Sunday 5 February 2012

CINTA UNTUK SEDETIK LAGI [45]


       “Mak, nak beli apa-apa lagi?” Puan Zainab memandang anaknya itu. Wajah itu sudah kembali berseri-seri. Tidak pucat dan kusam seperti dahulu lagi. Malah wajah itu makin kacak dari dahulu. Mungkin kerana sinar limpahan kasih daripada Ilahi.
            ‘Syukur pada Allah kerana mengurniakan kesihatan yang baik untuk anakku..’
            “Mak nak pergi gerai hujung sana... Kamu pergilah masuk dalam kereta dulu.” Hati tuanya bimbang jika anaknya itu akan sesak nafas apabila berada di pasar yang penuh sesak ini. Nazreen hanya mengangukkan kepalanya mendengar arahan emaknya itu.
            Sebenarnya Puan Zainab masih risau dengan tahap kesihatan Nazreen walaupun telah diyakinkan beberapa kali oleh pihak doktor. ‘Susah kalau dapat mak yang bercita-cita nak jadi doktor nih... Dia layan anak yang sakit macam layan pesakit.’
            Hampir dua bulan duduk terperuk di rumah. Jika keluar pun, hanya sekadar ke hospital. Tak berpeluang langsung untuk mencuci mata melihat dunia luar. Baru kini dia memperoleh kesempatan. Itu pun setelah dipaksa beberapa kali. Jika tidak, emaknya itu tetap dengan pendirian tuanya.
            Kakinya diangkat perlahan. Namun entah kenapa, dadanya tiba-tiba terasa ngilu. Rasa yang dia tidak pernah rasa. Memang doktor ada memberitahu yang adakalanya hati barunya ini akan memberi tindak balas yang agak negatif. Sakit dada itu biasa.
            Nazreen berhenti seketika sambil mula memegang dadanya. Ngilu! Itulah kesimpulan yang dapat dia katakan. Dalam pada masa yang sama, hatinya bagai berdegup kencang.  Kenapa ya? Adakah ini tanda yang hatinya ini tidak sesuai dengan dirinya? Tapi kenapa baru sekarang? Kenapa tidak dua bulan yang lepas!
            Hatinya terasa tidak keruan. Dia mula memandang sekeliling. Mencari bayang seseorang? Bayang siapa, dia sendiri tidak mengetahuinya. Yang dia tahu, langkah kakinya dibawa ke satu arah. Langkah yang didorong oleh rasa hati.  Akhirnya, kakinya terhenti di satu destinasi apabila matanya terpaut pada satu wajah. Wajah yang pernah muncul dalam hidupnya.
            ‘Dia....’ Hati Nazreen makin terasa ngilu dan perit. Tangannya ditekap di atas dada. ‘Kenapa dengan aku ni?’
            Faraneesha melihat nota kecil yang dititipkan oleh ibunya pagi tadi. Ada tinggal beberapa barang sahaja yang masih belum dibeli. Tangannya sudah lenguh memegang bakul. Pasti senang jika adik-adiknya turut serta. Tapi sekarang musim perperiksaan. Jadi semua adik-adiknya sibuk membuat persediaan dari segi mental dan fizikal.
            “Bang, ayam seekor... Potong terus ya..” Arah Faraneesha kepada taukey ayam itu.
“Siap!” Abang ayam itu sudah tersengih-sengih.
 Seperti biasa lelaki yang digelar abang ayam itu ramah menyapanya. Dia sudah kenal benar dengan lelaki itu. Ialah, setiap hari minggu, pasti dia akan menjengahkan diri ke pasar ini. Tapi inilah kali pertama dia keseorangan. Biasanya ditemani oleh Farafeesa, Puan Azah atau adik-adiknya yang lain. Namun kali ini, semua orang sibuk. Jadi terpaksalah dia membeli sendirian.
Tapi sebenarnya di pasar inilah dia banyak menghabiskan masa bersama Luqman! Bercinta di pasar... lebih banyak kenangan yang boleh dipintal.
            Nazreen memandang gadis itu tanpa kelip! Terpaku melihat senyuman itu. Masih seperti dahulu. Senyumannya masih tidak pernah berubah! Nazreen jadi pelik sendiri. Kenapa dia boleh berfikir sebegini rupa?
            “Lapan belas ringgit... Sebab baju kita matching hari ni, abang bagi diskaun dua ringgit. Jadi bayar enam belas ringgti jelah..” Faraneesha tergelak sedikit. Sudah terbiasa dengan lawak abang ayam itu. Setiap kali datang, pasti akan beri diskaun! Lama-lama, boleh lingkup abang ayam ini.
            “Ingatkan nak belanja tadi...” Faraneesha sedang berkira-kira hendak mengeluarkan duit daripada beg duitnya. Namun satu suara mematikan perbuatannya.
            “Saya belanja...” Tidak pasti kenapa dia ingin melakukan. Tapi dia teringin hendak melakukannya. Faraneesha mengangkat wajah. Memandang satu wajah yang pernah dia lihat satu ketika dahulu.
            Perbuatan lelaki itu mengingatkan dirinya dengan Luqman!
Entah kenapa ingatannya tergarit pada peristiwa pertemuannya dengan Luqman yang kedua. Di pasar inilah Luqman mengacau dan membeli jiwanya. Membasuh amarahnya dan merantai hati ini dari terus memandang wajah lain.
“Amboi.. dah banyak sangat ke duit tu sampai nak belanja orang!” Sinis Faraneesha menyindir.
“Setakat nak belanja sayur ni, tak luak lagi duit hantaran yang nak bagi kat awak tu.” Faraneesha menjeling tajam. Tapi tipu jika dia kata yang hatinya tidak terusik dengan kata-kata Luqman itu. Lelaki ini memang pandai mencuri perhatiannya.
“Bila masa saya mintak duit hantaran?” Konon-konon macam sedang marah tapi tetap melayan juga. Luqman tersenyum sambil mengambil segala macam jenis beg plastik yang berada di dalam gengaman Faraneesha.
“Eh...  awak buat apa ni? Saya boleh bawak sendirilah!” Faraneesha tidak suka apabila dimanjakan oleh lelaki. Lagipun, barang-barang yang dibelinya tadi, bukannya berat sangat pun. Tak akan patahnya tulang empat keratnya ini mengangkat barang-barang itu.
“Awak kena jaga tangan awak tu... Tangan tu nanti ialah tangan yang saya nak sarungkan cincin nanti....Tangan yang nak dodoikan saya waktu tidur... Tangan yang akan memasak untuk saya...” Belum sempat habis lagi ayat Luqman, Faraneesha sudah menyampuk.
“Karang dengan tangan-tangan ni hinggap kat muka awak ! Kalau tak cukup tangan, kaki pun saya boleh bagi...” Kesabarannya mula menipis tika melayan karenah Luqman. Mengada-ngada betul! Tapi paling menyakitkan hati ialah, lelaki itu boleh gelak lagi.
Sungguh ketawa itu menyakitkan hatinya tetapi menyenangkan jiwanya. Hmm, macam mana tu?
“Kalau awak tampar saya sekarang, awak dah batalkan air sembahyang saya.. Jadi awak kena kahwin dengan saya tau! Awak kena bertanggungjawab tau!” Faraneesha menepuk dahi. Ada pulak macam tu.
“Apa yang awak merepek ni?” Aduh... Belum pernah lagi dia jumpa lelaki yang sawan pagi-pagi ni. Ini sawan ke meroyan ni?
“Mana ada saya merepek... Daripada duk merepek, baiklah pi makan kerepek. Kenyang jugak perut ni.” Faraneesha sudah mula mendengus! Tidak suka dengan sikap penyibuk Luqman. ‘Mentang-mentang dia anak kawan abah, jadi dia fikir dia boleh usik aku sesuka hati?’ Matanya menilau mencari kelibat Farafeesa. Manalah adiknya ini menghilang!
“Asal senyap je?” Tanya Luqman sambil tersengih-sengih.
“Malas nak layan!”
“Bagus...” Faraneesha menoleh ke arah lelaki itu. Pelik dengan pujian mengejut itu.
“Kenapa bagus?”
“Ialah... Awak kenalah simpan tenaga.. Petang karang kan awak nak kena layan tetamu.” Luqman tersengih-sengih apabila melihat gadis itu mula mengerutkan dahi.
“Mana awak tahu yang petang ni ada orang nak datang rumah saya?” Luqman ketawa. Seronok sangat melihat muka terkebil-kebil Faraneesha itu.
“Ialah... mestilah rumah awak ada tetamu kan.. Kalau tak, mestilah awak tak ke pasar kan?” Oh.. Rupa-rupanya Luqman membuat kesimpulan dari situ. Spesis manusia macam ni memang susah! Susah kerana dia orang suka berfikir sendiri tanpa bertanya. Biarlah, Faraneesha sendiri malas hendak melayan.
Sepatah Faraneesha bercakap, makin banyak ayat Luqman yang keluah untuk mematah-matahkan hujahnya.
“Awak tahu siapa yang nak datang?” Tanya Luqman lagi. Terhenti tindakan Faraneesha yang sedang memilih buah tembikai untuk dijadikan pemanis mulut. Aduh, macam-macam karenah! Macam membawa anak kecil pula. Kalau Luqman ini anak kecil, sudah lama disumbat mulut lelaki itu dengan puting. Biar berhenti dari bertanya yang bukan-bukan. Tapi masalahnya, Luqman bukanlah budak-budak. Dah boleh jadi bapak budak dah pun... Aishh..
“Entah..” Faraneesha angkat bahu. Malas hendak berfikir. Pelik sungguh dengan Luqman ini. ‘Aku tak sibuk pun, dia pulak yang menyibukkan diri! Ini mesti kes kecik-kecik dulu nak jadi wartawan tapi bila besar jadi wartawan tak bertauliah saja.’
“Orang tu datang nak masuk meminang awak..!!” Luqman sudah tersengih-sengih.
“Hah!” Tanpa sedar, lontaran suaranya lebih kuat daripada biasa. Faraneesha mula segan sendiri apabila menjadi tatapan beberapa mata yang memandang. Tangannya menutup mulut. Terkejut tahap gaban.
“Mana awak tahu?”
“Sebab sayalah orang yang masuk meminang tu!” Selamba sahaja dia menuturkan kata sedangkan Faraneesha sudah terasa seperti hendak pengsan sahaja. Entah dari langit manalah lelaki ini muncul? Muncul-muncul sahaja, sudah mengerakkan jiwa yang sudah lama terkaku sendiri tanpa teman.
“Awak okay?” Pelik melihat gadis itu yang bagaikan tidak berdiri di atas bumi. Fikiran gadis itu nyata melayang-layang.
Faraneesha sedikit tersentak mendengar teguran dari lelaki itu. Hilang terus lamunan panjangnya tadi.
Faraneesha berpaling. Mencari ruang untuk dia kembali bernafas setelah tengelam di dalam lautan kenangan yang tak sudah-sudah. Pasar ini walaupun busuk, walaupun penuh dengan hiruk piruk orang ramai, namun tempat ini banyak melahirkan kenangannya ketika bersama dengan Luqman.
Setiap minggu, pasti lelaki itu tidak lokek dari menemaninya ke pasar. Daripada malas hendak ke pasar, dia sudah menjadi terlebih rajin. Jika dahulu perlu dipaksa-paksa, tapi jika ada Luqman, dia sendiri yang menawarkan diri untuk ke pasar. Ibu jadi pelik, abah jadi keanehan. Tapi cinta memungkinkan segalanya.
Dari pasar inilah dia kenal dengan perwatakan Luqman. Walaupun Luqman itu lelaki, tapi dia bukan otak kosong dalam bab memasak. Adakalanya, Faraneesha juga ikut turut tertewas dengan kepakaran memasak Luqman.
“Saya betul-betul ikhlas nak belanja ni...” Sekali lagi Nazreen mematikan lamunan Faraneesha.
“Terima kasih.. Buat susah-susah je.” Entah kenapa, dia tidak terasa seperti hendak marah seperti mana dia marah pada Luqman dahulu. Dia tidak mahu melayan lelaki ini seperti mana dia pernah marah pada Luqman. Kerana terikat dengan kemarahan, dia menjalinkan hubungan dengan Luqman.
Arrgghhh... kenapa terlalu banyak Luqman dalam ingatannya?
“Awak okay?”
“Saya okay...” Nazreen pelik sendiri. Kenapa matanya tidak lepas dari ingin memandang wajah gadis itu. Bagai seperti ingin melepaskan rindu.
‘Rindu? Kenapa perlu rasa rindu? Aku dengan gadis ini bukan pernah bertemu mesra pun!’
“Kita pernah jumpa kan?” Berkerut dahi Faraneesha untuk mengingati peristiwa itu. Namun tidak susah mana. Masa dia lupa pada lelaki yang menjadi mangsa simbahan adiknya itu. Boleh pulak Farafeesa menyangka yang lelaki di hadapannya ini ialah seorang pencabul.
“Awaklah pencabul tu kan...” Cepat-cepat Nazreen meletakkan jari terlunjuk di bibirnya. Melarang dari Faraneesha bertutur dengan nada suara yang kuat.
“Kalau orang lain dengar, dia orang boleh buat tafsiran sendiri tau!” Faraneesha tergelak. Sebenarnya dia gelak untuk mengaburi rasa sedihnya. Payah jika hendak berdrama di dalam pasar besar ini.
“Awak ni kembar yang baik ke atau yang tak berapa nak baik tu?” Nazreen memohon kepastian. Dia pasti yang dia tidak tersalah orang, namun dia tetap ingin bertanya kepada tuan punya badan sendiri.
“Orang yang awak kutuk tu ialah adik saya ya..” Akhirnya mereka sama-sama ketawa. Mengingati peristiwa yang pernah terjadi satu ketika dahulu. Macam manalah Farafeesa boleh tersangka yang Nazreen ialah pencabul. Habis basah kusup Nazreen disimbah minuman. Kadang-kadang, sifat berani Farafeesa yang berlebihan itu meman sukar untuk diagak.
Kerana asyik ketawa, Nazreen tersedak sedikit. Ini semua membuatkan dadanya perit dan terasa ngilu. Malah lebih ngilu daripada tadi.
Nazreen menunduk sedikit. Tangannya mendarat di dada! Kaget Faraneesha melihatnya.
“Eh, kenapa ni?” Risau Faraneesha dibuatnya. Pertemuan pertama mereka juga diiringi oleh insiden tak diduga. Pertemuan kali kedua pun ditemani dengan insiden tak boleh diterima dek kepala otak. Adakah ada insiden lagi?
“Awak tunggu kejap.. Saya pergi beli air...”
“Kenapa ni?” Tanya pak cik penjual ikan yang kebetulan berada berdekatan dengan mereka.
“Pak cik, tolong tengokkan dia sekejap! Saya nak pergi beli air.” Ujar Faraneesha cepat-cepat. Pak cik itu hanya menganggukkan kepalanya. Patuh dengan arahan daripada Faraneesha.
Kelam kabut dia dibuatnya apabila melihat lelaki itu terbatuk sambil tangannya memegang dada. Dia baru teringat yang jururawat di hospital itu pernah memberitahu yang lelaki itu menghidap penyakit Hepatisisi C. Masih belum sembuhkah?
Cepat-cepat dia berlari ke arah kedai yang berdekatan. Hampir-hampir sahaja bertembung dengan orang yang lalu lalang.
Usai membeli, cepat sahaja dia mendapatkan Nazreen kembali. Namun apabila sampai ke tempat yang sepatutnya, Nazreen sudah tidak ada di situ. Kemana pula dia pergi?
“Er... anak ni yang tadi kan?” Tegur Pak cik penjual ikan tadi.
“Aah.. mana lelaki tadi?” Pelik pula rasanya. Kenapa tiba-tiba menghilang?
“Oh.. mak dia dah bawa dia balik dah..”
“Oh...”
Matanya terpandangkan botol minuman yang berada di tangannya! ‘Kenapa aku beli air?’ Dia mula terfikir-fikir sendiri. Sebab tadi dia perasan yang Nazreen sedang tersedak. Dulu, kalau Luqman tersedak, dia hendak minum air mineral.
Tapi apa kena mengena Nazreen dengan Luqman? Kenapa dia perlu melayan Nazreen seperti dia melayan Luqman? Ah.. Kusut kepalanya ini.
Satu keluhan terbit dari mulutnya. Dia sudah penat mengajar hati dan akal fikirannya dari terus tidak memikirkan tentang Luqman. Tapi kenapa jejaka tadi senang sangat mengingatkan dirinya tentang Luqman? Kalau asyik sebegini rupa, bila masa dia dapat melarikan diri dari bayangan Luqman?
Apabila terpandangkan lelaki itu, ingatannya terus tergarit pada sebaris nama itu. Kenapa ya? Kerana wajah mereka bukan seiras. Malah langsung tidak sama. Apa yang sama ya? Faraneesha menoleh kembali ke belakang. Mengharapkan pandangan yang memang tidak ada. Kakinya mula melangkah ke kereta. Terfikir-fikir dan tertanya-tanya sendiri!
 P/S: apakah yang mengikat Faraneesha dan Nazreen??

20 comments:

  1. apa ek ? aish ... kau salu buat teka-teki last cerita.. hahaha!

    ReplyDelete
    Replies
    1. aku mengharapkan kebijaksanaan pembaca.. hahah..

      Delete
  2. msti pasl organ yg luqman drmakan tu kot.. ngehehe..

    ReplyDelete
  3. hahah... saya dah tau... betulkan tekaan saya dahulu. all the best sara

    ReplyDelete
  4. hahahha...sya taw sbb apa..
    hehehe...
    best..xsbr mk tggu n3 seterusnya..

    ReplyDelete
  5. sy pun tau sebab ape.. ~~ Hatimu..~~ Hati dia~~ hehehe..

    ReplyDelete
  6. hati mu hati nya jua... heheheh... jelmaan lukman da kembali... so ezrakil n feesa.. cam ner...

    ReplyDelete
  7. nisa azlan dak gmc nk bgi tahu nie yg die rse die tawu knape hati nazren berdegup n tercari-cari neesha.n nisa juge rse die tahu knape neesha asek tingatkan luqman bile nampak nazreen...kak sarea sye da habis cuti.esk kne blk skola dah.cpt2 update ye.nnty cuti sye bce...<3

    ReplyDelete
  8. hikhik...memng xsbr nk tau agy..tlg la cpt smbung...asenye sume yg bce tau knp an???hehehe

    ReplyDelete
  9. yg mngikat dorg 2...cm lrik lgu kisah ati 2...~Hatiku..Hatimu kini menjadi satu~hahaha...tol cik sayang???hikhik

    ReplyDelete
  10. FINALY PEGANTI LUQMAN DAH MUNCUL..
    YEAHH... COMPEM EZRAKIL DENGAN FEESA KAN???

    ReplyDelete
  11. Ada satu perasaan halus dalam hati neesha buat Nazreen....tapi perasaan yang sukar untuk ditafsirkan dengan kata2....hahaha

    ReplyDelete
  12. Sebab hati baru Nazreen milik Lukman... Kan? :)

    ReplyDelete
  13. dok agak dh msti hati arwah luqman d drmakn kat nazreen..hatimu hatinya..milikmu milikku jua....erm tk sbrnya nk tau apa akn jd bla neesha tau hati luqman ada d dlm dri nazreen...apakan nnt neesha trima nazreen d sbbkn hati nazreen milik luqman????hahaha...terlebih sudah....excited nie...hope ezrakil cpt dpt tau ttg pnyakit feesha n dpt yakinkan feesha ttg cintanya yg mndlm kt feesha....atiq knpa ko tk nk jd kepochi...p la crta kt ezrakil ttg pnyakit feesha tu....

    ReplyDelete
  14. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  15. organ donation. Hati Lokman ada pada Nazreen...huhuhu

    ReplyDelete
  16. nazreen ngan lukman kembar x seiras...haha :)

    from>yaya

    ReplyDelete
  17. firstly sebab hati tu , secondly sebab perangai nazreen hampir sama dgan lukman .....

    ReplyDelete
  18. Masih boleh langgan lagi kha novel ini???

    ReplyDelete
  19. Masih boleh langgan lagi kha novel ini???

    ReplyDelete