
“Awak tak apa-apa?”
Doktor Hidayah dapat mengesan kecelaruan fikiran pesakitnya tika ini. Ini bukan pertama kali dia melihat kondisi seperti ini. Sudah acap kali. Bahkan dirasakan, Farafeesa lebih tenang mendengar kenyataannya tadi.
Kebanyakan orang sebenarnya pasti akan terus menangis dan meraung sekuat hati. Tapi gadis ini hanya tergaman sahaja. Tiada tanda-tanda yang gadis itu akan menangis.
“Teruk ke Doktor?”Setelah diambil nafas berulang kali, barulah dia berupaya mengeluarkan pertanyaan.
 “SLE ialah penyakit kronik autoimun di mana antibodi dalam tubuh pesakit yang sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tiba-tiba berubah dengan menyerang sel badan atau organ manusia. Dalam kata lain, ia satu gangguan sistem imun membabitkan sistem imun itu sendiri melawan bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.
Penyakit ini menyerang individu secara tiba-tiba dan masa ia menyerang tidak diketahui. Ia mempunyai spektrum yang luas di mana ada pesakit yang mendapat penyakit SLE ringan dan ada yang memperoleh serangan sangat serius.”
Jelas Doktor Hidayah panjang lebar. Namun dia perasan yang jiwa Farafeesa seakan-akan terbang melayang. Jasadnya berada di hadapannya. Namun rahsia hatinya, siapa yang tahu.
“Saya akan sembuh kan?”
Entah kenapa, soalan itu lahir dari mulutnya.  Farafeesa dapat merasakan yang jiwanya lemah dalam menanggung ujian Allah kali ini. Farafeesa sangat akui yang dia terlalu lemah.... Namun setelah difikir-fikir, sejak bila dirinya kuat?
‘Aku tak pernah berdaya dalam apa juga perkara sekalipun!’ Rasa sedih mula menimpa-nimpa membelah jiwa.
“Terus terang, kajian menunjukkan bahawa penyakit ini tidak boleh disembuhkan. Namun masih boleh dikawal dengan pengambilan ubat secara berterusan. Dalam hal ini, awak perlu kuat Feesa.. Sebab kalau awak lemah, penyakit ini akan mudah menyerang antibodi awak sendiri.”
Farafeesa tunduk merenung jauh. Entah apa yang difikirannya, dia sendiri tidak tahu. Semuanya seakan-akan bertebangan ditiup angin.
‘Ya Allah, tolong tiupkan semangat kepadaku.. untuk aku melangkah dengan diiringi oleh kekuatan... Pinjamkan aku kekuatan Ya Allah...’ Farafeesa teramat mengharapkan belas ehsan dari Yang Maha Pencipta.
“Ada kebarangkalian untuk membawa maut?” Dirinya sendiri tidak dapat mengelak dari bertanya soalan yang tidak-tidak.
Mata mereka saling beradu. Mencari kepastian yang pasti akan terjadi. Kepastian yang yang menuntur kekuatannya untuk terus melangkah.
Doktor Hidayah menarik nafas sedikit. Mencari ruang untuk cuba memberikan peluang kepada pesakitnya sendiri bernafas di bumi Allah ini.
Sejujurnya, penyakit ini memang boleh membawa maut kerana SLE berupaya menyebabkan kegagalan fungsi organ atau serangan SLE itu sendiri terlalu kuat dan dinamakan krisis lupus. Antibodi juga boleh memecahkan sel-sel darah merah dan menyebabkan pesakit kurang darah merah. Ia boleh menyerang kulit dan ia boleh menyerang sendi, buah pinggang, jantung, paru-paru, saraf dan otak.”
Sejurus mendengar pengkhabaran dari Doktor, Farafeesa mula bersandar lemah ke kerusi. Entah kenapa, dia mula terfikirkan keluarganya di rumah. Mula terfikirkan kembarnya itu. Memikirkan tanggungjawabnya yang masih belum dilunaskan dengan sempurna. Semua ini mampu membuatkan air matanya kabur.
‘Bertahanlah wahai hati. Bersabarlah wahai jiwa...Bersatulah wahai sanubari..’
Farafeesa cuba mengelipkan matanya beberapa kali. Dengan cara itu, pasti air mata tidak jadi hendak mengalir. Jika air mata itu hendak mengalir sekalipun, dia akan pastikan yang tiada sesiapa yang akan melihat permata jernih ini.
Mungkin air mata itu bukan tanda lemah, tapi Farafeesa tetap tidak suka menzahirkan permata itu dengan kesedihan. Dia sedaya upaya cuba untuk menangkan pendiriannya. Walaupun sebenarnya, dia sudah sedia kalah dari sejak mula.
“Saya akan sarankan beberapa jenis ubat yang perlu awak ambil. Sebarang perubahan bilangan ubat akan ditentukan oleh saya. Jangan sesekali membuat keputusan sendiri untuk berhenti atau mengurangkan bilangan ubat apabila rasa sudah baik sedikit.
Doktor Hidayah terus menulis sesuatu di atas buku rekod kesihatan milik Farafeesa. Farafeesa mula merenung kembali masa silam. Mencari silapnya yang bersepah dimana-dimana.
Mungkin inilah masanya untuk dia memperbetulkan kembali hubungannya dengan Allah. Mencantumkan kembali hubungan silaturahim dengan ibunya yang keretakan itu. Banyak perkara sudah mula mendapat tempat di fikiran Farafeesa.
Dia perlu terus menyimpan duit untuk adik-adiknya. Sekarang dia akan terus berkerja keras untuk menyimpan duit untuk bekalan buat keluarganya. Jika dia tiada satu hari nanti, mungkin duit yang ada mampu meringankan beban ibu dan abah.
Usah pernah disalahkan takdir yang melanda. Farafeesa kembali merenung kembali sejarah silam. Dia akui yang dirinya tidak mampu untuk mengubah masa silam. Tapi dengan izin Allah, dia teramat teringin untuk merangka masa depan. Semuanya untuk keluarganya.
Dia tidak akan berputus asa. Dia tidak akan berputus harap pada Allah. Itu tekadnya. Moga Allah bersamanya untuk setiap langkah perjalananya nanti.
“Nanti nurse akan beritahu tarikh appointment yang seterusnya. Ubat jangan lupa makan. Penyakit ni memang amat bergantung pada ubat. Bersabarlah Feesa... Allah menguji manusia itu berdasarkan kemampuan seseorang itu.”
Nasihat Doktor Hidayah itu Farafeesa sambut dengan senyuman. Bukankah senyuman itu tanda kerelaan hati menempuh ujian Ilahi.
“Terima kasih doktor.”
Baru sahaja Farafeesa bangun, namun suara Doktor Hidayah membantutkan niatnya.
“Feesa, saya tak pernah anggap pesakit itu sebagai orang luar. Saya anggap dia macam kawan saya sendiri. Sebab masa merawat pesakitlah waktu saya berteman dan berkawan. Kalau tak, asyik sibuk memanjang dengan tugas yang tak pernah selesai. Kalau ada apa-apa masalah, jangan segan-segan minta tolong dengan saya ya.”
Entah kenapa, Doktor Hidayah terpanggil untuk menjadi sahabat pada Farafeesa. Air muka gadis itu penuh dengan rasa tabah mengharungi semua ini.
“Terima kasih Doktor... Bangga pula ada kawan dalam bidang kedoktoran.” Sempat pula dia mengusik Doktor Hidayah. Entah kenapa, kata-kata Doktor Hidayah seperti dapat mengurangkan bebanan yang sudah mula rasa tidak tertanggung.
‘Segala yang berlaku, pasti ada hikmah. Pasti...’

 Bab 22
            “Asal muka kau monyok je weh?” Sergahan Faraneesha itu tidak langsung dapat mengejutkan Farafeesa dari mimpi ngerinya. Bagaimana ya dia hendak menerima hakikat yang hidupnya akan berakhir secepat ini.
            “Weh, aku cakap dengan kau ni? Kau apasal? Nak kata gaduh dengan pakwe, tak ada pakwe, nak kata gaduh dengan suami, lagilah jauh menyimpangnya. Single-single lagi dah buat muka ketat. Dah ada laki nanti tak tahulah macam mana.” Bebelan Faraneesha itu langsung tidak apat menyembuhkan kesedihan kembarnya itu.
            “Helo, kau ni dah pekak ke atau dah buta. Aku dok bebel dari tadi, sikit pun kau tak layan.” Kali ini, nada suara Faraneesha sudah mula meninggi. Sakit hati melayan adiknya yang sakit jiwa.
            Farafeesa mengeluh sedikit. Namun kedengaran sungguh berat.
            “Aku tak ada mood ni. Jangan kacau boleh tak?” Terdiam Faraneesha dibuatnya. Entah apalah yang menganggu saraf permikiran Farafeesa ini.
            “Nak kacau jugak.” Sakat Faraneesha sengaja. Ketika dia sedang bengang atau marah, pasti Farafeesa akan menganggunya. Kini tiba masanya pula ingin membalas dendam.
            “Kau ni kenapa? Kang kalau aku marah kang kau nangis pulak. Dah tak ada kerja lain ke? Keluarlah!”
            Dia bukan bimbang jika kemarahanya tumpah pada Faraneesha. Tapi dia bimbang andai air mata yang sudah mula bertakung ini akan tumpah membasahi pipi. Berhadapan dengan Faraneesha membuatkan kekuatan yang dikumpul dari tadi hilang begitu sahaja.
            “Helo, yang kau tak pasal-pasal mengamuk ni kenapa? Cubalah belajar bersabar sikit. Ini tidak, cepat sangat nak melenting. Tak ada pasal aku nak keluar, ini pun bilik aku jugak. Kau siapa nak halau orang.” Sudah lama rasanya mereka tidak bergaduh sebegini rupa.
            “Serabutlah kau ni.” Dibalingnya bantal ke arah Faraneesha. Bengangnya tidak terkira rasanya. Sedangkan dia sedaya upaya mengawal rasa hati yang menangis.
            ‘Cukuplah sekadar di hati.. Cukuplah sekadar di jiwa... jangan terluah dek fizikalku Ya Allah..’
            “Otak kau tu yang serabut. Nak mengata aku pulak.” Balas Faraneesha berani.
            “Yang kau memekak ni kenapa. Kalau nak duduk dalam bilik ni, tutup mulut tu. Telinga yang Allah bagi kat aku ni bukan untuk dengar kau membebel.”
            “Mulut yang Allah bagi kat aku ni bukanmya untuk ditutup. Fungsinya ialah untuk bercakap. So, aku hanya gunakan kelebihan yang Allah bagi pada manusia je. Salah ke?” Naik darah Farafeesa dibuatnya.
            Mula-mula sekadar ingin memainkan emosi milik Farafeesa. Alih-alih emosinya pula yang bercelaru. Aishh...
            “Ini amaran aku yang terakhir, sekali lagi kau bercakap, nahas kau aku kerjakan.” Muka Farafeesa sudah kemerahan kerana menanggung marah yang tidak terkira banyaknya. Sumpah rasa hendak menangis!
            Sudahlah dia mengetahui satu hakikat yang bagai tidak boleh diterima oleh akal fikirannya, Faraneesha pula asyik mencari pasal dengannya. Dia bukanlah seorang serikandi Islam yang dibekalkan dengan kesabaran yang menggunung. Dia hanya manusia biasa yang dikurniakan perasaan marah, sedih, kecewa dan banyak lagi.
            “Eleh, tak takutlah. Pirahhhhh!!!!”
            Farafeesa sudah berdiri dari pembaringannya. Tangannya sudah dikepal dengan sekuat hati. Faraneesha mula menelan air liur. Tidak pernah membayangkan yang Farafeesa bakal bertindak sebegini rupa. Nampaknya, dia bergurau memang tidak kena masa.
            “Apahal korang berdua ni? Satu lorong boleh dengan suara korang bergaduh.” Puan Azah muncul disebalik pintu. Nyaring sungguh suaranya.
            Farafeesa buat muka. Bengang pastinya. Dan selepas ini, dia sangat pasti yang ibunya pasti akan membela Faraneesha. Buah hati pengarang jantungnya. Merangkap anak kesayanganlah katakan.
            Farafeesa mendegus kasar!
            “Feesa, kamu tak ada kerja lain ke selain dari cari gaduh hah?” Tengok, sememangnya semua ini sudah berada dalam percaturannya.
            “Siapa yang ganggu siapa sekarang?” Jawab Farafeesa keras.
Ya, selepas ini ibunya boleh berbahagia dengan pemergiannya nanti. Nanti, ibu tak payah peningkan kepalanya dengan karenah anaknya yang berbagai ini. Mungkin inilah hikmahnya. ‘Pemergianku ini pasti dinanti-nanti oleh Ibu.’
            “Bila aku cakap sikit menjawab. Tak reti langsung nak hormat orang tua.”
            ‘Bebellah lagi ibu. Nanti ibu tak akan memebebel dah kat angah ni. Nanti bila angah dah pergi, memang senanglah hati ibu kan?’ Ya Allah... hatinya melarang dari terus berfikir yang tidak-tidak. Tapi emosinya juga seperti manusia biasa. Dia tidak punya kekuatan luar biasa untuk menghadapi semua ini.
            “Ibu, dahlah. Neesha yang salah. Neesha kacau dia.” Tidak sanggup rasanya untuk melihat Farafeesa dimarahi sedemikian rupa. Memang ini semua berpunca dari salahnya. Salah kerana mencari pasal dengan mood Farafeesa yang bercelaru itu.
            “Kalau tak nak kena kacau, pergi duduk dekat gua nuh. Hah, masa tu jangan sibuk nak mencari keluarga pulak. Hiduplah kamus orang-sorang dengan dunia kamu tuh.’
            Sesudah itu, Puan Azah berlalu keluar. Meninggalkan si kembar sendirian. Muka Farafeesa sudah merah menahan marah dan tangis. Faraneesha hanya mempu mengigit bibir. Tidak tahu hendak berkata apa lagi.
            “Puaslah hati kau sekarang kan?” Jerkah Farafeesa.
Namun bibirnya diketap sedikit. Mengawal intonasi suara dan agar tidak terlalu kuat hingga boleh mengundang kedatangan ibuna semula.
Entah kenapa, Farafeesa terasa hendak berdoa agar ajal cepat-cepat menjemput dirinya. Senang sikit hati orang disekelilingnya ini. Namun cepat-cepat dia sedar diri. Mengapa dengan mudah emosi mengawal akal fikiranku. ‘Ya Allah.. Ampunkan dosaku!’
            “Aku bergurau je. Kau tu yang ambik serius sangat. Kau ingat aku suka ke bergaduh dengan kau.” Jawab Faraneesha perlahan.
            “Yalah. Balik-balik aku jugaklah yang salah. Kaulah manusia yang paling berguna dan perfect dalam dunia ni.” Hambur Farafeesa lantang.
‘Mungkin sedikit kebencian harus ditinggalkan sebagai kesan di dalam hati Neesha. Nanti bila aku pergi, dia tak akan terasa sangat kehilangan aku.’
            Sejurus kemudian, Farafeesa menyembamkan mukanya ke dalam bantal. Malas ,mahu terus bertikam lidah dengan kembarnya itu.
            Faraneesha menyesal kerana membangkitkan kemarahan ibu pada adiknya itu. Bukan niatnya untuk mencari gaduh. Dia hanya cuba ingin menceriakan Farafeesa sebagaimana gadis itu tidak pernah gagal dalam mengembalikan hatinya yang rawan tika bersedih.
            Seringkali dia akan mengelak jika berlaku pertempuran di antara mereka berdua. Kerana dia tahu, jika mereka terus bertikam lidah dan bermasam muka, yang terlebih terluka ialah Farafeesa kerana ibu pastinya akan membela dirinya walaupun kesalahan itu bermula dari dirinya.
            ‘Maaf Feesa, aku sentiasa menjadi kakak yang tak berguna pada kau.’ Matanya mula kabur dek genangan air mata yang mula bertakung. Dia memang sensitif orangnya. Apatah lagi hal yang melibatkan Farafeesa, lagilah hatinya cepat tersentuh.

 BAB 23
            “Sejak akhir-akhir ni saya nampak muka awak macam tak bermaya je? Ada apa-apa masalah ke?”
            Farafeesa hanya menunduk sedikit. Tidak langsung punya niat untuk menjawab pertanyaan bosnya itu.
            “Feesa.. I’m talking to you. Jangan buat saya rasa macam cakap dengan tunggul.” Tersentak sedikit Farafeesa dibuatnya apabila mendengar suara Ezrakil yang agak meninggi itu.
            “Sorry bos. Saya okay je.”
            Ezrakil rasa tidak sedap hati melihat bidadari hatinya itu. Entah apalah masalah gadis itu sehingga dapat meragut segala keceriaan dan sifat banyak cakap gadis itu.
            “Bos dah siap sign dah?”
            Melihat Ezrakil hanya memandangnya kosong, Farafeesa melahirkan pertanyaan. Dia tidak mahu terus berlama-lama di dalam bilik bosnya ini. Sesak rasanya kepala otaknya.
            “Apa sebenarnya masalah awak ni?” Keras Ezrakil bertanya.
            “Bos, kalau saya ada masalah pun, ada menyusahkan bos ke?” Hah, tak pasal-pasal pulak bos yang terkena tempias kemarahannya. Seketika, terus dia tersedar dari kealpaannya kerana terlepas laku.
 ‘Nasib kaulah bos.. suka sangat cari pasal kenapa?’
            “Kalau ada masalah sekali pun, jangan pandai-pandai nak menimbulkan masalah saya pulak. Ni apa hal ni? Cop terbalik, resolution banyak yang salah. Spelling salah eja. Kerja macam budak tak sekolah ni kenapa?”
            Bukan niatnya untuk memarahi bidadari hatinya itu. Tapi Farafeesa benar-benar kelihatan tidak berdaya. Adakah mungkin gadis itu tension dengan lambakan kerja di office ataupun masalah dirumahnya? Persoalan ini hanya Farafeesa sahaja yang dapat menjawabnya.
            “Saya mintak maaf bos. Biar saya buat semula.” Dia memang malas hendak bertekak dengan sesiapa pun. Tapi makin dia cuba menghindari perbalahan, makin kuat pulak ujian yang mendatang. Jangan sampai office ini terbalik kerana terkejut dengan kemarahannya nanti.
            “Awak dah tak ada kerja sampai buat satu kerja banyak-banyak kali. Ingat Feesa, saya bukan bayar gaji buta dekat awak. Kita ni profesional, jadi buat kerja macam orang profesional. Jangan bawak masalah masuk dalam tempat kerja. Kalau tak macam nilah jadinya.”
            Kalau ikutkan hatinya yang agak membara itu, hendak sahaja diluku-luku kepala Ezrakil itu. Suka hati bercakap sampai lupa hendak menjaga hati dan perasaan orang lain. Cukuplah dia seorang sahaja yang tak berperasaan. Jangalah nak melibatkan orang lain pulak.
            “Awak dengar tak apa yang saya cakap ni Feesa?” Apa kenalah dengan Farafeesa ini? Bingung dia memikirkan bidadari hatinya ini.
            “Saya dengar bos. Sound bos tu memang dah cukup kuat dah.” Memang berani sungguh dia bertikam lidah dengan bosnya sendiri.
            “Habis tu, tunggu apa lagi. Pergilah betulkan.” Dia cuba mengeraskan nada suaranya walaupun dihalang keras oleh hatinya sendiri. Kusut dia melihat Farafeesa yang terus mencapai semua fail dan berlalu keluar.
            Farafeesa yang ada masalah, dia pulak yang pening sebegini rupa? Entah-entah gadis itu merasa tension kerana layanannya? Kasar sangat ke? Nampak sangat ke? Arghhhh, kusut rambutnya dibuatnya apabila tangannya tidak henti-henti dari menguak rambutnya.
            Lantas ditekan interkom memanggil Atiq masuk. Sungguh dia tidak boleh menghadapi keadaan seperti ini.
            “Ada apa Encik Akil panggil saya?” Sudahlah muka Farafeesa kelat semacam, masuk dalam pun sama jugak. Dia orang ni bergaduh ke? Sebab apa? Entah-entah dia orang ni bercinta senyap-senyap kot? Begitu banyak spekulasi daaaa...
            “Kenapa dengan Farafeesa tu? Kerja dia banyak tak betul sejak akhir-akhir ni.” Tanpa kenyataan dari Ezrakil pun, Atiq sudah pun mengetahuinya. Dia sendiri menjadi saksi betapa tidak terurusnya Farafeesa ketika ini. Entah apalah masalahnya. Jika ditanya, hanya kebisuan yang hadir sebagai jawapan.
            “Saya sendiri tak tahu bos.”
            Ezrakil mengeluh perlahan. Hatinya digaru rasa bimbang. Sudahlah muka Farafeesa sudah mahal dengan senyuman malah mulutnya juga sudah seperti ada jongkong emas. Payah benar untuk mendengar suara bidadari hatinya itu.
            Atiq tersenyum di dalam hati dikala melihat perlakuan bosnya yang jauh menyimpang dari perangai asalnya. Sepertinya, Ezrakil kelihatan sungguh serabut. Mungkin  akibat dipanah cinta oleh rakan sekerjanya itu.
            ‘Hebat jugak penangan si Feesa ni.’
            “Dia ada masalah kewangan ke?” Entah kenapa, soalan itu tiba-tiba terpancul keluar dari mulutnya. Atiq hanya mampu mengeleng. Tanda dia tidak punya jawapan kepada soalan majikannya itu.
            ‘Ambik berat jugak bos ni kat Feesa. Nasib badanlah Feesa. Mujur badan kau tak berat je. Kalau tak jenuh si Ezrakil nak mengangkatnya. Hehehe..’
            “Awak boleh tolong saya.” Kali ini dibetulkan sedikit postur duduknya. Mukanya kedepan sedikit.
            “Tolong apa bos?”
            “Tolong siasat kenapa Feesa jadi macam ni.” Tak tertelan rasanya air liur mendengar pengakuan majikannya itu.
            ‘Muka aku ni ada gaya macam James Bond ke? Ada ke patut dia suruh aku yang tengah bunting ni menyiasat. Ish, mahu terberanak aku nanti.’
            “Eerr, saya cuba tolong mana yang saya tahu eh.” Atiq memilih jawapan yang selamat. Kalau ditolak karang, ada pulak kena potong gaji nanti.
            “Saya mintak tolong sangat dengan awak Atiq. Lagipun, awak sorang je yang rapat dengan Feesa dalam office ni.” Tanpa sedikit pun rasa malu, Ezrakil terus merayu hingga membuatkan Atiq serba salah sendiri.
            “Saya cuba semampu saya bos. Err tapi boleh saya tanya sesuatu?” Dalam takut bin berani dia melahirkan pertanyaan.
            “Teruskan.”
            “Bos tanya-tanya ni sebab bos suka dekat Feesa ke?” Gulp. Tak tertelan rasanya air liurnya. Bagai tersekat di anak tekak. Seperti ada polis trafic yang menyekatnya.        
            “Saya bukan apa Atiq, saya tak nak pekerja saya bermasalah dengan masalah yang sama. Kalau kita boleh tolong untuk settlekan, apa salahnya kan.”
            Dia cuba control kelakuan, riak wajah dan macam-macam lagilah agar tidak dikesan oleh Atiq.
            “Memang beruntung Feesa sebab dapat bos yang prihatin macam Encik Akil ni.” Dalam diam-diam, dia memerli majikannya itu.
            “Eh, bukan dia je. Semua pekerja saya pun beruntung tau. Termasuklah awak Atiq. Kalau saya ni tak berperikemanusiaan, mesti saya tak suruh awak buat kerja dalam office je walaupun kerja hantar documen ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia sepatutnya dilakukan oleh awak. Tapi saya suruh Feesa kan. Sebab, awak tu bawa budak.”
            Atiq tersenyum malu sendiri. Dia tahu yang majikannya itu amat mengambil berat hal ehwal pekerjanya. Ezrakil menjaga pekerjanya lebih baik dari Dato Effendi dahulu. Firma ini berjaya diterajui oleh Ezrakil dengan caranya yang tersendiri.
            “Saya tahu bos. Hmm, kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu ya.”
            “Jangan lupa tau dengan apa yang saya suruh tu.”
            “InsyaAllah tak lupa. Lainlah kalau saya hilang ingatan. Hehehe.” Atiq sekarang pun bukan main lagi suka menjawab. Ini semua mesti hasil didikan si Farafeesa. Hmm, Farafeesa lagi.
            ‘Feesa, boleh tak awak duduk diam-diam dalam kepala otak saya ni. Ini tidak, asyik menyerarabutkan je adalah. Sudahlah hati saya awak dah curi, jadi tolonglah saya sikit sayang oit.’
            Ah sudah. Ezrakil sudah diserang sakit jiwa. Jiwa kacau kerana dipanah cinta si Farafeesa. Bidadari hatinya.
 
BAB 24
            Tudung Faraneesha sedikit beralun tika angin pantai mula menyapa dengan penuh kelembutan. Terasa senang melepak di tepi pantai ini sambil menghadap laut. Perkara biasa yang mampu membuatkan hari-hari biasa menjadi indah.
            “Neesha, awak bahagia tak?” Berkerut dahi Fafaneesha mendengar soalan tunangnya itu. Masa hendak bertanya lagi sedangkan kegembiraan memang sudah terpacar di wajahnya. Terus dia berpaling ke arah Luqman.
            “Tak cukup nak digambarkan dengan kata-kata sebanyak mana kebahagiaan yang saya rasa sekarang Luqman. Neesha bersyukur pada Allah sebab dia meminjamkan kebahagian yang terlalu besar untuk Feesa yang terlalu kerdil ini.”  Luah Faranesha ikhlas. Luqman hanya sekadar tersenyum. Menghargai ucapan dari tunangnya itu.
            “Macam mana eh jika ditakdirkan Allah, tiba-tiba kebahagiaan kita ni disentap pergi?” Faraneesha mengerutkan dahinya. Yang pasti dia pelik menyambut huluran soalan dari Luqman.
            “Uish, tak nak fikirlah yang bukan-bukan. Kenapa nak fikir sesuatu yang bukan kerja kita. Benda-benda macam ni boleh menyongsangkan Iman tau.”
            “Hmm, jom kita tanya soalan pelik-pelik nak?” Usul Luqman semangat. Dahinya berkerut lagi apabila menyambut kata-kata Luqman itu.
            “Soalan apa?”
            “Okay, biar Man yang tanya dulu eh?” Berdebar-debar Faraneesha dibuatnya. Muka Luqman kali ini serius benar. 
            “Andai ditakdirkan Man pergi dulu, apa Neesha nak buat?”
            “Apa ni, tanya soalan macam ni. Tak naklah.” Bagai diragut jantungnya tika Luqman bertanyakan soalan maut itu. Dia berpaling ke arah lautan yang terbentang. Kenapa hatinya tiba-tiba rasa tidak enak ya?
‘Ish.. Lempang jugak budak ni karang... Ini bukan soalan pelik? Ini soalan menyakitkan hati!’
            “Lah, jawablah. Nama pun soalan pelik-pelik.” Tersenyum sahaja Luqman ini. Sedang soalan yang ditanya itu bagai belati tajam yang menghunus tangkai jantungnya.
            “Neesha nak nangis empat puluh hari empat puluh malam.” Spontan jawapan itu keluar dari mulutnya. Ya, apa lagi yang boleh dia lakukan selain dari menangis. Allah sudah menarik pergi segala nikmat hidup berpasangan, jadi apa lagi yang tinggal untuknya.
            “Uish, ada pulak macam tu?” Ternyata, dia tidak menyukai jawapan tunangnya itu.
            “Habis tu, what should I do Luqman? Bukan senang nak terima hakikat yang awak tak ada dalam hidup saya.” Perlahan-lahan ayat itu singgah di cuping telinga Luqman. Namun tidak sedikit pun dia memandang Luqman. Dia tidak berani.
            “Carilah peganti saya...”
            Faraneesha segera berpaling menghadap Luqman. Matanya mencerlung. Tubir matanya seakan-akan mula terasa panas.
            “Senang je awak cakap kan?” Faraneesha sudah mula kebengangan.
            “Kalau cakap senang, nanti senanglah jadinya.” Ujar Luqman. Masih dalam mood bergurau. Padahal Faraneesha sudah terasa seperti hendak pengsan.
            “Hahaha... Kelakarnya....” Perli Faraneesha serius.
            Selama tiga tahun menyemai kasih, boleh bilang dengan jari berapa kali mereka bermasam muka. Ini kerana layanan Luqman tidak pernah berkurang atau melebihi had yang sepatutnya dia dapat.
            Kesabaran dan ketenangan lelaki itu sering mendidik Faraneesha agar menjadi lebih bersabar dalam mengharungi pancaroba dunia ini. Benar kata orang tua, jika kita mendapat pasangan yang baik, kebaikan pasangan kita akan meresap dalam diri kita. Malah kita ingin menjadi lebih baik dalam semua perkara kerana gandingan kita itu tersangatlah baik.
            “Betullah saya cakap kan, awak kena cari peganti saya. Sebab penungguan awak tu tak akan ada penghujungnya. Apa yang awak kumpul dengan saya ni mungkin akan menjadi sebuah kenangan untuk awak simpan di masa depan.
            Dan menangis tak akan dapat pulangkan sesuatu yang awak hilang Neesha. Tapi doa boleh dikirimkan buat insan yang telah pergi tu.”
            Tergeleng-geleng kepala Faraneesha mendengar kata-kata Luqman yang sungguh perit untuk ditelan. Semuanya bagai tersekat dikerongkongnya.
            Lantas dia bangun dari duduk dan mula melangkah menyusuri pantai. Dia terasa benar-benar ingin menangis bercampur sakit hati kerana Luqman sejak akhir-akhir ini sering berkata yang tidak-tidak.
            “Tengok tu, suka tinggalkan saya. Nanti bila saya tinggalkan awak, hah baru awak rasa air laut tu dalam ke tak.” Masih lagi bergurau hingga Faraneesha sesak nafas dibuatnya.
            “Apa masalah awak ni?”
            “Tak ada apa-apa masalah pun.”
            “Awak memang suka sakitkan hati saya kan?”
            “Mana ada. Hati awak kan pada saya. Saya jaga elok-elok je tau.”
            Merah muka Faraneesha menahan tangis dan akhirnya, matanya yang sedari tadi kabur kini sudah mula memuntahkan air mata. Dia mula teresak sendiri.
            “Hei, jangan menangislah. Saya bergurau jelah.” Cemas Luqman dibuatnya. Menyesal pula kerana membuat tunangnya itu menangis ditepi pantai ini.
            “Cakap jelah yang awak dah tak ada perasaan pada saya. Habis cerita. Tak payahlah nak bangkit cerita pasal matilah, itulah, inilah. Kalau dah tak sayang, just terus terang je. Saya boleh terima Luqman. Tapi jangan cakap macam ni. Saya boleh sakit jiwa jawab setiap pertanyaan awak yang bagai boleh mencabut nyawa saya Luqman.”
            Faraneesha meluahkan keluh resahnya dengan linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir. Luqman dibelasah rasa serba salah yang bukan sedikit. Entah kenapa, soalan itu sebenarnya keluar spontan dari mulutnya. Hatinya bagai ingin tahu sekali apa jawapan tunangnya itu.
            “Neesha, awak nampak tak langit yang kat hujung pantai tu?” Soal Luqman tiba-tiba.
            “Apa kena-mengena langit tu dengan cerita kita sekarang?” Keras pertanyaannya. Bengang sungguh dia dengan Luqman. Ketika dia sedang menangis pun, lelaki itu masih ada masa bercerita tentang langit. Apa kes dengan Luqman ni?
            “Alah, jawab jelah sayang.” Dengan senyuman manis, Luqman memujuk dengan sabar.
            “Nampak. Saya belum buta lagi.” Agak kasar sedikit bahasanya. Namun Luqman mengerti kerana kemarahan Faraneesha berpunca dari dirinya.
            “Awak nampak tak laut yang terbentang luas ni?” Tanya Luqman lagi.
            “Apa ni Luqman. Saya nak baliklah.” Bosan dia melayan keranah Luqman yang berbagai ini. Tadi cerita pasal mati, lepas tu cerita pasal langit dan sekarang cerita pasal laut pulak. Hah, lepas ni cerita pasal ikan-ikan kat dasar laut pulak. Eee, macam belajar geografi pulak. Subjek yang paling dibenci ketika disekolah menengah dahulu.
            “Sayang, jawab jelah.” Masih setia memujuk dengan lembut.
            “Nampak sayang... Laut, langit, matahari, pasir, kapal kat hujung tu, semua saya nampak.” Luqman ketawa kecil melihat reaksi tunangnya yang seakan-akan sedang merajuk itu. Suara Faraneesha halus memperli dirinya.
            “Okay, memang Neesha nampak laut dengan langit tu tapi Neesha nampak tak yang dia orang tengah berpacaran di hujung tu?” Berkerut dahi Faraneesha mendengar penerangan Luqman itu.
            “Merepeklah.” Protes Faraneesha. Entah dari buku cerita manalah Luqman mencedok kisah kasih ini.
            “Itulah awak tak tahu. Kita sering dihidangkan dengan kisah kesetiaan ombak dengan pantai sedangkan langit dengan laut pun bercinta jugak tau. Kalau awak nak tahu, awan selalu jelous dengan percintaan langit dan laut. Sebab tu kadang-kadang awan duduk di tengah-tengah antara mereka untuk menghalang percintaan mereka.”
            Faraneesha yang pada mulanya rasa ingin tergelak, kini  mula memberikan fokus untuk terus mendengar cerita Luqman yang tidak pernah didengari dari mana-mana lagi.
            “Dan langit pun menangis bila percintaannya dihalang oleh awan. Tapi tangisan langit tak sia-sia sebab angin yang sedang bertiup itu mendengar rintihan hati langit. Dan angin pun menebarkan sayapnya dan terus menhalau awan yang tadinya menjadi penghalang di antara laut dan langit.
            Dan akhirnya, mereka pun terus bercinta hinggalah sekarang. Kalau kita dapat tengok kat hujung kaki langit tu, kat situlah mereka berdua berpacaran tau.” Semangat Luqman terus bercerita tentang kisah percintaan langit dan laut.
            “So apa motifnya?”
            Tersenyum Luqman mendengar soalan Faraneesha yang sudah boleh diagak itu.
            “Motifnya setiap perhubungan itu pasti akan dilanda badai. Tak kiralah macam mana beratnya ujian tu, kita mestilah terima dengan hari yang rela. Kerana kerelaan hati itulah tanda menerima takdir ilahi ni.
            Dan jika ditakdirkan jika kita berpisah satu hari nanti,  ingatlah bahawa ada kenangan yang masih boleh disimpan namun kita tetap tidak boleh hidup dalam kenangan. Biarlah kenangan itu dititip kemas dalam kotak ingatan tapi hidup tetap perlu diteruskan.”
            “Gaya awak cakap macam nak berpisah dengan saya.” Keluh Faraneesha kesedihan.
            “Hanya Allah yang tahu betapa dalamnya lautan kasih buat awak Neesha. Saya anggap awak sebagai anugerah dan amanah dari Allah untuk saya. Saya tak janji untuk berada di samping awak untuk seumur hidup awak tapi sepanjang hidup saya ni, saya memang hanya pernah dan pandai menyintai awak. Bukan perempuan lain.
            Rasa sayang yang kita rasa sekarang bukanlah satu jaminan kebahagiaan untuk hari esok. Mungkin jugak kasih sayang ini adalah pembunuh untuk terus alpa dengan segala nikmat dunia ni. Jadi cinta dan sayang sebenar hanyalah pada Allah tetapi disandarkan pada seorang manusia. Kerana jika kita hilang kekasih di dunia ini, kita masih punya kekasih yang kekal abadi. Yang akan mendengar segala keluh resah milik kita.”
            Peringatan dari Luqman itu Faraneesha menyisip kemas dalam kepala otaknya. Dia tersenyum sedikit. Tanda dia menerima kata-kata Luqman itu. Memang mati itu sesuatu yang pasti. Dan memang sakit jika kehilangan insan yang tersayang. Bukan sahaja bagi dirinya malah bagi seluruh makhluk Allah di muka bumi ini.
            “Terima kasih kerana mengingatkan saya.” Faraneesha mula mengelap air mata yang tumpah.
“Memang kita dah bertunang, tapi itu tidak bermakna kita akan kahwin. Kalau kita dah kahwin pun, itu tak bermakna jodoh itu akan berkekalan sampai hujung hayat kita. Kalau ditakdirkan jodoh kita terhenti di sini, saya tak mahu awak tutup pintu hati awak dari sesiapa pun. Saya nak awak simpan saya sebagai kenangan tapi saya tak mahu awak hidup dalam kenangan. Kalau ditakdirkan yang bukan saya yang bahagiakan awak, saya terima takdir Allah itu. Dan saya harap awak pun macam tu.” Sambung Luqman lagi. Bertambah serius nada suaranya. Mereka saling bertatapan.
Susah!!!
Itulah satu perkataan yang Faraneesha rasa sekarang. Bagaimana hendak menerima jika ditakdirkan yang satu hari nanti dia akan kehilangan kasih Luqman. ‘Tak nak fikir... tak nak fikir... tak nak fikir...’ Faraneesha sudah tidak mahu menyambung kata. Bimbang nanti Luqman akan berkata yang tidak-tidak lagi.
            Luqman sekadar tersenyum sahaja memandang Faraneesha. Dia tidak pernah berjumpa dengan gadis seperti Faraneesha. Gadis yang unik dalam serba serbi. Kerana itu kasihnya terlimpah padanya. Alhamdulilah, Allah mengurniakan seorang wanita yang baik untuk menjadi ratu dan ibu kepada anak-anaknya nanti. Moga Faraneesha akan membantunya menjaga dan mendidik anak-anak yang semakin terdedah dengan dunia tanpa sempadan ini.
            “Boleh saya tanya sikit?” Tanya Faraneesha tiba-tiba.
            “Apa dia?”
            “Laut tu lelaki ke perempuan?”
            Berkerut dahi Luqman mencari-cari jawapan kepada persoalan tunangnya itu.
            “Hmm, entahlah. Dia orang ada jantina ke?” Usik Luqman nakal dan akhirnya mereka melepaskan tawa bersama. Riang sungguh rasa hati apabila cinta menyelimut jiwa. Moga kebahagiaan ini kekal ke hujung nyawa. Amin...

BAB 25
            Farafeesa berlalu tanpa sedikit pun semangat. Apa yang dia rasa sekrang ialah ingin menangis, menangis dan menangis. Namun yang pelik, air matanya sedikit pun tidak mahu jatuh ke pipi. Ianya hanya sekadar tersimpan kemas di tubir mata.
            Berada di hospital ini membuatkan jiwa Farafeesa sepi tanpa rasa bahagia. Apatah lagi selepas mendengar penerangan dari doktor yang merawatnya tadi. Penyakit SLE yang dihidapinya makin serius dan sudah merebak ke seluruh anggota badannya.
            Dari kejauhan, matanya jatuh pada seorang pemuda yang pernah bertembung dengannya beberapa kali. Sudah agak lama dia tidak bertembung dengan suami palsunya itu.
            Nazreen yang sedang duduk itu kemudiannya rebah ke tanah sambil tangan kananya tidak lepas dari memegang dadanya. Farafeesa yang melihat itu terus berlari. Menghampiri Nazreen sambil menjerit ke arah jururawat yang berada tidak jauh dari tempat Nazreen rebah.
            Farafeesa mula tidak senang melihat keadaan Nazreen itu. Memang mereka tidak pernah mengenali diantara satu sama lain dengan tersangat baik namun kesakitan Nazreen sedikit sebanyak mengusik perasaannya.
            Penyakit apakah yang dihidapi oleh Nazreen sehingga dia rebah di taman hospital? Dan baju pesakit yang dipakai oleh Nazreen itu menguatkan lagi andaian Farafeesa yang lelaki itu memang sakit. Tapi persoalannya sakit apa?
            “Feesa, apa kau buat kat sini?” Suara itu mengejutkan Farafeesa dari lamunan. Pantas dia berdiri dan bersalam dengan Atiq.
            “Aku tunggu Nazreen.” Terang Farafeesa agak gugup. Bagaimana jika Atiq bertanya tentang kehadirannya di hospital ini? Apa jawapan yang harus diberi.
            “Sebenarnya kau dengan abang ada apa-apa ke?” Sejak hari itu dia ingin sekali mengetahui hubungan Farafeesa dengan abang iparnya itu. Namun tidak pernah ada masa dan waktu yang sesuai untuk melahirkan pertanyaan.
            “Kita orang berjumpa secara tak sengaja. Berkawan pun tak. Bermusuh pun tak, apatah lagi bercinta Tiq.”
            Kata-kata Farafeesa itu sedikit sebanyak melegakan Atiq. Dia tidak mahu jika ahli keluarganya menuduh Farafeesa yang menjadi orang ketiga dalam hubungan Nazreen dan Misya yang berantakan semenjak dua menjak ini. Kedinginan Nazreen dan sikap keras kepala Misya itu makin mengeruhkan lagi hubungan mereka berdua.
            “Jangan salah faham. Aku cuma tanya je.” Agak kelesuan sedikit wajah sahabatnya itu. Mungkin kerana baru pulang dari pejabat dan terus bertandang ke hospital ini.
            “Sebenarnya apa penyakit abang ipar kau tu?” Dia teringin benar untuk tahu.
            “Hepatisis C.”
            “Hah, ya ke? Macam tak gaya orang sakit pun. Bandar dia sasa kot. Cuma tadi masa dia pengsan, memang nampak cengkung.”
            “Sakit dia memang dah makin teruk. Sekarang cuma perlu tunggu penderma hati je. Tapi tulah, bukan senang nak jumpa penderma. Seribu orang menanti penderma hati tapi yang menderma tu sorang je.” Keluh Atiq perlahan.
            “Semua ahli keluarga tengah risau sekarang. Apatah lagi keadan Abang Ayien dah kritikal sangat. Hanya tunggu masa sahaja. Aku berdoa agar ada seorang yang akan sudi menderma hati kepada abang Ayien nanti.” Kata-kata Atiq bermain di telinganya.
            Entah mengapa, tergenang air mata di tubir matanya. Apabila mengenangkan yang keadaan Nazreen tidak ubah seperti keadaan dirinya juga. Adakah ahli keluarganya nanti akan turut risau jika dia berada di tempat Nazreen sekarang?
            Ataupun mereka sebenarnya senang hati. Lebih-lebih lagi ibu. Mungkin ibu akan lebih senang tanpa kehadiran dirinya di dunia ini. Ibu akan lebih senang apabila melihat sekujur tubuhnya terbaring di katil hospital. Mungkin ibu lebih senang menerima pengkhabaran tentang penyakit yang dihidapinya.
            Hampir-hampir sahaja permata jernih itu mendarat di tubir mata. Entah kenapa dia tidak dapat menahan daripada jatuh menyembah pipi. Tanpa Atiq sedari, cepat-cepat dia menyapu air mata yang menitis perlahan itu. Segera diceriakan kembali wajahnya. Tidak mahu jika Atiq mula berfikir yang tidak-tidak.
            “InsyaAllah, pasti akan ada seorang yang baik hatinya. Yang akan mendermakan hatinya kepada Nazreen nanti.”
Tiba-tiba dia tercengang mendengar kata-katanya sendiri. ‘Kenapa tidak aku sahaja yang menderma? Bukankah aku tidak dapat hidup lama lagi? Kalau memang aku tak dapat hidup lama, mungkin aku dapat menyumbang untuk kehidupan orang lain. Ya Allah, adakah ini sebenarnya laluan yang Kau ingin tunjukkan kepadaku?’ Idea itu berlegar-legar di ruang fikiran.
Dia perlu lakukan sesuatu... Ya perlu.!!!
            Terus dia bangun dari duduk dengan agak tergesa-gesa. Sehingga mengejutkan Atiq yang sedari tadi asyik mengelamun.
            “Kau nak balik dah ke?”
Jika tadi dia melihat muka Farafeesa sedikit pun tidak bermaya. Malah hanya kesepian bermaharajalela di ruangan wajah itu. Namun kini entah kenapa wajahnya disinari dengan cahaya senyuman. Sesuatu yang Atiq sendiri tidak dapat mengagaknya.
            “Aku ada kerja sikit. Aku pergi dulu.” Terus dia berpaling dah memulakan langkah. Namun tiba-tiba mati tanpa diduga. Segera dia berpaling. Berjalan kembali ke arah Atiq yang agak terpinga-pinga memandang dirinya yang mungkin berkelakuan agak pelik.
            “Aku doakan agar kau dan ahli keluarga kau kuat untuk hadapi semua ini.” Digengam erat tangan Atiq. Bagai hendak terputus urat saraf Atiq dibuatnya. Dalam pada masa yang sama, dia mula mengumpul kekuatan milik sendiri untuk menghadapi hari esok.
***
            “Saya hargai usaha awak untuk menderma itu Feesa... tapi maaf.. sebab awak tak boleh menderma...”
            Farafeesa kembali menyandar ke belakang kerusi. Seketika tadi dia terlalu gembira. Gembira menahan perasaan apabila memikirkan yang dia boleh melakukan satu amalan kebaikan.
            “Kenapa? Kenapa susah sangat saya nak buat baik?”
Entah kenapa dia boleh mengeluh. Namun cepat-cepat dikejutkan hati. Agar tidak terus hanyut dengan kelekaan. Agar tidak menambahkan dosa yang sudah sedia banyak.
Hidayah tersenyum sedikit sambil memandang Farafeesa. Mujur sahaja dia sedang berada dalam waktu rehat. Bolehlah dia menemani Farafeesa sambil menjawab pertanyaan yang bermain di benak Farafeesa.
“Saya tak mengalakkan awak menderma sebab awak mengidap SLE.. dimana akan ada satu ketika nanti, kemungkinan virus akan menyerang organ dalaman awak sendiri. Jika menderma, awak mungkin akan mengalami kompilasi Feesa. Dan pihak hospital tidak membenarkan pembedahan dilakukan jika akan menyebabkan kompilasi terhadap penderma itu sendiri.”
Jelas Doktor Hidayah lagi. Muka Farafeesa kelat sahaja. Tidak secerah ketika berjumpa dengannya tadi.
“Feesa, ada banyak lagi jalan menuju ke arah kebaikan.. Lakukan perkara yang awak mampu Feesa.. Jangan paksa diri nanti memakan diri.” Lembut Doktor Hidayah menasihati sahabat barunya itu. Dia senang berkawan dengan Farafeesa. Dia senang menemani Farafeesa. Gadis itu agak unik pada pandangannya.
“Tapi saya takut tak punya banyak masa lagi Dayah....” Jauh Farafeesa termenung. Mungkin mencari kekuatan yang hampir hilang.
“Feesa, awak masih boleh sembuh... Sesuatu penyakit itu akan ada penawarnya. Yang penting, diri awak sendiri kena kuat. Baru awak boleh hadapi semua ini.”
“Entah kenapa, saya berharap agar saya cepat pergi...”
“Feesa....” Doktor Hidayah menyeru nama Farafeesa. Dia tidak suka jika Farafeesa bercakap yang tidak-tidak.
Muka Doktor Hidayah tegang sahaja. Tiba-tiba Farafeesa menghamburkan tawa. Terasa lucu melihat sahabat barunya itu. Sepertinya mereka sudah kenal lama.
“Awak sayang saya?” Entah kenapa, terasa seperti tertanya soalan bodoh sahaja. Tapi dia teringin berkongsi sesuatu dengan Doktor Hidayah.
“Mestilah sayang... awak kan kawan saya.” Doktor Hidayah melayan Farafeesa seperti anak kecil.
“Tapi kita kan baru kenal?”
“Persahabatan yang baik bukan diukur pada jangka masa perkenalan mereka. Tapi terukur pada kekuatan kasih sayang mereka.” Doktor Hidayah masih setia menjawab sambil tersenyum. Bagaikan memujuk kekasih hati sendiri pula.
“Tapi... saya tak pasti kalau ibu sayang pada saya atau tidak...” Perlahan-lahan Doktor Hidayah berpaling pada sahabatnya itu. Nada serak sedikit.
“Feesa....”
“Sebab tu saya harap nanti bila saya pergi, saya tak akan menyusahkan ibu lagi...” Entah kenapa, Farafeesa dihurung rasa sebak. Mungkin kerana dia jarang meluahkan perasaaan dengan sesiapa pun. Jadi kerana mereka sahabat baru, dia senang meluahkan rasa hati yang selama ini tersimpan kemas.
“Feesa....” Dipaut bahu Farafeesa. “Jangan fikir bukan-bukan ya...” Dia mengelap permata milik Farafeesa. Entah kenapa, keperitan Farafeesa bagai meresap jauh ke dalam sanubarinya.
“Kalau ditakdirkan saya meninggal, saya berharap dapat mati di pangkuan dia.. saya...” Farafeesa sudah tidak dapat meneruskan kata-kata. Air matanya laju mengalir. Terhenjut-henjut dia menangis di bahu Doktor Hidayah.
“Feesa, lepaskan semuanya ya.... lepaskan....” Pujuk Doktor Hidayah. Dia pun ikut turut menangis. Hatinya tersangat terusik mendengar luahan hati Farafeesa.
“Saya janji, saya tak akan menangis dah....” Farafeesa berjanji pada dirinya sendiri. Biarlah ini kali yang terakhir dia menangis. Selepas ini, dia akan mempersiapkan segalanya. Persiapan dari segi fizikal dan rohani.
‘Ya ALLAH, berikan taqwa kepada jiwa ini dan sucikan hatiku kerana Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya. Engkau pencipta dan pelindung hatiku...Ya ALLAH, perbaikilah hubungan antara aku dan ibu, rukunkan hati kami, tunjuki kami jalan keselamatan dan selamatkanlah kami dari kegelapan.’

5 comments:

  1. aduh sedih nyer...smpai tersumbt hidung kuat mnangis....

    ReplyDelete
  2. aish,,,, jangan nangis2...
    sayu hati sy dengar..

    ReplyDelete
  3. sedihnyer entry ni...idung saya pun tersumbat sbb nangis,,ni kpala pun dh sakit..knpa sedih sgt...

    ReplyDelete
  4. Waa!!! Entry yang berjaya wat akk nangis! Keep it up, gurl!

    ReplyDelete
  5. ishhh... ni entry dah masuk zone sedih ler pulak... adoiiii

    ReplyDelete