Monday 2 April 2012

DI SUDUT KAMAR HATIKU [1]


           Suasana sekeliling Afrina sedikit suram dan kelam. Afrina mula tersenyum sambil mendekati kelibat suaminya yang sedang berdiri membelakanginya itu. Tubuh badan yang tegap itu Afrina peluk dari arah belakang. Terasa hangat kasih Haraz melekat ke dalam dirinya.
            “Abang... buat apa dekat sini?” Tanya Afrina manja.
            Perlahan-lahan Haraz meleraikan pelukan kejap Afrina. Dia mula berpaling perlahan ke belakang.
            Afrina mendaratkan pandangan di wajah sepi milik suaminya. Tapi riak wajah itu sepi tanpa sinaran cahaya.
            “Abang... kenapa ni?” Tanya Afrina lagi. Dia mula diserang rasa pelik melihat tingkah aneh Haraz tika ini. Kenapa dengan suaminya ini?
“Maafkan abang.... Abang terpaksa pergi...” Tutur Haraz dengan pandangan yang redup. Tiada sejuring senyuman seperti biasa. Wajah itu polos dan langsung tiada bermaya.
“Abang... abang .. nak pergi mana?” Tanya Afirna dengan suara yang terketar-ketar. Tangannya sudah merentap pergelangan tangan milik Haraz. Melarang lelaki itu dari meneruskan langkah.
“Jangan halang abang....” Keluh Haraz sedikit.
“Abang... abang nak pergi mana? Kalau abang nak pergi, abang bawalah Ain sama... Ain nak ikut abang....” Afrina sudah mula teresak sendiri. Terus dia melekatkan tubuh badannya di badan Haraz. Dipeluk dengan kejap. Melarang Haraz daripada pergi darinya.
“Ain tak boleh ikut abang.....” Halang Haraz keras. Sekali lagi Haraz ingin meleraikan pelukan milik Afrina. Namun sukar kerana pelukan Afrina terlalu kuat dan kejap. Dia sendiri tidak mampu menghalang Afrina dari memeluknya. Namun dia jugak tidak mampu untuk terus membiarkan pelukan Afrina di badannya. Jadi, apa yang harus dia lakukan sekarang?
“Jangan tinggalkan Ain....” Rayu Afrina tanpa jemu. Dia menyembamkan wajahnya di dada bidang milik Haraz. Dibiarkan baju putih Haraz itu basah dek kerana sapaan air matanya.
“Abang perlu pergi Ain....” Rintih Haraz pula.
“Bawalah Ain sama....”
“Jangan halang jalan abang Ain.. Sebab abang tak pernah halang jalan Ain.” Suara Haraz sedikit marah. Mungkin bengang dengan sikap Afrina yang langsung tidak melepaskan pemergiannya.
“Abang......” Sungguh, Afrina sudah kelu untuk mencedok kata-kata rayuan dari mana lagi. Dia tidak mungkin akan merelakan pemergian Haraz kerana dia tidak pernah mampu hidup tanpa Haraz. Haraz adalah segala-galanya baginya. Telah dia redhakan untung nasib dirinya untuk bersama-sama dengan Haraz. Namun apabila Haraz ingin meninggalkannya, dia mula tidak punya kudrat untuk meneruskan langkah. Kerana langkahnya tempang tanpa destinasi yang kukuh.
“Ain kena terima hakikat yang jalan kita sudah tidak sehaluan lagi... Izinkan abang pilih jalan abang sendiri sebagaimana abang merelakan Ain memilih jalan hidup Ain...” Tutur kata Haraz kedengaran sebak. Dia terkaku dan terus terpaku. Hanya tangan Afrina yang melingkar di pinggangnya. Selebihnya, dia sendiri tidak mampu menepis pelukan Afrina itu. Apatah lagi ingin menepis air mata Afrina yang mencurah-curah itu.
Air mata Afrina itu sebenarnya terlalu suci untuk dia kotori dengan tangan miliknya. Biarlah air mata itu kering sendiri.
Akhirnya Haraz melekatkan tangannya di bahu milik Afrina. Ditolak lembut bahu Afrina agar tidak melekat lagi di tubuh miliknya. Tubuh Afrina terhenjut-henjut melayan tangis.
“Izinkan abang pergi....” Haraz sudah berpaling. Tidak mahu menoleh lagi.
“A...bang.....” Suara Afrina sudah mula bergetar hebat. Matanya kabur apabila melihat Haraz melangkah pergi tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
“Abang.....!” Jerit Afrina kuat. Dia ingin mengejar namun langkah kakinya seolah-olah dipaku dengan sendiri.
Dengan menggunakan segala kudrat, dia mula merangkak. Kerana hanya itu yang mampu dia lakukan. Namun bayangan Haraz lesap dari pandangan matanya. Bila dia sudah tidak berdaya untuk merangkak, dia cuba dengan cara mengengsot pula.
Afrina tidak akan mengalah untuk terus mencari redup kasih tempat dia bermanja. Di bawah rendang kasih tempat dia berteduh. Namun kelibat Haraz sudah tidak kelihatan lagi.
“Abanggg.....!” Jeritnya kuat lantas dia terbangun dari pembaringan. Hatinya lelah bagai sedang berenang tanpa arah. Jiwanya lelah akibat lemas di lautan luas. Afrina mula meraba di bahagian sebelah. Tempat suaminya itu kosong!
Afrina mula gelisah dari terus bermimpi. Langkahnya terasa dipaku dengan duri. Dia langsung tidak berdaya untuk berdiri kerana hatinya mula diserang gundah. Dimanakah suaminya? Dimanakah tulang rusuknya itu? Dadanya seakan-akan ingin pecah menahan debaran yang berkunjung. Apatah lagi setelah berkejaran dengan mimpi ngeri tadi. Lantas dia bangun dan terus menekan suis lampu bilik tidur yang berada di sisi meja.
            Kakinya mula digerakkan ke arah bilik air. Namun nyata bilik air itu sepi dari sebarang kunjungan. Kakinya mula melangkah ke ruang tamu di bahagian tingkat atas ini. Mencari kelibat suaminya. Namun ruang tamu itu sunyi diserang sepi malam. Hatinya mula diserang kebas lagi.
            Tanpa terus menunggu, dia mula berlari turun ke bahagian dapur pula. Keadaan dapur yang gelap gelita itu mampu membuatkan Afrina mengerti yang suaminya tidak berada di ruangan itu.
            Air mata mula merebes perlahan di ruangan wajah. Rasa takut untuk kehilangan Haraz sudah menemui puncaknya. Apatah lagi dengan mimpi yang dialaminya tadi.
            “Abang... kenapa abang tinggalkan Ain...” Tangis Afrina. Dia sudah terjelepuk di sisi sofa. Sungguh, kakinya sendiri tidak mampu untuk menanggung tubuh badannya sendiri.
            Sentuhan hangat di bahunya itu membuatkan Afrina berpaling. Dari sinaran lampu luar rumah, dia dapat mengecam bayang-bayang milik suaminya. Tanpa membuang masa, terus dia memeluk suaminya. Melepaskan segala rasa rawan di dada bidang milik Haraz.
            “Abang pergi mana? Kenapa tinggalkan Ain sorang-sorang...” Marah Afrina dihamburkan bersama tangisan yang tidak sudah-sudah.
            “Abang cuma pergi dekat bilik Haziq tadi... Tapi abang terlupa yang Haziq pergi rumah kak long...” Dibalas pelukan milik isterinya itu.
            “Jangan tinggalkan Ain...” Pohon Afrina. Entah kenapa, dia terlalu takut untuk kehilangan suaminya itu. Jika Haraz pergi, apa lagi yang tinggal untuk dirinya?
            “Satu hari nanti, abang tetap kena tinggalkan Ain...” Tutur kata itu membuatkan Afrina melonggarkan pelukan. Dia berpaling ke arah lain. Tidak gemar menyambut huluran kata-kata dari suaminya itu.
            “Kenapa abang suka cakap macam tu? Abang memang tak sayang Ain kan?” Tingkah Afrina keras. Tidak berpuas hati dengan ayat suaminya itu.
            “Abang sayang Ain... dan abang pun tahu yang Ain sayangkan abang... Tapi sayang kena ingat, kasih sayang Allah itu lebih meluas pada hambanya. Tidak terlawan kasih sayang manusia sesama manusia jika hendak dibandingkan dengan kasih sayang Allah pada hambanya...
            Abang tak suka kalau sayang cintakan abang terlalu tinggi. Hingga terlupa pada cinta Yang Maha Agung. Cintalah abang sekadarnya sahaja. Cukup untuk tumpangan di dunia sahaja. Kerana bimbang jika Ain kehilangan cinta abang, hati Ain rapuh lantas Ain kehilangan rasa redha pada Pemilik Alam ini.”
            Haraz mula menasihatkan isterinya itu. Isterinya itu memang agak manja. Mungkin semua silap ini datang dari dirinya. Dia terlalu memanjakan Afrina hinggakan langkah Afrina seakan-akan pincang tanpa kehadiran dirinya. Dia yang mengajar Afrina untuk terus berharap dengan dirinya. Berharap dengan kasih ini. Berharap dengan cinta manusia yang pasti hilang jejaknya nanti. Hingga terlupa untuk menduga apa yang berlaku di kemudian hari.... Apa yang terjadi ini ialah di luar batas kudrat seorang hamba.
            Apa yang dia mahu sekarang ialah, dia mahu isterinya kuat! Tabah dan cekal dalam menghadapi apa sahaja dugaan. Walau tanpa dirinya di sisi.
            “Jangan menangis Ain...” Pujuk Haraz perlahan. Dia mula duduk bersandar di tepi sofa. Dia mula melentokkan kepala Afrina di bahunya.
            “Ain tak tahu kenapa Ain perlu rasa macam ni.. Tapi Ain dapat rasa yang Ain akan kehilangan abang.” Luah Afrina lemah.
            Entah kenapa, fikirannya bersawang dengan segala benda yang menganggu benaknya. Dia sedar yang sebagai hamba, dia tidak layak memikir yang bukan-bukan. Tidak patut untuk berfikir di luar batasan. Tapi entah kenapa, jiwanya lelah disapa bandai tanpa arah ini. Hatinya penuh rasa tidak enak. Walau sudah dikerah pergi, rasa itu kekal tinggal di lubuk hatinya.
‘Ya Allah...bagaimana aku hendak menyenangkan hatiku sendiri dari terus bersenandung dengan erti duka yang berpunca dari pintu sukma. Hatiku ini resah bersulamkan sangsi yang berkelana. Walaupun tanpa kata-kata yang memeritkan dari Haraz, jiwaku ini patah dan pincang dengan sendirinya.’ Keluh Afrina sendiri. Namun dalam dia, dia cuba encari khilaf yang tersembunyi. Jalan yang serong ini perlu diperbetulkan. Hati yang rapuh ini perlu diteguhkan.
            “Wahai isteriku... pendamping jiwaku... tabahkanlah hatimu dengan rona dan liku-liku kehidupan ini... Abang akan sentiasa berada di sampingmu... Kalau tidak di sebelah Ain, abang akan tetap berada di dalam jiwa Ain... di dalam hati Ain...”
            Akhirnya Afrina terbuai dengan kata-kata suaminya. Lantas terus dilabuhkan kepalanya di atas ribaan Haraz. Terlupa yang meraka tidak berada di dalam bilik. Mereka hanya duduk di tepi sofa itu. Namun Afrina tetap selesa. Selesa kerana dia sedang berbaring dengan berbantalkan paha Haraz. Suami yang melengkapi hidupnya.
            Matanya yang ditemani tangis itu akhirnya mula layu. Bibirnya mengukir senyum. Senyum kerana Allah meminjamkan seorang suami seperti Haraz di dalam hidupnya.
***
            Tepukan lembut di pipinya membuatkan Afrina terjaga dari lelapnya. Terus dia bangun dari pembaringan. Matanya tersenyum melihat wajah anaknya yang berusia hampir berusia tiga tahun itu. Anak kecil itu tersenyum ke arahnya. Senyumannya persis milik Haraz.
            “Dik... kenapa tidur dekat sini?” Tanya Amalina aneh. Dia masuk ke dalam rumah Afrina menggunakan kunci pendua memandangkan salamnya yang tidak dijawab oleh Afrina. Bimbang juga jika ada apa-apa yang menimpa adiknya itu.
            “Semalam Afrin tertidur dekat sini...” Tutur Afrina sambil tersenyum. Dia mula memeluk tubuh anaknya itu. Dicium pipi gebu milik Hadziq.
            “Kamu tak sembahyang ke?” Tanya Amalina lagi. Beban kerisauannya makin meninggi apabila melihat keadaan Afrina tika ini.
            Afrina hanya menggeleng sahaja sebagai tanda jawapan.
            “Terima kasih kak sebab tolong jagakan Haiziq. Tak payahlah kerap sangat ambil dia... Bukan apa, Afrin tak nak lah menyusahkan akak pulak.” Tutur Afrina sedikit.
“Tak ada susahnya bila jaga Hadziq. Dia budak baik. Tak banyak karenah pun.” Balas Amalina sambil mengusap sedikit kepada Hadziq.
“Dia memang budak baik.. perangai dia sama macam abang Haraz.” Puji Afrina pula. Sesungguhnya dia bersyukur kerana Allah mengurniakan seorang zuriat yang sangat menyejukkan hatinya. Penawar resahnya.
Amalina hanya terdiam sahaja. Merenung wajah pucat Afrina yang sedang enak bermain dengan anaknya itu. Mata Afrina kelihatan sembab sedikit. Adakah adiknya itu menangis lagi?
 “Hmm, lama tak jumpa anak ibu... Rindunya ibu pada kamu....” Dicium lagi wajah anaknya itu. Hadziq ketawa sahaja.
            “Jom kita naik atas... teman ibu mandi lepas tu kita jumpa ayah eh...” Ucap Afrina lantas membawa kaki ke bahagian atas.
            Amalina yang mendengar bait kata adiknya itu terus terduduk di hujung sofa. Entah apalah yang sedang berlaku ketika ini. Semuanya nampak kusut dan pincang. Bagaikan ada yang tidak kena..
 p/s:: ini adalah mini novel... hope terhibur ya.. =)

11 comments:

  1. bezzz.....nnt kalau dh full novel...nak bce lagi.
    =))

    ReplyDelete
  2. waa!!!
    x sbr nk bc nex n3...
    pe yg jd kt haraz ex???

    ReplyDelete
  3. sedihnya...ada sesuatu jd dkt hazar tu ke...

    ReplyDelete
  4. apa yg terjadi kat hazar?
    sedih plak tgk afrin..

    ReplyDelete
  5. ish... saspen je ayt haraz tu?
    mcm tnda2 owg nak meninggal pulak..

    ReplyDelete
  6. saya rasa Haraz tu dah takde,
    mungkin afrina tu masih hidup dalam bayang2
    suami dia sebab dari reaksi amalina tu
    macam seolah olah Haraz tu dah takde....
    huhu, just my prediction
    selebihnya penulis yang tahu :)

    ReplyDelete
  7. ai rasa pun suami afrina dah xde...

    ReplyDelete
  8. thanks pada semua yang sudi baca and sokong..
    hope korang suka e-novel ini.. =)

    ReplyDelete
  9. mmg susah nak melupakan org yg telah pergi..apatah lg suami sendiri...kesian sgt ngn ain..well, my friend's friend mengalami situasi camni..bukan dia tak terima qada' & qadar tp susah la nak describe..too comlicated..by the way sara, akak tgu hero baru ni...hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha.. nak tunggu hero baru ke??? adehhh.. jeng jeng jeng... mampukah hero baru melenyapkan cinta Ain pada Haraz??

      Delete